Imam Hassan al-Banna, Pemimpin Rabbani pembawa obor harapan
الحمد لله الكبير المتعال، ذى العزة والجلال، الذي وسعت رحمته كل شيء، ونفذت مشيئته في كل شيء، والصلاة والسلام على المبعوث رحمة للعالمين، خاتم الأنبياء والمرسلين، سيد ولد آدم أجمعين، وعلى آله وأصحابه ومن اتبع هديه ووالاه إلى يوم الدين. وبعد
Mengulas mengenai tulisan-tulisan Imam al-Banna, mereka yang hidup bersamanya dan menemuinya kita akan mendapati di sana adanya perasaan harapan terhadap kemenangan Allah atas agamaNya dan dakwahNya. Kata-kata dan tulisan beliau mengesahkan makna ini, dan beliau berterusan menyebarkan harapan kepada janji dan pertolongan Allah kepada agamaNya dan dakwahNya. Meskipun ummah ini berada di dalam keadaan yang penuh sukar, lemah, kemunduran dan perpecahan yang menimpanya sehinggakan ada orang yang berputus asa dengan jalan reformasi, tetapi Imam al-Banna tetap menaruh keyakinan dan keimanan dan menyampaikan harapan ini pada jiwa-jiwa yang berhubungan dengannya. Dan beliau selalu mengaitkan antara harapan dan iman dengan keputusasaan dan ketidakpercayaan.
Imam al-Banna menerbitkan semangat ini daripada kegigihannya dalam mengkaji kitab Allah, petunjuk daripada RasulNya, mempelajari sirah baginda صلى الله عليه وسلم yang harum mewangi, dan bekalan dari kisah-kisah generasi sebelumnya dari para nabi dan rasul.
- Bukankah Rasul yang memberikan khabar gembira kepada pada sahabatnya yang tertindas di Mekah (Khabab al-Arat), yang Allah akan menyempurnakan urusan ini dan membuktikannya?
- Bukankah Rasuk telah berjanji sewaktu perjalanan hijrah (Suraqah bin Malik), dengan gelang Kisra, meskipun beliau dikejar dan diikuti oleh ahli Mekah?
- Bukankah Rasul telah memberikan khabar gembira pada hari Khandak ketikamana mereka dikepung dengan janji pembukaan Rom, pada hari dimana mata terlalu berat dan hati bergoncang hingga ke tenggorokan?
Semua ini dibaca oleh Imam al-Banna di dalam sirah Nabi dan juga sirah saudara-saudara baginda di kalangan para nabi dan rasul. Oleh itu, harapan terhadap kemenangan Allah sama sekali tidak pernah terpisah darinya, dan keyakinan kepada janji Allah tidak pernah padam darinya.
Harapan dan keyakinan kepada kemenangan Allah
Ia adalah harapan dan perasaan dan berpunca dari keyakinan, pembenaran dan kepercayaan yang tinggi kepada Allah تبارك وتعالى, yang Allah-lah yang memenangkan agamaNya dan dakwahNya, dan memberikan hiburan kepada para hambaNya dan pembantuNya. Beginilah sifat jalan ini, pertentangan antara yang hak dan yang bathil dan putaran roda kehidupan. Biarpun demikian, kemenangan dan kejayaan akan berpihak kepada yang benar dan yang menegakkannya, dan rasa malu dan penghinaan buat kebathilan dan pendokongnya. “Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap“.” (Al-Israa’ 17:81). “Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami).” (Al-Anbiyaa’ 21:18)
Percaya kepada kebenaran janji Allah, menyedari sifat jalan ini dan hakikat pertembungan, putus asa dan kecewa tidak mempengaruhi hati dan jiwanya, bahkan dia sentiasa berharap dan senang hati untuk beramal dan berjihad.
Imam al-Banna menulis di Risalah Dakwah Kita yang bertajuk, Amal dan Perasaan, setelah seseorang yang menghidapi sakit kronik hinggap di dada ummah Islamiyah berabad-abad lamanya, maka beliau mengatakan yang berikut;
“Saudara, sebelum saya bincangkan penyelesaian yang perlu digunakan, saya mahu anda mengetahui bahawa kita tidak pernah berputus asa. Malah kita mempunyai cita-cita yang amat besar dan kita yakin tiada yang dapat menghalang kita mengecap kejayaan selain rasa putus asa. Kita mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa kita pasti mencapai kejayaan dengan izin Allah. Syukur kepada Allah, kita tidak pernah berputus asa dan hati ini tidak pernah diulit rasa putus asa. Segala yang berlaku di sekeliling kita memberikan kita harapan walaupun ada yang bersikap pesimis.” Risalah Dakwah Kita, April 1935.
Beliau juga mengingatkan di dalam Risalah Kongres Rakyat Pertama, “Wahai Ikhwan, Sesungguhnya aku memiliki harapan yang kuat terhadap kemenangan – إن شاء الله – kerana kita sesungguhnya di atas kebenaran, dan kebenaran itu mendapat pertolongan daripada Allah. Ummah ini mara dan bangkit, dan kita tidak akan tertipu lagi. Di Mesir kita memiliki energi yang meluap-luap yang apabila mengalir tidak akan mampu dihentikan oleh sesuatu pun. Ketahuilah yang Allah bersamamu dan jangan sama sekali kamu meninggalkan aktiviti kamu.” Risalah Kongres Rakyat Pertama, Oktober 1945.
Ya, itu adalah keyakinan terhadap janji Allah, kuasa dan kehendak Allah سبحانه dalam tarbiyah ummah dan kebangkitan bangsa. Dengan sekelip mata Allah mampu untuk menukar dari satu keadaan kepada keadaan lainnya dan kepadaNya lah setiap urusan dari permulaanya sehingga pengakhirannya.
Apa yang kita sangat perlukan sekarang adalah harapan dan keyakinan
Keadaan yang menimpa dakwah kita, konspirasi yang rancang ke atasnya siang dan malam, panah beracun yang dihalakan kepadanya dari setiap penjuru, dan kejahatan pada waktu siang dan malam yang mengelilinginya dari segenap arah, setiap perkara ini membuatkan kita sangat memerlukan kepada harapan dan keyakinan terhadap janji Allah yang akan menjaga dakwahNya, agamaNya dan para penolongNya. Kerana tanpa harapan dan tindakan, lenyap pemikiran dan ranap usaha dakwah ketika berhadapan dengan kesukaran dan halangan.
Dalam konteks ini Imam al-Banna juga ada menyebutkan:
Hendaklah kamu membaca ayat yang mulia di awal Surah al-Qasas, yang bermaksud, “Taa, Siin, Miim. Inilah ayat-ayat Kitab – Al-Quran – yang memberi penjelasan. Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari kisah Nabi Musa dan Firaun dengan keterangan yang benar bagi orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan. Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.” (Al-Qasas 28: 1 – 6)
“Apabila anda membaca ayat ini anda lihat bagaimana keangkuhan golongan yang sesat. Mereka berbangga dengan kekuatan mereka. Mereka begitu yakin dengan kehebatan mereka hingga mereka melupakan Allah yang sentiasa memerhati mereka. Di saat mereka begitu gembira dengan kekuatan yang dimiliki, Allah yang Maha Berkuasa mengazab mereka. Kehendak Allah pasti akan membantu orang-orang yang dizalimi dan akan membantu orang yang membantu golongan yang lemah hingga akhirnya golongan yang sesat akan hancur sama sekali. Ketika itu kebenaran akan tertegak kukuh dan pendokongnya akan mencapai kemenangan. Ayat ini dan ayat-ayat lain yang termaktub di dalam Kitab Allah cukup untuk menolak segala alasan untuk berputus asa oleh mana-mana bangsa Islam yang beriman dengan Allah, utusan-Nya dan kitab-Nya. Bilakah umat Islam akan memahami hakikat yang dinyatakan oleh kitab Allah ini?” Risalah Dakwah Kita
Putus Asa bukanlah akhlak orang Islam
Imam al-Banna menghubungkan harapan dan tidak berputus-asa dengan keimanan, yang membawa maksud dari kitab Allah yang mengaitkan keputusasaan dari ruh Allah dengan kekufuran. Ini kerana harapan kepada ruh Allah, dan keyakinan kepada janjiNya yang pasti adalah prasyarat keimanan. Firman Allah yang bermaksud, “dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.” (Yusuf 12:87)
Imam al-Banna mengingatkan mengenai perkara ini di dalam Risalah Muktamar Kelima pada Februari 1939, beliau berkata,
“Janganlah kamu berputus asa kerana ia bukan sifat orang Islam. Kenyataan hari ini adalah impian semalam dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok. Masa masih panjang dan anasir-anasir yang baik dan kuat masih ada dalam diri bangsa kamu yang beriman walau bagaimana dahsyat sekalipun kedurjanaan yang melanda. Orang yang lemah tidak selamanya akan lemah sepanjang hidupnya. Manakala orang yang kuat tidak selamanya akan kuat.
Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu. (Al-Qasas: 5-6)”
Harapan dan impaknya terhadap kebangkitan bangsa dan kemenangan dakwah
Harapan yang tinggi dan besar dan tiadanya sifat putus asa adalah kemestian untuk mara kehadapan. Tambahan lagi, perlu wujud keadaan emosi ini pada mereka yang bergerak di atas jalan dakwah dan islah ini. Kerana sesungguhnya halangan dan kesulitan adalah sebahagian dari ciri-ciri jalan ini. Seterusnya harapan itu mesti diiringi dengan tindakan. Imam al-Banna menyebutkan hal ini di dalam Risalah Menuju Cahaya seperti berikut,
“Ummat yang sedang membangun perlukan cita-cita yang tinggi dan besar. Dalam kontek ini Al-Qur’an telah membekalkan ummatnya dengan sifat ini melalui satu cara yang dapat menjadikan ummat yang telah mati itu hidup semula serta mempunyai himmah, cita-cita dan ‘azam yang tinggi.
Cukuplah bagi saudara bahawa Al-Qur’an telah meniadikan sifat putus asa itu sebagai jalan menuju kufur dan perasaan kecewa itu sebagai pertanda kesesatan.
Sedhaif-dhaif ummat apabila mendengar firman Allah ini:
“Dan Kami hendak memberi karunia kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi.” (Al-Qashash: 5)
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejadian dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapatkan pelajaran).” (Ali Imram 139-140)
“Dia-lah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran kali yang pertama. Kamu tiada menyangka bahwa mereka akan keluar, dan mereka yakin bahwa benteng-benteng mereka akan dapat mempertahankan mereka dari (siksaan) Allah maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak disangka-sangka Dan Allah mencampakkan ketakutan ke dalam hati mereka, mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang yang beriman. Maka ambillah (kejadian itu) sebagai pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai pandangan.” (Al-Hasyr: 2)
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: ‘Kapankah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Al-Baqarah: 214)
Umat yang paling lemah sekalipun -jika mendengar janji-janji Allah di ayat-ayat tersebut dan membaca kisah-kisahnya yang faktual dan realistik- mestinya harus bangkit menjadi umat yang terkuat, baik iman maupun ruhaninya.
Tidakkah engkau rasakan, pada cita-cica agung tersebut terdapat suatu kekuatan yang membangkitkan semangat untuk bertahan menghadapi berbagai kesulitan, betapa pun beratnya. Kekuatan yang membuat kita siap bergumul dengan berbagai peristiwa betapa pun dahsyatnya, sampai kita mendapatkan kemenangan yang gilang-gemilang.” Risalah Menuju Cahaya, Oktober 1936.
Harapan adalah sumber kekuatan dakwah
Imam al-Banna menyatakan hal berikut untuk menegaskan pernyataan ini,
“Dengan ketiga-tiga nilai ini iaitu keimanan dan keyakinan yang tinggi dengan risalah Islam ini, rasa bangga kerana memilikinya dan harapan yang tinggi untuk menerima bantuan Allah, dengan izin Allah ketiga-tiga nilai ini telah berjaya ditanam oleh pemimpin pertama iaitu Nabi saw. ke dalam hati para sahabat yang beriman. Baginda menggariskan matlamat hidup mereka. Oleh itu mereka mengorak langkah membawa bersama risalah mereka yang tersimpan di dalam dada dan juga di lembaran mereka, bertapak teguh bersama akhlak dan amalan mereka, mengharapkan limpah kurnia Allah dan yakin Allah akan membantu dan menolong mereka. Dengan semangat ini seluruh bumi tunduk kepada mereka. Mereka berjaya menegakkan sebuah tamadun yang penuh dengan prinsip mulia serta peradaban akhlak yang berlandaskan semangat kasih sayang dan adil di dunia ini. Mereka mengubah hidup di dunia ini yang penuh dengan nilai kebendaan pasif yang keji kepada nilai rabbani dinamik yang terpuji. Allah tidak akan reda kecuali setelah cahayanya sempurna.” Risalah Dakwah Kita di Era Baru. 1942.
Harapan dan Keyakinan adalah bahtera kejayaan
Penegak kebenaran seharusnya memenuhi hati mereka dengan keyakinan bahwa setiap kepayahan itu akan hilang, dan setiap kesusahan itu jika berakhir akan berpisah, dan jika berterusan akan dihentikan. Allah sama sekali tidak pernah lupa terhadap apa yang dikerjakan oleh mereka yang zalim. Tribulasi itu ada di dalamnya terkandung anugerah dan kesukaran itu bermakna adanya kemudahan. Bukti-bukti yang ada mengesahkan kepada semua orang yang berakal bahwa sesungguhnya kita sedang dalam perjalanan menuju kemenangan dengan izin Allah.
Pada saat ini di mana seruan dakwah – khususnya di Mesir – menghadapi cubaan yang paling berat yang pernah disaksikan oleh sejarahnya. Para penentang dan musuh menyerangnya dari setiap arah, menangkap para pimpinannya, membunuh putera-putera terbaiknya, menangkap para wanitanya, menutup ibu pejabat dan pusat-pusatnya, mengawasi institusinya, merampas harta mereka dan harta anak-anak mereka, mengenakan tuduhan palsu dan menimbulkan kecurigaan terhadap sejarah dan manhajnya. Oleh demikian wajib ke atas kita untuk tsabat di atas jalan ini dan yakin kepada janji kemenangan Allah kepada kita. Jangan biarkan keputusasaan menyentuh hati kita. Selagi mana kita ikhlas kepada Allah, kita menghadap wajahNya, kepadaNya kita berharap, kita berpegang teguh kepada taliNya, dan tsabat di atas manhaj NabiNya.
Ketahuilah bahwa perasaan ini tidak akan memberikan pengaruh kepada diri kita atau dakwah kita selagimana kita tidak berpegang teguh kepada tali Allah kerana Allah سبحانه Maha Mengetahui apa yang kita kerjakan. Menjadi sunnatullah kepada dakwah ini, untuk mendidik dan membesarkan keupayaan, dan menguji barisan, Allah akan mengambil dari kalangan mereka para syuhada. Darah mereka yang berharga dan jiwa mereka yang suci adalah harga yang perlu dibayar untuk kemenangan dan pemberdayaan. Maka janganlah berputus asa, dan ketahuilah bahwa kemenangan itu bersama dengan kesabaran dan dengan kesukaran itu ada kemudahan.
Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; (Al-Hajj 22:40)
Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yusuf 12:21)
والحمد لله رب العالمين