Sifat dan Akhlak Naqib (Bah. 1)
Pendahuluan tentang Sistem Usrah
Posisi seorang naqib sangat erat kaitannya dengan sistem usrah, oleh itu menjadi keperluan kepada Imam Hassan al-Banna untuk menggariskan sejarah sistem ini dan matlamatnya.
Sistem Usrah diwujudkan pada tahun 1362H / 1942M dengan nama Sistem Usrah Koperasi (نظام الأسر التعاونية). Kemudian digariskan peraturan-peraturan untuknya atas nama Peraturan Sistem Koperasi (لائحة النظام التعاوني) atau Peraturan Usrah Koperasi (لائحة الأسر التعاونية). Jawatankuasa umum untuk sistem ini ditubuhkan pada bulan Rabiul Awal 1362H / Mac 1943M dan Ustaz Hassan al-Banna sebagai pengerusi di JKP. Beliau kemudiannya menggariskan rukun-rukun sistem ini dengan tiga perkataan, saling berkenalan, saling memahami dan saling membantu (التعارف والتفاهم والتكافل).
Berkata Imam Hassan al-Banna di dalam Risalah Sistem Usrah:
“Sistem usrah ini mempunyai tiga rukun. Jagalah rukun-rukun ini. Cubalah sedaya upaya untuk merealisasikannya supaya hubungan ini wujud bukan sekadar kerana suatu arahan sebaliknya ada roh di sebalik pelaksanaannya.
1. Taaruf (kenal-mengenali) : Ini adalah rukun yang pertama. Kenal mengenalilah antara satu sama lain dan wujudkanlah suasana kasih sayang sesama kamu dengan roh Allah. Hayatilah nilai persaudaraan yang sebenar dan ideal sesama kamu. Berusahalah sedaya upaya supaya kamu tidak melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan hubungan kamu. Sentiasalah laksanakan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang mulia. Sentiasalah renungi ayat-ayat dan hadis-hadis berikut Ingatlah firman Allah Taala:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. (Al-Hujurat: 10)
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيعاً وَلا تَفَرَّقُوا
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam). (Aali Imran: 103)
Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga pernah bersabda:
المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا
“Lelaki mukmin dengan lelaki mukmin yang lain ibarat bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain.”
المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يسلمه
“Lelaki Islam adalah saudara lelaki Islam yang lain, dia tidak akan menzaliminya dan tidak akan membiarkannya.”
مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم كمثل الجسد الواحد
“Kasih sayang, belas kasihan dan simpati sesama orang-orang yang beriman ibarat satu tubuh.”
Selepas berlalu zaman awal Islam, perintah Tuhan dan pedoman Muhammad ini hanya menjadi buah mulut dan khayalan umat Islam sahaja. Hinggalah lahirnya kamu wahai Ikhwan yang saling kenal mengenali. Kamu cuba laksanakan perintah ini sesama kamu. Kamu mahu wujudkan semula sebuah umat yang saling berkasih sayang dengan roh Allah. Kamu mahu hidupkan semula persaudaraan Islam. Kehadiran kamu ini amat dialu-alukan jika kamu benar-benar jujur. Itulah yang saya harapkan. Hanya Allah sahaja yang memberikan taufiq kepada kamu.
2. Tafahum (faham-memahami) : Inilah rukun kedua dalam sistem ini. Istiqamahlah di atas jalan yang benar. Laksanakanlah segala perintah Allah dan jauhilah segala larangan Allah. Nilailah diri kamu sehalus-halusnya. Adakah kamu orang yang taat atau orang yang derhaka.
Setelah itu hendaklah kamu nasihatkan saudara kamu jika kamu lihat ada kelemahan padanya. Hendaklah saudara menerima nasihat daripada saudara kamu dengan gembira dan senang hati. Berterima kasihlah kepadanya kerana nasihatnya itu. Janganlah saudara yang memberi nasihat itu berubah hati walaupun sebesar kuman terhadap saudara yang dinasihatnya. Janganlah sehingga dia merasakan saudaranya itu lebih rendah daripadanya atau dia merasakan dia lebih baik daripada saudaranya itu.
Hendaklah dia sembunyikan kelemahan itu selama sebulan dan dia tidak memberitahu apa yang diperhatikan itu kepada sesiapa kecuali kepada naqib usrah sahaja. Itupun jika dia gagal untuk mengubahnya. Namun selepas itu dia hendaklah mengekalkan semangat kasih sayang, rasa hormat dan kemesraannya dengan saudaranya itu sehinggalah Allah menentukannya. Janganlah pula saudara yang dinasihati bersikap ego dan degil. Janganlah hatinya berubah terhadap saudaranya yang memberi nasihat walau sebesar kuman. Kedudukan kasih sayang yang dijalin kerana Allah adalah kedudukan yang tertinggi. Selain nasihat itu sendiri adalah rukun agama ini: “Agama itu nasihat”. Semoga Allah memperkukuhkan hubungan sesama kamu dan Allah berikan kamu kekuatan untuk mentaatiNya. Semoga Allah menjauhkan kita semua daripada angkara tipu daya syaitan.
3. Takaful (bantu-membantu) : Ini adalah rukun ketiga. Hendaklah kamu saling bantu-membantu, pikullah tanggungjawab bersama-sama. Inilah tanda keimanan dan teras persaudaraan. Hendaklah kamu berjanji untuk saling bertanya khabar dan membuat kebajikan. Hendaklah kamu sentiasa bersedia membantu saudara kamu setiap kali diperlukan. Hayatilah sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:
لأن يمشي أحدكم في حاجة أخيه خير له من أن يعتكف في مسجدي هذا شهرا
“Jika salah seorang di antara kamu berjalan kerana mahu menunaikan keperluan saudaranya itu adalah lebih baik daripada dia beriktikaf selama sebulan di masjid saya ini.”
من أدخل السرور على أهل بيت من المسلمين لم ير الله له جزاء دون الجنة
“Sesiapa yang membawa kegembiraan kepada sebuah keluarga muslim nescaya Allah akan memperlihatkan kepadanya ganjaran yang tidak kurang daripada syurga.”
Allah menyatukan hati kamu dengan rohNya, Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.” Risalah Sistem Usrah
Kami menyesorkan untuk mengulangkaji kata-kata Imam Syahid yang termuat di dalam Risalah Sistem Usrah dengan teliti.
Ustaz Mahmoud Abdul Halim di dalam buku أحداث صنعت التاريخ mengingatkan bahwa fungsi usrah yang paling utama adalah seperti berikut:
- Melakukan kegiatan dakwah untuk mempraktikkan fikrah dan menyebarkannya
- Melakukan kegiatan amali untuk tarbiyah spiritual, jasmani dan pemikiran
- Mengikuti perkembangan semasa dan mengkaji setiap perkembangan dan mengeluarkan keputusan yang bersesuaian
- Pembacaan taklimat daripada kepimpinan dan melaksanakannya
- Mengetahui dengan baik keadaan para ikhwah (mengikut keadaan dakwah semasa)
Tarbiyah dan takwin pada pandangan jamaah ini adalah untuk mengeluarkan peribadi muslim yang sahih, yang peribadinya mencontohi para sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم pada aqidahna, ibadahnya, akhlaknya dan tingkahlakunya. Sesungguhnya matlamat yang besar ini memerlukan kepada jihad dan pengorbanan yang bermula dengan mempersiapkan para naqib yang kemudiannya akan mentarbiyah selainnya.
Imam Hassan al-Banna menyebutkan dengan ringkas dan padat mengenai posisi usrah dan naqib dalam pembinaan dakwah. Beliau رحمه الله berkata, “Usrah adalah dasar pembinaan dakwah kita, dan naqibnya pula adalah batu penjuru kepada pembinaan ini.”
Penubuhan Madrasah Nuqaba’
Pada tahun 1342H / 1952M ditubuhkan Jabatan Usrah (sekarang Jabatan Tarbiyah) dengan tertegaknya apa yang dinamakan sebagai madrasah nuqaba’. Sempena dengan itu pernyataan berikut dikeluarkan di bawah nama “Kepada Para Ikhwan” (إلى الإخوان) seperti berikut;
“Memandangkan perhatian terhadap tarbiyah Ikhwan dengan tarbiyah Islamiyah adalah sesuatu yang penting dan vital, ini memerlukan kepada pembentukan Jabatan Usrah sebagai usaha ke arah merealisasikannya. Tabiyah dan takwin bukanlah sekadar apa yang tersebar di buletin dan risalah atau program yang tertulis secara terperinci, bahkan semestinya wujud agen pelaksana kepada tarbiyah dan takwin yang melaksanakan tugasan ini dengan memiliki hubungan peribadi dengan para ikhwah, kemudiannya memberikan bimbingan praktis, hidup dengan mereka dengan kehidupan yang dipenuhi dengan keakraban, kerjasama, bimbingan dan teladan. Inilah gambaran yang sepatutnya wujud di dalam para nuqaba’ usrah yang merupakan unit tarbiah di dalam dakwah Ikhwan.
Dan untuk memastikan wujudnya kualiti ini pada para nuqaba’ dan mencapai prestasi yang baik sepanjang misi mereka, sarana yang tetap perlu diwujudkan untuk melahirkan para nuqaba’ secara berterusan dengan bertambahnya bilangan usrah. Ini berdasarkan penerimaan orang ramai terhadap dakwah Ikhwan – bagi mereka yang mengarahkan dan berusaha ke arah kehidupan Islam yang sahih.
Selain itu, permasalahan pemahaman yang benar dan kolekif tentang Islam di barisan Ikhwan memerlukan kepada perhatian terhadap pembentukan para nuqaba’ – dan mereka adalah tulang belakang kepada dakwah – pembentukan aqal yang bersumberkan daripada kitab Allah dan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, dan pembentukan kesatuan kefahaman yang bersumberkan kepada Islam yang tulen yang mana tidak ada padanya penyelewengan kefahaman. Inilah yang mendorong Jabatan Usrah kepada penubuhan madrasah nuqaba’.
Oleh itu tujuan madrasah adalah untuk menyediakan medium dokongan yang baik untuk berdirinya aspek tarbawi di dalam dakwah Ikhwan, melalui tiga kaedah;
- Kajian terhadap prinsip-prinsip Islam sehingga terbentuk di dalam akh yang sedang belajar di madrasah pemahaman islam tentang kehidupan, permasalahannya, keadaannya, dan mengembangkan kemampuan pemikiran islami
- Mengadaptasi kehidupan akh secara amali dengan Islam sehingga terzahir ajaran Islam dan hukum-hukumnya daripada aqidahnya, ibadahnya, perkataannya, tindakannya dan perbuatannya
- Persediaan untuk berkhidmat kepada jamaah di segenap cabang aktiviti sebagai sarana tarbiyah dan pembentukan.
Siapakah dia Naqib?
Naqib adalah pengumpul segala kebaikan melalui pintu-pintunya luas dan banyak. Bahkan dialah teladan terbaik di setiap pintu kebaikan. Naqib memiliki banyak sifat, melebihi 20 sifat, dan setiap kali kamu menjumpai sifat yang ada padanya kebaikan, maka kamu boleh menokok-tambahnya. Berikut adalah sifat-sifat Naqib yang penting;
- Naqib adalah pengembala. Bertanggungjawab di hadapan Allah عز وجل, di hadapan jamaah sepertimana yang diminta terhadapnya daripada Allah dan jamaah.
- Naqib adalah murabbi
- Naqib adalah mujahid
- Naqib adalah pembantu dan pembela dakwah
- Naqib adalah ustaz, baik di lapangan ilmiah mahupun pengalaman praktikal
- Sheikh tarbiyah dan ruhiyah
- Ketua dalam pentadbiran umum dakwah, memnadu para ikhwah dengan cinta dan ketegasan
- Perintis daripada kalangan para perintis. Dan perintis tidak menipu ahlinya. Dialah yang terkehadapan dikalangan kaumnya, meredakan kebimbangan, mengembalikan hutang, dan membawa kebaikan bagi ahlinya
- Naqib adalah rahmah
- Naqib adalah seorang yang sopan, dirinya berdisiplin dan mendisiplinkan para ikhwah
- Teratur urusannya
- Perancang
- Kuat
- Seorang doctor yang mahir, pakar mencari punca penyakit dan menyatakan ubatnya
- Seorang ahli farmasi yang pakar untuk memberikan ubatnya
- Terpecaya
- Penjamin yang menjamin dengan dirinya terhadap jamaahnya
- Ahli politik
- Fakih
- Qudwah hasanah
Para sahabat رضوان الله عليهم sentiasa memberikan tumpuan kepada posisi naqib. Selepas sahaja Asaad bin Zararah رضى الله عنه meninggal dunia, mereka mendatangi Nabi صلى الله عليه وسلم dan berkata kepada baginda yang naqib mereka telah meninggal dunia. Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab, “Aku adalah naqib kalian.”
(أخرجه الحاكم ولم يذكر له رتبه ولم يتكلم عنه الأمام الذهبي وذكره أيضاً صاحب كتاب التراتيب الإدارية جزء 1 ص 231 )
Dua sifat khusus Naqib (Murabbi dan Mujahid)
Naqib Murabbi
Sebelum berbicara tentang manhaj pentadbiran dan manhaj harakah untuk naqib, dan sebelum dia keluar untuk mentarbiyah orang lain, sesungguhnya di hadapannya program besar yang memenuhi kehidupannya iaitu untuk mentarbiyah dirinya sebelum mentarbiyah orang lain. Setiap ciri-ciri orang beriman yang digariskan Allah ta’ala di dalam Al-Quran semestinya diusahakan sehingga terrealisasi di dalam dirinya.
Sesungguhnya ayat-ayat Allah عز وجل di dalam kitabNya adalah 6236 ayat. Maka menjadi kewajipan terhadap para naqib untuk membandingkan dirinya dengan puluhan atau ribuan sifat-sifat orang beriman yang digariskan Allah. Sejauh manakah yang telah dimilikinya ?
Setiap ciri kebaikan yang digariskan Rasul صلى الله عليه وسلم terhadap mu’min mesti diusahakan oleh para naqib untuk mencapainya. Sungguh, sunnah Rasul صلى الله عليه وسلم aplikasinya adalah terhadap umat manusia. Oleh itu para naqib wajib berjihad dan melakukan tarbiyah terhadap dirinya untuk memenuhi tuntutan ini. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan dan segala rahsia yang kamu sembunyikan.
Untuk mencapai matlamat tarbawiyah ini para naqib seharusnya ingat yang usrah bukanlah inkubator tarbawi sahaja, bahkan sebuah wadah kepada organisasi dan jaringan komunikasi yang vital terhadap pembinaan jamaah. Komunikasi, sehingga terbentuk sebuah jaringan yang mantap di antara kepimpinan dan barisan usrah.
Di antara tugas-tugas khusus para naqib tarbawi juga ialah mengkonsolidasi peraturan kerja berpasukan, kebiasaan jamaah dan prinsip-prinsip dakwah dengan berpandukan kepada kitab Allah , sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, seerah para sahabat, tabieen, dan seerah para imam yang mendapat petunjuk daripada Allah ta’ala dan mereka yang bekerja di atas jalan ini sehingga hari ini.
Naqib Mujahid
Di antara ciri terpenting pada naqib adalah dia seorang mujahid sepertimana yang digambarkan oleh Imam Syahid Hassan al-Banna – semoga Allah meredhainya -;
“Saya dapat menggambarkan seorang mujahid sebagai peribadi yang senantiasa bersiap-siaga menghadapi apa yang mendatang, mempunyai persiapan, memiliki pemikiran tentang keadaan psikologi dan dalamannya, senantiasa merenung dan berfikir, memiliki perhatian yang besar, berada dalam keadaan bersedia, jika dipanggil dia menjawab, atau diarahkan dia datang. Masa depannya, jiwana, bicaranya, ucapannya, kesungguhannya dan permainannya tidak melepasi medan yang dia telah bersiap-sedia untuknya. Dia tidak berurusan melainkan terhadap misi yang mana diserahkan kehidupan dan kemahuannya. Dia berjihad pada jalan itu. Anda dapat membaca pada riak wajahnya, dan melihat sinar pada matanya, dan mendengar dari kelancaran lidahnya apa yang membara di hatinya dari perasaan yang mendalam dan luka kesakitan. Dan dirinya terpenuhi dengan tekad yang tulus, keinginan yang tinggi serta matlamat yang jauh.”
Kemudian beliau رحمه الله berkata, “Adapun mujahid yang tidur dengan kelopak mata yang tertutup rapat, kekenyangan, ketawa riang memenuhi kedua pipinya, menghabiskan waktunya secara sembrono, sia-sia, bermain-main maka tidak mungkin dia akan tergolong dari kalangan yang berjaya atau di kalangan para mujahid.”