Turkistan Timur & Sejarah hitam penjajahan China

Turkistan adalah sebuah wilayah di Asia tengah yang meliputi (pada hari ini) Kazakstan, Kyrgystan, Tajikistan, Turkmenistan, Uyghuristan, Uzbekistan dan sebahagian kawasan utara Afghanistan. Turkistan menunjuk kepada sebuah wilayah atau tanah yang didiami oleh bangsa Turki. Turkistan terbahagi kepada dua, Turkistan Barat (Asia Tengah) yang sudah berpecah kepada beberapa negara yang merdeka dan Turkistan Timur, yang kini di bawah jajahan China.

Peta Wilayah Turkistan

Wilayah Turkistan Timur meliputi sekitar 1.8 juta km2, 1/5 dari keluasan China dan merupakan wilayah terbesar di China yang didiami sekitar 25 juta jiwa. 95% daripada populasi penuduknya adalah Muslim, yang terdiri daripada pelbagai suku Turki, seperti Turkmen, Kazak, Uzbek, Tatar, Tajik dan Uyghur. Setelah penjajahan China, mereka memanggil Turkistan Timur sebagai Xinjiang, yang bermaksud tanah air baru atau koloni baru.

Turkistan Timur adalah wilayah yang sangat strategik di Asia tengah. Buminya kaya dengan lebih 121 jenis sumber semulajadi, subur untuk pertanian, memiliki rizab minyak yang besar setanding dengan negara-negara Timur Tengah, memiliki sekurang-kurangnya 600 juta tan arang batu dan merupakan kawasan produksi uranium terbaik di dunia, yang dikeluarkan dari enam kawasan perlombongan. Tambahan lagi, wilayah ini juga menghubungkan tanah besar China ke Eropah (dahulu Byzantin), yang juga dikenal sebagai jalan sutera. Oleh itu penguasaan terhadap wilayah ini menjadi sangat penting buat negara China.

Masukknya Islam di Turkistan Timur

Secara umumnya Islam masuk ke Turkistan sewaktu era Khilafah Uthman bin Affan ra., di atas tangan sahabat yang mulia, Al-Hakam bin Amr Al-Ghiffari. Tahapan sebenar di mana Islam tersebar luas adalah ketika era Khalifah Abd al-Maik bin Marwan (Banu Umayyah) di bawah pimpinan Qutaibah bin Muslim Al-Bahli, yang berjaya menguasai wilayah Turkistan dan menyebarkan Islam kepada penduduknya dari 83-94 Hijrah, bersamaan 702-712 Masihi. Usaha ini kemudiannya bersambungan di era Banu Abbasiyah. Ketika khilafah Banu Abbasiyah melemah, beberapa wilayah muncul secara sendirian, dan setelah itu dikuasai Monggol selepas Genghis Khan berjaya mengalahkan Wilayah Khawarizmi pada tahun 628H/1231M.

Timur Turkistan juga mengenal Islam melalui jalur perdagangan di mana para pedagang Islam yang berdagang sepanjang jalur sutera ini juga membawa Islam bersama mereka untuk disebarkan. Ini membuatkan hubungan di antara bangsa Arab dan Cina menjadi semakin kukuh, dan ada sebahagian daripada pedagang muslim mendapat tempat yang tinggi di kalangan orang Cina.

Pada bulan Julai 751M, berlaku Peperangan Talas di antara Khilafah Banu Abbas dan Dinasti Tang di Sungai Talas, untuk merebut penguasaan terhadap wilayah Syr Darya di Asia Tengah. Peperangan ini akhirnya dimenangi oleh kaum Muslimin yang menandakan berakhirnya usaha perluasan Dinasti Tang ke arah barat, dan bermulanya penguasaan kaum Muslimin terhadap wilayah Transoxiana (sebahagian dari Asia Tengah) selama 400 tahun mendatang. Tidak lama selepas peperangan Talas, berlaku pemberontakan An Lushan (755-763M) ke atas Dinasti Tang. Dinasti Tang meminta bantuan Khalifah Abu Jaafar al-Mansur yang kemudiannya mengirimkan 4,000 tentera untuk membantu pasukan Tang merebut semula bandar Chang’an. Bertitik tolak daripada inilah berakhirnya penguasaan Dinasti Tang dari Turkistan Timur, dan penyebaran Islam ke seluruh wilayah China melalui pasukan Islam yang tetap tinggal di sana.

Peta Peperangan Talas, 751M

Kekuasaan Islam di Turkistan Timur menyatu pada tahun 322H/934M apabila Sultan Satuq Bughra Khan memeluk Islam, yang seterusnya menjadi agen kepada penyebaran Islam sehingga hampir kebanyakan penduduk Turkistan Timur menjadi muslim. Dengan peredaran waktu, sejarah mencatatkan Turkistan Timur sebagai salah satu pusat utama dunia Islam di Asia yang mana melahirkan ramai ulama dan pejuang Islam.

China dan Turkistan Timur

Kaum Muslimin mengecapi kehidupan yang stabil semasa penguasaan Dinasti Manchu di China (1054H/1644M) di mana pada waktu ini menyaksikan kelahiran ramai ulama khususnya di bidang tafsir Al-Quran, hadith, fiqh dan tauhid. Tambahan lagi dengan lahirnya para pemikir yang hebat seperti Sheikh Wang Dai Yu dan ahli perundangan, Ma Focho.

Tidak berapa lama selepas itu, Dinasti Manchu mula melakukan penindasan terhadap kaum Muslimin dan tahun 1058H/1648M menandakan bermulanya titik baru dalam sejarah China kaum Muslimin mengangkat senjata untuk mempertahankan maruah agama dan diri mereka. Sejak dari itu ribuan daripada kaum muslimin dibunuh di sebalik tembok besar China tanpa sebarang pembelaan dari dunia luar.

China mengukuhkan penguasaan mereka terhadap Turkistan Timur pada tahun 1174H/1760M setelah melemahnya taring kaum muslimin. Mereka membunuh jutaan muslimin dan membuang sistem bay / beg yang wujud di kalangan warga Turkistan. China seterusnya cuba untuk menyatukan seluruh wiliyah Turkistan di bawah pentadbiran mereka dan melancarkan projek pen-China-an Turkistan Timur. Di antara matlamat utama projek ini adalah untuk mengurangkan dominasi warga Turki dengan mengimport orang China kaum Han untuk menetap di sana.

Kaum muslimin cuba bangkit, bermula dengan revolusi Khojas pada tahun 1241H/1825M yang berlangsung selama dua tahun. Kebangkitan kaum muslimin berterusan selama 100 tahun berikutnya. Pada tahun 1272H/1855M, di bawah pimpinan Ya’kub Beg, kaum muslimin melancarkan jihad yang dikenal sejarah sebagai revolusi Dungan yang berlangsung selama 20 tahun. Pada tahun 1870M, mereka berjaya mengalahkan pasukan China, Dinasti Manchu di peperangan Urumqi dan mendirikan negra Turkistan Timur. Namun pada tahun 1292H/1875M, tentera Dinasti Qing berjaya mengalahkan pasukan Ya’kub Beg dan kembali menguasai wilayah ini.

Turkistan Timur telah mengalami sekurang-kurangnya empat peperangan besar sejak 1277H/1860M, iaitu dua di bawah Dinasti Qing, satu di bawah era kerajaan umum China, dan sekali di bawah kerajaan Komunis China. Dan sepanjang kesemua peperangan itu telah menyaksikan pembunuhan beramai-ramai, berkurangnya populasi dan penghijrahan massal kaum muslimin ke negara-negara yang berhampiran. Dan pada tahun 1884M, mereka menubuhkan wilayah Xinjiang.

Pada tahun 1350H/1931M, tercetus perang besar di Tuskistan Timur melawan pemerintah China yang permulaannya disebabkan oleh pembahagian wilayah yang diperintah oleh Saker Beg sebagai sebahagian dari wilayah yang ditadbir China. Kebencian ini semakin memuncak apabila seorang penguasa polis China menyerang wanita Muslimah. Mereka kaum muslimin pura-pura mengadakan sebuah pesta penghormatan terhadap ketua polis dan berjaya membunuhnya beserta 32 pengawalnya.

Revolusi in bertukar ganas dan jumlah kaum muslimin yang menyertainya meningkat sehingga pasukan China tidak mampu untuk membendungnya. Russia yang menjajah Tuskistan Barat tidak senang dengan perkembangan ini dan memberikan bantuan kepada pasukan China. Namun mereka berjaya dikalahkan dan kaum muslimin merampas bandar Siankiang, Turpan dan menghampiri Urumqi.

Kerajaan China cuba untuk meredakan ledakan revolusi ini dengan menukar gabenor umum tetapi kaum muslimin telah berjaya untuk merampas Urumqi. Kaum muslimin seterusnya melantik pengurusan mereka sendiri yang akhirnya terpaksa diiktiraf pemerintahan China.

Revolusi akhirnya merebak ke seluruh wilayah Turkistan Timur dan beberapa pimpinan kaum muslimin telah berjaya merampas kembali bandar-bandar mereka. Kemudiannya mereka mara ke Kashgar dan merampasnya dan menubuhnya pemerintahan Islam Kashgar. Datang Khujanyaz atau Abdul Niaz Beg kepada para revuliosener di Kashgar untuk berunding agar mereka mengakhiri revolusi dan mengumumkan penubuhan Republik Islam Turkistan Timur pada 21 Rajab 1352H dan terpilih Khujanyaz sebagai ketua negara, dan Thabit Damla sebagai ketua dewan menteri.

Namun pemerintahan ini tidak bertahan lama. Yilmaz Oztona menulis dalam bukunya “Empayar Uthmaniyyah”, tentera China-Russia berjaya mengalahkan Abdul Niaz Beg dan 80,000 tenteranya pada 6 amadil-akhir 1356H/15 Ogos 1937M. Dengan ini perikatan China-Russia ini berjaya menggulingkan republik Islam dan mengeksekusi kesemua ahli kerajaan dan 10,000 kaum muslimin. Sebagai hadiah kepada kemenangan ini, Russia memperoleh hak terhadap sumber mineral dan menggunakan khidmatnya untuk pentadbiran Turkistan Timur.

Satu lagi revolusi yang diketuai oleh ulama Ali Khan bangun untuk menentang China pada tahun 1364H/1994M. Mereka mengistiharkan untuk kemerdekaan wilayah Turkistan Timur. Namun melalui agen-agen perikatan Russia dan China mereka berjaya untuk menggagalkan revolusi ini dengan menculik para pimpinannya. Para pejuang pembebasan dipaksa untuk menerima perdamaian dengan China dengan pertukaran China mengiktiraf hak mereka sebagai warganegara dan memberi kuasa pentadbiran urusan dalaman kepada mereka.

Turkistan Timur berjaya untuk mendapatkan kemerdekaannya pada tahun 1366H/1946M dan Mas’ud Sabri dilantik sebagai ketua kerajaan. Kerajaan baru ini cuba untuk membawa wajah baru kepada kaum muslimin di Turkistan Timur di semua lapangan. Sepanjang tempoh perang dunia kedua, mereka berjaya menyusun kembali organisasi masyarakat, menubuhkan pusat percetakan, sekolah dan menyebarkan risalah bulanan menggunakan Bahasa Turki. Namun selepas berakhirnya perang dunia kedua, pasukan komunis China menjajah wilayah ini pada 1368H/1949M dengan peperangan yang berlangsung selama 20 hari berturut-turut.

Sewaktu bermula era penjajahan komunis China, jumlah kaum muslimin adalah sekitar 2.3 juta, dan jumlah masjid melebihi 2000 masjid. Dengan kejam, komunis China menyembelih kaum muslim dan membawa masuk sejumlah besar imigran Cina untuk mengimbangi atau mengurangkan majoriti kaum muslimin. Seterusnya mereka membatalkan semua pemilikan individu, menangkap para pemuda muslim, mendeklarasikan pengharaman agama Islam, menghukum sesiapa sahaja yang mengamalkan ajaran Islam, melarang penduduk Turkistan Timur keluar dari wilayahnya sepertimana dilarang kemasukan mana-mana warga asing. Kemudian mereka, komunis China menutup semua pusat keagamaan dan menghancurkannya, merampas masjid dan menukarkannya kepada kelab hiburan kepada tenteranya, menukar penggunaan huruf arab dan bahasa local kepada China, menukar pelajaran sejarah Islam dengan sejarah Mao Zedong dan memaksa wanita Islam untuk berkahwin dengan orang Cina. Jelas kebencian mereka terhadap kaum muslimin dengan usaha mereka untuk memperhambakan kaum muslimin dan menghapuskan benih iman di dada mereka. Tekanan ini semakin bertambah semasa berlakunya revolusi kebudayaan Cina, dengan bertambahnya penyiksaan terhadap kaum muslimin sepertimana slogan yang mereka laungkan, “Hapuskan pendidikan Al-Quran”.

Walaupun berhadapan dengan penindasan dan kezaliman yang dahsyat yang cuba untuk memadamkan kewujudan mereka, kaum muslimin Turkistan Timur tetap cuba untuk bangkit. Pada tahun 1386H/1966M, kaum muslimin mengorganisasikan revolusi Kashgar, di mana mereka cuba untuk mendirikan solat Eid-al-Adha di dalam sebuah masjid. Penguasa Komunis China menghalang mereka dan menidakkan hak mereka untuk melakukan korban. Maka revolusi ini merebak dan serangan gerilla dilancarkan terhadap pemerintah komunis China. Dicatatkan sepanjang revolusi ini lebih 75,000 telah syahid dan berita mengenai penindasan pemerintah komunis China terhadap kaum muslimin di Turkistan Timur tidak pernah berhenti sehingga hari ini.

Adaptasi daripada tulisan oleh Mustafa ‘Asyur,

( تركستان الشرقية.. صفحات مجهولة من تاريخ أسود (في ذكرى استيلاء الصين عليها: 6 جمادى الآخرة 1356هـ

Rujukan:

  • محمد حرب: الإسلام في آسيا الوسطى والبلقان- دار البشائر الإسلامية- القاهرة- الطبعة الثانية (1415 هـ = 1995).
  • محمود شاكر: التاريخ الإسلامي “الأقليات الإسلامية”- المكتب الإسلامي- دمشق- الطبعة الثانية (1416 هـ = 1995م).
  • يلماز أوزتونا: تاريخ الدول العثمانية- منشورات مؤسسة فيصل للتمويل—تركيا (1988).
  • فهمي هويدي: الإسلام في الصين- سلسلة عالم المعرفة (43)- المجلس الوطني للثقافة- الكويت (1401 هـ = 1981).
  • دائرة سفير للمعارف الإسلامية