Muhammad Bin Wasi’ Al-Azdi

Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien

Sheikh ahli zuhud di zamannya

“Setiap pemimpin ada pembaca mereka. Setiap hartawan ada pembaca mereka. Namun Muhammad bin Wasi’ adalah antara pembaca al-Rahman.” [Malik bin Dinar]

Hikayat kita kali ini berkisar di zaman pemerintahan Sulaiman bin Abdul Malik. Ketika itu, Yazid bin al-Muhallab bin Abu Sufrah, salah seorang panglima tentera Islam dan gabenor Khurasan yang gagah perkasa sedang mara bersama tenteranya. Angkatan ini berjumlah 100 ribu orang tidak termasuk angkatan sukarelawan yang cintakan syahid dan keredaan Allah.

Yazid kini bertekad untuk menakluk Jurjan (Georgia) dan Tibristan.1

Salah seorang yang turut bersama barisan sukarelawan ialah ulama tabiin yang terkemuka, Muhammad bin Wasi’ al-Azdi al-Basri atau lebih dikenali sebagai Zainul Fuqaha’ atau Abid al-Basrah. Muhammad juga adalah anak murid kepada sahabat agung Anas bin Malik al-Ansari2 seorang pelayan Rasulullah s.a.w.

* * *

Yazid bin al-Muhallab bersama tenteranya berkhemah di Dihistan. Wilayah ini dihuni sekumpulan bangsa Turk. Mereka memiliki kekuatan yang hebat dan kubu yang kukuh.

Setiap hari mereka akan keluar menyerang tentera Islam. Apabila keletihan atau kalah, mereka akan melarikan diri ke kawasan persembunyian mereka di tengah kawasan pergunungan. Mereka akan berkubu di sana dan berlindung di kawasan pergunungan itu.

* * *

Muhammad bin Wasi’ al-Azdi seorang yang bertubuh kecil dan sudah berusia. Namun beliau memainkan peranan yang amat penting dalam peperangan ini. Tentera-tentera Islam bertuah dengan kewujudannya. Mereka menikmati cahaya keimanan yang terpancar daripada wajahnya yang berseri-seri.

Semangat mereka akan kembali membara setiap kali mendengar zikir-zikir yang meniti di bibirnya. Doa-doanya yang mustajab memberi keyakinan kepada mereka tatkala berhadapan dengan saat-saat getir.

Salah satu amalannya ialah setiap kali panglima tentera memulakan serangan beliau akan berkata: “Wahai kuda Allah, maralah, wahai kuda Allah, maralah.”

Mendengar sahaja laungan ini, tentera-tentera Islam akan segera menyahut menyerang musuh umpama singa yang ganas. Mereka akan mara ke medan peperangan umpama orang yang kehausan mencari air di tengah ketandusan kemarau.

* * *

Dalam suatu pertempuran yang sengit ini, seorang satria musuh tiba-tiba muncul. Tubuhnya sasa dan tiada tolok tandingnya. Berbekal kekuatan, keberanian dan semangat yang tinggi, satria ni merempuh barisan tentera Islam. Serangan ini menyebabkan tentera Islam terpaksa mundur ke belakang. Kehebatan satria ini menggerunkan mereka. Dalam kekecamukan perang tersebut, satria yang gagah perkasa ini dengan penuh angkuh mencabar tentera Islam berkali-kali.

Sebaik mendengar cabaran ini, Muhammad bin Wasi’ pantas menyahutnya. Semangat yang ditunjukkan oleh Muhammad ini memberi semangat kepada satria-satria Islam.

Seorang satria Islam datang menemuinya. Satria ini nemujuknya supaya membatalkan hasratnya. Sebaliknya beliau neminta supaya diserahkan cabaran itu kepadanya. Akhirnya Muhammad bin Wasi’ pun membatalkan niatnya. Beliau mendoakan semoga satria Islam itu beroleh kemenangan dan bantuan Allah.

* * *

Kedua-dua satria kini saling berhadapan antara satu sama lain dengan penuh semangat. Mereka bertempur ibarat singa-singa yang gagah. Semua mata kini tertumpu kepada mereka.

Setelah beberapa lama, mereka masih beradu tenaga kerana masing-masing masih tidak mengaku kalah. Akhirnya, kedua-duanya kelihatan tidak bertenaga lagi. Ketika itu, masing-masing menghayun pedang mereka serentak ke arah lawan. Pedang satria Turk terkena besi di topi satria Islam sementara pedang satria Islam terkena kepala satria Turk menyebabkan kepalanya terbelah dua.

Satria Islam yang gagah perkasa ini kembali ke barisan tentera Islam dalam keadaan yang amat menakjubkan. Di tangannya terhunus pedang dengan darah yang masih mengalir. Di topinya3 terlekat pedang yang berkilau terkena pancaran mentari. Kemenangan satria ini disambut dengan laungan tahlil, takbir dan tahmid.

Yazid bin al-Muhallab memerhatikan kedua-dua pedang yang berkilauan ini. Bersama topi dan pedang di kepalanya. Beliau berkata: “Demi Allah, inilah satria sebenar. Siapakah lelaki itu?” Orang ramai menyahut: “Inilah lelaki yang telah menerima keberkatan doa Muhammad bin Wasi’ al-Azdi.”

* * *

Imbangan kekuatan mula berubah sebaik kematian satria Turk tadi. Perasaan takut mula mengulit sanubari musyrikin. Berbeza pula dengan tentera Islam, semangat mereka kini berkobar-kobar. Mereka kini mara merempuh barisan musuh ibarat bah yang melanda. Akhirnya mereka berjaya mengepung angkatan musuh dan memutuskan segala bekalan minuman dan makanan.

Akibat tertekan, raja mereka akhirnya terpaksa meminta rundingan damai. Dia menghantar wakil bertemu Yazid untuk meminta perdamaian. Dia turut menyatakan kesediaannya untuk menyerahkan negara dan segala milik negara kepada tentera Islam. Cuma dengan syarat tentera Islam menjamin keselamatannya dan ahli keluarganya.

Yazid menerima perdamaiannya dengan syarat raja ini perlu menyerahkan kepadanya

700 ribu dirham secara beransur-ansur dan 400 ribu secara tunai. Selain itu, raja juga perlu menyerahkan 400 ekor kuda yang membawa rempah ratus dan dibawa oleh empat ratus orang lelaki dengan setiap seorang membawa seuncang perak dan memakai burnus4 diperbuat daripada sutera dan di luar burnus ini pula dipakaikan selendang daripadn sutera dan salinan sutera untuk dipakaikan kepada isteri-isteri tentera Islam.

* * *

Apabila peperangan mula reda, Yazid bin al-Muhallab berkata kepada perbendaharaannya: Nilaikan semua harta perolehan perang supaya kita boleh berikan kepada mereka yang berhak. Pihak perbendaharaan pun cuba menilai semua harta itu. Namun mereka tidak berupaya. Akhirnya harta-harta ini dibahagikan kepada semua tentera secara tolak ansur.

* * *

Di antara harta yang diperolehi oleh tentera Islam adalah sebuah mahkota yang bertatah emas tulen, berhias intan permata dan diperbuat dengan ukiran yang amat indah dan menarik. Semua mata tertarik memandangnya. Mereka kagum dengan kilauan batu permatanya.

Yazid memegang mahkota ini dan mengangkatnya tinggi supaya semua yang hadir boleh melihatnya. Yazid berkata: “Apakah pada pandangan kamu ada orang yang akan menolak mahkota ini?!” Hadirin berkata: “Moga Allah mengasihi tuan, siapakah yang akan menolak mahkota seperti ini?!”

Yazid berkata: “Kamu akan lihat. Masih ada dalam umat Muhammad s.a.w. ini yang akan menolak mahkota seperti ini. Malah dia akan menolak seluruh isi bumi ini.”

Yazid kemudiannya memandang pengawalnya sambil berkata: “Tolong carikan Muhammad bin Wasi’ al-Azdi.”

Pengawal itu pun keluar mencari ke segenap tempat. Dia menemui Muhammad bin Wasi’ berada di sebuah tempat yang terasing daripada orang ramai. Muhammad bin Wasi’ al- Azdi ketika tu sedang tekun menunaikan sembahyang sunat, berdoa, bermunajat dan memohon keampunan Allah.

Pengawal itu pun datang di hadapannya dan berkata: “Gabenor menjemput tuan menemuimu. Dia meminta supaya tuan datang sekarang juga.”

Muhammad bin Wasi’ bingkas bangun mengekori pengawal tadi. Apabila sampai di hadapan Yazid beliau memberi salam dan duduk berdekatan Yazid. Yazid pun menjawab salamnya.

Lalu Yazid mengangkat mahkota tadi dan berkata: “Wahai Abu Abdullah, tentera Islam telah berjaya memperolehi mahkota yang amat berharga ini. Saya rasa sebagai suatu penghormatan daripada saya, saya ingin menyerahkannya kepada engkau. Ini pasti akan menyenangkan hati semua tentera.”

“Wahai Gabenor, apakah engkau berikan mahkota ini sebagai bahagian saya?” tanya

Muhammad sambil merenung kedua-dua mata Yazid. “Ya, ini adalah bahagianmu,” balas Yazid

“Wahai gabenor, saya tidak memerlukannya, terima kasih kepada gabenor dan kamu semua,” balas Muhammad.

“Demi Allah, saya bersumpah kamu mesti mengambilnya,”

Apabila mendengar sumpah Yazid, Muhammad bin Wasi’ al-Azdi pun menerima mahkota tersebut dan kemudian meminta izin untuk berundur. Hadirin yang tidak mengenalinya berkata: “Dia telah membolot mahkota ini dan terus pergi.”

Yazid memerintahkan seorang hambanya supaya mengekori dan mengintip Muhammad bin Wasi’, supaya dia dapat melihat apakah yang dilakukan dengan mahkota tadi. Setelah itu disampaikan berita itu kepadanya. Hamba itu pun mengekori Muhammad bin Wasi’ tanpa disedarinya.

* * *

Muhammad bin Wasi’ terus berjalan dengan mahkota masih di tangan. Tiba-tiba seorang lelaki yang kelihatan selekeh dan kusut masai menahannya. Lelaki ini berkata dan meminta: “Berilah sedekah daripada harta Allah.”

Lantas Muhammad bin Wasi’ menoleh ke kanan, ke kiri dan ke belakang. Apabila beliau pasti tiada siapa yang melihatnya, beliau pun memberikan mahkota tadi kepada orang yang meminta itu. Kemudian beliau terus berlalu dengan penuh gembira. Seolah-olah beliau telah melepaskan beban yang dipikulnya.

Hamba Yazid pun memegang tangan peminta sedekah tadi. Dia membawanya menghadap Yazid dan menceritakan apa yang berlaku. Yazid pun mengambil mahkota tadi daripada peminta sedekah tadi dan menggantikannya dengan pelbagai harta yang disukainya.

Selepas itu, Yazid memandang tenteranya dan berkata: “Bukankah saya telah katakan. Masih ada dalam umat, Muhammad s.a.w. ini orang yang akan menolak mahkota ini. Malah akan menolak apa sahaja yang seumpama dengannya.”

* * *

Muhammad bin Wasi’ al-Azdi terus berjihad memerangi golongan musyrikin di bawah panji Yazid bin al-Muhallab hinggalah tiba musim haji. Ketika itu beliau menemui Yazid untuk meminta izin bagi mengerjakan haji.

Yazid berkata: “Terserah padamu, wahai Abu Abdullah, pergilah pada bila-bila masa yang engkau kehendaki. Saya telah perintahkan supaya diserahkan sejumlah wang untuk membantu engkau mengerjakan haji.”

Muhammad bin Wasi’ bertanya: “Apakah engkau akan memberikan jumlah yang sama kepada semua tentera, wahai Gabenor?!” Yazid menjawab: “Tidak.” Dia membalas: “Saya tidak perlukan wang yang khusus untuk saya.”

Dia mengucapkan selamat tinggal kepada Yazid dan berlalu pergi.

* * *

Pemergian Muhammad bin Wasi’ al-Azdi ini amat berat dirasakan oleh Yazid bin al- Muhallab. Malah turut dirasai oleh tentera-tentera Islam yang pernah bersamanya. Mereka merasa sedih kerana tentera mereka tidak menikmati berkat kewujudannya. Mereka berharap semoga beliau akan kembali sebaik sahaja mengerjakan haji.

Perkara ini bukanlah ganjil. Malah setiap panglima tentera yang bertaburan ke seluruh bumi sentiasa berusaha supaya anggota tentera mereka disertai oleh Abid al-Basrah, Muhammad bin Wasi’ al-Azdi. Mereka amat-amat merasa bertuah dengan kewujudannya. Mereka berharap semoga Allah akan menganugerahkan mereka kemenangan dengan berkat doanya.

* * *

Alangkah mulianya jiwa ini yang dipandang kerdil oleh empunyanya sendiri tetapi terlalu agung di sisi Allah dan manusia seluruhnya. Betapa hebatnya sejarah manusia yang dihiasi manusia agung ini. Sehingga bertemu lagi bersama Abid al-Basrah, Muhammad bin Wasi’ al-Azdi.

  1. Kedua-dua kawasan yang terletak di wilayah Parsi ini berjaya ditakluk oleh Yazid bin al-Muhallab.
  2. Sila lihat buku, Suwar Min Hayat al-Sahabah, karangan penulis, terbitan Dar al-Adabal-Islami.
  3. Topi yang digunakan oleh tentera sebagai perisai kepala.
  4. Burnus, sejenis pakaian yang mempunyai penutup kepala.