Muhammad Bin Wasi’ Al-Azdi (2)

Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien

Abid al-Basrah, Zainul Fuqahak

“Sesungguhnya jari Muhammad bin Wasi’ al-Azdi lebih saya sayangi daripada seribu pedang yang dihunus oleh seribu pemuda…”

[Qutaibah bin Muslim]

Kisah kita kali ini berlaku dalam tahun ke-87 Hijrah. Ketika ini panglima tentera yang menjadi kebanggaan umat Islam, Qutaibah bin Muslim al-Bahili sedang mara bersama para tenteranya yang gagah perkasa dari bandar Marwa1 menuju ke Bukhara2..

Panglima agung ini bertekad untuk menakluk kawasan-kawasan di Negeri Sebalik Sungai yang masih belum ditakluk oleh tentera Islam. Malah beliau bertekad untuk menyerang sempadan China dan mengenakan jizyah ke atas penduduk di sana.

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja Qutaibah bin Muslim menyeberangi Sungai Sayhun (Amu Darya), berita kemaraan tenteranya ini telah sampai ke pengetahuan penduduk Bukhara. Lalu mereka memalu gendang perang di segenap pelusuk negara. Penduduk Bukhara juga meminta bantuan negara-negara jiran mereka kaum Sogdia, Turki, China dan banyak lagi.

Akhirnya mereka berjaya mengumpulkan sejumlah besar angkatan tentera yang berlainan warna, keturunan, bahasa dan agama. Malah jumlah mereka mencecah dua kali ganda daripada jumlah tentera Islam dari segi kekuatan tentera dan senjata. Mereka bertindak menutup semua laluan bagi menghalang kemaraan tentera Islam.

Langkah musuh ini menyebabkan Qutaibah bin Muslim tidak dapat mengutus pasukan pengintip untuk mengetahui maklumat musuh. Malah para pengintip yang berada di dalam kawasan musuh juga tidak dapat keluar untuk membawa berita

* * *

Qutaibah bin Muslim mengambil keputusan untuk berkhemah di kota Bikand3. Mereka berpangkalan di situ tanpa mampu untuk mara atau mundur. Setiap kali pagi menyingsing, musuh akan menyerang kedudukan tentera Islam di sepanjang hari. Apabila malam mereka akan kembali ke kawasan pertahanan mereka.

Keadaan ini berlanjutan selama dua bulan dan dalam tempoh ini Qutaibah bingung mengatur rancangan. Beliau tidak pasti sama ada perlu berundur ataupun terus mara.

Berita mengenai nasib Qutaibah dan tenteranya ini sampai ke pengetahuan umat Islam di segenap pelusuk negara. Umat Islam mula bimbang dengan nasib angkatan tentera yang tidak pernah tewas ini. Begitu juga dengan panglima tenteranya yang tidak pernah dikalahkan.

Mendengar berita ini, arahan dikeluarkan kepada seluruh pemerintah di wilayah Islam supaya memanjatkan doa setiap kali umat Islam menunaikan sembahyang untuk keselamatan tentera Islam yang sedang berpangkalan di Negara Sebalik Sungai. Dengan arahan ini, seluruh masjid di seluruh negara mula memanjatkan doa untuk mereka. Seluruh menara masjid mula melaungkan munajat dan ibtihal. Semua imam akan membaca doa qunut setiap kali sembahyang. Malah, sejumlah besar umat Islam bangkit untuk memberi laluan kepada tentera yang gagah perkasa ini. Di antara mereka yang ke hadapan ialah seorang tabiin yang agung Muhammad bin Wasi’ al-Azdi.

* * *

Qutaibah bin Muslim al-Bahili mempunyai seorang pengintip berbangsa bukan Arab yang pintar. Dia dikenali sebagai Taizar. Pihak musuh cuba mempengaruhi Taizar dengan menyogok sejumlah besar wang. Pihak musuh meminta Taizar menggunakan segala kecerdikan dan helahnya untuk melemahkan kekuatan tentera Islam. Dia diminta memujuk tentera Islam supaya berundur tanpa melancarkan peperangan.

* * *

Taizar datang menemui Qutnibah bin Muslim al Bahili. Ketika Itu Qutaibah sedang berbincang bersama ketua-ketua tenteranya. Taizar mendekati Qutaibah dan berbisik ke telinga Qutaibah. Bisiknya: “Jika boleh sila kosongkan tempat ini wahai Qutaibah.”

Qutaibah pun memberi isyarat kepada semua yang ada supaya meninggalkan mereka. Cuma Dhirar bin al-Husoin diminta kekal di situ oleh Qutaibah. Setelah semuanya beredar, Taizar berkata kepada Qutaibah: “Saya ada suatu berita untuk panglima.”

Dengan segera Qutaibah membalas: “Katakanlah.”

Taizar berkata: “Amirul Mukminin di Damsyik telah memecat al-Hajjaj bin Yusuf al- Thaqafi dan semua panglima tentera yang berada di bawahnya termasuklah tuan panglima. Amirul Mukminin telah melantik panglima-panglima tentera yang baru dan mengarahkan mereka supaya melaksanakan tugas mereka. Penggantimu akan tiba ke sini tidak berapa lama lagi. Pada pandangan saya, eloklah jika tuan panglima berundur daripada negara ini bersama tentera tuan. Kembalilah ke Marwa supaya panglima boleh mengatur rancangan jauh daripada medan peperangan.”

* * *

Sebaik sahaja Taizar selesai, Qutaibah bin Muslim memanggil seorang hambanya, Siyah. Apabila Siyah berada di hadapannya dia berkata: “Pancung kepala pengkhianat ini, wahai Siyah.” Lalu Siyah memenggal kepala Taizar dan beredar.

Qutaibah memandang Dhirar bin al-Husoin dan berkata: “Jangan benarkan sesiapapun mendengar berita ini kecuali saya dan engkau. Saya bersumpah dengan nama Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Agung, jika berita ini sampai kepada sesiapa sebelum peperangan ini tamat saya akan lakukan perkara yang sama kepada engkau seperti mana yang saya lakukan kepada pengkhianat ini. Jika engkau masih sayang nyawamu jagalah lidahmu. Jika berita ini tersebar sudah tentu ia akan melemahkan semangat para tentera dan sudah tentu kita akan kecundang.”

Setelah itu, beliau memanggil orang lain masuk. Mereka pun masuk. Apabila melihat tubuh Taizar rebah ke bumi bermandi darah, mereka kehairanan dan ketakutan.

Qutaibah berkata: “Mengapa kamu takut dengan kematian seorang pembelot.” “Kami sangka dia adalah penasihat kepada tentera Islam,” jawab mereka.

Qutaibah menunding jari ke arah mayat Taizar seraya berkata: “Dia selama ini menipu umat Islam lalu Allah menghukumnya.”

Tiba-tiba Qutaibah berteriak: “Sekarang pergi gempur musut kamu. Serang mereka dengan semangat baru.”

* * *

Apabila kedua-dua pihak berhadapan, umat Islam melihat jumlah musuh yang begitu ramai. Senjata mereka juga jauh lebih hebat. Rasa takut mula menghantui mereka.

Qutaibah bin Muslim dapat merasakan apa yang berlegar dalam hati tenteranya. Lalu beliau menemui setiap pasukan untuk memberi perangsang dan menaikkan semangat mereka. Beliau melihat orang di sekelilingnya dan bertanya: “Di mana Muhammad bin Wasi’ al- Azdi?!”

“Beliau berada di barisan kanan, wahai Panglima,” jawab mereka serentak sambil menundingjari ke arah barisan kanan.

Qutaibah bertanya: “Apa yang dilakukannya?”

“Beliau sedang berdiri bersama tombaknya, memerhati dan menggerakkan jarinya ke arah langit. Apakah panglima mahu kami memanggilnya?”.

Qutaibah semakin yakin menjawab: “Tidak, biarkan dia. Demi Allah, jari-jari itu lebih saya sayangi daripada seribu pedang yangi dihunus oleh seribu pemuda. Biarkan dia. Saya tahu doanya akan diperkenankan.

* * *

Akhirnya tentera-tentera Islam menggempur tentera-tentera musuh seperti singa yang ganas. Kedua-dua pihak bertembung jmpama ombak laut yang bergulungan di tengah ribut taufan.

Allah menurunkan ketenangan di hati tentera Islam dan melimpahkan semangat baru ke dalam hati mereka. Mereka menggempur musuh mereka sepanjang hari. Apabila malam menjelang, pertahanan musuh mula goyah dan hati mereka diselimuti ketakutan. Akhirnya mereka bertempiaran lari dan tentera Islam mengambil peluang ini untuk membunuh, menawan dan mengusir mereka.

Melihat kekalahan ini, angkatan musuh meminta perdamaian dan bersedia membayar tebusan. Qutaibah pun menerima perdamaian ini.

* * *

Di antara musuh yang berjaya ditawan termasuklah seorang yang terkenal dengan kejahatannya. Dia memainkan peranan utama menghasut kaumnya melawan tentera Islam. Orang ini berkata kepada Qutaibah bin Muslim: “Saya akan membayar penebus saya, wahai panglima.”

“Berapakah kamu akan bayar?!”

Musuh ini berkata: “Lima ribu sutera China yang berharga beribu-ribu.” Qutaibah memandang ketua-ketua tentera dan bertanya: “Apakah pandangan kamu semua?”

Mereka menjawab: “Pada pandangan kami, wang ini akan menambah perolehan tentera Islam. Apatah lagi selepas kemenangan ini kita tidak perlu lagi bimbang dengan angkara orang ini atau orang-orang sepertinya.”

Qutaibah melihat Muhammad bin Wasi’ al-Azdi dan bertanya: “Apa pula pandangan engkau, wahai Abu Abdullah?”

Muhammad menjawab: “Wahai panglima, tentera Islam keluar daripada tanah air mereka bukan untuk memperolehi harta atau mengumpulkan harta. Mereka keluar untuk mencari keredaan Allah, menyebarkan agama-Nya di mukabumi dan menghapuskan musuh- Nya.”

Qutaibah melepaskan nafasnya tanda setuju dengan pandangan Muhammad lalu berkata: “Moga Allah memberikan ganjaran kepadamu. Demi Allah, saya tidak akan membenarkan orang ini menakut-nakutkan wanita Islam selepas ini, walaupun dia cuba menebus dirinya dengan seluruh dunia ini.” Qutaibah pun mengarahkan supaya musuh tadi dibunuh.

* * *

Hubungan Muhammad bin Wasi’ al-Azdi dengan pemerintah Bani Umayyah tidak terbatas dengan Yazid bin al-Muhallab dan Qutaibah bin Muslim al-Bahili sahaja. Beliau turut mempunyai hubungan dengan pemerintah-pemerintah yang lain.

Salah seorang pemerintah Bani Umayyah yang mempunyai hubungan rapat dengannya ialah Gabenor Basrah iaitu Bilal bin Abu Burdah. Kisah beliau bersama gabenor ini menjadi perbualan dan diriwayatkan dari generasi ke generasi.

Suatu hari, Bilal terserempak dengan beliau yang memakai sehelai jubah diperbuat daripada bulu yang kasar. Bilal bertanya: “Mengapa kamu memakai baju yang kasar ini, wahai Abu Abdullah?!” Namun Beliau tidak mengendahkan kata-kata Bilal tadi…

“Mengapa kamu tidak menjawab, wahai Abu Abdullah,” tanya Bilal lagi.

“Saya tidak mahu menjawab saya zuhud, kerana itu bermakna saya memuji diri sendiri. Saya tidak mahu berkata saya miskin, kerana itu bermakna saya menempelak Tuhan saya. Jadi saya tidak mahu menyebut kedua-duanya.”

Bilal berkata: “Apakah kamu ada apa-apa permintaan yang boleh saya tunaikan, wahai Abu Abdullah? Beliau menjawab: Tidak ada apa-apa yang perlu saya minta daripada manusia. Cuma saya ada satu permintaan daripada seorang saudara seIslam. Jika Allah mengizinkan engkau menunaikannya, engkau akan menunaikannya dan engkau akan dipuji. Jika Allah tidak mengizinkan engkau menunaikannya, engkau tidak akan dapat menunaikannya dan engkau akan dimaafkan.” Bilal berkata: “Saya akan menunaikannya dengan izin Allah.”

Bilal meneruskan kata-katanya: “Apakah pandangan engkau tentang qada’ dan qadar, wahai Abu Abdullah?”

“Wahai gabenor, pada hari kiamat nanti Allah tidak akan bertanya hamba-hamba-Nya tentang qada’ dan qadar. Sebaliknya Allah akan bertanya tentang amalan mereka.”

* * *

Bilal merasa malu mendengar jawapan itu dan terdiam. Dalam masa mereka duduk bersama itu, tiba waktu makan tengahari. Bilal mempelawa beliau untuk turut sama menjamu selera. Namun beliau menolaknya. Apabila didesak, beliau memberi berbagai alasan. Bilal merasa marah dengan sikap itu lalu berkata: “Saya lihat engkau tidak suka menyentuh makanan kami, wahai Abu Abdullah!!”

Sambil tersenyum beliau menjawab: “Wahai gabenor, jangan berkata demikian. Demi Allah, gabenor yang baik di kalangan kamu lebih saya kasihi daripada anak-anak dan saudara mara saya sendiri.”

* * *

Muhammad bin Wasi’ al-Azdi pernah beberapa kali ditawar unluk menjawat jawatan hakim. Namun beliau menolak sekeras-kerasnya tawaran tersebut. Penolakan ini menyebabkan beliau terpaksa menerima pelbagai dugaan.

Suatu ketika, Muhammad bin al-Munzir Ketua Polis Basrah memanggilnya. Setelah Muhammad duduk di hadapannya beliau berkata: “Gabenor Iraq meminta saya menawarkan engkau jawatan hakim.”

Muhammad bin Wasi’ dengan lembut menjawab: “Jauhkan saya daripada tawaran itu, moga Allah memberi rahmat kepadamu.”

Muhammad bin al-Munzir menawarkannya buat kali kedua dan ketiga. Namun beliau tetap menolaknya. Akhirnya, Ketua Polis tersebut berkeras: “Demi Allah, engkau mesti memegang jawatan hakim ini atau saya akan sebat engkau 300 kali dan saya akan malukan engkau di khalayak ramai.”

Muhammad bin Wasi’ membalas: “Terserahlah kerana engkau orang yang berkuasa. Namun terseksa di dunia lebih baik daripada terseksa di akhirat.”

Ketua Polis merasa malu mendengar jawapan itu dan membebaskan beliau pergi dengan selamat.

* * *

Majlis ilmu Muhammad bin Wasi’ di Masjid Basrah sering mendapat tumpuan para penuntut ilmu. Malah majlis ilmunya menjadi khazanah buat mereka yang inginkan hikmah dan bimbingan.

Suatu ketika, salah seorang anak muridnya berkata: Wahai Abu Abdullah, berilah saya nasihat.” Beliau membalas: “Saya nasihatkan engkau supaya menjadi raja di dunia dan di akhirat.”

Jawapan ini amat memeranjatkan anak muridnya itu lalu bertanya: “Bagaimana saya boleh melakukannya, wahai Abu Abdullah?!”

“Zuhudlah dengan kesenangan dunia nescaya engkau akan menjadi raja di sini tanpa perlu mengharapkan ehsan manusia. Engkau juga akan menjadi raja di sana apabila engkau memperolehi ganjaran daripada Allah.” jawab beliau.

Seorang lagi anak muridnya berkata: “Demi Allah saya amat mengasihimu, Abu Abdullah.” Beliau membalas: “Moga Allah yang menyebabkan kamu mengasihi saya akan juga mengasihimu.”

Beliau kemudian beredar sambil berdoa “Ya Allah, saya mohon semoga Engkau jauhkan saya daripada dikasihi oleh manusia sedangkan Engkau memurkai saya.”

Setiap kali beliau mendengar pujian manusia tentang ketakwaan dan ibadatnya, beliau akan berkata: Jika dosa-dosa itu mengeluarkan bau yang busuk, sudah tentu kamu tidak akan mendekati saya kerana bau busuk saya.

* * *

Muhammad bin Wasi’ tidak pernah lupa untuk membimbing anak muridnya supaya sentiasa berpegang dengan Kitab Allah Azza wa Jalla disamping hidup di bawah naungan al- Quran.

Beliau pernah berkata: “Al-Quran ibarat sebuah taman bagi seorang mukmin. Di mana saja beliau duduk, beliau akan dikelilingi oleh taman yang indah.”

Muhammad bin Wasi’ turut membimbing mereka supaya mengurangkan makan. Beliau pernah berkata: “Orang yang mengurangkan makan akan mudah faham dan mudah memahamkan. Dia juga akan berjiwa lembut dan murni. Makan banyak akan menyebabkan dia tidak banyak dapat melakukan apa yang dikehendakinya.”

* * *

Muhammad bin Wasi’ adalah seorang yang sangat bertakwa dan warak. Banyak kisah yang menceritakan sifat takwa dan waraknya ini.

Suatu ketika, beliau berada di sebuah pasar menawarkan keldainya untuk dijual. Lalu seorang pembeli bertanya: “Apakah keldai ini bagus untuk saya, wahai sheikh?” Beliau membalas: “Jika keldai ini bagus sudah tentu saya tidak akan menjualnya.”

* * *

Sepanjang hayatnya, beliau tidak pernah merasa senang dengan dosa-dosanya. Beliau sentiasa mengharapkan ehsan di hari dihadapkan ke muka Allah nanti.

Apabila beliau ditanya: “Bagaimana keadaanmu pagi ini, wahai Abu Abdullah?” Beliau menjawab dengan wajah yang sedih: “Pagi ini saya merasa ajal saya semakin tiba. Namun impian saya semakin jauh dan amalan saya tidak seberapa.”

Apabila melihat, orang yang bertanya tadi terpinga-pinga dengan jawapannya, beliau berkata: “Bagaimana rasanya seorang yang berjalan setiap hari menuju ke akhirat.”

* * *

Apabila Muhammad bin Wasi’ al-Azdi sakit tenat, orang ramai berduyun-duyun mengunjunginya hingga rumahnya sesak dengan orang yang datang dan pergi.

Suatu ketika, beliau mengiringkan tubuhnya menghadap ke arah seorang sahabatnya. Beliau berkata: “Beritahu saya apakah yang akan mereka ini perolehi daripada saya esok ketika kepala dan kaki saya diheret? Apakah yang akan mereka perolehi daripada saya ketika saya dihumban ke dalam neraka?”

Lalu beliau menghadapkan wajahnya kepada Allah dan berdoa:

“Ya Allah, saya memohon keampunan-Mu daripada segala tempat tidak baik yang pernah saya berdiri, daripada segala tempat tidak baik yang pernah saya duduk, daripada segala tempat tidak baik yang pernah saya masuk, daripada segala tempat tidak baik yang pernah saya keluar, daripada segala amalan buruk yang pernah saya lakukan dan daripada segala kata-kata tidak baik yang pernah saya lafazkan.”

“Ya Allah, saya mohon moga Engkau mengampuni segala kesalahan saya itu. Ampunilah saya, ya Allah. Saya pasrah kepada-Mu dan saya akan kembali menemui-Mu. Saya datang menemui-Mu dengan sejahtera sebelum saya dihukum.”

Lalu beliau pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

  1. Kota Marwa al-Rauz, salah sebuah kota kerajaan Parsi. Di sini al-Muhallab bin Abu Sufrah terkorban.
  2. Kota di Uzbekistan. Terletak di pertengahan antara Parsi, Rusia, India dan China
  3. Salah sebuah kota di Negeri Sebalik Sungai.