Muhammad Bin Sirin
Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien
“Saya belum pernah melihat seorang yang berilmu di sebalik kewarakannya dan seorang yang warak di sebalik ilmunya setanding Muhammad bin Sirin.”
[Muriq al-’Ijli]
Kini Sirin berhasrat untuk melengkapkan ilmu agamanya. Beliau telah dimerdekakan oleh Anas bin Malik r.a..1 Kemahiran tangannya berjaya memberi pulangan yang menguntungkan kepadanya. Beliau adalah seorang tukang yang mahir membuat periuk tembaga.
Sirin memilih hamba Amirul Mukminin, Abu Bakar al-Siddiq r.a. bernama Sofiah, sebagai isterinya.
* * *
Sofiah seorang gadis yang masih muda. Memiliki paras rupa yang menawan dan jiwa yang bersih. Akhlaknya terpuji, berperwatakan baik dan dikasihi oleh kaum wanita Madinah yang mengenalinya. Sukar dipisahkan antara sifat-sifat seorang gadis remaja dan sifat-sifat seorang wanita yang matang dan berperibadi ampuh padanya.
Sofiah juga merupakan orang yang paling dikasihi oleh para isteri Rasulullah s.a.w. terutama oleh Aisyah r.a.
* * *
Sirin datang menemui Amirul Mukminin dan menyatakan keinginan untuk meminang hamba Amirul Mukminin, Sofiah. Lantas Abu Bakar al-Siddiq pun cuba menyelidik latar belakang agama dan akhlak lelaki yang meminang hambanya ini. Tidak ubah seperti seorang bapa penyayang yang cuba menyelidik orang yang ingin meminang anak perempuannya.
Tindakan Abu Bakar ini tidak menghairankan. Sofiah, bagi Abu Bakar tidak ubah seperti anaknya sendiri. Malahan Sofiah umpama suatu amanah yang diberikan oleh Allah untuk dipeliharanya.
Abu Bakar al-Siddiq pun cuba menyelidik latar belakang Sirin sedalam-dalamnya. Malahan baginda menyelidik secara mendalam seluruh kehidupan Sirin. Orang pertama yang disoal ialah Anas bin Malik r.a.
Anas berkata: “Kahwinkanlah Sofiah dengannya, wahai Amirul Mukminin. Janganlah engkau bimbang. Sepanjang pengetahuan saya, dia adalah seorang yang mempunyai pegangan agama, akhlaknya baik dan berkeperibadian tinggi. Hubungannya dengan saya begitu rapat semenjak dia ditawan oleh Khalid bin al-Walid dalam peperangan Ain al-Tamr2 bersama-sama dengan empat kanak-kanak yang lain. Semua mereka telah dibawa ke Madinah. Sirin menjadi hak saya dan saya bertuah memilikinya.”
* * *
Akhirnya Abu Bakar al-Siddiq bersetuju untuk mengahwinkan Sofiah dengan Sirin. Sirin berjanji untuk memberikan layanan yang baik kepada Sofiah sebagaimana layanan yang diterima daripada seorang bapa yang menyayangi anak perempuannya yang tesayang. Untuk majlis perkahwinannya, Sirin mengadakan majlis yang tiada tandingannya di Madinah ketika itu.
Majlis perkahwinannya dihadiri beberapa orang sahabat besar termasuk 18 orang pejuang Badar3. Majlis ini diserikan dengan doa oleh seorang penulis wahyu Rasulullah s.a.w. iaitu Ubai bin Kaab. Doanya diaminkan oleh semua yang hadir.
Sofiah pula didandan oleh tiga orang Ummu Mukminin sebelum diiring untuk bersama dengan suaminya. Hasil perkongsian yang peuh keberkatan ini mereka dianugerahkan seorang anak yang akan muncul selepas beberapa dekad nanti sebagai seorang tokoh tabiin. Seorang tokoh Islam yang ulung, Muhammad bin Sirin.
Marilah kita sama-sama menyelusuri riwayat hidup tokoh tabiin yang agung ini sedari awal.
* * *
Muhammad bin Sirin dilahirkan pada dua tahun terakhir pemerintahan Amirul Mukminin, Uthman bin Affan r.a.. Beliau dibesarkan di dalam rumah yang dipenuhi suasana ketakwaan dan kewarakan.
Ketika dewasa beliau agak bertuah kerana masjid Rasulullah s.a.w. ketika itu masih dikunjungi para sahabat agung yang masih hidup seperti Zaid bin Thabit, Anas bin Malik, Umran bin al-Husoin, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin al-Zubair dan Abu Hurairah. Muhammad bin Sirin mengambil kesempatan ini untuk mencedok ilmu mereka. Ibarat orang yang kehausan sebaik memperolehi air yang segar.
Bersumberkan ilmu dan kefahaman para sahabat ini, Muhammad mampu mendalami Kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. sehingga dirinya kini sarat membawa ilmu pengetahuan serta petunjuk.
Tidak berapa lama kemudian, seluruh isi keluarga ini berpindah ke Basrah dan menetap di sana.
* * *
Basrah ketika itu merupakan sebuah kota yang masih baru. Umat Islam berjaya menawan bandar ini ketika akhir pemerintahan Umar al-Faruq r.a.. Kota ini menggabungkan segala nilai yang ada pada umat Islam di zaman itu.
Kota ini menjadi markas ketenteraan bagi tentera-tentera Islam yang berperang di jalan Allah. Kota ini juga menjadi pusat pendidikan dan bimbingan bagi penduduk Iraq dan Parsi yang baru memeluk Islam.
Ia juga menjadi contoh kepada sebuah masyarakat Islam yang berusaha keras bekerja untuk keperluan dunia mereka seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya dan mereka bekerja untuk akhirat seolah-olah mereka akan mati besok harinya.
* * *
Muhammad bin Sirin mengharungi kehidupan barunya di Basrah dengan dua pendekatan yang seiring dan seimbang. Sebahagian masanya dihabisknn untuk ilmu dan beribadat dan sebahagian lagi diperuntukkan untuk mencari rezeki dan berniaga.
Sebaik fajar menyingsing dan dunia mula disinari cahaya mentari, beliau akan berkunjungke masjid Basrah untuk mengajar dan belajar. Apabila mentari mula meninggi beliau akan meninggalkan masjid menuju ke pasar untuk berjual beli.
Apabila malam berlabuh menutup tirai malam, beliau berdiri di mihrab rumahnya. Membelek lembaran-lembaran al-Quran dan menitiskan air mata kerana terlalu takut akan keagungan Al-Rahman. Kaum keluarga dan jiran terdekatnya sentiasa merasa simpati mendengar rintihannya yang sungguh menyayat hati.
* * *
Walaupun sibuk berniaga di pasar, Muhammad bin Sirin tidak pernah lupa mengingatkan manusia tentang akhirat dan menyedarkan mereka tentang nilai dunia.
Muhammad bin Sirin sentiasa mengambil peluang untuk membimbing mereka. Agar mereka melaksanakan amalan yang oleh mendekatkan mereka dengan Allah. Bukan itu sahaja, malah beliau turut sama membantu menyelesaikan segala perselisihan yang berlaku sesama mereka.
Ada kalanya beliau bergurau senda dengan mereka sekadar untuk menghilangkan tekanan jiwa mereka. Namun gurauannya masih tidak mencemar kewibawaannya.
Allah telah menganugerahkan Muhammad bin Sirin kemampuan memimpin dan kewibawaan yang tinggi. Allah juga mengurniakan kepadanya daya tarikan dan pengaruh. Melihat sahaja Muhammad bin Sirin, mereka yang berada di pasar yang sedang leka dan lalai akan kembali sedar. Mereka akan kembali mengingati Allah, bertahlil dan bertakbir.
* * *
Perjalanan hidup Muhammad bin Sirin menjadi contoh yang terbaik untuk manusia. Setiap peluang yang terhidang dalam perniagaannya akan hanya diterima jika bertepatan dengan agamanya. Walaupun itu bermakna beliau terpaksa mengalami kerugian.
* * *
Oleh kerana memiliki kefahaman yang begitu mendalam dalam soal agama dan pengetahuan yang begitu tinggi dalam soal halal dan haram, ada kalanya tindakannya dianggap pelik oleh orang ramai.
Sebagai contoh, suatu ketika seorang lelaki memfitnah Muhammad bin Sirin dengan mendakwa Muhammad telah mengambil dua dirham miliknya. Walau bagaimanapun, Muhammad bin Sirin enggan menyerahkan wang tersebut.
Lantas lelaki itu berkata: “Mahukah engkau bersumpah?” Orang itu menyangka Muhammad bin Sirin tidak akan bersumpah semata-mata untuk mempertahankan dua dirham ini:
Namun Muhammad bin Sirin menjawab: “Ya,” dan beliau pun bersumpah. Orang ramai pun berkata kepadanya: “Wahai Abu Bakar, apakah engkau perlu bersumpah semata- mata kerana dua dirham ini. Sedangkan, semalam engkau ketepikan sahaja 40 ribu dirham hanya kerana engkau meraguinya walaupun bagi orang lain ia bukan suatu yang diragui.”
Muhammad bin Sirin menjawab: “Ya, saya bersumpah kerana saya tidak akan membenarkan dia makan sesuatu yang haram. Sedangkan saya tahu perkara itu haram.”
* * *
Menghadiri sesuatu majlis bersama Ibnu Sirin dapat memberikan banyak manfaat dan nasihat yang berguna. Apabila ada yang menyebut keburukan seseorang, beliau akan segera menyebut kebaikan orang itu menurut pengetahuannya.
Suatu ketika, beliau mendengar seorang mencerca al-Hajjaj4 yang ketika itu sudah pun meninggal dunia. Lalu beliau memandang orang tersebut sambil berkata:
“Wahai anakku, al-Hajjaj telahpun menemui Tuhannya. Apabila engkau bertemu dengan Allah Taala nanti, engkau akan rasakan bahawa dosa paling kecil yang telah engkau lakukan di dunia ini sudah cukup berat untuk jiwamu menanggungnya daripada dosa yang paling besar pernah dilakukan oleh al-Hajjaj. Ketika itu, kamu berdua akan sibuk dengan diri masing-masing.”
“Sedarlah wahai anakku, Allah akan menghukum setiap kezaliman yang dilakukan oleh al-Hajjaj dan Allah juga akan menghukum setiap orang yang menzalimi al-Hajjaj. Oleh itu, selepas ini janganlah engkau sibuk untuk mencerca orang lain.”
Apabila beliau menemui seseorang yang sudah bersiap sedia untuk bermusafir kerana tujuan perniagaan, beliau akan berkata: “Wahai anakku, takutilah Allah Azza wa Jalla. Carilah rezeki yang ditetapkan untuk kamu dengan cara yang halal. Ketahuilah, jika engkau mencari dengan cara yang tidak halal sekalipun, engkau tidak akan menerima lebih daripada apa yang telah ditetapkan untukmu.”
* * *
Muhammad bin Sirin juga melalui beberapa pengalaman yang menarik bersama para pemerintah Bani Umayyah dalam usaha menegakkan kebenaran. Beliau memberikan mereka nasihat semata-mata kerana Allah, utusan Allah dan umat Islam.
Sebagai contoh, suatu ketika Umar bin Hubairah al-Fazari salah seorang pembesar Bani Umayyah dan pemerintah di Iraq telah menjemput Muhammad bin Sirin menziarahinya. Lalu beliau bersama anak saudaranya pun berangkat pergi.
Sebaik sahaja sampai, beliau disambut dengan baik dan dengan penuh penghormatan. Umar bin Hubairah bertanyanya pelbagai soalan berkenaan agama mahupun dunia.
Umar menegakkan badannya dan bertanya: “Bagaimana keadaan penduduk Basrah ketika engkau tinggalkan mereka wahai Abu Bakar?”
Ketika saya meninggalkan mereka, kezaliman sedang bermaharajalela dan engkau tidak mengambil berat tentang mereka,” jawab Muhammad dengan nada yang berani. Lantas anak saudaranya mencuit. Beliau menoleh kepada anak saudaranya sambil berkata: “Bukan engkau yang ditanya, saya yang ditanya dan ini adalah suatu penyaksian.”
“Sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya.” [Al-Baqarah: 283]
Apabila mereka bersurai, Umar bin Hubairah memberikan ucapan selamat jalan sama seperti ucapan yang diberikan ketika menyambut kedatangannya tadi. Umar menghadiahkannya seuncang wang berisi tiga ribu dinar tetapi beliau enggan menerimanya.
Dengan penuh kehairanan anak saudaranya bertanya: “Apakah yang menghalang engkau menerima pemberian gabenor tadi.”
“Dia memberikannya kepada saya kerana sangkaannya yang baik terhadap saya. Jika saya benar-benar orang yang baik sebagaimana yang disangkanya bermakna saya tidak sepatutnya mengambilnya. Jika saya tidak sebagaimana yang disangkanya adalah lebih baik untuk saya tidak menerimanya,” jawab Muhammad sambil berlalu dari istana gabenor.
* * *
Dengan kehendak-Nya, Allah mahu menguji keikhlasan dan kesabaran Muhammad bin Sirin. Oleh itu Allah memberikan pelbagai ujian kepadanya seperti mana orang-orang beriman yang lain.
Suatu ketika, beliau membeli minyak dengan harga 40 ribu secara beransur. Apabila salah satu uncang5 minyak ini dibuka, beliau mendapati ada bangkai tikus di dalamnya.
Muhammad berkata sendirian: “Minyak ini semuanya diproses di tempat yang sama. Sudah tentu bangkai ini bukan sahaja terkena uncang ini sahaja. Jika saya pulangkan semula minyak ini kepada penjual mungkin dia akan menjualkannya kepada orang lain.”
Lalu beliau pun membuang minyak tersebut.
Secara kebetulan, kejadian ini berlaku ketika beliau sedang mengalami kerugian yang besar. Akibatnya beliau terpaksa berhutang. Apabila penjual minyak menuntut hutangnya, beliau tidak mampu membayar.
Kejadian ini kemudiannya diadukan kepada pemerintah. Pemerintah mengarahkan beliau dipenjara sehingga beliau membayar hutangnya. Setelah sekian lama berada di dalam penjara, pengawal penjara merasa kasihan. Apatah lagi setelah mengetahui mengenai kisah hutangnya dan mengenali tentang kewarakan dan ketekunannya dalam ibadat.
Pengawal penjara mengosok belakang Muhammad lalu berkata: “Wahai sheikh, apabila malam pergilah tuan kepada keluarga tuan. Tidurlah bersama mereka. Apabila pagi kembalilah ke sini. Lakukan sedemikian sehingga tuan dibebaskan.”
“Tidak, demi Allah,” geleng Muhammad tanda tidak setuju. Berkerut dahi pengawal tersebut kehairanan: “Kenapa pula?”
“Saya tidak mahu membantu engkau mengkhianati pemerintah,” balas Muhammad sinis.
* * *
Sebelum Anas bin Malik r.a. sakit tenat, beliau telah berpesan agar Muhammad bin
Sirin memandikan dan memimpin sembahyang jenazahnya. Walaupun ketika itu Muhammad bin Sirin masih di dalam penjara.
Apabila Anas bin Malik r.a. meninggal dunia, orang ramai iatang menemui pemerintah dan memberitahu mengenai pesanan sahabat dan pelayan Rasulullah s.a.w.. Mereka meminta izin supaya Muhammad bin Sirin dibenarkan untuk melaksanakan pesanan tersebut. Lalu pemerintah pun mengizinkannya.
Walau bagaimanapun Muhammad bin Sirin berkata kepada nereka: “Saya tidak akan keluar kecuali jika dibenarkan oleh penghutang kerana saya dipenjara disebabkan oleh haknya.”
Penghutang itu pun memberikan keizinannya. Setelah itu barulah beliau keluar dari penjara. Lantas beliau pergi memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkan Anas bin Malik r.a.. Apabila selesai tugasnya, beliau terus pulang semula ke penjara tanpa terlebih dahulu menemui kaum keluarganya.
* * *
Muhammad bin Sirin hidup hingga mencecah 77 tahun. Ketika ajalnya tiba, harta yang dimilikinya amat sedikit. Namun bekalannya melimpah ruah untuk kehidupan selepas mati.
Hafsah binti Rashid, seorang ahli ibadat pernah menceritakan:
“Kami berjiran dengan Marwan al-Mahmali, seorang yang tekun beribadat dan gigih mentaati Allah. Apabila dia meninggal dunia kami merasa amat sedih.”
“Suatu ketika saya bermimpi menemuinya. Saya bertanya: “Wahai Abu Abdullah, bagaimanakah layanan Tuhanmu padamu?’ Dia menjawab: ‘Allah membawa saya masuk ke syurga.’ Saya bertanya lagi: ‘Apakah seterusnya?’ Dia menjawab: ‘Saya mudiannya di bawa ke ashabul yamin?’. Saya bertanya lagi: ‘Apakah seterusnya?’ Dia menjawab: ‘Saya kemudiannya dibawa muqarabin?’ Saya bertanya: ‘Siapakah yang ada di sana?’ Dia mjawab:
‘Al-Hasan al-Basri, Muhammad bin Sirin..’.
- Sila lihat buku, Suwar Min Hayat al-Sahabah,karangan penulis, penerbit Dar al-Adab al-Islami.
- Wilayah dibarat Kufah. Ditakluk oleh Khalid bin al-Walid dizaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.
- Mereka turut sama dalam peperangan Badar bersama Rasulullah s.a.w.
- Al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi, pemerintah Bani Umayyah yang amat bengis. Para ahli sejarah sering menyebut tentang kekejaman dan kezalimannya.
- Uncang ini diperbuat daripada kulit biasa digunakan untuk menyimpan air atau sebagainya.