Muhammad Bin Al-Hanafiyyah

Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien

Muhammad Bin Ali Bin Abu Talib

“Sepanjang pengetahuan saya, tidak ada orang lain yang begitu banyak menerima (ilmu) daripada Ali seperti Muhammad bin al-Hanafiyyah.” [Ibnu al-Junaid]

Suatu ketika, berlaku perselisihan faham antara Muhammad bin al-Hanafiyyah dengan saudaranya, al-Hasan bin Ali, lalu Muhammad menghantar sepucuk surat kepada al- Hasan dengan menyebut:

Allah telah memberikan engkau kelebihan berbanding saya. Ibumu ialah Fatimah binti Muhammad bin Abdullah s.a.w. sedangkan ibu saya hanyalah seorang wanita Bani Hanifah. Datuk sebelah ibumu adalah Rasulullah s.a.w. ciptaan-Nya yang terpilih sedangkan datuk sebelah ibu saya hanyalah Jaafar bin Qais.

Apabila surat ini sampai kepadamu, silalah datang ke sini untuk kita berdamai. Semoga engkau tetap melebihi saya dalam segala perkara.

Apabila surat ini sampai, al-Hasan terus ke rumahnya untuk berdamai.

Siapakah Muhammad bin al-Hanafiyyah ini yang dikenali sebagai seorang yang pintar dan berakhlak mulia? Marilah kita hayati kisah hidupnya sedari awal.

* * *

Kisah ini bermula pada akhir hayat Rasulullah s.a.w. Suatu hari, ketika duduk bersama Rasulullah s.a.w., Ali bin Abu Talib berkata: “Wahai Rasulullah, jika saya dikurniakan seorang cahaya mata selepas kewafatanmu nanti, bolehkah saya namakan dia dengan namamu dan saya panggilnya denngan panggilanmu?” Baginda menjawab: “Boleh.”

Setelah masa berlalu, Rasulullah s.a.w. pun dijemput oleh Allah ke sisi-Nya dan beberapa bulan kemudian diikuti pula oleh buah hati baginda, Fatimah al-Batul1, ibu kepada al-Hasan dan al-Husin

Setelah kematian Fatimah, Ali menjalin ikatan dengan Bani Hanifah apabila dia mengahwini Khaulah binti Jaafar bin Qais al-Hanafiyyah. Isterinya yang baru ini kemudiannya melahirkan seorang anak lelaki. Anak ini diberi nama, Muhammad dan dipanggil dengan Abu al-Qasim setelah mendapat keizinan Rasulullah s.a.w.

Walau bagaimanapun, orang ramai lebih gemar memanggilnya, Muhammad bin al- Hanafiyyah bagi membezakannya dengan dua lagi saudaranya, al-Hasan dan al-Husain anak- anak Fatimah al-Zahra’. Akhirnya beliau lebih terkenal dalam sejarah dengan nama ini.

* * *

Muhammad bin al-Hanafiyyah dilahirkan di akhir zaman pemerintahan khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a. Beliau membesar dan terdidik di bawah asuhan ayahnya, Ali bin Abu Talib. Malah beliau mendapat segala pendedahan daripada ayahnya sendiri. Melalui ayahnya, beliau dididik dengan ibadat dan zuhud. Beliau juga mewarisi ketabahan dan keberanian ayahnya. Malah kepetahan ayahnya juga turut dimilikinya.

Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika Muhammad bin al-Hanafiyyah terkenal sebagai pahlawan di tengah medan peperangan dan seorang pemidato hebat di khalayak ramai.

Namun wataknya berubah menjadi seorang rahib apabila malam berlabuh dan setelah manusia memejamkan mata.

* * *

Dalam setiap peperangan, ayahnya pasti akan membawanya bersama. Walaupun ayahnya membabitkannya dalam segala kancah peperangan, berbeza dengan abang-abangnya al-Hasan dan al-Husain, namun beliau tidak pernah tewas dengan segala ancaman yang mendatang malah semangatnya tidak pernah luntur.

Suatu ketika beliau ditanya: “Mengapa ayahmu mengheret engkau ke dalam bahaya dan kesusahan tidak seperti abang-abangmu al-Hasan dan al-Husain?”

“Sebabnya kedua-dua abang saya ini ibarat matanya dan saya ibarat tangannya. Jadi ayah saya mahu menjaga matanya dengan tangannya ini.” jawab Muhammad.

* * *

Dalam peperangan Siffin (peperangan antara Ali bin Abu Talib ra. dan Muawiyah bin Abu Sufyan r.a.) Muhammad bin al-Hanafiyyah merupakan orang yang bertanggung jawab mengibar panji ayahnya. Ketika peperangan sedang hebat berlaku, dengan kedua-dua pihak saling berbalas serangan, suatu kisah yang menarik berlaku. Kisah ini diceritakannya sendiri:

“Saya turut serta dalam peperangan Siffin dan kami telah bertempur menentang pengikut Muawiyah. Kami saling bunuh-membunuh hingga akhirnya saya merasakan tidak seorang pun yang bakal hidup. Keadaan ini membimbangkan saya dan saya merasa khuatir.

Dalam ketika itu, terdengar suara dari arah belakang: “Wahai umat Islam! Allah! Allah! Wahai umat Islam!” “Siapakah yang akan membela nasib isteri dan anak-anak?” “Siapakah yang akan membela nasib agama dan maruah?” “Siapakah yang akan berhadapan dengan Rom dan Dailam2?” “Wahai umat Islam! Allah!”

“Peliharalah kewujudanmu, wahai umat Islam!”

“Semenjak hari itu saya berjanji dengan diri sendiri tidak akan menghayunkan pedang sesama Islam.”

* * *

Tidak berapa lama kemudian, Ali bin Abu Talib terkorban syahid di tangan seorang pengkhianat3. Takhta khalifah Islam pun diserahkan kepada Muawiyah bin Abu Sufyan. Muhammad bin al-Hanafiyyah memberikan sumpah setianya kepada Muawiyah semata-mata untuk mengembalikan keamanan dan perpaduan umat Islam.

Muawiyah r.a. dapat merasakan kejujurannya. Baginda memberikan keyakinan sepenuhnya kepada Muhammad bin al-Hanafiyyah. Malah Muhammad sering kali dijemput ke Damsyik untuk pelbagai tujuan.

* * *

Salah satu sebab beliau dijemput ke Damsyik, apabila Maharaja Rom menulis sepucuk surat kepada Muawiyah, surat ini menyebut:

“Raja-raja kami selalunya akan membuat hubungan dengan raja-raja lain. Sebagai hiburan, mereka akan saling bertukar-tukar perkara-perkara yang aneh yang ada pada mereka. Mereka akan bersaing untuk memperlihatkan keajaiban yang dimiliki oleh mereka. Apakah boleh dengan izin engkau, kita lakukan perkara yang sama.”

Muawiyah membalas surat tadi dengan menyatakan persetujuannya. Sebaik mendapat persetujuan Muawiyah, Maharaja Rom mengutus dua orang lelaki yang amat hebat.

Seorang bertubuh tinggi lampai ibarat pohon yang menjulang tinggi atau ibarat bangunan yang melangit. Seorang lagi gagah perkasa, bertubuh sasa ibarat sang singa. Kedua-dua orang ini membawa bersama sekeping surat yang menyebut:

“Apakah dalam kerajaan engkau ada orang yang setinggi dan sehandal ini?”

Muawiyah berkata kepada Amru bin al-As: “Bagi orang yang tinggi ini saya ada lawan yang sesuai. Malah lebih tinggi daripadanya iaitu Qais bin Saad bin Ubadah. Cuma bagi orang yang handal ini saya perlukan pandangan engkau.”

Amru menjawab: “Ada dua orang lelaki, cuma kedua-duanya tidak akrab dengan engkau iaitu Muhammad bin al-Hanafiyyah dan Abdullah bin al-Zubair.”

Muawiyah berkata: “Muhammad bin al-Hanafiyyah masih rapat dengan saya.” Amru berkata: “Apakah dengan kedudukannya itu dia akan bersetuju untuk berlawan dengan orang Rom ini di hadapan orang ramai?”

“Malah dia akan lakukan yang lebih daripada itu jika ia membawa kepada kegemilangan Islam,” Muawiyah membalas.

* * *

Muawiyah pun menjemput Qais bin Saad dan Muhammad bin al-Hanafiyyah. Apabila majlis berlangsung, Qais bin Saad bangun dan menanggalkan seluarnya. Dia kemudiannya melemparkan seluarnya itu kepada orang Rom tadi dan menyuruh orang Rom itu memakainya. Apabila orang Rom itu memakainya, seluar itu menutup hingga ke paras dadanya menyebabkan semua orang tertawa.

Setelah itu, Muhammad bin al-Hanafiyyah pula berkata kepada penterjemah: “Katakan kepada orang Rom itu, dia boleh pilih sama ada untuk duduk dan saya berdiri sambil dia menghulurkan tangannya ataupun saya duduk dan dia berdiri. Jika dia mahu, dia boleh berdiri dan saya duduk.” Orang Rom yang gagah perkasa tadi memilih untuk duduk.

Muhammad bin al-Hanafiyyah memegang tangan orang Rom itu. Ternyata orang Rom yang gagah itu gagal mendudukkannya.

Akibat kekalahan itu, orang Rom tadi merasa tercabar. Kini dia memilih untuk berdiri dan Muhammad duduk. Muhammad pun memegang tangan orang Rom tadi. Dia menyentapnya hingga hampir-hampir tercabut lengannya dan orang Rom itu pun terpaksa duduk ke tanah.

Kedua-dua orang hebat Rom itu pun pulang menemui maharaja mereka dalam keadaan tewas.

* * *

Hari bersilih ganti dan Muawiyah digantikan pula oleh anaknya, Yazid kemudian Marwan bin al-Hakam yang kemudiannya turut kembali menemui Tuhannya hingga ketuanan Bani Umayyah berpindah kepada Abdul Malik bin Marwan. Dia mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah dan disokong oleh penduduk Sham.

Sementara itu, penduduk Hijaz dan Iraq melantik Abdullah bin al-Zubair sebagai khalifah. Akibatnya, kedua-dua pihak memanggil sesiapa sahaja untuk memberi taat setia kepada mereka. Masing-masing mendakwa mereka adalah orang yang paling layak menjawat jawatan khalifah. Dengan ini, sekali lagi perpaduan umat Islam berkocak.

Dalam ketika ini, Abdullah bin al-Zubair meminta agar Muhammad bin al- Hanafiyyah memberi taat setia kepadanya seperti mana yang dilakukan oleh penduduk Hijaz yang lain. Cuma Muhammad bin al-Hanafiyyah sedar dengan memberikan taat setia kepada seseorang, bererti beliau akan terikat dengan pelbagai tanggungjawab. Termasuklah menyokong orang itu dan menentang lawannya. Malangnya, lawannya itu adalah orang-orang Islam juga. Mereka hanya berlainan pendapat dan memberikan taat setia kepada orang lain.

Dengan akal yang masih waras ini, beliau tidak lupa pengalaman-nya di Siffin. Tahun-tahun yang berlalu ini tidak akan melenyapknn suara sedih yang kedengaran merayu- rayu dari arah belakangnya:

“Wahai umat Islam! Allah! Allah! Wahai umat Islam!” “Siapakah yang akan membela nasib isteri dan anak-anak?” “Siapakah yang akan membela nasib agama dan maruah?” “Siapakah yang akan berhadapan dengan Rom dan Dailam?”

Pengalaman itu tidak sedikitpun luput dalam ingatannya. Beliau berkata kepada Abdullah bin al-Zubair: “Saya tahu engkau sedar bahawa saya tidak ada sebarang kepentingan dalam soal ini. Saya hanyalah orang Islam biasa. Jika seluruh umat Islam menyokong engkau atau menyokong Abdul Malik saya akan berikan taat setia saya kepada orang yang disokong nanti. Namun sekarang saya tidak akan memberikan taat setia kepada engkau mahupun kepada dia.”

Mendengar jawapan itu, Abdullah mengubah caranya, sesekali beliau akan berlembut dan melayannya dengan baik. Sesekali beliau akan berkeras dan berkasar dengannya.

* * *

Namun demikian, sikap Muhammad bin al-Hanafiyyah ini akhirnya menarik perhatian ramai yang sependapat dengannya. Mereka melantik Muhammad sebagai pemimpin mereka. Bilangan mereka semakin bertambah dari sehari ke sehari hingga mencecah tujuh ribu orang. Semuanya mahu mengasingkan diri daripada perselisihan yang ada. Mereka enggan menjadikan diri mereka kayu yang memarakkan lagi api pertelingkahan ini.

Semakin bertambah pengikutnya semakin marah Abdullah bin al-Zubair kepadanya. Semakin juga beliau mendesak Muhammad untuk memberikan taat setia kepadanya. Setelah merasa putus asa untuk memujuk mereka, Abdullah bin al-Zubair mengarahkan supaya Muhammad dan pengikutnya yang terdiri daripada kalangan Bani Hashim ditahan di sebuah lembah di Mekah.

Abdullah berkata kepada mereka: “Demi Allah, sama ada kamu semua memberikan taat setia atau saya akan membakar kamu semua.” Mereka kemudian dikenakan tahanan rumah. Kayu-kayu dikumpulkan di sekeliling rumah itu hingga mencecah ke bumbung. Jika ketika itu dibakar walau sebatang kayu nescaya mereka semua akan mati terbakar.

Ketika itu, sebahagian pengikutnya berkata: “Biarkan kami membunuh Abdullah bin al-Zubair. Kami akan selamatkan semua orang daripada angkaranya.”

Muhammad pun menjawab: “Apakah kita sendiri akan menyemarakkan api sedangkan kerana itulah kita mengasingkan diri? Apakah kita akan membunuh seorang sahabat Rasulullah dan anak-anak sahabat baginda? Demi Allah, kita tidak akan melakukan sesuatu yang dimurkai Allah dan rasul-Nya.”

* * *

Apabila Abdul Malik bin Marwan mengetahui nasib yang menimpa Muhammad bin al-Hanafiyyah serta para pengikutnya akibat tindakan Abdullah bin al-Zubair, dia melihat ini adalah kesempatan untuk dia meraih sokongan mereka. Lalu Abdul Malik menghantar seorang utusan membawa sepucuk surat. Dengan bahasa yang sungguh lembut dia menulis:

“Saya menerima berita bahawa Abdullah bin al-Zubair telah menyeksa engkau dan pengikut engkau. Dia menahan engkau dan mengenepikan hak engkau. Di hadapan engkau kini ada negara Sham yang sentiasa terbuka mengalu-alukan kedatangan engkau. Datanglah ke sini dan tinggallah di mana-mana sahaja yang engkau kehendaki. Penduduk di sini akan menerima engkau dengan penuh senang hati dan mesra. Kami memahami hak-hak engkau dan kami akan sentiasa menghormati kedudukan engkau. Kami juga akan memberikan engkau kebebasan dengan izin Allah.”

* * *

Setelah menerima jemputan itu, Muhammad bin al-Hanafiyyah bersama-sama pengikutnya berangkat menuju ke Sham. Apabila tiba di Ablah4 mereka mengambil keputusan menetap di situ. Mereka disambut oleh penduduk di situ dengan baik. Mereka amat mengasihi dan menghormati Muhammad bin al-Hanafiyah kerana mereka dapat melihat bagaimana tekun ibadatnya. Beliau juga adalah seorang yang benar-benar zuhud.

Beliau turut mengajak mereka melakukan kebaikan dan mencegah mereka melakukan kemungkaran. Syiar-syiar Islam dilaksanakan dan suasana yang harmoni antara mereka dapat diwujudkan. Beliau tidak membiarkan sesiapa sahaja yang bertindak zalim.

Apabila berita mengenai Muhammad bin al-Hanafiyyah ini sampai ke pengetahuan Abdul Malik bin Marwan, dia merasa susah hati. Dia pun meminta pandangan para penasihatnya.

Mereka berkata: “Kami rasa engkau tidak sepatutnya membenarkan dia tinggal di dalam kawasan pemerintahanmu dan melakukan sebagaimana yang dilakukannya ini. Sama ada dia memberi taat setia kepadamu atau dia kembali ke tempat asalnya.”

Apabila mendengar cadangan itu, Abdul Malik menulis surat kepada Muhammad: “Engkau telah datang ke sini dan menetap di sebuah kawasan di hujung negara ini sedangkan kini saya sedang berperang dengan Abdullah bin al-Zubair. Engkau adalah seorang Islam yang mempunyai nama dan kedudukan. Oleh itu saya merasakan engkau tidak boleh menetap di dalam negara saya ini kecuali setelah engkau memberi taat setia kepada saya. Jika engkau memberikan taat setia, engkau akan diberikan 100 buah kapal yang tiba semalam dari Qalzam5. Ambillah kapal itu dengan segala isinya. Selain itu engkau juga akan diberikan satu juta dirham tidak termasuk apa yang engkau tetapkan untuk dirimu sendiri, anak-anakmu, saudara maramu, hamba-hambamu dan pengikut-pengikutmu. Namun jika engkau enggan, engkau hendaklah berpindah dari negara saya ini ke tempat yang tidak tertakluk di bawah kuasa saya.”

Walau bagaimanapun, Muhammad bin al-Hanafiyyah membalas dengan menjawab: “Daripada Muhammad bin Ali kepada Abdul Malik bin Marwan, salam sejahtera untukmu. Saya memanjatkan kepujian kepada Allah yang tiada Tuhan lain selain Dia. Barangkali engkau cuba menakut-nakutkan saya walaupun saya yakin engkau mengetahui sikap saya dalam masalah ini.”

“Demi Allah, jika diandaikan seluruh umat ini bersatu di bawah saya kecuali satu kampung sahaja yang enggan menerima saya, nescaya saya tidak akan memerangi mereka.”

“Sebelum ini, ketika saya berada di Mekah, Abdullah bin al-Zubair meminta saya memberi taat setia kepadanya. Apabila saya enggan, dia melayan saya dengan buruk sekali. Lalu engkau menulis kepada saya menjemput saya menetap di Sham. Lantas saya berangkat dan menetap di salah sebuah perkampungan di hujung negara ini. Semata-mata kerana harganya yang murah dan jauh dari pusat pemerintahan engkau.”

“Malangnya, setelah itu engkau tulis pula surat yang engkau utuskan itu. Dengan itu, kami akan tinggalkan tempat ini, dengan izin Allah.”

* * *

Muhammad bin al-Hanafiyyah bersama para pengikutnya pun berangkat meninggalkan tanah Sham. Malangnya, setiap kali mereka sampai di satu tempat, mereka akan diganggu dan diperintah supaya keluar.

Tidak cukup dengan masalah yang dihadapinya itu, Allah mahu menguji beliau dengan masalah lain yang lebih berat. Masalah ini : berpunca daripada sebilangan pengikutnya yang berpenyakit hati dan alpa. Mereka ini berkata: “Rasulullah s.a.w. telah memuatkan dada Ali dan ahli keluarganya dengan pelbagai ilmu, teras agama dan khazanah syariat. Segalanya dikhususkan oleh baginda hanya kepada ahli keluarganya sahaja tidak kepada semua orang.”

Sebagai seorang yang berilmu dan beramal serta bijak, beliau menyedari penyelewengan yang dibawa oleh kata-kata ini dan memahami bahaya yang wujud di sebalik segala dakwaan ini. Beliau pun mengumpulkan semua orang dan berucap.

Setelah memuji Allah Azza wa Jalla dan mengucapkan salam dan selawat untuk Nabi Muhammad s.a.w. beliau berkata:

“Ada pihak yang mendakwa bahawa kami ahli keluarga Rasulullah s.a.w. memiliki ilmu yang dikhususkan untuk kami sahaja dan tidak diberikan kepada orang lain. Dengan nama Allah, kami tidak pernah menerima selain daripada apa yang ada antara dua lembaran ini. Sambil tangannya menunjuk kepada al-Quran. Barangsiapa yang mendakwa kami memiliki selain kitab Allah, sesungguhnya dia adalah pembohong.”

* * *

Ada sebahagian pengikutnya yang memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera untukmu, wahai Mahdi.” (orang yang membawa pertunjuk kepada kebenaran)

Dia membalas: “Ya, saya adalah petunjuk kepada kebenaran dan engkau juga adalah petunjuk ke arah kebenaran, dengnn izin Allah. Cuma jika engkau mahu memberi salam kepada saya silalah sebut nama saya. Katakanlah: Salam sejahtera kepada engkau, wahai Muhammad.”

* * *

Kembara Muhammad bin al-Hanafiyyah bersama pengikutnya ini tidak berpanjangan. Dengan kehendak Allah, al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi akhirnya berjaya mengalahkan Abdullah bin al-Zubair. Dengan ini, seluruh umat Islam menyatakan taat setia mereka kepada Abdul Malik bin Marwan.

Sebaik sahaja mengetahui keadaan ini, beliau terus menulis kepada Abdul Malik bin Marwan:

“Kepada Abdul Malik bin Marwan, Amirul Mukminin daripada Muhammad bin Ali. Saya melihat kedudukan ini telah diserahkan kepada engkau. Malah seluruh umat Islam telah memberi taat setia mereka kepada engkau. Jadi sebagai salah seorang daripada mereka, saya juga memberikan taat setia melalui gabenor engkau di Hijaz. Saya sampaikan taat setia saya ini kepada engkau secara bertulis. Salam sejahtera.”

Setelah Abdul Malik membacakan surat ini kepada para pengikutnya, mereka berkata: “Jika dia mahu menderhaka dan menimbulkan masalah dia boleh lakukan, dan engkau tidak akan mampu menghalangnya. Oleh itu, tulislah perjanjian dengannya bahawa dia dan pengikutnya tidak akan menimbulkan kekacaua atau pemberontakan.”

Lalu Abdul Malik menulis perjanjian tersebut. Abdul Malik jugi menulis surat kepada al-Hajjaj mengarahkannya supaya memberikan penghormatan kepada Muhammad bin al- Hanafiyyah dengan sebaik-baiknya.

Walau bagaimanapun, hayat Muhammad bin al-Hanafiyyah tidak kekal lama selepas itu. Allah memilih untuk menjemputnya ke sisi-Nya dengan reda dan diredai.

* * *

Semoga Allah melimpahkan cahaya yang menerangi pusaranya dan menyerikan rohnya di syurga kelak. Beliau tidak pernah menimbulkan kemusnahan di muka bumi dan tidak pernah mencari kedudukan.

  1. Bermaksud seorang wanita yang bertakwa dan suci.
  2. Satu bangsa yang mendiami utara Laut Caspian. Bangsa ini dikalahkan oleh umat Islam dan akhirnya mereka memeluk Islam
  3. Iaitu Abdul Rahman bin Muljam.
  4. Sebuah daerah di utara Aqabah, Ablah adalah nama ketika di zaman Rom dan namanya kini ialah Elat.
  5. Sebuah pelabuhan lama di muara Nil, dibina oleh Umar bin al-Khattab sebagai pangkalan untuk mengangkut tentera Islam daripada Mekah ke Fustat.