Iyas Bin Muawiyah Al-Muzani

Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien

“Keberanian Amru bersatu bersama

“Keberanian Amru bersatu bersama kebaikan Hatim, kelembutan Ahnaf dan kebijaksanaan Iyas.”

[Abu Tammam]

Amirul Mukminin, Umar bin Abdul Aziz pada malam itu bersengkang mata. Matanya tidak mahu pejam dan hatinya tidak tenang. Pada malam yang dingin itu, di tengah kota Damsyik, Umar termanggu memikirkan soal perlantikan seorang hakim di Basrah. Orang yang akan mengadili urusan orang ramai dan akan menentukan hukuman berpandukan hukum Allah. Orang yang tidak akan membelakangkan kebenaran kerana takut ataupun kerana kepentingan tertentu.

Umar terpaksa membuat pilihan antara dua orang yang sama darjatnya, berpengetahuan agama tinggi dan teguh berpegang dengan kebenaran. Kedua-duanya mempunyai fikiran yang amat tajam dan pandangan yang amat bernas. Setiapkali baginda melihat kelebihan yang pertama, baginda akan dapati kelebihan yang sama ada pada yang kedua.

Ketika pagi, Umar memanggil ‘Adi bin Artoh, gabenor Iraq yang ketika itu berada di Damsyik.

Umar berkata: “Wahai ‘Adi, temukan Iyas bin Muawiyah al-Muzani dan al-Qasim bin Rabi’ah al-Harithi. Bawalah mereka bincang mengenai soal kehakiman di Basrah dan lantiklah salah seorang di antara mereka sebagai hakim di Basrah.”

“Menjunjung perintah, wahai Amirul Mukminin,” jawab ‘Adi seraya bingkas bangun.

* * *

‘Adi bin Artoh pun memanggil Iyas dan al-Qasim. ‘Adi memandang ke arah mereka berdua lalu memulakan bicara: “Amirul Mukminin telah memerintahkan saya supaya melantik salah seorang di antara kamu sebagai hakim di Basrah. Apakah pandangan kamu?”

Mereka berdua menjawab sambil saling menunjuk sahabatnya: “Dia lebih layak untuk memegang jawatan itu.” Masing-masing menyebut kelebihan, keilmuan dan kefaqihan sahabat masing-masing.

‘Adi berkata: “Kamu berdua tidak boleh keluar dari tempat ini kecuali setelah kamu selesaikan masalah ini.”

Iyas memberi cadangan kepada ‘Adi: “Wahai gabenor, tanyalah tentang saya dan al- Qasim kepada ulama Iraq, al-Hasan al-Basri dan Muhamad bin Sirin. Mereka adalah orang yang paling layak untuk memperkatakan tentang kami.”

Sebenarnya hanya al-Qasim sahaja yang sentiasa menziarahi kedua-dua ulama tadi. Kedua-dua ulama ini juga sentiasa menziarahi al-Qasim. Manakala Iyas tidak pernah mempunyai sebarang hubungan dengan ulama-ulama ini.

Al-Qasim memahami Iyas cuba memerangkapnya. Jika gabenor meminta pandangan ulama-ulama ini, sudah tentu mereka akan memilihnya. Jadi beliau tiada pilihan selain berkata kepada gabenor:

“Jangan bertanya sesiapa tentang saya dan Iyas, demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, Iyas adalah orang yang paling memahami agama Allah dan paling mahir soal kehakiman. Jika sumpah saya ini tidak benar, engkau tidak layak melantik saya sebagai hakim kerana saya telah berbohong . Jika benar apa yang saya cakap ini, engkau tidak boleh membelakangkan yang lebih layak,” tingkah al-Qasim.

Dengan tersenyum Iyas segera memintas bicara al-Qosim: “Wahai gabenor, engkau memanggil seorang lelaki untuk sama-sama diadili dan engkau letakkan orang ini ditepi api neraka. Lalu orang ini berjaya menyelamatkan dirinya melalui sumpah palsu. Setelah itu orang ini pun memohon keampunan Allah Taala dan menyelamatkan dirinya daripada apa yang ditakutinya.”

Mendengar kata-kata Iyas itu ‘Adi pun berkata: “Orang yang faham sebagaimana yang engkau faham itu, adalah orang yang paling layak dan paling berkemampuan untuk menjadi hakim.”

‘Adi pun melantik Iyas sebagai hakim di Basrah.

* * *

Siapakah orang ini, orang yang dilantik oleh khalifah yang zuhud, Umar bin Abdul

Aziz sebagai hakim di Basrah?

Siapakah orang ini, kepandaian dan kebijaksanaannya disamakan dengan kebaikan Hatim al-Toie, kelembutan Ahnaf bin Qais1 dan keberanian Amru bin Maadi Kariba2. Malah Abu Tammam3 ketika memuji Ahmad bin al-Mu’tasim pernah berkata:

“Keberanian Amru bersatu dengan kebaikan Hatim, kelembutan Ahnaf dan kebijaksanaan Iyas.”

Marilah bersama kita jejaki kisah hidup lelaki ini. Kisah hidup yang amat menarik dan unggul.

* * *

Iyas bin Muawiyah bin Qurrah al-Muzani dilahirkan pada tahun 46 Hijrah di Yamamah, Najd. Iyas mengikuti keluarganya berpindah ke Basrah. Di sana beliau membesar dan memulakan pembelajarannya. Semasa kecil, Iyas sering ke Damsyik menemui para sahabat yang masih ada serta tokoh-tokoh tabiin.

Anak kecil berketurunan al-Muzani ini telah menunjukkan tanda-tanda kebijaksanaannya semenjak kecil lagi. Hingga orang ramai sentiasa menyebut-nyebut nama dan kelebihannya walaupun ketika itu beliau masih kecil.

* * *

Iyas bin Muawiyah pernah menceritakan pengalamannya mempelajari ilmu matematik di sekolah seorang ahli zimmi berbangsa Yahudi. Suatu ketika, teman-temannya berbangsa Yahudi, berkumpul bersama guru mereka. Mereka berbincang soalan agama. Iyas mendengar perbualan mereka tanpa disedari.

Guru tersebut bertanya kepada teman-temannya: “Tidakkah kamu hairan dengan umat

Islam, mereka mendakwa mereka akan makan di syurga dan tidak akan membuang air.”

Mendengar kata guru itu, Iyas pun mencelah “Wahai guru izinkan saya turut sama dalam perbualan ini?”

“Ya, boleh,” jawab gurunya

Lalu Iyas pun bertanya: “Apakah semua yang dimakan di dunia ini akan keluar sebagai najis?”

“Tidak.” jawab gurunya tanpa berfikir panjang.

Iyas bertanya lagi: “Kemanakah perginya yang tidak keluar itu?”

“Ia menjadi makanan kepada tubuh.” sambil tersenyum mengejek, gurunya menjawab soalan Iyas.

Anak kecil ini pun berkata: “Jadi kenapa kamu boleh nafikan jika sebahagian apa yang kita makan di dunia ini boleh menjadi makanan kepada tubuh, kenapa tidak semua yang dimakan di syurga nanti boleh menjadi makanan kepada tubuh.”

Lalu gurunya mengangkat tangan dan mengutuk dirinya sendiri: “Celakalah engkau!”

* * *

Tahun demi tahun, anak ini semakin dewasa. Kisah kebijaksanaannya juga semakin tersebar luas di mana sahaja beliau berada.

Suatu ketika diceritakan Iyas pernah ke Damsyik ketika usianya masih kecil. Ketika itu berlaku perselisihan pendapat antaranya dengan seorang guru di Damsyik mengenai suatu masalah. Apabila gagal meyakinkan guru ini dengan segala hujah, Iyas mengajaknya berjumpa hakim.

Semasa di hadapan hakim, Iyas meninggikan suara memarahi lawannya. Hakim pun berkata: “Hai anak muda, perlahankan suaramu kerana lawanmu ini sudah tua dan dihormati.”

Iyas berkata: “Kebenaran lebih besar daripada orang ini.” “Diam!” marah hakim.

Iyas tetap bertegas: “Siapakah yang akan mengemukan hujah saya jika saya diam sahaja?!”

Muka hakim merah padam sambil mengetap bibirnya: “Semenjak engkau masuk ke sini, semua yang engkau katakan tidak benar.”

Dengan lantang Iyas bersuara: “Tiada Tuhan melainkan Allah dan tiada sekutu bagi- Nya. Apakah ini benar atau salah?”

Hakim terdiam mendengar hujah Iyas dan berkata: “Benar, demi Allah memang benar.”

* * *

Anak muda berketurunan al-Muzani ini begitu tekun mendalami ilmu. Akhirnya anak ini berjaya mencapai satu tahap hingga guru-gurunya sendiri tunduk kepadanya. Mereka menjadikan anak ini sebagai imam mereka. Malah mereka berguru dengannya walaupun ketika itu beliau masih kecil.

Pada suatu hari, sebelum ditabalkan menjadi khalifah, Abdul Malik bin Marwan menziarahi Basrah. Abdul Malik ternampak Iyas yang ketika itu masih terlalu muda, malah misai pun belum tumbuh lagi. Namun baginda hairan melihat empat orang qari yang sudah berjanggut dan memakai jubah hijau4 bersembahyang di belakang Iyas.

Abdul Malik berkata: “Celaka orang yang berjanggut ini! Tidak adakah orang yang lebih tua untuk mengimami mereka sehingga mereka terpaksa berimamkan orang muda ini.”

Abdul Malik lantas bertanya kepada Iyas: “Berapa umurmu wahai orang muda?” “Semoga Allah melanjutkan usia putera mahkota. Umur saya sama seperti Usamah bin Zaid5 ketika dilantik oleh Rasulullah s.a.w. memimpin tentera yang turut disertai oleh Abu Bakar dan Umar.”6

Abdul Malik mengangkat tangannya lalu berkata: “Mari ke sini wahai anak muda. Moga engkau diberkati Allah.”

* * *

Pada suatu ketika, orang ramai meninjau anak bulan Ramadan. Mereka diketuai seorang sahabat yang agung, Anas bin Malik al-Ansari7. Anas ketika itu sudah lanjut usia. Umurnya mencecah 100 tahun.

Semua yang ada di situ mendongak ke langit tetapi tidak nampak apa-apa. Namun Anas bin Malik merenung ke langit dan berkata: “Saya nampak anak bulan, itu dia.” Sambil tangannya menunjuk ke arah anak bulan. Malangnya tiada siapa yang dapat melihatnya.

Iyas melihat Anas r.a.. Beliau melihat ada sehelai rambut yang panjang di dahinya menjulur hingga ke matanya. Iyas meminta izin dengan penuh adab untuk menyelak rambut tadi. Lalu Iyas berkata: “Apakah masih nampak anak bulan sekarang ini, wahai sahabat Rasulullah?”

Anas pun melihat dan berkata: “Tidak, saya tidak melihatnya,”

* * *

Berita tentang kebijaksanaan Iyas ini tersebar luas. Orang ramai datang menemuinya dari segenap pelusuk. Mereka mengemukakan segala masalah ilmu dan agama kepada Iyas.

Ada di antara mereka yang benar-benar ingin belajar. Namun ada juga yang hanya mahu menguji kebijaksanaannya. Tidak kurang juga yang mahu berdebat dengan niat yang tidak baik.

Suatu ketika pernah diceritakan, seorang duhkan8 datang menemui Iyas dan berkata: “Wahai Abu Waielah, apakah pandangan kamu tentang benda yang memabukkan?”

“Haram,” jawab Iyas

Duhkan itu bertanya lagi: “Apakah sebab ia diharamkan? Ia tidak lebih daripada buah dan air yang dipanaskan di atas api. Semua itu pada asalnya adalah halal.”

Iyas membalas: “Wahai duhkan, apakah engkau sudah selesai bertanya atau masih ada soalan lain?”

“Itu sahaja,” jawab duhkan dengan bongkak.

Iyas memandang tajam lalu bertanya: “Jika saya ambil secedok air dan saya lemparkan kepada kamu. Apakah ia menyakitkan kamu?”

Jawab Duhkan: “Tidak.”

Iyas bertanya lagi: “Jika saya ambil segenggam tanah dan saya pukul kamu dengannya. Apakah itu akan menyakitkan kamu?

Duhkan menjawab: “Tidak.”

Iyas bertanya lagi: “Jika saya ambil segenggam jerami dan saya pukul kamu dengannya. Apakah itu akan menyakitkan kamu?”

Duhkan menjawab: “Tidak.”

Iyas meneruskan hujahnya: “Jika saya ambil segenggam tanah kemudian saya campurkan dengan segenggam jerami kemudian saya tuangkan air. Saya gaulkan kesemuanya dan saya bentukkan. Selepas itu saya jemurkan di bawah matahari hingga kering kemudian saya gunakan untuk memukul kamu. Apakah itu akan menyakitkan kamu?”

Duhkan menjawab tanpa teragak-agak: “Ya, bahkan mungkin ia boleh membunuh saya.”

“Begitulah juga dengan arak. Apabila segala bahannya dicampur dan diperam, ia diharamkan,” Iyas menyudahkan kata-katanya.

* * *

Setelah dilantik menjadi hakim, Iyas memperlihat kecerdikan dan kemampuannya untuk menegakkan segala kebenaran.

Suatu ketika, dua orang lelaki meminta diadili. Salah seorang mendakwa telah menyimpan sejumlah wang kepada sahabatnya. Malangnya apabila dia menuntut semula wangnya, sahabat itu menafikannya.

Iyas pun bertanya kepada orang yang didakwa itu. Orang itu menafikannya sambil berkata: “Jika sahabat saya ini ada bukti hendaklah dia kemukakannya. Jika tidak saya hanya perlu bersumpah.”

Iyas bimbang lelaki ini berjaya memperolehi wang tadi dengan hanya bersumpah. Beliau pun bertanya kepada orang yang mendakwa: “Di mana kamu serahkan wang itu kepadanya?”

Dia menjawab: “Di…”

Iyas bertanya: “Apa yang ada di tempat itu?”

Lelaki itu menjawab: “Ada sebatang pokok yang besar. Kami duduk di bawahnya dan makan bersama. Apabila kami ingin beredar saya serahkan wang itu kepadanya.”

Setelah termenung seketika Iyas berkata: “Pergilah ke pokok itu. Mungkin engkau akan teringat semula di mana engkau letakkan wang itu. Mungkin engkau teringat apa yang engkau lakukan dahulu. Selepas itu datanglah semula ceritakan kepada saya apa yang telah engkau lihat.”

Lelaki itupun pergi ke tempat yang dimaksudkan.

Setelah itu, Iyas berkata pula kepada orang yang didakwa tadi: “Duduklah di sini hingga sahabatmu datang.” Lelaki itu pun duduk Iyas pun beralih kepada orang lain yang berada di sekelilingnya dan mengadili masalah mereka. Namun, matanya sentiasa memerhatikan lelaki tadi. Apabila beliau melihat lelaki tadi merasa agak selesa dan tenang. Iyas pun bertanya kepadanya: “Apakah engkau agak sahabatmu telah sampai ke tempat dia serahkan wang itu kepadamu?”

Tanpa sedar lelaki itu berkata: “Tidak mungkin, tempat itu terlalu jauh.”

Lantas Iyas pun berkata: “Wahai musuh Allah, engkau nafikan wang itu sedangkan engkau tahu di mana engkau mengambilnya. Demi Allah, sesungguhnya engkau seorang pengkhianat.”

Lelaki itu tergamam dan terus mengakui perbuatan jahatnya. Iyas pun menahan lelaki itu sehingga sahabatnya pulang. Selepas itu beliau memerintahkan agar lelaki ini memulangkan semula semua wang yang diambilnya.

* * *

Suatu ketika, dua orang lelaki mengadu kepada Iyas mengenai dua helai qatifah9 yang digunakan untuk menutup kepala dan bahu. Sehelai berwarna hijau, masih baru dan mahal. Sementara sehelai lagi berwarna merah dan telah usang.

Orang yang mendakwa berkata: “Ketika saya turun ke kolam untuk mandi, saya letakkan qatifah saya yang berwarna hijau berserta pakaian saya di tepi kolam. Kemudian datang lawan saya ini. Dia letakkan qatifahnya yang berwarna merah di sebelah qatifah saya lalu turun ke kolam. Dia keluar sebelum saya. Setelah memakai baju dia mengambil qatifah saya. Dia meletakkannya di atas kepala dan bahunya kemudian beredar. Saya keluar dari kolam selepas dia. Saya ekorinya dan minta semula qatifah saya. Namun dia mendakwa qatifah itu miliknya.”

Sambil mengalih pandangan, Iyas bertanya pula orang yang didakwa: “Apakah yang engkau ingin katakan?”

“Ini adalah qatifah saya dan ia ada di tangan saya,” jawab lelaki tersebut. Iyas bertanya kepada orang yang mendakwa: “Apakah engkau ada bukti?” Orang itu menjawab: “Tidak.”

Setelah seketika, Iyas menoleh kepada pengawalnya lalu berkata: “Bawakan saya sebatang sikat.”

Pengawal itupun memberikan kepadanya sebatang sikat. Lalu Iyas menyikat rambut kedua-dua orang tadi. Kepala salah seorang daripada mereka apabila disikat mengeluarkan bulu-bulu berwarna merah cebisan daripada qatifah. Sementara kepala seorang lagi mengeluarkan bulu-bulu berwarna hijau.

Jadi Iyas memutuskan qatifah merah untuk orang yang mengeluarkan bulu-bulu merah dan qatifah hijau untuk orang yang mengeluarkan bulu-bulu hijau.

* * *

Kepintaran Iyas ada disebut dalam sebuah kisah:

Suatu ketika ada seorang lelaki berpura-pura baik di hadapan orang ramai. Orang ini menunjukkan kewarakan dan ketakwaannya hingga ramai yang memuji-mujinya.

Ramai yang menjadikan lelaki ini sebagai pemegang amanah untuk menjaga harta mereka ketika bermusafir. Malah ramai juga yang menjadikan lelaki ini sebagai pemegang wasiat untuk menjaga anak-anak mereka selepas ketiadaan mereka.

Suatu hari, ada seorang lelaki datang membawa hartanya untuk disimpan oleh lelaki yang berpura-pura baik ini. Apabila orang ini memerlukan hartanya, dia pun menuntut semula hartanya. Malangnya, lelaki yang berpura-pura baik tadi menafikannya.

Orang ini pun mengadu kepada Iyas. Iyas bertanya: “Apakah sahabat engkau itu tahu engkau datang menemui saya?”

“Tidak,” jawabnya.

Sambil mengangguk-anggukkan kepalanya Iyas pun berkata: “Pulanglah, dan datang semula besok.”

Setelah itu Iyas memanggil orang yang berpura baik itu, Iyas berkata : “Pada saya ada sejumlah wang yang banyak milik anak-anak yatim yang tidak mempunyai penjaga. Saya rasa saya ingin menyimpan harta ini padamu. Saya mahu melantik engkau sebagai pemegang amanah harta ini. Adakah rumahmu selamat dan engkau mempunyai masa lapang?”

“Ya, wahai tuan hakim,” jawabnya girang.

Dengan tersenyum Iyas berkata: “Lusa datang berjumpa saya. Sediakan tempat untuk harta itu serta bawa bersama beberapa orang pekerja untuk memikulnya.”

Pada hari berikutnya, lelaki yang mengadu itu datang. Iyas berkata kepadanya: “Pergilah berjumpa sahabatmu itu dan mintalah hartamu. Jika dia enggan, katakan kepadanya: “Saya akan membuat aduan kepada hakim.”

Lelaki itu pun pergi bertemu dengan sahabatnya itu. Malangnya sahabatnya ini masih enggan memberikannya malah menafikannya. Lalu lelaki ini pun berkata: “Saya akan membuat aduan kepada hakim.”

Apabila sahabatnya itu mendengar ancaman itu, dia pun terus menyerahkan semula harta tersebut dan cuba berbaik semula. Lelaki tersebut pun kembali semula berjumpa Iyas dan berkata: “Sahabat saya itu telah memulangkan semula hak saya. Semoga Allah membalas tuan dengan kebaikan.”

Setelah itu, lelaki yang dipercayai ramai itu datang menemui Iyas pada masa yang ditetapkan. Membawa bersamanya beberapa orang pekerja. Lantas Iyas menegur dan mengecam perbuatannya dengan berkata: “Engkaulah manusia yang paling keji, wahai musuh Allah. Engkau jadikan agama sebagai alat untuk membolot dunia.”

* * *

Iyas seorang yang sangat pintar dan tajam fikirannya. Namun adakalanya beliau terpaksa berhadapan dengan orang yang mampu mematahkan segala hujahnya dan menangkis segala kata-katanya.

Iyas pernah bercerita: “Saya tidak pernah dikalahkan oleh sesiapa kecuali sekali oleh seorang lelaki. Kisah itu berlaku ketika saya sedang menjalankan penghakiman di Basrah.”

Seorang lelaki telah datang memberi keterangan mengenai sebidang kebun yang sedang dipertikaikan. Orang itu menjadi saksi bahawa kebun tersebut menjadi milik si fulan. Dia juga menyatakan sifat-sifat kebun itu pada saya.

Saya berhasrat untuk menguji keterangannya itu. Saya bertanya: “Berapakah jumlah pokok di dalam kebun itu?”

Lelaki itu termenung sejenak. Kemudian dia mengangkat kepalanya sambil berkata: “Tuan hakim, sejak bilakah tuan hakim menjalankan penghakiman di sini?”

Saya menjawab: “Semenjak tahun …”

Lelaki itu bertanya lagi: “Berapakah jumlah papan di bumbung bilik ini.”

Saya tidak boleh menjawab dan saya berkata: “Engkau benar.” Saya pun menerima keterangannya.

* * *

Ketika Iyas bin Muawaiyah berusia 76 tahun, beliau bermimpi menunggang kuda bersama-sama ayahnya. Mereka berdua menunggang seiringan. Tiada sesiapa di hadapan dan tiada sesiapa di belakang mereka. Ayahnya meninggal dunia dalam usia 76 tahun.

Suatu malam, sebelum Iyas masuk tidur, beliau bertanya keluarganya: “Apakah kamu tahu malam apa ini?”

“Tidak,” jawab mereka

“Pada malam ini, samalah usiaku dengan usia ayahku,” sambil merenung wajah ahli keluarganya seorang demi seorang.

Sesudah subuh isterinya mendapati Iyas telahpun meninggal dunia.

* * *

Moga Allah merahmati roh Iyas. Seorang hakim yang sukar ditemui. Kebijaksanaan dan kesungguhannya menegakkan kebenaran dianggap suatu yang luar biasa.

  1. Tokoh tabiin yang ulung. Seorang pemimpin yang agung dan seorang pemidato yang bijak. Mengetuai kaumnya, Bani Tamim. Kelembutannya menjadi contoh teladan. Meninggal dunia pada tahun 72 Hijrah
  2. Tokoh bangsa Arab yang masyhur dengan keberaniannya. Setiap satria biasanya akan dikaitkan dengan kaumnya sendiri sahaja tetapi Amru dinobatkan sebagai satria bangsa Arab. Meninggal dunia di Qadisiyyah akibat kehausan.
  3. Nama sebenarnya Habib bin Aus al-Toie (788-845). Seorang sasterawan Bani Abbasiyyah. Terkenal dengan syairnya yang memuji para khalifah. beliau memiliki antologi syairnya sendiri.
  4. Jubah hijau yang hanya dipakai oleh mereka yang mencapai tahap guru.
  5. Sila lihat buku, Suwar Min Hayat al-Sahabah, karangan penulis, penerbit Dar al-Adab al-Islami.
  6. Umur Usamah ketika itu belum mencecah 20 tahun.
  7. Sila lihat buku, Suwar Min Hayat al-Sahabah, karangan penulis, penerbit Dar al-Adab al-Islami.
  8. Bahasa Parsi, gelaran kepada ketua daerah atau sebagainya.
  9. Sejenis pakaian yang digunakan untuk menutup badan.