Ato’ Bin Abu Rabah

Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien

“Saya tidak pernah melihat orang yang benar-benar mencari ilmu hanya kerana Allah seperti mereka bertiga; Ato’, Towuus dan Mujahid.”

[Salamah bin Kuhail]

Kisah kita kini berkisar pada penghujung bulan Zul Hijjah tahun ke-79 Hijrah. Ketika ini Baitullah sedang menerima tetamu-tetamu Allah dari segenap pelusuk dunia.

Ada yang berjalan kaki dan ada yang berkenderaan. Ada yang tua dan ada yang muda.

Ada lelaki dan ada wanita.

Ada yang berkulit hitam dan ada yang berkulit putih. Ada yang berbangsa Arab dan ada yang bukan Arab.

Ada yang di kalangan pemimpin dan ada yang dipimpin.

Semuanya menuju Tuhan yang memiliki seluruh manusia dengan ketundukan dan pasrah, mengharap dan menaruh harapan.

Di celah-celah gelombang manusia ini turut bersama ialah Sulaiman bin Abdul Malik1, Khalifah muslimin dan seorang raja terkemuka di zamannya. Baginda turut bersama seperti manusia lain mengelilingi Kaabah dengan kepala yang terdedah dan berkaki ayam. Tubuhnya hanya ditutupi kain sarung dan kain selendang.

Pakaiannya ketika itu sama seperti pakaian rakyatnya yang juga saudara-saudara seagamanya.

Turut di belakangnya ialah dua orang anaknya yang berseri ibarat bulan purnama dan segak mekar ibarat kelopak bunga.

Sebaik sahaja menamatkan tawaf, khalifah terus bertanya pengiringnya: “Di manakah sababat kamu?”

“Dia berada di sana sedang sembahyang,” jawab pengiringnya sambil tangannya menunjuk ke sebelah barat Masjid al-Haram.

Khalifah diiringi oleh kedua-dua anaknya pun melangkah menuju ke arah yang dimaksudkan.

Para pengiring khalifah cuba mendahului khalifah bagi membuka laluan dan mengurangkan kesesakan. Namun khalifah melarang mereka sambil berkata:

“Di tempat ini, raja dan rakyat adalah sama.”

“Perbezaan antara seorang dengan seorang di sini hanyalah ketakwaannya.”

Barangkali orang yang datang menemui Allah dengan kusut masai akan lebih diterima amalannya daripada amalan raja-raja.”

Khalifah melangkah menuju ke arah lelaki yang dimaksudkannya tadi. Namun lelaki itu masih lagi sembahyang, tenggelam bersama rukuk dan sujudnya.

Ramai yang duduk di belakang, di kanan dan kirinya.

Khalifah pun duduk di bahagian hujung dan menyuruh anak-anaknya duduk bersama. Anak-anak Quraisy ini pun merenung orang yang ingin ditemui oleh Amirul Mukminin ini. Mereka hairan melihat khalifah sanggup duduk bersama orang ramai menunggu lelaki ini menamatkan sembahyangnya.

Lelaki ini kelihatan sudah berusia, berketurunan Habsyah, kulitnya hitam, rambutnya kerinting dan hidungnya peset. Ketika duduk rupanya tidak ubah seperti seekor gagak hitam.

Setelah selesai sembahyang, lelaki itu mengalihkan tubuhnya menghadap khalifah. Lalu Sulaiman bin Abdul Malik pun mengucapkan salam dan dia membalasnya dengan ucapan yang sama.

Khalifah pun menghadap lelaki itu, bertanya mengenai ibadat haji satu persatu. Lelaki itu pula menjawab kesemua soalan khalifah dengan panjang lebar. Dia memberikan huraian yang amat mendalam. Tidak perlu lagi kepada huraian lanjut.

Setiap jawapannya bersandarkan kepada Rasulullah s.a.w..

Setelah selesai bertanya, khalifah mendoakan untuk lelaki itu sambil berkata kepada anak-anaknya :

“Bangun” Mereka berdua pun bangun. Lalu mereka bertiga beredar menuju ke Saie. Dalam perjalanan ke tempat Saie, antara Safa dan Marwa anak-anak ini terdengar satu suara yang nyaring: “Wahai umat Islam, tiada siapa yang boleh memberi fatwa di tempat ini selain Ato’ bin Abu Rabah! Jika dia tiada, tanyalah Abdullah bin Abu Najih.”

Lantas salah seorang anak khalifah ini bertanya bapa mereka:

“Bagaimana mungkin seorang pembantu Amirul Mukminin memerintahkan orang ramai supaya hanya meminta fatwa daripada Ato’ bin Abu Rabah atau sahabatnya. Sedangkan kita meminta fatwa daripada seorang lelaki yang tidak mempedulikan seorang khalifah dan tidak memberikan penghormatan yang sepatutnya!!”

Sambil tersenyum melihat anaknya, Sulaiman berkata: “Wahai anakku, orang yang engkau lihat itu. Engkau lihat bagaimana bapa merendah diri di hadapannya tadi. Orang itulah Ato’ bin Abu Rabah. Orang yang memberi fatwa di Masjid al-Haram.”

“Beliau adalah pewaris Abdullah bin Abbas. Beliaulah orang yang mewarisi kedudukan yang amat tinggi ini.”

Khalifah menyambung lagi: “Wahai anakku, belajarlah…” “Dengan ilmu, orang yang hina akan dihormati.”

“Orang biasa akan dikenali”

“Dengan ilmu juga hamba-hamba akan melebihi taraf seorang raja.”

Apa yang dinyatakan oleh Sulaiman bin Abdul Malik tentang ilmu ini adalah suatu kenyataan.

Ketika kecil, Ato’ bin Abu Rabah adalah seorang hamba milik seorang wanita Mekah. Namun Allah mahu memberi penghormatan kepada hamba Habsyi ini apabila Dia meletakkan anak kecil ini di lorong ilmu.

Ato’ membahagikan waktunya kepada tiga. Satu bahagian untuk memberikan khidmat yang sebaik-baiknya kepada tuannya dan beliau menyempurnakan segala tugasnya dengan baik.

Satu bahagian untuk Tuhannya untuk beliau memberikan satu masa yang amat murni untuk mengabdikan diri menyembah Allah. Masa ini dihabiskan semata-mata untuk Allah.

Satu bahagian lagi untuk mencari ilmu, menemui mana-mana sahabat yang masih ada untuk menceduk ilmu mereka yang melimpah ruah.

Beliau pernah belajar daripada Abu Hurairah, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin al-Zubair2 dan beberapa orang sahabat yang lain hingga dadanya penuh dengan segala ilmu dan riwayat yang diperolehi daripada Rasulullah s.a.w.

Apabila tuannya melihat kesungguhan Ato’ menyerahkan seluruh jiwanya untuk Allah Taala dan mewakafkan hidupnya untuk menuntut ilmu, beliau pun membelakangkan haknya lalu membebaskan hambanya ini sebagai jalan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Moga-moga Allah jadikan hambanya itu untuk kebaikan Islam dan umat Islam.

Semenjak hari itu Ato’ bin Abu Rabah menjadikan Baitullah sebagai tempat tinggalnya.

Beliau menjadikan Baitullah sebagai tempat berlindung. Juga sebagai sekolah tempat beliau belajar.

Tempat sembahyangnya untuk mendekatkan diri dengan Allah, bertakwa dan mentaati-Nya.

Malah ahli sejarah pernah berkata: “Masjid adalah tempat tidur Ato’ bin Abu Rabah selama 20 tahun.”

Ato’ bin Abu Rabah, seorang tabiin yang ulung telah berjaya mencapai tahap ilmu yang tinggi dan tiada tandingannya.

Beliau berjaya mencapai satu tahap yang tidak dapat dicapai kecuali oleh segelintir manusia di zamannya.

Menurut satu riwayat, suatu hari ketika Abdullah bin Umar datang ke Mekah untuk menunaikan umrah, orang ramai mengerumuninya bertanyakan soalan dan meminta fatwa tetapi beliau berkata:

“Saya hairan dengan kamu wahai penduduk Mekah, kamu mengumpulkan semua masalah untuk bertanya saya sedangkan Ato’ bin Abu Rabah ada bersama kamu?!”

Ada dua sifat utama Ato’ bin Abu Rabah yang membolehkan beliau memperolehi pegangan agama dan ilmu yang tinggi ini.

Pertama: beliau benar-benar mengawal dirinya dan tidak membenarkannya dirinya terpengaruh dengan perkara yang tidak bermanfaat

Kedua: beliau benar-benar mengawal masanya dan tidak membenarkan masanya disia-siakan dengan cakap kosong dan tidak berfaedah.

Muhammad bin Suqah3 pernah menceritakan suatu kisah kepada orang-orang yang menziarahinya;

“Adakah kamu ingin mendengar satu kisah yang boleh memberi faedah kepada kamu seperti mana yang saya perolehi?”

“Sudah tentu,” jawab mereka serentak.

“Suatu ketika Ato’ bin Abu Rabah menasihatkan saya, katanya: Wahai anakku! Orang-orang sebelum kita sebenarnya sama sekali tidak suka bercakap kosong.” Muhammad mula bercerita.

Saya bertanya: “Apakah perkara yang mereka anggap sebagai cakap kosong?”

“Bagi mereka semua percakapan yang bukan untuk membaca dan memahami kitab

Allah adalah cakap kosong.”.

“Atau untuk meriwayat atau memahami hadis Rasulullah s.a.w.” “Atau untuk mencegah yang mungkar dan menyuruh yang makruf.”

“Atau untuk memahami ilmu yang mendekatkan diri dengan Allah Taala…” “Atau engkau bercakap tentang keperluan hidup yang perlu,” jawab beliau. Beliau kemudiannya merenung muka saya sambil berkata: “Apakah kamu lupa:”

“Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);” [Al-Infitaar: 10-11]

“Setiap orang ada dua malaikat yang mengawasinya:”

“Satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannyu) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” [Qaaf: 17-18]

Ato’ berkata lagi: “Tidakkah kita merasa malu nanti apabila menerima lembaran yang mencatat amalan kita di siang hari tetapi kita dapati kebanyakan kandungannya tiada kaitan langsung dengan agama atau dunia.”

Melalui ilmu Ato’ bin Abu Rabah ini, Allah telah memberikan faedah yang amat besar kepada banyak golongan:

Ilmuwan dalam semua bidang. Usahawan dalam semua bidang. Dan ramai lagi.

Imam Abu Hanifah al-Nu’man suatu ketika menceritakan tentang dirinya:

“Saya pernah melakukan lima kesalahan dalam ibadah haji di Mekah. Namun saya telah diajar oleh seorang tukang cukur.”

“Ketika itu saya ingin bercukur untuk menamatkan ihram saya. Jadi saya datang kepada seorang tukang cukur. Saya bertanya:

“Berapa bayaran untuk mencukur kepala saya?”

Jawab tukang cukur itu: “Moga Allah memberi hidayah kepadamu. Dalam ibadah tidak boleh tawar-menawar. Sila duduk dan berikan ikut kemampuanmu.”

“Saya merasa malu dan terus duduk. Cuma saya duduk membelakangkan kiblat. Lalu tukang cukur itu mengarahkan saya supaya mengadap ke kiblat. Saya menuruti katanya. Saya rasa bertambah malu.”

“Saya hulurkan sebelah kiri kepala saya. Lantas dia berkata: “Pusingkan kepalamu. Saya pun pusingkan kepala saya.”

“Dia pun mencukur kepala saya. Saya hanya mendiamkan diri melihat dengan penuh kehairanan. Lalu dia berkata: “Kenapa saya lihat engkau diam sahaja?”

“Bertakbirlah…”

“Saya pun bertakbir hinggalah selesai dan saya bangun untuk pergi.” “Hendak pergi ke mana?” tanya beliau.

“Saya ingin balik ke khemah saya,” saya menjawab sambil berpaling kepadanya.

Beliau berkata: “Sembahyanglah dua rakaat, kemudian pergilah ke mana sahaja yang engkau mahu.”

“Saya pun bersembahyang dua rakaat tetapi hati saya tertanya-tanya:

Tidak mungkin semua ini lahir daripada seorang tukang cukur kecuali sememangnya dia seorang yang berilmu.”

Setelah saya selesai bersembahyang, saya pun bertanya: “Dari mana tuan tahu semua ibadah yang tuan ajarkan kepada saya ini?”

Sambil merenung saya dia menjawab: “Demi Allah. Saya melihat Ato’ bin Abu

Rabah melakukannya. Saya belajar daripadanya dan saya ajarkannya kepada orang lain.”

Kekayaan dunia datang mencurah-curah kepada Ato’ bin Abu Rabah namun beliau menolaknya mentah-mentah. Beliau enggan menerimanya sama sekali. Sepanjang hidupnya, Ato’ hanya memakai sehelai baju yang harganya tidak lebih lima dirham.

Para khalifah sentiasa mengajak Ato’ untuk bersama mereka. Namun Ato’ menolaknya kerana bimbang pegangan agamanya akan terpengaruh dengan dunia mereka. Namun demikian beliau tetap mengunjungi mereka jika ada perkara yang membabitkan kepentingan Islam dan umat Islam.

Uthman bin Ato’ al-Khurasani pernah menceritakan:

“Suatu hari saya bersama bapa saya pergi menghadap Hisham bin Abdul Malik. Apabila hampir tiba di Damsyik, kami menemui seorang tua menunggang seekor keldai hitam. Dia memakai baju yang kasar dan jubah yang kusam. Kopiahnya melekat di kepala dan pelapik duduknya diperbuat daripada kayu.”

“Saya tersenyum melihatnya dan saya bertanya bapa saya: “Siapa ini?”

“Diam! Ini adalah pemimpin ulama Hijaz, Ato’ bin Abu Rabah.”, jawab bapa saya. “Apabila beliau menghampiri kami, bapa saya turun dari baghalnya dan diapun turun dari keldainya. Mereka berdua saling berpelukan dan bertanya khabar. Kemudian mereka berdua menunggang semula dan berangkat hingga sampni ke pintu istana Hisham bin Abdul Malik.”

“Sebaik sahaja mereka duduk, merekapun dijemput masuk.

Apabila bapa saya keluar, saya bertanya: “Ceritakanlah kepada saya apa yang berlaku.”

Bapa saya menjawab: “Apabila Hisyam mengetahui bahawa Ato’ bin Abu Rabah sedang berada di pintu, baginda terus menjemputnya masuk. Demi Allah, ayah hanya dapat masuk disebabkan olehnya.”

“Apabila Hisyam melihat Ato’ bin Abu Rabah, baginda pun berkata: “Selamat datang, selamat datang…”

“Di sini, di sini,…”

Baginda terus berkata: “Di sini, di sini…”

“Hinggalah Ato’ duduk bersamanya di tempat duduknya. Mereka duduk bertemu lutut…”

“Di situ juga ada pembesar-pembesar negara yang sebelumnya sedang sibuk berbual tetapi kini semuanya mendiamkan diri.”

“Hisham pun menghadap Ato’ sambil bertanya: “Apakah permintaanmu wahai Abu Muhammad?”

“Wahai Amirul Mukminin, penduduk Mekah dan Madinah adalah keluarga Allah dan jiran Rasul-Nya. Berikanlah rezeki dan bantuan untuk mereka.” jawab beliau.

Sambil menganggukkan kepala, Hisham menjawab: “Baik.”

“Wahai juru tulis wartakan, bahawa penduduk Mekah dan Madinah akan menerima bantuan dan sara hidup selama setahun.”

“Adakah permintaan lain selain itu, wahai Abu Muhammad?” tanya baginda bersungguh-sungguh.

“Ya, wahai Amirul Mukminin, penduduk Hijaz dan Najd adalah asal-usul bangsa Arab dan peneraju Islam. Kembalikanlah kepada mereka lebihan sedekah mereka” Ato’ meneruskan bicaranya.

“Baiklah” jawab Hisyam.

“Wahai juru tulis wartakan lebihan sedekah mereka akan dikembalikan kepada mereka.”

“Adakah permintaan lain selain itu, wahai Abu Muhammad?” Ato’ menjawab: “Ada … wahai Amirul Mukminin.”

“Tentera-tentera di sempadan berhadapan dengan musuh. Mereka membunuh orang yang cuba bertindak jahat ke atas umat Islam. Berikanlah mereka sara hidup yang dapat membantu mereka menjalankan tugas itu. Andainya mereka ini mati, musuh akan membolosi sempadan.

“Baiklah…Wahai juru tulis, wartakan supaya dihantar sara hidup untuk mereka…” jawab Hisham.

“Adakah permintaan lain selain itu?” Hisham bertanya lagi kepada Ato’

“Ya, wahai Amirul Mukminin, janganlah engkau bebankan ahli zimmi di luar kemampuan mereka. Apa yang engkau kutip daripada mereka adalah sebagai bantuan untuk engkau menghadapi musuhmu.”

“Wahai juru tulis, wartakan untuk ahli zimmi, mereka tidak akan dibebankan di luar kemampuan mereka.”

“Apakah ada permintaan lain, wahai Abu Muhammad?”

Ato’ menjawab: “Ada, takutlah Allah wahai Amirul Mukminin.” “Sedarlah, kau diciptakan seorang diri.”

“Engkau akan mati seorang diri.”

“Engkau akan dibangkitkan seorang diri.”

“Engkau akan dihakimi seorang diri.”

“Demi Allah, orang yang engkau lihat kini tidak akan bersamamu nanti.” Lantas Hisham pun melutut ke bumi sambil menangis.

Lalu Ato’ bangun dan ayah pun bangun bersamanya.

“Apabila kami menghampiri pintu istana, tiba-tiba seorang lelaki membawa satu uncang. Lelaki itu berkata kepada Ato’: “Amirul Mukminin mengirimkan ini untuk tuan.”

Ato’ berkata: “Tidak…”

“Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.” [Al-Shua’ara’: 109]

“Demi Allah, beliau masuk dan keluar daripada majlis khalifah tanpa minum walaupun setitik air…”

Ato’ bin Abu Rabah telah diberikan umur yang panjang hingga mencecah 100 tahun. Usianya dipenuhi dengan ilmu dan amal. Disirami dengan amal kebajikan dan ketakwaan.

Hidupnya tidak pernah mengharapkan apa yang ada di tangan manusia. Beliau hanya mengharapkan apa yang ada di sisi Allah Taala.

Apabila ajal menjemputnya, tiada bebanan dunia yang dipikulnya… Dirinya kaya dengan bekalan amal akhirat…

Malah sebenarnya lebih daripada itu… Dia pernah 70 kali mengerjakan haji… 70 kali juga dia berdiri di Arafah…

Dia memohon keredaan dan syurga Allah…

Dia memohon moga Allah menjauhi kemurkaan dan neraka-Nya.

  1. Salah seorang khalifah kerajaan Bani Umayyah. Orang yang bertanggungjawab menyerahkan jawatan khalifah kepada Umar bin Abdul Aziz.
  2. Sila rujuk buku, Suwar Min Hayat al-Sahabah, karangan penulis. Terbitan Dar al-Adab al-Islami.
  3. Seorang ahli ibadat dan ulama di Kufah.