Amir Bin Shurahabil

Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien

Masyhur dengan al-Sha’bi

“Al-Sha’bi merupakan seorang yang berpengetahuan luas, berbudi pekerti dan berjasa kepada Islam.”

[Al-Hasan al-Basri]

Setelah enam tahun kemangkatan Khalifah Umar al-Faruq r.a., lahirlah seorang anak yang bertubuh kecil. Kata orang, ini disebabkan saudara kembarnya turut sama berebut tempat di dalam rahim ibunya hingga tiada ruang untuk beliau membesar secukupnya. Namun selepas itu tiada siapa mampu menandinginya dalam bidang ilmu dan hikmah. Anak ini bernama Amir bin Shurahabil al-Himyari atau lebih dikenali dengan panggilan al-Sha’bi. Seorang cendekiawan Islam di zamannya.

* * *

Al-Sha’bi dilahir dan dibesarkan di Kufah. Namun demikian Madinah al- Munawwarah tetap menjadi pilihan hatinya. Beliau seringkali berkunjung ke Madinah untuk bertemu dan belajar dengan para sahabat Rasulullah s.a.w.. Sama seperti para sahabat yang mulia, mereka berkunjung ke Kufah untuk menjadikan Kufah sebagai tempat mereka melancarkan jihad di jalan Allah. Ada juga kalangan mereka menetap terus di sana.

Peluang ini memberi kesempatan kepada al-Sha’bi untuk menemui hampir 500 orang para sahabat yang mulia. Beliau turut berpeluang menerima hadis daripada para sahabat yang terkemuka seperti Ali bin Abu Talib, Saad bin Abu Waqqas, Zaid bin Thabit, Ubadah bin al- Samit, Abu Musa al-Ash’ari, Abu Said al-Khudri, al-Nu’man bin Bashir, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Adi bin Hatim, Abu Hurairah, Aisyah Ummu Mukminin dan ramai lagi.

* * *

Al-Sha’bi merupakan seorang anak muda yang amat pintar, peka, berfikiran tajam, dan mempunyai daya hafalan yang amat kuat.

Beliau sendiri pernah menceritakan: “Saya tidak pernah menulis walaupun setitik dakwat1. Setiap kali seseorang membacakan sebuah hadis, saya pasti akan menghafalnya. Jika saya mendengar seseorang berkata sesuatu yang menarik, saya tidak perlu meminta dia mengulanginya.”

Anak muda ini amat cintakan dan terlalu asyik mencari ilmu. Beliau sanggup mengorbankan jiwa raganya demi mencari ilmu. Malah demi memperolehi ilmu, beliau tidak pernah mengenal erti penat lelah.

Beliau pernah berkata: “Jika seseorang berjalan dari hujung Syam hingga ke hujung Yaman untuk menghafal satu perkataan yang boleh memberi manfaat untuk hari mukanya, bagi saya perjalanannya itu tidak sia-sia.”

Oleh kerana memiliki ilmu yang terlalu tinggi, Sha’bi pernah berkata: “Ilmu yang paling sedikit saya pelajari ialah syair. Walau bagaimanapun jika mahu, saya boleh bacakan syair-syair itu untuk kamu selama sebulan tanpa mengulanginya.”

* * *

Di Masjid Kufah, tersedia satu tempat khusus untuk majlis ilmunya. Orang ramai tidak henti-henti datang mengerumuninya. Walaupun pada ketika itu masih ramai para sahabat Rasulullah s.a.w. yang masih hidup bahkan ada bersama-sama mereka.

Malah suatu ketika, Abdullah bin Umar r.a. menceritakan tentang kisah-kisah peperangan Islam dengan begitu mendalam. Kata-kata al-Sha’bi ini menarik perhatian Abdullah bin Umar lalu berkata: “Mata saya sendiri melihat dan telinga saya sendiri mendengar beberapa kisah yang diceritakannya itu, namun beliau mampu menceritakannya lebih baik daripada saya.”

Contoh-contoh kehebatan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan al-Sha’bi terlalu banyak untuk diceritakan. Antaranya diceritakan sendiri oleh beliau:

“Satu hari dua orang lelaki berkelahi lantaran mereka memuji keturunan masing- masing. Seorang daripada mereka berketurunan Bani Amir dan seorang lagi keturunan Bani Asad. Lelaki Bani Amir akhirnya bcrjaya mengalahkan lelaki Bani Asad. Dia menggenggam baju lelaki Bani Asad dan menolaknya ke hadapan saya. Sambil meronta-ronta lelaki Bani Asad yang tewas itu berkata: “Lepaskan saya, lepaskan saya.” “Demi Allah, saya tidak akan lepaskan engkau kecuali setelah al-Sha’bi menjatuhkan keputusan yang memihak kepada saya,” jegil lelaki Bani Amir tersebut.

“Saya memandang lelaki Bani Amir: “Lepaskan sahabat kamu itu agar saya dapat menjatuhkan hukuman.” Selepas itu saya katakan kepada lelaki Bani Asad: “Bagaimana engkau boleh tewas, sedangkan Bani Asad mempunyai enam peristiwa yang boleh menjadi kebanggaan mereka. Malah tiada orang Arab lain yang boleh menandingi mereka:

Pertama: Seorang wanita daripada kaummu telah dipinang oleh Nabi Muhammad bin Abdullah s.a.w.. Allah menurunkan perintahkan-Nya daripada tujuh petala langit agar Baginda mengahwini wanita tersebut. Manakala Jibril a.s. pula menjadi Utusan antara mereka. Wanita itu ialah Zainab bin Jahsh. Peristiwa ini menjadi kebanggaan kaummu dan kelebihan ini tidak diberikan kepada orang Arab lain.

Kedua: Ada di antara kamu telah menjadi penghuni syurga walaupun dia sedang berjalan di atas muka bumi. Dia ialah Ukashah bin Muhsoin.2 Kelebihan ini hanya ada pada kamu sahaja wahai Bani Asad. Tidak ada pada orang lain.

Ketiga: Panji pertama yang dikibarkan dalam Islam ialah panji yang dipimpin oleh salah seorang daripada kamu iaitu Abdullah bin Jahsh.3

Keempat: Harta perolehan perang yang pertama dibahagikan adalah daripada perolehan perang Abdullah bin Jahsh.

Kelima: Orang pertama yang memberi sumpah setia ketika Bai’atul Ridwan4 adalah salah seorang daripada kamu, iaitu Abu Sinan bin Wahab. Beliau datang menemui Rasulullah s.a.w. dan berkata: “Wahai Rasulullah s.a.w. hulurkan tanganmu untuk saya bersumpah setia bersamamu.”

“Untuk apa?” tanya Rasulullah s.a.w..

“Apa yang ada di dalam hatimu.” Abu Sinan kembali bertanya kepada Rasulullah. “Apa yang ada di dalam hati saya…?” soal Rasulullah.

“Menang atau mati syahid?” pintas Abu Sinan

“Ya,” jawab Baginda.

Beliaupun memberikan sumpah setia lalu sahabat-sahabat lain turut memberikan sumpah setia mereka seperti mana Abu Sinan.

Keenam: Kaummu Bani Asad merupakan satu pertujuh daripada muhajirin yang terlibat dalam peperangan Badar.”

Mendengar kata-kata al-Sha’bi, lelaki Bani Amir terkejut dan terdiam. Sudah tentu al- Sha’bi bertujuan membantu orang lemah yang dikalahkan oleh orang yang kuat. Jika lelaki yang dikalahkan berketurunan Bani Amir, sudah tentu beliau akan menyebut segala keistimewaan Bani Amir yang lelaki itu sendiri tidak mengetahuinya.

* * *

Apabila takhta khalifah diserahkan kepada Abdul Malik bin Marwan, baginda menulis surat kepada al-Hajjaj, gabenor Iraq: “Utuskan kepada saya seorang yang boleh memberi manfaat kepada agama dan dunia untuk saya lantik menjadi ahli majlis saya.”

Al-Hajjaj pun menghantar al-Sha’bi kepada khalifah. Al-Sha’bi kemudiannya dilantik sebagai orang kanannya. Segala masalah akan dirujuk kepadanya. Segala pandangannya akan diambil kira dalam apa jua masalah. Malah al-Sha’bi turut dilantik sebagai duta khalifah menemui raja-raja lain.

* * *

Suatu ketika, khalifah menghantar al-Sha’bi kepada Justinian, Maharaja Rom. Apabila Maharaja Rom bertemu dengan al-Sha’bi dan mendengar kata-katanya, baginda kagum dengan kepintaran dan kehebatan pengetahuannya. Baginda turut terpegun dengan pandangan-pandangan al-Sha’bi yang begitu bernas. Lantaran Maharaja Rom meminta al- Sha’bi melanjutkan tempoh lawatannya untuk beberapa hari lagi. Walaupun baginda jarang sekali membuat permintaan sedemikian.

Apabila al-Sha’bi berhasrat menamatkan lawatannya, beliau meminta izin Maharaja Rom untuk pulang ke Damsyik. Ketika itu maharaja bertanya: “Apakah engkau ahli keluarga diraja?”

“Tidak, saya adalah rakyat biasa,” jawab al-Sha’bi.

Apabila Maharaja Rom mengizinkan beliau berangkat, baginda bertitah: “Apabila engkau selamat sampai bertemu dengan rajamu (maksudnya Abdul Malik bin Marwan) dan setelah engkau sampaikan semua yang mahu diketahuinya, serahkan warkah ini kepadanya.”

Setiba di Damsyik, al-Sha’bi terus menemui Abdul Malik. Beliau menyampaikan kepada khalifah segala yang dilihat dan didengarnya. Beliau juga menjawab segala persoalan khalifah.

Setelah selesai dan ingin mengundur diri beliau berkata: “Wahai Amirul Mukminin, Maharaja Rom telah mengirimkan warkah ini kepadamu,” sambil menyerahkan warkah tersebut. Kemudian beliau minta mengundur diri.

Setelah Abdul Malik membacanya, baginda berkata kepada pengawalnya: “Panggilkan al-Sha’bi ke sini.”

Al-Sha’bi pun datang.

“Apakah engkau tahu kandungan surat ini?” tanya Khlalifah. “Tidak, wahai Amirul

Mukminin,” jawab Al-Sha’bi sambil mengeleng-geleng kepalanya.

Dengan tersenyum sinis Abdul Malik berkata: “Maharaja Rom menulis kepada saya, katanya: Saya kagum dengan orang Arab bagaimana mereka boleh melantik seorang raja yang lain daripad pemuda ini:

Al-Sha’bi segera membalas: “Dia berkata demikian kerana di tidak pernah melihat khalifah. Jika dia melihat khalifah, suda tentu dia tidak akan berkata begitu.”

Sambil mengusap pipinya Abdul Malik bertanya lagi: “Apakah engkau tahu kenapa Maharaja Rom menulis demikian kepada saya?” “Tidak, wahai Amirul Mukminin, balas al- Sha’bi.

“Dia mahu saya merasa irihati denganmu. Jadi, dia mahu memperdayakan saya supaya membunuh dan menyingkirmu,” jelas khalifah kepada Al-Sha’bi.

Berita ini sampai ke pengetahuan Maharaja Rom lalu baginda berkata: “Demi Tuhan, itulah yang saya mahu.”

* * *

Al-Sha’bi memiliki tahap ilmu yang tinggi hingga sebaris dengan tiga lagi tokoh ulama di zamannya. Al-Zuhri pernah berkata: “Ada empat orang ulama, Sa’id bin al- Musayyab di Madinah, Amir al-Sha’bi di Kufah, al-Hasan al-Basri di Basrah dan Makhul di Sham.”

Walau bagaimanapun, kerana sifatnya yang merendah diri, al-Sha’bi rasa malu apabila digelar sebagai seorang yang berilmu. Malah apabila ada orang berkata kepadanya: “Jawablah soalan saya wahai orang yang faqih dan alim.”

Al-Sha’bi membalas: “Alangkah baik jika engkau tidak kaitkan saya dengan apa yang tidak ada pada saya. Orang faqih ialah orang yang warak terhadap apa yang diharamkan oleh Allah dan orang alim ialah orang yang takutkan Allah. Sesungguhnya saya tidak layak dengan gelaran itu?!”

Suatu ketika beliau ditanya tentang suatu masalah lalu beliau menjawab: “Dalam masalah ini Umar bin al-Khattab berpandangan … Ali bin Abu Talib pula berpandangan…”

Beliau terus ditanya: “Jadi apakah pandangan tuan, wahai Abu Amru?” Sambil tersenyum beliau menjawab: “Adakah engkau perlu pandangan saya setelah engkau dengar pandangan Umar dan Ali.”

* * *

Al-Sha’bi memiliki sifat-sifat yang mulia dan istimewa. Antara sifatnya ialah beliau tidak suka berdebat dan tidak mahu terlibat dengan perkara yang tiada kena mengena dengannya. Pernah suatu ketika, seorang sahabatnya memanggil: “Wahai Abu Amru.”

“Ya, saya datang.,” sahut beliau.

Sahabatnya memandang ke arahnya lalu bertanya: “Apakah pandanganmu tentang pandangan orang ramai terhadap dua orang ini?”

“Siapa yang engkau maksudkan?” tanya Al-Sha’bi. “Uthman dan Ali,” jawab sahabatnya sambil mengerutkan dahinya.

Al-Sha’bi segera menjelaskan pendiriannya: “Demi Allah, saya tidak berhasrat sama sekali untuk bermusuh dengan Uthman bin Affan r.a. atau dengan Ali bin Abu Talib r.a. di hari akhirat kelak.”

* * *

Selain mempunyai ilmu yang luas, al-Sha’bi juga seorang yang berbudi bahasa dan berpekerti mulia. Suatu ketika seorang lelaki telah mencerca beliau dengan cercaan yang amat buruk. Orang itu mengeluarkan kata-kata yang amat kesat. Namun demikian beliau hanya berkata:

“Jika tuduhan itu benar, moga-moga Allah ampunkan saya. Jika tuduhan itu dusta, moga-moga Allah ampunkan engkau.”

* * *

Walaupun al-Sha’bi seorang yang berkedudukan tinggi dan mempunyai pelbagai keistimewaan, namun beliau tidak pernah merasa malu untuk menerima ilmu daripada sesiapapun. Walau serendah manapun kedudukan orang tersebut.

Ada seorang Arab badwi sering mengunjungi majlis ilmunya tetapi dia lebih suka mendiamkan diri. Lalu al-Sha’bi bertanya: “Kenapa engkau tidak berkata apa-apa?!”

Lelaki itu menjawab: “Jika saya diam, lebih selamat dan jika saya mendengar, lebih banyak ilmu yang saya dapat. Apa yang diterima oleh seseorang melalui telinganya akan menguntungkannya. Apa yang dikeluarkan oleh seseorang melalui lidahnya akan menguntungkan orang lain.”

Selepas mendengar kata-kata badawi tersebut, al-Sha’bi sering menyebut-nyebutnya sepanjang hayatnya.

* * *

Al-Sha’bi dianugerahkan dengan kemampuan mengungkap kata-kata indah dan petah berpidato. Jarang sekali kebolehan ini dimiliki kecuali oleh segelintir daripada kalangan mereka yang fasih berbicara.

Suatu ketika beliau berbual dengan gabenor Iraq, Umar bin Hubairah al-Farazi berkenaan beberapa orang yang telah dipenjara. Beliau berkata: “Wahai gabenor, jika engkau memenjara mereka tanpa sebab yang sah, kebenaran akan membebaskan mereka. Jika engkau memenjara mereka dengan sebab yang sah, keampunan akan melapangkan mereka.”

Gabenor merasa kagum dengan kata-katanya itu. Lalu dia membebaskan mereka semua semata-mata kerana menghormati al-Sha’bi.

* * *

Meskipun al-Sha’bi seornng yang mempunyai maruah dan kedudukan yang tinggi dari segi ilmu dan pegangan aganui, namun beliau tetap ceria dan suka berjenaka. Malahan beliau sentiasa bergurau dalam setiap ketika.

Suatu ketika seorang lelaki datang menemuinya. Ketika itu beliau sedang duduk bersama isterinya. Lelaki itu bertanya: “Siapakah al-Sha’bi?” “Ini dia,” jawab al-Sha’bi dengan senyum sambil menunding ke arah isterinya.

Suatu hari beliau ditanya: “Siapakah nama isteri Iblis?” “Maaf kerana saya tidak pernah pergi ke majlis perkahwinannya,” jawab beliau.

Mungkin suatu kisah yang dapat menggambarkan peribadi al-Sha’bi ialah kisah yang diceritakannya sendiri. Beliau berkata: “Saya tidak pernah mencari sesuatu yang sentiasa mendapat perhatian manusia. Saya tidak pernah memukul hamba saya. Apabila seorang saudara saya meninggal dunia dan dia berhutang, saya yang akan melunaskannya.”

* * *

Usia al-Sha’bi mencecah lebih 80 tahun. Apabila beliau pergi menemui Tuhannya, berita kematiannya disampaikan kepada al-Hasan al-Basri. Beliau berkata: “Moga Allah merahmatinya. Al-Sha’bi seorang yang berpengetahuan luas, baik budi pekerti dan berjasa untuk Islam ini.”

  1. Maksudnya dia tidak pernah menulis di atas kertas.
  2. Seorang sahabat yang telah menyertai kesemua peperangan. Dia mati syahid ketika peperangan memerangi kemurtadan.
  3. Salah seorang sahabat pemimpin pasukan peronda. Dia adalah ipar kepada Rasulullah s.a.w. Sila lihat buku, SuwarMin Hayat al-Sahabah, karangan penulis, penerbit Dar al-Adab al-Islami.
  4. Pada akhir tahun keenam Hijrah.