Amir Bin Abdullah Al-Tamimi
Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien
“Sifat zuhud boleh dilihat pada lapan orang terutama pada Amir bin Abdullah al-Tamimi.” [Alqamah bin Marthid]
Kisah kita kali ini berkisar di sekitar tahun ke-14 Hijrah. Kelihatan beberapa orang sahabat yang ternama bersama beberapa orang tabiin yang terkemuka sedang menggariskan sempadan kota Basrah menurut perintah Khalifah Umar bin al-Khattab r.a.. Mereka berhasrat menjadikan kota baru ini sebagai markas tentera Islam yang akan berfungsi untuk melancarkan serangan ke atas negara Parsi dan sebagai pusat pengembangan dakwah.
Kota ini bakal menjadi mercu bagi memartabatkan kalimah Allah di muka bumi.
Pada ketika yang sama, umat Islam datang berduyun-duyun masuk ke kota baru ini dari segenap pelusuk tanah Arab, dari Najd, Hijaz, dan Yaman.
Mereka mahu berada bersama di persempadanan umat Islam.
Salah seorang pendatang dari Najd ini ialah seorang pemuda Bani Tamim yang dikenali sebagai Amir bin Abdullah al-Tamimi al-Anbari.
* * *
Amir bin Abdullah ketika itu masih muda remaja, waja semangatnya, wajahnya berseri, jiwanya bersih dan hatinya suci.
Basrah, walaupun sebuah kota yang masih baru tetapi merupakan bumi umat Islam yang terkaya. Di sinilah terkumpulnya semua hasil peperangan termasuklah emas-emas tulen.
Walau bagaimanapun, pemuda Bani Tamim, Amir bin Abdullah tidak berhasrat untuk memperolehi semua itu.
Beliau tidak mengharapkan apa yang ada di tangan manusia tetapi hanya mahukan apa yang ada di sisi Allah.
Beliau menolak segala kekayaan dunia. Hanya keredaaa Allah yang dicarinya.
* * *
Basrah ketika itu dipimpin oleh seorang sahabat yang agung, Abu Musa al-Ash’ari yang diredai Allah dan diserikan wajahnya di syurga nanti.
Beliau adalah gabenor Basrah yang disegani, ketua tentera Islam yang sedang mara ke semua arah dan jugah imam penduduk Basrah dan guru serta pembimbing mereka.
* * *
Amir bin Abdullah sentiasa mendampingi Abu Musa al-Ash’ari di medan perang mahupun ketika di luar medan perang.
Beliau juga menemani Abu Musa ketika dalam perjalanan dan ketika menetap di sesuatu tempat.
Kitab Allah yang dipelajarinya daripada Abu Musa dirasakan seolah-olah dipelajarinya sendiri daripada Nabi Muhammad s.a.w.
Beliau meriwayatkan daripada Abu Musa hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang sahih dan terus daripada Rasulullah s.a.w.
Melalui Abu Musa juga beliau mempelajari agama Allah Taala.
Apabila segala ilmu telah diperolehinya, beliau membahagikan hayatnya kepada tiga bahagian.
Satu bahagian dihabiskan dalam kumpulan zikir dan dalam kumpulan inilah beliau membacakan al-Quran kepada orang ramai di masjid Basrah.
Satu bahagian lagi dikhususkan untuk ibadah sehinggakan apabila beliau berdiri menghadap Allah habis kebas kakinya.
Satu bahagian lagi dihabiskan di medan jihad tempat beliau menghunuskan pedangnya berperang di jalan Allah.
Seluruh hidupnya tidak terpisah daripada semua ini sehinggakan beliau digelar sebagai ahli ibadah dan ahli zuhud Basrah.
* * *
Suatu kisah Amir bin Abdullah pernah diceritakan oleh seorang penduduk Basrah, ceritanya:
“Saya bermusafir dalam satu rombongan bersama Amir bin Abdullah. Apabila malam tiba, kami berhenti di sebuah wadi.
Amir mengumpulkan barangannya, mengikat kudanya di sebatang pokok dengan talinya dibiarkan panjang, kemudian kuda-kudanya itu diberikan rumput-rumput secukupnya. Setelah itu Amir pun masuk ke celah-celah wadi. Saya berkata:
Demi Allah, saya mahu mengikutnya. Saya mahu lihat apa yang dilakukannya di tengah-tengah wadi di tengah malam ini.
Amir berjalan hingga sampai ke kawasan lapang yang dikelilingi pokok. Tempat itu agak tersembunyi daripada orang ramai.
Dia menghadap ke kiblat dan berdiri sembahyang.
Saya tidak pernah melihat sembahyang yang sebegini elok, begitu sempurna dan begitu khusyuk.
Selepas mendirikan sembahyang, Amir berdoa dan bermunajat kepada Allah, antara munajatnya:
“Tuhanku, Engkau telah menciptaku dengan perintah-Mu dan Engkau berikanku ujian di dunia ini menurut kehendak-Mu kemudian Engkau berkata kepadaku: bertahanlah…”
“Bagaimana mungkin aku dapat bertahan jika Engkau tidak membantuku dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan yang Maha Gagah lagi Maha Perkasa.
Tuhanku, Engkau tahu jika aku miliki segala isi dunia ini kemudian Engkau minta segalanya itu daripadaku sebagai tanda redaku kepada-Mu, nescaya aku akan serahkan segalanya untuk mendapatkan keredaan-Mu.Oleh itu, kurniakanlah kepadaku jiwaku ini, wahai Tuhan yang Maha Pengasih…
Tuhanku, aku amat mencintai-Mu sehingga aku rela menerima segala musibah untuk cintaku dan aku juga reda dengan segala ketentuan-Mu.
Demi cintaku ini, aku menerima segala apa yang aku hadapi sepanjang hidupku.
* * *
Pemuda Basrah ini menyambung ceritanya: “Tiba-tiba saya rasa terlalu mengantuk dan terlena.
Apabila saya terjaga, saya dapati Amir masih berada di tempatnya bersama sembahyang dan munajatnya hinggalah menjelang Subuh.
Apabila Amir menyedari masuk waktu subuh beliau pun menunaikan sembahyang dan menyambung doanya:
Tuhanku, kini telah tiba waktu Subuh dan manusia mula bekerja mencari kurnia-Mu. Masing-masing ada hajat mereka.
Dan hajat Amir hanyalah Engkau mengampuninya.
Tuhanku, kabulkan hajatku dan hajat mereka, wahai Tuhan yang Maha Pemurah. Tuhanku, aku pernah meminta kepada-Mu tiga perkara namun Engkau tunaikan dua sahaja dan Engkau tolak yang ketiga.
Tuhanku, berikanlah aku yang satu itu supaya aku dapat menyembah-Mu menurut kemahuanku.
Sebaik selesai, beliau pun bangun lalu ternampak saya. Beliau sedar saya melihat perkara yang dilakukannya pada malam itu. Beliau merasa amat bimbang dan berkata kepada saya dengan nada sedih:
“Saya rasa engkau mengintip saya pada malam tadi wahai pemuda Basrah.” Saya menjawab. “Ya.”
Amir menyambung lagi dengan perlahan: “Sembunyikanlah apa yang engkau lihat, moga-moga Allah menyembunyikan kesalahanmu.”
“Demi Allah sama ada engkau ceritakan kepada saya tiga perkara yang engkau minta daripada Tuhan-Mu ataupun saya akan beritahu pada orang lain apa yang saya lihat,” kata saya.
“Tolonglah, jangan lakukan,” pujuk Amir bersungguh-sungguh. Saya cuba meyakinkannya: “Buatlah seperti apa yang saya pinta.” Apabila beliau melihat kesungguhan saya, beliau berkata:
“Saya akan menceritakan kepadamu dengan syarat engkau berjanji demi Allah engkau tidak akan menceritakannya kepada sesiapa.”
Saya berkata: “Saya berjanji demi Allah tidak akan membocorkan rahsia ini selama engkau hidup.”
Beliau pun memulakan ceritanya: “Satu perkara yang paling saya takuti menggugat agama saya ialah wanita. Jadi saya memohon agar Tuhan menjauhkan hati saya daripada mencintai mereka. Allah memperkenankan doa saya hingga saya tidak menghiraukan wanita yang saya lihat.
Saya berkata lagi: “Itu yang pertama, apa yang kedua.”
Beliau pun menyambung: “Kedua, saya mohon daripada Tuhan agar saya tidak merasa takut kepada sesiapa selain daripada-Nya. Allah kabulkan doa saya sehingga demi Allah saya tidak pernah merasa takut kepada sesiapa pun baik di bumi mahupun di langit selain-Nya.
“Apakah yang ketiga?” tanya saya lagi
Beliau pun berkata: “Saya memohon agar tuhan menghilangkan keinginan saya untuk tidur supaya saya dapat menyembah-Nya sepanjang siang dan malam menurut kemahuan saya tetapi Dia tidak perkenankan permintaan ini.”
Apabila saya mendengar apa yang dikatakan itu, saya berkata:
“Kasihanilah dirimu, engkau menghabiskan sepanjang malam bersembahyang dan sepanjang siang berpuasa.”
“Syurga akan engkau diperolehi dengan walaupun sedikit dan neraka akan engkau jauhi dengan sedikit daripada apa yang engkau elakkan.”
Beliau berkata: “Saya takut saya akan menyesal pada hari yang tiada gunanya segala kekesalan.”
“Demi Allah saya akan beribadah seboleh mungkin.” “Jika saya selamat, itu adalah kerana rahmat Allah.”
“Jika saya dimasukkan ke neraka, itu adalah kerana kecuaian saya.”
* * *
Amir bin Abdullah ini bukan sahaja seorang rahib pada malam hari, malah dia juga seorang perwira di siang hari.
Setiap kali jihad dilaungkan, beliaulah antara orang terawal menyahutnya.
Setiap kali beliau bersiap sedia untuk berjuang bersama para mujahidin, beliau meninjau untuk memilih kumpulan yang akan disertainya.
Apabila beliau menemui kumpulan yang sesuai beliau akan berkata kepada mereka: “Saudara-saudara! saya mahu bersama kamu dengan syarat kamu memberikan saya tiga perkara.”
Mereka bertanya kehairanan: “Apa dia?”
Amir pun menjawab: “Pertama, saya akan menjadi pelayan kamu dan tiada siapa yang boleh mengambil alih tugas ini selama-lamanya.”
“Kedua, saya adalah muazzin kamu dan tiada siapa yang akan mengambil alih tugas menyeru untuk sembahyang ini daripada saya.”
“Ketiga, saya akan menanggung perbelanjaan kamu menurut kemampuan saya.” Jika kumpulan itu mempersetujuinya barulah beliau akan menyertai mereka.
Tetapi jika ada yang mengambil alih tugas yang telah dipersetujuinya itu, beliau akan berpindah ke kumpulan lain.
Amir adalah antara pejuang yang sentiasa berada di barisar hadapan ketika saat-saat genting, tetapi beliau adalah yang terkebelakang ketika pembahagian hasil perang.
Dalam sesuatu peperangan, beliau akan berjuang seolah-olal hanya beliau seorang yang melawan semua musuh.
Namun ketika pembahagian hasil perang, beliau hanya menyepikan diri jauh daripada orang lain.
* * *
Ketika ini, Saad bin Abu Waqqas1 berada di Istana Kisra setelah selesai peperangan di Qadisyyah2.
Beliau memerintahkan Amru bin Muqarrin supaya mengumpulkan semua hasil perang untuk dinilai dan dihitung satu perlima daripadanya ke Baitul Mal. Selebihnya akan dibahagi-bahagikan kepada para pejuang. Hasilnya, harta dan barangan berharga yang tidak terhingga berjaya dikumpul.
Ada raga besar yang ditutup dengan tembaga, sarat dengan barangan diperbuat daripada emas dan perak yang digunakan sebagai bekas hidangan maharaja Parsi.
Ada juga kotak besar yang diperbuat daripada kayu berharga berisi penuh dengan pakaian diraja termasuk jubah rasminya yang bertatah intan permata.
Ada juga kotak hiasan yang dipenuhi dengan perhiasan berharga dan barang-barang yang mahal.
Ada juga sarung-sarung pedang milik maharaja-maharaja Parsi.
Ditambah pula dengan pedang-pedang milik raja-raja dan pemerintah-pemerintah yang selama ini tunduk di bawah kuasa Parsi.
* * *
Ketika para petugas sibuk menilai hasil-hasil perang dengan dikelilingi oleh tentera- tentera Islam, tiba-tiba seorang lelaki yang kusut masai datang membawa sebuah bekas yang amat besar dan amat berat. Dia menggunakan kedua-dua tangannya untuk mengangkat bekas itu.
Masing-masing melihat bekas itu dan ternyata mereka tidak pernah melihat bekas yang setanding atau hampir setanding dengannya.
Mereka melihat isinya dan ternyata isinya penuh dengan batu-batu permata yang sungguh menawan.
“Di manakah engkau temui harta yang amat berharga ini?” mereka bertanya kehairanan.
“Saya perolehinya dalam satu pertempuran di satu tempat,” jawab lelaki itu.
“Apakah engkau ada mengambil apa-apa?” tanya mereka lagi.
“Moga Allah memberi petunjuk kepada kamu,” jawab lelaki itu sambil menggeleng kepalanya.
“Demi Allah, bekas ini malah semua harta yang dimiliki oleh maharaja-maharaja
Parsi tidak bernilai sedikitpun.”
“Jika tidak kerana ia adalah hak umat Islam3, sudah tentu saya tidak akan mengusiknya dan saya tidak akan membawanya ke sini.”
Tergamam mereka mendengar jawapannya. “Siapakah engkau wahai orang yang dimuliakan Allah?” tanya mereka lagi.
“Demi Allah, saya beritahu kamu semua ini bukan supaya kamu memuji saya dan bukan tujuan saya beritahu semua ini supaya semua orang memuji saya,” jelasnya lagi.
“Saya hanya memuji Allah dan hanya mengharapkan pahala-Nya,” katanya sebelum kemudiannya pergi meninggalkan mereka.
Namun, orang ramai mengarahkan seseorang supaya mengikut lelaki tadi dan mencari siapakah sebenarnya lelaki ini.
Pesuruh ini mengekori lelaki tadi tanpa disedari hinggalah lelaki itu sampai di tempat sahabat-sahabatnya. Apabila pesuruh ini bertanya mereka mengenai lelaki tadi, mereka berkata: “Engkau tidak kenal dia? Itulah ahli zuhud Basrah, Amir bin Abdullah al-Tamimi.”
* * *
Namun demikian, kehidupan Amir bin Abdullah, walaupun setelah kita kenali segala sifat-sifatnya, tidak terlepas daripada melalui pelbagai cubaan dan angkara manusia.
Amir turut merasai apa yang dirasai oleh penegak kebenaran dan mereka yang tidak dapat menerima kemungkaran dan yang berusaha menghapuskannya..
Punca utama Amir menerima segala angkara jahat ini ialah suatu ketika beliau ternampak seorang lelaki yang bertugas di bawah setua polis Basrah memegang leher seorang ahli zimmi4 dan mengheretnya.
Ketika itu dia menjerit-jerit meminta tolong daripada orang ramai: “Selamatkanlah saya moga-moga Allah menyelamatkan kamu.”
“Selamatkanlah orang yang tunduk dibawah janji Nabi kamu, wahai umat Islam.”
Lalu Amir yang kebetulan berada di situ datang dan bertanya kepada ahli zimmi itu: “Adakah engkau membayar jizyah?” Dia menjawab terketar-ketar: “Ya, saya membayarnya.” Lalu Amir pun bertanya kepada lelaki yang memegang leher ahli zimmi tadi: “Apakah yang engkau mahu daripadanya?” Dia menjawab: “Saya mahu dia ikut saya untuk membersihkan taman ketua polis.”
Amir bertanya lagi kepada ahli zimmi tadi: “Apakah engkau tidak mahu melakukan kerja itu?” Dia menjawab: “Tidak, tidak sama sekali.”
“Kerja itu memenatkan saya dan mengganggu kerja saya mencari makan untuk keluarga saya,” jelasnya lagi.
Lalu Amir berkata kepada lelaki tadi: “Lepaskan dia.” Lelaki itu menjawab dengan keras: “Tidak, saya tidak akan lepaskan dia.”
Amir pun terus menghulurkan kainnya kepada ahli zimmi tadi sambil berkata: “Demi
Allah saya tidak akan benarkan janji Muhammad dikhianati selagi saya hidup.”
Maka berlakulah satu pergaduhan di antaranya dengan lelaki tersebut. Orang ramai pun mula mengerumuni sambil membantu Amir melawan lelaki tadi dan berusaha melepaskan ahli zimmi tadi.
Akibat peristiwa itu, pegawai-pegawai ketua polis mula menuduh Amir melanggar perintah.
Mereka menuduh Amir seorang yang menyeleweng daripada Sunnah dan Jamaah. Mereka menuduh Amir seorang yang tidak mahu berkahwin, tidak makan daging dan susu serta tidak suka duduk bersama-sama pemerintah.
Mereka turut membawa masalah Amir kepada Amirul Mukminin, Uthman bin Affan r.a..
* * *
Khalifah seterusnya memerintahkan gabenor Basrah agar memanggil Amir bin Abdullah dan bertanya mengenai tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Setelah itu dilaporkan kepadanya.
Gabenor Basrah pun memanggil Amir dan menjelaskan: “Amirul Mukminin memerintahkan saya supaya bertanya mengenai tuduhan yang dilemparkan kepada engkau.”
Amir dengan tenang berkata: “Tanyalah apa yang diminta oleh Amirul Mukminin.” “Kenapa engkau menjauhi Sunnah Rasulullah s.a.w. dan enggan berkahwin?” soal si gabenor memulakan siasatan.
“Saya tidak berkahwin bukan kerana saya menjauhi Sunnah Nabi s.a.w.. Malah saya bersumpah tidak wujud amalan kerahiban dalam Islam. Sebenarnya saya berpendapat bahawa saya hanya memiliki satu jiwa. Saya mahu jadikan jiwa ini hanya untuk Allah. Saya takut jiwa ini akan dirampas oleh seorang isteri,” jelas Amir bersungguh-sungguh.
“Kenapa engkau tidak mahu makan daging?” tanya Gabenor itu lagi.
“Tidak benar, saya akan makan daging jika saya mahu dan jika saya memilikinya. Jika saya tidak mahu ataupun ketika saya mahu tetapi daging ini tiada, saya tidak akan makan,” jelas Amir.
Gabenor pun menyoal lagi: “Kenapa engkau tidak makan keju?”
“Kita berada di kawasan Majusi dan mereka ini yang membuat keju. Mereka tidak membezakan antara bangkai dan haiwan yang disembelih. Saya takut bahan yang digunakan untuk membuat keju diperbuat daripada kambing yang tidak disembelih. Mana-mana keju yang diperbuat daripada bahan kambing yang disembelih dan diperakui oleh dua saksi Islam saya akan makan,” jelas Amir panjang lebar.
Gabenor bertanya lagi: “Apakah sebab engkau tidak mahu bertemu pemerintah dan duduk bersama mereka?
Amir menjawab: “Di pejabat kamu ada ramai orang yang memerlukan bantuan, jemputlah orang-orang ini menemui kamu dan penuhilah segala permintaan mereka. Abaikanlah orang yang tidak memerlukan apa-apa bantuan daripada kamu.”
* * *
Jawapan Amir bin Abdullah ini dihadapkan kepada Amirul Mukminin, Uthman bin Affan. Khalifah kemudiannya mendapati tidak timbul soal penderhakaan atau penyelewengan daripada Sunnah dan Jamaah.
Walau bagaimanapun, masalah ini tidak selesai setakat itu. Masih banyak yang diperkatakan tentang Amir bin Abdullah. Malah, hampir-hampir menimbulkan kekacauan antara penyokong dan musuh Amir.
Oleh itu, Uthman r.a. meminta agar Amir dibawa ke Sham dan diberikan kediaman di sana. Malah gabenor di Sham, Muawiyah bin Abu Sufyan diarahkan agar memberikan layanan yang baik dan penghormatan kepadanya.
Pada hari Amir bin Abdullah bersedia untuk berangkat meninggalkan Basrah, ramai di kalangan sahabat dan anak-anak muridnya keluar mengucapkan selamat jalan kepadanya.
Mereka mengiringinya hingga sampai ke pinggir Marbid5. Di situ beliau berkata kepada mereka yang mengiringinya: “Saya akan berdoa. Mohonlah agar doa saya ini diperkenankan.” Semua yang ada di situ menjenguk ke arahnya. Mereka terdiam, namun mata mereka merenung ke arah Amir.
Lantas, Amir mengangkat tangannya: “Ya Allah, siapa yang memfitnah saya hingga menyebabkan saya dihalau keluar daripada negeri saya dan memisahkan saya dengan sahabat-sahabat saya, ya Allah, saya maafkan mereka. Oleh itu Engkau maafkanlah mereka. Berikanlah mereka kesejahteraan agama dan dunia. Limpahkanlah kepada saya, mereka dan seluruh umat Islam akan rahmat, keampunan dan ehsan-Mu, wahai Tuhan yang Maha pengasih.”
Selesai sahaja berdoa, Amir mengalihkan mukanya ke Sham dan memulakan perjalanannya…
* * *
Amir bin Abdullah menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Sham. Beliau memilih Baitul Maqdis sebagai kediamannya. Beliau turut menerima layanan yang baik dan terhormat daripada gabenor di Sham, Muawiyah bin Abu Sufyan, sesuai dengan kedudukannya.
Ketika sedang sakit tenat, sahabat-sahabatnya yang datang menziarahinya melihat beliau sedang menangis. Mereka berkata: “Kenapakah engkau menangis sedangkan engkau …6 Amir berkata dengan perlahan: “Demi Allah, saya bukan menangis kerana inginkan dunia atau takutkan mati. Saya menangis kerana perjalanan ini panjang, namun bekalan yang ada hanya sedikit. Kehidupan saya sentiasa turun naik. Mungkin ke syurga dan mungkin ke neraka. Saya tidaktahu ke manakah haluan saya.”
Amir menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika lidahnya basah menyebut nama Allah. Di mana? Di sana, di kiblat yang pertama, tanah haram yang ketiga, tempat Rasulullah s.a.w. melakukan israknya, di sanalah Amir bin Abdullah al-Tamimi bersemadi.
Moga Allah mengurniakan cahaya-Nya kepada Amir di dalam makamnya dan semoga wajahnya berseri di dalam syurga yang abadi.
- Salah seorang di antara sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga dan juga ketua tentera Islam di peperangan Qadisiyyah. Sila lihat buku Suwar min hayat al-Sahabah, karangan penulis, penerbit Dar al-Adab al-Islami.
- Sebuah kawasan di Iraq yang menjadi medan peperangan Qadisiyyah. Di situ tentera Islam berjaya mencapai kemenangan besar mengalahkan Parsi.
- Islam menetapkan satu perlima hasil perang adalah untuk Baitul Mai dan bakinya untuk para pejuang.
- Ahli zimmi ialah orang yang tunduk di bawah pemerintahan dan perlindungan umat Islam.
- Kawasan di pinggir Basrah.
- Merujuk kepada ketakwaan dan kebaikannya.