Al-Rabi’ Bin Khuthaim
Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien
“Wahai Abu Yazid, jika Rasulullah s.a.w. melihatmu sudah tentu baginda akan menyayangimu.”
Abdullah bin Mas‘ud
Hilal bin Isaf1 pernah berkata kepada tetamunya, Munzir al-Thauri: “Hendakkah saya bawakan engkau kepada seorang sheikh. Mudah-mudahan kita dapat perbaharui keimanan seketika?”
“Ya. Demi Allah, tujuan saya datang ke Kufah hanyalah untuk menemui tuan sheikh kamu, al-Rabi’ bin Khuthaim. Saya rindu untuk hidup seketika dalam suasana keimanan. Cuma adakah beliau akan izinkan kita menemuinya? Saya diberitahu sejak beliau ditimpa lumpuh separuh badan, beliau hanya menetap di rumahnya. Tumpuannya hanya kepada Tuhannya dan enggan menemui orang lain,” ujar Munzir.
“Begitulah keadaannya semenjak dahulu lagi. Penyakit itu tidak pernah mengubah sedikitpun sikapnya,” balas Hilal sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Baiklah, engkau tahu sheikh ini lembut sifatnya. Apakah pada pandangan engkau saya boleh bertanya apa yang saya mahu ataupun saya perlu berdiam sahaja mendengar apa yang beliau ingin katakan?”
“Jika engkau duduk setahun penuh bersama al-Rabi’ bin Khuthaim sekalipun, beliau tidak akan bercakap dengan engkau kecuali jika engkau bercakap dengannya. Beliau tidak akan bercakap dengan engkau kecuali jika engkau bertanyakannya. Beliau mahu setiap kata- katanya adalah zikir dan senyapnya itu adalah berfikir,” jelas Hilal menceritakan perihal sheikhnya.
“Jika demikian eloklah kita pergi berjumpa dengannya,” ajak Hilal.
Mereka berdua pun pergi untuk menemui sheikh tersebut. Ketika tiba di rumah sheikh, mereka memberi salam sambil bertanya: “Apa khabar sheikh pagi ini?”
“Saya rasa begitu lemah dan berdosa namun masih tetap menikmati rezeki-Nya dan menunggu-nunggu ajal-Nya.”
“Seorang doktor yang mahir telah datang ke Kufah, apakah sheikh mahu saya memanggilnya?” cerita Hilal kepada sheikh.
“Wahai Hilal, saya tahu ubat itu mujarab. Namun saya sudah melihat kaum Aad, Thamud, Ashabul Ras dan kaum-kaum yang lain seumpama mereka. Saya melihat kesungguhan mereka mencari dunia dan keinginan mereka yang tinggi untuk mencari kesenangan. Malah mereka lebih kuat daripada kita dan lebih berkemampuan daripada kita. Mereka juga ada doktor-doktor dan mereka juga ada pesakit-pesakit. Namun tiada seorang pun baik yang mengubat dan yang diubat kekal!!” jawab tuan sheikh bersungguh-sungguh walaupun beliau kelihatan masih lemah.
Lalu dia termenung jauh dan berkata: “Jika ini adalah penyakit sudah tentu saya akan mengubatnya.”
Ketika itu Munzir meminta izin untuk bertanya: “Apakah penyakit itu, wahai tuan sheikh?”
“Penyakit itu adalah dosa.”
“Apakah ubatnya?” “Ubatnya ialah istighfar.” “Bagaimanakah cara merawatnya.”
“Engkau bertaubat dan engkau tidak mengulanginya lagi.”
Lalu sheikh merenung kami dan berkata: “Perkara yang tersembunyi… Perkara yang tersembunyi… Hendaklah menjaga perkara yang tersembunyi yang tidak dilihat oleh manusia lain walaupun perkara ini tidak dapat disembunyikan daripada Allah Taala. Sentiasalah beramal dengan ubat-ubatnya.”
“Apakah ubat-ubatnya?” tanya Munzir lagi. “Taubat nasuha2.”
Lalu sheikh menangis hingga mengalir air matanya membasahi janggutnya. “Apakah dengan keadaan tuan ini, tuan masih menangis,” tanya Munzir lagi.
“Tidak, tetapi kenapa saya tidak menangis sedangkan saya pernah menemui sekumpulan manusia (maksudnya para sahabat Rasulullah s.a.w.) yang jika dibandingkan dengan mereka, kita ini ibarat perompak.”
Ketika itu anak sheikh masuk, setelah memberi salam, anaknya berkata: “Wahai ayahku, ibu telah siapkan kuih khobis 3. Ibu amat teringin ayah memakannya. Bolehkah saya membawanya ke sini.”
“Bawalah ke sini.”
Apabila anak ini keluar, kedengaran pintu diketuk. “Masuklah,” izin tuan sheikh.
Apabila orang itu masuk ke ruang tamu, saya melihat siapakah gerangannya. Orang itu rupanya seorang tua yang memakai pakaian yang compang-camping dengan air liurnya yang meleleh. Daripada rupa parasnya, dia kelihatan seperti seorang yang tidak waras.
Ketika saya merenung wajah lelaki tadi, tiba-tiba anak sheikh masuk membawa sedulang kuih khobis. Ayahnya mengarahkannya supaya meletakkan kuih itu di hadapan orang tua tadi. Kuih itu pun diletakkan di hadapan orang tua tadi lantas orang tua itu pun menjamahnya dengan air liur masih meleleh. Orang tua ini makan sehingga habis sedulang.
Lantas anak sheikh ini pun berkata: “Moga Allah mengasihimu wahai ayah, ibu sudah bersusah payah membuatkannya untuk ayah dan kamipun mahu merasanya tetapi ayah berikan pula pada yang tidak tahupun apa yang dimakannya.”
Sheikh berkata: Anakku, jika dia tidak tahu, Allah tahu, lalu sheikh membaca firman Allah:
“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” [maksud Aali Imran: 92]
Ketika itu, seorang saudaranya masuk sambil berkata: “Wahai Abu Yazid, al-Husin bin Fatimah r.a. telah dibunuh.”
“Inna lillah wa inna ilaihi rajiun” ujarnya lagi. Sheikh membaca lagi firman Allah:
“Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah jua yang mengadili di antara hamba-hamba-Mu, mengenai apa yang mereka sentiasa berselisihan padanya.” [maksud Al-Zumar: 46]
Namun lelaki tadi tidak puas dengan jawapan sheikh. Lain dia bertanya: “Apakah pendapat sheikh tentang pembunuhan ini?”
“Bagi saya kepada Allah mereka akan kembali dan kepada Allah juga perhitungan mereka.” jawab sheikh ringkas.
Kata Hilal: “Saya menjangka waktu zuhur hampir tiba, jadi saya berkata kepada sheikh: “Berilah nasihat kepada saya.”
“Wahai Hilal, janganlah engkau terpedaya dengan pujian manusia kerana manusia hanya mengetahui luaran sahaja. Ketahuilah engkau akan dipertanggungjawabkan dengan segala amalanmu. Segala amalan yang bukan dilakukan kerana Allah akan pupus.”
“Berilah juga nasihat kepada saya.” ucap Munzir pula.
“Wahai Munzir, takutilah Allah dengan ilmu yang ada padamu dan yang tiada padamu. Serahkanlah segalanya kepada Tuhan yang Maha Mengetahui.”
“Wahai Munzir, janganlah engkau berkata: Saya bertaubat. Sedangkan engkau tidak bertaubat dan engkau hanya menipu. Sebaliknya katakanlah: Terimalah taubat saya. Itu bermakna engkau berdoa.”
“Wahai Munzir ketahuilah, tidak ada gunanya bercakap kecuali untuk mengesakan Allah Taala, memuji Allah Taala, membesarkan Allah Taala, bertasbih, memohon kebaikan, menjauhi keburukan, menyuruh melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan membaca al-Quran.”
“Sepanjang saya duduk bersama tuan, tidak pernah saya dengar tuan membaca syair sedangkan saya lihat beberapa orang sahabat tuan membacakannya,” tanya Munzir lagi.
“Setiap apa yang engkau katakan di sini akan ditulis dan dibacakan di sana nanti (akhirat). Saya tidak suka ada di dalam kitab saya serangkap syair yang akan dibacakan kepada saya di hari perhitungan nanti.”
Lalu sheikh merenung kami sambil berkata: “Sentiasalah mengingati mati kerana ia sentiasa mengintip kamu tanpa kamu sedari. Suatu yang sekian lama menghilang diri, bermakna masa untuk ia muncul menjelang tiba untuk mencari temannya.”
Tiba-tiba sheikh menangis kemudian berkata: “Apakah yang akan kita lakukan esok hari.
Apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata- ratanya, Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah), serta diperlihatkan neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? [Al-Fajr: 21-23]
Hilal bercerita lagi: “Sebaik sahaja al-Rabi’ selesai berkata-kata, azan pun berkumandang. Kemudian anaknya masuk sambil berkata; Marilah kita menyahut seruan Allah.”
“Tolonglah saya bawa ayah saya ke masjjid.” pinta si anak.
Kami pun mengarngkat sheikh. Sheikh meletakkan tangan kanannya ke bahu anaknya dan tangan kirinya ke bahu saya. Sheikh berpaut kepada kami dengan kakinya melangkah perlahan selangkah demi selangkah.
Munzir berkata: “Wahai Abu Yazid, Allah telah memberikan keringanan jika tuan mahu sembahyang di rumah.”
“Betul apa yang engkau katakan, tetapi saya mendengar muazzin menyebut marilah ke arah kejayaan. Marilah ke arah kejayaan. Sesiapa sahaja di kalangan kita yang mendengar seruan ke arah kejayaan sahutlah walaupun terpaksa merangkak,” jawabnya.
* * *
Siapakah sebenarnya al-Rabi’ bin Khuthaim ini?
Beliau adalah seorang tokoh tabiin dan salah seorang daripada lapan orang tokoh zuhud di zaman mereka. Beliau berbangsa Arab daripada keturunan Bani Mudhar. Keturunannya bertemu dengan keturunan Rasulullah s.a.w. pada Ilyas dan Mudhar moyang mereka.
Semenjak kecil lagi beliau dibesarkan dengan suasana yang penuh ketaatan kepada Allah. Jiwanya sentiasa terdidik dengan ketakwaan. Setiap kali ibunya terjaga daripada tidur, sudah pasti ia akan dapati anak kecilnya4 ini berada di mihrabnya. Bertasbih sambil bermunajat serta tenggelam dalam kekhusyukan sembahyang.
“Rabi’, tidakkah kamu mahu tidur?” kata si ibu kepada anak kecilnya.
“Bagaimana mungkin seorang yang bimbang akan serangan musuh dapat tidur lena di tengah kegelapan malam ini,” jawab anak kecil ini.
Mendengar kata-katanya, mengalir air mata si ibu lantas mendoakan kesejahteraan anak yang dikasihi ini. Apabila dewasa, kewarakkan dan ketakutannya kepada Allah turut semakin dewasa.
Melihat ketekunan ibadat pemuda ini, si ibu merasa belas kasihan. Melihat kesungguhan pemuda ini menghidupkan malam ketika manusia lain sedang nyenyak tidur menyebabkan timbul pelbagai wasangka dalam hati si ibu.
“Apakah yang telah berlaku padamu, wahai anakku? Apakah engkau telah melakukan sesuatu kesalahan? Apakah engkau telah membunuh seseorang?” tanya si ibu.
“Ya, wahai ibu, saya telah membunuh seseorang.” jawab Rabi’.
Tergamam ibunya mendengar jawapannya, lantas bertanya: “Siapakah yang engkau bunuh itu, wahai anakku? Mungkin kita boleh hantar sesiapa mencari kaum keluarganya untuk meminta ampun bagi pihakmu. Demi Allah, jika keluarga si mati melihat tangisanmu ini dan mereka melihat kegelisahan engkau ini sudah tentu mereka akan merasa belas kasihan.”
“Wahai ibu, tolonglah jangan beritahu sesiapa. Sebenarnya saya telah membunuh diri saya sendiri. Saya bunuh diri saya dengan dosa-dosa saya.” jawab Rabi’.
* * *
Al-Rabi’ bin Khuthaim pernah berguru dengan Abdullah bin Mas’ud 5, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. dan seorang yang paling hampir menerima petunjuk dan paling mengenali Nabi s.a.w.
Al-Rabi’ sangat sayangkan gurunya ini ibarat kasih sayang anak kepada ibunya. Malah al-Rabi’ sendiri adalah anak murid yang paling dikasihi oleh gurunya ibarat kasih sayang seorang bapa kepada anak tunggalnya.
Al-Rabi’ boleh menemui Ibnu Mas’ud pada bila-bila masa tanpa terlebih dahulu meminta izin. Orang lain yang ingin menemui Ibnu Mas’ud pula tidak akan dibenarkan masuk kecuali setelah al-Rabi’ keluar. Ibnu Mas’ud dapat melihat kejernihan jiwa al-Rabi’, ketulusan hatinya dan kesucian ibadatnya. Malah terasa sayu hatinya kerana al-Rabi’ tidak berkesempatan untuk menemui Nabi s.a.w. dan tidak dapat menikmati nikmat persahabatan dengan Baginda.
Ibnu Mas’ud pernah berkata: “Wahai Abu Yazid, jika Rasulullah s.a.w. melihatmu sudah tentu Baginda akan menyayangimu.”
Ibnu Mas’ud juga pernah berkata: “Setiap kali melihatmu saya akan teringat orang- orang yang khusyuk.”
* * *
Kata-kata Ibnu Mas’ud itu bukan keterlaluan. Kekhusyukan, kewarakan dan ketakwaan al-Rabi’ tidak mampu ditandingi oleh orang yang seangkatan dengannya. Banyak kisah-kisah yang diceritakan mengenai al-Rabi’ menjadi contoh gemilang dalam lembaran sejarah.
Salah satu kisah ini pernah diceritakan sendiri oleh sahabatnya: “Saya bersahabat dengan al-Rabi’ bin Khuthaim tetapi saya tidak pernah mendengar dia bercakap kecuali dengan perkataan baik yang baik kepada Allah… Sahabatnya ini membaca ayat al-Quran:
“Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). [maksud Faatir: 10]
Abdul Rahman bin ‘Ajlan pernah menceritakan: “Suatu malam saya tidur bersama al- Rabi’. Apabila melihat saya telah tidur, beliau pun bangun bersembahyang dan membaca firman Allah:
“Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.” [maksud Al-Jaathiyah: 21]
Sepanjang malam itu beliau bersembahyang dengan membaca ayat ini hinggalah terbit fajar dengan mata yang berlinangan.
Kisah ketakutan al-Rabi’ kepada Allah ini terlalu banyak. Suatu ketika diceritakan sendiri oleh beberapa orang sahabatnya: “Suatu hari kami keluar menemani Abdullah bin Mas’ud dan bersama kami al-Rabi’ bin Khuthaim. Apabila kami sampai ke tebing sungai Furat, kami melalui sebuah tempat pembakaran bata yang besar dan ketika itu apinya sedang dinyalakan dan habanya amat terasa. Kelihatan gejolak api begitu tinggi sehingga kedengaran bunyi marak api. Batu-bata ketika itu sedang diletakkan di dalam tempat bakar. Apabila al- Rabi’ melihat api ini, dia berhenti seketika. Dia begitu ketakutan lalu membaca firman Allah:
“Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang menggelegak dan mengeluh. Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan daripada azab itu).” [maksud Al-Furqaan: 12-13]
Setelah itu, al-Rabi’ tidak sedarkan diri. Kami tunggu sehingga beliau sedar dan kami bawakan beliau ke rumahnya.
* * *
Sepanjang hidupnya, al-Rabi’ bin Khuthaim sentiasa berhati-hati menanti mati. Beliau sentiasa bersiap sedia menghadapinya. Ketika al-Rabi’ nazak, anak perempuannya menangis.
“Wahai anakku, kenapa engkau menangis sedangkan ayahmu sedang menuju kebaikan.” pujuk al-Rabi’.
Beliau kemudiannya pergi menemui Tuhannya dengan tenang.
- Hilal bin Isaf al-Ashja’ie, salah seorang tokoh tabiin yang terkemuka.
- Taubat yang jujur disertakan dengan keazaman untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.
- Sejenis kuih.
- Ketika ini al-Rabi’ masih belum baligh.
- Sila lihat buku, Suwar min hayat al-Sahabah, karang penulis, penerbit Dar al-Adab al-Islami.