Al-Qasim Bin Muhammad Bin Abu Bakar

Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien

“Jika saya ada kuasa dalam hal ini sudah tentu saya akan melantik al-Qasim bin Muhammad sebagai khalifah.”

[Umar bin Abdul Aziz]

Pernahkah anda mendengar kisah ulama tabiin yang agung ini? Segala kegemilangan bersatu dalam jiwanya. Bapanya adalah Muhammad bin Abu Bakar al-Siddiq dan ibunya ialah anak perempuan Kisra, Yazdajurda, maharaja terakhir kerajaan Parsi. Ibu saudaranya ialah Aisyah, Ummu Mukminin.

Malah apa yang lebih utama ialah beliau telah memahkotakan dirinya dengan mahkota takwa dan ilmu. Adakah selain daripada kemuliaan ini, ada lagi kemuliaan lain yang dicari-cari oleh manusia.

Beliau ialah al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar al-Siddiq. Salah seorang daripada tujuh ulama Madinah1 dan orang yang paling terkehadapan dalam keilmuan di zamannya. Seorang yang tajam fikirannya dan sangat warak.

Marilah kita ikuti kisah hidupnya.

* * *

Al-Qasim bin Muhammad dilahirkan di akhir zaman pemerintahan Uthman bin Affan r.a.. Ketika anak kecil ini masih dalam buaian lagi, negara Islam telah terjebak dalam kancah yang melanda. Ketika inilah Khalifah Uthman bin Affan yang digelar sebagai Zu Nurain, seorang yang terkenal dengan ibadat dan zuhudnya terkorban rebah di atas lembaran al- Qurannya. Setelah itu, timbul pula pertembungan yang hebat antara Amirul Mukminin, Ali bin Abu Talib dengan Gabenor Sham, Muawiyah bin Abu Suf’yan.

Dalam suasana yang penuh kegawatan dan genting, anak kecil ini bersama-sama dengan adik perempuannya terpaksa berpindah dari Madinah ke Mesir. Mereka terpaksa mengikut ayah mereka yang baru sahaja dilantik oleh Amirul Mukminin, Ali bin Abu Talib sebagai gabenor di sana. Malangnya tangan-tangan khianat menjerut ayahnya dan membunuhnya dengan kejam.

Peristiwa malang ini memaksa anak kecil ini berpindah semula ke Madinah setelah Madinah ditawan oleh pengikut Muawiyah. Anak kecil ini kini menjadi yatim.

* * *

Al-Qasim pernah menceritakan sendiri kisah malang yang menimpanya. Beliau menceritakan: “Setelah ayah dibunuh di Mesir, bapa saudara saya Abdul Rahman bin Abu Bakar datang untuk membawa saya dan adik perempuan saya ke Madinah. Sebaik sahaja kami sampai di Madinah ibu saudara saya, Aisyah r.a. datang mengambil kami dan membawa kami ke rumahnya. Kami kini diasuh dalam belaiannya.”

“Saya tidak pernah melihat seorang ibu atau ayah yang begitu baik dan pengasih sepertinya. Beliau menyuapkan sendiri makanan ke mulut kami dengan tangannya. Malah beliau tidak makan ketika kami makan dan hanya sisa-sisa makanan kami yang menjadi makanannya. Kami dibelai olehnya seperti seorang ibu menyusukan anaknya. Beliau akan memandikan kami dan menyikat rambut kami dan sentiasa memakaikan kami dengan pakaian yang putih bersih.

Beliau tidak pernah lupa menyemai kami dengan nilai budi yang baik dan mendidik kami supaya melakukannya. Beliau juga tidak lupa melarang kami daripada melakukan kejahatan dan mendidik kami supaya tidak melakukannya. Kami sentiasa diajar Kitab Allah dan dididik supaya menghafal hadis-hadis Rasulullah s.a.w. mengikut keupayaan kami.

Ketika hari raya, kemesraannya lebih terasa, apatah lagi dengan hadiah yang diberikannya. Pada malam hari Arafah, beliau mencukur rambut saya dan kemudian memandikan saya dan adik perempuan saya. Ketika pagi raya beliau menyarungkan kami pakaian baru. Setelah itu beliau menyuruh seseorang membawa saya ke masjid untuk menunaikan sembahyang hari raya. Apabila saya pulang, beliau memanggil saya dan adik saya berkumpul, beliau kemudiannya melakukan upacara korban di hadapan kami.

* * *

Pada suatu hari, beliau menyarungkan kami pakaian berwarna putih dan saya didudukkan di pehanya manakala adik saya didudukkan di pehanya yang satu lagi. Rupa- rupanya beliau telah memanggil bapa saudara saya Abdul Rahman. Apabila Abdul Rahman sampai, beliau menyambutnya dan bercakap sambil memuji-muji Allah Azza wa Jalla dengan segala sifat yang terpuji. Saya tidak pernah melihat scorang lelaki mahupun perempuan sebelum atau selepas itu yang bercakap dengan begitu petah dan indah sepertinya.

Beliau berkata dengan lembut: “Saudaraku, saya melihat engkau selalu menjauhkan diri dari saya semenjak saya mengambil dan membela kedua-dua budak ini. Demi Allah, apa yang saya lakukan ini bukan kerana membelakangkan hakmu atau kerana wasangka denganmu atau kerana merasakan engkau akan mengabaikan mereka. Cuma engkau mempunyai isteri yang ramai sedangkan budak-budak ini belum lagi pandai menjaga diri sendiri. Jadi, saya takut isteri-isterimu tidak sanggup melihat kecomotan mereka sehingga menyebabkan mereka merasa tidak senang hati. Oleh itu, dalam usia ini saya merasakan saya sepatutnya membela mereka ini.”

Namun sekarang mereka sudah besar dan sudah pandai menjaga diri. Ambil dan belalah mereka. Lalu bapa saudara kami mengambil kami dan membela kami di rumahnya.

* * *

Walau bagaimanapun, anak kecil keturunan Abu Bakar ini lebih suka dengan rumah ibu saudaranya, Aisyah Ummu Mukminin r.a.. Rumah ini lebih selesa baginya kerana rumah ini segar dengan suasana nubuwwah. Di rumah ini juga beliau membesar dan dididik dengan belaian isteri Baginda. Dengan belaiannya juga beliau memperolehi segala-galanya.

Oleh kerana itu, beliau sering berulang-alik antara rumah ibu saudaranya dengan rumah bapa saudaranya.

* * *

Kenangan selama membesar di rumah ibu saudaranya sungguh indah menjadi ingatan sepanjang hayatnya. Cuba dengarkan ceritanya mengenai kenangan manis yang dilaluinya itu. Dia bercerita:

“Pada suatu hari saya bercakap dengan ibu saudara saya, Aisyah r.a.: Wahai ibuku, Tolonglah tunjukkan kepada saya makam Nabi s.a.w. dan makam-makam sahabat Baginda. Saya teringin untuk melihatnya.”

Pada masa itu, makam ketiga-ketiga mereka masih berada di dalam rumahnya. Beliau telah menutup kubur-kubur itu supaya tidak kelihatan. Atas permintaan saya, beliau menunjukkan saya ketiga-ketiga makam tersebut. Ketiga-tiga makam tersebut tidaklah tinggi dan juga tidaklah rendah. Pada bahagian atasnya dilitupi batu-batu kecil berwarna merah yang diambil dari laman masjid.

Dengan berdebar-debar saya bertanya: “Di manakah makam Rasulullah s.a.w.?”

“Ini dia,” jawab beliau perlahan sambil menunjukkan kedudukan makam tersebut dengan tangannya. Kelihatan airmatanya mula mengalir tetapi segera disapunya. Makam Nabi s.a.w. terletak di hadapan makam dua orang sahabatnya.

Saya bertanya lagi: “Yang mana satukah kubur datuk Abu Bakar?” “Itu dia,” jawab beliau lagi. Abu Bakar dikebumikan di sebelah bahagian kepala Rasulullah s.a.w.

“Inikah makam Umar?” saya bertanya inginkan kepastian. Beliau mengiyakan dan menjawab: “Ya.” Bahagian kepala makam Umar terletak di bahagian pinggang datuk saya dan berhampiran dengan bahagian kaki Nabi s.a.w..

* * *

Apabila anak kecil keturunan Abu Bakar ini meningkat dewasa, beliau telahpun menghafaz Kitab Allah Azza wa Jalla. Beliau juga banyak menerima hadis Rasulullah s.a.w. melalui ibu saudaranya, Aisyah r.a.. Beliau kemudiannya beralih ke Masjid Nabawi dan mengikuti kelas-kelas ilmu yang bertaburan di segenap penjuru masjid ibarat bintang yang bergemerlapan memenuhi ruang angkasa.

Di sini, beliau menerima hadis daripada Abu Hurairah, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin al-Zubair, Abdullah bin Jaafar, Abdullah bin Khabbab, Rafi’ bin Khadij, Aslam hamba Umar bin al-Khattab dan ramai lagi.

Setelah sekian lama mendalami ilmu, akhirnya beliau menjadi seorang imam dan mujtahid. Malah beliau merupakan orang yang paling mahir dengan sunnah di zamannya. Pada zaman itu, seorang lelaki tidak dianggap sebagai lelaki sejati kecuali setelah dia benar- benar mahir tentang sunnah.

* * *

Apabila anak muda ini memiliki segala ilmu, orang ramai mula berlumba-lumba menimba ilmunya. Beliau pula dengan murah hati mencurahkannya kepada orang ramai. Beliau akan datang ke masjid Rasulullah s.a.w. setiap pagi pada waktu yang sama. Perkara pertama yang dilakukannya ialah mendirikan sembahyang tahiyyatul masjid dua rakaat, kemudian mengambil tempatnya di hadapan khaukhah2  Umar yang terletak dalam kawasan Raudhah yang mulia antara kubur Rasulullah s.a.w. dengan mimbar Baginda.

Seketika kemudian, tempat ini dipenuhi oleh penuntut ilmu dari segenap tempat. Mereka begitu dahaga untuk menikmati segala limpahan ilmunya. Akhirnya, al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar dan sepupunya, Salim bin Abdullah bin Umar terkenal sebagai imam Madinah yang dihormati, pemimpin yang ditaati dan tokoh yang disegani walaupun mereka tidak memiliki sebarang kuasa. Mereka dilantik sebagai pemimpin oleh masyarakat Madinah kerana ketakwaan dan kewarakan mereka, kerana ilmu pengetahuan yang memenuhi dada mereka, kerana sikap mereka yang zuhud dengan apa yang ada di tangan manusia dan hanya mengharapkan kurniaan Allah Azza wa Jalla.

* * *

Kedudukan yang mereka kecapi dalam masyarakat ini menyebabkan para khalifah dan pemerintah Bani Umayyah sentiasa mengambil kira pandangan mereka sebelum membuat sesuatu keputusan yang membabitkan Madinah.

Ini dapat dilihat apabila suatu ketika, al-Walid bin Abdul Malik bercadang untuk membesarkan Masjid Nabawi al-Sharif. Namun pembesaran ini tidak dapat dilakukan kecuali dengan memecahkan keempat-empat dinding masjid dan merobohkan rumah-rumah para isteri Rasulullah s.a.w. kerana kawasan rumah-rumah ini ingin dimasukkan ke dalam kawasan yang dibesarkan. Sudah tentulah cadangan ini berat untuk diterima dan tidak disenangi oleh masyarakat Madinah.

Oleh kerana itu, al-Walid menulis sepucuk surat kepada Umar Bin Abdul Aziz, gabenornya di Madinah ketika itu. Surat ini menyebut:

“Saya bercadang untuk membesarkan masjid Rasulullah s.a.w. seluas 200 hasta kali 200 hasta. Pecahkanlah keempat-empat dindingnya dan masukkan bilik-bilik para isteri Rasulullah s.a.w. ke dalam kawasan yang baru ini. Belilah rumah-rumah yang termasuk dalam pembesaran ini. Jika boleh hendaklah ia menghadap kiblat.”

“Engkau akan berjaya melakukannya dengan bantuan saudara-saudaramu keluarga al- Khattab yang disegani di kalangan penduduk Madinah. Jika penduduk Madinah enggan bekerjasama, mintalah bantuan al-Qasim bin Muhammad dan Salim bin Abdullah bin Umar. Bawalah mereka bersama dalam perkara ini. Berilah bayaran yang tinggi sebagai ganti rugi kepada pemilik rumah-rumah yang dirobohkan. Engkau boleh lihat contoh yang pernah dilakukan oleh Umar bin al-Khattab dan Uthman bin Affan.”

* * *

Sebaik sahaja menerima surat al-Walid, Umar bin Abdul Aziz terus memanggil al- Qasim bin Muhammad dan Salim bin Abdullah dan beberapa orang tokoh lain di Madinah. Beliau membacakan kepada mereka surat Amirul Mukminin. Mereka gembira mendengar cadangan khalifah ini dan mereka bersedia melaksanakannya.

Apabila orang ramai melihat dua orang ulama’ dan imam besar Madinah sendiri memecahkan dinding masjid, mereka pun turut serta bersama-sama memecahkannya dan melaksanakan cadangan yang termaktub dalam surat Amirul Mukminin.

Dalam masa yang sama, tentera-tentera Islam yang gagah sedang mara menghadapi kota-kota yang berada di sepanjang jalan menuju Kota Konstantinopal. Satu demi satu kota ini berjaya ditawan oleh tentera-tentera yang dipimpin oleh panglima agung Maslamah bin Abdul Malik bin Marwan3 yang akhirnya akan membuka jalan ke arah penaklukan Kota Konstantinopal.

Apabila Maharaja Rom mengetahui cadangan Amirul Mukminin untuk memperbesar Masjid Nabawi al-Sharif, baginda berhasrat melakukan sesuatu yang disenangi oleh Amirul Mukminin dengan tujuan mengambil hatinya. Untuk tujuan itu dia menghantar 100,000 karat emas. Sebagai tambahan dihantar pula 100 orang pekerja mahir yang bertanggungjawab membina bangunan di Rom dan setiap pekerja dibekalkan 40 kotak Fusaifisa4.

Semua hadiah ini dihantar kepada Umar bin Abdul Aziz untuk digunakan dalam pembinaan masjid. Lalu Umar menggunakan barang-barang ini menurut pandangan al-Qasim bin Muhammad dan Salim bin Abdullah.

* * *

Al-Qasim bin Muhammad memiliki sifat-sifat yang tidak jauh berbeza daripada datuknya Abu Bakar al-Siddiq r.a.. Malah ada yang berkata: “Tiada seorangpun anak-anak Abu Bakar yang menyerupai Abu Bakar seperti anak muda ini.”

Al-Qasim memiliki sifat-sifat ketinggian akhlak dan keperibadian Abu Bakar. Beliau juga memiliki keteguhan iman, kewarakan, mudah bertolak ansur dan pemurah.

Terdapat banyak riwayat yang menceritakan kata-kata dan tindakannya yang menunjukkan sifat-sifat ini.

Antaranya suatu ketika, seorang Arab dari pedalaman datang ke masjid dan bertanya kepadanya: “Siapakah yang lebih berilmu, engkau atau Salim bin Abdullah?”

Al-Qasim tidak menghiraukan soalan itu. Lalu lelaki tadi bertanya lagi: Dia menjawab: “Maha suci Allah…”

Lelaki tadi mengulangi soalannya lagi. Dia pun membalas: “Di sana itu Salim bin Abdullah, wahai anakku…”

Orang yang hadir di situ berkata: “Alangkah hebatnya, beliau tidak mahu berkata: Saya lebih berilmu daripadanya, kerana itu bermakna dia memuji dirinya sendiri dan beliau tidak mahu berkata, dia lebih berilmu daripada saya, kerana itu bermakna beliau menipu.” Beliau sebenarnya lebih berilmu daripada Salim.

* * *

Suatu ketika, beliau berada di Mina. Ketika itu, para jemaah haji dari seluruh wilayah sedang mengerumuninya untuk bertanya soalan. Beliau menjawab setiap soalan yang diketahui jawapannya dan bagi soalan yang tidak diketahui jawapannya, beliau berkata:

“Saya tidak tahu… Saya tidak tahu… Saya tidak tahu…”

Jawapannya ini memeranjatkan mereka. Namun beliau berkata: “Tidak semua yang kamu tanya itu saya tahu. Jika saya tahu, sudah tentu saya tidak akan menyembunyikannya. Malah tidak seharusnya saya menyembunyikannya. Hidup dalam keadaan jahil adalah lebih baik bagi seseorang (setelah mengenali hak Allah) daripada dia bercakap apa yang tidak diketahuinya.”

* * *

Pada suatu ketika, beliau diamanahkan mengagihkan zakat kepada mereka yang berkelayakan. Jadi beliau memberikan setiap yang berhak mengikut ijtihadnya. Cuma ada seorang di kalangan mereka tidak berpuas hati dengan bahagian yang diterimanya. Lalu orang ini datang ke masjid ketika al-Qasim sedang mendirikan sembahyang. Orang ini terus mempertikaikan bahagian zakatnya.

Ketika itu, anak al-Qasim membalas: “Demi Allah, kamu mempertikaikan seorang yang tidak menyentuh sedikitpun zakat kamu walau sedirham malah walau seperenam dirham. Malah sebiji tamar pun tidak usik.”

Mendengar suara lelaki tadi, al-Qasim mempercepat sembahyangnya dan kemudian berpesan kepada anaknya: “Wahai anakku, lain kali jangan engkau berkata perkara yang tidak engkau ketahui.”

Walau bagaimanapun orang ramai berkata: “Apa yang dikatakan oleh anaknya itu benar. Namun beliau mahu mendidik anaknya supaya menjaga mulutnya agar tidak terlalu banyak bercakap.”

* * *

Al-Qasim bin Muhammad hidup sehingga berusia melebihi 72 tahun. Ketika usianya semakin lanjut matanya mula kabur.

Pada tahun-tahun akhir hayatnya, beliau berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji. Ketika dalam perjalanan ini, beliau menemui ajalnya.

Sebelum menemui ajalnya beliau berpesan kepada anaknya; “Apabila ayah mati, kafankan ayah dengan pakaian yang selalu ayah pakai untuk sembahyang. Baju ayah, kain ayah dan selubung ayah. Itulah kain kafan datukmu, Abu Bakar. Selepas itu, masukkan ayah dalam liang lahad dan teruslah pulang ke keluargamu. Jangan sekali-kali kamu berdiri di kubur ayah dan kamu katakan: Dahulu ayah saya…. Dahulu ayah saya… Sedangkan ayah tidak memiliki apa-apapun.”

  1. Ulama yang terkemuka di Madinah ada tujuh orang, mereka ialah Sa’id bin al-Musayyab, Urwah bin al- Zubair, Abu Bakar bin Abdul Rahman al-Makhzumi, Kharijah bin Zaid, Sulaiman bin Yassar, Ubaidullah bin Abdullah bin Utbah dan al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar.
  2. Tingkap kecil untuk merabolehkan cahaya masuk atau pintu kecil yang terdapat pada pintu besar.
  3. Salah seorang panglima tentera Islam yang menyerang negara-negara Armenia dan Rom hingga berjaya sampai ke Teluk Konstantinopal.
  4. Kepingan kecil kaca yang berwarna-warni dan disusun dengan bentuk menarik untuk menjadi hiasan di dinding istana.