Al-Hasan Al-Basri

Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien

“Tidak mungkin manusia boleh sesat jika ada orang seperti al-Hasan al-Basri bersama mereka.”

[Maslamah bin Abdul Malik]

Seseorang telah datang membawa berita gembira kepada isteri Nabi s.a.w., Ummu Salamah1 bahawa hambanya, Khairah telah melahirkan seorang anak lelaki. Hati Ummu Mukminin r.a. terasa begitu gembira hingga tampak kegembiraan itu pada raut wajahnya yang mulia.

Ummu Salamah pun menghantar utusan untuk membawa si ibu dan si anak ke rumahnya sepanjang tempoh berpantang si ibu. Khairah adalah seorang wanita yang amat dihormati dan dikasihi Ummu Salamah. Ummu Mukminin merasa tidak sabar-sabar untuk melihat anak kecilnya itu.

* * *

Tidak berapa lama kemudian, Khairah pun datang membawa anak kecilnya. Melihat anak kecil tersebut, hatinya terasa sayang dan gembira. Bayi itu comel, sempurna anggota tubuhnya, tertarik mata memandang dan sejuk hati melihatnya.

Ummu Salamah memandang hambanya yang masih kelihatan lemah sambil berkata: “Khairah, sudahkah engkau berikan nama untuk anak ini?”

“Belum, ibu. Saya serahkan kepada ibu. Pilihlah nama yang ibu kehendaki,” jawab Khairah sambil tersenyum.

Ummu Salamah merenung bayi tersebut seraya berkata: “Dengan keberkatan Allah, saya namakan bayi ini dengan nama al-Hasan.” Beliau kemudiannya mengangkat tangannya mendoakan bayi ini.

* * *

Kegembiraan menyambut kelahiran al-Hasan ini bukan sahaja dirasai oleh Ummu Mukminin, Ummu Salamah r.a., malah turut dikongsi bersama sebuah keluarga lain di Madinah.

Keluarga itu adalah keluarga seorang sahabat yang agung, Zaid bin Thabit2, seorang penulis wahyu Rasulullah s.a.w.. Sebabnya, Yasar, ayah kepada anak kecil itu adalah hamba Zaid. Bukan itu sahaja, Yasar juga adalah orang yang amat dihormati dan dikasihinya.

* * *

Al-Hasan bin Yasar (lebih dikenali selepas ini sebagai al-Hasan al-Basri) membesar di salah sebuah rumah Rasulullah s.a.w. dan dididik di rumah salah seorang isteri Nabi s.a.w., Hindun binti Suhail atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah.

Jika anda belum kenal, Ummu Salamah adalah seorang wanita Arab yang sangat cerdik. Seorang yang sangat dihormati dan tinggi semangatnya. Ummu Salamah adalah seorang isteri Nabi s.a.w. yang sangat berilmu. Beliau merupakan isteri Nabi s.a.w. yang paling banyak meriwayatkan hadis daripada Baginda. Beliau meriwayatkan sehingga 387 buah hadis. Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang daripada segelintir kecil kaum wanita yang celik huruf di zaman jahiliyyah.

Namun demikian hubungan anak kecil yang bertuah ini dengan Ummu Mukminin, Ummu Salamah tidak terhenti setakat itu sahaja. Malah hubungan mereka menjangkau lebih jauh daripada itu. Khairah, ibu al-Hasan ini selalu keluar rumah kerana melakukan kerja-kerja untuk Ummu Mukminin. Jadi apabila anak kecil ini menangis kelaparan, Ummu Salamah akan membawa anak kecil ini ke biliknya. Beliau akan menyusukannya sendiri untuk menenangkan anak ini sepanjang ketiadaan ibunya.

Dengan ini, Ummu Salamah menjadi ibu kepada al-Hasan kerana dua sebab. Pertama, kerana beliau adalah Ummu Mukminin. Kedua, kerana beliau adalah ibu susuannya.

* * *

Hubungan yang begitu erat dengan kesemua Ummu Mukminin selain kedudukan rumah-rumah mereka yang berdekatan membolehkan anak kecil yang bertuah ini sering mengunjungi rumah-rumah ini. Malah, anak kecil ini juga berpeluang mencontohi akhlak dan menerima bimbingan mereka.

Al-Hasan sendiri pernah menceritakan bahawa rumah-rumah Ummu Mukminin menjadi tempat beliau bermain. Menurutnya, apabila beliau melompat, tangannya boleh mencecah atap rumah Ummu Mukminin.

* * *

Al-Hasan membesar dalam suasana yang penuh dengan haruman dan sinaran nubuwwah. Beliau berpeluang menikmati keindahan yang mewarnai rumah-rumah Ummu Mukminin ini.

Selain itu, Al-Hasan juga turut berpeluang menerima didikan para sahabat agung di masjid Rasulullah s.a.w.. Beliau berkesempatan menerima hadis daripada Othman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Abu Musa al-Ash’ari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah dan ramai lagi3.

Al-Hasan begitu tertarik dengan Amirul Mukminin, Ali bin Abu Talib r.a.. Beliau dapat melihat kekuatan pegangan Ali kepada agamanya. Beliau tertarik dengan kesempurnaan ibadat dan kezuhudannya menjauhi segala kesenangan dunia. Beliau turut tertarik dengan kepetahan, kebijaksanaan, kefasihan dan tunjuk ajarnya yang mampu menyentuh hati manusia. Oleh kerana itu, al-Hasan cuba mencontohi segala akhlak, ketakwaan dan ibadah Ali bin Abu Talib. Beliau juga turut mencontohi kepetahan dan kefasihan Ali bin Abu Talib.

Apabila al-Hasan berusia 14 tahun dan semakin dewasa, beliau mengikut ayahnya berpindah ke Basrah. Beliau menetap di sana bersama keluarganya. Di sinilah al-Hasan mula dikaitkan dengan Basrah dan dikenali sebagai al-Hasan al-Basri.

* * *

Basrah ketika kehadiran al-Hasan merupakan salah sebuah kota terbesar dalam negara Islam. Masjidnya yang tersergam, menjadi tumpuan para sahabat agung dan para tabiin yang terkemuka. Perbincangan-perbincangan ilmu dalam semua segi memakmurkan laman masjid ini.

Al-Hasan sering mengunjungi masjid ini. Beliau akan turut bersama dalam majlis ilmu Abdullah bin Abbas, pena umat Muhammad4. Beliau mempelajari tafsir, hadis dan qiraat daripada Abdullah bin Abbas. Selain Abdullah bin Abbas, al-Hasan juga mendalami ilmu daripada para sahabat yang lain dalam ilmu fikah, bahasa, sastera dan sebagainya.

Akhirnya al-Hasan menjadi seorang ilmuwan dalam segala bidang dan seorang fakih yang dipercayai. Orang ramai mengunjungi beliau untuk mendalami segala ilmunya. Masyarakat sentiasa mengerumuni al-Hasan untuk mendengar segala bimbingannya yang mampu melembutkan hati dan mampu membuatkan air mata mereka berlinangan.

Masyarakat menerima dan menghayati segala nasihatnya yang mampu membuka fikiran mereka. Mereka turut mencontohi kehidupannya yang sungguh murni dan mengharum semerbak haruman kasturi. Kemasyhuran al-Hasan al-Basri tersebar ke merata-rata tempat. Namanya menjadi sebutan oleh sesiapa sahaja. Malah para khalifah dan para pembesar tertanya-tanya dan tercari-cari berita mengenainya.

* * *

Khalid bin Safwan5 menceritakan: “Suatu ketika saya bertemu Maslamah bin Abdul Malik6 di Herat7. Katanya: Wahai Khalid, ceritakan kepada saya tentang al-Hasan al-Basri. Saya rasa engkau lebih mengenalinya daripada orang lain.”

Saya pun menjawab: “Memang benar, saya adalah orang yang paling arif untuk menceritakannya kerana saya adalah jirannya. Saya juga sering bersamanya. Saya adalah penduduk Basrah yang paling mengenalinya.”

“Ceritakanlah apa yang engkau tahu,” desak Maslamah lagi.

Saya pun memulakan cerita: “Al-Hasan adalah seorang yang sama luaran dan dalamannya. Setiap yang diucapnya pasti selari dengan perbuatannya. Apabila beliau mengajak manusia melakukan kebaikan, beliau adalah orang yang pertama melakukannya. Apabila beliau melarang manusia melakukan kejahatan, beliau adalah orang pertama meninggalkannya. Saya lihat beliau adalah seorang yang tidak mengharapkan bantuan manusia. Beliau seorang yang zuhud dan menjauhi daripada mengambil segala yang ada di tangan manusia lain. Namun saya melihat manusia amat mengharapkannya dan sentiasa meminta apa yang ada padanya.”

Maslamah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda bersetuju seraya berkata: “Cukuplah Khalid, cukuplah. Tidak mungkin manusia akan sesat jika ada orang seperti ini di kalangan mereka?!”

* * *

Apabila al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi dilantik sebagai pemerintah Iraq dan bertindak zalim serta kejam di wilayah pemerintahannya, al-Hasan al-Basri adalah di antara segelintir manusia yang menentang kekejamannya. Beliau adalah di antara segelintir manusia yang menegur keburukan al-Hajjaj dan menegakkan kebenaran.

Sebagai contoh, suatu ketika al-Hajjaj membina sebuah bangunan miliknya di Wasit8. Apabila pembinaan tersebut siap, al-Hajjaj menjemput orang ramai untuk melihat dan mendoakan keberkatannya.

Al-Hasan tidak mahu kesempatan orang ramai berkumpul ini dilepaskan begitu sahaja. Beliau berhasrat untuk memberikan mereka nasihat. Beliau mahu mengingatkan mereka supaya bersederhana dengan kesenangan dunia serta menggalakkan mereka mengejar ganjaran Allah Taala. Apabila sampai ke tempat tersebut, beliau melihat orang ramai mengelilingi istana yang tersergam indah. Mereka kelihatan kagum dengan hasil binaan, keluasan dan keindahan binaannya. Lantas al-Hasan berucap. Di antara isi ucapannya:

“Kita pernah melihat bangunan yang dibina oleh manusia yang paling keji di dunia. Kita dapati Firaun telah membina bangunan yang lebih besar dan lebih tinggi. Namun akhirnya Allah binasakan Firaun dan semua bangunan yang dibinanya. Mudah-mudahan al- Hajjaj mengetahui penghuni langit amat memurkainya dan penghuni bumi sedang memperdayanya.”

Al-Hasan terus menyampaikan ucapannya dengan nada yang sedemikian rupa. Ada di kalangan pendengar yang bimbang dengan tindakan jahat al-Hajjaj berkata kepadanya: “Cukuplah wahai Abu Said, cukuplah.”

Namun al-Hasan membalas: “Sesungguhnya Allah telah membuat perjanjian dengan mereka yang berilmu supaya mereka menyampaikan ilmu mereka kepada seluruh manusia.”

* * *

Pada hari berikutnya al-Hajjaj masuk ke balai dengan perasaan yang amat marah. Dia berkata kepada ahli majlisnya: “Celaka kamu! Seorang hamba penduduk Basrah ini telah mencerca saya tetapi tiada siapa di kalangan kamu yang membalas dan menafikannya!! Demi Allah, saya akan hidangkan darahnya kepada kamu, wahai pengecut.”

Al-Hajjaj pun memerintahkan supaya seorang pengiringnya mengambil pedang dan alas9. Dia kemudiannya memerintahkan pemenggal supaya hadir. Pemenggal pun datang berdiri di hadapannya. Setelah itu, dia mengarahkan beberapa orang pengawalnya supaya membawa al-Hasan ke hadapannya.

Tidak berapa lama kemudian al-Hasan pun dibawa menghadap. Semua yang ada di situ merenung ke arahnya. Semuanya ketakutan. Apabila al-Hasan melihat pedang, alas dan pemenggal di hadapannya, bibirnya pun kelihatan terkumat-kamit.

Al-Hasan kemudiannya menghadap al-Hajjaj dengan rasa penuh kewibawaan seorang mukmin. Dia menunjukkan kehebatan seorang muslim dan ketulusan seorang pendakwah.

Melihat keadaan itu, al-Hajjaj terasa gementar. Dia berkata: “Wahai Abu Said, silakan ke sini. Silakan ke sini.”

Orang ramai tercengang penuh kehairanan. Al-Hasan dipersilakan duduk. Apabila al- Hasan duduk, al-Hajjaj menghadapnya sambil bertanya beberapa masalah agama. Al-Hasan pun menjawab segalu pertanyaan itu dengan penuh tabah serta disertakan huraian ilmu yang amat mendalam.

Al-Hajjaj berkata: “Abu Said, engkau adalah pemimpin ulama.”

Al-Hajjaj kemudiannya meminta pengawalnya mengambil minyak wangi. Minyak wangi itu dihadiahkan kepada al-Hasan.

Setelah al-Hasan keluar, seorang pengawal al-Hajjaj mengekorinya dan bertanya: “Wahai Abu Said, al-Hajjaj sebenarnya memanggil tuan atas sebab yang lain daripada apa yang dilakukannya tadi. Saya lihat ketika tuan menghadap al-Hajjaj dan melihat pedang serta alas tadi, bibir tuan berkumat-kamit, apakah yang tuan ucapkan?

Al-Hasan menjawab: “Saya sebenarnya berdoa: Wahai Tuhanku yang memberikan nikmat dan menjadi tempat aku berlindung ketika menghadapi malapetakaku, jadikanlah kejahatannya itu sejuk dan selamat untukku seperti mana Engkau jadikan api itu sejuk dan selamat untuk Ibrahim.”

* * *

Banyak kisah-kisah yang menceritakan pengalaman al-Hasan al-Basri ketika berhadapan dengan para pembesar dan pemimpin. Pada setiap pertemuan ini, beliau akan semakin dihormati oleh para pembesar. Malah al-Hasan turut memperlihatkan keyakinannya dengan Allah dan yakin dengan lindungan-Nya.

Suatu ketika pernah diceritakan, setelah khalifah yang zuhud, Umar Bin Abdul Aziz kembali menemui Tuhannya. Tampuk khalifah diserahkan kepada Yazid bin Abdul Malik. Yazid telah melantik Umar bin Hubairah al-Fazari sebagai pemerintah di Iraq. Wilayah pemerintahan Umar kemudian diperluaskan lagi hingga merangkumi Khurasan.

Corak pemerintahan Yazid jauh berbeza dengan khalifah sebelumnya. Yazid seringkali mengutus surat demi surat kepada Umar bin Hubairah. Dia memerintahkan Umar melaksanakan segala kandungan surat tersebut walaupun ia bertentangan sama sekali dengan kebenaran.

Jadi Umar bin Hubairah memanggil al-Hasan al-Basri dan Amir bin Shurahabil yang lebih dikenali sebagai al-Sha’bi untuk menghadapnya.

Setelah mereka datang rnenghadapnya, Umar berkata: “Amirul Mukminin, Yazid bin Abdul Malik telah dilantik sebagai khalifah oleh Allah untuk memimpin hamba-hamba-Nya dan mentaatinya adalah wajib. Seperti mana yang tuan-tuan tahu, saya telah dilantik untuk memerintah Iraq dan kemudian diberikan pula kuasa untuk mentadbir seluruh Parsi. Ada kalanya Yazid mengutuskan surat kepada saya memerintahkan saya untuk melakukan sesuatu yang saya tidak setujui keadilannya. Apakah pada pandangan tuan-tuan jika saya menuruti perintah-perintah ini, adakah saya telah melanggar hukum agama ini?”

Lantas Al-Sha’bi memberikan jawapan yang bersesuaian dengan kehendak khalifah dan sesuai dengan kehendak gabenor.

Namun al-Hasan berdiam diri. Umar bin Hubairah pun mengalihkan pandangannya kepada al-Hasan dan berkata: “Apakah pandanganmu pula, wahai Abu Said?”

Al-Hasan dengan penuh keyakinan memulakan bicara setelah diam sekian lama: “Wahai Ibnu Hubairah, takutilah Allah dalam melaksanakan perintah Yazid. Janganlah kamu takuti Yazid dalam melaksanakan perintah Allah. Sedarlah bahawa Allah akan melindungimu daripada tindakan Yazid. Namun Yazid tidak akan mampu melindungimu daripada tindakan Allah.”

“Wahai Ibnu Hubairah, engkau akan didatangi oleh malaikat yang bengis dan ganas yang tidak akan melanggar segala perintah Allah. Malaikat ini akan mengasingkan engkau dari katilmu. Dia akan memindahkan engkau daripada istana yang luas kepada kubur yang sempit. Di sana nanti tiada lagi Yazid. Apa yang ada hanyalah amalan yang engkau lakukan untuk Tuhan Yazid.”

“Wahai Ibnu Hubairah, jika engkau tabah bersama Allah dan tabah mentaati-Nya, engkau akan terpelihara daripada kejahatan Yazid bin Abdul Malik di dunia dan di akhirat. Jika engkau bersama-sama Yazid melanggar perintah Allah, nescaya Allah akan membiarkan engkau bersendirian menghadapi kejahatan Yazid.”

“Sedarlah, wahai Ibnu Hubairah, kita tidak boleh mentaati sesiapapun semata-mata untuk melanggar perintah Allah Taala.”

Umar bin Hubairah yang asyik mendengar kata-kata al-Hasan menangis teresak-esak sehingga air mata mengalir membasahi janggutnya. Umar bin Hubairah pun mengalihkan pandangannya daripada al-Sha’bi kepada al-Hasan. Dia mengucapkan sanjungan dan hormatnya kepada al-Hasan.

Setelah keluar, mereka terus pergi ke masjid. Di sana mereka dikerumuni oleh orang ramai. Orang ramai bertanya mereka apa berlaku di antara mereka dengan pemerintah Iraqain10.

Al-Sha’bi menenangkan orang ramai dan mula berucap: “Wahai hadirin, jika kamu sedia mengutamakan Allah dalam apa jua keadaan hendaklah kamu lakukan. Demi Tuhan yang memegang nyawa saya, apa yang diucapkan oleh al-Hasan kepada Umar bin Hubairah bukanlah suatu yang asing bagi saya. Apa yang saya katakan kepada Umar bin Hubairah sebenarnya hanya kerana mengharapkan keredaan Ibnu Hubairah. Namun al-Hasan mahukan keredaan Allah Taala. Oleh kerana itu, Allah jauhkan saya daripada Ibnu Hubairah. Sebaliknya Allah jadikan Ibnu Hubairah lebih mendekati dan mengasihi al-Hasan.”

* * *

Al-Hasan al-Basri hidup selama 80 tahun. Sepanjang tempoh ini, beliau berjaya mengisi dunia ini dengan limpahan ilmunya, hikmahnya dan ilmu fikahnya. Warisan yang ditinggalkan untuk generasi seterusnya ialah kata-kata nasihatnya yang.begitu menyentuh hati hingga ke hari ini.

Bimbingan nasihatnya masih segar dan sentiasa menggegarkan hati manusia sehingga menyebabkan mereka menitiskan air mata. Nasihat-nasihat ini juga membimbing mereka yang sesat ke jalan yang lurus. Mereka yang hanyut dan leka dengan hakikat dunia akan tersedar apabila mendengar bimbingan-bimbingannya ini. Mereka akan disedarkan tentang sikap sebenar manusia terhadap dunia ini.

Antaranya nasihat yang diberikan kepada seorang yang bertanya mengenai dunia ini: “Engkau bertanya tentang dunia dan akhirat. Dunia dengan akhirat ini ibarat timur dengan barat. Setiap kali engkau cuba menghampiri ke satu arah engkau akan menjauhi arah yang satu lagi.”

“Engkau meminta saya supaya memberikan gambaran tentang dunia ini. Bagaimana mungkin saya dapat gambarkan tentang suatu dunia yang bermula dengan kepayahan dan berakhir dengan kehancuran. Perkara yang dihalalkan di sini akan dihitung jika kita mengerjakannya. Manakala perkara yang diharamkan pula akan menyebabkan kita diazab. Orang yang tidak mencari kesenangannya akan diuji. Orang yung mencari pula akan menyesal.”

Dalam nasihat lain, ketika seorang bertanya tentang dirinya dan manusia-manusia lain, jawabnya: “Celakalah kita! Apakah yang telah kita lakukan dengan diri kita sendiri. Kita telah kuruskan agama kita, sebaliknya kita gemukkan dunia kita. Kita tidak pernah memperbaharui akhlak kita. Sebaliknya kita sentiasa memperbaharui kain dan pakaian kita. Kita masih mampu tidur walaupun kita makan dengan wang yang haram. Makanan yang kita makan, kita rampas daripada orang lain. Layanan yang kita terima, kita minta secara paksa. Makanan kita bertukar ganti daripada manis kepada masam, panas kepada sejuk, kering kepada basah. Apabila sendawa kekenyangan kita akan berkata: Hai budak, bawakan ke sini pencuci mulut buat menghadam makanan.”

“Alangkah bodohnya, apa yang hadam sebenarnya ialah agamamu. Di manakah jiranmu yang memerlukan bantuanmu? Di manakah anak yatim yang sedang kelaparan? Di manakah orang miskin yang sentiasa memerhatikanmu? Di manakah amanah Allah padamu?”

“Mudah-mudahan engkau sedar bahawa engkau sekadar menghitung hari. Setiap kali matahari terbenam bermakna satu hari telah hilang daripada kiraanmu. Itu juga bermakna sebahagian hidupmu juga turut hilang.”

* * *

Pada malam Jumaat di awal bulan Rejab tahun ke 110, al-Hasan al-Basri menyahut panggilan Tuhannya. Sesudah subuh apabila orang ramai menerima khabar kematiannya, gempar seluruh bumi Basrah. Jenazahnya dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan selepas sembahyang Jumaat di masjid yang menjadi tempat beliau menghabiskan usianya belajar dan mengajar serta mengajak manusia menuju Allah.

Selepas itu, seluruh penduduk Basrah mengiringi jenazahnya. Malahan pada hari itu sembahyang Asar berjemaah tidak didirikan di Masjid Basrah kerana tiada seorangpun yang masih tinggal untuk mendirikannya.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah semenjak Masjid Basrah dibina, sembahyang berjemaah tidak didirikan di situ kecuali pada hari itu. Pada hari ketika al-Hasan al-Basri pergi menemui Tuhannya.

  1. Sila lihat buku, Suwar Min Hayat al-Sahabah, karangan penulis, penerbit Dar al-Adab al-Islami.
  2. Sila lihat buku, Suwar Min Hayat al-Sahabah, karangan penulis, penerbit Dar al-Adab al-Islami.
  3. Sila lihat buku, Suwar Min Hayat al-Sahabiyyat, karangan penulis.
  4. Pena umat Muhammad bermaksud seorang yang berilmu dan ahli ibadat dalam umat Muhammad.
  5. Seorang sasterawan Arab yang menjadi penasihat kepada Umar bin Abdul Aziz dan Hisham bin Abdul Malik. Khalid hidup hingga ke zaman al-Saffah al-Abbasi.
  6. Seorang ketua tentera Bani Umayyah, beliau melancarkan serangan ke atas Konstantinopal dan membina Masjid Maslamah di sana.
  7. Herat kota lama di Iraq yang terletak tiga batu dari Kufah. Kota ini telah pupus.
  8. Sebuah bandar yang terletak di antara Basrah dan Kufah.
  9. Alas diperbuat daripada kulit yang dibentangkan di bawah orang yang bakal dihukum pancung.
  10. Kufah dan Basrah.