Al-Ahnaf Bin Qais
Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien
Pemimpin Bani Tamim
“Al-Ahnaf bin Qais telah mencapai darjat kemuliaan dan kepimpinan yang menyebabkan beliau tidak lagi memandang kepada kuasa dan tidak bimbang jika dipecat.”
[Ziyad]
Ketika Damsyik sedang menikmati musim bunga yang sedang mekar bunga- bunganya di taman-taman yang menyegar dan mengharumkan, istana Amirul Mukminin, Muawiyah bin Abu Sufyan turut bersiap sedia untuk menerima para tetamunya.
Sebaik sahaja tetamu pertama dipelawa masuk menghadap khalifah, adik perempuannya, Ummu al-Hakam bin Abu Sufyan bergegas mengambil tempat duduknya di sebalik tabir. Ummu al-Hakam mahu mendengar hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang diperdengarkan di dalam majlis khalifah ini. Selain daripada ingin mengambil kesempatan untuk mendengar kisah-kisah menarik, syair-syair yang indah dan bimbingan nasihat yang akan disampaikan dalam majlis ini.
Ummu al-Hakam adalah seorang wanita yang pintar, bersemangat tinggi dan sentiasa mencari sesuatu yang baik. Ummu al-Hakam mengetahui, abangnya akan mengizinkan rakyatnya menghadap berdasarkan darjat mereka. Muawiyah akan menjemput terlebih dahulu para sahabat Rasulullah s.a.w. kemudian diikuti oleh tabiin yang ternama, para ulama dan mereka yang berkedudukan.
* * *
Cuma kali ini, Ummu al-Hakam mendapati abangnya menerima tetamu pertama yang tidak disenanginya. Ummu al-Hakam mendengar Muawiyah berkata:
“Wahai Ahnaf, setiap kali saya teringat Perang Siffin saya akan teringatkan engkau dan pendirianmu yang menyebelahi Ali bin Abu Talib. Ia menggores luka di hati ini hingga ke akhir hayat saya.”
Dengan berani Ahnaf menjawab: “Wahai Muawiyah, hati-hati yang memarahimu masih tersimpan dalam jiwa ini. Pedang yang kami gunakan untuk memerangi engkau masih lagi ada di tangan kami. Jika engkau bersedia untuk berdamai kami akan lebih bersedia untuk berdamai. Namun jika engkau bersedia untuk berperang kami akan lebih bersedia untuk berperang. Demi Allah, kami datang ke sini bukan kerana mengharapkan hadiahmu atau kerana kami takut kepada ancamanmu. Kami datang untuk memperbaiki hubungan, buat mengukuhkan perpaduan dan suara umat Islam.”
Sebaik sahaja habis berkata-kata, lelaki ini berpaling dan beredar.
Apabila mendengar kata-kata itu, Ummu al-Hakam terdorong untuk menyelak tabir di hadapannya. Dia ingin melihat siapakah yang memulangkan buah keras dan memberikan jawapan yang begitu keras kepada khalifah.
Ummu al-Hakam lihat lelaki itu memiliki tubuh yang rendah dan kecil, kepalanya botak, gigi yang tidak teratur, dagu yang senget, mata yang kuyu dan kakinya tempang. Malah segala kecacatan yang ada pada manusia lain ada padanya.
Ummu al-Hakam memandang abangnya sambil berkata: “Wahai Amirul Mukminin, siapakah orang yang mengugut dan mengancam khalifah di tengah-tengah istana itu?”
“Orang ini jika dia marah, 100 ribu orang Bani Tamim lagi akan marah tanpa mengetahui sebab mereka marah. Dia ialah al Ahnaf bin Qais pemimpin Bani Tamim. Orang Arab yang unggul, seorang pejuang dan penakluk,” jawab Muawiyah sambil memandang Ahnaf berlalu pergi.
Marilah kita hayati kisah hidup al-Ahnaf bin Qais.
* * *
Dalam tahun ketiga sebelum Hijrah, Qais bin Muawiyah al-Sa’di menerima seorang cahaya mata yang diberi nama al-Dahhak. Namun orang ramai memanggilnya dengan nama al-Ahnaf yang bermaksud si tempang kerana kakinya yang tempang hingga akhirnya panggilan ini kekal sebagai namanya.
Qais ayah kepada al-Ahnaf bukanlah seoarang yang berkedudukan tinggi dalam kaumnya dan bukan juga dalam golongan bawahan. Mereka berada dalam keluarga pertengahan. Kelahiran al-Ahnaf disambut di perkampungan mereka di sebelah Barat Yamamah di negeri Najd.
Anak ini membesar sebagai anak yatim apabila ayahnya terbunuh ketika beliau masih merangkak lagi. Tidak lama kemudian, cahaya Islam menembusi jendela hatinya ketika dia masih muda remaja.
Sebelum kewafatan Rasulullah s.a.w., baginda telah mengutus bcberapa orang sahabatnya menemui kaum al-Ahnaf bin Qais mengajak mereka memeluk Islam. Para pendakwah ini menemui pemimpin-pemimpin kaum menggesa mereka supaya beriman dan membentangkan kepada mereka hakikat Islam. Namun mereka hanya berdiam diri dan masing-masing memandang antara satu sama lain. Akhirnya al-Ahnaf yang ketika itu ada bersama mereka berkata:
“Wahai kaum, kenapa kamu teragak-agak, sekejap ke hadapan sekejap ke belakang. Utusan yang datang kepada kamu ini adalah utusan yang baik. Mereka mengajak kamu supaya mengamalkan akhlak yang baik dan melarang kamu melakukan yang tidak baik. Demi Allah, semua yang dikatakan oleh mereka itu adalah baik. Terimalah seruan mereka ini supaya kamu akan beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.”
Apabila mendengar kata-kata itu, kaum mereka dengan mudah menerima Islam, termasuklah anak muda tadi.
Setelah itu, beberapa orang pemimpin kaum ini berangkat untuk menemui Rasulullah s.a.w.. Namun al-Ahnaf tidak termasuk dalam rombongan ini kerana usianya yang masin terlalu muda.
Walaupun beliau tidak berpeluang untuk menemui Nabi s.a.w., namun beliau masih menerima keredaan dan doa baginda.
* * *
Pernah suatu ketika al-Ahnaf bercerita:
Suatu ketika saya melakukan tawaf di Baitullah pada zaman Umar bin al-Khattab r.a.. Tiba-tiba seorang lelaki yang saya kenali datang memegang tangan saya dan berkata:
“Bolehkah saya sampaikan berita gembira untuk engkau?” “Sudah tentu,” jawab saya.
Lelaki itu berkata: “Ingatkah ketika saya diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kaummu mengajak mereka Islam. Saya mengajak dan mempelawa mereka supaya agama Allah. Ketika itu engkau ada berkata sesuatu?”
“Ya, betul,” al-Ahnaf mengiyakannya sambil mengangguk-angguk.
“Selepas itu, saya kembali menemui Rasulullah s.a.w. dan saya sampaikan kepadanya kata-katamu itu. Lalu baginda bersabda:Ya Allah, ampunilah al-Ahnaf,” jelas lelaki tersebut.
Dengan penuh kegembiraan al-Ahnaf menerima berita tersebut dan berkata: “Inilah amalan yang amat-amat saya harapkan di hari akhirat kelak iaitu doa Rasulullah s.a.w..”
* * *
Setelah Rasulullah s.a.w. kembali menemui Allah, muncul Musailamah al-Kazzab yang membawa pembohongannya hingga menyebabkan ramai yang murtad. Ketika itu, al- Ahnaf bin Qais bersama bapa saudaranya, al-Mutashammas mengunjungi Musailamah untuk mendengar dakwaannya.
Al-Ahnaf ketika itu masih di usia remajanya. Setelah bertemu dengan Musailamah, al-Mutashammas bertanya kepada anak saudaranya: “Apakah pandangan kamu tentang orang itu, wahai Ahnaf.”
“Bagi saya dia seorang penipu dan mereka-reka perkara yang tidak benar,” jawab Ahnaf sambil mengetap bibirnya.
Secara bergurau bapa saudaranya berkata: “Tidakkah engkau takut jika saya sampaikan kepadanya yang engkau tidak mempercayainya.”
Al-Ahnaf membalas: “Jika demikian, saya akan meminta engkau bersumpah di hadapannya nanti; Apakah engkau akan bersumpah bahawa engkau tidak mempercayainya seperti mana saya tidak mempercayainya.”
Lalu kedua-duanya ketawa dan berpegang teguh bersama Islam.
* * *
Tidak hairanlah jika anda merasa takjub mendengar kisah ini yang memperlihatkan sikapnya yang begitu tegas ketika berhadapan dengan sesuatu walaupun usianya ketika itu masih terlalu muda.
Namun ketakjuban kamu pasti akan terjawab apabila kamu mengenali anak muda Bani Tamim ini sememangnya seorang yang tiada tandingan di zamannya. Seorang yang pintar, berfikiran bernas dan memilik fitrah yang suci.
Semenjak kecil lagi, al-Ahnaf telah pun mendampingi pemimpin-pemimpin kaumnya dan duduk bersama-sama dalam majlis mereka. Beliau sentiasa bersama-sama dalam pertemuan mereka dan belajar daripada kalangan bijak pandai mereka.
Al-Ahnaf sendiri pernah berkata dalam salah satu majlis ilmunya:
“Saya selalu mengunjungi majlis ilmu Qais bin ‘Asim al-Minqari untuk mempelajari adab sopan sama seperti kami mengunjungi majlis ilmu ulama lain untuk mempelajari ilmu.”
Seorang muridnya bingkas bertanya: “Bagaimanakah adab sopannya?”
Al-Ahnaf pun mula menerangkan kepada murid-muridnya: “Suatu ketika saya mengunjunginya yang ketika itu sedang duduk di halaman rumahnya dengan tali sarung pedangnya dibelitkan di dadanya. Dia ketika itu sedang berbual dengan kaumnya. Saya memberi salam dan duduk bersamanya.”
“Tidak berapa lama kemudian kami terdengar suara hiruk-pikuk. Tiba-tiba kami pun melihat seorang anak muda sedang diheret dengan tangan terikat bersama-sama satu jenazah. Mereka berkata kepadanya: Anak saudaramu ini telah membunuh anakmu.”
“Demi Allah, dia tidak sedikitpun memperlihatkan kemarahannya dan tidak memintas kata mereka sambil beliau menghela nafas.
Ahnaf meneruskan ceritanya: “Setelah mereka habis berkata, dia memandang anak saudaranya sambil berkata: Wahai anak saudaraku, engkau telah membunuh sepupumu sendiri dan engkau telah memutuskan hubungan engkau dengan tanganmu sendiri. Engkau sendiri telah mencampak anak panah ke dadamu sendiri.”
“Setelah itu dia berkata kepada anaknya yang lain: Anakku, bukalah ikatan sepupumu itu dan uruskanlah saudaramu ini. Setelah itu bawalah seratus ekor unta kepada ibunya sebagai diyat anaknya kerana ibunya kini keseorangan.”
* * *
Al-Ahnaf bin Qais telah berkesempatan untuk berguru dengan para sahabat yang ternama terutama sekali Umar al-Faruq r.a.. Al-Ahnaf berkesempatan untuk hadir ke majlis Umar dan mendengar nasihatnya selain berpeluang mendengar majlis penghakiman Umar. Malahan al-Ahnaf merupakan murid yang paling menyerlah pernah dikeluarkan daripada madrasah Umar. Beliau sangat terpengaruh dengan gurunya yang amat bijaksana.
Al-Ahnaf pernah ditanya: “Dari manakah kamu memperolehi segala sifat mulia dan bijaksana ini?”
Al-Ahnaf menjawab dengan merendah diri: “Semuanya daripada kata-kata yang saya dengar daripada Umar bin al-Khattab. Umar pernah berkata: Orang yang bergurau akan dipandang rendah. Orang yang banyak mengetahui sesuatu akan lebih dikenali. Orang yang banyak bercakap akan banyak melakukan kesalahan. Orang yang banyak kesalahan akan kurang sifat malunya. Orang yang kurang sifat malunya akan kurang sifat waraknya. Orang yang kurang sifat waraknya akan mati hatinya.”
Walaupun Al-Ahnaf bin Qais bukanlah berasal daripada keluarga yang ternama, tetapi beliau begitu menonjol di kalangan kaumnya. Ayah dan ibunya juga bukanlah orang yang berada.
Oleh kerana itu, ada yang bertanya kepadanya: “Siapakah orang yang sepatutnya dilantik mengetuai kaumnya, wahai Abu Bahr?”
“Orang yang ada empat sifat ini sepatutnya memimpin kaumnya,” jawab Al-Ahnaf. “Apakah sifat-sifat itu?”
“Orang yang mempunyai agama yang akan mempertahankannya, kedudukan yang akan memeliharanya, fikiran yang akan membimbingnya dan rasa malu yang akan mengawalnya,” jelas Al-Ahnaf.
* * *
Bukan itu sahaja, malah al-Ahnaf juga dianggap sebagai orang Arab yang amat beradab dan adab sopannya ini menjadi suri teladan untuk semua.
Adab sopan yang dimilikinya menyebabkan suatu hari ketika Amru bin al-Ahtam mengupah seseorang untuk melemparkan caci-maki kepadanya, al-Ahnaf hanya membisu mendiamkan diri. Apabila lelaki ini melihat tiada sebarang tindak balas daripada al- Ahnaf, malah beliau tidak mempedulikan caciannya, lelaki itu mengetap ibu jarinya sambil berkata:
“Alangkah malunya. Keengganannya membalas kata-kata kesat saya tadi amat memalukan saya.”
* * *
Suatu hari ketika al-Ahnaf berjalan bersendirian di pinggir Basrah, seorang lelaki menahannya. Orang ini mencerca, mengaibkannya dan mengeluarkan kata-kata yang kesat. Walau bagaimanapun, al-Ahnaf hanya membisu meneruskan jalannya seperti biasa.
Apabila hampir mendekati orang ramai, al-Ahnaf berkata kepada lelaki tadi: “Anakku, jika masih ada lagi yang belum engkau katakan, katakanlah sekarang kerana jika kaum saya mendengar apa yang engkau katakan itu, mereka akan melakukan sesuatu yang tidak baik kepadamu.”
* * *
Apa yang lebih hebat ialah al-Ahnaf juga seorang yang kuat beribadat, berpuasa, sembahyang malam, seorang yang zuhud dan tidak mengharapkan pemberian orang.
Apabila malam menjelma, beliau akan menyalakan lampunya dan diletakkan berdekatan dengannya sambil beliau mendirikan sembahyang di mihrabnya. Beliau akan mengerang seperti orang sakit dan akan menangis seperti orang yang kematian anak kerana mengharapkan belas ehsan Allah supaya dijauhkan daripada azab dan kerana takutkan kemurkaan-Nya.
Setiap kali terlintas di fikirannya dosa yang telah dilakukannya atau suatu kesalahan yang pernah dilakukannya, beliau akan mendekatkan jari ke api pelitanya. Beliau akan berkata: “Rasakanlah wahai Ahnaf, kenapa engkau lakukan perkara itu pada hari itu. Celakalah engkau wahai Ahnaf. Jika engkau tidak mampu menahan api pelita ini dan tidak dapat menahan kepanasannya, Bagaimana mungkin engkau akan dapat menahan kepanasan api neraka dan mampu menahan seksaannya?!”
“Ya Allah, jika Engkau ampuni aku, itu sememangnya hak-Mu dan jika Engkau mengazab aku, aku sememangnya layak menerimanya.”
* * *
Semoga Allah meredai al-Ahnaf bin Qais. Tokoh agung dalam sejarah dan contoh yang unggul buat umat manusia.