Al-Ahnaf Bin Qais (2)
Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien
Anak Murid Umar al-Faruq
“Demi Allah, budak ini adalah seorang pemimpin dan dia adalah pemimpin penduduk Basrah.”
[Umar bin al-Khattab]
Cerita kita kini berkisar pada awal zaman pemerintahan Umar al-Faruq r.a.. Kelihatan satria-satria yang gagah perkasa kaum al-Ahnaf bin Qais daripada Bani Tamim sedang menunggang kuda mereka sambil menghunus pedang yang berkilauan. Mereka berangkat meninggalkan kediaman mereka di Ahsa’ dan Najd menuju Basrah. Mereka mahu turut serta bersama angkatan tentera Islam yang berkumpul di sana di bawah pimpinan Utbah bin Ghazwan dengan matlamat untuk memerangi bumi Parsi demi jihad kerana Allah. Mereka hanya mengharapkan ganjaran Allah. Turut serta bersama mereka ialah anak muda mereka, al-Ahnaf bin Qais.
* * *
Pada suatu hari, Utbah bin Ghazwan menerima sepucuk surat daripada Amirul Mukminin, Umar al-Khattab memerintahkannya supaya beliau menghantar sepuluh orang yang terbaik dalam pasukan tenteranya dan yang berperanan besar dalam peperangan. Umar mahu mendapatkan berita mengenai tentera Islam dan mahu mendengar pendapat mereka.
Utbah dengan segera melaksanakan perintah tersebut dan memilih sepuluh orang yang terbaik di kalangan tenteranya. Salah seorang di antara mereka ialah al-Ahnaf bin Qais. Mereka diperintahkan supaya berangkat menuju Madinah.
* * *
Kesemua utusan ini akhirnya sampai di hadapan Amirul Mukminin. Mereka disambut dan dipersilakan duduk. Khalifah Umar kemudiannya bertanya mereka tentang keperluan mereka dan keperluan umat amnya.
Masing-masing membalas: “Urusan umat amnya terserah kepadamu kerana engkau adalah pemerintah mereka dan pentadbir urusan mereka. Kami akan hanya bercakap mengenai urusan yang berkaitan dengan kami.”
Setelah itu masing-masing mengemukakan perkara yang berkaitan dengan mereka. Al-Ahnaf bin Qais adalah orang terakhir yang berucap dalam majlis itu kerana beliau adalah yang termuda.
Beliau memuji dan memuja Allah kemudian berkata:
“Wahai Amirul Mukminin, tentera Islam yang menakluk Mesir kini telah mendiami bumi yang subur dan kaya di bumi Firaun. Tentera-tentera yang menakluk Sham pula telah menikmati kehidupan yang senang lenang dikelilingi buah-buahan dan taman-taman di bumi Kaisar. Tentera-tentera yang menakluk bumi Parsi pula kini telah mendiami tebing sungai yang subur dengan dikelilingi oleh taman-taman yang menyegarkan di bumi Kisra.
Namun, kaum saya di Basrah mendiami bumi yang berpaya dan bergaram. Buminya tidak pernah kering dan tidak subur untuk tanaman. Ia terletak antara laut yang masin dan tanah lapang yang kontang.
Wahai Amirul Mukminin, selesaikanlah masalah mereka ini dan berilah mereka kehidupan yang baru. Perintahkanlah gabenormu di Basrah supaya menggali terusan yang akan mengalirkan air yang segar dan dapat mengairi ternakan dan tanaman mereka.
Langkah ini akan memperbaiki keadaan mereka, membantu keluarga mereka dan akan dapat menurunkan harga barangan. Langkah ini seterusnya akan membantu usaha jihad di jalan Allah.”
Umar bin al-Khattab merenung ke arah al-Ahnaf dan kemudian berkata kepada wakil- wakil tadi: “Bukankah elok jika kamu lakukan perkara yang sama. Demi Allah, dia ini adalah seorang pemimpin.”
Umar bin al-Khattab kemudiannya menyampaikan hadiah-hadiah untuk mereka. Apabila Umar menyerahkan hadiah tersebut kepada al-Ahnaf, al-Ahnaf berkata:
“Wahai Amirul Mukminin, demi Allah kami datang merentasi bumi yang tandus dan menunggang unta kami siang dan malam bukan untuk menerima segala hadiah ini. Saya tidak memerlukan semua ini. Apa yang saya perlukan ialah keperluan kaum saya seperti yang saya katakan tadi tercapai. Jika engkau tunaikan untuk mereka, itu sudah mencukupi.”
Apabila mendengar kata-kata itu, Umar semakin merasa kagum dengan al-Ahnaf dan baginda berkata: “Budak ini adalah pemimpin penduduk Basrah.”
Apabila semuanya bersurai dan semua wakil tadi bersedia untuk berangkat ke khemah untuk tidur, Umar meninjau beg-beg pakaian mereka. Umar terlihat sehelai baju yang terkeluar daripada salah satu beg-beg tersebut. Umar bangun menyentuhnya dan bertanya:
“Milik siapakah baju ini?”
“Milik saya , wahai Amirul Mukminin,” jawab Al-Ahnaf.
Al-Ahnaf menyedari Umar merasakan baju tersebut sudah tentu mahal harganya. “Berapakah harganya?” tanya Umar ingin tahu. “Lapan dirham,” jawab Ahnaf tersekat-sekat.
Itulah sekali dalam sejarah hidupnya beliau berbohong kerana baju itu dibeli dengan harga dua belas dirham. Dengan penuh terharu, Umar berkata kepadanya:
“Bukankah satu sudah memadai dan engkau serahkan lebihan harta engkau bagi membantu orang Islam yang lain.”
Umar menyambung: “Gunakanlah harta untuk menampung keperluan engkau dan bakinya letakkan di tempat yang sepatutnya. Di tempat yang engkau rasa senang dan menguntungkan.”
Al-Ahnaf tertunduk malu mendengarnya.
* * *
Amirul Mukminin mengizinkan para wakil tadi untuk kembali ke Basrah. Walau bagaimanapun baginda tidak mengizinkan al-Ahnaf berangkat bersama mereka. Umar meminta supaya al-Ahnaf-kekal bersamanya selama setahun.
Melalui pemerhatiannya, Umar dapat merasakan pemuda Bani Tamim ini adalah seorang yang bijak, petah berbahasa, berjiwa besar, bersemangat tinggi dan berbakat. Oleh itu, Umar mahu al-Ahnaf berada berdekatan dengannya supaya beliau dapat memerhatikannya dengan lebih dekat. Dengan ini pemuda ini dapat bergaul dengan para sahabat ternama. Beliau akan dapal menerima bimbingan mereka dan dapat mempelajari agama Allah daripada mereka.
Selain itu, Umar juga mahu mengujinya dengan lebih mendalam dan dapat menyelami lubuk hatinya sebelum baginda melantik pemuda ini mentadbir urusan umat Islam. Umar amat berhati-hati dengan mereka yang terlalu bijak dan petah berkata-kata. Jika mereka ini baik, kebijaksanaan mereka akan membawa kebaikan kepada seluruh dunia. Namun jika mereka ini sebaliknya, kebijaksanaan mereka merupakan malapetaka untuk seluruh manusia.
Setelah genap setahun, Umar berkata kepada al-Ahnaf: “Wahai Ahnaf, setelah saya kenali dan uji engkau, tidak ada yang tidak baik saya lihat padamu. Saya lihat perbuatan zahirmu semuanya baik dan saya berharap semoga di sebaliknya juga adalah baik seperti mana zahirnya.”
Umar kemudian mengarahkan al-Ahnaf supaya bersama tentera Islam memerangi Parsi. Umar menulis surat kepada panglima perangnya, Abu Musa al-Asha’ari:
“Tempatkan al-Ahnaf bin Qais ini berdekatan denganmu, mintalah pandangannya dan dengarlah nasihatnya.”
* * *
Al-Ahnaf kini bernaung di bawah panji tentera Islam yang berkibar di timur dan barat bumi Parsi. Beliau memperlihatkan kepahlawanannya yang tinggi sehingga menyebabkan namanya tersohor dan bintangnya menyerlah bersama-sama kaumnya, Bani Tamim, beliau memainkan peranan yang penting dalam serangan ke atas musuh mengakibatkan banyak yang berkorban. Hingga akhirnya, Kota Tustar, pusat kerajaan Kisra jatuh ke tangan mereka dan Hurmuzan berjaya ditawan.
* * *
Hurmuzan adalah seorang panglima tentera Parsi yang gagah perkasa dan sangat bengis. Dia juga seorang yang nekad dan sangat mahir dalam taktik peperangan. Kemenangan yang dicapai oleh umat Islam kerap kali memaksa Hurmuzan supaya berdamai. Namun setiap kali peluang terbuka di hadapannya, dia akan membelot kerana masih yakin akan memperolehi kemenangan.
Suatu ketika, umat Islam berjaya mengepungnya, Hurmuzan berkubu di sebuah kubu yang kukuh dan berkata kepada tentera Islam: “Saya ada seratus batang anak panah. Demi tuhan, kamu tidak akan dapat menangkap saya selagi saya memilikinya. Kamu tahu panahan saya tidak akan tersasar. Apa gunanya kamu menangkap saya jika seratus orang kamu terpaksa mati atau cedera terlebih dahulu.”
Apa yang kamu mahu? tanya tentera muslimin.
Dengan angkuh Hurmuzan berkata: “Saya mahu dihukum oleh khalifah kamu, Umar dan terserah padanya untuk memutuskannya.”
“Baiklah,” jawab tentera muslimin serentak.
Hurmuzan melemparkan busarnya dan turun menyerah diri. Tentera Islam mengikat tangannya dan membawanya ke Madinah dengan diiringi oleh pahlawan penaklukan Iraq. Mereka diketuai oleh Anas bin Malik, pelayan Rasulullah s.a.w. dan al-Ahnaf bin Qais, anak murid madrasah Umar.
* * *
Utusan tentera Islam ini bergegas menuju ke Madinah membawa bersama mereka Hurmuzan dan berita gembira tentang kemenangan tentera Islam untuk Amirul Mukminin.
Mereka turut membawa bersama satu perlima hasil perolehan perang dan sang pengkhianat yang sentiasa mencabul perjanjian kepada khalifah Islam untuk diadili.
Apabila mereka tiba di pinggir Madinah, mereka memperlihatkan Hurmuzan supaya umat Islam melihat gayanya yang sebenar. Mereka menyarungkan pakaian yang diperbuat daripada kain sutera yang mahal dan dijahit dengan benang emas. Mereka memakaikan mahkotanya yang bertatah intan permata dan memberikan cokmarnya yang diperbuat daripada emas tulen dan bertatah intan permata.
Sebaik sahaja tiba di Madinah mereka dikerumuni oleh penduduk Madinah, yang tua dan muda. Semuanya memerhati tawanan yang dibawa ini. Mereka sangat kagum dengan rupa dan pakaian yang dipakainya.
* * *
Utusan ini terus menuju ke rumah Umar tetapi tidak menemuinya. Mereka diberitahu bahawa Umar telah pergi ke masjid untuk menyambut utusan yang datang menemuinya.
Mereka pun berangkat ke masjid tetapi tidak menemuinya di sana. Semakin lama mereka mencari semakin ramai yang mengerumuni mereka dan keadaan menjadi semakin sesak. Dalam kebingungan ini, beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain ternampak mereka. Kanak-kanak itu bertanya: “Kenapa kamu ke sana dan ke sini, mungkin kamu sedang mencari Amirul Mukminin?”
“Ya, kami sedang mencarinya,” jawab mereka.
“Amirul Mukminin sedang tidur di sebelah kanan masjid dengan berselimutkan burnusnya1Kain selubung yang mempunyai tutup kepala.,” beritahu kanak-kanak tersebut kepada tentera-tentera muslimin.
Umar r.a. sebenarnya menyambut kedatangan utusan daripada Kufah dengan memakai kain selubungnya. Apabila utusan tersebut beredar, beliau menanggalkan kain selubungnya dan dijadikan alas kepalanya lalu tidur.
Utusan tentera Islam tadi pun membawa Hurmuzan ke bahagian kanan masjid dan mereka mendapati khalifah sedang nyenyak tidur. Mereka pun duduk di sebelahnya bersama- sama tawanan mereka.
* * *
Hurmuzan tidak memahami bahasa Arab sama sekali. Tidak terlintas di kepalanya sama sekali bahawa orang yang terbaring di sudut masjid itu adalah Amirul Mukminin, Umar bin al-Khattab. Walaupun pernah mendengar tentang kesederhanaan hidup Umar dan sikapnya yang menjauhi kesenangan dunia, namun tidak pernah terbayang di kepalanya bahawa penakluk Rom dan Kisra akan tidur di sudut masjid tanpa sebarang tirai, penyandar, pengawal atau pengiring.
Apabila Hurmuzan melihat orang lain duduk dan mendiamkan diri, dia menyangka mereka sedang bersiap sedia untuk sembahyang dan menunggu kedatangan khalifah.
Al-Ahnaf bin Qais memberi isyarat kepada orang ramai supaya jangan bercakap dan tidak membuat bising supaya tidak mengganggu tidur khalifah. Sepanjang pengenalannya dengan Umar r.a. dia mengenali khalifah ini jarang sekali melelapkan matanya di malam hari. Apa yang dilakukannya di sepanjang malam ialah sembahyang di mihrabnya menyembah Allah atau menyamar sambil meronda di seluruh Madinah untuk mengetahui keadaan rakyatnya atau berkawal bagi menjaga kediaman umat Islam daripada perompak.
Isyarat al-Ahnaf tadi menarik perhatian Hurmuzan. Dia berpaling kepada al-Mughirah bin Shu’bah yang memahami bahasa Parsi dan bertanya kehairanan: “Siapakah orang yang tidur itu?!”
“Itulah Amirul Mukminin, Umar r.a.,” jawab Al-Mughirah.
Ternganga Hurmuzan mendengarnya kemudian berkata: “Umar?!! Di manakah pengawal dan pengiringnya?!”
“Beliau tidak mempunyai pengawal atau pengiring,” jelas Al-Mughirah. “Sudah tentu beliau seorang nabi,” telah Hurmuzan.
“Tidak, beliau cuma mencontohi amalan para nabi kerana tiada nabi lagi selepas Muhammad s.a.w.,” dengan tenang Al-Mughirah menjawab.
Orang ramai semakin bertambah dan keadaan semakin bising. Umar r.a. terjaga dan terus duduk. Beliau kehairanan melihat orang yang ramai disekelilingnya. Umar r.a. ternampak panglima Parsi dengan mahkota yang bertatah batu permata berkilau-kilauan dipancar sinaran mentari. Kelihatan di tangannya ada cokmar yang menarik mata memandangnya. Umar merenung dan bertanya: “Inikah Hurmuzan?”
“Ya, wahai Amirul Mukminin,” jawab al-Ahnaf.
Umar merenung pakaian Hurmuzan yang dihiasi emas, permata, intan dan sutera. Baginda kemudiannya memalingkan mukanya sambil bertitah: “Saya memohon semoga Allah menjauhkan saya dari neraka dan menyelamatkan saya dari dunia. Segala puji-pujian bagi Allah yang telah menundukkan orang ini dan para pengikutnya kepada Islam.”
Baginda kemudiannya bangun menghadap orang ramai lalu berkhutbah: “Wahai umat Islam, berpegang teguhlah dengan agama ini dan turutilah petunjuk nabi kamu yang mulia. Janganlah kamu diperdaya oleh dunia kerana dunia ini amat memperdaya.”
Setelah selesai berucap, al-Ahnaf menyampaikan khabar gembira tentang kemenangan tentera Islam. Al-Ahnaf juga menyampaikan berita tentang hasil perolehan perang yang telah dikurniakan oleh Allah kepada umat Islam. Kata al-Ahnaf:
“Wahai Amirul Mukminin, Hurmuzan telah menyerah diri kepada kami dan meminta tuan mengadilinya. Jika tuan sudi berbicaralah dengannya.”
Umar berpaling seraya berkata: “Saya tidak akan berbicara dengannya selagi kamu tidak tanggalkan semua tanda kezaliman yang ada padanya.”
Lalu mereka pun menanggalkan segala hiasan dan mahkota yang ada pada Hurmuzan. Cokmar yang ada padanya turut diambil. Selepas itu mereka menyarungkan sehelai baju yang kasar kainnya untuk menutup tubuh Hurmuzan.
Setelah itu barulah Umar memandang ke arah Hurmuzan sambil berkata: “Wahai Hurmuzan, bagaimana rasanya hukuman Allah akibat pengkhianatanmu?!”
Hurmuzan menundukkan kepalanya dengan penuh rasa hina: “Wahai Umar, dahulu kita sama-sama dalam jahiliyyah. Allah tidak ada bersama kami dan tidak ada bersama kamu. Oleh kerana itu kami dapat menewaskan kamu. Namun setelah kamu memeluk Islam, Allah bersama kamu dan kamu berjaya menewaskan kami.”
“Kamu berjaya menewaskan kami kerana sebab yang kamu katakan itu. Satu sebab lagi ialah kerana kamu bersatu dan kami berpecah.”
Umar merenung tajam ke arah Hurmuzan. Apakah alasan kamu setiap kali kamu melanggar perjanjian, wahai Hurmuzan?’
Sambil terketar-ketar Hurmuzan menjawab: “Saya takut engkau akan bunuh saya.” “Jangan bimbang kamu tidak akan diapa-apakan sehingga kamu memberitahu saya.” kata Umar cuba meyakinkan Humuzan.
Apabila mendengar kata-kata Umar itu, Hurmuzan merasa lega dan tenang sedikit. “Saya dahaga,” kata Humuzan sambil mengurut-ngurut lehernya.
Umar mengarahkan supaya memberinya minum. Lalu dibawa air dalam bekas yang agak kotor untuknya. Hurmuzan melihat bekas tersebut dan kemudian berkata: “Saya tidak dapat minum dalam bekas ini walaupun saya terpaksa mati kehausan.”
Lantas Umar mengarahkan supaya disediakan air dengan bekas yang disukainya. Apabila Hurmuzan memegangnya, kelihatan tangannya menggigil.
“Kenapa dengan kamu?” tanya Umar kehairanan.
“Saya takut saya akan dibunuh ketika saya minum air ini,” jawab Humuzan terketar-ketar.
“Jangan bimbang kamu tidak akan diapa-apakan sehingga kamu minum,” balas Umar. Mendengar kata-kata Umar, Hurmuzan sengaja menjatuhkan bekas air tadi.
“Bawakan air untuknya, jangan biarkan dia dibunuh dalam keadaan dahaga,” seru Umar.
“Saya tidak perlukan air, saya cuma mahu gunakan air ini untuk menyelamatkan saya daripada dibunuh,” dengan pantas Hurmuzan meluahkan helahnya. “Saya akan bunuh engkau,” tegas Umar.
“Engkau telah memberikan saya jaminan sebentar tadi,” kata Hurmuzan lagi. “Tetapi, engkau berbohong,” bantah Umar.
Dalam ketegangan itu, Anas bin Malik mencelah: “Wahai Amirul Mukminin, apa yang dikatakan itu benar, engkau telah memberikan jaminan kepadanya.”
“Celaka engkau wahai Anas, apakah aku akan memberi jaminan kepada orang yang telah membunuh saudaramu, al-Barra’ bin Malik dan Majza’ah bin Thaur2? Tidak sama sekali.” bentak Umar dalam nada yang tinggi.
Anas cuba menerangkan kembali kata-katanya tadi kepada Umar: “Engkau telah katakan tadi; “Jangan bimbang kamu tidak akan diapa-apakan sehingga kamu memberitahu saya,” dan engkau juga ada katakan; “Jangan bimbang kamu tidak akan diapa-apakan sehingga kamu minum.”
Al-Ahnaf cepat-cepat menyokong kata-kata Anas tadi. Malah orang ramai yang berada bersama mereka juga turut mengakui bahawa Amirul Mukminin telah memberi jaminan kepada Hurmuzan.
Umar berpaling melihat Hurmuzan dengan penuh kemarahan lantas berkata: “Engkau telah memperdaya saya. Demi Allah saya akan hanya diperdaya oleh seorang muslim.”
Lantas Hurmuzan memeluk Islam dan Umar mewajibkannya membayar sebanyak dua ribu.
* * *
Sikap bangsa Parsi yang kerap melanggar perjanjian yang dimeterai dengan umat
Islam menyebabkan Umar merasa agak bimbang. Baginda pun menghimpunkan utusan yang membawa Hurmuzan dan bertanya kepada mereka: “Apakah umat Islam telah menindas ahli zimmi dan memberikan layanan buruk kepada mereka sehingga menyebabkan mereka melanggar perjanjian.”
“Wahai Amirul Mukminin, demi Allah, sepanjang pengetahuan kami tiada seorang pun yang memberikan layanan buruk kepada mereka atau melanggar perjanjian dengan mereka atau menipu mereka.”
“Jadi kenapa mereka menyerang kamu setiap kali mereka memperolehi peluang walaupun kamu telah mengikat perjanjian dengan mereka?” soal Umar lagi untuk mendapatkan kepastian.
Jawapan yang diberikan oleh utusan itu tidak meyakinkan Umar. Lantas al-Ahnaf bin Qais yang turut berada di situ mencelah, “Saya boleh menjawab masalah yang tuan timbulkan itu, wahai Amirul Mukminin.
“Kalau begitu silalah kemukakan,” pinta Umar.
Al-Ahnaf pun terus menyambung: “Wahai Amirul Mukminin, engkau telah melarang kami mara ke seluruh bumi Parsi. Engkau telah perintahkan kami supaya hanya berpada dengan kawasan dan kota yang telah kami takluki. Bangsa Parsi ini selagi mana raja mereka masih hidup dan kerajaan mereka masih wujud, mereka akan melancarkan serangan demi serangan ke atas kita untuk merampas semula bangsa dan negara mereka. Mereka yang telah membuat perjanjian dengan kita pun akan menyertai mereka setiap kali diseru dan setiap kali peluang terbuka di hadapan mereka.”
“Wahai Ainirul Mukminin, sebenarnya tidak boleh wujud dua raja dalam satu negara. Salah seorang di antara mereka perlu dibapuskan. Jika engkau benarkan kami mara ke seluruh bumi mereka, kami akan hapuskan raja mereka dan kami akan hapuskan kerajaan mereka. Dengan itu segala harapan mereka akan terkubur dan segala gerakan mereka akan pupus. Akhirnya keadaan akan kembali reda.” jelas al-Ahnaf lagi bersungguh-sungguh.
Umar tertunduk seketika. Beliau kelihatan memikirkan sesuatu. Kemudian beliau melangut dan berkata: “Benar apa yang dikatakan oleh al-Ahnaf itu. Dia telah memperlihatkan kepada saya apa yang tidak saya sedari tentang mereka selama ini.”
* * *
Pendirian al-Ahnaf ini di samping pendirian-pendiriannya yang lain telah membuka lembaran baru kepada sejarah manusia.