Abu Muslim Al-Khaulaani
Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien
Abdullah bin Thuwab
“Abu Muslim terlalu fana dengan ibadatnya hingga beliau pernah berkata: Jika saya melihat syurga atau neraka dengan mata kepala saya sekalipun saya tidak akan dapat melakukan lebih daripada ini.”
[Uthman bin Abu Atikah]
Berita mengenai Rasulullah s.a.w. jatuh sakit selepas menunaikan haji wada’ tersebar luas ke seluruh Tanah Arab. Kesempatan ini membuka ruang kepada syaitan untuk memperdaya al-Aswad al-Ansi untuk beralih semula kepada kufur setelah beriman. Dia berdusta dengan mendakwa di hadapan kaumnya di Yaman bahawa dia adalah nabi yang diutuskan Allah.
* * *
Al-Aswad al-Ansi merupakan seorang yang gagah, bertubuh tegap, kejam dan bengis. Di zaman jahiliyyah, dia adalah seorang ahli nujum dan mahir dalam silap mata.
Selain itu dia juga seorang yang petah berucap, bijak berbicara, mampu mempengaruhi fikiran orang ramai dan mampu menarik sokongan orang lain dengan bakat dan harta yang ada padanya. Setiap kali berada di khalayak ramai, dia akan memakai kain selubung berwarna hitam supaya kelihatan berlainan dan hebat.
* * *
Dakyah al-Aswad al-Ansi ini begitu cepat tersebar ke seluruh Yaman ibarat api yang marak membakar. Apatah lagi apabila dia disokong oleh kabilahnya, Bani Mazhij. Bani Mazhij ketika itu merupakan kabilah yang terbesar daripada segi jumlah, pengaruh dan kuasa.
Di samping kemampuannya untuk menipu dan memperdaya dia juga menggunakan bijak pandai dikalangan pengikutnya untuk membantunya.
Dia pernah mendakwa di hadapan orang ramai bahawa malaikat telah turun dari langit membawa wahyu kepadanya dan menyampaikan kepadanya perkara-perkara yang ghaib. Bagi meyakinkan orang ramai bahawa dakwaan itu benar, dia menggunakan pelbagai cara.
Dia turut menghantar pengintip-pengintipnya ke seluruh tempat untuk memerhatikan keadaan dan masalah orang ramai di samping mengorek segala rahsia mereka. Malah, pengintip-pengintip ini cuba menyelami segala harapan dan masalah orang ramai.
Dalam masa yang sama, dia mempengaruhi orang ramai supaya datang menemuinya dan meminta sebarang bantuan daripadanya. Apabila orang ramai datang, dia memberitahu setiap orang yang menemuinya apa yang mereka hajatkan ataupun masalah yang mereka hadapi. Dia cuba menonjolkan seolah-olah dia mengetahui segala rahsia hati mereka dan tahu apa sahaja yang tersembunyi di dalam dada mereka. Dia juga akan menonjolkan pelbagai perkara yang ajaib dan luar biasa untuk memperdaya mereka.
Ini menyebabkan pengaruhnya begitu cepat tersebar dan begitu masyhur. Pengikutnya semakin ramai. Dengan pengikut-pengikut yang semakin ramai ini, dia berjaya menguasai Sanaa’. Daripada Sanaa’ pengaruhnya berkembang pula ke kawasan-kawasan yang lain. Akhirnya, seluruh kawasan antara Hadramaut dan Taif, Bahrain dan Eden jatuh ke tangannya.
* * *
Apabila pengaruhnya mula stabil dan seluruh kawasan serta masyarakat di situ tunduk kepadanya, dia mula mengalih pandangan kepada penentangnya iaitu orang-orang yang mempunyai keimanan yang teguh dengan agama yang benar. Orang-orang yang berkeyakinan penuh dengan Nabi s.a.w. dan orang-orang yang memberikan segala ketundukan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya. Orang-orang yang menegakkan kebenaran dan menentang kepalsuan.
Dia bertindak kejam terhadap orang-orang ini dan mengenakan hukuman yang berat ke atas mereka. Di antara orang pertama yang merasai kekejaman al-Aswad al-Ansi ialah Abdullah bin Thuwab atau dikenali sebagai Abu Muslim al-Khaulaani.
* * *
Abu Muslim al-Khaulaani adalah seorang yang teguh pegangan agama dan imannya serta tegas menyatakan kebenaran. Beliau telah menyerahkan suluruh jiwa raganya kepada Allah dan menolak segala kesenangan dunia.
Beliau mengenepikan segala keseronokan hidup dan mewakafkan hayatnya untuk mentaati Allah dan menyeru manusia ke arah mengabdikan diri kepada Allah. Beliau melaburkan dunia yang fana’ ini untuk mengecapi alam akhirat yang kekal abadi. Oleh itu, orang ramai amat menyanjung tinggi keperibadiannya. Bagi mereka, Abu Muslim al- Khaulaani adalah seorang yang suci, mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah dan doanya pasti diperkenankan oleh Allah.
* * *
Al-Aswad al-Ansi berhasrat untuk mengenakan hukuman yang amat berat kepada Abu Muslim. Tujuannya bagi menakutkan dan menguasai orang-orang yang cuba menentang dakyahnya secara terang-terang mahupun secara sembunyi.
Dia mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya mengumpulkan kayu api di tengah- tengah kota Sanaa, kemudian kayu-kayu ini di nyalakan. Dia mengajak orang ramai supaya datang menyaksikan upacara pengakuan seorang ulama dan abid Yaman, Abu Muslim al- Khaulaani akan kenabiannya.
Pada masa yang ditetapkan al-Aswad al-Ansi pun muncul di medan yang kini penuh sesak dengan orang ramai. Dia diiringi oleh penasihat-penasihat dan pembesar-pembesarnya. Para pengawal dan panglima-panglima tentera turut mengelilinginya. Dia duduk di singgahsananya yang berhadapan dengan api yang sedang marak menyala.
Beberapa ketika kemudian, Abu Muslim al-Khaulaani diheret di hadapan orang ramai hingga sampai ke hadapan pendusta besar itu. Pendusta itu melihat dengan penuh takjub. Al- Aswad melihat ke arah api yang merah menyala dan kemudian memandang ke arah Abu Muslim sambil berkata: “Apakah engkau mengaku bahawa Muhammad itu utusan Allah?”
Dengan berani Abu Muslim menjawab: “Ya, saya mengaku bahawa baginda adalah hamba dan utusan Allah. Saya juga mengaku bahawa Muhammad adalah ketua segala rasul dan Nabi yang terakhir.”
Merah padam muka al-Aswad mendengar jawapan itu dan dia memarahi pengawal- pengawalnya. Al-Aswad bertanya lagi: “Apakah engkau mengaku saya adalah utusan Allah.” “Telinga saya ini tersumbat tidak dapat mendengar apa yang engkau katakan,” perli Abu Muslim.
Sambil menunding ke arah api yang marak menyala: “Kalau begitu, saya akan humban engkau ke dalam api,” ancam Al-Aswad.
Dengan tenang Abu Muslim menyindir pedas, “Jika demikian, api yang bahan bakarnya kayu ini akan menyelamatkan saya daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, yang dijaga oleh malaikat yang bengis lagi keras. Mereka itu tidak akan melanggar perintah Allah dan akan melakukan apa yang diperintahkan.”
Al-Aswad cuba menenangkan suasana: “Saya tidak akan bunuh engkau sekarang. Saya akan beri engkau peluang untuk berfikir semula.”
Setelah itu, Al-Aswad bertanya semula: “Apakah engkau mengaku bahawa
Muhammad adalah utusan Allah?”
Abu Muslim menjawab: “Ya, saya mengaku bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan Allah. Allah telah mengutus Muhammad membawa agama yang benar dan sebagai Nabi yang terakhir.”
Al-Aswad semakin marah mendengar jawapan itu dan bertanya lagi: “Apakah engkau mengaku bahawa saya adalah utusan Allah?”
“Bukankah saya sudah katakan tadi, telinga saya ini tersumbat tidak dapat mendengar apa yang engkau katakan itu?!” tegas Abu Muslim.
Kemarahan al-Aswad semakin meluap-luap mendengar jawapan yang begitu tegas dan bersahaja itu. Mahu saja dia mengarahkan para pengikutnya supaya menghumban Abu Muslim ke dalam api.
Walau bagaimanapun, sebelum dia berbuat demikian seorang penasihatnya membisikkan ke telingnya: “Orang ini, seperti yang engkau tahu seorang berjiwa suci dan diperkenankan doanya. Allah tidak akan mengkhianati-Nya ketika susah. Jika engkau humban dia ke dalam api kemudian Allah selamatkan dia, sudah tentu apa yang engkau bina selama ini akan musnah dalam sekelip mata. Semua orang akan menolak kenabianmu. Jika sebaliknya api membakar tubuhnya, orang ramai akan kagum dan semakin menghormatinya. Mereka akan meletakkan dia sebagai seorang syahid. Adalah lebih baik jika engkau bebaskan dia dan halau dia daripada negeri ini supaya engkau selamat daripada ancamannya.”
Al-Aswad menerima nasihat syaitannya ini dan mengarahkan upaya Abu Muslim al- Khaulaani dihalau dari negeri itu.1
* * *
Abu Muslim al-Khaulaani berangkat menuju ke Madinah. Beliau sememangnya berhasrat untuk bertemu Rasulullah s.a.w.. Walaupun beliau telah beriman namun tidak berpeluang untuk melihat sendiri Baginda dan mengecapi nikmat persahabatan dengan Baginda. Malangnya, sebaik sahaja tiba di pinggir Madinah, beliau mendengar berita kewafatan Nabi s.a.w. dan Abu Bakar telah dilantik menjadi khalifah selepas Baginda. Hatinya terasa amat sedih mendengar kewafatan Nabi s.a.w. ini.
* * *
Setelah tiba di Madinah, beliau terus menuju ke masjid Rasulullah s.a.w.. Beliau menambat untanya berdekatan dengan pintu masjid kemudian masuk ke dalam masjid dan memberi salam kepada Rasulullah s.a.w.. Setelah itu beliau berdiri berdekatan sebuah tiang di dalam masjid itu dan mendirikan sembahyang. Sebaik sahaja selesai bersembahyang, Umar bin al-Khattab datang sambil bertanya: “Saudara ini datang dari mana?”
“Dari Yaman,” jawab Abu Muslim ringkas.
“Apakah yang dilakukan oleh Allah kepada sahabat kami yang dihumban ke dalam api oleh musuh Allah tetapi Allah menyelamatkannya?” tanya Umar ingin tahu.
Sambil tersenyum Abu Muslim membalas: “Dia sihat, dengan nikmat Allah.”
Umar cuba meneka: “Bukankah engkau orang itu?!” “Ya,” jawab Abu Muslim. Lantas Umar mengucup dahi Abu Muslim sambil berkata: “Apakah engkau tahu apa yang telah Allah lakukan kepada musuh Allah dan musuh engkau itu?” “Tidak, saya tidak mendengar khabarnya semenjak saya meninggalkan Yaman,” jawab Abu Muslim.
“Allah telah membunuh dan menjatuhkan kuasanya melalui tangan orang-orang mukmin yang sejati. Selepas itu Allah telah mengembalikan pengikut-pengikutnya kepada agama Allah semula,” jelas Umar.
“Segala puji bagi Allah yang memberikan kesempatan untuk saya melihat kematiannya dan melihat penduduk Yaman kembali kepada Islam sebelum saya mati,” balas Abu Muslim dengan penuh kesyukuran.
Umar pula menyambut seraya berkata: “Saya juga memanjatkan pujian kepada Allah yang telah mempertemukan saya dengan umat Muhammad yang telah diperlakukan seperti mana yang diperlakukan kepada Nabi Ibrahim, Khalil al-Rahman a.s.”
Setelah itu, Umar membawa Abu Muslim menemui Abu Bakar. Apabila bertemu dengan Abu Bakar beliau memberikan taat setianya kepada Abu Bakar. Abu Bakar mempersilakan beliau duduk di antaranya dengan Umar. Mereka berdua meminta beliau menceritakan apa yang telah berlaku antaranya dengan al-Aswad al-Ansi.
* * *
Abu Muslim menetap di Madinah untuk suatu tempoh yang agak lama. Dalam tempoh itu beliau sering berulang-alik ke masjid Rasulullah s.a.w.. Beliau mendirikan sembahyang di Raudhah dan seperti Abu Ubaidah al-Jarrah, Abu Zar al-Ghifari, Ubadah bin al-Samit, Mu’az bin Jabal dan Auf bin Malik al-Ashjaie.
Tidak berapa lama kemudian, Abu Muslim berhasrat untuk berpindah dan menetap di Sham. Tujuan utamanya ialah untuk berada berhampiran dengan sempadan di Sham supaya dapat turut sama tentera Islam memerangi Rom dan beroleh pahala bersama berada di barisan hadapan tentera Islam.
Apabila jawatan khalifah beralih kepada Amirul Mukminin, Muawiyah bin Abu Sufyan r.a., beliau sering kali turut sama dalam majlis Muawiyah. Banyak kisah-kisah yang menarik diceritakan mengenai mereka berdua yang memperlihatkan kehebatan kedua-dua tokoh ini.
Suatu hari ketika Abu Muslim masuk menghadap Muawiyah r.a., beliau melihat Muawiyah kelihatan agak menonjol dalam majlis yang dihadiri oleh ramai kenamaan termasuk pembesar-pembesar negara, panglima tentera dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Beliau dapat melihat bagaimana begitu ramai yang menghormati dan menyanjungi Muawiyah. Keadaan itu membimbangkannya, lalu dia berkata: “Salam ke atasmu, wahai Khadam Mukminin.”
Orang ramai menoleh dan cuba memperbetulkan kata-katanya: Amirul Mukminin, wahai Abu Muslim.”
Beliau tidak mengendahkan kata-kata mereka sebaliknya: Beliau sekali lagi mengulanginya: “Salam atasmu, wahai Khadam Mukminin.”
“Amirul Mukminin, wahai Abu Muslim,” orang ramai terus menegurnya. Namun beliau tetap tidak mengendahkan malah tidakpun menoleh kepada mereka. Beliau tetap dengan pendiriannya! Beliau menyambung lagi: “Salam atasmu, wahai Khadam Mukminin.”
Apabila orang ramai menuntut supaya beliau menarik semula kala-katanya itu, Muawiyah mencelah: “Biarkan Abu Muslim, dia lebih tahu apa yang dikatakannya.”
Lalu Abu Muslim bangun menuju kepada Muawiyah lalu berkata: “Sebenarnya setelah Allah melantik engkau memimpin manusia, engkau hanyalah ibarat orang yang diberikan satu kerja dan diamanahkan untuk menjaga sekawan kambing. Jika engkau menjaganya dengan baik, engkau jaga bulu dan susunya, engkau akan diberikan upah.”
“Jika orang suruhan ini melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sehingga kambing yang kecil membesar sementara yang kurus menggemuk serta sihat daripada sebarang penyakit, orang suruhan ini akan diberikan upah,” tambah Abu Muslim.
“Tetapi jika orang suruhan ini tidak menjaga dengan baik gembalaannya hingga menyebabkan semuanya mati atau kurus atau tidak mengeluarkan bulu dan susu, orang suruhan ini tidak akan diberikan upah malah akan dimarah dan dihukum.”
“Oleh itu, pilihlah yang mana baik untuk dirimu,” Abu Muslim menamatkan kata- katanya.
Lalu Muawiyah yang semenjak tadi tertunduk kembali mengangkat kepalanya dan berkata: “Semoga Allah memberi kebaikan untukmu wahai Abu Muslim. Setahu saya, engkau adalah orang yang memberi nasihat kerana Allah, Rasul-Nya dan umat Islam.”
* * *
Suatu ketika, Abu Muslim mendirikan sembahyang Jumaat di masjid Damsyik dan Muawiyah pada ketika itu sedang menyampaikan khutbah. Muawiyah menyebut tentang perintah yang dikeluarkannya supaya menggali Sungai Barada dengan tujuan untuk memberikan air minuman yang bersih kepada penduduk Damsyik.
Di tengah orang ramai itu, Abu Muslim bangun dan berkata: “Wahai Muawiyah, ingatlah bahawa engkau akan mati hari ini atau esok dan tempat engkau nanti adalah di dalam kubur. Jika engkau ada membawa bekalan, bekalan itu adalah untuk engkau di dalam kubur nanti. Jika engkau membawa tangan yang kosong engkau akan dapati kubur engkau nanti akan sunyi sepi.”
“Saya mohon kepada Allah, semoga engkau wahai Muawiyah tidak merasakan bahawa jawatan khalifah ini adalah untuk menggali sungai atau mengumpulkan harta. Jawatan ini adalah untuk engkau menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan serta memimpin manusia ke arah yang diredai oleh Allah.”
“Wahai Muawiyah, kami tidak kisah jika sungai itu keruh, selagi kepala kami jernih dan engkau adalah kepala kami. Pastikanlah supaya engkau sentiasa jernih.”
“Wahai Muawiyah, jika engkau menzalimi seseorang, kezaliman engkau akan dihapuskan iika engkau melakukan keadilan. Jangan sekali engkau bersikap zalim kerana kezaliman bererti malang di hari akhirat nanti.”
Apabila selesai Abu Muslim berucap, Muawiyah turun daripada mimbar dan berkata: “Moga Allah merahmatimu, wahai Abu Muslim dan semoga engkau beroleh kebaikan.”
* * *
Suatu ketika, Muawiyah naik ke atas mimbar untuk berucap. Dua bulan sebelum itu, beliau telah memberhentikan bantuan kepada orang ramai.
Ketika itu Abu Muslim bangun dan berkata: “Wahai Muawiyah, wang itu bukan wang engkau atau wang bapa engkau atau ibu engkau, apa hak engkau menghentikan bantuan ini kepada orang ramai?!”
Muawiyah kelihatan marah mendengar kata-kata itu. Orang ramai ingin melihat apa yang bakal dilakukannya. Namun Muawiyah hanya meminta orang ramai supaya kekal di tempat masing-masing. Beliau kemudian turun daripada mimbar dan mengambil wuduk. Beliau menjiruskan sedikit air ke kepalanya. Setelah itu beliau kembali ke atas mimbar dan memanjatkan pujian kepada Allah kemudian berkata:
“Abu Muslim telah menyebut bahawa wang itu bukan wang saya atau bapa saya atau ibu saya. Apa yang dikatakan oleh Abu Muslim itu benar. Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Marah itu daripada syaitan, syaitan daripada api, air pula memadamkan api. Jika kamu marah hendaklah kamu berwuduk.”
Wahai manusia, ambillah hak-hak kamu dengan berkat Allah Azza wa Jalla.”
* * *
Semoga Allah memberikan kebaikan kepada Abu Muslim. Beliau merupakan satu contoh unggul yang berjuang menegakkan kebenaran.
Moga Allah meredai Muawiyah bin Abu Sufyan. Beliau juga merupakan teladan yang baik bagi mereka yang bersedia mendengar
Tepat sekali kata hikmah orang bijak pandai: Janganlah kamu cerca mereka,
Sebaliknya ikutilah apa yang telah mereka lakukan.