Abu Hanifah Al-Nu’man

Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien

Detik-detik hidupnya yang menarik

“Saya tidak pernah bertemu dengan orang yang sangat bijak, sangat baik dan sangat warak seperti Abu Hanifah.”

[Yazid bin Harun]

Orangnya kacak, tampan, berbudi bahasa dan manis tutur kata. Tubuhnya tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Ditambah pula dengan pakaiannya yang kemas, segak dan harum semerbak. Daripada harumannya orang ramai boleh menyedari kehadirannya walaupun tanpa melihatnya.

Itulah al-Nu’man bin Thabit bin al-Marzuban atau nama panggilannya, Abu Hanifah. Orang pertama yang menonjolkan keindahan fikah Islam dan orang pertama yang memperlihatkan kehebatan fikah ini.

* * *

Abu Hanifah berkesempatan untuk hidup pada akhir zaman pemerintahan Bani Umayyah dan permulaan zaman Bani Abbasiyyah. Pada zaman beliau hidup, para khalifah dan pemerintah sentiasa mendampingi mereka yang berkebolehan hingga mereka ini hidup dalam keadaan mewah dan rezeki mereka datang mencurah-curah tanpa dicari-cari.

Namun demikian, Abu Hanifah tetap menjaga harga diri dan nilai ilmunya. Dia berazam untuk bergantung hanya pada hasil tangannya sendiri. Dia mahu tangannya sentiasa berada di atas.

* * *

Suatu ketika, al-Mansur menjemput Abu Hanifah menziarahinya. Apabila Abu Hanifah tiba, al-Mansur menyambut dengan penuh hormat dan mesra. Abu Hanifah dipersilakan duduk berhampiran dengannya. Al-Mansur kemudian mengemukakan pelbagai soalan yang berkaitan dengan agama dan dunia.

Ketika Abu Hanifah mahu berangkat pulaag, al-Mansur menghadiahkan kepada Abu Hanifah satu uncang wang yang berisi 30 ribu dirham, walaupun al-Mansur sebenarnya seorang yang sangat terkenal dengan kebakhilannya.

Sambil tersenyum Abu Hanifah berkata: “Wahai Amirul Mukminin, saya ini orang asing di Baghdad. Saya tiada tempat untuk menyimpan wang ini. Saya juga rasa bimbang keselamatannya. Simpankanlah wang ini di Baitul Mal. Apabila saya memerlukannya saya akan datang memintanya nanti.” Al-Mansur menerima alasannya itu.

Walau bagaimanapun, hayat Abu Hanifah tidak lama selepas peristiwa itu. Setelah kematiannya, orang ramai menemui sejumlah harta di rumahnya yang jauh berlipat ganda berbanding hadiah yang diterimanya tadi. Apabila al-Mansur mendengar khabar tersebut menitis air matanya, dia berkata: “Moga Allah merahmati Abu Hanifah, beliau telah memperdaya saya. Beliau enggan menerima hadiah saya tetapi menolaknya dengan penuh sopan.”

Ini bukanlah suatu yang menghairankan bagi Abu Hanifah kerana beliau meyakini makanan terbaik yang dijamah oleh seseorang ialah makanan yang diperolehi oleh hasil usahanya sendiri.

Untuk tujuan itu, beliau memperuntukkan sebahagian masanya untuk berniaga. Beliau menjual kain bulu dan pakaian yang diperbuat daripada bulu. Perniagaannya ini menyebabkan beliau terpaksa berulang alik ke kota-kota di Iraq. Beliau juga mempunyai sebuah kedai yang menjadi tumpuan orang ramai. Orang ramai menerima layanannya yang jujur dan amanah ketika memberi dan menerima daripada Abu Hanifah. Tidak hairanlah jika para pelanggannya dapat merasai kepuasan yang tinggi berurusan dengannya.

Dengan izin Allah, perniagaan yang dijalankannya ini memberikan pulangan yang lumayan kepadanya. Beliau menerima daripada sumber yang halal dan melaburkannya pula di tempat yang sepatutnya.

Setiap kali tiba akhir tahun, beliau akan menilai segala keuntungan hasil perniagaannya. Beliau akan mengambil apa yang cukup untuk perbelanjaannya kemudian bakinya akan digunakan untuk membeli barangan keperluan para qari, ahli hadis, ulama dan penuntut ilmu seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Malah Abu Hanifah menyediakan peruntukun khas dalam bentuk wang untuk mereka. Beliau akan menyerahkan wang ini kepada mereka dan akan berkata:

“Ini adalah hasil keuntungan perniagaan yang Allah jalankan untuk kamu melalui saya. Demi Allah, saya tidak memberikan kamu wang saya sendiri sebaliknya ini adalah kurniaan Allah untuk kamu lalui saya. Tiada siapa yang dapat menghalang rezeki Allah pada sesiapa.”

* * *

Sifat pemurah Abu Hanifah tersebar begitu luas, terutamanya di kalangan teman- temannya. Suatu hari seorang temannya datang ke kedainya. Sambil melihat kain-kain yang tersusun rapi di kedai tersebut dia berkata:

“Saya memerlukan sehelai baju bulu, wahai Abu Hanifah.”

Sambil tersenyum Abu Hanifah bertanya: Warna apa yang kamu inginkan? Temannya menjawab: “Warnanya…”

“Tunggulah hingga saya memperolehinya dan saya akan bawakan kepadamu.” jawab Abu Hanifah sambil tersenyum.

Apabila hari Jumaat, baju yang dipesan pun tiba. Lantas baju ini dibawa kepada temannya. Sambil mengeluarkan kain bulu tersebut Abu Hanifah berkata: “Saya telah menerima pesanan yang engkau perlukan.”

Dengan wajah yang girang, temannya bertanya: “Berapakah harganya?” “Satu dirham.”1 jawab Abu Hanifah. ,

“Satu dirham?!” balas temannya dengan terkejut. “Ya.”, tegas Abu Hanifah.

Temannya merasa tidak percaya dengan kata-kata Abu H&nifah: “Apakah engkau bergurau, wahai Abu Hanifah.”

Abu Hanifah menguntum senyum seraya berkata: “Saya tidak bergurau. Saya beli baju ini bersama satu lagi baju dengan harga 20 dinar emas dan satu dirham perak. Sehelai saya telah jual dengan harga 20 dinar emas dan tinggal yang ini saya jual dengan satu dirham. Saya tidak mahu ambil untung daripada teman saya.”

* * *

Suatu hari seorang wanita tua datang bertanya tentang baju bulu. Lantas Abu Hanifah menunjukkan baju yang dimaksudkan. Sambil membelek-belek baju tersebut, wanita itu berkata: “Saya wanita yang sudah tua dan tidak tahu menahu tentang harga. Ini adalah amanah. Juallah baju ini dengan harga yang engkau terima dan tambahkan sedikit harganya untuk keuntunganmu. Tambahan pula, saya ini orang yang tidak berkemampuan.”

Abu Hanifah menjawab: “Saya beli dua helai baju ini dalam satu akad. Saya telah menjual baju yang pertama dengan harga modal, ditambah pula dengan empat dirham. Ambillah baju ini dengan harga modal. Saya tidak mahu ambil untungnya.”

* * *

Pada suatu hari, Abu Hanifah ternampak temannya memakai baju yang telah lusuh. Apabila orang lain beredar, tinggallah mereka berdua, sambil memandang kedua-dua mata temannya Abu Hanifah berkata: “Angkatlah sejadah ini dan ambillah apa yang ada di bawahnya. Apabila temannya mengangkat sejadah itu didapatinya ada seribu dirham di bawahnya.”

“Ambillah wang itu dan gunakan untuk kemaskan dirimu.” kata Abu Hanifah. Temannya dalam keadaan terperanjat berkata: “Saya ini berharta. Allah telah berikan saya nikmat-Nya, saya tidak memerlukan wang ini.”

Dengan wajah yang kesal Abu Hanifah berkata: “Jika Allah telah memberikan engkau nikmat, di manakah nikmat itu?! Tidakkah engkau pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah suka melihat tanda nikmat-Nya pada hamba-Nya. Jadi, engkau sepatutnya kemaskan diri supaya engkau tidak membuatkan temanmu sedih.”

* * *

Sifat pemurah Abu Hanifah ini begitu tinggi sehinggakan setiap kali beliau membelanjakan sesuatu untuk keluarganya, beliau akan memberikan jumlah yang sama kepada orang lain yang memerlukannya.

Apabila beliau membeli pakaian yang baru beliau akan membelikan pakaian kepada orang-orang miskin dengan harga yang sama. Apabila makanan dihidangkan di hadapannya, beliau mengasingkan bahagian yang biasanya dimakan dan bakinya diberikan kepada fakir miskin.

* * *

Pernah diceritakan bahawa Abu Hanifah berjanji dengan diri sendiri bahawa setiap kali beliau bersumpah dengan nama Allah, beliau akan bersedekah sebanyak satu dirham perak. Selepas itu beliau berjanji setiap kali beliau bersumpah dengan nama Allah, beliau akan bersedekah sebanyak satu dinar emas.

Jadi, setiap kali beliau bersumpah beliau akan memberikan satu dinar sebagai sedekah.

* * *

Hafs bin Abdul Rahman adalah rakan kongsi Abu Hanifah dalam beberapa urusan perniagaan. Abu Hanifah akan menyiapkan barangan yang diperbuat daripada bulu dan menyerahkannya kepada Hafs bin Abdul Rahman untuk dijual di beberapa kota Iraq.

Suatu hari Abu Hanifah berjaya menyiapkan sejumlah besar baju untuk dijual. Walau bagaimanapun beliau tidak lupa untuk memberitahu Hafs bin Abdul Rahman tentang kecacatan yang ada pada beberapa helai baju tersebut. Abu Hanifah berpesan kepada Hafs: “Jika engkau ingin menjual baju ini, beritahulah pembelinya Hafs berjaya menjual kesemua baju-baju tersebut tetapi dia terlupa memberitahu pembeli tentang kecacatan yang ada pada baju-baju tersebut. Puas dia cuba mengingat orang- orang yang membeli baju yang cacat itu, tetapi tidak berjaya.

Apabila Abu Hanifah mengetahui perkara itu dan dia tidak berjaya menemui orang- orang yang tertipu itu, beliau merasa tidak senang hati. Akhirnya beliau memberikan kesemua hasil jualan tersebut sebagai sedekah.

* * *

Apa yang lebih menarik, Abu Hanifah juga seorang yang amat peramah dan mudah mesra. Ini menyebabkan semua yang bersamanya pasti akan merasa senang hati. Dia tidak akan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik walaupun kepada musuhnya.

Seorang sahabatnya pernah berkata: “Saya dengar Abdullah bin al-Mubarak berkata kepada Sufyan al-Thaurie2: Wahai Abu Abdullah, Abu Hanifah tidak pernah mengumpat. Saya tidak pernah dengar beliau menyebut-nyebut keburukan musuhnya.”

Sufyan menambah: “Abu Hanifah amat bijak memastikan segala kebaikannya tidak dicemar oleh sesuatu yang boleh melenyapkannya.”

* * *

Abu Hanifah juga adalah seorang yang terlalu menjaga hubungan baiknya dengan orang lain dan sentiasa memastikan hubungan mereka berpanjangan. Apabila ada seseorang duduk dalam majlisnya, walaupun tanpa niat dan secara kebetulan, beliau akan bertanya. Jika orang tersebut ada sesuatu permintaan, beliau akan memberikannya. Jika orang itu sakit, beliau akan memberikan rawatan. Jika orang itu ada sesuatu hajat, beliau akan tunaikan. Sehinggalah orang ini akan terus berada bersamanya.

* * *

Selain itu, Abu Hanifah juga adalah seorang yang sentiasa berpuasa, bersembahyang malam dan mendampingi al-Quran. Salah satu sebab beliau memperbanyakkan ibadatnya ialah pada suatu hari beliau terserempak dengan beberapa orang yang sedang berbual. Beliau terdengar mereka berkata: “Orang yang kamu lihat ini tidak tidur sepanjang malam.

Apabila mendengar sahaja kata-kata mereka itu, terdetik di hatinya: “Di hadapan mereka saya sebenarnya berbeza sama sekali dengan saya di hadapan Allah. Demi Allah, semenjak hari ini mereka tidak akan katakan lagi apa yang saya tidak lakukan. Saya tidak akan tidur lagi pada waktu malam hinggalah saya bertemu Allah.”

Semenjak hari itu, beliau mendirikan sembahyang sepanjang malam. Setiap kali malam berlabuh menutup tirai dan semua manusia berdengkur, beliau akan bangun dengan berpakaian kemas, menyikat janggutnya, memakai haruman dan berhias. Beliau akan berdiri di mihrabnya menghabiskan masa malamnya dengan bersembahyang atau membaca al-Quran atau bermunajat kepada Tuhan.

Kadang kala beliau membaca seluruh al-Quran dalam satu rakaat dan ada kalanya beliau menghabiskan sepanjang malamnya dengan hanya satu ayat.

Pernah diceritakan bahawa suatu malam beliau menghabiskan masa malamnya membaca berulang kali firman Allah Azza wa Jalla:

“(Bukan kekalahan itu sahaja) bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya). Dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit.” (maksud Al-Qamar: 46)

Dia menangis teresak-esak kerana takutkan Allah. Suaranya mendayu-dayu sungguh menyayat hati.

* * *

Selama 40 tahun beliau bersembahyang Subuh dengan air wuduk yang diambil ketika sembahyang Isyak. Tidak pernah sekalipun beliau meninggalkannya.

Beliau telah menamatkan bacaan al-Quran di tempat beliau menghembuskan nafas terakhirnya sebanyak tujuh ribu kali. Setiap kali membaca surah al-Zalzalah, tubuhnya akan menggeletar dan hatinya gementar. Lantas beliau memegang janggutnya sambil berkata:

“Wahai Tuhan yang membalas setiap zarah kebaikkan dengan kebaikkan. Wahai Tuhan yang membalas setiap zarah keburukkan dengan keburukkan. Jauhkanlah hamba-Mu ini, al-Nu’man daripada api neraka. Jauhkanlah dia daripada sesuatu yang boleh mendekatkannya dengan api neraka. Masukkanlah dia ke dalam rahmat-Mu yang luas, wahai Tuhan yang Maha Pengasih.”

  1. Dirham adalah wang perak sementara dinar adalah wang emas.
  2. Salah seorang Imam hadis yang paling mengetahui tentang halal dan haram di zamannya.