Abu Hanifah Al-Nu’man (2)

Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien

Kisah-kisah kepintarannya

“Abu Hanifah al-Nu’man sangat berhati-hati dengan larangan Allah, tidak banyak bercakap dan sentiasa berfikir.”

[Imam Abu Yusuf]

Suatu ketika Abu Hanifah datang bertemu dengan Imam Malik yang ketika itu berada bersama sejumlah sahabatnya. Setelah Abu Hanifah beredar, Imam Malik menoleh ke arah sahabat-sahabatnya dan bertanya: “Adakah engkau kenal siapakah itu?”

“Tidak”, jawab mereka tertanya-tanya.

“Itulah al-Nu’man bin Thabit. Orang ini jika dia berkata tiang ini emas, dia akan mengeluarkan segala hujah yang akan menyokong apa yang dikatakan itu dan akhirnya tiang ini akan menjadi seperti apa yang dikatakan itu.” jelas Imam Malik.

* * *

Bukanlah keterlaluan apabila Imam Malik menyifatkan Abu Hanifah sebagai seorang yang bijak berhujah, pantas berfikir, geliga dan tajam pandangannya.

Buku-buku sejarah memuatkan begitu banyak kisah-kisah menarik berkenaan Abu Hanifah bersama mereka yang tidak sependapat dengannya dan mereka yang mencabar akidahnya.

Semua kisah-kisah ini menjadi bukti kepada sifat yang dinyatakan oleh Imam Malik tadi. “Jika Abu Hanifah mendakwa debu yang ada di hadapan engkau ialah emas, engkau akan terpaksa akur dengan segala hujahnya dan menerima segala dakwaannya itu.”

Jadi bayangkanlah jika beliau mempertahankan kebenaran dan berhujah demi mempertahankannya.

* * *

Suatu ketika ada seorang penduduk Kufah yuang mempunyai kedudukan dan berpengaruh mendakwa bahawa Uthman bin Affan berketurunan Yahudi. Malah baginya Uthman bin Affan masih beragama Yahudi walaupun selepas zaman Islam.

Apabila Abu Hanifah mendengar dakwaan orang ini, beliau terus menemui lelaki tersebut. Setelah dipelawa duduk, beliau memulakan bicaranya: “Saya datang ini ingin meminang anak perempuanmu bagi pihak seorang sahabat saya.”

“Persilakan, pinangan orang sepertimu sudah tentu tidak boleh ditolak, wahai Abu

Hanifah. Tapi, siapakah orang yang meminang itu?” lelaki tersebut membalas ingin tahu.

Sambil tersenyum, Abu Hanifah menjawab: Seorang yang terkenal. Beliau mempunyai kedudukan dan kekayaan di kalangan kaumnya. Sangat pemurah dan dermawan. Beliau menghafal Kitab Allah Azza wa Jalla, bersembahyang sepanjang malam hanya dengan satu rakaat dan sentiasa menangis kerana takutkan Allah.”

Lelaki tersebut berkata: “Hebat, hebat… cukuplah wahai Abu Hanifah. Apa yang engkau cakapkan itu sudah cukup meletakkannya setaraf dengan anak perempuan Amirul Mukminin.”

Abu Hanifah mencelah: “Cuma ada satu sifatnya yang perlu anda ketahui.” “Apa dia?!” Tersentak lelaki tersebut.

Abu Hanifah berkata dengan bersahaja: “Orang ini beragama Yahudi.”

Merah padam muka lelaki tersebut mendengar jawapan Abu Hanifah: “Yahudi?! Apakah engkau mahu saya kahwinkan anak saya dengan seorang Yahudi wahai Abu Hanifah. Demi Allah, saya tidak akan kahwinkan anak saya dengannya walaupun segala sifat mulia ada padanya.”

Dengan tenang Abu Hanifah menjawab: “Engkau tidak mahu kahwinkan anak perempuanmu dengan Yahudi dan engkau tolak sekeras-kerasnya. Namun engkau canangkan ke seluruh manusia bahawa Rasulullah s.a.w. kahwinkan dua orang anak perempuannya dengan seorang Yahudi!!”

Tergamam orang itu mendengar kata-kata itu lalu berkata: “Saya memohon ampun kerana kesalahan saya itu. Saya bertaubat kerana fitnah yang saya timbulkan itu.”

* * *

Pada suatu hari seorang ahli Khawarij1 yang bernama al-Dahhak al-Shari datang bertemu Abu Hanifah lalu berkata: “Wahai Abu Hanifah bertaubatlah.”

Sambil memandang al-Dahhak Abu Hanifah bertanya: “Kenapa?!”

Al-Dahhak berkata: “Engkau berpendapat pengadilan antara Ali dan Muawiyah adalah dibenarkan.”

Setelah mendengar dakwaan al-Dahhak, Abu Hanifah pun bertanya: “Apakah engkau mahu berdebat dengan saya dalam masalah ini?”

“Boleh!” kata al-Dahhak sambil membetulkan tempat duduknya.

Abu Hanifah tersenyum seraya berkata: “Jika kita berselisih dalam masalah yang kita bincangkan ini, siapakah yang akan menjadi pengadil antara kita?”

Lantas al-Dahhak menjawab: “Pilihlah siapa yang engkau mahu.”

Abu Hanifah menoleh ke arah salah seorang sahabat Khawarij itu dan berkata: “Bolehkah engkau menjadi pengadil dalam masalah yang kami bincangkan ini.”

Abu Hanifah memaling semula mukanya kepada al-Dahhak lalu berkata : “Saya setuju dengan sahabatmu ini, apakah engkau setuju dengannya?”

“Baiklah saya setuju,” al-Dahhak tersenyum lebar kerana pengadil yang dipilih adalah daripada penyokongnya sendiri.

Abu Hanifah membentak: “Celakalah engkau, engkau setuju menerima pengadilan untuk perkara yang kita bincangkan ini, tetapi engkau tidak setuju dengan apa yang dilakukan oleh dua orang sahabat Rasulullah s.a.w.?!”

Tergamam al-Dahhak mendengar hujah tersebut dan terdiam tidak terkata apa.

* * *

Suatu kisah lagi pernah diceritakan bahawa Jahm bin Safwan, ketua kumpulan Jahmiyyah yang sesat dan mengamalkan bid’ah serta menimbulkan porak peranda di bumi Islam, datang bertemu Abu Hanifah. Jahm memulakan kata-katanya: “Saya datang untuk bertanya tentang beberapa perkara yang saya sediakan untukmu.”

Abu Hanifah menjawab: “Bercakap dengan orang sepertimu adalah suatu yang mengaibkan dan hanya akan menghumban saya ke dalam gejolak api neraka.”

Jahm berang mendengarnya sambil mengherdik: “Bagaimana engkau boleh berkata demikian sedangkan engkau tidak pernah bertemu dengan saya dan tidak pernah mendengar kata-kata saya?!”

“Telah sampai kepada saya kata-katamu yang tidak sepatutnya keluar daripada ahli kiblat.”2 jawab Abu Hanifah merenung tajam.

Jahm bingkas bangun lalu berkata: “Apakah engkau menghukum saya tanpa kehadiran saya.”

Dengan tenang Abu Hanifah membalas: “Semua yang engkau katakan telah diketahui umum dan tersebar luas. Semua orang mengetahuinya, jadi saya boleh menghukum berdasarkan apa yang sah daripada engkau secara mutawatir.”

“Saya hanya mahu bertanya tentang iman!” suara Jahm semakin tinggi.

“Apakah engkau tidak pernah tahu tentang iman sebelum ini?!” tanya Abu Hanifah sambil tersenyum sinis.

“Bukan begitu, saya cuma keliru tentang sesetengahnya.”

“Meragui iman adalah kufur,” dengan nada tegas Abu Hanifah membalas kata-kata Jahm.

“Tidak sepatutnya engkau menuduh saya kufur kecuali setelah engkau dengar sesuatu

yang boleh menyebabkan saya dianggap kufur.” Jahm semakin marah dengan kata-kata Abu Hanifah.

“Tanyalah apa yang engkau ingin tahu,” tanya Abu Hanifah.

Jahm cuba menduga Abu Hanifah dan berkata: “Beritahu saya tentang seseorang yang mengenali Allah melalui hatinya dan mengetahui bahawa Allah adalah Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Orang ini mengetahui sifat-sifat-Nya, tiada yang seperti dengan-Nya kemudian orang ini mati tanpa memaklumkan imannya melalui lidahnya. Apakah orang ini mati sebagai orang yang beriman atau orang yang kufur?”

“Orang ini mati sebagai orang yang kufur dan termasuk dalam ahli neraka jika dia tidak memaklumkan melalui lidahnya apa yang diketahui oleh hatinya selagi tiada sebarang halangan yang menghalang dia memaklumkannya,” jelas Abu Hanifah.

Dengan nada hairan Jahm bertanya: “Kenapa engkau katakan dia bukan orang yang beriman sedangkan dia benar-benar telah mengenali Allah?!”

Abu Hanifah membalas: “Jika engkau beriman dengan al-Quran dan engkau terimanya sebagai hujah, saya akan jawab menggunakan al-Quran. Tetapi jika engkau tidak beriman dengan al-Quran dan tidak menerima al-Quran sebagai hujah, saya akan gunakan hujah bagi orang yang tidak menerima Islam.”

Jahm berkata: “Ya, saya beriman dengan al-Quran dan terima al-Quran sebagai hujah.”

Abu Hanifah berkata: “Allah Taala telah menetapkan iman melalui dua anggota iaitu hati dan lidah, iman tidak hanya bergantung kepada satu sahaja. Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. cukup untuk membuktikan fakta itu.

Firman Allah:

“Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui kitab mereka) dari kebenaran (al-Quran) sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan kitab suci al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w). “Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh”.

Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikkan. [maksud al-Maidah: 83-85]

Orang-orang ini mengenali kebenaran melalui hati mereka dan mereka mengucapkannya melalui lidah mereka. Oleh kerana itu berdasarkan ucapan mereka tadi, Allah memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya.

“Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang engkau – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”.

[maksud Al-Baqarah: 136]

Allah memerintahkan mereka mengucapkan iman mereka dan tidak hanya memadai dengan pengetahuan dan ilmu mereka.

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda:

“Ucapkan tiada Tuhan melainkan Allah, engkau akan berjaya”3.

Baginda tidak hanya meletakkan pengetahuan sebagai asas sebagai asas kejayaan sebaliknya baginda menagaitkan dengan ucapan.

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

“Akan keluar dari neraka orang yang mengucapkan tiada Tuhan melainkan Allah.”

Baginda tidak pula menyatakan orang yang keluar dari neraka ialah orang yang mengenali Allah. Jika ucapan itu tidak perlu dan pengetahuan itu sudah memadai, sudah tentu Iblis juga dianggap beriman. Sebabnya, Iblis juga mengenali Tuhannya dan dia tahu Tuhan inilah yang mencipta dan mematikannya. Iblis mengetahui Tuhan inilah yang akan membangkitkannya dan menyesatkannya.

Allah berfirman memetik kata-kata Iblis:

“Engkau (wahai tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” [maksud al-’Araf]

“Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).” [maksud Al-Hijr: 36]

“Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus;” [maksud Al-A’raf: 16]

Jika apa yang engkau dakwa itu benar sudah tentu kebanyakan orang kafir itu dikira beriman kerana mereka mengenali Tuhan mereka walaupun lidah mereka menolaknya. Firman Allah:

“Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya.” [maksud Al-Naml: 14]

Allah tidak mengiktiraf mereka ini sebagai orang yang beriman walaupun hati mereka meyakininya, sebaliknya Allah meletakkan mereka sebagai orang kafir kerana lidah mereka menolaknya.

Abu Hanifah terus membentangkan satu demi satu ayat-ayat al-Quran diikuti dengan hadis-hadis hingga Jahm kelihatan hampa. Jahm kemudiannya meminta izin untuk beredar sambil berkata: “Engkau mengingatkan saya kepada satu perkara yang saya terlupa. Saya akan kembali berbincang dengan engkau nanti.” Kekesalan dan kehampaan jelas terbayang pada mukanya. Jahm pun beredar dan tidak datang-datang lagi selepas itu.

* * *

Suatu kisah lagi diceritakan, suatu ketika, Abu Hanifah bertemu dengan sekumpulan mulhid yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan yang mencipta alam ini. Dengan penuh kebijaksanaan, beliau mengemukakan satu persoalan kepada mereka:

“Apakah pendapat kamu tentang sebuah kapal yang sarat dengan barangan dan muatan. Kapal ini dilambung gelombang laut yang bergelora dan dipukul angin ribut. Walau bagaimanapun, kapal ini dengan tenang meneruskan pelayaran menuju haluannya tanpa sebarang masalah dan tidak tersasar sedikitpun sedangkan tiada seorang pelayar pun yang mengemudinya atau seorang jurumudi yang menentukan arahnya. Apakah ini logik menurut fikiran engkau?!”

Orang-orang mulhid itu dengan pantas menjawab: “Tidak, ia sudah tentu tidak dapat diterima oleh akal, wahai sheikh.”

Abu Hanifah dengan penuh yakin membidas si mulhid: “Maha suci Allah!! Kamu tidak menerima sebuah kapal dapat belayar dengan baik jika tidak dikemudi oleh seorang jurumudi tetapi kamu menerima jika alam ini dengan lautannya yang meluas, kapalnya yang belayar, burung berterbangan dan haiwan yang bebas boleh wujud tanpa sebarang pembuat yang membuatnya dengan baik atau oleh seorang pentadbir yang mentadbir dengan baik. Binasalah kamu kerana pendustaan kamu.”

* * *

Abu Hanifah telah menghabiskan seluruh hidupnya memperjuangkan agama Allah berbekalkan kebolehan berhujah yang Allah berikan kepadanya. Dia berbahas mempertahankan syariat Allah dengan berbekalkan bakat berfikir yang dikurniakan oleh Allah.

Apabila beliau meninggal dunia, melalui wasiatnya, beliau meminta agar ahli keluarganya mengebumikannya di kawasan tanah yang baik dan melarang mereka sama sekali daripada mengebumikannya di kawasan tanah yang disyaki dirampas.

Apabila wasiat ini sampai ke pengetahuan al-Mansur, dia berkata: “Siapakah yang akan melindungi kita selain daripada Abu Hanifah, ketika hidupnya dan selepas ketiadaannya.”

* * *

Abu Hanifah telah mewasiatkan agar jenazahnya dimandikan oleh al-Hasan bin ‘Ammarah. Apabila al-Hasan memandikan jenazahnya, beliau berkata:

“Semoga Allah merahmatimu, wahai Abu Hanifah. Semoga Allah mengampuni engkau sebagai ganjaran kepada apa yang telah engkau lakukan. Sepanjang 30 tahun, engkau tidak pernah berhenti berpuasa. Selama 40 tahun setiap malam engkau tidak pernah melelapkan mata. Engkau telah memberikan tanggungjawab yang berat kepada ulama selepasmu.”

  1. Golongan yang menentang Ali dan Muawiyah.
  2. Umat Islam, mereka dinamakan demikian kerana mereka menghadap ke kiblat ketika sembahyang.
  3. Berjaya memperolehi keredaan Allah dan syurga-Nya.