Abdul Rahmah Al-Ghafiqi (2)

Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien
Pahlawan Medan Balat al-Shuhada’
“Jika tidak kerana kemenangan Charles Martel ke atas tentera Islam dan panglimanya, al- Ghafiqi sudah tentu Sepanyol akan terus menikmati keindahan Islam dan perkembangan tamadun di Eropah tidak akan terbantut selama lapan kurun.”
[Ahli Sejarah Eropah]
Southy, seorang penyair Inggeris pernah membuat catatan mengenai tentera Islam yang menyerang Eropah selepas penaklukan Andalus.
“Gelombang manusia yang tidak terhingga. Arab, Qibti dan Tartar semuanya bernaung di bawah satu panji. Mereka disatukan oleh iman yang membara dan semangat yang menjulang tinggi. Semangat mereka ibarat api yang marak menyala. Ikatan persaudaraan yang hebat ini tidak membezakan darjat antara manusia.”
* * *
“Selain para tentera, panglima-panglima mereka juga begitu yakin mereka bakal mencapai kemenangan, mereka semakin mabuk dengan kemenangan. Mereka yakin mereka memiliki kekuatan ampuh yang tidak mampu digugat oleh sesiapa. Mereka yakin tentera mereka tidak mungkin mampu digugat oleh sebarang rintangan.”
“Angkatan tentera mereka bersemangat tinggi semenjak awal lagi. Mereka yakin setiap kali mereka mara, mereka akan menuju kemenangan.”
“Tentera ini akan sentiasa mara ke hadapan sehinggalah seluruh rantau barat dikalahkan seperti mana rantau timur. Mereka akan membawa seluruh manusia tunduk hormat kepada Muhammad. Hingga suatu masa nanti akan hadir satu rombongan haji dari puncak dunia1 yang membeku memijak pepasir yang membara di bumi Sahara Arab dengan dada yang berisi keimanan. Berdiri di puncak gunung Mekah yang berdiri megah.”
Apa yang diungkapkan ini bukanlah suatu fantasi yang menerawang jauh di alam khayalan.
Angkatan tentera pimpinan para mujahid yang mara untuk memimpin datuk nenek kamu supaya mereka keluar daripada jahiliyyah, seperti yang kamu ungkapkan itu sememangnya disertai oleh Arab yang berkeyakinan teguh dengan Allah. Mereka datang dari Sham, Hijaz, Najd, Yaman dan seluruh pelusuk bumi Arab. Kedatangan mereka ibarat angin kencang yang melanda.
Selain mereka ialah kaum Barbar yang turut berbangga dengan Islam yang mereka miliki. Mereka kini mara dari puncak gunung Atlas2 ibarat air bah yang deras menderu.
Selain mereka juga ialah kaum Parsi yang kini bebas daripada cengkaman Kisra3. Mereka kini telah beralih kepada agama yang menyembah Tuhan yang Esa dan berada di jalan Allah yang Maha Mulia.
Begitu juga dengan kaum Rom yang kamu anggap terseleweng. Ya, mereka terseleweng tetapi mereka terseleweng daripada kezaliman dan kegelapan kepada cahaya langit dan bumi. Mereka sebenarnya telah kembali kepada agama yang benar.
Selain itu mereka juga ialah kaum Qibti yang telah bebas daripada belenggu Kaisar4. Mereka kini bebas seperti mana ketika mereka dilahirkan oleh ibu mereka. Bebas dalam dakapan Islam.
Benar, tentera yang dipimpin oleh Abdul Rahman al-Ghafiqi ini malah oleh para panglima lain sebelum ini yang datang untuk menyelamatkan datuk nenek kamu daripada belenggu jahiliyyah sememangnya disertai oleh manusia yang berkulit putih dan hitam, manusia berbangsa Arab dan bukan Arab. Mereka kini telah bersatu dalam acuan Islam. Dengan nikmat Allah, mereka kini telah bersaudara.
Benar seperti yang dikatakan, matlamat mereka kini ialah membawa masuk rantau barat ke dalam agama Allah seperti yang mereka lakukan di timur sebelum ini.
Mereka mahu seluruh manusia tunduk di bawah Tuhan manusia. Mereka mahu cahaya Islam ini memancar ke seluruh lurah dan lembah. Mereka mahu sinar Islam ini menembus masuk melalui lubang jendela kamu. Mereka mahu supaya keadilan Islam ini dapat meletakkan kamu dan raja kamu dalam darjat yang sama. Mereka rela mengorbankan jiwa mereka untuk membawa kamu kepada agama Allah dan menyelamatkan kamu daripada neraka.
* * *
Ikutilah kisah tentera ini selanjutnya dan saksikanlah kisah pahlawan ulung, Abdul Rahman bin Abdullah al-Ghafiqi.
Berita yang menyayat hati tentang menantunya, Uthman bin Abu Nus’ah akhirnya sampai ke pengetahuan Duke Aquitania. Lebih menyayatkan hatinya ialah berita tentang nasib anaknya, Minin. Dia memahami kini gendang perang telahpun dipalu. Dia turut yakin Singa Islam, Abdul Rahman al-Ghafiqi akan menyerang negerinya pada bila-bila masa.
Oleh itu, dia membuat persiapan untuk mempertahankan habis-habisan setiap inci buminya. Dia bersedia untuk mengorbankan jiwa dan segala harta yang dimilikinya. Dia tidak mahu diheret ke istana Khalifah seperti yang berlaku kepada anaknya. Dia tidak manu kepalanya menjadi bahan tontonan di seluruh Damsyik seperti yang berlaku kepada Luzarique, raja Sepanyol sebelum ini.
* * *
Ternyata sangkaan Duke tidak dihampakan oleh Abdul Rahman al-Ghafiqi. Bersama- sama angkatan tenteranya, Abdul Rahman al-Ghafiqi mara dari arah Utara Andalus ibarat angin taufan yang melanda. Ibarat bah yang besar melanda Selatan Perancis melalui puncak Pyrennes.
Angkatan tenteranya berjumlah 100 ribu orang mujahid. Semuanya mara dengan berbekalkan semangat waja dan tekad yang tinggi menggunung.
* * *
Matlamat mereka kini ialah Kota Arles yang terletak di tebing Sungai Rhone. Kota ini ada perhitungan tersendiri dengan tentera Islam. Kota Arles suatu ketika dahulu pernah memeterai perjanjian dengan umat Islam apabila mereka bersetuju untuk membayar jizyah.
Ketika al-Samah bin Malik al-Khaulaani gugur syahid di medan Toulouse hingga menyebabkan tentera Islam tersungkur kalah, penduduk Arles mengkhianati perjanjian dan enggan membayar jizyah.
Ketika Abdul Rahman al-Ghafiqi tiba di pingir kota, beliau mendapati Eudes, Duke Aquitania telahpun membuat persiapan rapi untuk mempertahankan kota ini. Eudes telah mengumpulkan tentera-tenteranya di sekeliling kota dan bersiap sedia untuk menyekat kemaraan tentera Islam.
Tidak berapa lama kemudian, pertembungan dua pihak pun bermula. Berlakulah pertempuran yang hebat. Abdul Rahman al-Ghafiqi melancarkan serangan daripada pasukan- pasukan tentera yang berani mati, malah kecintaan mereka kepada mati lebih daripada kecintaan musuh kepada hidup. Akhirnya mereka berjaya memporak-perandakan kekuatan musuh dan menggugatkan pertahanan mereka. Seluruh kota kini terlibat dalam pertempuran ini. Musuh berjaya ditundukkan dan ramai yang terkorban. Harta perang yang diperolehi tidak terhitung banyaknya.
Duke Eudes pula berjaya melarikan diri bersama tentera-tenteranya yang masih hidup. Mereka segera mengumpulkan semula kekuatan untuk bertemu semula dengan tentera Islam. Bagi Eudes, peperangan di Arles adalah suatu permulaan bukan suatu kesudahan.
* * *
Selepas beroleh kemenangan di Arles, Abdul Rahman al-Ghafiqi bersama angkatan tenteranya menyeberangi Sungai Garonnes5 dan mara menjelajah ke seluruh kawasan Aquitania. Seluruh perkampungan dan kota yang dilalui jatuh satu persatu ke tangan mereka ibarat daun kering yang gugur ke bumi ditiup angin di musim luruh. Harta perolehan perang yang diperolehi oleh tentera Islam semakin bertimbun. Mereka sendiri tidak pernah melihat atau mendengar harta yang sebanyak ini.
Duke Eudes bertekad untuk menyekat kemaraan tentera ini sekali lagi. Jadi berlakulah pertempuran yang amat sengit antara kedua-dua belah pihak. Namun akhirnya tentera Islam berjaya memberikan kekalahan perit kepada musuh. Tentera Islam berjaya memusnahkan dan memporak-perandakan kekuatan musuh. Akhirnya ramai musuh yang berjaya dibunuh atau ditawan atau melarikan diri.
* * *
Tentera Islam kemudiannya mara ke Kota Bordeaux6, bandar terbesar di Perancis ketika itu dan ibu kota bagi Aquitania. Berlaku pertempuran yang tidak kurang sengitnya dengan peperangan sebelum ini. Pihak yang menyerang dan bertahan masing-masing menunjukkan kehebatan masing-masing yang sungguh mengkagumkan. Namun akhirnya nasib kota besar ini sama seperti kota-kota lain, jatuh juga ke tangan tentera Islam dan pemerintahnya turut terkorban bersama-sama tenteranya.
Umat Islam sekali lagi memperolehi harta perolehan perang. Kali ini, jumlahnya jauh lebih besar berbanding sebelum ini. Kejatuhan Kota Bordeaux ke tangan umat Islam menjadi petanda kepada kejatuhan kota-kota lain yang sama besar dan sama penting. Terutama kota Lyon7, Besancon8
* * *
Seluruh Eropah gempar dengan kejatuhan separuh daripada Perancis Selatan ke tangan Abdul Rahman al-Ghafiqi dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Rakyat Perancis mula membuka mata melihat bahaya yang bakal dihadapi. Seruan bergema di seluruh Perancis mengarahkan seluruh rakyatnya baik yang kuat mahupun yang lemah supaya menyekat bahaya yang sedang mara dari timur ini. Seluruh rakyat Perancis dikerah supaya menyekat kemaraan ini biarpun dengan dada mereka sekalipun. Mereka dikerah supaya menggunakan tubuh mereka sebagai benteng jika mereka tidak memiliki sebarang senjata. Akhirnya seluruh Eropah menyahut seruan ini. Seluruh rakyat bersatu di bawah Charles Martel dengan bersenjatakan kayu, batu, duri atau senjata.
* * *
Di ketika yang sama, tentera Islam telah sampai ke Kola Tours iaitu kota Perancis yang paling padat penduduknya, paling kukuh dan paling bersejarah. Apa yang lebih menarik ialah kota ini dianggap penting berbanding kota-kota lain kerana kota ini memiliki gereja yang indah, besar dan memiliki bahan bersejarah serta suci.
Umat Islam melancarkan serangan bertalu-talu ke atas musuh dengan semangat yang tinggi dan rela mengorbankan segala nyawa dan tenaga mereka untuk memperoleh kemenangan. Akhirnya kota ini jatuh ke tangan umat Islam dan berita kejatuhan ini sampai ke pengetahuan Charles Martel yang tidak mampu melakukan apa-apa.
* * *
Pada akhir bulan Sha’ban tahun ke-104 H, Abdul Rahman al-Ghafiqi bersama tenteranya yang gagah perkasa mara menuju ke Kota Poitiers. Di sinilah mereka bertemu dengan angkatan tentera Eropah yang dipimpin oleh Charles Martel. Berlakulah pertempuran sengit yang membuka lembaran baru bukan sahaja dalam sejarah umat Islam atau Eropah malah sejarah manusia seluruhnya. Peperangan ini dikenali sebagai peperangan Balat al- Shuhada’.
* * *
Walaupun ketika itu, tentera Islam berada di kemuncak kemenangan yang amat membanggakan. Namun bebanan yang ditanggung kini semakin berat akibat harta perolehan perang yang mencurah-curah ibarat hujan, bertimbun di tangan tentera Islam.
Abdul Rahman al-Ghafiqi melihat segala kejayaan melimpah ruah ini dengan penuh kebimbangan dan takut. Abdul Rahman bimbang harta ini bakal menggugat kekuatan umat Islam. Beliau bimbang harta ini akan mengganggu hati mereka ketika bertemu musuh. Hati mereka mungkin berbelah bahagi jika sesuatu keburukan menimpa mereka. Mereka mungkin melihat musuh dengan sebelah mata sementara mata satu lagi sibuk melihat harta milik mereka.
Oleh itu, beliau berhasrat untuk mengarahkan tenteranya membuang sahaja segala harta yang bertimbun ini tetapi beliau takut tindakan itu tidak dapat diterima oleh mereka. Mereka mungkin tidak bersedia untuk menyerahkan segala kekayaan ini. Jadi hanya satu sahaja pilihan yang terbaik iaitu mengumpulkan semua harta ini dalam satu khemah khas. Khemah ini ditempatkan di bahagian belakang markas sebelum sesuatu peperangan meletus.
* * *
Selama bebarapa hari, kedua-dua belah pihak angkatan ini saling berhadapan dengan penuh tenang. Dalam diam-diam, masing-masing memerhati antara satu sama lain ibarat dua banjaran saling berhadapan. Masing-masing merasa dengan kekuatan lawan dan mengambil pelbagai perhitungan sebelum memulakan serangan.
Keadaan ini berlangsung beberapa lama. Akhirnya melihat kepada semangat tenteranya yang berkobar-kobar untuk mara, Abdul Rahman al-Ghafiqi mengambil keputusan untuk memulakan dahulu serangan dengan bergantung sepenuhnya kepada kelebihan yang dimiliki oleh tenteranya dan keyakinannya bahawa kemenangan akan memihak kepadanya.
* * *
Abdul Rahman al-Ghafiqi bersama tentera berkudanya lancarkan serangan ke barisan musuh ibarat singa yang mengganas. Perancis pula membalas serangan ini dengan semangat yang ibarat gunung.
Hari pertama dalam peperangan ini tidak memihak kepada mana-mana pihak. Hanya kegelapan malam sahaja yang mampu menghentikan peperangan hari itu. Hari berikutnya, peperangan kembali meletus. Umat Tslam melancarkan serangan hebat ke atas tentera Eropah. Namun mereka masih gagal untuk mencapai matlamat mereka.
Peperangan kini berlanjutan selama tujuh hari dan masa terasa bergerak terlalu lambat. Pada hari kelapan, umat Islam melancarkan serangan besar-besaran ke atas musuh. Mereka berjaya membuka ruang yang besar di pihak musuh, seolah-olah mereka dapat melihat kemenangan melalui ruang ini ibarat cahaya mentari yang mencelah kegelapan subuh.
Namun dalam masa yang sama, sekumpulan pasukan musuh telah melancarkan serangan hendap ke atas khemah harta perolehan perang milik tentera Islam. Apabila melihat harta mereka diserang dan hampir jatuh ke tangan musuh, kebanyakan tentera Islam mula berundur ke belakang untuk menyelamatkan harta masing-masing. Tindakan ini menyebabkan barisan serangan mereka porak-peranda dan kekuatan mereka mula goyah.
Panglima agung tentera ini, kini terpaksa bertindak pantas untuk mengerahkan kembali tentera yang berundur ini sambil terpaksa menahan serangan musuh dan menutup ruang yang terbuka. Dalam keadaan ini, pahlawan Islam yang agung, Abdul Rahman al- Ghafiqi terpaksa memacu kudanya ke hadapan dan belakang. Ketika itulah beliau terkena panahan musuh yang menyebabkannya rebah ke bumi ibarat helang yang gugur dari puncak gunung. Rebah syahid di medan peperangan.
Apabila melihat malapetaka ini, umat Islam mula diserang rasa takut dan goyah. Ditambah pula dengan serangan hebat oleh musuh. Kegelapan malam sahaja yang mampu menyelamatkan mereka.
* * *
Menjelang pagi, Charles Martel mendapati seluruh tentera Islam telahpun berundur daripada Poitiers. Walau bagaimanapun, Charles tidak berani untuk mengejar mereka. Sedangkan, jika dia mengejar, dia boleh memusnahkan mereka. Charles sebenarnya takut pengunduran ini hanyalah sebahagian daripada taktik perang yang terancang. Jadi, Charles mengambil keputusan untuk kekal sahaja dan berpuas hati dengan kemenangan besar yang telah diperolehinya.
Peperangan Balat al-Shuhada’ ini merupakan hari penting dalam sejarah. Pada hari tersebut, umat Islam gagal mencapai impian besar yang dicitakan selama ini. Malah mereka kehilangan seorang pahlawan agung. Tragedi Uhud berulang kembali. Inilah sunnah Allah di alam semesta ini dan sunnah ini tidak mungkin dapat diubah.
Berita kekalahan di Balat al-Shuhada’ ini amat menyayat hati umat Islam di setiap tempat. Tragedi yang menimpa mereka ini amat menggemparkan mereka. Seluruh kota, kampung dan setiap rumah berkabung kesedihan menerima berita ini. Malah luka yang amat pedih ini masih terasa hingga kini. Luka ini tidak akan sembuh selamanya.
* * *
Sebenarnya, luka yang begitu mendalam ini bukan sahaja menggores hati umat Islam. Malah luka ini turut dikongsi bersamah para cendekiawan Eropah. Bagi mereka, kemenangan datuk nenek moyang mereka mengalahkan umat Islam di Poitiers merupakan satu bencana yang merugikan seluruh bangsa manusia.
Suatu kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Eropah. Suatu bencana yang memalapkan suatu tamadun.
Jika anda ingin melihat pandangan mereka mengenai malapetaka di Balat al-Shuhada’ ini, silalah dengar apa yang dikatakan akan oleh Henry De Shamboone, pengarah majalah Rivi Barlmintier berbahasa Perancis. Dia pernah menyebut:
“Jika Charles Martel tidak mencapai kemenangan ke atas umat Islam, sudah tentu negara kita tidak terjerumus ke dalam zaman kegelapan di kurun pertengahan. Jika Charles tidak menang, sudah tentu kita tidak akan merasai kedahsyatan zaman itu. Sudah tentu tidak akan berlaku peperangan saudara yang disebabkan oleh fanatik agama kemazhaban.”
“Benar, jika tidak kerana kemenangan barbarian ke atas umat Islam di Poitiers itu, sudah tentu Sepanyol masih menikmati keadilan Islam. Sudah tentu Sepanyol akan selamat daripada Mahkamah Taftish9. Sudah tentu perjalanan tamadun manusia tidak akan terbantut selama lapan kurun.”
“Walau apa sekalipun perasaan kita terhadap kemenangan ini, kita sebenarnya masih terhutang budi kepada umat Islam yang telah banyak berjasa kepada tamadun ilmu, teknologi dan industri kita. Kita perlu mengakui bahawa mereka adalah contoh manusia yang unggul. Dalam masa yang sama kita adalah contoh manusia barbarian.”
“Apa yang kita dakwa hari ini bahawa zaman telah kembali berulang adalah suatu pembohongan. Termasuklah juga dakwaan kita bahawa umat Islam di zaman ini sama seperti keadaan kita di zaman pertengahan.”
- Kutub Utara.
- Gunung yang merentang dari Maghribi ke Sepanyol.
- Gelaran bagi Maharaja Parsi.
- Gelaran bagi Maharaja Rom.
- Terletak di selatan Perancis sepanjang 650 km bermula daripada Sepanyol menghala ke Toulouse, Agen, Bordeaux dan menghilir di Laut Atlantik.
- Pelabuhan di Perancis yang terletak di Sungai Garonnes dan menjadi pusat daerah Gironde.
- Sebuah kota di tenggara Perancis terletak di antara Rhone dan Saone, kota ini menjadi pusat daerah Rhone.
- Sebuah bandar di timur Perancis terletak di Sungai Du dan menjadi pusat daerah Du. dan Sens. Kota Sens ini tidak sampai 100 batu dari kota Paris.
- Mahkamah yang diwujudkan oleh Ferdinand dan Ratu Isabella untuk menghukum umat Islam Sepanyol dan memahat sejarah hi tarn bangsa manusia.