Abdul Rahman Al-Ghafiqi

Sedutan daripada buku 37 Kisah Kehidupan Tabien

Putera Andalus

“Al-Ghafiqi adalah bayangan Musa bin Nusair dan Tariq bin Ziyad yang terkenal dengan semangat dan cita-cita yang tinggi.”

[Ahli Sejarah]

Peta kempen jihad Abdul Rahman di Perancis

Sebaik sahaja Amirul Mukminin dan Khalifah al-Rashid yang kelima1, Umar bin Abdul Aziz membersihkan tangannya daripada debu pusara Sulaiman bin Abdul Malik, dia terus meneliti semula setiap gabenor yang pernah dilantik, sama ada perlu dilantik semula atau dipecat.

Salah seorang yang dilantik ialah al-Samah bin Malik al-Khaulaani. Al-Samah dilantik untuk memerintah Andalus dan wilayah-wilayah sekitarnya termasuk Perancis.

* * *

Gabenor yang baru dilantik ini pun berangkat ke bumi Andalus. Apabila tiba di sana dia mula mencari pegawai-pegawai yang berkeperibadian baik dan jujur untuk membantunya. Dia bertanya kepada mereka yang berada di kelilingnya: “Masih adakah tabiin yang hidup di negeri ini?”

“Ya, wahai gabenor. Masih ada seorang tabiin agung bersama kami iaitu Abdul Rahman bin Abdullah al-Ghafiqi.”

Mereka memberitahu al-Samah tentang ilmu Abdul Rahman berkenaan Kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w., tentang pengalamannya di medan jihad dan kesungguhannya untuk mati syahid. Begitu juga tentang kezuhudannya menolak kesenangan dunia.

Salah seorang daripada mereka mencelah: “Dia pernah bertemu dengan sahabat agung, Abdullah bin Umar bin al-Khattab r.a. dan banyak mempelajari ilmu daripadanya. Malahan dia begitu terpengaruh dengan Abdullah bin Umar r.a..”

* * *

Al-Samah bin Malik al-Khaulaani menjemput Abdul Rahman al-Ghafiqi menemuinya. Kedatangan Abdul Rahman disambut dengan penuh penghormatan. Dia dipersilakan duduk berdekatan dengannya. Kemudian al-Samah mengajukan pelbagai masalah yang dihadapinya. Al-Samah meminta nasihatnya dalam segala masalah. Di samping itu al-Samah juga menguji Abdul Rahman untuk mengetahui sejauhmana kemampuannya.

Al-Samah dapati Abdul Rahman al-Ghafiqi jauh lebih hebat daripada yang diceritakan. Oleh itu dia menawarkan Abdul Rahman jawatan penting di Andalus.

Namun Abdul Rahman dengan lembut berkata: “Wahai gabenor, saya ini rakyat biasa. Saya datang ke negeri ini untuk berada di barisan hadapan tentera Islam. Saya telah mewakafkan diri saya ini untuk mencari keredhaan Allah. Saya hunuskan pedang saya ini untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Dengan izin Allah, engkau akan dapati saya akan sentiasa bersamamu selagi engkau berada di atas kebenaran. Saya adalah orang yang paling mentaatimu selagi engkau mentaati Allah dan rasul-Nya, kecuali dalam soal yang membabitkan kuasa dan kedudukan.”

Tidak berapa lama kemudian, al-Samah bin Malik al-Khaulaani berhasrat untuk melancarkan serangan ke atas seluruh Perancis dan mahu meletakkan Perancis di bawah naungan negara besar Islam.

Dia berhasrat menjadikan Perancis sebagai laluan untuk menakluk negeri-negeri Balkan2. Penaklukan Balkan akan membuka jalan kepada Konstantinopal dan seterusnya merealisasikan janji Rasulullah s.a.w.3

Langkah pertama untuk memenuhi cita-cita agung ini bergantung kepada kejayaan menakluk Kota Narbonne. Narbonnne4 adalah kota terbesar di Perancis yang paling hampir dengan Andalus. Setiap kali tentera-tentera Islam turun dari Gunung Pyrenees,5 mereka terpaksa berhadapan dengan halangan besar ini. Selain itu, kota ini juga merupakan pintu masuk ke Perancis. Ia menjadi tumpuan sesiapa sahaja yang ingin menakluk Perancis.

* * *

Al-Samah bin Malik al-Khaulaani mula mengepung kota Narbonne. Dia kemudiannya menawarkan kepada penduduk Narbonne supaya memeluk Islam atau membayar jizyah. Namun mereka enggan menerima kedua-dua tawaran tersebut.

Maka, berlakulah serangan demi serangan ke atas kota tersebut. Tentera Islam menggunakan manjanik6 hinggalah kota yang kukuh ini jatuh ke tangan tentera Islam. Selepas empat minggu jihad dilancarkan, kota ini akhirnya jatuh ke tangan tentera Islam. Jihad yang dilancarkan ke atas kota ini adalah jihad yang paling hebat pernah disaksikan oleh Eropah.

Selepas memperolehi kemenangan ini, panglima agung ini mara bersama tenteranya yang besar ke arah kota Toulouse, ibu kota Aquitania. Dia melancarkan manjanik ke arah kota ini dari segenap penjuru. Dalam serangan ini dia menggunakan senjata yang tidak pernah dilihat oleh masyarakat Eropah. Serangan yang hebat ini hampir menyebabkan kota yang kukuh ini runtuh.

Walau bagaimanapun, berlaku suatu peristiwa di luar jangkaan. Biarlah kita ambil kata-kata seorang orientalis Perancis. Renault untuk menceritakan kisah peperangan ini:

“Ketika kemenangan hampir-hampir memihak kepada tentera Islam, Duke Aquitania memerintahkan seluruh rakyat dan hamba dalam negerinya untuk turut sama berperang. Dia juga menghantar utusan ke segenap penjuru Eropah memberitahu seluruh raja dan pemerintah di Eropah akan ancaman yang mereka hadapi. Negeri mereka hampir jatuh ke tangan musuh dan anak isteri mereka bakal menjadi tawanan umat Islam.”

“Akhirnya seluruh Eropah menyahut seruan ini dan turut sama menghantar barisan tentera mereka yang terkuat dan teramai dalam sejarah Eropah. Jumlah tentera yang sebegitu besar ini belum pernah disaksikan oleh dunia. Malah gerakan tentera ini menyebabkan debu yang berterbangan ke udara menutup cahaya matahari di kota Rhone7.”

“Apabila kedua-dua pihak berhadapan antara satu sama lain mereka kelihatan ibarat gunung bertemu gunung. Akhirnya berlakulah satu peperangan sengit yang tiada tandingannya dalam sejarah manusia.”

“Al-Samah yang digelar sebagai Zaama, sentiasa berada di setiap tempat di hadapan tenteranya. Dia memacu kudanya di hadapan angkatan tenteranya di semua arah. Ketika inilah secara tiba-tiba al-Samah terkena panah lalu rebah dari kudanya. Melihat panglima mereka terbujur kaku di bumi, umat Islam mula patah semangat dan barisan serangan mereka mula goyah.”

“Keadaan kelam-kabut ini sepatutnya memberi kesempatan kepada angkatan tentera kami untuk memusnahkan mereka sama sekali. Namun perlindungan Tuhan memelihara mereka melalui penampilan seorang panglima yang bijaksana. Orang yang bakal dikenali oleh Eropah selepas ini iaitu Abdul Rahman al-Ghafiqi.”

“Abdul Rahman mengetuai misi pengunduran tentera dengan meminimumkan kerugian di pihak mereka hingga mereka berjaya kembali ke Sepanyol. Walau bagaimanapun, dia berazam untuk melancarkan serangan sekali lagi terhadap kita.”

* * *

Ibarat awan yang berarak menyingkap cahaya bulan di tengah malam yang gelap gelita. Sinaran bulan ini menjadi penyuluh buat yang tersesat dan menjadi cahaya yang menerangi orang yang kebingungan. Demikianlah ibaratnya bagaimana peperangan di Toulouse menyingkap kepahlawanan tokoh Islam yang ulung, Abdul Rahman Abdullah al- Ghafiqi.

Ibarat orang-orang yang hampir mati kehausan di tengah padang pasir dan melihat air. Masing-masing akan menghulurkan tengan menangguk seteguk air untuk kembali bernyawa. Demikianlah ibaratnya bagaimana tentera-tentera Islam yang menghulurkan tangan mereka kepada panglima agung ini. Mereka mengharapkan agar beliau dapat menyelamatkan mereka. Malah mereka bersedia memberi taat setia.

Semua ini tidak menghairankan kerana peperangan di Toulouse merupakan kekalahan besar yang pertama mereka alami semenjak umat Islam menjejakkan kaki mereka di Eropah.

Abdul Rahman al-Ghafiqi ibarat penawar bagi luka ini. Ibarat tangan yang menghulurkan bantuan dan lindungan. Ibarat hati yang mencurahkan belaian kasih sayang.

* * *

Berita kekalahan besar yang dialami oleh umat Islam di Perancis begitu menggores hati khalifah di Damsyik. Berita kematian pahlawan yang gagah perkasa, al-Samah bin Malik al-Khaulaani ibarat api yang membakar semangatnya untuk menuntut bela. Atas dasar itu khalifah mengeluarkan arahan yang meminta semua tentera agar memberi sumpah setia kepada Abdul Rahman al-Ghafiqi. Khalifah melantik Abdul Rahman mentadbir seluruh bumi Andalus termasuk kawasan-kawasan Perancis yang berjaya ditakluk. Khalifah kemudiannya memberi kebenaran kepada Abdul Rahman untuk bertindak menurut kehendaknya. Kebenaran sebegini tidak memeranjatkan kerana al-Ghafiqi adalah seorang yang tegas, bertakwa dan bijak.

Semenjak dilantik mentadbir bumi Andalus Abdul Rahman berusaha keras untuk mengembalikan keyakinan diri para tentera Islam dan menyemai jiwa mereka supaya sentiasa merasa bangga, berkemampuan dan yakin. Di samping itu, beliau juga berusaha untuk mencapai matlamat agung yang dicita-citakan oleh para panglima agung Islam di Andalus semenjak zaman Musa bin Nusair8 hinggalah ke zaman al-Samah bin Malik al-Khaulaani. Kesemua para pahlawan agung ini bercita-cita besar untuk mara ke Perancis kemudian ke Itali dan Jerman sebagai langkah awal untuk menakluk bumi Konstantinopal. Seterusnya menjadikan Laut Mediteranean ibarat sebuah Lasik dalam sebuah negara Islam dan diberi nama Laut Sham bagi menggantikan nama lamanya Laut Rom.

* * *

Namun demikian, Abdul Rahman al-Ghafiqi amat yakin persiapan untuk menghadapi peperangan yang agung bermula dengan pemurnian jiwa. Beliau amat yakin tiada satu bangsa pun yang dapat merealisasikan impian mereka jika benteng mereka sendiri rapuh dan diancam dari dalam. Oleh kerana itu, beliau menjelajah ke seluruh bumi Andalus dari satu bandar ke satu bandar, mengarahkan pengiringnya supaya mengisytiharkan:

“Sesiapa sahaja yang dizalimi oleh mana-mana pemerintah atau hakim atau oleh sesiapa sahaja, hendaklah membuat aduan kepada gabenor.” Dalam usahanya ini, beliau tidak membezakan antara orang Islam dan ahli zimmi.

Beliau seterusnya meneliti setiap aduan satu persatu dan mengembalikan hak yang dirampas kepada orang yang lemah tanpa memihak kepada mereka yang berkuasa. Beliau kemudiannya menghukum orang yang zalim bagi pihak mereka yang dizalimi.

Masalah gereja-gereja yang telah dirampas dan yang baru dibina juga diteliti. Gereja- gereja ini dikembalikan semula kepada pemiliknya menurut perjanjian yang sah manakala gereja-gereja yang ada kaitan dengan rasuah akan dimusnahkan.

Setelah itu beliau meninjau pula setiap pegawainya seorang demi seorang. Mana- mana pegawai yang didapati tidak amanah dan menyeleweng akan dipecat dan tempatnya digantikan dengan pegawai yang diyakini kebijaksanaan dan kelayakannya.

Setiap kali beliau mengunjungi sesebuah kawasan, beliau mengajak orang ramai mendirikan sembahyang berjemaah. Beliau kemudiannya menyampaikan ucapan. Dalam ucapan ini beliau menaikkan semangat jihad dan merangsang mereka untuk mati syahid. Beliau turut mengajak mereka supaya sentiasa mencari keredaan dan ganjaran Allah.

* * *

Abdul Rahman benar-benar mengotakan segala kata-katanya dan merealisasikan segala impiannya. Semenjak awal pemerintahannya lagi, beliau sudah bersiap siaga dan memperlengkapkan segala keperluan perang. Dia memperbaiki semua benteng pertahanan dan membina kota-kota.

Abdul Rahman juga turut membina jambatan dan empangan. Empangan dan jambatan yang paling besar pernah dibina olehnya ialah Empangan Qurtuba di ibu negara Andalus. Empangan ini dibina di sungai Qurtuba bagi memudahkan orang ramai dan tentera menyeberanginya. Di samping itu, empangan juga dibina bagi memelihara negara dan rakyat daripada ancaman banjir. Empangan ini dianggap sebagai salah sebuah binaan ajaib di dunia. Panjang empangan ini ialah 800 depa, tingginya 60 depa dan lebarnya 19 depa. Empangan ini masih wujud dan digunakan oleh penduduk Sepanyol hingga ke hari ini.

* * *

Abdul Rahman al-Ghafiqi biasanya akan membuat perjumpaaan dengan semua panglima tentera dan pemimpin masyarakat di setiap kawasan yang dikunjunginya. Beliau memberi sepenuh tumpuan kepada setiap apa yang mereka katakan. Beliau menulis setiap cadangan dan mencatatkan setiap nasihat. Dalam perjumpaan tersebut beliau mengambil sikap lebih banyak mendengar daripada bercakap. Selain bertemu dengan tokoh-tokoh umat Islam beliau turut membuat pertemuan dengan tokoh-tokoh ahli zimmi. Kebanyakan soalannya berkisar tentang keadaan negeri yang di luar pengetahuannya. Termasuklah berkenaan pemerintah dan ketua tentera yang sentiasa menjadi tumpuannya.

* * *

Suatu hari, beliau menjemput seorang tokoh ahli zimmi yang merupakan penduduk asal Perancis. Perbualan mereka menyentuh banyak aspek. Beliau kemudiannya menimbulkan satu persoalan: “Mengapa raja kamu, Charles Martel tidak cuba menyerang kami atau tidak cuba membantu pemerintah-pemerintah wilayah untuk menyerang kami?!”

Dengan tenang ahli zimmi itu menjawab: “Wahai gabenor, oleh kerana engkau telah tunaikan segala janjimu kepada kami, kini menjadi tanggungjawab saya pula untuk memberikan jawapan yang jujur kepada soalan engkau itu. Pemimpin kamu, Musa bin Nusair telah mengukuhkan cengkamannya di Sepanyol, kemudian dia mula mengalihkan tumpuan untuk menakluk Pergunungan Pyrennes yang memisahkan antara Andalus dan negeri kami yang indah.”

Ahli zimmi menyambung: “Apabila mengetahui hasrat tersebut, pemerintah wilayah dan paderi mengadu kepada raja kami: Tuanku, telah sekian lama kami dan anak cucu kami menanggung kesedihan?! Semenjak sekian lama kami dengar mengenai umat Islam. Kami bimbang mereka akan menyerang kami dari arah timur tetapi kini mereka mara ke arah kami dari arah barat. Mereka telah menakluk seluruh Sepanyol dan memiliki seluruh kelengkapan yang ada di sana. Selepas itu mereka berjaya pula menakluk gunung yang memisahkan kami dengan mereka. Sedangkan bilangan mereka kecil dan senjata mereka sedikit. Kebanyakan mereka tidak mempunyai perisai untuk mempertahankan diri daripada hayunan pedang. Mereka juga tidak mempunyai kuda untuk digunakan di medan perang.

“Raja mereka melepaskan pandangannya jauh-jauh lalu berkata: Saya telah teliti sedalam-dalamnya masalah yang kamu fikirkan itu dan saya telah berfikir panjang. Saya berpendapat kita tidak boleh menyekat serangan mereka kali ini. Mereka kini ibarat air bah yang menelan apa sahaja yang menghalang arusnya. Malah arus ini akan menghanyutkan segala-galanya.”

“Saya melihat mereka ini adalah manusia yang mempunyai pegangan dan keikhlasan. Dengan dua perkara ini mereka tidak memerlukan jumlah yang ramai atau senjata yang cukup. Mereka mempunyai keyakinan dan kejujuran yang sudah cukup untuk menggantikan perisai dan kuda.”

“Kita akan tunggu hingga mereka mula mengaut kekayaan. Apabila mereka mula memiliki rumah dan istana. Apabila mereka mula bersaing memiliki amah dan khadam. Apabila mereka mula berlumba untuk berebut kuasa. Ketika itu kita akan berjaya kalahkan mereka dengan cara yang amat yang sangat mudah tanpa perlu bersusah payah.”

Abdul Rahman al-Ghafiqi tertunduk hiba mendengar kata-kata itu. Dia mengeluh panjang lalu bangun: “Marilah kita sembahyang kerana waktu sudah hampir tiba.”

* * *

Selama dua tahun Abdul Rahman al-Ghafiqi membuat persiapan untuk melancarkan serangan besar-besaran. Beliau membentuk pasukan-pasukan tentera dan melatih para tentera. Beliau juga berusaha menaikkan semangat dan menghidupkan hati para tentera. Beliau turut memohon bantuan daripada gebenor di Afrika yang kemudiannya telah menghantar bantuan tentera yang terdiri daripada mereka yang cintakan jihad dan bercita-cita besar untuk mati syahid.

Setelah itu beliau menghantar utusan kepada Uthman bin Abu Nus’ah, pemerintah di barisan hadapan tentera Islam supaya melancarkan serangan secara berterusan ke atas musuh sementara menunggu kedatangannya bersama angkatan tenteranya.

Malangnya, Uthman bukanlah seorang yang berjiwa tinggi. Apabila dia melakukan suatu perkara yang hebat dia akan mencanangkannya ke seluruh manusia dan menyembunyikan jasa yang dimainkan oleh orang lain. Tambahan pula, dalam salah satu peperangan yang dimenanginya menentang Perancis, dia telah berjaya menawan anak perempuan Duke Aquitania yang bernama Minin. Seorang gadis yang jelita dan berasal daripada keluarga diraja yang dihormati. Kejelitaan gadis ini memikat hati Uthman hingga seluruh hatinya terpaut pada gadis ini. Gadis ini mendapat layanan istimewa lebih daripada seorang isteri.

Gadis ini berjaya mempengaruhi Uthman supaya berdamai dengan bapanya dan membuat perjanjian yang menjamin bahawa wilayahnya yang terletak bersempadan dengan Andalus akan selamat daripada sebarang serangan tentera Islam.

Apabila arahan Abdul Rahman al-Ghafiqi supaya dia melancarkan serangan ke atas wilayah bapa mertuanya, Duke Aquitania sampai ke tangannya, dia terduduk. Gelisah tidak tahu apa yang patut dilakukannya.

Namun dengan segera dia mengutus surat kepada al-Ghafiqi meminta supaya beliau menarik semula arahannya. Katanya beliau tidak dapat melanggar perjanjian yang ditandatanganinya dengan Duke Aquitania sebelum tamat tempohnya. Alasan Uthman ini menimbulkan kemarahan Abdul Rahman al-Ghafiqi. Beliau membalas:

“Sebarang perjanjian yang ditandatangani dengan Frank tanpa pengetahuan gabenor adalah tidak diterima pakai dan tidak terpakai pada tentera Islam. Engkau perlu laksanakan segala arahan saya tanpa berlengah-lengah atau bertangguh.”

Setelah gagal memujuk gabenor membatalkan hasratnya Uthman bin Abu Nus’ah menghantar utusan kepada bapa mertuanya memberitahu perkara yang berlaku. Uthman meminta bapa mertuanya supaya bersiap sedia.

* * *

Walau bagaimanapun, pengintip Abdul Rahman al-Ghafiqi telah mengintip setiap gerakan Uthman bin Abu Nus’ah. Hubungan Uthman dengan musuh ini telah disampaikan kepada gabenor.

Al-Ghafiqi mengambil langkah segera dengan membentuk sebuah pasukan khas terdiri daripada tentera yang gagah perkasa. Pasukan ini diketuai oleh seorang yang berpengalaman lama dalam jihad. Al-Ghafiqi mengarahkan mereka supaya menangkap Uthman bin Abu Nus’ah, hidup atau mati.

* * *

Pasukan ini kemudiannya menyelinap masuk ke markas tentera Uthman bin Abu Nus’ah dan hampir berjaya menangkapnya. Walau bagaimanapun, Uthman menyedari serangan tersebut dan berjaya melarikan diri. Dia melarikan diri ke kawasan gunung dengan diiringi oleh para pengikutnya bersama-sama isteri jelitanya, Minin yang tidak pernah berpisah dengannya dan sentiasa di sampingnya.

Pasukan yang dihantar oleh al-Ghafiqi tadi terus mengejar dan akhirnya berjaya mengepung Uthman. Uthman berjuang bermati-matian mempertahankan diri dan isterinya hingga akhirnya dia gugur ke bumi. Terbujur kaku dengan kecederaan yang tidak terhingga.

Pasukan tentera ini memenggal kepalanya dan kemudian menghantarnya berserta isterinya kepada Abdul Rahman al-Ghafiqi.

Isteri Uthman dihadapkan ke hadapan Abdul Rahman. Sebaik sahaja melihat kejelitaan wanita ini, beliau memejamkan mata dan mengalihkan mukanya.

Kemudian beliau menghantar wanita ini sebagai hadiah kepada istana khalifah. Wanita Perancis ini terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di istana khalifah Umayyah di Damsyik.

  1. Khalifah al-Rashidin ada empat orang kemudian ditambah yang kelima iaitu Umar bin Abdul Aziz.
  2. Sebuah semenanjung yang terletak di Tenggara Eropah. Hari ini rantau ini terbahagi kepada Romania, Albania, Yugoslavia, Bulgaria, Turki dan Greek.
  3. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Konstantinopal akan dibuka untuk kamu. Tentera yang terbaik adalah tentera ini (yang menakluk) dan ketua yang terbaik adalah ketua mereka.
  4. Sebuah kota yang terletak di selatan Perancis berdekatan Laut Mediterranean dan Lembah Languedoc.
  5. Banjaran gunung yang terletakantara Perancis dan Sepanyol, bermula dari Teluk Biscay di Atlantik hingga ke Teluk Lyon di Mediterrranean sepanjang 430 km. Banjaran ini dikenali oleh umat Islam dengan nama Birans.
  6. Sejenis senjata yang melontarkan batu.
  7. Sebatang sungai di Switzerland dan Perancis sepanjang 812 km. Sungai ini antara sungai terbesar di Perancis. Ia mengalir melalui Geneva, Lyon, Valence, Avignon, Aries hingga ke Laut Mediterranean di Barat Marseille.
  8. Penakluk kawasan Maghribi dan Andalus.