|

Tokoh Perubatan Islam

KANDUNGAN

PENDAHULUAN

ABU BAKAR MUHAMMAD BIN ZAKARIYA AL-RAZI

  1. RIWAYAT HIDUP
  2. SUMBANGAN AL-RAZI (PENULISAN)
  3. SUMBANGAN AL-RAZI (PERUBATAN)
  4. SUMBANGAN AL-RAZI DALAM
  5. BIDANG KIMIA

IBN SINA

  1. RIWAYAT HIDUP
  2. SUMBANGAN
  3. PENGARUH
  4. SUMBANGAN (PENULISAN)
  5. LAMPIRAN
  6. RUJUKAN

PENDAHULUAN

Sebelum kedatangan ilmu perubatan muslim, tidak ada ilmu perubatan yang bernilai yang dipraktikkan di Eropah. Adalah diakui oleh semua ahli sejarah moden bahawa perkembangan ilmu peubatan Barat dipengaruhi oleh perubatan muslim. Di Eropah pada abad ke-14 hingga ke-17 Masihi ilmu peubatan muslim telah dikaji dengan bersungguh-sungguh oleh penuntut-penuntut di Eropah dan baru seabad yang lalu iaitu dalam abad ke-19 Masihi perubatan muslim dihapuskan dari kurikulum institusi pelajaran di sekolah dunia barat.

Ilmu perubatan muslim bermula pada zaman pemerintahan Bani Umayyah (661 – 720 M) tetapi kemajuan yang pesat dalam bidang perubatan berlaku pada zaman Abbasiyah (750 – 1258 M). Perkembangan sains dan ilmu perubatan mempunyai perhubungan erat antara satu sama lain kerana Islam mememtingkan kesihatan umatnya.

Banyak ilmu perubatan umat Islam telah ditimba dari sumber asing khasnya dari Parsi, Kristian, Yunani, India dan Mesir. Ini menyebabkan ilmu perubatan muslim lahir sebagai integrasi antara teori-teori perubatan Yunani, tradisi Hippokrates dan Galen serta pengalaman bangsa Parsi dan India. Perkembangan ilmu perubatan pada waktu tersebut telah melahirkan ramai tokoh perubatan Islam seperti Ibn Maskawaih, Ibn Sina, Al-Razi , Abdul Qasim, Thabit Ibn Qurra dan ramai lagi.

TOKOH PERUBATAN AGUNG

ABU BAKAR MUHAMMAD BIN ZAKARIYA AL- RAZI (864 -930M)

RIWAYAT HIDUP

Abu Bakr Muhammad Bin Zakariya Al-Razi atau lebih dikenali dengan al-Razi merupakan seorang tokohagung yang berasal dari Parsi dalam abad pertengahan. Beliau telah dilahirkan di Rayy berhampiran Tehran pada tahun 864M. Di awal kehidupannya, al-Razi begitu tertarik dalam bidang nyanyian dan muzik disamping bidang kerjaya yang lain. Tetapi disebabkan minat yang tinggi dalam ilmu pengetahuan maka masanya banyak dihabiskan dengan mengkaji ilmu-ilmu seperti kimia, falsafah, logik, matematik dan fizik. Walau bagaimanapun beliau lebih cenderung ke arah bidang perubatan yang sememangnya masa lapangnya banyak dihabiskan dengan mengkaji, belajar, berlatih dan menulis mengenai ilmu perubatan. Disebabkan namanya begitu masyhur dalam bidang perubatan, beliau telah dipilih sebagai ketua ahli fizik di Hospital Di Raja yang pertama di Rayy dan selepas itu, sewaktu pemerintahan Adhud – Daulah beliau telah ditukar pula ke Hospital Muqtadari di Baghdad dan dilantik sebagai pengarah hospital.

Mengikut sejarah, Adhud – Daulah telah meminta beliau membina sebuah hospital baru. Oleh yang demikian maka beliau pun melakukan satu ujikaji iaitu dengan meletakkan kepingan-kepingan daging di beberapa tempat di bandar Baghdad dan kemudiannya mengukur tahap kerosakan daging tersebut. Beliau kemudian menentukan pula tapak hospital dengan memilih kawasan di mana kepingan daging tadi mengalami tahap kerosakan yang amat rendah. Pertukaran dari satu tempat ke satu tempat sering berlaku terutamanya antara Baghdad dengan Rayy, tetapi akhirnya beliau kembali berkhidmat di Rayy dimana beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar tahun 930M. Sewaktu hayatnya beliau pernah digelarkan sebagai Jalinus Arab (Galen of the Arab) dan merupakan guru kepada Ibn Sina. Namanya telah digunakan oleh sebuah institusi iaitu Institusi Razi berhampiran bandar Tehran sebagai memperingati jasa-jasanya.

SUMBANGAN AL-RAZI DALAM BIDANG PENULISAN BERDASARKAN KITAB AL-HAWI FIT TIBB

Selain berkecimpung dalam bidang perubatan dan kimia, al-Razi juga merupakan seorang yang aktif dalam arena penulisan. Beliau telah menghasilkan 224 buah buku, yang mana 140 darinya adalah dalam ilmu perubatan. Sepuluh daripada buku ilmu perubatannya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Buku perubatannya yang termasyhur ialah kitab ‘al-Hawi fit Tibb’. Buku tersebut dikeluarkan sebanyak 9 jilid dan telah menjadi rujukan utama di perpustakaan Fakulti Perubatan Paris, Perancis pada tahun 1395M

Al-Hawi fit Tibb adalah karya yang terpanjang dan ditulis dalam bahasa Arab. Buku ini telah menjadi salah satu daripada buku-buku rujukan utama di dunia Barat dari abad ke-12M hingga abad ke-17M, sehingga menyebabkan al-Razi dan Ibn Sina telah dipandang lebih tinggi dari Hippocrates dan Galen.

Menurut Ali ibn al-Abbas al-Majusi yang telah meninggal dunia 60 tahun selepas al-Razi, kitab al-Hawi mengandungi:

      1. cara menjaga kesihatan
      2. mengubat penyakit melalui cara makanan
      3. mengenal tanda-tanda penyakit

Buku al-Hawi ini merupakan kumpulan teks ilmu perubatan patologi dan terapi dari sumber-sumber Yunani, India dan Arab. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan dicetak beberapa kali khasnya pada tahun 1509M di Venice. Tahun1528M, tahun 1578M dan tahun 1754M di Paris. Tesis beliau berkenaan cacar dan campak merupakan suatu kajian sistematis yang sulung sekali bagi penyakit itu dalam sejarah perubatan.

Al-Razi merupakan seorang tokoh yang amat berjasa. George Sorton, seorang penulis terkenal pernah menulis di dalam bukunnya iaitu ‘Pengenalan Kepada Sejarah Sains’ menyatakan:

“Al-Razi merupakan seorang saintis yang terbaik pada zaman pertengahan”.

Selepas 66 tahun mengerah tenaga untuk memastikan bidang perubatan berkembang maju, al-Razi akhirnya meninggal dunia pada tahun 930M.

SUMBANGAN AL-RAZI DALAM ILMU PERUBATAN

Al-Razi merupakan perintis dalam banyak bidang perubatan dan rawatan. Secara khususnya, beliau merupakan pelopor dalam bidang pediatrik, ilmu perbidanan dan juga ilmu yang berkaitan dengan mata. Dalam bidang perubatan, sumbangannya adalah amat penting dan hanya boleh dibandingkan dengan tokoh Ibn Sina (Avicenna).

Mengikut kajian yang dibuat salah satu sifat istemewa dalam sistem perubatannya adalah melalui cara pemakanan yang betul untuk menyembuhkan penyakit. Ini merupakan keinginannya yang mendalam terhadap

pengaruh faktor psikologi ke atas kesihatan. Beliau juga merupakan orang pertama dalam memperkenalkan penggunaan alkohol untuk tujuan perubatan. Selain itu beliau juga merupakan seorang pakar bedah dan doktor yang pertama menggunakan opium (dadah) untuk tujuan bius. Di samping itu beliau turut memperkatakan mengenai penyakit katarak dan merupakan ahli saintis pertama yang membincangkan tentang pembesaran dan pengecilan pupil. Beliau menerangkan mengenai tindak balas anak mata terhadap otot-otot kecil di mana pergerakkannya berdasarkan kepada keamatan cahaya.

Selain itu al-Razi amat menekankan hubungan antara doktor dengan pesakit. Beliau menyarankan agar satu ikatan kepercayaan antara kedua-dua pihak ini dapat diwujudkan. Ini kerana komen yang positif daripada doktor boleh memberi semangat baru kepada pesakit seterusnya membuatkan mereka rasa selesa serta membantu proses penyembuhan. Di samping itu, beliau turut memberi sumbangan dalam usaha mengubati penyakit cacar dan campak. Al-Razi merupakan orang pertama yang dapat membezakan kedua-dua penyakit ini dan turut sama menjumpai penawarnya di mana ia telah dicatatkan di dalam buku Al-Judari Wa-al Habsah.

SUMBANGAN AL-RAZI DALAM BIDANG KIMIA

Selain daripada bidang perubatan, al-Razi juga amat mahir dalam bidang kimia. Ada yang menganggap beliau sebagai pengasas kimia moden. Beliau mencipta radas dan mencatatkan dengan terperinci iaitu lebih daripada dua puluh alat besi dan kaca. Pengetahuannya boleh diperhatikan dari amalan perubatannya. Beliau mengatakan bahawa seseorang pesakit yang sembuh dari sakit adalah disebabkan tindakbalas kimia yang terdapat di dalam badan. Beliau membahagikan bahan-bahan kimia kepada jenis-jenis yang lebih kecil. Logam ini dibahagikan menjadi jiwa, tubuh, batu, vitrol, borax dan garam serta dipisahkannya daripada benda-benda yang mudah meruap dan yang tidak mudah meruap.

Disamping itu al-Razi telah menolak konsep alkemi Jabir yang mana ia lebih mirip kepada ilmu batin dan sihir serta menolak konsep takwil Jabir yang membahagikan semua benda kepada zahir (yang diluar) dan batin (yang tersembunyi). Oleh itu al-Razi telah dianggap sebagai pengasas kimia moden. Sungguhpun begitu perkataan alkemi masih digunakan. Ini kerana menurut Nasr ilmu kimia dan alkemi adalah dua ilmu yang berasingan.

Dalam kajiaanya terhadap ilmu kimia, al-Razi pernah membuat asid-asid seperti asid sulfurik yang dinamakannya sebagai minyak vitrol. Ini kerana beliau telah membuatnya dengan memanaskan minyak vitrol hijau (hydrated ferrous sulphate). Selain itu beliau telah menggunakan alkohol dalam penyediaan ubat di mana alkohol ini dibuat melalui penyulingan kanji atau gula yang telah ditapaikan. Dalam masa yang sama juga, beliau berjaya menentukan graviti spesifik bagi banyak cecair dengan menggunakan alat timbangan yang khas dan menerangkan dengan terperinci kaedah-kaedah untuk meleburkan logam dan proses pengasingan secara pemejalwapan, penyulingan, penghabluran dan penapisan. Beliau juga ada menerangkan mengenai pelbagai alat radas kimia untuk tujuan pengujian kimia seperti bikar, kelalang, oven, lesung, lampu nafta dan pelbagai lagi.

Al-Razi dikatakan lebih baik dari segi penjelasannya terhadap proses-proses kimia dan peralatan kimia yang digunakan. Ini kerana pada masa itu terdapat ahli kimia yang mengklasifikasikan bahan-bahan mineral kepada ‘badan-badan’, ‘roh-roh’ dan ’spirit-spirit’. Sebaliknya al-Razi mengklasifikasikan bahan mineral ini kepada tumbuh-tumbuhan, haiwan atau mineral. Oleh yang demikian al-Razi telah dikenali sebagai orang pertama yang memperkenalkan penyediaan kimia dalam amalan perubatan.

Selain itu al-Razi turut memperkenalkan perkara-perkara berikut ke dalam ilmu Farmasi:

      1. Penggunaan ubat untuk melawaskan dalam membuang air besar secara lembut (mild purgatives)
      2. Pembekaman (mengeluarkan darah) bagi kes-kes ‘apoplexy’, (kehilangan deria) disebabkan kepecahan urat darah di dalam otak.
      3. Penggunaan air sejuk bagi demam yang melarat.
      4. Mencipta seton(sejenis benang) dan penggunaannya dalam kes-kes luka.

Menurut H.G Wells (sarjana Barat terkenal), para saintis muslim merupakan golongan pertama yang mengasaskan ilmu kimia. Jadi tidak hairanlah sekiranya mereka telah memperkembangkan ilmu kimia selama sembilan abad bermula pada abad lapan Masihi lagi. Tokoh sejarah Barat, Gibbon juga berpendapat bahawa permulaan dalam bidang kimia dan perkembangannya adalah disebabkan usaha-usaha gigih yang dibuat oleh ‘Sacarens‘ (muslim di Sepanyol).

IBN SINA / AVICENNA (980 – 1037M)

RIWAYAT HIDUP

Abu Ali al – Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina atau lebih dikenali dengan panggilan Avicenna oleh masyarakat Eropah dilahirkan pada 980M di Afshara berhampiran Bukhara (Asia Tengah) dan mendapat pendidikan awal di sana.Beliau telah dapat menghafal Al-Quran dengan baik sewaktu berusia 10 tahun lagi dan telah dilantik menjadi Doktor Di Raja pada umur 18 tahun. Beliau mula belajar mengenai falsafah dengan membaca pelbagai tulisan seperti tulisan Greek, Muslim dan buku-buku lain mengenai subjek ini serta mempelajari logik dan subjek lain daripada Abu Abdallah Natili iaitu seorang ahli falsafah terkenal pada waktu itu.

Ibn Sina merupakan seorang yang bertuah kerana mempunyai seorang ayah yang amat mementingkan pendidikan agama dan juga keduniaan walaupun beliau dilahirkan dalam keluarga seorang pemungut cukai. Ibn Sina merupakan seorang yang rajin membaca buku dan tidak mudah berputus asa. Pernah suatu ketika beliau telah membaca buku “Metafizik Aristotle” sebanyak 40 kali hanya semata-mata untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi.

Ketokohannya memang terserlah semenjak kecil lagi. Ini terbukti sewaktu berusia 17 tahun, beliau telah berjaya menyembuhkan Putera Raja Bukhara, Nooh Ibn Mansoor selepas semua pakar perubatan yang terkenal gagal dalam usaha tersebut. Raja Mansoor amat terhutang budi dan telah menawarkan hadiah yang lumayan kepadanya. Namun begitu, beliau menolak dan hanya meminta kebenaran untuk menggunakan perpustakaan Di Raja sahaja.

Sewaktu berumur 20 tahun iaitu selepas kematian ayahnya, beliau telah mengembara ke Juran dan bertemu dengan Abu Raihan Al-Biruni sebelum berhijrah ke Hamadan. Di Hamadan, beliau mengarang kitab al-Qanun fit Tibb untuk mengubati Raja Hamdan iaitu Shams al-Daulah. Dari Hamadan beliau menuju pula ke Ispahan (Iran) di mana beliau telah menyempurnakan penulisannya dalam pelbagai bidang. Beliau merancang untuk meneruskan pengembaraannya, namun terpaksa kembali semula ke Hamadan kerana faktor kesihatan.Ibn Sina telah menghembuskan nafas terakhirnya di sana pada tahun 1037M ketika berusia 56 tahun. Potret beliau telah digantungkan didinding Fakulti Perubatan Universiti Paris sebagai mengenang jasa beliau dalam bidang ilmu perubatan.

SUMBANGAN IBN SINA

Ibn Sina telah memperkembangkan ilmu psikologi dalam bidang perubatan dan membuat beberapa perjumpaan dalam ilmu yang dikenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatis “psychosomatic medicine“. Beliau telah memperkembangkan ilmu diagnosi melalui denyutan jantung (pulse diagnosis) untuk mengenalpasti (dalm masa beberapa detik sahaja) ketidakseimbangan humor yang berkenaan. Diagnosis melalui denyutan jantung ini masih lagi dipraktikkan oleh para hakim (doktor-doktor muslim) di Pakistan, Afganistan dan Parsi yang menggunakan ilmu perubatan Yunani. Seorang doktor tabii dari Amerika (1981) telah melaporkan bahawa para hakim di Afganistan, China , India dan Parsi adalah sangat berkebolehan dalam menentukan penyakit melalui denyutan jantung. Kaedahnya bukan sahaja membilang denyutan di tempat yang dirasa tetapi mutunya yang pelbagai merangkumi:

    • Kuat atau denyut yang lemah
    • Masa antara denyutan
    • Kandungannya lembap (moisture content) diparas kulit berhampiran denyutan itu dan lain-lain lagi.

Oleh yang demikian, dari ukuran denyutan jantung (pulse measurement), seseorang hakim mungkin dapat mengetahui dengan tepat penyakit yang dihidapi oleh seesorang pesakit.

Ibn Sina menyedari kepentingan emosi dalam pemulihan. Ini terbukti melaui pengamatannya, apabila pesakit mengalami sakit jiwa disebabkan perpisahan dengan kekasihnya, beliau boleh mengetahui nama dan alamat kekasihnya itu melalui cara berikut:

“Untuk menyebut namanya beberapa kali dan mengulanginya, jari hendaklah diletakkan di atas denyutan (pulse) dan apabila denyutan itu terrjadi tidak teratur atau hampir-hampir berhenti, seseorang itu hendaklah mengulang proses tersebut. Dengan cara yang demikian, nama jalan, rumah dan keluarga akan disebutkan. Selepas itu, kata Ibn Sina “jika anda tidak dapat mengubat penyakitnya melainkan dengan menemukan sipesakit dengan kekasihnya, menurut peraturan syariah, maka buatlah”.

Selain itu Ibn Sina juga merupakan seorang doktor perubatan pertama yang mencatatkan bahawa penyakit paru-paru adalah (pulmonary tuberculosis) suatu penyakit yang boleh berjangkit (contagious). Di samping itu beliau turut menceritakan dengan tepat tanda-tanda (symptoms) penyakit kencing manis (diabetes) dan masalah yang timbul darinya. Beliau amat berminat dalam bidang yang berkaitan dengan kesan akal ke atas jasad serta telah banyak menulis mengenai gangguan psikologi.

Daripada maklumat yang diperolehi, Ibn Sina telah menghasilkan sebanyak 250 buah karya yang masih kekal sehingga ke hari ini, termasuklah 116 buah karya dalam bidang ilmu perubatan. Hampir keseluruhan karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan terdapat juga yang ditulis dalam bahasa Parsi. “Al-Qanun fit Tibb” merupakan karyanya yang terulung dan kerap kali dicetak di Eropah pada zaman Renaisans dan telah menjadi bahan rujukan yang utama di Universiti-universiti Eropah sehingga abad ke 17.

PENGARUH IBN SINA (AVICENNA)

Ibn Sina amat berpengaruh dalam kebudayaan Eropah sebagai seorang failasuf dan doktor perubatan. Buku karangannya, Al-Qanun fit Tibb (Peraturan Perubatan) yang terdiri daripada 14 jilid telah dianggap sebagai satu himpunan perbendaharaan ilmu perubatan. Ilmu perubatan moden telah banyak merujuk kepada kajian beliau sama ada dari segi pengunaan ubat, diagnosis mahupun pembedahan. Pada abad ke -12, Gerard Cremona (dilahirkan pada 1114M) yang berpindah ke Teledo, Sepanyol telah menterjemahkan buku Ibn Sina ke bahasa Latin. Buku ini menjadi sumber rujukan utama di universiti-universiti Eropah sehingga ke 1500M. Bukunya telah disalin atau dicetak sebanyak 16 kali; 15 edisi dalam bahasa Latin dan sebuah lagi edisi dalam bahasa Yahudi(Hebrew). Manakala pada abad 16M buku ini telah dicetak sebanyak 21 kali. Penulis-penulis Barat telah menganggap Ibn Sina sebagai bapa kedoktoran kerana beliau telah dapat menyatupadukan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen serta pengalaman dari ahli-ahli perubatan dari India dan Parsi di samping pengalaman beliau sendiri.

Dari segi Tauhid (ketuhanan) pula, Ibn Sina telah terpengaruh dengan falsafah Plato dan Aristotle seperti mana dihuraikan oleh Imam al-Ghazali di dalam bukunya “Tahafut al-Falasifah” (Ketidaksinambungan Dalam Pemikiran Falsafah).

SUMBANGAN IBN SINA DALAM BIDANG PENULISAN

Di dalam buku awalnya yang bertajuk “Al-Qanun fit Tibb” (Peraturan Perubatan) yang mengandungi 14 jilid, Ibn Sina pernah berkata bahawa:

  1. Perubatan adalah satu cabang ilmu mengenai kesihatan dan sakit pada tubuh badan manusia.
  1. Tugas doktor ialah untuk pemulihan atau penjagaan keadaan keseimbangan yang disebut kesihatan, yakni tugas doktor adalah pemulihan dan penjagaan kesihatan.
  2. Selaras dengan patologi unsur-unsur Hiprocates (Yunani), tokoh perubatan muslim menganggap bahawa tubuh badan manusia mengandungi empat unsur iaitu:
    • darah
    • lendir
    • hempudu kuning
    • hemmpudu hitam

Dunia alam dibahagikan kepada empat unsur juga iaitu:

    • api (darah)
    • udara (hempudu kuning)
    • air (lendir)
    • tanah (hempudu hitam)

Setiap unsur badan mempunyai dua sifat berikut :

    • darah – panas dan lembap,
    • lendir – dingin dan lembap,
    • hempudu kuning – panas dan kering,
    • hempudu hitam – dingin dan kering.

Campuran keempat-empat unsur tersebut akan menentukan keadaan kesihatan. Sekiranya keempat-empat unsur tersebut seimbang maka sihatlah tubuh badan dan sebaliknya jika keempat-empat unsur tersebut tidak seimbang, maka penyakit akan menyerang.

  1. Setiap individu mempunyai campuran humor berkenaan di mana ia amat unik seperti uniknya organ-organ dan temperamen individu seseorang itu. Tindakbalas seseorang terhadap stimulan eksternal yang sama adalah tidak serupa.

e) Tenaga badan yang akan mempertahankan dan memperbaiki keseimbangan serta menentukan kesihatan badan seseorang.

  1. Ubat membantu pesakit tetapi badan sendiri yang akan melakukan proses ke arah kesihatan manakala tabii pula yang akan memulihkan sesuatu penyakit (Nature Cures not the medicine).
  2. Keadaan tubuh atau temperamen setiap individu akan menentukan bahan makanan yang bermanfaat baginya.
  3. Selain itu Ibn Sina turut mencatatkan bahawa penyakit adalah disebabkan umur, jantina, pekerjaan, tempat kediaman, cuaca dan musim, makanan dan minuman, udara dan air, serta aktiviti fizikal dan mental. Ini bererti cara perubatan Ibn Sina adalah merangkumi bahan makanan, udara, aktiviti fizikal dan mental, rehat dan sebagainya.

Selain itu pada jilid kedua di dalam buku yang sama “Al-Qanun fit Tibb” Ibn Sina ada menulis mengenai kajiannya terhadap tumbuh-tumbuhan. Beliau telah membahagikan sesi pertama jilid ini kepada enam bab iaitu pengenalan campuran ubat dadah melalui percubaan dan kias. Manakala di bahagian kedua ia mengandungi beberapa lukisan dan peraturan.

Bagi setiap tumbuhan ini beliau akan menceritakan mengenai bentuk dan sifatnya dengan tepat serta membandingkannya antara satu sama lain di samping memberikan petikan-petikan berkenaan dengan tumbuhan tersebut daripada ahli sains purba seperti Dioscorides dan Galen. Selepas itu beliau akan membuat ujian bagi setiap tumbuhan sama ada dari segi tabii ataupun sifatnya. Seterusnya Ibn Sina turut membuat kajian mengenai pelbagai tumbuh-tumbuhan herba, tanaman bunga, kulat(fungi), rumpai-rumpai(algae) dan mengambil berat mengenai pelbagai jenis tumbuhan dari spesis yang berlainan bagi setiap genus. Beliau juga membuat catatan berkenaan dengan tumbuhan yang sama dan tidak sama serta membincangkan mengenai kediaman asli(habitat) bagi setiap tumbuhan, di samping tanah yang sesuai bagi tumbuhan berkenaan sama ada bergaram atau tidak. Selain itu beliau ada menceritakan mengenai warna-warna bunga dan buah-buahan, sama ada keras atau kering; daunnya yang lebar atau sempit; bergigi atau kesemuanya bertepi. Bahagian yang terbaik baginya ialah senarai tumbuh-tumbuhan di mana beliau telah memberi pelbagai nama bagi setiap tumbuhan Yunani dan tempatan. Beliau telah merakamkan fenomena berbuah, selang-seli bagi tumbuh-tumbuhan dan palma, iaitu sebahagian pokok-pokok yang memberikan hasil yang banyak dalam satu tahun dan hasil yang sedikit bagi tahun yang lain, atau berbuah satu tahun dan tidak berbuah sama sekali dalam tahun yang lain. Ibn Sina juga ada merujuk kepada kebolehan bau dan rasa bagi setiap tumbuhan dan ia telah mendahului Karl Metz pada tahun 1934 dengan menekan betapa pentingnya diagnosis melalui getah tumbuhan.

RUJUKAN

    1. Al-Ahwani, Ahmad Fuad. Ibn Sina. Dar al-Maarif, al-Qahirah
    2. Qumary, Yuhanna. Ibn Sina. Dar al-Sharq, Beirut 1968
    3. Nasr, S.H. Islamic Science. London: World of Islamic Festival Publishing Company. 1976. Hlmn. 54
    4. Nasr, S.H.(1976) TheIslamic Science. Part IV, Hlmn 199
    5. Nasr, S.H.(1976) TheIslamic Science. Part IV, Hlmn 200
    6. Nasr, S.H.(1976) Islamic Science. World of Islam Festival Publishing Company Limited. Part IV, Hlmn177 & 178

Random Posts

3 Comments for “Tokoh Perubatan Islam”

  1. terima kasih sangat atas perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat ini..Alhamdulillah,, semoga dengan info yang diberikan ini dapat meningkatkan tahap ilmu kami dan menacambahkan ilmu mengenai dunia islam lagi:)..Malah, maklumat ini turut membantu assignment saya …insyaAllah…terima kasih ya sekali lagi…:)

  2. nabilah abdul malek

    sangat menarik :D dan sangat menimbulkan keinginan saya untuk menuntut lebih banyak ilmu perubatan dalam islam . tq very much . moga Allah redha :)

  3. truskn tonjol kmbali semua tokoh islam yg mkin dilupakan..bgus

Leave a Reply

 

Langgan RSS