Tafsir dan Tadabbur

Ikhwan yang dirahmati Allah swt sekalian,

Sudah menjadi kewajipan para daie di jalan Allah swt. untuk menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup. Tanpa cahaya Al-Quran, sebenarnya anda telah mati kerana kehidupan yang sebenar adalah hidup berlandaskan manhaj Al-Quran. Firman Allah swt.,

أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (١٢٢)

Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat). Surah Al-An’am, Ayat 122.

Untuk menghayati Al-Quran, Allah swt. memberikan saranan kepada kita untuk senantiasa mentaddaburi ayat-ayatnya. Tadabbur Al-Quran bermakna satu aktiviti yang kita lakukan untuk meresapi, merenungkan dan menghayati ayat Al-Quran Al-Karim berdasarkan tafsir yang sedia ada. Sehingga bicara tadabbur menjadi kata-kata yang mengetuk hati, membuka minda dan basah. Sekiranya ia tidak dilakukan, maka hilanglah hikmah penurunan Al-Quran itu sendiri.

Allah swt. mencela mereka yang tidak Tadaddbur Al-Quran ibarat orang-orang yang telah dikunci hatinya daripada menerima cahaya Allah swt.

Firman Allah swt.,

أَفَلا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا (٢٤)

Maka Adakah mereka sengaja tidak berusaha mentadabbur isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? Surah Muhammad, Ayat 24

أَفَلا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلافًا كَثِيرًا (٨٢)

Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu mentadabbur isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya. Surah An-Nisa’, Ayat 82

Pengertian Tafsir Al-Quran

Tafsir Al-Quran adalah satu cabang ilmu untuk menerangkan makna-makna al-Quran menurut sumber-sumber yang shahih. Tafsir Al-Quran memerlukan syarat-syarat khusus untuk membahas lafaz Al-Quran, mengeluarkan dilalah, petunjuknya dan hukumnya. Hal ini telah dirintis oleh para khulafa ar-rasyidin dan para sahabat lainnya yang terkenal dalam bidang ini seperti Ibnu Mas’ud dan Ibnu ‘Abbas yang berguru langsung daripada Rasulullah saw.. Ibnu ‘Abbas mendirikan madrasahnya di Mekah, Ubai bin Ka’b di Madinah dan Ibnu Mas’ud di Kufah kemudian ianya dilanjutkan oleh generasi tabi’en yang menjadi murid kepada mereka seperti Mujahid dan Qatadah.

Semuanya sampai kepada kita hari ini dalam tulisan-tulisan yang tersusun rapi daripada pelbagai kitab tafsir melalui sumber-sumber yang asli iaitu Rasulullah saw yang akhirnya dibacakan oleh para guru, ustaz dan murabbi kepada kita semua.

Tadabbur dan Tafsir, Beriringan

Sedangkan Tadabbur Al-Quran tidak memerlukan syarat-syarat khusus, cukup untuk memahami makna ayat secara umum dan mengambil pelajaran darinya dan diperintahkan kepada semua manusia yang berakal, untuk mengambil manfaat dan menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk.

Firman Allah swt.,

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الألْبَابِ (٢٩)

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka mentadabbur kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. Surah Shaad, Ayat 29

Walaupun begitu, bolehkah kita untuk merenungkan ayat-ayat Allah swt. sendirian dengan sekadar bersandarkan kepada logik atau apa yang terlintas di kepala ? Apatah lagi apabila hanya bersumberkan kepada terjemahan yang seringkali memerlukan supporting huraian ibarat melihat satu formula matematik tanpa sebarang penjelasan.

Berkata Ibnu Taimiyah,

Kebiasaannya, adalah tidak mungkin sesuatu kaum itu boleh membaca kitab tentang ilmu-ilmu seperti perubatan dan matematik tanpa mengetahui huraiannya. Justeru, bukankah begitu juga sepatutnya dilakukan terhadap kata-kata Allah yang menjadikan mereka selamat, berjaya, sejahtera dan terurus agama serta dunia mereka?

Justru, untuk memantapkan Tadabbur Al-Quran dalam merenungi maksud-maksud kalimah Allah swt., menjadi kewajipan kepada kita untuk membaca tafsirnya agar tadabbur yang kita lakukan selari dengan kehendak Allah swt. ketika menurunkan ayat tersebut. Tadabbur akan melahirkan kemahuan untuk untuk melihat kepada Al-Quran dan mengkaji Al-Quran dengan lebih mendalam melalui kitab-kitab tafsirnya.

Syed Qutb, Abdullah ‘Azzam dan Zilalnya

Syed Qutb dalam karyanya yang agung Fi Zilalil Quran membawa kita untuk mentadabbur Al-Quran bersama hasil renungannya yang tajam dan mendalam. Beliau Syed Qutb menghidupkan semula tafsir Al-Quran oleh para ulama’ terdahulu dengan mengumpulkan segala hikmah yang dipelajarinya dan berkongsi apa yang beliau rasakan untuk menggambarkan semula manhaj perjuangan yang telah dirintis oleh baginda Rasulullah saw..

Begitu juga dengan Abdullah Yusuf ‘Azzam, para muridnya telah membukukan hasil tadabbur beliau terhadap Surah at-Taubah yang membawa refleksi surah tersebut terhadap situasi jihad yang mereka sedang hadapi di medan jihad Afghanistan. Syeikh membakar semangat para mujahidin untuk terus mara ke hadapan dengan sebuah perkongsian yang hadir daripada renungannya yang tajam terhadap Surah at-Taubah yang banyak menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku di medan jihad.

Leave a Comment