Menyempurnakan taharahnya

Serial 10 Muwasofat – صحيح العبادة

Ciri – Menyempurnakan taharah

Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang yang membersihkan dirinya” (Surah Al-A’la: 14)

Islam sebagai Ad-Dien menjunjung tinggi kebersihan dan kesucian (thaharah). Syariat Islam meletakkan pelbagai aturan terhadap kebersihan dan memberikan nilai amanah yang besar terhadap menjaga kesucian setiap peribadi. Kebersihan merupakan sebahagian daripada ibadah yang dituntut, merupakan syarat sah kepada amal ibadah, menandakan kesyukuran hamba terhadap Allah SWT. yang maha agung dan mempunyai nilai tambah terhadap kualiti keimanan.

Kesucian itu sebahagian daripada Iman.” (HR. Muslim)

Sebelum kedatangan Islam, kaum Eropah ternyata terkenal sebagai bangsa yang jarang sekali mandi dan membiarkan hidup disekelilingi kekotoron. Diceritakan Ratu Isabella (1451-1504, Sepanyol) yang mereka sanjungi kerana membantai umat Islam tidak pernah mandi seumur hidupnya. Dia hanya mandi pada malam saat menjadi pengantin pada tahun 1469. Selepas peristiwa pembantaian kaum Muslimin secara besar-besaran, tentera Kristian menyebar ke setiap rumah orang Islam dan di saat itulah mereka baru kenal akan tandas dan sabun.

Namun demikian, lambang kebersihan dan kesucian seakan-akan pudar daripada identiti kaum Muslimin dan realitinya kita dituduh dengan pelbagai hal-hal yang kotor dan berbau. Ini sama sekali jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Islam sentiasa mengambil berat supaya penganutnya sentiasa bersih, baik kebersihan zahir (maddiah) mahupun rohani (ma’nawiah).

Allah SWT memuji orang yang bersuci (mutatahhirin) berdasarkan firman-Nya:
Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri.” (Surah Al-Baqarah: 222)

Dosa disucikan melalui taubat sedangkan janabah dan hadas disucikan baik melalui mandi junub dan berwudhu’. Begitu juga kotoran atau najis hendaknya disucikan menurut kaedah yang diajarkan syara’. Menyempurnakan bersuci adalah wajib kerana ia menjadi syarat yang berkekalan bagi sahnya solat lima kali sehari.

Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis untuk mengingatkan kita terhadap azab kubur bagi mereka yang tidak menyempurnakan bersuci daripada hadas. Ketika melewati sebuah perkuburan, Baginda SAW. mendengar dua suara manusia yang sedang disiksa. Baginda SAW. bersabda, “Dua orang sedang disiksa dan keduanya tidak disiksa kerana dosa besar.” 

Kemudian Baginda bersabda, “Ya, yang seorang tidak beristibra‘ dengan sebersih-bersihnya daripada kencingnya dan yang seorang lagi berjalan dengan mengadu domba.” 

Menyempurkan thaharah adalah hal yang serius sehinggakan Nabi SAW. menegur para sahabat yang dilihat tidak sempurna wuduknya. Daripada Umar bin al-Khattab r.a. katanya: “Ada seorang lelaki berwuduk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi SAW.. Disebabkannya baginda bersabda: “Ulang kembali wudukmu dengan sempurna dan sebaik-baiknya!” Orang itu pun berwudhuk kembali dan sesudah itu dia solat.” (HR. Muslim)

Sedangkan seorang lagi diazab Allah SWT. kerana tidak membersihkan dirinya daripada dosa dan maksiat.

Kebersihan dan Kesihatan

Kebersihan juga adalah langkah pengawasan terbaik untuk mencegah wabak penyakit. Sesungguhnya pencegahan adalah lebih utama daripada pengubatan dan syariat Islam mewajibkan bersuci sebagai salah satu daripada langkah pencegahan yang utama. Ini membuktikan bahawa Islam memberikan nilai yang tinggi terhadap kebersihan, kecantikan, penjagaan kesihatan diri dan menjaga persekitaran dan masyarakat supaya tidak terdedah kepada penyakit. Kelima-lima anggota wudhu’ merupakan tempat yang sering terdedah kepada debu, tanah dan kuman maka setiap kali berwudhu’ atau berjunub untuk membasuh badan, ia akan menyucikan semuanya.

Daripada Jabir iaitu bin Abdullah katanya, Rasulullah SAW. bersabda: “Perumpamaan sembahyang lima waktu itu seperti sebatang sungai yang mengalir dengan banyaknya di hadapan pintu rumah seseorang daripada kamu, di mana dia mandi lima kali sehari.” (HR. Muslim)

Daie, Murabbi Harus Senantiasa Dalam Keadaan Bersih

Ketika Jibril datang untuk mengajarkan Islam kepada kita, Umar ra. meriwayatkan bahwa Jibril itu datang dengan penuh karisma, … “suatu hari tiba-tiba datanglah seorang laki-laki yang mengenakan baju yang sangat putih dan berambut sangat hitam, tidak tampak padanya bekas-bekas perjalanan jauh dan tidak ada seorangpun diantara kami yang mengenalnya” (HR. Muslim, Hadis Kedua daripada Hadis Arbain)

Peristiwa ini bukan sahaja mengajarkan kita akan maksud Islam bahkan memberikan gambaran yang cukup indah bagaimana seharusnya peribadi daie yang membawa mesej, segak, bersih dan berjalan dengan penuh keyakinan.

Allah SWT. Berfirman yang maksudnya, “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (Surah al-Muddathir: 4)

Nabi SAW. pernah menegur seorang sahabat ketika melihatnya dengan rambut yang tidak terurus dan memakai pakaian yang kusut lantas dengan kehairanan Baginda SAW. bertanya, “Tidak bolehkan dia memiliki sesuatu yang dapat merapikan rambutnya. Tidakkah dia boleh mendapatkan sesuatu yang boleh mencuci pakaiannya?” (HR. Abu Daud)

Sabda Rasulullah SAW kepada para shahabatnya, “Kalian akan mendatangi saudaramu maka perbaguslah kedatanganmu dan perbaguslah penampilanmu. Sehingga dirimu seperti tahi lalat di tengah manusia. Sesungguhnya Allah tidak menyukai hal yang kotor dan keji.” (HR. Ahmad)

Leave a Comment