Menyempurnakan dan memperelokkan solat

Serial 10 Muwasofat – صحيح العبادة

Menyempurnakan dan memperelokkan solat

Solat adalah kewajipan yang diwajibkan pada malam Isra’ terhadap setiap kaum Muslimin yang telah baligh dan berakal. Ia adalah Ibadah pertama yang diwajibkan, menempati nombor dua dalam rukun Islam, amal pertama yang akan diperhitungkan di hari kiamat dan juga merupakan wasiat terakhir Baginda Rasulullah SAW. kepada ummatnya yang tercinta. Begitu tegasnya Islam dalam menitikberatkan kewajipan solat sampai tidak ada rukhsah untuk meninggalkannya ketika bermukim atau bermusafir, saat aman mahupun takut. (Surah Al-Baqarah: 238-239, Solat ketika perang di Surah An-Nisa’: 101-103).

Solat adalah manhaj yang lengkap untuk mentarbiyah ummat Islam. Barangsiapa yang melakukannya dengan baik dan sempurna pasti beroleh keuntungan yang besar.

Firman Allah SWT. maksudnya, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya” (Surah Al-Mu’minun: 1-2)

Mereka yang mendapat keuntungan daripada perlaksanaan solat yang sempurna bukanlah bermaksud sekadar kewajipan ritual harian tanpa memahami makna disebalik setiap persiapan sebelum, sewaktu dan sesudah solat. Solat yang sempurna bertujuan untuk memformat peribadi untuk menjadi manusia yang sempurna akhlaknya dan masyarakat yang solih.

Kegagalan dalam penerapan manhaj solat yang sempurna boleh memberikan kesan yang sungguh negatif terhadap keimanan individu dan kestabilan jamaah kaum Muslimin kerana petanda runtuhnya benteng terakhir keIslaman dan tertimpanya kecelakaan adalah meninggalkan solat.

Firman Allah SWT., “Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang buruk) yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Surah Maryam: 59). “Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.” (Surah Al-Ma’un: 4-5)

Hadits Jabir ra. berkata: Rasulullah SAW. bersabda, بين الرجلِ والكُفر تركُ الصَّلاة “Batas antara kufur dengan seseorang adalah solat.” (HR. Muslim, Abu Daud, At Tirmidziy, Ibnu Majah, dan Ahmad).

Penerapan Manhaj Solat Tidak Pernah Putus

Syaikh Munir Ghadban berkata, “Menurut riwayat yang paling kuat, tidak ada satu pun periode dakwah kaum Muslimin yang sunyi daripada perlaksanaan solat.”[1] Usaha pembentukan peribadi muslim yang mantap dalam kerangka penegakan daulah Islam wajib memberikan penekanan terhadap mencapai kesempurnaan solat setiap individu. Oleh itu Islam menganjurkan perintah solat kepada anak-anak bermula umurnya tujuh tahun dan dipukul jika tidak mengerjakannya setelah berusia 10 tahun agar solat tetap terus menjadi kebiasaan.[2]

Manhaj solat yang komprehensif wajib dipelajari dan diajarkan kerana tidak mungkin solat dapat dilakukan dengan sempurna tanpa pengetahuan terhadap fikih solat. Alhamdulillah atas usaha pelbagai pihak sungguh mudah untuk mendapatkan bahan-bahan kajian terhadap fikih solat sesuai untuk setiap lapisan umur.

Agar Solat Lebih Bermakna

Beralasankan sibuk, ingin cepat dan lebih time efektif, ramai yang terjerumus gejala “mencuri dalam solat”. Solat dilaksanakan dengan penuh tergesa-gesa atau dilewatkan hingga hujung waktu kerana priroritinya yang demikian rendah dibanding hal-hal keduniaan. Hasilnya solat yang dilakukan cukup sekadar melepaskan kewajipan lima waktu tanpa ada sebarang nilai tambah apatah lagi membantu untuk mencegah perkara keji dan mungkar. (Maksud Surah Al-Ankabut: 45). Seharusnya solat mampu menjadi penghapus dosa[3] tetapi yang tejadi sebaliknya yakni solat itu sama sekali tidak diterima Allah SWT.

Sabda Nabi SAW., “Sungguh sejahat-jahat pencuri dari kalangan manusia adalah orang yang mencuri dalam solatnya.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan mencuri dalam solatnya?” Beliau SAW. berkata, “Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya. Dan sungguh orang yang paling kikir adalah orang yang kikir mengucapkan salam.” (HR. Thabrani & Hakim)

Ustaz Hasan Al-Banna menggambarkan dengan begitu indah bagaimana kaedah untuk memaknai solat dan justru membentuk keperibadian muslim yang mantap. Beliau menyimpulkan tarbiyah manhaj solat ibarat kapsul yang diperintahkan untuk diminum lima kali sehari tanpa perlu kita mengetahui kompisisinya, tetapi hasilnya adalah akal, ruh dan jasmani kita akan sihat keseluruhannya.

Jasmani terpelihara seawal persiapan sebelum solat. Untuk solat, kita harus dalam keadaan bersih baik pakaian, badan mahupun tempat untuk solat. Bahkan lebih baik sebelum itu untuk tidur awal agar dapat sesekali bangun untuk menunaikan qiamullail. Solat adalah kesempatan untuk tubuh beristirehat dan mampu untuk membantu peredaran darah berjalan dengan baik.

Ketika mendatangi solat, fikiran kita terus melayang memberikan konsentrasi yang penuh terhadap Allah SWT., dan menghilangkan sebentar segala keserabutan dunia. Tatkala bertakbir “Allahuakbar”, maka kita merasakan kebebasan daripada segala belenggu majikan dan impian dunia. Hal ini terus membangkitkan jiwa yang keletihan agar terus fokus hingga tunduk dan sujud hanya kepada Allah SWT..

Aqal menjadi aktif dalam usaha menghayati setiap ayat dan sebutan yang diucapkan. Ayat-ayat Al-Quran cukup untuk memberikan pelajaran-pelajaran yang berharga buat bekal peringatan sampai waktu solat seterusnya.

Semoga kita senantiasa memperbaiki solat kita, agar tujuan solat yang dimaksudkan dalam Al-Quran benar-benar dapat terwujud. “Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar” (Surah Al-Ankabut: 45) dan “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya” (Surah Al-Mu’minun: 1-2)




[1] Munir Ghadban, Manhaj Haraki, Periode Pertama, Karakteristik Keenam – Solat

[2] Ahmad, Abu Daud, dan Hakim, yang mengatakan hadits ini shahih sesuai dengan persyaratan Imam Muslim

[3] Sabda Nabi SAW., “Bagaimana pendapatmu jika ada sungai di depan pintu rumah di antaramu, mandi di sana lima kali sehari, apakah masih ada daki di tubuhnya?” Mereka menjawab, “Tidak ada, ya Rasulallah.” Sabda Nabi, “Itulah perumpamaan shalat lima waktu, Allah menghapus kesalahan dengan shalat.” (HR. Bukhari dan Muslim)

1 Comment

Leave a Comment