Bangun awal

Siri 10 Muwasofat

Mustawa

Pemula

Muwasofat

Cemerlang menguruskan masa (حريص على الوقت)

Ciri Muwasofat

Bangun awal

Life is too exciting” for sleep

Wahai saudaraku,

Pembinaan seorang kader dakwah bermula seawal sebelum subuh kerana pada waktu itulah bermulanya hidup yang penuh dengan barokah. Jiwa yang ditempa sewaktu subuh sesungguhnya memiliki kekuatan ruhiyah yang luar biasa. Itulah kaedah rabbani yang tercatat di dalam sejarah kelahiran para tokoh dakwah yang menjadikan mereka manusia super.

Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِى فِى بُكُورِهَا

“Ya Allah, berkahilah untuk ummatku pada waktu pagi mereka.” (HR. Abu Dawud, at-Tirmizy, an-Nasa’i, Ibnu Majah)

Rasulullah SAW memberikan penekanan yang sangat besar terhadap bangun awal kerana di situ terhimpun beberapa petunjuk terhadap tahap keimanan, kualiti ruhiyah dan disiplin seorang muslim. Antaranya adalah amaran terhadap mereka yang lalai terhadap solat jama’ah subuh. Sabda Nabi SAW,

“Solat yang paling berat bagi orang-orang munafiq adalah solat ‘Isyak dan solat Fajar/subuh.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Nilai ruhiyah dan disiplin yang ditanam melalui bangun awal adalah sangat besar. Ia bermula dengan kesungguhan untuk merancang jadual kehidupan, memiliki azam yang kuat untuk bertahajjud, berdikari untuk bangun dan disiplin dalam menepati masa yang ditetapkan untuk bangun. Hal ini hanya mampu dicapai oleh hamba Allah SWT yang memiliki keimanan yang sejati.

Antara cabaran utama perbentukan peribadi muslim kita pada peringkat awal adalah bangun awal itu sendiri dan hal ini sahaja menuntut banyak daripada masa kita untuk bersabar dan berusaha tanpa jemu untuk melawan al-hawa. Hinggakan diri kita ini ibarat mesin automatik tanpa perlu penggera tambahan untuk mengejutkan kita.

Malulah kepada ayam yang berkokok pada pagi hari kerana ia bangun untuk menyahut seruan bertasbih kepada Allah SWT lebih awal daripada kita.

Bangun awal kunci hidup sihat

“Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari, kemudian Dia membangunkan kamu pada siang hari untuk disempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan, kemudian kepada Allahlah kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan.” (Surah Al-An’am: 60)

Sesungguhnya tidur adalah nikmat yang dikurniakan Allah SWT yang tidak ternilai harganya. Saat tidur kita dipisahkan sebentar daripada hingar-bingar kehidupan dunia dan memberikan kerehatan kepada tubuh untuk meneruskan cabaran kehidupan selanjutnya.

Nabi SAW mengajarkan kepada kita untuk memulakan hari dengan doa yang memberikan kita rasa bersyukur dan inspirasi akan kekuasaan Illahi yang menghidupkan kita semula untuk kembali beribadah kepada-Nya.

الحَمْد لِلّهِ الّذِي أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْر

“Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah dimatikan-Nya, dan kepada-Nya kami akan kembali”.

Segarnya udara pagi yang kaya dengan oksigen yang belum tercemar dengan pelbagai jenis asap dan kotoron memberikan khasiat yang luar biasa bagi pernafasan kita. Kualiti oksigen yang baik ini akan memaksimumkan upaya otak untuk bekerja, mencegah kerosakan paru-paru, memperlancar peredaran darah, dan meningkatkan kekebalan tubuh. Di saat orang membuka matanya di pagi dini hari, dia menujukan fikirannya kepada Allah dan memulai hari dengan muhasabah dan sebuah solat yang khusyuk, solat subuh.

Sebuah kajian yang dijalankan di London terhadap 1068 peserta dewasa menyimpulkan bahwa mereka yang biasa bangun awal memiliki bentuk tubuh lebih ramping, lebih bahagia, dan sihat berbanding mereka yang terbiasa bangun pada waktu siang. 

Peneliti menambahkan, pada orang yang mempunyai kebiasaan berjaga hingga larut malam, biasanya akan cenderung memiliki perasaan tertekan atau stress lebih tinggi dan berpotensi mengalami kelebihan berat badan. 

Ramai orang yang memulakan kehidupan bermula dengan stress akibat daripada bangun lewat. Bermula daripada penyesalan lewat menunaikan solat subuh, terkejar-kejar mempersiapkan anak-anak, terkejar-kejar menuju ke office dan pelbagai lagi. Ada yang bertengkar suami isteri dan ada yang memulakan harinya dengan leteran panjang. Dan inilah penyelesaian yang dianjurkan oleh sunnah Nabi SAW, yakni bangun awal.

Bangun awal mampu untuk meningkatkan metbolisme badan. Semakin awal kita bangun, semakin banyak kalori yang terbakar dan mempersiapkan sistem kerja otot untuk menempuh waktu-waktu yang mendatang.

Berikut antara manfaat tambahan bangun awal terhadap kehidupan kita;

  1. Memberikan ketenangan jiwa (Udara segar dan suasana yang sepi)
  2. Menguatkan dan menyegarkan tubuh (Mandi pagi)
  3. Peluang untuk membaca zikir pagi atau menyimak hafalan
  4. Membereskan hal-hal kecil
  5. Peluang untuk membuat mind-setting
  6. Meningkatkan produktiviti

Life is too exciting” for sleep

Kajian terhadap CEO yang berjaya di dalam syarikat-syarikat besar di Amerika juga menunjukkan hampir semua daripada mereka bangun awal seawal jam 5 pagi untuk memulakan kehidupan. Sesetengah berkata, “Life is too exciting” for sleep. Menekan butang snooze bukanlah disiplin masa yang baik bagi mereka yang senantiasa ternanti-nanti peluang untuk berhadapan dengan cabaran kehidupan.

Begitu banyak kewajipan yang sedang menunggu dan kehidupan para CEO tersebut tidak pernah terlepas daripada membaca email dan berinteraksi dengan orang lain.

Justru apatah lagi untuk kader dakwah, hidup tersangatlah menyeronokkan untuk beribadah kepada Allah berbanding tidur. Kewajipan yang kita ada terhadap Allah SWT terlalu banyak dan kita perlu mengoptimumkan dan memaksimakan penggunaan waktu yang kita ada.

Itulah seruan Nabi SAW ketika Allah SWT menurunkan Surah Al-Mudhatthir lalu baginda SAW berkata kepada isterinya Saidatina Khadijah rha., “Telah berlalu waktu tidur!”. Ya, tidur yang banyak seperti kebiasaan telah berlalu kerana nilai waktu sangat berharga untuk diisi dengan amal-amal Islam.

Ustaz Hassan al-Banna justru mengambil pelajaran ini dan menyimpulkan dengan kata-katanya yang berharga, “Kewajipan lebih banyak dari masa yang ada”.

Jom kita nikmati gaya hidup sihat, bangun awal !

banguntidur

Leave a Comment