Perjuangan Berdarah

Angkara provokasi Quraisy terhadap kaum muslimin selepas hijrah dan perhubungan mereka dengan Abdullah bin Ubai:

Telahpun kita jelaskan angkara kejahatan dan penganiayaan pihak Quraisy terhadap kaum muslimin, juga angkara tindakan mereka semasa hijrah, yang kesemuanya ini mereka memang sewajarnya diperangi dan harta-harta mereka sewajibnya dirampas, malangnya mereka tidak sedar dari kesesatan dan keterlanjuran mereka itu, atau berhenti dari permusuhan, malah mereka semakin marah kerana kaum muslimin mendapat tempat perlindungan yang tetap di Madinah, sebagai meneruskan kerja-kerja jahat itu mereka telah mengutus surat kepada Abdullah bin Ubai bin Salul, pada ketika itu beliau adalah musyrik dengan sifatnya sebagai ketua orang-orang Ansar sebelum hijrah Nabi (s.a.w), seperti yang termaklum mereka kesemua adalah di bawah suruhannya, malah mereka hampir menabalnya sebagai raja mereka kalau tidak berlakunya hijrah Rasulullah. Quraisy telah mengutus surat kepada Abdullah bin Ubai dan pengikutnya yang masih musyrik dengan kata-kata yang menjelaskan hasrat mereka: “Sesungguhnya kamu telah pun memberi penempatan kepada teman kami itu dan sesungguhnya kami bersumpah dengan nama Allah bahawa kamu mesti memerangi mereka atau memburu mereka keluar atau akan kami mara menentang kamu dengan seluruh kekuatan kami, sehingga kami membunuh wira-wira kamu semua seterusnya akan kami perkosa perempuan-perempuan kamu semua”.

Sebaik sahaja surat ini sampai ke tangan Abdullah bin Ubai dengan segera beliau bangun untuk bertindak mematuhi suruhan kongsinya dari Makkah itu, di ketika itu beliau sendiri pun memang berhasad dengki terhadap Rasulullah, kerana takhtanya dirampas oleh Rasulullah. Dalam hal ini Abdul al-Rahman bin Kaab menceritakan:

Sebaik sahaja pernyataan Quraisy itu sampai ke tangan Abdullah bin Ubai bin Salul dan orang-orangnya penyembah berhala, mereka pun segera berkumpul untuk memerangi Rasulullah, bila sahaja maklumat pergerakan mereka ini sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad (s.a.w) Baginda terus datang menemui mereka, dan Rasulullah pun menyebut kepada mereka: Sebenarnya kamu sudah pun menerima ugutan Quraisy terhadap kami, angkara kamu itu tidak seteruk yang kamu rencanakan terhadap diri kamu sendiri. Kamu rela membunuh anak-anak kamu dan saudara kamu. Setelah mereka mendengar kata-kata Rasulullah ini maka mereka pun bersurai.

Sejak dari itu Abdullah bin Ubai pun sudah tidak bersedia lagi untuk berperang, iaitu setelah beliau mendapati kelemahan untuk berperang dan kewarasan menghitung tindakan di kalangan pengikut-pengikutnya, walau bagaimanapun beliau nampaknya bersubahat dengan Quraisy, ada sahaja kesempatan terus beliau pergunakan untuk melagakan pergaduhan di antara kaum muslimin dan musyrikin. Di dalam hal ini Yahudi pun turut bersama sebagai membantu kelancaran kerja-kerja nakal itu, tetapi itulah kebijaksanaan Rasulullah di dalam menangani dan memadam api kesumat kejahatan mereka dari semasa ke semasa.

 

PENDEDAHAN TEKAD MENGHALANG ZIARAH KE MASJID AL-HARAM

Di suatu hari Sa’d bin Muaz bertolak ke Makkah untuk mengerjakan umrah. Di Makkah, beliau singgah bersama-sama Umaiyyah bin Khalaf, beliau meminta kepada Umaiyyah: “Kau berikan peluang kepadaku seketika untuk ku bertawaf di rumah Allah itu”, dengan itu beliau pun keluar di siang hari dan bertawaf, di masa itu mereka berdua bertemu dengan Abu Jahal, terus beliau bertanya Umaiyyah bin Khalaf: “Hai Abu Safwan siapa yang bersama kau itu”? kata Umaiyyah: “Beliau itu Sa’d”. Kata Abu Jahal: “Aku dapati kau bertawaf di sini dengan aman sahaja, sedangkan di Madinah sana kau melindungi orang yang keluar agama, kamu menyatakan pula kesediaan kamil membantu dan menolong mereka, demi Allah kalaulah kamu tidak bersama Abu Safwan ini nescaya kamu tidak akan pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga kamu”. Jawap Sa’d dengan suara yang lantang: “Demi Allah sekiranya kamu menyekat aku bertawaf di sini akan ku sekat kamu lebih teruk lagi dari ini, iaitu jalan kau ke penduduk Madinah”.

 

QURAISY MENGUGUT KAUM MUHAJIRIN

Pihak Quraisy terus bertindak dengan menghantar orangnya ke Madinah, mengugut kaum Muhajirin dengan kata mereka: “Jangan kamu terpesona dengan kejayaan kamu melepas diri dart kami ke Yathrib sana, di suatu hari kami akan menyerang kamu, akan kami banteras kamu hingga ke akar umbi dan akan kami musnahkan tanaman-tanaman di halaman kediaman kamu.

Ugutan Quraisy itu bukan gertak kosong, Rasulullah (s.a.w) telah memastikan yang ianya sebagai satu kesungguhan dari mereka, melalui percubaan dan usaha jahat mereka ini semua, membawa Rasulullah sentiasa mengawasi keselamatan para sahabatnya. Dalam Sahih Imam Muslim beliau telah meriwayatkan dari Aisyah (r.a) telah berkata:

Rasul telah berjaga malam pada pertama ketibaan Baginda ke Madinah, dan Rasulullah pernah bersabda: Semoga ada seseorang lelaki salih dari kalangan sahabat-sahabatku mengawalku di malam ini. Kata Aisyah: Semasa kami sedang duduk terdengar suara dentingan senjata., Baginda bertanya: Siapa itu? Jawab orangnya: Daku, Sa’ad bin Abi Waqas. Bersabda Rasulullah kepadanya: Apa yang membawa kau ke mari. Jawab Saad: Daku telah berasa sesuatu terhadap Rasulullah, maka ku pun terus ke sini untuk mengawal Rasulullah. Lalu Rasulullah berdoa kepada Allah sesuatu kebaikan kepada Saad, lepas itu Rasulullah pun tidur dan lena.

Mengawal di malam hari bukan hanya pada malam-malam tertentu sahaja, malah setiap malam, di mana Aisyah (r.a) telah berkata: Bahawa Rasulullah berjaga dan mengawal di malam hari, hinggalah turunnya firman Allah yang bermaksud: (Dan Allah memelihara kau dari manusia) dengan itu Rasulullah pun menjenguk dari dalam bilik dan menyeru: Wahai sekelian, bersurailah kamu dari sini, Allah jua yang mengawalku dari manusia.

Bahaya bukan hanya dicurigai akan tertimpa ke atas Rasul sahaja malah juga ke atas kaum muslimin keseluruhannya. Ubai bin Kaab meriwayatkan katanya: Setiba Rasulullah di Madinah bersama sahabatnya, dan mereka sekalian terasa menjadi sasaran permusuhan Quraisy satu-satunya, oleh itu mereka tidak akan tidur kecuali senjata bersama mereka dan bangun pun membawa senjata.

 

KEIZINAN ALLAH KEPADA KAUM MUSLIMIN UNTUK MENGANGKAT SENJATA

Di dalam suasana yang amat genting di mana kayan umat Islam sedang diancam, pihak Quraisy masih tidak mahu sedar dari kesesatannya, malah bila-bila masa sahaja mereka akan menyerang, di saat ini Allah telah menurunkan keizinanNya kepada kaum muslimin untuk berperang, tetapi tidak mewajibkannya, dengan firmanNya:

Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Berkuasa menolong mereka itu.

(al-Hajj: 39)

Seterusnya dengan kebenaran tadi Allah menurunkan ayatnya sebagai panduan di dalam mempertingkatkan kebenaran. Diizinkan bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya, mereka telah dianiayai, dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka tadi, kebenaran bertujuan menolak kebatilan disamping menegakkan syiar-syiar Allah dengan firmanNya:

“Mereka yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perbuatan yang mungkar”

(al-Hajj: 41)

Suatu hakikat yang pasti bahawa kebenaran yang terkandung di dalam ayat ini adalah turun di Madinah selepas hijrah, bukan di Makkah, cuma kita tidak dapat memberi kata putus masa yang terperinci penurunannya itu.

Kebenaran untuk berperang pun sudah diturunkan sedang hikmat dan rahsia peperangan di dalam suasana begini ialah untuk membolehkan kaum Muslimin melebarkan kuasa pengaruhnya ke atas laluan perniagaan Quraisy. Dari Makkah ke negeri al-Syam, Rasulullah menggunakan dua cara untuk menguasai jalan utama Quraisy itu iaitu;

Pertama: Memeteraikan perjanjian bersekutu dengan kabilah-kabilah yang tinggal berhampiran dengan laluan Quraisy tadi, atau yang tinggal di antara jala-n berkenaan dan Madinah, perjanjian untuk tidak berseteru dengan mereka sebagaimana perjanjian Baginda sebelum ini dengan golongan Yahudi Madinah, juga Rasulullah memeteraikan perjanjian keamanannya dengan kabilah Juhainah, kesemua perjanjian ini Baginda meteraikan sebelum operasi ketenteraan dijalankan, ke kawasan mereka ini lebih kurang tiga marhalah ke Madinah.

Kedua: Mengirimkan beberapa kumpulan pengawalan satu demi satu ke laluan tadi.

 

GHAZWAH DAN SARIYAH SEBELUM PEPERANGAN BADAR

Untuk melaksanakan dua langkah tadi, maka dilancarkan operasi ketenteraan secara berkesan, iaitu selepas turunnya kebenaran yntuk berperang, pada mulanya operasi ini dalam bentuk pergerakan ketenteraan yang lebih merupakan rondaan meninjau, tujuannya adalah seperti yang kita sebutkan itu, iaitulah meninjau dan mengenali jalan-jalan di sekitar Madinah dan laluan yang menghubungkan Makkah, seterusnya mengadakan perjanjian dengan kabilah-kabilah yang mendiami di sepanjang laluan itu, disamping memperlihatkan kepada golongan Musyrikin Madinah dan Yahudi serta Arab-Arab Badwi di sekelilingnya bahawa kaum muslimin gagah, setelah mereka melepaskan diri dari kelemahan-kelemahan mereka dahulu, seterusnya menyakinkan bangsa Quraisy buruk padahnya terhadap mana-mana tindakan melulu mereka, dan supaya mereka sedar dari kesesatan mereka, juga supaya pihak Quraisy dapat mengendurkan ancaman yang boleh menggugat ekonomi mereka, agar dengan itu mereka akan senang untuk menerima perdamaian dan tidak akan menceroboh negara Islam Madinah dengan sewenang-wenangnya, atau menghalang dakwah ke jalan Allah, atau menyiksa kaum muslimin yang dhaifyang masih berada di Makkah, sehingga umat Islam bebas untuk menyampaikan seruan Allah di mana-mana tempat di Semenanjung Tanah Arab.

Berikut ini ialah perihal Sariyah-Sariyah secara ringkas:

1. Sariyah Saif al-Bahr: Tanggal Rarnadhan tahun I pertama hijrah Baginda (s.a.w) telah mengirim Hamzah bin Abd al-Muttalib mengepalai satu-satu sariyah, beliau telah dikirim dengan tiga puluh orang pahlawan dari kalangan al-Muhajirin, bertujuan memintas kafilah perniagaan Quraisy yang tiba dari negeri Syam, bersama-sama kabilah ini ialah Abu Jahal bin Hisyam dengan tiga ratus orang. Setibanya mereka di Saif al-Bahr dari arah al-Ais, mereka terus bertemu dengan musuh, di mana masing-masing berbaris untuk memulakan peperangan, tetapi Majdi bin Amru al-Juhani, seorang tokoh yang bersekutu di kedua belah menyeru mereka supaya jangan berperang di situ. Beliau berjaya menyekat mereka dari berperang. Panji peperangan yang diserah kepada Hamzah itu merupakan panji pertama berwarna putih pembawanya ialah Abu Mirthad Kunnaz bin Husain al-Ghanawi.

2. Sariyah Robigh: peristiwanya berlaku pada bulan Syawal tahun pertama Hijrah, bersamaan April 623 Masihi, Rasulullah mengutus Ubaidah bin al-Harith bin al-Mutalib dengan kekuatan enam puluh penunggang kuda terdiri dari golongan Muhajirin, di sana mereka bertemu dengan Abu Sufian dengan orang-orangnya seramai dua ratus di tengah-tengah Robigh mereka hanya saling panah-memanah, tiada kemalangan jiwa berlaku di mana-mana pihak.

Di dalam sariyah ini dua orang tentera Makkah itu telah melarikan diri dan menyertai tentera Islam, mereka berdua ialah al-Miqdad Ibn Amru al-Buhrani dan Utaibah bin Ghazawan al-Mazani, sebenarnya mereka berdua ini adalah Islam, mereka sengaja keluar bersama kaum kafirin sebagai jalan untuk sampai ke pangkuan kaum muslimin, panji Ubaidah berwarna putih, pembawanya ialah Mastah Ibn Uthathah bin al-Muttalib bin Abd Manaf.

3. Sariyah al-Kharrar, peristiwa ini terjadi pada Zulkaedah tahun pertama Hijrah bersamaan Mei 623 .Masihi, Baginda Rasulullah (s.a.w) mengutus Saad bin Abi Waqas dengan tenaga dua puluh penunggang, tugas mereka memintas Kafilah Quraisy, namun Rasulullah memesan sahabatnya supaya tidak melebihi sempadan al-Kharrar, mereka keluar dengan berjalan kaki bersembunyi di siang hari, bergerak di malam hari, hingga sampai ke al-Kharrar di pagi hari kelima, namun mereka mendapati Kafilah telah pun berlalu dari situ semalam. Panji Saad (r.a) berwarna putih pembawanya, ialah al- Miqdad bin Amru.

4. Gazwah al-Abwa’ atau Widan, peristiwa ini berlaku di bulan Safar tahun kedua Hijrah bersamaan Ogos 623 Masihi, Rasulullah keluar sendiri dengan kekuatan tujuh puluh orang kesemuanya Muhajirin, setelah melantik Saad bin Ubbadah sebagai pengganti tugas di Madinah, Ghazwah ini bertujuan menyekat pergerakan Kabilah Quraisy, setibanya Baginda ke Wida didapati tiada sebarang tentangan pun.

Di dalam perjalanan Ghazwah ini Baginda mengambil kesempatan untuk memeteraikan perjanjian bersekutu dengan Amru bin Mukhsy al-Dhamari, beliau adalah ketua Banu Dhamrah di masa itu, di sini diperturunkan nas perjanjian tersebut:

“Ini adalah kitab perjanjian dari Muhammad Rasulullah kepada Banu Dhamrah sesungguhnya mereka adalah aman selamat dengan harta dan jiwa mereka, mereka diberi pertolongan buat melawan sesiapa yang melanggar mereka, kecuali bila mereka memerangi agama Allah, perjanjian ini berkuatkuasa selagi mana lautan boleh membasahi bulu-bulu, dan seslmgguhnya apabila Rasul menyeru mereka untuk menolong Baginda, mereka akan menyahut seruannya”.

Inilah peperangan atau Ghazwah pertama yang dimulakannya oleh Rasulullah, yang telah memakan masa selama lima belas malam, panji berwarna putih dibawa oleh Hamzah Ibn Abd al-Muttalib.

5. Ghazwah Bawat, berlaku pada bulan Rabiulawal tahun kedua hijrah, besamaan September tahun 623 Masihi, Rasulullah keluar bersama dua ratus orang sahabatnya, bermaksud menghalangi kafilah Quraisy dengan kekuatan seratus orang semuanya Quraisy belaka termasuk Umaiyah bin Khalaf, membawa dua ribu lima ratus ekor unta, sesampainya Baginda ke Bawat dari arah Radhwa namun Baginda tidak bertemu dengan sebarang ancaman pun.

Rasulullah telah pun melantik Saad bin Muaz sebagai khalifah Baginda di Madinah, Panjinya berwarna putih dibawa oleh Saad bin Abi Waqas (r.a).

6. Ghazwah Safwan di bulan Rabiulawal tahun kedua hijrah, bersamaan bulan September tahun 623 Masihi Kurz bin Jabir al-Fihri dengan kekuatannya yang kecil dari kumpulan musyrikin telah menyerang ladang ternakan di Madinah dan telah berjaya melarikan sebahagian ternakan di situ. Rasulullah telah keluar bersama tujuh puluh orang sahabatnya memburu gerombolan penyamun sehingga sampai ke suatu lembah yang dikenali sebagai Safwan berdekatan dengan Badar, tetapi Rasulullah tidak sempat pun mengejar mereka, Baginda pulang tanpa sebarang peperangan, gerakan Rasulullah (s.a.w) ini dikenali sebagai Badar al-Awal (Badar Pertama).

Di Madinah Rasulullah melantik Zaid bin Harith, sebagai khalifah melaksanakan urusan Baginda, di dalam peperangan tadi Rasulullah telah menyerahkan’ panji berwarna putih kepada Saidina Ali (r.a).

7. Ghazwah zul-Asyirah: berlaku di antara bulan Jamadilawal dan Jamadilakhir bersamaan bulan November dan Disember tahun 623 Masihi, Rasulullah (s.a.w) keluar dengan kekuatan seramai seratus lima puluh orang, ada pendapat lain mengatakan dua ratus lima puluh orang, ada pendapat lain mengatakan dua ratus orang, mereka terdiri dari orang-orang Muhajirin, namun demikian Rasulullah tidak memaksa sesiapa pun, Baginda keluar bersama mereka dengan tunggangan hanya tiga puluh ekor unta sahaja menyebabkan mereka bergilir-gilir. Dengan tujuan kafilah Quraisy belayar menuju ke negeri Syam, berita lengkapnya datang dari Makkah, ceritanya: Bahawa di dalam kafilah ini banyak membawa harta-harta Quraisy, di ketika Baginda sampai ke Zi al-Asyrah didapati kafilah tadi telah berlepas beberapa hari, kafilah ini juga yang mendorong Rasulullah keluar sekali lagi semasa kepulangannya dari Syam berakhir dengan peperangan Badar al-Kubra.

Di dalam Ghazwah ini Rasulullah keluar pada penghujung Jamadilawal dan pulang pada permulaan bulan Jamadilakhir, berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Ishak, mungkin ini yang membawa ahli sirah berikhtilaf pendapat di dalam menentukan bulan berlakunya Ghazwah ini. Walau macam mana pun di dalam Ghazwah ini Rasulullah mengambil kesempatan memeterai perjanjian membasmi perseteruan dan perlanggaran dengan kabilah banu Mudlij dan sekutu-sekutu mereka dari keturunan Banu Dhamrah.

Semasa ketiadaan Rasulullah di Madinah Baginda telah’ melantik Abu Salamah bin Abdul Asad sebagai khalifahnya, adapun pembawa panji ghazwah yang berwarna putih ini ialah Hamzah bin Abdul Mutalib (r.a).

8. Sariyah Nakhlah, tanggal bulan Rejab tahun kedua hijrah bersamaan Januari 623 Masihi Baginda telah menghantar Abdullah bin Jahsy al-Asadi ke Nakhlah dengan kekuatan dua belas orang yang terdiri dari kaum Muhajirin, setiap dua orang bergilir-gilir mengetuai tunggangan mereka.

Sebelumnya Rasulullah telah pun membekalkan kepadanya selembar warqah, di mana Baginda meminta supaya beliau tidak membukanya kecuali setelah melalui perjalanan dua hari, beliau pun mematuhi perintah Rasulullah itu, setelah dua hari perjalanan, beliau pun membaca warqah Rasulullah itu yang berbunyi:

“Setelah mana kau membaca suratku ini teruskan perjalananmu sehingga tiba ke tempat bernama Nakhlah yang terletak di antara Makkah dan al-Taaif, kemudian kau cuba halangkan pergerakan Kafilah Quraisy dan mengumpul maklumat mengenainya “

Jawab beliau di dalam benaknya: Daku mendengar dan mematuhinya. Kemudian beliau memaklumkannya kepada semua sahabatnya mengenai perintah Rasulullah ini, di mana beliau tidak pun memaksa mereka, malah tegas beliau bahawa sesiapa yang cintakan mati syahid segeralah bertindak dan sesiapa takutkan kematian dia boleh pulang. Adapun daku akan segera ke sana, dengan itu mereka semua terus bangun dan bergerak dengan takdir Allah, Saad bin Abi Waqqas dan Utbah bin Ghuzwan di mana dua unta mereka berdua telah tersesat jalan menyebabkan mereka terpaksa mencarinya hingga membawa mereka tertinggal kumpulan.

Abdullah bin Jahsy pun bergerak hingga sampai ke Nakhlah, seketika Kafilah Quraisy yang sarat dengan muatan kismis, makanan dan barang-barang perniagaan lain berlalu di situ, bersama-sama dengan Kafilah tadi ialah Amru bin al-Hadhrami, al-Hakam bin Kaisan orang suruhan Banu al-Mughirah, Uthman bin Abdullah bin al-Mughirah dan saudaranya Naufal. Pasukan Islam bermesyuarat sesama mereka, di antara mereka berkata: Kita ini di hari terakhir bulan Rejab, bulan haram, kalau kita biarkan mereka malam ini mereka sempat memasuki tanah haram, akhir sekali mereka bersetuju menyerang dengan itu salah seorang dari mereka memanah Amru bin al-Hadharami dan jatuh mati, manakala Uthman dan al-Hakam ditawan, sedang Naufal sempat melarikan diri, barangan bersama Kafilah tadi dan dua orang tawanan dibawa ke Madinah, dari rampasan tadi lima darinya dikeluarkan, dan inilah seperlima yang mula-mula dikeluarkan kepada pejuang Islam, juga mangsa pertama terbunuh di dalam peperangan Islam dan dua tawanan perang pertama berlaku di dalam Islam. Rasulullah menolak tindakan mereka itu dengan katanya: Aku tidak pun menyuruh berperang di bulan haram ini, dengan itu Baginda bertawakkuf (menangguh) sebarang tindakan terhadap Kafilah rampasan dan dua orang tawanan.

Kini kaum musyirikin mempergunakan kesempatan ini dengan mentohmahkan mereka sebagai menghalalkan yang telah diharamkan oleh Allah itu, maka timbullah desas desus di sana sini, namun tohmah ini telah diselesaikan dengan terturunnya firman Allah yang membuktikan bahawa tindakan kaum musyrikin itu lebih parah lagi dari apa yang dilakukan oleh kaum muslimin.

“Mereka bertanyakan kau, tentang bulan haram bagaimanakah peperangan di dalamnya, katakanlah: Berperang di bulan itu besar dosanya, tetapi menghalang jalan Allah, kufur kepada Allah, melarang memasuki masjid al-Haram dan mengusir penduduknya dan dalamnya lebih besar dosanya di sisi Allah, fitnah itu lebih besar dosanya dari pembunuhan “

(al-Baqarah: 217)

Wahyu ini jelas menyatakan bahawa kegawatan yang ditimbul-timbulkan oleh kaum musyrikin itu dalam rangka menimbulkan keraguan tentang tindakan tentera Islam yang memulakan peperangan dan serangan itu, sebenarnya tidak betui, kerana kesucian bumi al-Haram Kaabah sudah dinodai dengan peperangan mereka terhadap Islam, penyeksaan terhadap tindakannya, tidakkah kaum muslimin merupakan penduduknya yang telah bermastautin di bumi al-Haram yang muqaddas itu kemudian dirampas harta mereka, diperangi nabi mereka? Apakah yang telah mengembalikan kesuciannya itu secara mendadak, hingga dianggap peperangan di dalam itu satu pencerobohan dan pencemaran yang dahsyat? Tidak syak lagi dakyah yang diheboh-hebohkan oleh kaum musyrikin semata-mata didasarkan kepada niat jahat dan publisiti yang durjana. Selepas itu Baginda pun membebaskan tawanan tadi dan membayar diat (harga darah) kepada keluarga mereka yang terbunuh.

Leave a Comment