Perjanjian Hudaibiyah (Zulkaedah, 6H)

Dorongan Kepada Umrah al-Hudaibiah:

Dalam perkembangan seterusnya di Semenanjung Tanah Arab banyak hal memihak kepada kaum muslim, pemangkin kepada pembukaan agung dan kejayaan cemerlang kepada dakwah Islamiah semakin terserlah, persiapan ke arah menegakkan hak dan keistimewaan kaum muslimin untuk menunai ibadat mereka di masjid al-Haram kini sudah bermula, yang dahulunya mereka dihalang dan dinafikan hak mereka pada enam tahun yang silam.

Semasa di Madinah, Rasulullah s.a.w telah diperlihat di dalam mimpinya bahawa Baginda bersama-sama sahabatnya telah memasuki al-Masjid al-Haram, memegang anak kunci, bertawaf dan melaksanakan ibadat umrah, di antara mereka ada yang mencukurkan rambut manakala yang lain memendek rambutnya, Baginda mencerita semuanya ini kepada sahabat-sahabatnya.

Mereka semua amat gembira hingga menyangka yang mereka akan memasuki kota Makkah pada tahun itu juga. Serentak dengan itu Rasulullah pun memberitahu para sahabat bahawa Baginda akan keluar untuk berumrah, dan mereka semua pun bersiap untuk bersama-sama ke sana.

 

SERUAN MENYELURUH KEPADA KAUM MUSLIMIN

Rasulullah menyampaikan seruannya kepada seluruh orang Arab dan penduduk kampung di sekeliling Madinah untuk keluar bersama-sama Baginda, tapi ada juga Arab-arab Badwi yang melambat-lambatkan, namun Rasulullah terus mencuci pakaiannya, dan menaiki untanya yang bernama al-Qaswa’, dengan melantik Ibnu Maktum atau Namilah al-Laithi sebagai khalifahnya. Baginda keluar pada hari Isnin, satu haribulan Zulkaedah tahun keenam Hijrah. Dalam perjalanan suci ini, Baginda membawa bersama isterinya Ummu Salamah berserta seribu empat ratus (1,400) orang. Ada pendapat mengatakan seribu lima ratus (1,500) orang tanpa membawa peralatan perang, selain senjata untuk bermusafir, iaitu pedang-pedang bersarung.

 

KAUM MUSLIMIN BERGERAK MENUJU KE MAKKAH

Jamaah Umrah ini bergerak ke arah Makkah, sehingga apabila sampai di Zu al-Halifah, Baginda menuntun sembelihan korban serta memulakan upacara umrah di tempatnya. Zu al-Halifah sebagai miqat makani (tempat permulaan ibadat) di sertai dengan pakaian ihram, sebagai memaklumkan kepada orang ramai ketibaannya bukan untuk berperang, walaupun demikian Baginda menghantar salah seorang dari qabilah Khuza’ah untuk mendapat berita mengenai Quraisy. Setibanya Baginda di Asafan perisikannya datang memberitahu dengan katanya: “Semasa saya kemari saya telah mendapati qabilah Kaab bin Lu’ai telah pun mengumpul orang-orang awam al-Ahabisy di mana mereka berhimpun untuk memerangi Rasulullah, serta menghalang Rasulullah dari memasuki Kaabah. Rasulullah bermesyuarat dengan para sahabat dengan sabdanya: “Apakah kamu rasa baik kita serang keluarga mereka yang menolong puak yang menghalang kita, kemudian kita tawan mereka? Sekiranya mereka berdiam, berdiam dengan keadaan marah dan berduka, kalau mereka terlepas lari maka yang ditawan itu Allah mencantas leher mereka, atau apakah sahabat sekalian berpendapat kita semua menuju ke Baitullah maka sesiapa halang kita, kita peranginya”? berkata Abu Bakar: “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui, kita datang pun memang untuk berumrah, dan bukannya untuk memerangi sesiapa, tapi kalau ada orang yang menghalang kita ke Baitullah al-Haram kita perangilah mereka”, jawab Rasulullah (s.a.w): “Ayuh kita teruskan perjalanan. Maka mereka pun bergerak ke hadapan.

 

PERCUBAAN QURAISY MENGHALANG KAUM MUSLIMIN KE BAITULLAH

Sewaktu Quraisy mendengar berita perjalanan Rasulullah, mereka terus mengadakan majlis permesyuaratan. Mereka membuat keputusan untuk menghalang kaum muslimin dari memasuki Baitullah al-Haram dengan apa cara sekalipun, tetapi selepas Rasulullah berpaling dari sekatan golongan al-Ahabisy, satu berita telah diterima dari seorang Banu Kaab yang memaklumkan bahawa pihak Quraisy telah turun ke “Zi Tawa” beserta dua ratus askar berkuda di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid. Mereka menunggu dan bersedia di “Kara’ al-Ghamim” jalan utama ke Makkah. Khalid cuba menghalang kaum muslimin, beliau telah mengatur tenteranya berhadapan dengan tentera muslimin. Kedua-dua askar tadi masing-masing dapat melihat lawannya, sebelum ini Khalid pernah melihat kaum muslimin bersembahyang zohor dengan ruku’ dan sujud, maka beliau berkata: “Mereka ini boleh diserang secara mengejut, kiranya kalau diserang nescaya dapat dikalahkan”. Jadi beliau telah membuat keputusan untuk menyerang mereka semasa sembahyang asar nanti, tetapi Allah telah menurunkan hukum solat khouf (solat dalam keadaan bahaya). Maka terlepaslah peluang yang dirancang oleh Khalid tadi.

 

TUKAR JALAN DAN USAHA MENGELAK PERTUMPAHAN DARAH

Rasulullah mengambil jalan yang sukar di celah lorong-lorong bukit bersama kaum muslimin melencong ke sebelah kanan di antara dua kemuncak bukit al-Hamasy menuju ke lereng “al-Marar” terus ke dataran al-Hudaibiah dari arah bawah ke Makkah, meninggalkan jalan utama ke Baitullah al-Haram dengan melalui al-Tanaim. Dari situ Baginda melencong ke sebelah kiri. Apabila Khalid melihat pasukan tentera Islam menyimpang dari jalan yang sedang beliau tunggu, segera beliau memacu kudanya menemui Quraisy untuk memberi ingatan.

Rasulullah meneruskan perjalanan hingga apabila sampai ke lereng di “al-Marar” unta tunggangan Baginda melabuhkan diri di situ, semua orang menyebut: “Ayuh, ayuh”. Tapi ianya enggan bergerak, maka kata mereka semua. “Tak nak berjalan dah mula berdegillah”. Jawab Rasulullah: “Al-Qaswa tidak berdegil, kerana ini bukan perangainya, tetapi ianya diberhentikan oleh kuasa yang memberhentikan gajah-gajah dahulu”. Sambung Rasulullah s.a.w: “Demi jiwaku ditanganNya, tidak mereka meminta dariku satu cara buat mereka mengagungkan kawasan Haram Allah itu, kecuali ku jawab permintaan mereka itu”. Kemudian Rasulullah s.a.w menghalau untanya dan ia pun segera bangun, dan berpusing menuju ke arah hujung Hudaibiah, berdekatan dengan sebuah kolam yang bertakung sedikit air, orang ramai pun mengambil airnya yang sedikit di situ. Tidak lama kemudian airnya pun putus. Mereka semua mengadu hal kepada Rasulullah s.a.w mengenai kehausan yang mereka alami, Baginda pun menarik keluar anak panah dari uncangnya, dan menyuruh mereka memacaknya di dalam kolam, demi Allah airnya terus keluar memenuhi keperluan mereka semua.

 

BUDAIL MENJADI ORANG TENGAH DI ANTARA RASULULLAH S.A.W DAN QURAISY

Setelah Rasulullah s.a.w menetap di tempatnya itu, Budail bin Warqa’ al-Khuzai’ bersama beberapa orang dari Banu Khuza’ah, mendatangi Rasulullah s.a.w, Khuza’ah adalah penyimpan rahsia-rahsia Rasulullah, mereka dari penduduk Tuhamah, kata Budail: “Sebenarnya daku ini baru sahaja datang dari Kaab bin Lu’ai, mereka sudahpun bersiap dengan kekuatan mereka dan singgah di perairan al-Hudaibiah, bersama-sama mereka anak isteri mereka yang bertekad memerangi dan menghalang kamu dari memasuki Baitullah al-Haram. Kata Rasulullah s.a.w: “Sebenarnya kami datang ini bukan untuk memerangi sesiapa. Tetapi kami datang untuk mengerjakan umrah, dan sesungguhnya Quraisy sudahpun keletihan dek peperangan demi peperangan, malah peperanganlah yang telah membinasakan mereka, sekiranya mereka mahu aku memohon penangguhan ku boleh lakukan hingga mereka boleh memberi laluan kepada ku, tapi kalau mereka suka menyertai perdamaian seperti orang lain, mereka boleh lakukan sehingga dengan itu mereka boleh berehat, tapi kalau mereka enggan dan hendak teruskan peperangan demi Tuhan yang jiwa ku ditanganNya akan ku perangi mereka habis-habisan hingga terlaksana urusan Allah”.

Kata Budail: “Akan ku sampaikan kepada mereka seperti dikau sebutkan itu”, maka beliau pun terus pergi menemui Quraisy dan berkata: “Sesungguhnya daku ini telah mendatangi orang itu, dan telah ku dengar darinya sendiri kata-katanya, sekiranya kamu rela, maka relalah ku menyampaikannya”. Sampuk golongan singkat pemikiran dengan kata mereka: “Tak perlulah kamu menceritakannya kepada kami”. Tapi kata yang waras pemikirannya: “Ceritakanlah kepada kami”. Kata beliau: “Ku dengar darinya begini-begini”, lalu Quraisy menghantar seorang utusan lain bernama Mikraz bin Hafs, Rasulullah melihatnya, dan Baginda berkata: “Orang ini jenis pengkhianat”.

Sesampainya beliau di hadapan Rasulullah s.a.w, Baginda pun menyampaikan seperti mana yang disampaikan kepada Budail dan kawan-kawannya, dengan itu beliau pun pulang ke pangkuan Quraisy dan menceritakan segala-galanya.

 

UTUSAN-UTUSAN QURAISY

Diceritakan seorang lelaki dari Kinanah dikenali sebagai al-Hulais bin Alqamah telah berkata: “Berilah peluang kepadaku untuk menemui Muhammad”, jawab mereka: “Ayuh pergilah”. Sebaik sahaja beliau dilihat oleh Rasulullah, terus Baginda berkata: “Orang ini dari suku kaum yang memuliakan ibadat berkorban, ayuh perlihatkan kepadanya, maka diletakkan ternakan untuk sembelihan supaya beliau melihatnya, seluruh kaum muslimin mengalu-alu kedatangannya dengan suara talbiah, bila beliau melihat semuanya terns beliau berkata: “Subhanallah, tidak seharusnya mereka ini dihalang dari melakukan peribadatan di Baitullah al-Haram ini”. Justeru itu beliau pun pulang semula menemui Quraisy dan berkata: “Di sana aku lihat binatang-binatang sembelihan sudah tertambat dan ditanda untuk qurban, pada pendapat ku, tidak wajar kita menghalang mereka. Maka berlaku perbalahan pendapat di antara beliau dan Quraisy.

Kata Urwah bin Mas’ud al-Thaqafi: “Orang ini telah pun menawarkan kepada kamu semua satu perancangan yang waras, terima sahajalah, biarkan aku pula yang pergi. Jawab mereka: “Pergilah”. Beliau pun segera pergi menemui Baginda. Rasulullah pun menegaskan kepada beliau sebagaimana beliau nyatakan kepada Budail, maka kata Urwah: “Wahai Muhammad! Apa pandangan kau, kalaulah kamu berjaya menghapuskan bangsa kau ini, apa kau pernah dengar sebelum ini, ada seorang pribumi Arab memusuhi bangsanya sendiri. Seperti yang hendak kau lakukan ini? Kalau maksudmu bukan yang ini, Demi Allah muka-muka yang ku lihat ini adalah manusia awam lapisan biasa, mereka ini akan lari dan akan tinggalkan kau seorang.

Sampuk Abu Bakr r.a.: “Kamu ini jenis manusia yang menjilat air kecil berhala al-Lata, kami ini bukan jenis yang akan lari darinya!! Beliau bertanya: Siapa orang ini, jawab yang hadh: Itulah.Abu Bakr kata Urwah: Demi Allah, kalau tidak mengenang budi, pasti ku tidak membiarkannya, malah kujawabnya. Beliau terns bercakap lagi dengan Rasulullah, setiap kali beliau bersuara setiap kali itu pula beliau memegang janggut Baginda (s.a.w), di masa itu al-Mughirah bin Syu’bah sedang berada di belakang Rasulullah s.a.w memegang pedangnya, bila Urwah memegang janggut Rasulullah s.a.w beliau mengetuk tangannya dengan hulu pedangnya sambil berkata: “Jauh sedikit tangan mu itu”, Urwah mengangkat kepala seraya bertanya: “Siapa orang ini?, jawab yang hadir: “Itulah al-Mughirah bin Syu’bah”. Kata Urwah: “Wahai pengkhianat, tidakkah kelmarin aku yang membasuh kekotoran dirimu itu?” Semasa jahiliah al-Mughirah pernah berkawan dengan sekumpulan orang, kemudian beliau membunuh orang itu dan merampas harta mereka, kemudian beliau datang menemui Rasulullah, dan mengucap dua kalimah syahadah. Jawab Rasulullah: “Adapun Islamnya aku yang menerimanya, tapi harta yang dirampas itu aku tidak ada kena mengena”. Al-Mughirah bin Syu’bah adalah anak saudara Urwah.

Seterusnyanya Urwah bertindak menempelak sahabat-sahabat Rasulullah dan hubungan-hubungan mereka yang silam. Setelah itu beliau pun pulang menemui kawannya, dan berkata: “Wahai kalian, demi Allah, aku ini pernah menemui raja-raja, Qaisar Roman dan Kisra Parsi dan Maharaja al-Najasyi dan tidak pernah pula ku melihat mereka disanjung sepertimana sahabat-sahabat Muhammad menyanjung diri Muhammad. Demi Allah, beliau meludah tidak sempat ludahannya itu jatuh ke tanah namun sudah ada tangan yang menadahnya dan disapunya ke badan dan muka mereka, dan bila Muhammad menyuruh semua mereka bersegera melakukannya, bila beliau berwudhu’ seolah-olah berlaku pergaduhan, masing-masing hendak mengambil air wudhu’nya dan bila beliau bercakap semua orang merendah suaranya, mereka tidak merenung tajam ke mukanya kerana menghormatinya, beliau ini telah mengemukakan kepada kamu semua perancangannya, ianya suatu perancangan yang bijak dan matang, kuharap kamu semua dapat menerimanya.

 

DIALAH YANG MENGHALANG TANGAN MEREKA DARI BERTINDAK KE ATAS KAMU

Bila golongan muda Quraisy mendapati golongan tua yang merupakan barisan pimpinan berminat untuk berdamai, sedang mereka berminat untuk berperang, maka mereka merencana satu pakatan jahat yang boleh menghalang proses damai, mereka membuat keputusan untuk keluar di waktu malam memasuki ke dalam kawasan perkhemahan Islam dan melakukan kacau bilau yang boleh menyalakan api peperangan. Rancangan itu mereka lancarkan di tengah malam ketika sekumpulan pemuda Quraisy yang bersemangat seramai tujuh puluh (70) atau lapan puluh (80) orang turun melalui bukit al-Tanaim. Mereka cuba memasuki khemah Islam, tetapi mereka semua telah diberkas oleh Muhammad bin Salamah, ketua pengawal khemah Islam. Untuk tujuan perdamaian maka Rasulullah membebaskan semua mereka, sehubungan dengan kejadian ini turunlah ayat al-Quran bermaksud:

“Dan Dialah yang menahan tangan mereka dari membinasakan kamu dan menahan tangan kamu dari membinasakan mereka di tengah kota Madinah sesudah Allah memenangkan kamu ke atas mereka “.
(al-Fath: 24)

 

UTHMAN BIN AFFAN SEBAGAI DUTA MENEMUI QURAISY

Kini Rasulullah hendak mengirim seorang duta kepada Quraisy untuk meyakinkan mereka mengenai pendirian dan tujuan kedatangan mereka, Baginda memanggil Umar bin al-Khattab untuk dihantar tetapi Umar meminta pengecualian dengan katanya: “Wahai Rasululllah, kecualikanlah daku, tiada siapa dari kalangan Banu Kaab yang bersimpati dengan ku sekiranya ku disakiti. Hantarlah Uthman bin Affan, keluarganya ada di sana, dan beliau berupaya menyampaikan apa yang Rasulullah kehendaki”. Maka Rasulullah menjemput Uthman dan dihantarnya beliau untuk berbicara dengan Quraisy. Kata Rasulullah: “Beritahu mereka bahawa kita datang ke mari bukan untuk berperang tapi datang untuk mengerjakan umrah serta serukan mereka kepada Islam”. Baginda juga menyuruh beliau bertemu dengan kaum lelaki mukmin dan wanita mukmin, memberitahu mereka perkhabaran yang mengembirakan bahawa Allah akan tampilkan agamanya di Makkah hingga tiada siapa pun yang akan merahsiakan imannya.

Saidina Uthman pun bergerak ke sana melalui orang-orang Quraisy yang sedang berada di Baldah. Kata mereka: “Hendak ke mana ni?” Jawab beliau: “Aku ini telah diutuskan oleh Rasulullah untuk tujuan begini-begini”, kata mereka: “Kami fahamlah apa yang kau kata itu, teruskan sahaja tujuanmu itu”. Di situ Abban bin Said bin al-A’as bangun dan mengalu-alukan beliau dan mengenakan pelana ke atas kudanya dan membawa Uthman dengan kudanya itu., beliau memberi perlindungan dan mengiringinya hingga sampai ke Makkah dan terus disampaikan perutusan kepada Quraisy. Setelah itu beliau ditawar untuk bertawaf mengelilingi al-Kaabah, tapi beliau tolak tawaran itu dan enggan untuk bertawaf kecuali setelah dilakukan oleh Rasulullah terlebih dahulu.

 

KHABAR ANGIN MENGENAI PEMBUNUHAN UTHMAN DAN BAI’AH AL-RIDWAN

Quraisy telah menahan Uthman agak lama juga, kerana mereka hendak bermesyuarat sesama mereka untuk membuat keputusan yang muktamad, untuk mereka berikan kepada Uthman sebagai jawapan kepada perutusan yang akan dibawa oleh Uthman kepada Rasulullah, oleh itu maka tersebar luas berita yang mengatakan Uthman telah dibunuh oleh pihak Quraisy, sehingga Rasulullah sendiri telah menegaskan dengan katanya: “Kita tidak akan beredar dari sini hinggalah kita memerangi mereka”. Untuk itu Baginda meminta para sahabatnya berikrar dengan satu bai’ah (sumpah setia), berduyun-duyun mereka ke hadapan Rasulullah memberi bai’ah untuk tidak akan bergerak dan berundur, berbai’ah secara jamaie untuk mati bersama.

Diceritakan orang-orang yang mula meletakkan tangannya ialah Abu Sinan al-Usdi, kemudian Salamah bin al-Akwa’ untuk mati bersama, tiga kali di permulaan di pertengahan dan penyudah, malah Rasulullah memegang tangannya sendiri dengan berkata: “Tangan ini mewakili Uthman”. Setelah selesai bai’ah, Uthman pun datang, maka beliau pun turut berbai’ah, tiada seorang pun yang melarikan diri kecuali seorang munafiq sahaja yang bernama Jad bin Qais. Upacara bai’ah ini Rasulullah langsungkan di bawah sepohon kayu, Umar memegang tangan Rasulullah manakala Ma’qal bin Yasar memegang ranting pokok berkenaan bagi pihak Rasulullah, inilah bai’ah al-Ridwan yang diturunkan padanya ayat al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah meredhai terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berbai’ah kepada engkau di bawah sepohon pokok”.

(al-fath: 18)

PEMETERAIAN PERJANJIAN DAMAI DAN AGENDA-AGENDANYA

Pihak Quraisy mengetahui situasi yang cemas itu, sehubungan dengan itu, mereka segera menghantar Suhail bin Amru untuk menerima perjanjian berkenaan, melalui perjanjian pihak Quraisy menyatakan supaya Rasulullah dan para sahabatnya harus pulang ke Madinah tanpa peribadatan Umrah pada tahun ini, supaya tidak menjadi buah mulut bangsa Arab, bahawa mereka memasuki Makkah secara kekerasan. Maka Suhail bin Amru pun datang menemui Rasulullah: Apabila Rasul melihat Suhail, Baginda pun menyebut: “Allah mempermudahkan urusan kamu”. Quraisy bermaksud untuk berdamai, kerana itu diutusnya orang ini. Suhail tiba dan bercakap dengan panjang lebar, mereka berdua bersetuju dengan asas-asas perdamaian seperti berikut:

1. Rasulullah harus pulang sahaja di tahun ini, tanpa memasuki Makkah, di tahun hadapan mereka memasuki Makkah dan boleh tinggal hanya tiga hari sahaja, membawa senjata sebagai penunggang itu pun pedang harus disarungkan dan Quraisy tidak akan membuat sebarang halangan.

2. Dihentikan peperangan di antara dua pihak untuk selama sepuluh (10) tahun hingga orang awam menikmati keamanan dan kedua belah pihak berhenti mengganggu lawannya.

3. Sesiapa yang ingin berikat janji dengan Muhammad dia berhak berbuat demikian dan sesiapa yang ingin berikat janji dengan Quraisy dia berhak berbuat demikian, dengan anggapan qabilah yang menyertai salah satu kern ini sebagai sebahagian dari kem berkenaan, pelanggaran oleh mana-mana qabilah ini dianggap sebagai pelanggaran ke atas kem induk.

4. Sesiapa sahaja yang lari dari Quraisy lantas menyertai Muhammad tanpa izin dari orang yang dipertanggungjawabkan, hendaklah dihantar balik. Dan sesiapa yang lari dari Muhammad lantas menyertai Quraisy tidak ditolak.

Rasulullah memanggil Ali untuk menulis Nas perjanjiaan, Baginda merencana kepada beliau dengan katanya: “Bismillah al-Rahman al-Rahim” Kata Suhail: “Ada pun lafaz al-Rahman itu kami tidak mengetahuinya, tapi tulis sahaja: “Bismika Allahumma”. Baginda menyuruh Ali menulisnya, kemudian direncana lagi “Inilah apa yang persetujui oleh Muhammad Rasulullah” kata Suhail: Kalau kami percayakan kau sebagai Rasulullah pasti kami tidak menghalang kau atau memerangi kau, oleh itu tulis namamu Muhammad bin Abdullah sahaja. Kata Rasulullah: “Sesungguhnya daku ini Rasulullah, Pesuruh Allah walaupun kamu mendustaiku”. Baginda pun menyuruh Ali menulis “Muhammmad bin Abdullah serta memadam lafaz “Rasulullah’, tapi Ali enggan memadamnya maka Rasulullah memadamnya dengan tangannya sendiri, dengan itu selesailah pembentukan format perjanjian. Sebaik sahaja format perjanjian dimeterai, maka Banu Khuza’ah pun segera menyertai kem Rasulullah, kerana sejak dahulu lagi mereka ini menjadi sekutu banu Hasyim, sejak era Abdul Muttalib, seperti yang kita sebutkan di permulaan kitab ini, penyertaan mereka di hari ini lebih merupakan penegasan dan pengukuhan kepada penyertaan mereka yang dahulu. Manakala Banu Bakr menyertai kem Quraisy.

 

PENOLAKAN ABU JANDAL

Semasa jurutulis sedang sibuk untuk menyiapkan format perjanjian, tiba-tiba Abu Jandal bin Suhail berjalan mengheret rantai belenggu, menghempaskan dirinya dihadapan kaum muslimin, beliau lari keluar dari selatan Makkah, Suhail yang berada di situ meminta Rasulullah rnembuat keputusan supaya memulangkan Abu Jandal ke pangkuan masyarakat musyrikin Quraisy, kata Rasulullah: “Kita belum sempat mehyelesaikan format perjanjian lagi”. KataSuhail: “Demi Allah! Inilah perkara pertama yang aku meminta kau membuat keputusan mengenainya”. Kata Rasulullah s.a.w: ‘ Berilah kesempatan kepada ku”. Jawab Suhail: “Aku tak akan beri”. Jawab Rasulullah: “Bahkan, kau mesti berikan”. KataSuhail: “Aku tidak akan beri”. Seterusnya Suhail menumbuk muka Abu Jandal, sambil memegang leher bajunya dan menyeret-nyeret untuk di bawa ke dalam masyarakat musyrikin Makkah, apa lagi Abu Jandal meneriak sekuat suaranya: “Wahai kaum muslimin apakah kamu mahu aku diseret kembali ke dalam masyarakat musyrikin untuk difitnahkan ke atas agamaku?” Kata Rasulullah s.a.w: “Bersabarlah dan bertahanlah wahai Abu Jandal, sesungguhnya Allah sedang memberi kepada kau dan orang-orang lain kalangan musthadfin yang bersama kau jalan keluar dan kelepasannya. Sebenarnya kami ini sedang mematerai perjanjian perdamaian dengan mereka, telahpun kami berikan perjanjian kami kepada mereka dan sebaliknya mereka juga telah memberi janji iqrar mereka, tak seharusnya kita mengkhianatinya.

Umar segera bangun dan berjalan dengan Abu Jandal sebelah menyebelah seraya berkata: “Sabar sahajalah wahai Abu Jandal, kaum musyrikin darah mereka sama seperti darah anjing, dan beliau mendekatkan hulu pedangnya kepada Abu Jandal, dengan berkata di dalam hatinya: Aku mengharapkan beliau merampas pedang itu dariku, supaya dengannya sempat beliau membunuh bapanya, tapi beliau ini terasa berat untuk bertindak, berakhir dengan termaterainya perdamai ini.

 

MENYEMBELIH DAN BERCUKUR UNTUK BERTAHALLUL DARI UMRAH

Selepas Rasulullah selesai soal perjanjian perdamaian, Baginda pun menyeru kepada sidang muslimin dengan sabdanya: “Ayuh sekarang kamu boleh bersembelih”. Demi Allah tak seorang pun bertindak, hingga terpaksa Baginda menyeru tiga kali, namun masih tiada siapa pun yang menyahut. Dengan keadaan berduka Rasulullah bangun dan masuk ke dalam khemah, menemui isterinya Ummu Salamah. Baginda menceritakan kepadanya, hal kaum muslimin yang tidak memberi respon kepada seruannya, maka jawab Ummu Salamah: “Apakah tuan hamba mahu mereka semua lakukan itu?” Ayuh Rasulullah, sembelihkan qurban itu tanpa menyebut apa-apa suruhan pun, kemudianjemput tukang cukur mencukur rambut tuan hamba”.

Rasulullah pun keluar dari situ tanpa bercakap sepatah pun, Baginda terus menyembelih korban dan menyuruh dicukur rambutnya. Bila sekalian yang menyertai umrah itu melihat Rasulullah menyembelih dan bercukur maka masing-masing bergegas menyembelih ternakan dan cukur mencukur. Hampir berlaku perbalahan, unta disembelih untuk tujuh bahagian, lembu untuk tujuh bahagian dan Rasulullah menyembelih unta rampasan Abu Jahal dahulu yang hidungnya bersubang perak untuk membangkitkan kemarahan kaum musyrikin. Di situ Rasulullah s.a.w berdoa kepada sekalian yang mencukur kepala mereka dengan memohon keampunan khusus untuk mereka yang mencukur rambut sebanyak tiga kali, dan sekali untuk mereka yang hanya memendekkannya. Di dalam perjalanan umrah ini terturun firman Allah mengenai mereka yang bercukur kepala kerana berpenyakit iaitu diganti atau difidyahkan dengan berpuasa atau mengeluar sedekah atau korban. Sebab nuzul (turun) ayat ini ialah mengenai Ka’ab bin ‘Ajarah yang berkudis di kepalanya hingga terdapat ulat-ulat yang luruh dari kudisnya. (Penterjemah).

 

RASULULLAH ENGGAN MENGHANTAR PULANG WANITA MUKMIN YANG BERHIJRAH

Sekumpulan wanita mukmin telah berhijrah, para wali mereka telah datang menemui Rasulullah supaya dipulangkan mereka ini kepangkuan keluarga di Makkah bagi menepati perjanjian al-Hudaibiah yang dipersetujui dahulu, tetapi Rasulullah enggan melayan permintaan mereka atas alasan nas perjanjian yang bermaksud: “Bahawa tiada seorang lelaki pun dari sebelah Quraisy yang harus menyertai kau walaupun beliau itu di atas agamamu, kalau tidak, mestilah dihantar balik”. Nas perjanjian ini tidak merangkumt kaum wanita sama sekali, mengenai kejadian ini Allah telah menurunkan ayatNya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang berhijrah padamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji mereka. Allah lebih mengetahui tentang keimanan mereka, maka jika kamu telah mengetahui bahawa mereka benar-benar beriman maka janganlah kamu kembalikan mereka kepada orang-orang kafir, mereka tiada halal bagi orang-orang kafir itu dan orang-orang kafir itu tiada halal pula bagi mereka. Dan berikanlah kepada suami-suami mereka mahar yang telah mereka bayar. Dan tiada dosa atas mu mengahwini mereka apabila kamu bayar kepada mereka maharnya. Dan janganlah kamu berpegang pada tali (perkahwinan) dengan perempuan-perempuan kafir “

(al-Mumtahanah: 10)

Biasanya Rasulullah menguji kaum wanita, berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

“Apabila datang kepada mu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahawa mereka tidak akan mempersekutukan sesuatu pun dengan Allah, tiada akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak, tidak akan berbuat dosa yang mereka ada-adakan di antara tangan dan kaki mereka, dan tidak akan menderhakai mu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan memohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha mengampun lagi Maha Penyayang”.

(al-Mumtahanah: 12)

Sesiapa dari mereka akur dengan syarat-syarat ini maka Rasul akan mengucap yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku berbaiah dengan kau dan mereka ini tidak dipulangkan “.

Kaum muslimin, menceraikan isteri-isteri mereka yang kafir berdasarkan hukum ini, Umar ibni al-Khattab menceraikan dua orang isterinya yang kafir. Seorang darinya Muawiyah yang dikahwini olehnya dan seorang lagi oleh Sofwan bin Umaiyah.

 

FAEDAH-FAEDAH DARI SYARAT PERJANJIAN

Inilah perdamaian sementara Hudaibiah, sesiapa yang cuba memahami lebih mendalam terhadap butiran perjanjian di samping suasana yang melatarbelakangkannya, pasti menyakini yang ianya adalah kemenangan besar kepada umat Islam, sebelum ini Quraisy tidak mengiktiraf kehadiran umat Islam, malah pihak Quraisy berusaha membanteras mereka ke akar umbi dan menunggu untuk menyaksi kemusnahan mereka, pihak Quraisy sedang berusaha sedaya upaya dan sehabis tenaganya untuk menghalang penerusan dakwah Islamiah agar ianya tidak sampai kepada manusia ramai yang sifatnya sebagai pemimpin agama dan dunia di Semenanjung Tanah Arab. Kecenderungan mereka untuk berdamai bererti mereka sudah mengiktiraf kekuatan Islam, syarat yang ketiga dengan seluruh isi kandungannya memperlihatkan, kini Quraisy sudah melupai peranan Islam sebagai pemimpin Arab, agama dan dunia, kerana sudah tidak peduli selain dirinya sahaja. Adapun orang lain dan semenanjung Arab semuanya, kalau hendak memeluk Islam pun tidak mengapa. Ianya tidak akan campur tangan langsung, yang penting hanya dirinya sahaja, tidakkah ini merupakan satu kekalahan yang amat parah? Bahkan ianya satu kemenangan yang cemerlang bagi Islam. Peperangan yang bermatlamatkan merampas harta benda, meragut nyawa dan membunuh manusia atau memaksa musuh supaya memeluk Islam, bukan tujuan pertama dan utama dari peperangan tadi, sebaliknya ialah mewujudkan satu kebebasan yang menyeluruh untuk manusia sejagat di dalam memilih akidah dan agama mereka.

“Siapa mahu, dia boleh beriman dan siapa mahu, dia boleh kufur”.
(al-kahfi:29)

Hingga tidak berlaku satu penghalang di antara manusia dan kehendaknya, kini matlamat sudah pun tercapai dengan segala anasir dan ciri-cirinya. Boleh jadi dengan pencapaian dan kemenangan agung ini tidak berlaku lagi peperangan. Melalui perjanjian damai ini umat Islam telah memperolehi kebebasan besar di dalam dakwah, sebelum perjanjian, tentera Islam tidak lebih tiga ribu (3,000) orang sahaja, tetapi bilangan ini bertambah hingga sebelum pembukaan kota Makkah dalam tempoh dua tahun menjadi sepuluh ribu (10,000) orang.

Adapun syarat yang kedua yang merupakan bahagian kedua di dalam faktor kemenangan agung Islam, kerana kaum muslimin tidak merupakan pihak yang memulakan peperangan, tetapi Quraisylah pihak yang memulakan pergaduhan. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan merekalah yang memulakan terhadap kamu pada kali pertama”.

(al-Taubah: 13)

Sedangkan maksud kaum muslimin dengan rondaan ketenteraan mereka, tidak lebih dari menyedar dan mengingatkan Quraisy tentang kesombongan dan halangannya terhadap usaha ke jalan Allah, supaya Quraisy jujur dan bertindak saksama terhadap kaum muslimin. Semua ini bertujuan agar setiap kem boleh beusaha dalam suasana yang selesa. Syarat menangguhkan peperangan untuk tempoh sepuluh tahun merupakan pembatasan terhadap kesombongan dan halangan Quraisy tadi dan sebagai tanda kegagalan orang yang mula menyalakan api peperangan, dan sebagai petanda kedhaifan dan keruntuhan mereka.

Manakala syarat perdamaian pertama mentafsirkan pembatasan kuasa Quraisy yang biasa menghalang peribadatan di masjid al-Haram, ianyajuga pertanda kekalahan Quraisy malah tiada suatu pun dari syarat-syarat perjanjian yang memberi kepuasan kepadanya selain dari sekadar menghalang pada tahun itu sahaja. Quraisy telah menghadiahkan percuma syarat-syaratnya yang tiga di atas kepada kaum muslimin, ianya menikmati syarat yang keempat, itu pun syarat yang tidak berfaedah sangat, yang tidak ada apa-apa erti pun, tidak pula membahayakan kaum muslimin, seperti yang diketahui bahawa selagi mana seorang muslim itu tetap muslim, beliau tidak akan lari dari Allah dan RasulNya, atau dari bandaraya Islam “al-Madinah” kecualilah kalau ianya murtad secara nyata atau rahsia, dan kalau ianya murtad maka Islam tidak memerlukannya lagi malah berpisahnya beliau dari masyarakat Islam lebih baik dari beliau tinggal di dalamnya, inilah apa yang diisyaratkan oleli Rasulullah di dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang lari dari kita kepada mereka semoga dijauhkannya oleh Allah”.

Adapun orang yang memeluk Islam dari penduduk Makkah dan tidak berpeluang untuk mendapat perlindungan di Madinah, namun bumi Allah masih luas, tidakkah al-Habsyah merupakan bumi luas untuk kaum muslimin mendapati perlindungan di sana? Terutama semasa penduduk al-Madinah belum menganut Islam. Inilah yang diisyaratkan oleh Rasulullah di dalam sabdanya yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang mendatangi kita dari kem mereka, Allah akan menjadikan kepadanya kelapangan dan jalan keluar “

Perkiraan dan kewaspadaan pihak Quraisy seperti ini, meskipun seolah-olah memperlihatkan usaha dan mempertahankan keagungan maruahnya, tetapi sekaligus menunjukkan kepanikan, keresahan, dan kelemahan mereka. lanya juga menunjukkan ketakutan mereka yang amat sangat tentang masa depan entiti berhala. Perjanjian ini bagaikan mereka sudah menduga dan merasa institusi dan kayanya sedang menunggu saat dan masa keruntuhan. Oleh itu wajarlah mereka membuat perhitungan seperti ini. Keterbukaan Rasulullah untuk tidak dipulangkan mana-mana individu yang lari dari Islam untuk menyertai Quraisy, sebenarnya adalah bukti bahawa Rasulullah bergantung dengan usaha-usaha pengukuhan sahsiah umat Islam sepenuhnya. Oleh itu Baginda tidak langsung curiga atau takut dengan syarat ini.

 

KAUM MUSLIMIN BERDUKACITA DAN UMAR BERBINCANG DENGAN NABI (S.A.W)

Apa yang kita bicarakan ialah intipati syarat-syarat perjanjian. Namun demikian terdapat dua fenomena yang membawa kaum muslimin seluruhnya berdukacita amat sangat.

Pertama: Sebelum ini Baginda telah memaklumkan sekalian masyarakat Islam bahawa mereka akan menziarahi Baitullah seterusnya bertawaf disekelilingnnya, tapi mengapa pula kini harus mereka pulang tanpa melaksanakan peribadatan tawaf itu?

Kedua: Sesungguhnya Rasulullah berada di atas kebenaran, dan Allah pula telah menjanjikan penampilan agamanya, tapi kini mengapa pula Rasulullah menerima tekanan Quraisy dan membiarkan Quraisy menjadi superior dalam proses damai ini? Dua gejala inilah yang menjadi titik pertanyaan, keraguan, kesangsian dan waham. Perasaan umat Islam tercabar kerananya, ianya telah mempengaruhi kewarasan untuk berfikir tentang natijah-natijah baik dari syarat-syarat perjanjian ini.

Boleh jadi Saidina Umarlah di antara orang yang paling bersedih, hingga dengannya beliau telah datang menemui Rasulullah untuk bertanya: “Wahai Rasulullah, tidakkah kita ini diatas kebenaran dan mereka di atas kebatilan”. Jawab Rasulullah: “Bahkan”. Kata Umar lagi: “Tidakkah syahid-syahid kita di dalam syurga dan yang mati dikalangan mereka di dalam neraka?” Jawab Rasulullah: “Bahkan”. Kata Umar: “Kalaulah demikian mengapa kita membenarkan kerendahan kepada agama kita, kita hendak pulang pula, kenapa Allah menghukum di antara kita dan mereka sebegini rupa?” Jawab Rasulullah: “Wahai anak al-Khattab! Aku ini Rasulullah, utusan Allah, masakan harus ku menderhakaiNya, Dialah Pembantuku, Dia tidak akan membiarkanku dan mengabaikan daku sama sekali”. Kata Umar:“Tidakkah tuan hamba menceritakan kepada kita semua bahawa kita akan menziarahi Baitullah al-Haram dan bertawaf di sekelilingnnya?” Jawab Rasulullah: “Bahkan! Apakah ku katakan ditahun ini? Jawab Umar: “Tidak”. Kata Rasulullah: “Tetapi kau akan menziarahinya dan bertawaf di sekelilingnya”.

Umar beredar dari situ dengan hati membawa kemarahan untuk menemui Abu Bakr, bila bertemu seraya bersoal-jawab seperti apa yang beliau lakukan dengun Rasulullah dan menegaskan lagi. Jawab Abu Bakr: “Umar! Kau mestilah berpegang dengannya hingga ke akhir hayatmu, demi Allah sesungguhnya Baginda adalah Rasulullah yang berada di atas kebenaran. Kemudian turunlah firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya kami menangkan engkau dengan satu kemenangan yang nyata “
(al-Fath: 1)

Rasulullah menyampaikan ayat ini kepada Umar, maka beliau bertanya: “Wahai Rasulullah apakah ianya kemenangan?” kata Rasulullah: “Ya”. Dengan itu jiwa Umar kembali tenang. Selepas itu Umar menyesal dan berdukacita di atas sikapnya itu, maka kata beliau: Untuk itu maka aku lakukan kerja-kerja amal, terus ku bersedekah, berpuasa, sembahyang, dan memerdekakan hamba-hamba sahaya bagi menggantikan tindakan ku di hari itu, kerana ku takut di atas keceluparan percakapan ku itu, dengan harapan semoga semuanya itu hanyalah untuk kebaikan semata-mata. 

 

MAKA SELESAILAH KRISIS GOLONGAN MUSTADHAFIN

Sekembalinya Rasulullah ke Madinah, Baginda terasa aman seketika suasananya, tiba-tiba salah seorang Islam, yang teraniaya di Makkah dan disiksa terlepas lari dari kurungan Quraisy, beliau dikenali sebagai Abu Basir dari Banu Thaqif sekutu Quraisy, pihak Quraisy segera menghantar dua orang utusannya buat menemui Rasulullah, maka kata utusan itu kepada Rasulullah: “Kami datang ini kerana perjanjian yang kami meteraikan itu”, Rasulullah pun segera menyerahkan Abu Basir kepada dua orang utusan tadi, kedua mereka membawa pulang Abu Basir ke Makkah hingga apabila mereka sampai ke tempat bernama “ZulHulaifah” mereka pun berhenti dan memakan bekalan mereka iaitu buah tamar, kata Abu Basir: “Aku tengok pedang kamu itu istimewa juga”. Beliau pun mencabut pedangnya, dengan berkata: “Memang benar, Demi Allah ianya benar-benar istimewa, aku telah cubanya berulang kali” Kata Abu Basir: “Cuba aku tengoknya”.

Sebaik sahaja beliau memegangnya terus beliau membunuh tuannya. Yang seorang lagi lari hingga sampai ke Madinah, beliau berlari hingga ke dalam masjid, apabila Rasulullah melihatnya Baginda berkata: “Orang ini mendapati sesuatu yang menakutkan beliau”. Apabila sampai di hadapan Rasulullah terus beliau berkata: “Kawanku telah pun dibunuh, dan aku pun hampir-hampir dibunuhnya juga”. Setelah itu Abu Basir pula menyusul tiba lantas berkata: “Wahai nabi Allah, demi Allah kini Allah sudah pun menunai tanggungjawabmu, kerana kau kembalikan ku ke pangkuanmu, nah! sekarang Allah membebaskan daku”. Jawab Rasul: “Duhai ibuku, ini satu angkara pula, inilah pencetus peperangan, seandainya ada seorang lagi…., bila beliau mendengar kata-katanya ini beliau yakin yang Baginda akan menghantar beliau semula kepada pihak Quraisy, dengan itu terus beliau lari dari situ hingga sampai ke kawasan bernama “Saiful Bahri”. Di masa yang sama Abu Jandal bin Suhail terlepas lari dari Makkah, malah terus beliau menyertai Abu Basir hingga terkumpul di sana sebilangan orang Islam yang terlepas lari dari Quraisy semua mereka menyertai Abu Basir. Demi Allah apabila mereka mengetahui ada kafilah Quraisy yang keluar untuk ke negeri Syam terus mereka memintasnya, membunuh orangnya menawan hartanya, akhirnya Quraisy terpaksa mengutus utusan, meminta kasihan belas Rasulullah; iaitu sesiapa yang lari dari Makkah menyertai Baginda, adalah bebas, dengan itu nabi pun memberitahu mereka supaya masuk Madinah.

 

SATRIA-SATRIA QURAISY MEMELUK ISLAM

Dipermulaan tahun ke tujuh (7) Hijrah, selepas perjanjian al-Hudaibiah, Amru bin al-A’as, Khalid bin al-Walid dan Uthman bin Talhah mendapat hidayah memeluk Islam. Setibanya mereka di hadapan Rasulullah, Baginda bersabda: “Ini dia Makkah telah mencampak kepada kita buah hati kesayangannya”.

1 Comment

Leave a Comment