Penangguhan Wahyu

Adapun tempoh penangguhan wahyu, mengikut riwayat Ibn Saad daripada Ibn Abbas yang bermaksud bahawa penangguhan itu adalah beberapa hari, pendapat yang rajih (berat) malah itulah pendapat yang tepat, iaitu setelah dilihat dari beberapa aspek. Manakala pendapat yang masyhur mengatakan yang ianya berlarutan hingga tiga tahun atau dua tahun setengah, ini bukan pendapat yang sahih dari mana-mana sudut pun. Namun bukan di sini ruang untuk kita perlihatkan pendapat tersebut.

Di hari-hari penangguhan wahyu Rasulullah hidup dalam keadaan muram dan berduka, Baginda dilanda kehairanan dan kebimbangan, hal ini telah diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam bahagian kitab al-Tabir dengan nasnya yang bermaksud: Dan Wahyu pun tertangguh beberapa ketika menyebabkan Baginda berduka, mengikut maklumat yang sampai kepada kita, bahawa Baginda tersangat berdukacita, hingga mendorong Baginda berkejar, berkali-kali ke kemuncak bukit, hendak menghumban diri, namun apabila sampai ke kemuncak sana untuk mencampak dirinya, Jibril pun menampilkan diri sambil berkata: Wahai Muhammad! Sesungguhnya engkau adalah utusan Allah yang sebenar. Dengan itu gelora dalam hatinya pun kembali tenang danjiwa kembali tenteram, dengan itu Baginda pulang semula ke rumah, sekali lagi bila wahyu tertangguh kembali pula Baginda dilanda perasaan gundah dan dukacita, berulang pula Baginda ke kemuncak bukit dan sekali lagi Jibril menampakkan dirinya seraya melaung ungkapan yang sama kepada Rasulullah.

Leave a Comment