Pembinaan Semula Kaabah dan Permasalahan at-Tahkim

Dalam usia Baginda tiga puluh lima tahun (35) Quraisy telah bertindak mendirikan semula Kaabah, kerana berlaku keruntuhan pada strukturnya, Kaabah ini sebenarnya satu bangunan tinggi sembilan hasta, sejak zaman Ismail (a.s) tidak berbumbung, pencuri-pencuri telah melarikan harta khazanah di dalamnya. Kaabah telah beberapa kali mengalami kerosakan kerana bangunannya terlalu usang, dindingnya sering retak dan pecah, lima tahun sebelum kebangkitan Rasulullah banjir besar melanda Makkah, airnya yang mengalir deras menuju ke Kaabah, hampir merobohkan bangunan Kaabah itu. Disebabkan oleh kejadian pihak Quraisy terpaksa memperbaharui bangunannya. Demi menjaga kedudukannya, maka mereka bersetuju untuk membangunkannya. Namun tugas tersebut hanya diserahkan kepada mereka yang hanya dikenali sebagai golongan baik, tidak memasukkan perbelanjaan haram, penjualan riba dan orang yang tidak menzalimi orang lain. 

Mereka takut merobohnya, namun al-Walid bin al-Mughirah al-Mukhzumi memulakan perubahan dan setelah mereka melihat beliau tidak terkena sebarang bala, barulah orang-orang lain berani bertindak merobohkannya, dan terus mereka merobohkan bangunan yang lama ini hinggalah sampai ke asas yang dibina oleh Saidina Ibrahim, setelah itu mereka memulakan pembinaan Kaabah, di mana mereka membahagikan ruang-ruang kepada setiap qabilah, setiap qabilah bertanggungjawab membereskan pembinaan bahagian yang dipertanggungjawab kepadannya, semua kerja adalah di bawah seliaan seorang arkitek berbangsa Rom bernama Baqum, setelah bangunan selesai disiapkan ke peringkat “Hajar al-Aswad”, sekali lagi mereka berselisih pendapat siapa orangnya yang berkeistimewaan untuk mengangkat dan meletakkannya ke tempatnya, perbalahan berlarutan hingga ke malam keempat atau kelima, hampir-hampir membawa kepada pertumpahan darah dan peperangan sengit di bumi haram itu, hinggalah Abu Umaiyah bin al-Mughirah al-Makhzumi mengemukakan cadangan kepada mereka, iaitu untuk menerima penyelesaian dari orang yang pertama memasuki ke dalam masjid, melalui pintu besar dan beliaulah orang yang akan menjadi hakim, dengan itu mereka yang terlibat pun bersetuju dengan cadangan itu, dengan kehendak Allah, Rasulullahlah orang yang pertama memasuki masjid menerusi pintunya itu, mereka pun melaung itu pun al-Amin, kami semua bersetuju dengan penyelesaian Muhammad. 

Setibanya Baginda ke majlis mereka, mereka pun menceritakan peristiwa sebenarnya yang terjadi lantas Baginda meminta sehelai kain, lalu diletaknya “Hajar al-Aswad” di atas hamparan kain dan meminta setiap kepala qabilah memegang hujung kain seterusnya meminta mereka mengangkatnya, sehingga apabila sampai ke tempatnya maka Baginda sendiri sekali lagi meletakkan dengan tangan Baginda ke tempatnya yang asal, demikianlah penyelesaian masalah dengan cara yang bijak yang dapat diterima oleh semua kaum. 

Kerana kesuntukan perbelanjaan pihak Quraisy terpaksa menangguhkan pembinaan yang disebelah utara, lebih kurang enam hasta, kawasan yang dikenali sebagai “Hijr” dan “al-Hutaim” buat sementara dipasang pintu disitu supaya tidak ada orang memasuki ke dalamnya, kecuali yang berhajat, setelah bangunan mencecah lima belas hasta maka di dirikan enam tiang untuk meletak atapnya. Apabila selesai pembinaan Kaabah, maka kelihatanlah bentuknya yang seakan-akan empat segi padu dengan ketinggian lima belas meter, panjang sudut di mana terletaknya Hajar al-Aswad dan yang setentang dengannya lalah sepuluh meter kali sepuluh meter ketinggian aras letaknya Hajar al-Aswad dari dataran bertawaf setinggi satu perpuluhan lima puluh meter (1.50 meter) manakala lawang pintu setinggi dua betas meter, samalah dengan pintu berukuran dua belas meter ianya dilingkungi dengan tembok dari bawah purata tingginya perpuluhan dua puluh lima meter, lebarnya perpuluhan tiga puluh lima meter, tembok berkenaan dikenali sebagai al-Shazarwan yang merupakan dasar asal al-Kaabah, tetapi Quraisy mengabaikannya. 

SEJARAH RINGKAS SEBELUM KEBANGKITAN 

Diri Rasulullah merupakan jambangan yang tersusun padanya seluruh keistimewaan dan kebaikan yang terdapat pada manusia, Baginda adalah contoh pemikiran unggul lagi jitu, dengan pandangan yang waras, kecerdikan dan kebijaksanaan tersendiri, ketepatan mencari jalan dan sasaran, urusan Baginda digarapkan melalui sifat berdiam yang panjang disokong dengan pengamatan dan keseriusan berfikir serta sentiasa berpihakkan kebenaran. Kesuburan berfikir dan keheningan naluri semulajadi memampukan Baginda membaca dan mencerakinkan pita-pita hidup, pergolakan manusia dan arus-arus perjalanan jamaah-jamaah. Baginda menolak segala bentuk khurafat dan menghindar diri darinya, namun Baginda tetap berinteraksi dengan manusia ramai dengan kewaspadaan dan basirah terhadap sebarang tindakan Baginda dan tindakan mereka. 

Sekiranya didapati kebaikan tanpa teragak-agak Baginda menyertai mereka, kalau tidak Baginda akan menyusur suasana uzlahnya. Tidak pernah Baginda menjamah khamar, tidak pernah memakan sembelihan berhala. Tidak pernah menyertai perayaan-perayaan berhala atau eksponya, sejak awal-awal lagi Baginda memang membencikan penyembahan-penyembahan yang karut dan batil ini, hingga tidak ada suatu pun yang paling dibenci Baginda selain dari berhala-berhala. Baginda tidak dapat menahan kesabarannya untuk mendengar orang bersumpah dengan berhala al-Lata dan al-Uzza. 

Tidak syak lagi kuasa takdir Allah memagar Rasulullah dengan inayah jagaanNya, diketika mana naluri keinginan kemanusiaan Baginda merangsang Baginda dari dalam untuk mengambil habuannya dari kelazatan duniawi. Jika perasaan Baginda senang menerima sebahagian dari resam-resam yang tercela, di ketika itu pula penjagaan Ilahi akan berperanan menghalang perasaan tadi, mengikut riwayat Ibn al-Athir “Sabda Baginda: Aku tidak pernah berhasrat dengan apa yang dilakukan oleh orang jahiliah selain dua kali sahaja, namun kesemuanya Allah s.w.t menghalang daku dari meneruskannya, lepas itu tidak pernah aku idam-idamkan lagi, hinggalah Allah mengurniakan daku dengan risalahNya. Di suatu malam ku telah berkata kepada budak suruhan yang mengembala ternakan bersama ku di pinggir Makkah: Boleh tak kalau kamu tolong menjaga kambing-kambingku ini, sehingga dapat ku masuk ke kota Makkah dan berjaga malam seperti pemuda-pemuda lain. Jawab budak itu, Ya! kau boleh pergi. Daku pun keluar sehingga apabila aku sampai ke rumah pertama ku pun mendengar alunan alat permainan, ku bertanya orang di situ: Apa keramaian semua itu? Jawab mereka itulah keramaian majlis perkahwinan Si Fulan dengan perempuan Fulan. Daku pun duduk mendengarnya, tetapi Allah telah menutupkan telingaku dan daku pun terlena. Kepanasan matahari telah mengejutkan ku dari tidur tadi. Bila ku pulang menemui teman ku, di mana beliau bertanya apa ceritanya, ku pun mencerita segala-galanya, hal yang sama ku cuba di suatu malam yang lain, namun setelah ku sampai ke Kota Makkah hal yang sama terjadi pada ku selepas itu daku tidak pernah mencuba lagi. 

Al-Bukhari telah meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah dengan katanya: Ketika pembinaan semula Kaabah, Rasulullah telah turut serta bersama al-Abbas, kerja mereka mengangkut batu-batu. Al-Abbas berkata kepada Rasulullah: Sangkutkan kain kau itu ke tengkok supaya dapat menghindar dari terkena batu-batu, bila Baginda berbuat demikian Baginda terus pengsan dan jatuh ke tanah, dua matanya terjegil ke langit, setelah sedar terus Baginda melaung, kain ku! kain ku! lalu dipakaikan kainnya ke badannya, dalam satu riwayat lain mengatakan: Selepas kejadian itu tidak lagi dilihat aurat Baginda. 

Rasulullah mempunyai keistimewaan di kalangan kaumnya, dengan akhlak-akhlak terpuji, pekerti-pekerti mulia dan sifat-sifat terpuji. Baginda tokoh termulia di kalangan bangsanya, elok perangai, tinggi sikap kejiranan, lapang kesabarannya, benar percakapan, lemah lembut pergaulan, bersih jiwa, murah pemberian, mulia pekerjaan, menepati janji, beramanah dan bertanggungjawab hingga mereka menggelarnya sebagai “al-Amin ” kerana Baginda memiliki pekerti dan sifat-sifat yang disenangi. Baginda adalah sepertimana yang disifatkan oleh Khadijah sebagai: 

“Seorang yang sentiasa menanggung beban, membantu orang yang kesempitan, memberi makan kepada tetamu dan menolong menegak kebenaran “.

Leave a Comment