Nabi Idris as.

Nabi Idris a.s. adalah salah seorang Nabi yang disebut dalam Al – Quran. Allah berfirman dalam Surah Maryam ayat 56 – 57 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad! Kisah Idris di dalam al-Quran. Sesungguhnya dia adalah orang yang benar dan seorang nabi. Kami telah mengangkat darjatnya ke tingkatan yang lebih tinggi.”

Dalam ayat tersebut, Nabi Idris a.s. dipuji oleh Allah s.w.t.. Beliau disebut Allah s.w.t. sebagai Nabi dan orang yang benar (as-siddiq). Sebagaimana disebutkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau adalah penghulu kaumnya.

Ibnu Ishak mengatakan bahawa Nabi Idris a.s.adalah orang pertama yang boleh menulis menggunakan pena. Para ahli tafsir mengatakan bahawa Nabi Idris a.s. adalah moyang kepada Nabi Nuh a.s. dan telah menjalani kehidupan selama 380 tahun. Beliau adalah orang pertama yang menulis meggunakan pena dan memakai baju yang berjahit bahkan beliau adalah orang yang mula-mula menggunakan kulit sebagai pakaian.

 

Allah mengangkat darjat Nabi Idris a.s.

Terdapat firman Allah swt yang bermaksud, “Dan Kami mengangkat (darjat)nya ke tingkat yang lebih tinggi”. Penegasan ayat itu seperti dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu Baginda melakukan Isra’ dan Mikraj.  Hadis riwayat Bukhari dan Muslim mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. berjumpa dengan Nabi Idris di kawasan langit ke-empat.

Suatu ketika, salah satu malaikat pilihan Allah datang kepada Nabi Idris dan beliau berkata: “Allah menyampaikan wahyu kepadaku begini dan begini”. Maka malaikat itu mengajaknya berbincang-bincang, sehingga amalnya bertambah. Beliau membawa Nabi Idris di antara kedua sayapnya lalu dibawa naik ke langit.

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahawa ketika Nabi Idris berada di langit ke-empat, Nabi Idris berkata: “Tolonglah tanyakan kepada Malaikat Maut, berapa lama lagi baki usiaku?”

Malaikat bertanya, sementara Nabi Idris masih bersamanya: “Berapakah lama sisa usianya?”

Malaikat Maut menjawab: “ Aku tidak tahu. Cuba aku lihat dulu”.

Malaikat Maut memerhatikannya lalu berkata : “Engkau baru sahaja menanyakan sisa umur seseorang yang masanya tinggal sebentar sahaja lagi.”

Malaikat yang mengendong Idris melihat ke bahagian bawah sayapnya. Beliau cuba melihat Nabi Idris, ternyata pada ketika dilihat itu, Idris telah wafat tanpa diketahuinya. Bagaimanapun, menurut pengamatan Ibnu Kathir, riwayat itu termasuk kisah Israiliyat dan sebahagian daripadanya ditolak kebenarannya.

Ibnu Abi Najih mengatakan terdapat riwayat yang diterima dari Mujahid mengenai makna firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan Kami angkat darjatnya ke tempat yang tinggi”. Dikatakan bahawa Idris a.s. diangkat ke langit dalam keadaan hidup seperti Nabi Isa a.s. yakni tidak dalam keadaan mati dan jika dikehendaki beliau tidak akan mati hingga sekarang tetapi masalah ini memerlukan pengkajian yang lebih terperinci.

Antara perintah dan saranan yang disampaikan Nabi Idris kepada kaumnya adalah:

1.       Apabila Allah menyeru kamu sekalian, maka niatlah dengan ikhlas, kerjakan puasa, solat dan segala yang diperintahkan ke atas kamu.

2.       Jangan ada perasaan dengki terhadap orang lain yang bernasib baik kerana sebenarnya harta yang mereka miliki itu hanya sedikit sahaja.

3.       Mengumpul harta secara berlebihan tidak memberi manfaat sama sekali terhadap diri seseorang.

4.       Kehidupan seseorang itu hendaklah mengandungi hikmah.

 

Sumber :

Buku  Kisah Para Nabi, Pengajaran dan Iktibar

Karya Asal: Qishash Al-Anbiya’ Ibratun li-Ulil Albab

(Ibnu Kathir)

Leave a Comment