Jenis-jenis Wahyu

Sebelum kita menghuraikan secara terperinci mengenai penghidupan sebagai seorang rasul dan nabi, kita berpendapat ada baiknya terlebih dahulu kita mengenali jenis-jenis wahyu yang merupakan sumber risalah dan bekalan dakwah, Ibnu al-Qayyim telah menyebut peringkat-peringkat wahyu:

Pertama: Mimpi benar, ianya adalah permulan wahyu kepada Rasulullah.

Kedua: Sesuatu yang dicampakkan oleh Malaikat ke dalam dadanya dan hati naluri Rasulullah tanpa melihatnya, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah (s.a.w): Sesungguhnya Jibril telah mencampak ke dalam hatiku bahawa: Sesuatu jiwa itu tidak akan mati kecuali setelah genap rezekinya, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, dan berusahalah dengan baik di dalam usaha mencari rezeki, dan jangan sekali-kali dek kelewatan rezeki itu ianya mendesak kamu berusaha secara memaksiati Allah, kerana sesungguhnya sesuatu di sisi Allah itu tidak boleh diperolehi kecuali dengan mentaatinya.

Ketiga: Rasulullah didatangi Jibril yang menjelma dirinya sebagai seorang lelaki, dan berblcara dengan Baginda di mana Rasulullah menyedari dan mengingati segala apa yang diperkatakan kepadanya, di dalam peringkat ini para sahabat pun turut dapat melihat Jibril pada ketika-ketikanya.

Keempat: Rasulullah didatangi melalui bunyian seperti deringan loceng, cara ini yang paling berat bagi Rasulullah untuk menerimanya, melaluinya Jibril turut menyertainya, hinggakan dahi Baginda mencucur keringat walaupun di hari yang terlalu dingin, malah tunggangannya sekali turut bersimpuh ke bumi. Di suatu ketika wahyu dalam bentuk ini turun kepada Rasulullah (s.a.w) sedang pahanya di atas paha Zaid bin Thabit, Zaid terasa berat bagaikan nak pecah.

Kelima: Baginda melihat malaikat Jibril dalam bentuk parasnya yang di ciptakan, lalu diwahyukan kepadanya sekehendak Allah, cara ini terjadi kepada Baginda dua kali, seperti mana Allah menyebutnya di dalam surah al-Najm.

Keenam: Tanpa hijab: sebagaimana yang diwahyukan kepada Baginda semasa Baginda berada di petala langit di malam Mikraj, Baginda menerima perintah solat dan sebagainya.

Ketujuh: Percakapan Allah secara langsung kepadanya tanpa perantaraan Malaikat seperti mana Allah berbicara dengan Musa bin Imran, jenis ini sabit kepada Musa a.s di dalam al-Quran, juga sabit kepada Rasulullah di dalam peristiwa al-Isra’.

Sesetengah ulama menambahkan peringkat kelapan iaitu percakapan Allah bersemuka dengan rasulnya tanpa hijab, ini adalah masalah khilafiah di antara salaf dan khalaf.’ Berakhir sudah, dengan ringkasan singkat mengenai peringkat permulaan hingga kelapan penurunan wahyu.

Leave a Comment