Hajjah al-Wida’

Tugasan dakwah Rasulullah kiranya sudah sampai ke garisan penamat, penyampaian risalah pun sudah dilaksanakan, penegakan sebuah masyarakat baru yang berasaskan pemangkinan konsep al-Uluhiyah dan ketuhanan kepada Allah dan penafiannya dari yang lain-lain berdasarkan risalah Muhammad (s.a.w) menjadi kenyataan dan kini Rasulullah seakan-akan terdengar suatu suara dari dalam hati kecilnya bagaikan memberitahu bahawa persinggahan Baginda di dunia ini sudah sampai kepada tempohnya yang ditetapkan itu. Malah hal ini dirasainya semasa Baginda mengutus Muaz bin Jabal ke negeri al-Yaman sebagai Gabenor di tahun kesepuluh (10) Hijrah. Masa itu Baginda telah bersabda dengan katanya yang bermaksud: ” Wahai Muaz! Sebenarnya engkau mungkin tidak akan bertemu lagi dengan aku selepas tahun ini dan semoga kau akan melalui di masjidku ini dan di kuburku ini “. Di sini Muaz menangis tersedu-sedu kerana berpisah dengan Rasulullah (s.a.w).

Dengan izin Allah, Rasulullah (s.a.w) berkesempatan melihat hasil kerja dakwahnya setelah mengalami berbagai kepahitan dan kesusahan selama dua puluh tahun lebih. Di hujung bandar Makkah, Rasul berkumpul bersama-sama perwakilan-perwakilan qabilah Arab, menyampaikan kepada mereka syariat-syariat dan hukum hakam Islam. Baginda mengambil penyaksian mereka, sebagai memperakui bahawa Baginda telahpun menyampaikan amanah dan tugasan-tugasan, melaksanakan risalah yang dipertanggungjawab dan menasihati sekalian umat.

Di hari ini Rasulullah mengisytiharkan azamnya untuk menunai haji mabrur yang bersejarah itu, al-Madinah kini dibanjiri oleh berduyun-duyun manusia, kesemua mereka berhasrat menyertai dan mengikuti Rasulullah di dalam peribadatan hajinya. Pada hari Sabtu empat hari terakhir bulan Zulkaedah, Baginda telah bersiap dengan tunggangannya, mengemas dirinya, memakai minyak rambut dan menyikatnya, mengenakan pakaian dan rida’nya dan menggalas senjatanya. Selepas sembahyang Zohor, Baginda terus bergerak hinggalah sampai Zul Hulaifah sebelum masuk waktu Asar. Di sana Baginda menunaikan solat sunat dua rakaat dan bermalam. Keesokkan harinya selepas solat Subuh, Baginda memberitahu kepada semua sahabat yang hadir: “Malam tadi aku telah didatangi pemberitahuan dari Tuhanku yang telah menyebut: Bersembahyanglah kamu di lembah yang penuh berkat ini dan katakanlah wahai Muhammad: Umrah dikerjakan bersama-sama Haji”.

Sebelum Baginda menunaikan solat Zohor di hari itu, terlebih dahulu Baginda bersuci dan mengenakan pakaian ihram, kemudian Aisyah menyapukan minyak wangi dan kasturi pada diri Rasululah. Aisyah menyapukan di badannya dan kepalanya hingga ternampak kilauan minyak kasturi di rambut dan di janggutnya. Baginda membiarkan tanpa membasuhnya dan kemudian menunaikan solat Zohor dua rakaat. Setelah selesai solat, Baginda terus bertahlil di tempat sembahyangnya sebagai memulakan ibadat haji dan umrah, sebagai haji qiran. Setelah itu barulah Baginda bergerak dengan menunggangi untanya yang bernama al-Qaswa’, di situ Baginda bertahlil lagi sedang untanya terus bergerak.

Baginda meneruskan perjalanan suci ini hingga hampir memasuki Makkah, maka Baginda bermalam di Tawa. Keesokkan harinya Baginda memasuki Makkah selepas bersembahyang Subuh, di pagi hari Ahad tanggal empat hari terakhir bulan Zulhijjah tahun kesepuluh (10) Hijrah. Selama lapan malam Baginda mengambil masa untuk perjalanannya yang sederhana itu dan apabila Baginda memasuki al-Masjid al-Haram terus Baginda bertawaf di sekeliling Kaabah dan melakukan Saei di antara al-Safa dan al-Maruah, tanpa merombak pakaian ihramnya, kerana Baginda mengerjakan hajinya di kali ini secara qiran berserta dengan binatang sembelihannya. Kemudian Baginda singgah di al-Hajjun tanpa mengulangi tawaf melainkan tawaf rukun haji.

Baginda menyuruh para sahabat yang tidak mempunyai binatang sembelihan supaya menjadikan ihram mereka itu sebagai umrah, dengan bertawaf di sekeliling Kaabah, dan bersaie di Safa dan Maruah, kemudian menukar pakaian ihram kepada pakaian biasa, tetapi para sahabat teragak-agak untuk melakukan suruhan Baginda itu. Justeru itu Rasulullah menegaskan dengan katanya: “Seandainya aku maju ke hadapan dengan suatu tindakan, tak akan pula ku berpatah balik atau menarik balik qurban ku ini. Dan kalaulah aku tidak mempunyai binatang qurban pasti aku merombak pakaian ihram ku ini. Ayuh! Kamu yang tidak memiliki binatang sembelihan, segeralah rombak pakaian ihram”. Dengan itu semua mereka pun mematuhi arahan Rasulullah.

Di hari kelapan Zulhijjah yang dikenali juga sebagai hari al-Tarwiyah, Baginda bergerak menuju ke Mina. Di Mina Baginda telah menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh. Baginda berhenti di situ beberapa ketika hingga matahari naik barulah Baginda bergerak. Sampai di Arafah di kawasan Namirah, Baginda mendapati sebuah khemah sudah pun didirikan untuknya di situ. Baginda pun singgah sehingga apabila matahari terbenam di ufuk langit Baginda memerintah supaya di bawa kepadanya tunggangan al-Qaswa’, dari situ Baginda pun bergerak hingga sampai ke Batn al-Wadi. Di sana orang ramai telahpun berkumpul sebanyak seratus ribu dan dua puloh empat orang atau seratus ribu empat puluh empat orang. Rasulullah berdiri di hadapan mereka dan terus membuat satu ucapan yang lengkap, mafhumnya;

“Wahai sekalian manusia, dengarlah kata-kataku ini, sebenarnya aku tidak tahu berkemungkinan aku tidak akan menemui kamu kalian selama-lamanya selepas tahun ini. Sesungguhnya darah kamu dan harta kamu adalah haram ke atas kamu sama seperti haramnya hari kamu ini di bulan kamu ini dan bumi kamu ini.

Ketahuilah bahawa semua perkara mengenai urusan jahiliah tertanam di bawah kaki ku ini, darah-darah jahiliah adalah tertanam dan darah jahiliah yang mula-mula sekali yang ku hapuskan ialah darah Ibn Rabiah bin al-Harith, kejadiannya terjadi di mana beliau ini dibunuh semasa sedang mengambil susuan dari ibu susuannya Banu Saad, dan riba jahiliah juga dihapuskan, dan riba pertama yang ku hapuskan ialah riba Abbas bin Abdul Mutalib malah kesemuanya dihapuskan sama sekali.

Bertaqwalah kamu kepada Allah demi melaksanakan hak kaum wanita, lantaran kamu telah mengambil mereka sebagai isteri dalam bentuk amanah Allah, kamu halal berseketiduran dengan mereka melalui sebutan nama Allah, dan kaum wanita pula berkewajipan menjaga supaya tidak seorang pun manusia yang kamu bend dibenarkan masuk ke bilik kamu. Sekiranya mereka berbuat demikian maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak parah, ke atas mereka, kamu kewajipan memberi rezeki dan pakaian dengan baik.

Dan sesungguhnya telah ku tinggalkan pada kamu sesuatu di mana kamu tidak akan sesat selepas ini seandainya kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah.

Wahai kalian manusia, sesungguhnya tiada nabi selepas ku ini, dan tiada umat lain selain dari kamu, beringatlah supaya kamu menyembah Tuhan kamu, tunaikanlah fardu sembahyang lima waktu, berpuasalah kamu di bulan Ramadhan, tunaikan wkat harta kamu dengan penuh kerelaan hati, tunaikan haji ke rumah Tuhan kamu, dan taatilah pemerintah-pemeritah kamu nescaya masuklah kamu ke dalam syurga Tuhan kamu.

Kamu semua akan ditanya esok mengenai perihal diriku, maka apa yang nak kamu jawab? Maka kata mereka semua: Kami menyaksikan bahawa engkau telahpun menyampaikan, menunaikan dan menasihati kami”.

Dengan mengangkat jari telunjuknya ke arah langit dan berkata ke hadapan orang ramai: Ya Allah Ya Tuhanku, Persaksikanlah. (sebanyak tiga kali.)

Adapun yang bertanggungjawab melaung dan menyampaikan ucapan Rasulullah kepada orang ramai di padang Arafah ialah Rabi’ah bin Umaiyah bin Khalaf. Sebaik sahaja selesai Rasulullah menyampaikan ucapannya itu turunlah firman Allah yang yang bermaksud:

Di hari ini telah Ku sempurnakan hagi kamu agama kamu dan Kita lengkapkan ke atas kamu nikmatKu, dan Ku meredhai bagi kamu Islam sebagai Deen “

(al-Maaidah: 3)

Semasa Umar mendengar firman Allah itu beliau terus menangis dan setelah ditanya, mengapa beliau menangis? Jawab beliau: “Kerana selepas kesempurnaan akan menyusul pula kekurangan”.

Selepas ucapan Rasulullah itu Bilal pun melaungkan azan dan iqamah untuk bersembahyang Zohor. Kemudian beliau iqamah pula untuk bersolat Asar tanpa melakukan sebarang solat lain di antara kedua-duanya. Sesudah itu Baginda menaiki kenderaannya dan bergerak hingga sampai ke suatu tempat perhentian dengan membiarkan perut untanya al-Qaswa’ menyentuh ketulan-ketulan batu di situ, manakala saf pejalan-pejalan kaki berjalan tidak melebihi setakat hadapannya sahaja. Di situ Rasulullah mengadap ke arah qiblat, Baginda terus berdiri hinggalah matahari terbenam di ufuk langit dan sinaran kuning beransur-ansur hilang. Usamah pun menghalau unta Rasulullah hinggalah sampai ke Muzdalifah, di sana Rasulullah menunaikan Maghrib dan al-Isya’ dengan satu azan dan dua iqamah tanpa membaca apa-apa tasbih pun di atara kedua-dua solat itu. Di situ Rasulullah beristirehat, dan tidur hingga ke Subuh. Baginda pun menunaikan solat Subuh setelah diazan dan diiqamah, sesudah itu Baginda menaiki unta al-Qaswa’ dan berjalan hingga sampai ke kawasan al-Haram (masyh’ar al-Haram), menghadapkan muka Baginda ke arah kiblat sambil berdoa, bertakbir, bertahlil dan bertahmid. Baginda berdiri di situ hinggalah habis waktu pagi.

Rasulullah bergerak lagi dari al-Muzdalifah ke Mina sebelum matahari naik. Di sini al-Fadhil bin Abbas mengikuti dari belakang tunggangan Rasulullah hinggalah sampai ke Batn Mahsar, dengan melalui jalan tengah yang menuju ke Jamrah al-Kubra. Apabila Baginda sampai di sana terdapat sepohon kayu yang dikenali sebagai Jamrah al-Aqabah. Baginda terus melontar tujuh anak batu sambil bertakbir disetiap lontarannya dari Batan al-Wadi. Sesudah itu Baginda menuju ke tempat sembelihan. Sebanyak enam puluh tiga (63) ekor unta Rasulullah sembelihkan kemudian diserahkannya kepada Ali bin Abi Talib untuk menyembelih yang bakinya, iaitu tiga puluh tujuh (37) ekor unta menjadi bilangan kesemuanya seratus ekor unta. Termasuk di antaranya sembelihan tadi ialah unta qurbannya. Sesudah selesai penyembelihan Baginda menyuruh supaya diambil serba sedikit daging dari setiap sembelihan dan dimasaknya dalam sebuah periuk. Setelah masak Baginda dan Ali memakan sedikit dari masakan dan mencuba kuahnya.

Kemudian Rasululah (s.a.w) menunggang untanya dan bergerak hingga sampai ke Kaabah, di sana Baginda bersembahyang Zohor, sesudah itu menziarahi orang-orang Banu Abdul al-Muttalib yang menjaga air zam-zam dan memberi minum kepada penziarah sekalian. Apabila melihat keadaan itu lantas Baginda berkata: “Ayuh! Rebutkan Banu Abdul al-Muttalib, kalau tidak ditakuti orang ramai mengatasi kamu pasti aku turut merebutnya bersama-sama kamu, justeru itu maka hadirin pun menghulurkan kepada Baginda setimba air dan Rasulullah (s.a.w) pun bersenang hati meminum darinya.

Di hari penyembelihan iaitu hari kesepuluh Zulhijjah, selepas waktu Dhuha Baginda membuat satu ucapan dari atas belakang baghalnya, “Syahba” manakala Ali bin Abi Talib menyampaikannya kepada orang ramai. Sidang hadirin ada yang duduk dan ada yang berdiri. Di dalam khutbahnya ini Baginda telah mengulangi beberapa perkara yang telah Baginda ungkapkannya kelmarin.

al-Syaikhan (dua orang Syeikh al-Hadith: al-Bukhari dan Muslim) telah meriwayatkan dari Abi Bakarah dengan katanya: Bahawa Rasulullah (s.a.w) telah menyampaikan kepada kami dihari al-Nahr – (penyembelihan) dengan sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya masa sudah pun beredar ke paksinya yang asal menepati dengan putaran di hari penciptaan langit dan bumi: Setahun dua belas bulan, empat darinya bulan haram, tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. manakala sebulan lagi ialah bulan Rejab Mudhar. yang berida di antara Jamadilakhir dan Syaaban “

Sabdanyanya lagi: Ini bulan apa ? Jawab kami: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui, Rasulullah (s.a.w) pun berdiam seketika, hinggalah kami menyangka Baginda akan menamakannya dengan satu nama lain. Tidaklah, ini bulan Zulhijjah? Jawab kami: Bahkan. Tanya Baginda lagi: Negeri ini, negeri apa? Jawab kami: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Sabda Baginda: Tidakkah, negeri ini dikenali sebagai “al-Baldah” ? Kata kami semua: Bahkan. Tanya Baginda lagi. Kita ini di hari apa? Kata kami; Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda berdiam sejurus hingga kami menyangka Baginda akan menukar kepada nama baru. Kemudian sabda Baginda: Tidakkah hari ini hari al-Nahr hari sembelihan qurban?. Jawab kami: Bahkan. Seterusnya Baginda bersabda:

Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan maruah kamu adalah haram di atas kamu sekalian, sama seperti haramnya hari kamu ini, di bumi kamu ini dan di bulan kamu ini. “Dan kamu akan menemui Tuhan kamu di mana Tuhan kamu akan menyoal kamu mengenai kerja-kerja kamu, beringatlah supaya jangan sekali-kali kamu menjadi sesat selepas pemergian ku nanti di mana sebahagian kamu berbunuhan sesama sendiri”

Tidakkah telah ku sampaikan? Jawab mereka: Ya!. Kata Rasululah (s.a.w): Ya Allah Ya Tuhanku persaksikanlah, hendaklah yang hadir di antara kamu ini menyampaikan kepada yang tidak hadir. Kerana boleh jadi yang menyampaikan itu lebih menyedari dari si pendengar”

Dalam satu riwayat yang lain bahawa Baginda bersabda di dalam ucapannya yang bermaksud:

Beringatlah, tiada siapa pun melakukan kesalahan kecuali kesalahan itu mengena ke atas dirinya. dan beringatlah tiada siapa pun melakukan kesalahan ke atas anaknya, dan tiada siapa pun di kalangan anak-anak melakukan kesalahan ke atas bapanya. Ingatlah bahawa Syaitan telah berputus asa dari ianya disembah di negeri kamu ini, tetapi ia akan memperolehi ketaatan dari kamu melalui kerja-kerja kamu yang kamu memperkecil-kecilkannya. Dengan itu syaitan akan bersenang hati dengannya “

Rasulullah tinggal di Mina sepanjang hari-hari tasyrik, mengerjakan ibadat dan mengajar hukum-hukam syariat, membuat tazkirah, membetulkan ajaran-ajaran hidayat dari ajaran Ibrahim, menghapuskan syirik dan kesan-kesannya. Rasulullah (s.a.w) juga membuat penyampaiap di sesetengah hari-hari tasyrik, di mana Abu Daud dengan. sanad hadith hasan, riwayat Sarra’ binti Nubhan telah berkata: Rasulullah (s.a.w) telah memberi ucapannya di hari tasyrik itu dengan katanya: Tidakkah hari ini, hari tengah di antara hari-hari tasyrik. Ucapan Rasulullah itu seperti ucapannya di hari “al-Nahr”ucapan Baginda itu adalah selepas pcnurunan surah al-Nasr.

Di hari al-Nafar al-Thani iaitu hari ketiga belas Zulhijjah, Rasulullah (s.a.w) keluar dari Mina bergerak hingga ke tanah tinggi Banu Kinanah di ,iuatu kawasan lapanga. Baginda menghabiskan baki hari di situ hingga ke malamnya di mana Rasulullah (s.a.w) telah menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isya’. Setelah itu Rasulullah berbaring seketika, kemudian bangun dan bergerak menuju ke Kaabah, di sana Baginda melakukan tawafal-wida’.

Setelah selesai mengerjakan ibadat hajinya, Rasulullah (s.a.w) menggesa penunggang-penunggang pulang ke Madinah al-Mutahharah. Gesaan ini dibuat bukanlah kerana hendak memberi kesempatan untuk mereka mengambil peluang beristirehat tetapi adalah untuk menyambung dan meneruskan kembali perjuangan dan pertarungan untuk Allah dan ke jalan Allah.

 

UNIT TERAKHIR PENGHANTARAN .

Sikap keangkuhan kerajaan Rom sukar untuk menerima kehadiran Islam di arena penghidupan inilah yang membawa Rom membunuh pengikut-pengikutnya yang memeluk agama Islam, sebagaimana tindakannya ke atas Farwah bin al-Juzami Gabenor perlantikan Rom untuk daerah Maan, dibunuh kerana memeluk Islam.

Baginda melihat serius sikap Rom yang menyombong dan keras kepala tidak menentu, lantaran itu Rasulullah segera menyediakan satu angkatan yang besar pada bulan Safar tahun kesebelas (11) Hijrah, di mana Usamah bin Zaid telah diberi tanggungjawab untuk mengepalai angkatan ini. Baginda memerintah supaya Usamah memasuki perbatasan al-Balqa’ dan al-Darom di bumi Palestin bertujuan mengugut Rom dan mengembalikan kepercayaan bangsa Arab yang bersempadan dengan Rom, supaya mereka mengetahui bahawa kebiadapan dan keterlanjuran Rom itu tidak dibiar berlaku begitu sahaja disamping mengikis sindrom kononnya memeluk Islam hanya membawa kepada kematian semata-mata.

Orang ramai menyebut-nyebut tentang Usamah bin Zaid kerana beliau merupakan pemimpin tentera Islam yang masih muda, malah mereka mengharapkan supaya diperlewatkan sedikit penghantarannya. Di sini Rasulullah (s.a.w) mengulas dengan sabdanya yang bermaksud:

“Sekiranya kamu mempersoalkan kepimpinannya bererti kamu mempersoalkan kepimpinan bapanya yang terdahulu, demi Allah, meskipun kepimpinan dipertikaikan namun beliau adalah layak untuk tugas berkenaan, bapanya yang terdahulu adalah orang kesayangan ku, dan beliau ini juga adalah di antara orang kesayangan ku selepas bapanya yang terdahulu”.

Dengan itu orang ramai pun mula berhimpun di sekeliling Usamah menyertai perbarisan tenteranya, akhirnya mereka semua bergerak hingga sampai dan singgah di “al-Jaraf’ satu Farsakh jaraknya ke Madinah. Semasa tentera Islam di sana, mereka mendapat berita mengenai kesakitan yang dialami oleh Rasulullah (s.a.w), berita ini memaksa mereka teragak-agak untuk meneruskan pergerakan ini, supaya mereka dapat mengetahui ketetapan Allah itu. Dengan izinNya, Allah mentakdirkan tentera pimpinan Usamah ini merupakan penghantaran pertama yang dilakukan semasa pemerintahan Abu Bakr al-Siddiq.

Leave a Comment