Bertemu Dengan Pendita Buhaira

Setelah usia Rasulullah meningkat dua belas tahun, ada yang mengatakan dua belas tahun dua bulan sepuluh hari, Baginda keluar belayar bersama Abu Talib untuk berniaga di negeri Syam, sehingga apabila sampai ke Basrah, yang merupakan sebahagian dari Syam di dalam daerah Hawran, namun pada ketika itu Basrah adalah salah sebuah negeri, di daerah negeri Arab di bawah taklukan Rom, di sana terdapat seorang paderi bernama Jarjis yang dikenali sebagai Buhaira.

Setibanya rombongan ke sana,”Buhaira” keluar untuk menemui mereka, dan memuliakan mereka sebagai tetamu, tapi ini bukan satu kebiasaannya, kerana sebelum ini beliau tidak pernah keluar untuk menemui sesiapa, beliau mengenali Rasulullah dengan segala sifat-sifatnya. Semasa beliau memegang tangan Baginda, terus beliau berkata: Inilah penghulu dunia sejagat, inilah orang yang diutuskan Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam. Kata Abu Talib: Dari mana maklumat ini tuan perolehi? Jawab beliau: Tahukah kamu, bahawa semasa kamu mendekati “al-Aqabah” tidak ada batu dan pokok-pokok pun yang tidak tunduk sujud kepadanya, sujud seperti ini hanya berlaku kepada seorang nabi sahaja, dan aku kenali pada Baginda “Khatam al-Nubuwah” penutup kenabian, ianya terletak di belakang Baginda di bawah tulang dayung bentuknya seperti epal, semua sifat-sifat Baginda tersebut di dalam kitab-kitab kami, seterusnya beliau meminta supaya Abu Talib membawa Muhammad (s.a.w) pulang ke Makkah, dan jangan dibawanya ke negeri Syam kerana ditakuti tindakan jahat Yahudi, oleh itu Abu Talib mengirim Rasulullah untuk berpatah balik ke Makkah bersama-sama dengan beberapa orang suruhannya.

Leave a Comment