Bai’ah Aqabah 2

Pada musim haji tahun ketiga belas kebangkitan Baginda, bersamaan Jun 622 Masihi, telah datang ke Makkah rombongan seramai tujuh puluh orang lebih, kaum muslimin penduduk Yathrib bersama-sama kumpulan haji musyrikin dalam program penunaian rukun haji. Kendatipun kaum muslimin yang sedang dalam perjalanan mereka itu, tetap tertanya-tanya sampai bila agaknya mereka akan membiarkan Rasulullah di Makkah menjadi buruan kafir Quraisy dan diugut keselamatannya.

Sebaik sahaja mereka tiba di Makkah, mereka telah membuat beberapa pertemuan sulit dengan Rasulullah, berakhir dengan persetujuan kedua belah pihak untuk mereka bertemu lagi di pertengahan hari-hari tasyriq, di persimpangan berhampiran al-‘Aqabah di mana upacara Jamrah pertama dilakukan di sana. Pertemuan itu juga di dalam suasana rahsia di tengah malah gelap gelita.

Di sini kita beri kesempatan kepada salah seorang pemimpin Ansar untuk memberi laporan mengenai pertemuan yang bersejarah lagi barakah itu, yang telah merubah perjalanan masa dalam detik pertembungan di antara Islam dan penyembahan berhala, Kaab bin Malik al-Ansari (r.a) telah menceritakan begini:

Kami telah keluar ke tempat haji, sebelumnya telah pun kami membuat janji dengan Rasulullah untuk bertemu di al-‘Aqabah di pertengahan hari-hari tasyriq, malam yang kami janjikan itu telah turut serta ialah Abdullah bin Amru bin Hiram salah seorang ketua pimpinan kami dan orang yang kami muliakan, perjumpaan kami itu sengaja kami rahsiakan dari kaum sebangsa kami yang masih musyrik lagi, yang turun bersama untuk mengerja haji. Di malam itu kami telah berbicara dengan Abdullah bin Amru, kata kami: Wahai Abu Jabir tuan adalah salah seorang pemimpin kami dan tokoh yang kami muliakan, sebenarnya kami tidak rela engkau dicampakkan ke dalam api neraka sebagai bahannya di suatu hari esok, dengan itu kami menyeru kepada Islam, seterusnya kami ceritakan tentang pertemuan kami dengan Rasulullah di al-‘Aqabah. Kata Kaab: Tanpa berlengah, beliau mengucap dua kalimah syahadah, dan beliau turut serta dipertemuan al-‘Aqabah, di mana beliau menjadi naqib dan ketua.

Kata Kaab: Di malam itu kami segera tidur bersama-sama kaum kami di samping peralatan perjalanan, hatta apabila berlalu sepertiga malam, kami pun keluar dari perkarangan khemah untuk menemui Rasulullah, kami keluar bersembunyi bak burung puyuh melalui denainya, hinggalah kami semua bertemu dan berkumpul di persimpangan al-‘Aqabah, kami semua tujuh puluh tiga lelaki dan dua wanita iaitu Nusaibah binti Kaab yang dikenali sebagai Ummu ‘Ammarah dari qabilah Bani Mazin bin al-Najar yang kedua ialah Asma’ binti Amru dikenali sebagai Ummu Mani’ dari qabilah Bani Salamah.

Kami semua berkumpul di persimpangan yang dijanjikan, menunggu ketibaan Rasulullah, tepat pada masanya, Rasulullah pun datang, turut serta mengiringi Rasulullah ialah al-Abbas bin Abd al-Muttalib, beliau masih lagi dengan agama kaumnya, namun beliau rela menyertai dan menyokong urusan anak saudaranya itu dan beliau pula orang pertama bercakap di dalam majlis itu.

 

PERBINCANGAN AWAL DAN PENJELASAN TANGGUNGJAWAB YANG AMAT PE NTING OLEHAL-ABBAS ‘

Setelah bilangan mereka untuk menghadiri perjumpaan itu genap, maka perbincangan pun dimulakan buat mempersetujui perjanjian agama dan ketenteraan, orang pertama yang bercakap di dalam majlis itu ialah al-Abbas bin Abd al-Muttalib bapa saudara Rasulullah, dalam ucapan itu beliau menjelaskan peri beratnya bebanan tanggungjawab yang hams mereka pikul nanti, sebaik sahaja perjanjian itu dipersetujui dengan katanya: “Wahai kalian al-Khazraj, sebenarnya sepertimana yang kamu ketahui, Muhammad ini adalah darah daging kami, hingga kini kami masih mempertahankannya dari kemarahan kaum kami, hingga kini beliau masih tetap kesayangan kami dan terpelihara di dalam tanah airnya, tetapi beliau ini tetap berkeras untuk menyertai kamu dan bersama kamu, kiranya kamu yakin dapat mengotakan janji kamu itu dan sanggup pula memberi keamanan kepadanya maka itu adalah hak kamu untuk mengambil Muhammad bersama-sama kamu, tetapi sekiranya kamu merasakan tidak berkesanggupan atau akan membiarkan beliau keseorangan maka lebih baik dari sekarang lagi kamu tinggalkannya, kerana di sini beliau masih mulia dan dijaga oleh kalangan kaumnya.”

Jawab Kaab: Kami menegaskan kepada al-Abbas: “Kami faham satu persatu apa yang tuan bicarakan itu, sekarang kami hendak dengar dari Rasulullah, ayuh Rasulullah sebutkan apa sahaja kewajipan kami untuk dirinya (s.a.w) dan untuk Tuhannya sekehendak hati Rasulullah (s.a.w). Jawapan yang beliau berikan itu menggambarkan keazaman yang memuncak, keyakinan, keberanian, keimanan dan keikhlasan yang bersifat infiniti di dalam rangka menanggung beban tanggungjawab yang amat agung itu, di samping mereka sudah menyangka dan mengukur akibat kesanggupan mereka itu. Dengan itu Rasulullah membentangkan agenda Baiah dan dipersetujui oleh pihak al-Ansar:

Agenda Baiah:

Imam Ahmad telah meriwayatkan dari Jabir secara terurai, kata Jabir, “Wahai Rasulullah, di atas apakah yang akan kami berbaiah dengan tuan hamba?” Jawab Rasulullah, kamu berbaiah untuk:

1. Mendengar dan mematuhi dalam keadaan segar dan malas.

2. Berinfaq semasa susah dan senang.

3. Menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran.

4. Berjuang kerana Allah tanpa mempedulikan kecaman orang.

5. Menyokong daku setibanya daku di kalangan kamu nanti, mempertahankan daku seperti mana kamu pertahankan diri dan anak isteri kamu, sebagai balasan adalah syurga Allah di akhirat nanti.

Tetapi riwayat Kaab yang dibawa oleh Ibnu Ishak pula, mengatakan bahawa agenda yang terakhir sahaja yang merupakan agenda baiah, di dalam perjanjian itu, berdasarkan kepada sabda Rasulullah: Kata Kaab: Maka berucaplah Rasulullah (s.a.w) dengan membaca ayat-ayat al-Quran di samping menyeru ke jalan Allah dan menggalakkan mereka kepada Islam, sabdanya: “Aku menuntutkan baiah dari kamu supaya kamu mempertahankan daku seperti mana kamu mempertahankan isteri-isteri dan anak-anak kamu”, maka al-Bara’ bin Ma’ rur memegang tangan Rasulullah dengan berkata: Ya, demi yang mengutuskan dikau dengan kebenaran sebagai nabi, akan kami pertahankan tuan hamba seperti mana kami mempertahankan wanita-wanita kami, dengan itu kami berbaiahlah dengan kamu wahai Rasulullah, demi Allah kami ini adalah keturunan peperangan dan anggota halaqat, ciri ini kami warisi sejak turun temurun”.

Diketika al-Bara’ sedang berbicara dengan Rasulullah, tiba-tiba Abu al-Haitham mencelah dengan katanya: “Wahai Rasulullah, sebenarnya kami ini ada ikatan dengan kaum Yahudi, bagaimana sekiranya kami putuskan kemudian Allah takdirkan tuan hamba berjaya dalam perjuangan, apakah tuan hamba akan kembali ke pangkuan kaum dan meninggalkan kami.” Jawab Rasulullah diiringi dengan senyum, “Darah dengan darah, roboh sama roboh, daku adalah dari kamu dan kamu adalah dariku, ku memerangi sesiapa yang kamu perangi dan aku berdamai dengan sesiapa yang kamu berdamai.”

 

MEMASTIKAN BEBAN TANGGUNGJAWAB BAIAH

Setelah selesai perbincangan di sekitar syarat-syarat baiah dan mereka semua bersetuju untuk memulakan pemeteraiannya, maka bangun seorang demi seorang dari dua orang tokoh utama yang telah memeluk Islam di dalam dua musim haji lalu tahun kesembilan dan kedua belas, untuk menyuarakan betapa beban tanggungjawab yang bakal mereka pikul nanti, dan supaya mereka semua apabila berbaiah nanti, ertinya mereka berbaiah dalam keadaan yang jelas dan menjiwai tanggungjawab baiah yang mereka berikan itu dan supaya mereka mengetahui sejauh mana persiapan yang harus mereka lakukan untuk memberi sumbangan dan pengorbanan kepadanya.

Kata Ibnu Ishak: Setelah mereka berkumpul untuk baiah maka berkata al-Abbas bin Ubbadah bin Nadhlah: “Adakah kamu mengetahui untuk apa kamu berbaiah dengan lelaki ini?” Jawab mereka: “Ya”, katanya lagi: “Sesungguhnya kamu berbaiah dengan beliau untuk memerangi manusia-manusia samada yang berkulit merah atau yang berkulit hitam, sekiranya dalam perjuangan ini harta kamu kehabisan, pembesar-pembesar kamu habis mati di masa itu kamu akan serahkan lelaki ini, maka dari sekarang ini tak usah kamu berbaiah, kerana demi Allah ini adalah sebesar-besar malu di dunia dan di akhirat, tetapi sekiranya kamu berupaya menunaikan janji kamu itu kepadanya tepat seperti mana kamu suarakan itu, hingga walau pun kamu kehabisan harta dan kehilangan pembesar-pembesar kamu, maka terimalah beliau ini, kerana itu adalah kemuliaan di dunia dan di akhirat”.

Jawab mereka semua: “Sesungguhnya kami akan menerima beliau dengan kerelaan hati menerima risiko kehilangan harta benda dan kematian tokoh pemimpin kami, dan sekiranya demikian maka apakah balasannya wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Syurgalah balasannya”. Kata mereka: “Ayuh hulurkan tangan mu”, maka baginda pun menghulurkan tangannya dan mereka semua berbaiah.

Manakala didalam riwayat Jabir, beliau berkata: Maka kami semua bangun dan berbaiah dengan baginda, pada mulanya As’ad bin Zurarah orang yang termuda di kalangan yang berusia tujuh puluh tahun berucap dengan katanya: “Wahai ahli Yathrib, sebenarnya kita tidak bersusah payah datang kemari melainkan kerana kita tahu baginda ini adalah Rasul utusan Allah, tindakan kita membawa baginda keluar dari Makkah bererti kita bertindak memufaraqahkan(memisahkan) seluruh bangsa Arab, mendedahkan pembesar-pembesar kita menjadi sasaran pembunuhan malahan kamu sendiri menjadi mangsa kepada pedang-pedang musuh, sekiranya kamu boleh bertahan dan bersabar maka terimalah baginda ini sebagai sebahagian dari darah daging kamu, ganjarannya adalah Allah yang menentukannya, tetapi sekiranya kamu sayangkan diri kamu, maka tinggalkanlah Baginda di sini kerana mungkin takut dan sayangkan diri kamu itu lebih beralasan lagi untuk kamu berhadapan dengan Allah.”

 

PENGIKATAN BAIAH

Setelah persetujuan dicapai dengan semua agenda baiah dan setelah penegasan dibuat maka pengikatan baiah pun dimeteraikan melalui berjabat tangan dengan Rasulullah. Di sini kata Jabir selepas menaqalkan(memetik) kata-kata As’ad bin Zurarah tadi: Maka hadirin pun berkata: “Wahai As’ad hulurkan tangan kau, demi Allah kami tidak akan biarkan baiah ini sia-sia atau dipercumakannya”.

Di saat ini A’sad pun dapat memastikan peri persediaan kaumnya untuk berkorban kejalan Allah, dengan ini maka As’ad terlantik sebagai pendakwah agung yang kemudian bergerak bersama-sama Mus’ab bin Umair, secara tabieinya beliau terlantik sebagai ketua agama untuk golongan yang berbaiah tadi di mana beliaulah orang pertama yang memberi baiah kepada Rasulullah. Tambahan Ibu Ishak lagi: Banu al-Najar menganggapkan Abu Umamah, As’ad bin Zurarah sebagai orang pertama yang meletakkan tangannya ke tangan Rasulullah.

Dengan itu maka baiah umum pun berjalan lancar. Kata Jabir: Setelah itu maka seluruh kami bangun seorang demi seorang memeterai baiahnya dengan Rasulullah dan baginda menjaminkan kami syurga Allah. Adapun baiah kaum wanita yang dimeteraikan di dalam kedua-duanya adalah melalui lafaz akad baiah sahaja tanpa baginda berjabat tangan dengan mana-mana perempuan ajnabi.

 

PERLANTIKAN DUA BELAS ORANG SEBAGAI NAQIB

Setelah proses baiah selesai dilaksanakan, Rasulullah (s.a.w) meminta supaya dipilih dua belas orang pemimpin sebagai naqib kepada kaum mereka, bakal bertanggungjawab bagi pihak mereka semua di dalam rangka usaha merealisasikan seluruh agenda baiah itu, seru baginda: “Ayuh kemukakan dua belas orang sebagai naqib untuk pimpinan kepada kaumnya. Pemilihan pun dibuat dengan segera, yang terdiri dari al-Khazraj sembilan orang, dan tiga dari al-Aws mereka itu adalah:

Naqib-nabib kepada al-Khazraj

1. As’ad bin Zurarah bin Ads

2. Sa’d bin al-Rabi’ bin Amru

3. Abdullah bin Rawahah bin Tha’labah.

4. Rafi bin Malik bin al-Ajlan

5. Al-Bara’ bin Marur bin Sakhr

6. Abdullah bin Amru bin Hiram

7. Ubadah bin al-Samit bin Qais

8. Sa’d bin Ubbadah bin Dulaim

9. Al-Munzir bin Amru bin Khanis

Naqib-naqib kepada al-Aws

1. Usaid bin Hudhair bin Simak

2. Sa’d bin Khaithamah bin al-Harith

3. Rifa’ah bin Abd al-Munzir bin Zubair

Dengan itu Rasulullah menegaskan kepada mereka dengan sabdanya: “Kamu semua adalah penjamin sebagaimana golongan al-Hawariyun adalah penjamin kepada Isa bin Mariam dan aku adalah penjamin kepada umat ku” Jawab mereka sebulat suara dengan lafaz; “Ya”.

 

SYAITAN MEMBONGKAR PERJANJIAN RASULULLAH

Sebaik sahaja proses pemeteraian perjanjian dan semua peserta hampir beredar dari majlis, salah seekor syaitan telah menjumpai mereka, namun terbongkarnya pertemuan itu adalah di saat-saat terakhir, agak terlewat baginya untuk memaklumkan kepada pihak pemimpin Quraisy akan rahsia pertemuan sulit ini. Agar pihak Quraisy menyerempak mereka, walau macamana sekalipun syaitan tadi naik ke atas tanah tinggi dan melaung selantang suaranya yang dapat didengar: “Wahai penduduk al-Akhasyib, kamu tahu tak Muhammad dan orang-orangnya ini? Mereka telah berjanji setia untuk memerangi kamu”. Kata Rasulullah : “Itu dia syaitan al-“Aqabah, demi Allah wahai seteru Allah sepenuh masa akan ku perangi kau,” dengan itu para peserta bersurai pulang ke tempat masing-masing.

 

KESEDIAAN AL-AMSAR UNTUK MEMERANGI QURAISY

Semasa hadirin mendengar suara syaitan itu terus al-Abbas bin Ubadah bin Nadhlah menyeru kepada Rasulullah: “Demi Dia Tuhan yang mengutuskan kau dengan kebenaran sekiranya tuan hamba mahu, esok hari akan kami serang pihak Quraisy dengan pedang kami ini”. Jawab Rasulullah: “Kita belum diperintah lagi untuk bertindak demikian, tetapi pulanglah ke tempat kamu”. Dengan itu mereka semua pun pulang ke tempat masing-masing dan terus tidur hingga ke subuh hari.

 

QURAISY MEGEMUKAKAN BANTAHAN KEPADA PEMIMPIN YATHRIB

Bila mana berita perjanjian ini sampai ke pengetahuan Quraisy timbullah rasa rimas, kebimbangan, dan kekesalan, kerana mereka sudah menduga sedalam-dalamnya kesan baiah seperti ini, juga pengaruhnya ke atas harta benda malah nyawa mereka, bila menjelang siang terus diutuskan perwakilan yang ramai terdiri dari pemuka-pemuka dan kepala samsengnya ke perkhemahan penduduk Yathrib, untuk mengemukakan bantahan mereka yang amat sangat terhadap perjanjian itu, kata mereka: “Wahai kalian al-Khazraj, sebenarnya sudah sampai ke pengetahuan kami, di mana kamu datang menemui saudara kami itu, dengan hasrat kamu untuk membawanya keluar dari pangkuan kami, malah kami sudah berjanji setia untuk memerangi kamu, demi Allah sesungguhnya tidak satu qabilah Arab pun yang senang untuk menyaksi peperangan timbul di antara kami dan mereka, di mana kamu sebahagian darinya”.

Oleh kerana pihak musyirikin Yathrib tidak tahu langsung dengan segala apa yang berlaku di antara Rasulullah dan kaum Muslimin Yathrib, yang bersama-sama mereka dalam jamaah haji itu, lantaran itulah maka mereka berani bersumpah, untuk menegaskan kapada Quraisy, bahawa apa yang mereka tuduh itu sama sekali tidak berlaku, oleh itu mereka berjumpa dengan Abdullah bin Ubai bin Salul, di mana beliau menegaskan: “Ini semua adalah palsu belaka, tidak munasabah perkara ini berlaku dan tidak munasabah kaumku boleh bertindak dengan berbuat demikian, kalau aku di Yathrib mereka tidak akan bertindak sesuatu, kecuali setelah mengambil pendapatku”.

Manakala kaum muslimin masing-masing memerhati satu sama lain, bertindak berdiam diri, seorang pun tidak bersuara, mengiya pun tidak menafikan pun tidak.Dengan itu pihak Quraisy lebih condong untuk menerima penegasan pihak musyrikin Yathrib, dan pulang membawa seribu kegagalan.

 

KEPASTIAN BERITA OLEH PIHAK QURAISY DAN PEMBURUAN MEREKA YANG BERBAIAH

Pemimpin Quraisy pulang ke Makkah dengan kepercayaan hampir yakin mengenai perkhabaran yang didustakan itu, namun mereka masih menggali dan mencari kesahihan berita berkenaan, akhirnya mereka memastikan kebenaran berita itu, memang baiah berlaku sebenarnya, itupun setelah jamaah haji pulang ke tanah air masing-masing, dengan itu cepat-cepat wira-wira penunggang kuda Quraisy memburu golongan Yathrib, malangnya masanya sudah terlewat, namun sempat juga mereka melihat Sa’d bin ‘Ubbadah dan al-Munzir bin Amru, lalu mereka memburu kedua-dua orang ini, al-Munzir sempat melepaskan dirinya tetapi Sa’d tidak sempat, pihak Quraisy menangkap serta memberkas tangannya dengan tali ke kekang tunggangannya, apa lagi mereka mengerjakan terhadap Sa’d menyeret-nyeretnya, menarik-narik rambutnya, hinggalah mereka membawa masuk semula ke Makkah, namun bila al-Mut’am bin ‘Adi dan al-Harith bin Harb bin Umaiyah mendapati Sa’d dalam keadaan begini mereka berdua berusaha membebaskan serta merongkai ikatan di tangannya, ini adalah kerana Sa’d memberi perlindungan kepada Qafilah mereka yang melalui Yathrib. Bila hal ini diketahui oleh pihak Ansar maka mereka bersetuju untuk mengembalikannya dengan selamatnya, dalam keadaan sedemikian tiba-tiba muncul Said dihadapan mereka, maka mereka pun meneruskan perjalanan ke Yathrib.

Inilah dia Baiah al-‘Aqabah yang kedua yang dikenali sebagai Baiah al-Aqabah al-Kubra, penyelenggaraannya berjalan dalam suasana kemesraan, persaudaraan dan roh bantu membantu di antara jiwa-jiwa mukmin yang masih berselerak, namun kepercayaan di antara satu sama lain amat padu sekali, keberanian luar biasa, pengorbanan tanpa batasan untuk ke jalan Allah, mukmin dari ahli Yathrib mencintai saudaranya yang lemah dari penduduk Makkah, penuh simpati terhadap saudaranya, memarahi orang yang menzalimi, jiwanya bergelora dengan kasih sayang terhadap saudaranya yang sebelum ini menyanyangi mereka di sebalik tabir ghaib, semuanya kerana Allah.

Perasaan dan syuur seumpama ini bukanlah luapan seketika, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, lantaran ianya bersumberkan keimanan kepada Allah, Rasul dan kitabNya, keimanan yang tidak mungkin dipudarkan oleh mana-mana kekuatan penganiayaan yang jahanam, keimanan yang apabila roh dan semangatnya bertiup, tidak ada tenaga yang mampu menghalangnya, malah di ketika itu ianya mampu melakukan keajaiban-keajaiban. Dengan keimanan ini kaum muslimin mampu merakamkan kerja-kerja dan warisan-warisan di samping lembaran sejarah, kekal abadi memberi contoh kepada masa-masa bakal mendatang.

Leave a Comment