Aktiviti Ketenteraan Selepas Perjanjian Hudaibiyah

Peperangan al-Ghaabah atau Peperangan Zu Qirad.

Peperangan ini merupakan gerakan buruan ke atas sekumpulan Banu Farazah yang telah melakukan tindakan melanun, sebagai satu cara menentang Rasulullah (s.a.w). lanya adalah peperangan yang pertama Rasulullah selepas perjanjian al-Hudaibiah dan sebelum Khaibar. al-Bukhari mencatit dalam pra kata topik berkenaan sebagai berlaku sebelum peperangan Khaibar. Imam Muslim meriwayatkan di dalam sahihnya sedemikian juga, di dalam hadith Salamah bin al-Akwa’. Tetapi Jumhur ahli al-Sirah dan al-Maghazi menyebut peperangan ini berlaku sebelum al-Hudaibiah. Sebenarnya apa yang terdapat di dalam kitab al-Sahih lebih sahih dari apa yang disebut oleh ahli al-Sirah.

Ringkasan periwayatan cerita dari hadith Salamah bin al-Akwa’, pahlawan peperangan ini, dengan berkata: “Rasulullah melepaskan ternakan untanya bersama dengan budak suruhannya Rabah, aku turut bersama Rabah menunggang kuda Abu Talhah, semasa kami di waktu pagi tiba-tiba Abdul al-Rahman al-Fazari telali menyerang ke atas ternakan lalu membunuh pengembalanya dan membawa lari semua unta-unta ternakan. Ku berkata kepada Rabah: Kamu tunggang kuda ini dan beritahu kepada Talhah, serta ceritakan kepada Rasulullah (s.a.w), aku lari ke tanah tinggi mengadap al-Madinah dan melaung : Tolong! Tolong! Tolong! Kemudian ku kejar penyamun-penyamun itu dengan meluncur panah ke arah mereka sambil bermadah:

“Anak lelaki Al-Akwa’ daku ini hari nahas hari ini. “

Demi Allah, terus ku menghujani mereka dengan panahan, di antara mereka ada yang gugur, kalau ada penunggang mereka yang berpatah balik ke belakang aku mengelak diri di sebalik pokok-pokok, dari situ aku memanah hingga seteru ku tersungkur jatuh, kalau mereka memasuki di celah-celah bukit, aku naik ke atas. Dari atas ku humbankan ketul-ketui batu ke atas mereka, beginilah aku terus memburu mereka hingga tiada unta Rasulullah kecuali kesemua berada di belakang ku. Ku buru lagi dan ku panah mereka hingga terpaksa mereka membuang lebih dari tiga puluh helai kain Burdah(serban) dan tiga puluh bilah tombak, supaya ringan dan mudah lari, apa sahaja yang mereka buang ku letak batu-batu di situ supaya mudah Rasulullah dan para sahabat mengecamnya.

Apabila lanun-lanun itu keletihan, mereka berhenti dan berehat di suatu jalan di atas bukit untuk makan. Aku menunggu mereka di atas sebuah bukit kecil, empat orang dari mereka naik ke bukit menuju ke arah ku: Ku pun berkata: Kamu tidak kenal aku siapa? Akulah Salamah bin al-Akwa’, tak seorang pun yang terlepas bila aku mengejarnya dan tak siapa pun yang dapat memburu aku.

Dengan itu mereka pun berpatah balik, tinggalkan tempat ku itu ternampaklah berkuda Rasulullah sedang melalui di antara puak Orang yang di hadapan ialah Akhram di belakangnya – Qutadah di belakangnya lagi al-Miqdad bin al-Aswad. Abu al-Rahman bertembung dengan al-Akhram di situ. Al-Akhram membunuh kuda Abdul al-Rahman manakala Abdul al-Rahman menikam al-Akhram dan membunuhnya kemudian beliau berpindah ke kudanya tetapi sempat dikejar oleh Qutadah dan ditikamnya Abd al-Rahman hingga mati, yang lain-lain cabut lari, justeru itu kami kejar mereka dari belakang dengan berlari, akhirnya mereka menyusur masuk ke suatu lorong yang ada air, dikenali sebagai Za Qirad.

Kira-kira waktu itu sudah pun petang, mereka ke situ untuk minum air, rupanya mereka semua dahaga, tidak sempat mereka meminum setitik air pun, ku buru mereka dari situ. Di tempat itu Rasulullah (s.a.w) telah bertemu dengan ku bersama-sama dengan kuda-kuda kira-kira waktu pun sudah isya’, ku berkata kepada Rasulullah: “Mereka kehausan wahai Rasulullah, sekiranya Rasulullah hantarkan bersama ku seratus orang, niscaya ku tawan segala apa yang ada bersama mereka”. Jawab Rasulullah: “Hai Ibnu al-Akwa’, sekarang ini memang kau mampu untuk menawan mereka tapi biarkanlah mereka pergi”. Sambung Rasulullah lagi: “Sekarang mereka berlindung di Ghatafan”.

Sabda Rasulullah: “Sebaik-baik penunggang hari ini ialah Abu Qutadah dan sebaik-baik pahlawan kita ialah Salamah”. Rasulullah membahagikan rampasan di mana ku diberi dua saham, satu saham sebagai pejuang berjalan kaki satu saham lagi sebagai pejuang berkuda. Semasa pulang ke Madinah baginda menunggang untanya al-‘Adhba’ dan ku mengekori dari belakang Baginda.

Semasa peperangan ini Baginda melantik Ibnu Ummu Maktum sebagai Amir di Madinah, bendera Islam diserahkan kepada al-Miqadad bin Amru.

Leave a Comment