Keutamaan Menghafaz Al-Quran

Ikhwan tercinta,

Bagaimanakah selayaknya sikap kita terhadap Al-Quranul Karim ? Sangat pedih dan membingungkan sekali apabila kita melihat sikap kebanyakan manusia yang mengambil mudah terhadap apa yang terkandung di dalam Al-Quran. Mereka hidup dalam kebingungan, berjalan tanpa petunjuk, terkadang tersesat dalam mengambil keputusan dan jatuh ke dalam jurang kemaksiatan. Keadaan mereka akan berterusan sedemikian ibarat berjalan di tempat yang gelap tanpa ada cahaya. Mereka meraba-raba mencari petunjuk dan mengikut apa sahaja kemahuan al-hawa dan suara-suara hingar yang kedengaran. Walhal, di hadapan mereka ada petunjuk yang jelas. Cahaya yang telah menyinari kebangkitan sebuah tamadun manusia yang hebat, yang membawa manusia daripada kegelapan yang pekat menuju cahaya yang terang.

“Tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengannya siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” Surah Asy-Syura: 52.

“Inilah kitab yang Kami turunkan kepadamu agar kamu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya” Surah Ibrahim: 1

Inilah cahaya yang memberikan pedoman dan kekuatan rabbani kepada para daie di kala seluruh dunia ini tersesat dalam kegelapan yang pekat. Ketika mana manusia yang memimpin alam ini hanyut dalam khayalan fantasi dan keseronokan materialism, makan berlakulah kehancuran, ketidakstabilan dan sistem hidup manusia berantakan sendirinya. Di saat itu kita melihat ramai yang sedih, meratap hiba dan ada yang menyalahkan takdir. Mereka terus menangis kesedihan dan bergelumang di dalam hidup yang penuh resah. Para daie juga tidak terkecuali untuk merasakan sedemikian tatkala mereka hanyut bersama gelombang kegelapan yang pekat ini.

Allah swt. berfirman, “Maka berimanlah kalian kepada Allah, Rasul-Nya, dan cahaya (Al-Quran) yang telah Kami turunkan. Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan” Surah At-Taghabun: 8

Ikhwan yang dimuliakan,

Manusia yang berjaya adalah orang yang mengambil petunjuk daripada Al-Quran dan “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Baginda Rasul saw. berpandukan Al-Quran memperbaiki generasi awwal kaum muslimin dengan “membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka, serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah” Surah Al-Jumuah: 2. Akhirnya mereka keluar daripada kesetan yang nyata kepada cahaya.

Justru, merupakan suatu urgensi untuk para daie di jalan Allah untuk mempelajari Al-Quran, menguasainya dan membumikannya ke dalam kehidupan.

Ikhwah yang dikasihi,

Anda tahu siapakah dia Sayyidul Huffaz ? Beliau adalah baginda Nabi saw., penghulu kepada para huffaz. Ramai di kalangan para sahabat yang mencontohi sunnah ini, ada di kalangan mereka yang menghafaz seluruh Al-Quran dan ada yang menghafaz sebahagian daripada Al-Quran. Dan Baginda saw. sendiri-pun memberikan galakan kepada para sahabat untuk menghafaz Al-Quran.

“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah saw.? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah)

“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)

 “Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)

“Sesiapa membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini.” (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)

Ikhwah tercinta,

Al-Quran yang di hafaz dan di baca memberikan kesan yang sangat berpengaruh ke dalam generasi awwal Islam. Ada riwayat yang menceritakan perihal Sayidina Umar Al-Kahttab ra. yang suatu ketika pergi untuk mengelilingi kota. Tiba-tiba beliau mendengar seseorang membaca, “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi bukit Thur. Dan demi kitab yang ditulis. Pada lembaran yang terbuka. Dan demi Baitul Makmur. Dan demi atap yang ditinggikan (langit). Dan demi laut yang di dalam tanah-nya ada api. Sesungguhnya siksa Tuhanmu pasti terjadi. Tidak ada yag dapat mencegahnya” Surah At-Thur: 1-8

Lantas apa yang anda rasakan yang terjadi kepada beliau Sayidina Umar Al-Khattab yang terkenal sebagai seorang yang berjiwa kental dan gagah ?

Wahai Ikhwah, inilah sebenarnya jiwa mu’min, mereka gagah berhadapan dengan jahiliyah tapi tewas di pangkuan Allah swt..  Ketika mendengar bacaan ini, beliau Sayidina Umar berkata, “Inilah sumpah yang benar, demi Tuhan Pemilik Ka’bah.” Beliau lantas tersungkur pengsan. Jatuh sakit selama 30 hari !

Akhi, demikiann halnya dengan Umar bin Abdul Aziz. Suatu ketika beliau datang ba’da isya’. Beliau lantas berwuhduk dan berdiri melaksanakan solat. Beliau membaca, “Kepada malaikat diperintahkan kumpulkanlah orang-orang yang zolim dan teman sejawat mereka beserta apa yang mereka selalu sembah, selain Allah. Dan hentikan mereka, sesungguhnya mereka akan ditanya.” Surah Ash-Shafat: 22-24

Beliau terus mengulangi ayat, “Dan hentikanlah mereka sesungguhnya mereka akan ditanya,” sampai muadzin datang untuk mengumandangkan azan subuh.

Kalimah Hifz atau Hafaz bermaksud menjada dan memelihara dan membuatkan Al-Quran menusuk ke jiwa kita. Justru, orang yang menhafaz Al-Quran bukanlah membawa maksud sekadar menghafaz ibarat menghafaz lagu tetapi melalui Hifz, seseorang itu merasakan seolah-olah Al-Quran mempengaruhi mindanya, menguasai jiwanya dan menjadi sahabatnya yang setia.

Itulah petunjuk daripada dua Umar, Umar Al-Khattab dan Umar bin Abdul Aziz.

Leave a Comment