Hadis Ghulam Dakwah – Kita Sama

Meskipun hadis yang popular ini 1 menggambarkan sebuah kisah yang sudah berlaku lama, bahkan sebelum era perutusan Nabi saw., setiap point daripada kronologi kisah perjuangan ghulam di bawah selian rahib menentang pasukan raja yang zholim dan konco-konconya terus segar dan relevan hingga ke hari ini.

Keumuman yang terdapat dalam lafaz hadis ini daripada segi watak, masa dan tempat yang tidak disebut secara spesifik menjadikan pedomannya terus kekal pada pengertian yang ma’ani, yang tidak terbatas sewaktu zaman berlakunya kisah ini. Malah kisah ini terus berjalan dengan peredaran masa, real dan tidak seperti filem-filem barat yang penuh dengan tahyul dan cepat basi.

Terdapat tiga kategori watak penting yang menjadikan penceritaan hadis ini terus segar, iaitu watak pendokong al-haq, watak pendokong al-bathil dan golongan maksa keadaan seperti penduduk kampung yang diperbodohkan raja dan konco-konconya. Watak-watak ini memainkan peranan tersendiri dalam sunnah perjuangan menegakkan kebenaran di suatu tempat yang ketiadaan daulah Islam dan seluruh masyarakatnya tunduk di bawah pemerintahan jahiliah atau sekular. Keimanan pula menjadi sesuatu yang asing, di mana jahiliah dalam pelbagai bentuk (media/hiburan dll) mendominasi fikiran masyarakat ibarat candu yang melalaikan mereka daripada mengenal akan kebenaran.

Cerita bermula dengan tukang sihir, yang menjadi alat atau medium untuk menguat dan mengukuhkan kekuasaan raja yang zalim sudah tidak mampu untuk terus memberikan khidmat (rujuk asy-Syu’araa: 45, az-Zukruf: 51-56). Lantas kepimpinan jahiliah mereka sebuah sistem yang memilih budak yang paling cerdik untuk mewarisi keilmuwan tukang sihir. Ya untuk memastikan sesebuah pemerintahan jahiliah berleluasa, maka seharusnya kementrian jahiliah memilih dan menyediakan para pemuda dari kecil lagi dengan doktrin kebathilan supaya potensi yang ada dapat dicurahkan kepada mendokong projek-projek yang mengukuhkan kerajaan raja yang zholim.

Namun ditakdirkan Allah swt., Ghulam yang terpilih untuk  mengikuti kuliah tukang sihir (program raja) bertemu dengan rahib, seorang murabbi super yang siap untuk mentarbiyah Ghulam untuk menjadi pahlawan yang menegakkan kalimah tauhid.

Sepanjang menghadiri program raja, terkadang Ghulam lewat hadir ke kuliah dan pulang ke rumah apabila selesai sesi persekolahan kerana asyik mendengar taujih daripada sang murabbi rahib. Ghulam akhirnya menerima ujian pertama ditanya-tanya, dimarahi, dibrainwash dan dilemahkan semangatnya. Namun begitu, sang murabbi rahib terus membimbing Ghulam sehinggakan dia memberikan formula yang sangat brilliant dalam menyelesaikan masalah tersebut sehinggakan kehadiran Ghulam ke halaqah harian mereka tidak terkompromi sama sekali. Ia terus berjalan dengan penuh istiqamah.

Ghulam diajarkan untuk menyimpan rahsia dan berbohong (berdalih) untuk menolak kefasadan dan mendapatkan maslahah yakni mengutamakan maslahah untuk memahami Islam, memperjuangkannya dan bergabung bersama tajammuk dakwah dengan berhelah untuk menolak kefasadan. Bukanlah satu kebaikan jika kita berkeras mempertahankan pendirian kita terhadap ahli keluarga atau sistem jahiliah yang menghalang. Malah dengan berbalah atau bersikap keras pula pada kebanyakan masa akan mengundang permusuhan dan menambahkan salah faham terhadap dakwah itu sendiri.

Di dalam sirah Nabi saw., para sahabat dan juga mereka yang terdahulu memberikan petunjuk terbaik dalam melakukan helah atau menyembunyikan maksud asal, demi maslahat dakwah. Pernah di awal kisah peperangan Badar, Rasulullah saw. bertemu dengan seorang tua yang memberikan maklumat kepada Baginda tentang perjalanan kaum Quraisy dan kaum Muslimin. Di saat itu Baginda ditanya, “Dari mana asal kamu berdua?” lantas dijawab Nabi saw. “Kami dari Ma’ (air). Setelah Nabi saw. beranjak pergi orang itu lalu berkata, “Tidak ada yang datang dari air. Apakah dari mata air Iraq?”, yakni sebuah tempat yang bernama Ma’ di Iraq tetapi yang sebenarnya Nabi saw. bermaksud “Kami dari air mani” seperti firman Allah swt.:

Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan dari air”(An-Nur: 45) dan firmanNya“Bukankah Kami menciptakan kamu dari air yang hina?”(Mursalat: 20)

Begitu juga dengan jawapan Abu Bakar ra. kepada salah seorang yang bertanya kepadanya perihal orang yang menunggangi di hadapan ketika peristiwa hijrah ke Madinah, yakni Rasulullah saw.. Beliau memahami fikih ini dengan jelas untuk menolak mudhorat yang besar yang sedang berhadapan dengan kepentingan dakwah. Lantas beliau menjawab, “Orang yang menunjuki jalanku” yang difahami penanya sebagai penunjuk jalan kepada Abu Bakr ra. sedangkan yang dimaksudkan bahwa Rasulullah saw. adalah manusia mulia yang menunjukkan jalan ke syurga.

Imam Nawawi telah membuat komentar terhadap hadis Ghulam ini dengan katanya; “Hadis ini mengandungi hukum harus berbohong ketika dalam peperangan dan seumpamanya dan ketika ingin menyelamatkan diri daripada binasa atau orang lain. Iaitu diri yang diharamkan daripada dibunuh.”

***

Ghulam tidak pernah sama-sekali meninggalkan sesi persekolahan, dia pada masa yang sama mengikuti program tarbiyah di bawah selian rahib. Sampai satu ketika, Ghulam menerima ujian untuk membuktikan ilmu yang mana sebenarnya rabbani seperti yang berlaku kepada Nabi Allah Ibrahim as. untuk membulatkan tekadnya kepada Allah swt..

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. (Al-Baqarah: 260)

Dengan keyakinan kepada Allah swt. yang mantap, Allah swt. memberikan kelebihan kepada Ghulam untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajarinya dan segenap potensinya untuk berdakwah kepada umat manusia. Manusia yakin akan kehebatan Ghulam setelah dia membunuh singa yang menghalang jalan. Nama Ghulam pun naik tinggi menjulang dan popular tetapi Ghulam sedar akan hakikat semua itu semata alat yang dikurniakan Allah swt. kepadanya untuk berdakwah hinggakan menteri menjadi mutarabbinya yang berjuang hingga syahid.

***

Sunnatullah dalam dakwah, bahwa berjuang itu akan terus diuji.

Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan memasuki syurga padahal belum nyata kepada Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan orang-orang yang sabar? (Ali Imran: 142)

Sejak awal menyertai jamaah dakwah, Ghulam diajarkan untuk senantiasa berwaspada (hazar) dan menyimpan rahsia (sirr) takut-takut banggunan jamaah dakwah yang baru dibina yang belum kukuh senang-senang sahaja dibantai para penguasa jahiliah. Tetapi apabila jamaah dakwah semakin membesar dan popular, justru semakin hebat pukulan penyeru kebathilan untuk menghancurkan existensi kelompok Islam.

Ujian itu berawal daripada Ghulam disusahkan daripada menyertai program tarbiyah dengan pelbagai halangan hinggalah kepada rahib, murabbainya digergaji tubuhnya hingga terbelah dua. Namun tarbiyah yang mantap membina Ghulam secara bertahap daripada menyimpan rahsia yang kecil, kepada menyimpan rahsia organisasi, usaha dakwah yang mudah kepada dakwah kepada para menteri dan akhirnya menyatakan kebenaran kepada raja yang zholim.

Ujian sama sekali tidak akan menghentikan usaha dakwah tauhid !

Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Al-Anfal: 85)

***

Daie itu opportunist untuk mencapai dua kemenangan, Islam dan Syurga. Di akhir hadis, Ghulam akhirnya berjaya untuk membawa seluruh penduduk kampung untuk beriman kepada Allah swt. dengan syahid mengorbankan dirinya untuk mematahkan segala hujah bathil sang raja.

Itulah ciri rijal yang prduktif.

Berkata Ustaz Hassan al-Banna;

“Rijalul qaul (orang yang pandai berbicara) tidak sama dengan rijalul ‘amal (orang yang pandai bekerja) dan rijalul ‘amal tidak sama dengan rijalul jihad (orang yang optimal dalam bekerja). Rijalul jihad pun tidak sama dengan Rijalul jihad yang muntij (produktif) wal hakim (bijaksana) yaitu orang yang mampu memberikan hasil yang optimal dengan pengorbanan yang paling kecil.”(Majmuk Rasail – Muktamar Khamis) 

 

 

  BELI

 




Notes:

  1. Juga dikenal hadis ghulam, rahib dan tukang sihir

Leave a Comment