Hadis 37 – Pahala Kebaikan Berlipat Kali Ganda

الحديث السابع والثلاثون

HADITH KETIGA PULUH TUJUH

عَنْ ابْنِ عَبَّاسِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، عَنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلى الله عليه وسلم فِيْمَا يَرْوِيْهِ عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى : إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ، ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ : فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ عَشْرَةَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ  ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيْرَةٍ، وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً “

[رواه البخاري ومسلم في صحيحهما بهذه الحروف]

 

Terjemah hadith / ترجمة الحديث :

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.anhuma daripada Rasulullah saw. tentang apa yang Baginda saw. riwayatkan daripada Tuhannya Tabaraka wa ta’ala. Baginda saw. bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa jalla telah menulis segala kebaikan dan keburukan, kemudian Dia menjelaskan perkara itu. Sesiapa yang ingin melakukan satu kebaikan lalu tidak melakukannya, Allah akan menulis kebaikan itu di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika dia mahu melakukan kebaikan itu lalu melakukannya, Allah akan menulis kebaikan itu di sisi-Nya sebagai 10 kebaikan, sehingga 700 kali ganda sehingga gandaan-gandaan yang banyak. Jika dia mahu melakukan satu kejahatan, lalu tidak melakukannya, Allah akan menulis kejahatan itu di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika dia mahu melakukan kejahatan itu, lalu melakukannya, Alah akan menulis kejahatan itu sebagai satu kejahatan sahaja.”

(Hadis Riwayat Bukhori dan Muslim dalam kedua sahihnya dengan lafaz ini)

 

Kosa kata / مفردات :

بيَّـن : Menjelaskan

همَّ  : Berkeinginan

(ضعف (أضعاف : Gandaan

سئية : Keburukan

 

Pelajaran yang terdapat dalam hadith / الفوائد من الحديث  :

  1. Kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya yang beriman sangat luas dan ampunannya menyeluruh sedang pemberian-Nya tidak terbatas.
  2. Sesungguhnya manusia tidak diperhitungkan terhadap apa yang dia tidak mampu  dan dipaksa menunaikannya.
  3. Allah tidak menghitung keinginan hati dan kehendak perbuatan manusia kecuali jika kemudian dibuktikan dengan amal perbuatan dan praktikal.
  4. Seorang muslim hendaklah meniatkan perbuatan baik selalu dan membuktikannya, diharapkan dengan begitu akan ditulis pahalanya dan ganjarannya dan dirinya telah siap untuk melaksanakannya jika sebabnya telah tersedia.
  5. Semakin besar tingkat keikhlasan semakin berlipat kali ganda pahala dan ganjaran.

 

Fiqh Dakwi dan Tarbawi :

  1. Ibnu Rajab berkata bahwa penggandaan amal kebaikan melebihi 10 kali ganda (hingga yang diketahui Allah – melainkan puasa) adalah berdasarkan:
    1. Keelokan keislaman seseorang, sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas dalam hadis Abu Hurairah ra. dan selainnya
    2. Kesempurnaan keikhlasannya
    3. Kelebihan dan kemuliaan amalan itu sendiri
    4. Keperluan kepada amalan berkenaan
  2. Kita hendaklah senantiasa mengisi hati kita dengan niat dan keazaman untuk melakukan amal kebaikan kerana tiada apa yang dirugikan daripada niat dan keazaman tersebut melainkan ianya akan diganjari Allah swt.. Ruangan hati yang dikuasai oleh charge-charge yang positif akan melonjakkan kita untuk beramal soleh dan menghindari daripada dikuasai bisikan syaithan (cth sombong, takabbur, ‘ujub, hasad dengki dan buruk sangka tanpa sebab, zina hati).
  3. Selagimana niat untuk melakukan kejahatan tidak dizahirkan dengan perbuatan, ia tidak ditulis[1]. Sesuatu amalan jahat ditulis sebagai satu kejahatan seumpamanya tanpa digandakan. “…Dan sesiapa yang melakukan sesuatu amalan jahat, dia tidak akan dibalas melainkan dengan balasan seumpamanya, tanpa mereka dizalimi” (al-An’am: 160).
  4. Amal soleh yang memberi manfaat yang banyak adalah lebih afdhal seperti perbuatan jihad lebih utama daripada haji kerana haji manfaatnya adalah individu sedangkan manfaat jihad dirasakan oleh ummat (at-Taubah: 19-20). Untuk meraih ganjaran yang lebih besar (syurga firdaus), kita perlu berazam dan melakukan amal kebaikan yang paling priority dan tinggi darjatnya di sisi Allah.

“Barangsiapa mengajar orang lain kepada suatu petunjuk,maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang melaksanakan petunjuk itu, tanpa mengurangi pahala mereka sama sekali.” (HR Bukhari)

“Shadaqah, yang paling utama ialah memberikan khemah,atau memberikan seorang pembantu, atau seekor unta untuk perjuangan di jalan Allah swt.” (HR Ahmad & Tirmidzi)

 

Tema hadith / موضوعات الحديث :

Anjuran berlumba-lumba untuk kebaikan : 2 : 148, 23 : 61




[1] Jika lintasan hati yang berupa kejahatan yang dilayan dan diazamkan, dikira sebagai amalan dan usahanya dan ia tidak dimaafkan

Leave a Comment