Hadis 30 – Rambu-Rambu Allah

الحــديث الثلاثون

HADITS KETIGA PULUH

 

عَنْ أَبِي ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِي جُرْثُوْمِ بْنِ نَاشِرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، عَنْ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ : إِنَّ اللهَ تَعَالَى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلاَ تُضَيِّعُوْهَا، وَحَدَّ حُدُوْداً فَلاَ تَعْتَدُوْهَا، وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنْتَهِكُوْهَا، وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً لَكُمْ غَيْرَ نِسْيَانٍ فَلاَ تَبْحَثُوا عَنْهَا.

[حديث حسن رواه الدارقطني وغيره] .

Terjemah hadith / ترجمة الحديث :

Dari Abi Tsa’labah Al Khusyani Jurtsum bin Nasyir radhiallahuanhu, dari Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam  dia berkata: “Sesungguhnya Allah ta’ala telah menetapkan kewajipan-kewajipan, maka janganlah kalian mengabaikannya, dan telah menetapkan batasan-batasannya janganlah kalian melampauinya, Dia telah mengharamkan segala sesuatu, maka janganlah kalian melanggarnya, Dia mendiamkan sesuatu sebagai kasih sayang terhadap kalian dan bukan kerana lupa jangan kalian mencari-cari tentangnya.” 

(Hadits hasan riwayat Daruquthni dan lainnya). 

(Hadits ini dikategorikan sebagai hadits dha’if [1]). Lihat Qowa’id wa Fawa’id Minal Arbain An Nawawiah, karangan Nazim Muhammad Sulthan, hal. 262. Lihat pula Misykatul Mashabih, takhrij Syekh Al Albani, hadits no. 197, juz 1. Lihat pula Jami’ Al Ulum wal Hikam, oleh Ibnu Rajab).

Kosa kata / مفردات :

حَدَّ: Batas

تَعْتَدُوهَا : Melanggarnya

Pelajaran yang terdapat dalam hadith / الفوائد من الحديث  :

  1. Hukum terbahagi kepada empat:
    1. Perkara yang difardhukan
    2. Perkara yang diharamkan
    3. Hudud – Boleh diertikan dalam tiga maksud:
      1. Yang dilarang daripada melampauinya dalam semua perkara yang diizinkan baik wajib, sunat atau harus (65: 1, 2: 229, 4:13-14)
      2. Perkara-perkara yang diharamkan (2: 187)
      3. Hukuman yang ditetapkan oleh syarak untuk mencegah daripada perkara-perkara haram yang berat seperti zina, mencuri dan minum arak
    4. Perkara yang didiamkan (tidak jelas hukumnya)
  2. Setiap mukmin dituntut supaya mematuhi titah perintah Allah swt. sama ada berbentuk suruhan fardhu mahupun larangan haram. Hadis tersebut mengingatkan setiap mukmin agar memelihara dengan baik segala amalan fardhu yang Allah swt. fardhukan, jangan sampai dipersiakan atau dihilangkan begitu sahaja.
  3. Demikian pula Allah menentukan beberapa batasan dan beberapa perkara haram, maka setiap mukmin dituntut agar benar-benar menjaga sempadan halal haram ini, jangan sampai dia mencabuli perkara haram apatah lagi kalau sampai menghalalkan perkara haram.
  4. Di samping itu, Allah swt. mendiamkan beberapa perkara iaitu tidak menyatakan halal haramnya secara jelas, maka janganlah kita menyusahkan diri mencari hukumnya. Allah berbuat demikian bukan kerana lupa, bahkan sebagai rahmat buat umat manusia demi memberi kemudahan bagi manusia. Hukum perkara yang ditinggalkan hukum halal haramnya adalah harus, iaitu boleh dilakukan.

Fiqh Dakwi dan Tarbawi :

  1. Ketetapan yang berupa hudud Allah adalah bukti kasih sayang Allah ta’ala kepada makhluknya. Allah tidak membiarkan kita meraba-raba di atas muka bumi tanpa garis panduan kerana setiap sesuatu ada hadnya dan sekiranya perlaku perlanggaran terhadap had, nescaya akan berlaku kerosakan. Cth makan atau bekerja tanpa had boleh rosakkan tubuh badan, riba’ memporak-perandakan sistem ekonomi
  2. Hudud Allah ta’ala yang paling minima adalah mengerjakan segala yang fardhu dan meninggalkan segala yang diharamkan. Perlanggaran mengundang dosa (al-Baqarah: 229) dan azab (an-Nisa’: 13-14).
  3. Islam adalah agama yang lurus dan jelas dalam batas-batasnya tanpa bengkang-bengkok. Sistemnya jelas, pagarnya tidak tersembunyi. Tidak seperti yahudi yang hingga sekarang mempertuhankan rabbi mereka yang mengharamkan apa yang dihalalkan Allah, dan menghalalkan apa yang diharamkan Allah.
  4. Apa yang didiamkan Allah ta’ala adalah lebih luas berbanding apa yang diharamkan-Nya. Dakwah terkadang membawa fitnah kepada Islam akibat kejahilan Da’ie dalam memahami batas-batas hudud Allah.
  5. Kita mestilah berhati hati dalam mengeluarkan atau memberikan fatwa terhadap sesuatu melainkan perkara yang jelas haram atau halal melalui nas yang qat’ie. Para salafus salih (ulama tiga kurun awal ke Islaman) sangat takut menetapkan hukum halal dan haram melainkan jika ada dalil yang pasti. Al Rabi’ Bin Khaitham seorang tabi’iin yang terkemuka berkata: “Hendaklah salah seorang kamu takut daripada berkata bahawa aku halalkan ini dan aku haramkan itu, kerana nanti Allah berkata kepadanya: Engkau pembohong! Aku tidak pernah halalkan ini dan haramkan itu”. 
  6. Tidak dibenarkan untuk menyelidik perkara yang ghaib yang hanya diketahui melalui pemberitahuan syarak dan diperintahkan supaya diimani, di samping hakikat sebenarnya tidak diterangkan. Cth: Allah cipta semua makhluk, siapa yang cipta Allah? Di mana zat Allah?
  7. Berkata Ustaz Hassan al-Banna di dalam Usul ‘Isyrin (kelima), “Asal pada ibadat ialah ta’abbud tanpa melihat kepada makna-makna. Dan asal pada adat ialah melihat kepada rahsia, hikmah dan tujuan.”

Tema-tema hadith / موضوعات الحديث  :

Batasan Allah : 65: 1, 2: 229, 4: 13,14




1. Hadits dho’if adalah hadits yang lemah kedudukannya dan tidak dapat dijadikan sebagai dalil. 

Leave a Comment