Empat Istilah Asas Dalam Al-Quran

Ilah (اله),  Rabb  ( رب ),  ‘Ibadah  ( عبادة )  dan Din  (  د ين) adalah  empat istilah asas  bagi keseluruhan pengajaran di dalam al-Quran.

Al-Quran berulangkali menekankan bahawa Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang Maha Berkuasa,  Dialah Rabb dan Dialah Ilah,  Tiada Ilah melainkan Dia dan Tiada Rabb melainkan Dia.  Tidak pernah Dia berkongsi  sifat-sifat kekuasaan dan kemuliaan-Nya  dengan yang lain. Hanya  Dia sahajalah yang semestinya diterima oleh manusia  sebagai Ilah dan Rabb. Tidak seharusnya wujud mana-mana individu ataupun golongan yang berani mengakui mempunyai sifat-sifat kekuasaan dan kemuliaan, yang sebenarnya menjadi milik Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.  

Kita dituntut agar beribadah hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala, tidak kepada yang lain.   Juga, menerima Din  sebagaimana yang dikehendaki-Nya sahaja dan menolak segala din yang lain.

Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang maksudnya:

“Dan Kami tidak mengutuskan Rasul sebelummu melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawasanya tidak ada Ilah  melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku. “ (Surah al-Anbiyaa’ : 25)

“Mereka mengambil orang-orang alim (pendita-pendita) dan padri-padri mereka menjadi Ilah, bukan Allah dan juga mereka (mempertuhankan) al-Masih Anak Mariam, sedangkan mereka hanya disuruh (oleh Allah) supaya beribadah kepada Ilah Yang Maha Esa, tidak ada Ilah selain daripadaNya,  Maha Suci Dia (Allah) dari apa yang mereka persekutukan.” (Surah at-Taubah : 31)

Mengambil  manusia  sebagai Ilah dan mengambil din rekaan manusia sebagai din yang dianuti adalah penyelewengan dan kesesatan yang nyata.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:

“Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.” (Surah al Anbiyaa’ : 92)

“Katakanlah:  Apakah aku akan mencari Rabb selain Allah, padahal Dia adalah Rabb bagi segala sesuatu.  Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.  Kemudian kepada Rabbmulah kamu kembali dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan.” ( Surah al-An’aam : 164)

“Katakanlah:  Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan  kepadaku:  Bahawa sesungguhnya Ilah kamu itu adalah  Ilah yang Esa.  Barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Rabbnya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang  soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Rabbnya.” (Surah al-Kahfi : 110)

“Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal  kepada Nyalah menyerahkan diri segala yang ada di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allah lah mereka dikembalikan.” (Surah ali-‘Imran : 83)

“Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada Nya dalam (menjalankan) agama.” (Surah az-Zumar : 11)

“Sesungguhnya Allah, Rabbku dan Rabbmu, kerana itu sembahlah Dia.  Inilah jalan yang lurus.” (Surah ali-‘Imran : 51)

Firman-firman Allah Subhanahuwata’ala di atas ada kaitan dengan konsep Ilah, Rabb, ‘Ibadah dan Din.

Oleh itu Allah adalah llah dan Rabb bagi seluruh manusia. Tidak ada sesiapa pun selain Allah Subhanahuwata’ala mempunyai sifat-sifat Kekuasaan dan Penentuan  yang Paling Tepat ke atas sesuatu. Oleh sebab itu manusia wajib beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Dan, din bagi manusia ialah Din Islam semata-mata dan tidak dikongsikan dengan din yang lain.

Pentingnya memahami Konsep Ilah dan Rabb

Orang yang tidak memahami tauhid (keyakinan kepada KeEsaan Allah semata-mata) dan tidak memahami musuh-musuh tauhid, iaitu syirik (pengakuan atau keyakinan kepada yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala), maka tidak akan mampu untuk beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala dan melaksanakan Din-Nya semata-mata.

Orang yang tidak faham dengan jelas terhadap istilah-istilah Ilah dan Rabb, maka  pengajaran al-Quran akan terus menjadi tidak jelas dan lengkap baginya.  

Tanpa memahami istilah-istilah Ilah dan Rabb, seseorang itu akan  terus menerus melafazkan kalimah: لا اله الا الله        (Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah), sedangkan pada praktiknya dia tetap melayan kehendak-kehendak ilah yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala.  Dia akan mengaku dengan sungguh-sungguh dan penuh ikhlas bahawa dia tidak ber‘ibadah kepada yang lain melainkan Allah Subhanahuwata’ala, tetapi pada praktiknya dia terus menerus ber‘ibadah kepada yang lain selain daripada Allah Subhanahuwata’ala tanpa sedar.

Jika ada pihak yang cuba menunjukkan kepadanya akan kesalahannya mencintai din  yang lain daripada Din Allah, maka dia akan rasa tersinggung dan melawan kembali.  Dalam keadaan tidak insaf dan tidak sedar, dia akan terus memberikan kesetiaan kepada perintah-perintah din yang lain selain Islam.  Tanpa sedar, dia akan terus yakin kepada undang-undang dan peraturan-peraturan bukan Islam.  Dia akan terus merasa senang dengan pendokong-pendokong din yang lain tanpa  mengesyaki atau mencurigai bahawa pendokong-pendokong itu telah  mensyirikkan Allah Subhanahuwata’ala.

Kefahaman tentang konsep Ilah dan Rabb

Ketika mula-mula al-Quran diturunkan kepada orang-orang Arab, mereka benar-benar memahami apakah yang dimaksudkan dengan Ilah dan Rabb. Ini kerana istilah-istilah itu berkaitan dengan bahasa yang dipertuturkan ketika itu.  Istilah-istilah itu bukanlah suatu yang baru bagi mereka dan tiada pula maksud-maksud yang lain di sebalik yang mereka fahami.  

Orang-oang Arab benar-benar memahami makna yang terkandung dalam istilah-istilah tersebut.  Apabila mereka menyebut bahawa Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah  (yang disembah) dan Rabb (yang Maha Pencipta) dan tidak ada sesiapa yang lain mempunyai sifat-sifat dan  kemuliaan yang dimaksudkan itu, maka mereka segera  dapat memahaminya.  Mereka betul-betul mengetahui hak-hak Allah Subhanahuwata’ala yang tidak boleh diberikan kepada yang lain.

Mereka yang menentang dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam,  menyedari   akibat atau  kerugian yang dialami di pihak mereka jika menyokong Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.  Manakala mereka yang menerima dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula, memahami  apa yang semestinya mereka hadapi, tinggalkan dan pisahkan.  

Begitu juga dengan istilah ‘Ibadah dan Din yang selalu digunakan pada masa itu.  Mereka memahami  apa yang dimaksudkan dengan  ‘abd dan ‘ubudiyyah  (perhambaan). Juga apa yang dimaksudkan dengan istilah Din.

Oleh sebab itu apabila mereka yang menerima dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, diperintahkan supaya memberhentikan ‘ibadah kepada yang lain dan menumpukan ‘ibadah khas untuk  Allah Subhanahuwata’ala semata-mata, dan membuang keyakinan kepada Din yang lain dan meyakini hanya kepada Din Allah Subhanahuwata’ala, maka mereka mampu melaksanakannya dan menghalakan seluruh rasahati , fikiran dan tingkahlaku kepada ajakan al-Quran. Maka berlakulah  perubahan yang mendadak (revolusi) dalam cara hidup mereka sepertimana yang dikehendaki oleh al-Quran.

Apabila masa berlalu, terutama bagi generasi terkini yang mengalami pelbagai perubahan baru, maka istilah-istilah itu semakin sukar difahami. Akhirnya istilah-istilah itu hanya   difahami beberapa orang ulama’ yang jelas terbukti keikhlasan, kesungguhan,  ingin menghayati Islam sebagai ad-Din dan ingin kembali mengambil  Generasi al-Quran pertama sebagai contoh.  

Umat manusia, pada umumnya sudah kehilangan mafhum asal istilah-istilah itu.  Mereka hanya dapat memahami istilah-istilah itu dengan makna dan maksud yang digunapakai oleh masyarakat umum sahaja.  Contohnya:

  1. Perkataan  Ilah  hanya digunakan pada perkara-perkara yang berkaitan dengan tuhan-tuhan (selain Allah) yang membawa makna yang sama dengan tokong-tokong, berhala-berhala dan tuhan-tuhan.
  2. Perkataan  Rabb   hanya dimaksudkan dengan seseorang yang memelihara atau menyara hidup orang lain, atau membekalkan orang dengan keperluan duniawi.
  3. Perkataan Ibadah pula difahami sebagai perlaksanaan atau peraturan adat resam (tradisi).
  4. Perkataan Din  pula hanya difahami sebagai satu agama atau kepercayaan kepada mana-mana peraturan.  
  5. Manakalah Taghut  pula diterjemahkan membawa makna tokong, berhala atau syaitan.

Hasil daripada kefahaman yang salah atau keliru itu menyebabkan manusia sukar untuk kembali kepada risalah atau mesej al-Quran yang sebenarnya.

Al-Quran  mengajak manusia supaya jangan mengambil yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala sebagai  Ilah.  Maka, manusia kini menyangka bahawa mereka telah memenuhi kehendak al-Quran itu setelah mereka meninggalkan  sembahan, tokong-tokong, berhala-berhala dan yang lain yang dianggap sebagai tuhan-tuhan, sedangkan amalan dan praktik hidup  mereka terus menerus memenuhi kehendak-kehendak  yang lain daripada kehendak-kehendak Allah Subhanahuwata’ala.

Al Quran  mengajak manusia supaya jangan mengakui selain daripada   Allah Subhanahuwata’ala sebagai Rabb.  Maka manusia kini menyangka mereka telah memenuhi kehendak itu kerana mereka tidak pernah mengakui sesiapa pun sebagai Rabb mengikut konsep tauhid yang mereka fahami. Sebaliknya, tanpa mereka sedar, tingkahlaku mereka telah mengangkat yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala ke taraf Rabb.

Mereka membantah serta tidak menyembah berhala-berhala,  mereka mengutuk syaitan  dan mengaku menghadapkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata, tetapi pemikiran mereka tidak ingin meninggalkan sistem hidup taghut yang dibentuk oleh manusia.  

Mengenai ‘ibadah,  mereka melakukan beberapa ‘ibadah khusus. Namun sebahagian besar dari hidup mereka tidak dilandaskan   dengan hukum-hukum atau perintah-perintah Allah Subhanahuwata’ala.  

Begitu juga mengenai din,  mereka mengaku menganut agama Islam dan meninggalkan agama-agama lain.  Mereka faham sekadar itu sahajalah keperluan beragama dan sesiapa sahaja yang berbuat demikan sudah memenuhi tuntutan  perhambaan hanya sanya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sebaliknya, pada hakikatnya, majoriti manusia kini telah menyeleweng jauh daripada Din Islam yang sebenarnya.

Akibat salah faham

Dalam suasana kegelapan dan kepalsuan ini, keempat-empat istilah asas itu tidak lagi diberikan makna yang betul. Ini menimbulkan banyak masalah.  Maka, lebih daripada tiga perempat ajaran al-Quran tidak lagi difahami.  Inilah sebab utama  mereka tidak ingin menghayati cara hidup yang termaktub dalam al Quran.  Oleh itu untuk memahami hakikat ajaran al-Quran sebenarnya, kita perlu memahami makna keempat-empat istilah itu.

Tanpa kefahaman ini, akibatnya manusia sentiasa hidup di dalam keraguan.  Apabila mereka ingin membuat sesuatu  keputusan, maka mereka merujuk kepada teori manusia dan membelakangkan ketetapan  Allah Subhanahuwata’ala.  

Tanpa kefahaman ini, secara tidak sedar manusia yang mengaku Islam akan tertarik dengan din yang bukan Islam dan sanggup pula mati mempertahankannya.  Manusia yang mengaku Islam memerangi saudara-saudaranya sendiri dan  lebih  teruk lagi memerangi din Islam.  

Kembali kepada Tarbiyah

Untuk memahami kembali istilah-istilah Ilah (اله),  Rabb  ( رب ),  ‘Ibadah  ( عبادة )  dan Din  (  د ين) yang sebenarnya, kita perlu kembali kepada tarbiyah Islamiyah. Lebih-lebih lagilah untuk menghayatinya dalam kehiudpan yang mencabar kini, maka tarbiyah yang berterusan sangat diperlukan.

Rujukan: Empat Istilah Dalam Al-Qur’an, Al-Maududi

Leave a Comment