at-Taghabun 64:14 – Sikap Terhadap Isteri Dan Anak-Anak Dalam Konteks Jihad

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّ مِنۡ أَزۡوَٲجِكُمۡ وَأَوۡلَـٰدِڪُمۡ عَدُوًّ۬ا لَّڪُمۡ فَٱحۡذَرُوهُمۡ‌ۚ وَإِن تَعۡفُواْ وَتَصۡفَحُواْ وَتَغۡفِرُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ 

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah at-Taghabun 64:14

SEBAB PENURUNAN AYAT

Menurut satu riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Ibnu Jarir daripada ‘Ata Ibn Yasar, dia berkata: Surah At-Taghabun telah diturunkan keseluruhannya di Makkah kecuali ayat 14 dan ayat-ayat berikutnya diturunkan di Madinah. Ayat 14 dalam surah ini diturunkan berkenaan kejadian yang berlaku kepada ‘Auf Ibn Malik al-‘Ashja’i. Beliau mempunyai seorang isteri dan seorang anak. Ketika ‘Auf hendak pergi berperang di jalan Allah, isteri dan anaknya menangis dan menahannya supaya tidak pergi sambil mereka berkata, “Kepada siapa kami akan kamu tinggalkan?” ‘Auf berasa simpati dengan mereka dan tidak jadi pergi. Maka turunlah ayat 14 dalam surah ini menceritakan peristiwa berkenaan.

Dalam riwayat lain yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi dan Imam al-Hakim daripada Ibnu Abbas, dia berkata: Ayat yang berbunyi: “Sesungguhnya antara isteri-isteri dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuh bagimu, oleh itu berhati-hatilah kamu”,  diturunkan berkenaan satu kaum daripada penduduk Makkah yang telah memeluk agama Islam, tetapi isteri-isteri dan anak-anak mereka tidak mahu berhijrah ke Madinah tempat Rasulullah SAW berada. Apabila sampai di Madinah dan melihat masyarakat yang telah faham Islam, maka timbullah keinginan untuk menghukum isteri-isteri dan anak-anak mereka tetapi Allah menurunkan ayat yang berbunyi: “dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi mereka serta mengampunkan (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Meskipun dua riwayat di atas  berlainan antara satu sama lain, ia memberikan suatu gambaran latar belakang ayat yang diturunkan. Kedua-duanya menyentuh masalah ayah atau suami yang berdepan dengan kerenah isteri dan anak yang menghalang dan melambatkannya keluar di jalan Allah.  Kedua-dua riwayat itu juga memperlihatkan si ayah atau suami sebagai orang yang paling bertanggungjawab dalam rumah tangga memiliki kafa’ah dan keupayaan yang lebih daripada isteri dan anak-anak sama ada dari sudut ilmu, amal, iltizam, jihad dan lain-lain.

ANTARA TARIKAN KELUARGA DAN PANGGILAN ALLAH

Perbezaan dari segi kefahaman dan iltizam ini kadangkala menampakkan hakikatnya dalam keadaan-keadaaan yang genting seperti pergi untuk berperang atau berhijrah di jalan Allah kerana perbuatan-perbuatan ini boleh membawa kepada perpisahan keluarga sama ada melalui kematian atau berbagai-bagai kemungkinan lain. Keadaan ini memang menimbulkan masalah bagi seorang suami atau bapa dan di sinilah letaknya ujian-ujian Allah. Dalam keadaan ini, ia berada di tengah-tengah dua tarikan, antara tarikan keluarga pada satu sisi dan tarikan kefahaman dan keiltizamannya dengan panggilan Allah pada sisi lain. Apabila tarikan keluarga lebih kuat, maka isteri dan anak-anaknya menahannya dan menjadikannya teragak-agak untuk bergerak keluar rumah bahkan mungkin membatalkan niatnya sama sekali. Tetapi apabila tarikan kefahaman dan keiltizaman seorang ayah atau suami lebih kuat maka ia boleh melepasi halangan-halangan itu seperti kejayaan Nabi Ibrahim ketika diperintah menyembelih anaknya Ismail, atau seorang sahabat yang baru saja berumah tangga tetapi apabila berkumandang pangilan jihad ia pun meninggalkan isterinya dan terus berjihad sehingga syahid. Begitu juga jika kita lihat keadaan Imam Hasan Al-Banna yang tidak menghiraukan rayuan isterinya untuk menemaninya menjaga anaknya yang sedang demam. Beliau tetap meninggalkan rumah untuk menghadiri program penting dalam dakwahnya .

KEFAHAMAN DAN KEILTIZAMAN PERLU SEIMBANG

Ketidakseimbangan antara kefahaman dan keiltizaman seorang ayah atau suami dengan keluarga yang dipimpinnya boleh mengambil bentuk lain yang lebih ekstrim. Keadaan ini wujud apabila tarikan kefahaman dan keiltizaman seorang ayah atau suami telah jauh melampaui kefahaman dan keiltizaman isteri dan anak-anaknya sehingga ia berniat untuk menghukum mereka kerana menjadi punca menyebabkannya bergerak lambat menyahut seruan Allah. Mungkin si ayah menyangka isteri dan anak-anaknya telah sampai ke tahap kefahaman dan keiltizaman seperti dirinya yang bersedia menerima hukuman di atas kelambatan beramal. Ini adalah sangkaan yang salah. Dalam hal ini  Allah melarang seorang suami menghukum isteri dan anak-anaknya kerana menghalangnya menyahut panggilan Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampunkan (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Menerusi ayat ini Allah SWT memberikan tuntunan kepada bapa atau suami supaya mengambil sikap pertengahan dan sederhana antara ‘tafrit’ (cuai) dan ‘ifrat’ (melampau) ketika berdepan dengan panggilan Alllah SWT dan tarikan keluarga. Mengikuti tarikan keluarga dan mengetepikan seruan Allah adalah tafrit (cuai). Lantaran itu Allah SWT memperingatkan kita dengan kata-kata, “berhati-hatilah kamu” atau “waspadalah kamu” daripada tarikan dan rayuan keluarga. Manakala berniat dan berhasrat untuk memukul atau menghukum keluarga pula adalah dikira ifrat atau melampau. Dalam hal ini Allah SWT menyuruh kita memaafkan mereka. Inilah dua sikap yang benar yang patut diambil oleh seorang ayah atau suami dalam menghadapi kerenah keluarga apabila berha-dapan dengan seruan atau panggilan Allah SWT.

HAKIKAT MUSUH

Dalam ayat di atas Allah SWT menyatakan bahawa, “ada antara isteri-isterimu dan anak-anakmu yang menjadi musuh bagimu”. Menurut Ibnu Kathir pengertian musuh di sini adalah “sesuatu yang melalaikan daripada mengerjakan amal saleh” seperti firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 9 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman janganlah harta-harta dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada memperingati Allah. Barangsiapa berbuat demikian 
maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”

Daripada pendapat Ibnu Kathir ini dapatlah diambil pengertian umum bahawa apa sahaja yang boleh melalaikan kita dari mengingati Allah, beramal saleh dan mentaati perintah Allah adalah musuh kita.

Dalam hal ini musuh kita yang paling utama adalah syaitan kerana ia sentiasa menyuruh kita untuk mengingkari Allah SWT dan perintah-Nya. Usaha dan pergerakan syaitan dalam menewaskan diri dan keimanan kita kadangkala dengan membisikkan idea dan pemikiran yang berlawanan dengan kehendak Allah. Tetapi dalam banyak hal, syaitan menewaskan manusia melalui berbagai wasilah seperti isteri, anak-anak, harta, kedudukan, pangkat dan lain-lain.

Apabila kita tidak berhati-hati dan berwaspada, wasilah-wasilah ini yang sepatutnya membantu ke arah mencapai ghoyah (matlamat) kita iaitu keredhaan Allah SWT, telah ditunggangi dan diperalat oleh syaitan. Akibatnya, tanpa disedari kita meninggalkan matlamat kita sama sekali. Ingatlah firman Allah ketika Dia mengusir Iblis dari syurga dan memberikan kesempatan kepadanya (iblis) untuk menyesatkan manusia dengan segala wasilah yang ada padanya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan pasunglah siapa yang kamu sanggupi antara mereka dengan ajakanmu, dan kerahkanlah kepada mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki dan berserikatlah dengan mereka pada harta dan anak-anak dan beri janjilah dengan mereka. Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan kepada mereka melainkan tipuan belaka.” (al-Isra’ : 64)

Leave a Comment