Rukun Ke-8 – Tajarrud

Nazarat fi Risalah Ta’alim

Oleh: Muhammad ‘Abdullah Al-Khatib

Rukun Kelapan– Tajarrud

 

IMAM ASY-SYAHID BERKATA: “YANG SAYA MAKSUDKAN DENGAN “TAJARRUD” IALAH SAUDARA MEMBEBASKAN DIRI DARI PRINSIP-PRINSIP DAN INDIVIDU-INDIVIDU YANG LAIN DARI FIKRAH SAUDARA, KERANA FIKRAH SAUDARA ADALAH FIKRAH YANG PALING TINGGI DAN LENGKAP.

FIRMAN ALLAH SWT:

MAKSUDNYA : “CELUPAN ALLAH, MAKA SIAPAKAH YANG LEBIH BAIK CELUPANNYA SELAIN DARI ALLAH“. (Surah Al-Baqarah: 138)

FIRMAN ALLAH :

MAKSUDNYA : “ADALAH BAGI KAMU PADA KISAH NABI IBRAHIM DAN PENGIKUT-PENGIKUTNYA TAULADAN YANG BAIK, KETIKA MEREKA BERKATA KEPADA KAUM MEREKA : “KAMI BERLEPAS DIRI DARIPADA KAMU DAN APA YANG KAMU SEMBAH SELAIN ALLAH, KAMI MENGINGKARI (KEKUFURAN) KAMU DAN TELAH NYATA ANTARA KAMI DAN KAMU PERMUSUHAN SERTA KEBENCIAN BUAT SELAMA-LAMANYA. SEHINGGALAH KAMU BERIMAN KEPADA ALLAH SAHAJA“. (Surah Al-Mumtahanah: 4)

GOLONGAN MANUSIA MENURUT PANDANGAN AL-AKH YANG SEBENARNYA TERBAHAGI KEPADA ENAM KUMPULAN : MUSLIM YANG BERJUANG, MUSLIM YANG BERDIAM DIRI, KEFIR ZIMMI ATAU MU’AHID, KAFIR MUHAYID, DAN KAFIR HARBI. SETIAP GOLONGAN INI TELAH DIJELASKAN HUKUM-HUKUMNYA MENGIKUT NERACA ISLAM. DARI PEMBAHAGIAN INILAH SETIAP INDIVIDU ATAU JAMAAH DINILAI SAMADA IANYA BOLEH DIBERI WALA’ ATAU DIJADIKAN SETERU”.

 

KETERANGAN:

Pengertian Tajarrud

Di segi bahasa:

Juradah :  yang dikupas daripada sesuatu.

Tajrid  : Tidak berpakaian.

Tajarrud : Bersungguh sungguh di dalam sesuatu urusan.

Dari segi syarak : Membebaskan diri dalam beribadat kepada Allah dari yang selainNya. Gerak diam, samada secara rahsia ataupun terang-terangan hanyalah semata-mata kerana Allah dan  tidak dicampur adukkan dengan hawa nafsu, ikutan, kebanggan dan kekuasaan.

Firman Allah :

Maksudnya: “Adalah bagi kamu pada kisah nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya teladan yang baik, ketika mana mereka berkata kepada kaum mereka: “Kami berlepas diripada kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah, kami mengingkari (kekufuran) kamu dan telah nyata diantara kami dan kamu permusuhan serta kebencian buat selama-lamanya. Sehinggalah kamu beriman kepada Allah sahaja“. (Surah Al-Mumtahanah: 4)

Nabi Ibrahim a.s dan para pengikutnya dengan pendirian ini telah tajarrud penuh dari kaum mereka yang terdiri dari bapa-bapa, anak-anak dan ahli keluarga mereka. Mereka tajarrud dari kaum tersebut dan berhala-berhala mereka. Di samping itu mereka juga mengingkari kebatilan yang menyesatkan serta menjauhkan diri dari golongan yang menyembah berhala dan golongan yang mengadakan sekutu bagi Allah.

Al-Imam asy-syahid berkata:

Tajarrud ialah saudara membebaskan diri dari prinsip-prinsip dan peribadi-peribadi yang lain dari fikrah saudara dan membulatkan diri untuk fikrah saudara kerana fikrah tersebut adalah fikrah yang paling tinggi dan lengkap“.

Firman Allah:

Maksudnya: “Celupan Allah, maka siapakah yang lebih baik celupannya selain dari Allah dan kepadanyalah kami mengabdikan diri“. (Surah Al-Baqarah : 138)

 

Mizan

Di antara tanda-tanda sifat tajarrud yang sebenar ialah: Seseorang itu meletakan dakwah sebagai neraca penimbang ke atas individu, jamaah dan setiap perkara serta menentukan pendiriannya terhadap semua itu berdasarkan kepada mizan tersebut.

Di kalangan umat Islam terdapat golongan mujahid: Kita mengasihi, menolong, menziarahi, memenuhi keperluan dan memperbaiki hubungan dengan mereka.

Di sana juga terdapat golongan muslim yang berdiam diri: Kepada mereka ini kita hidupkan kesungguhan mereka dan berusaha menasihati mereka di samping memaafkan kelemahan-kelemahan yang

terdapat pada diri mereka.

Golongan yang seterusnya pula ialah: Mereka yang melakukan dosa, kepada mereka kita berikan peringatan dan pengajaran serta menyeru supaya kembali kepada Allah.

Golongan terakhir ialah golongan kafir zimmi: Mereka ini tidak memutuskan perjanjian dan tidak menimbulkan permusuhan dengan golongan muslim. Bagi golongan ini, kita hendaklah bertoleransi dan berlaku adil. Mereka mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama seperti kita di dalam negara.

Beginilah pendirian mereka yang memiliki sifat tajarrud terhadap golongan manusia. Pendirian mereka ditentukan berdasarkan tajarrud dan ikhlas mereka kepada dakwah.

Sifat tajarrud amat perlu bagi saf mu’min yang bekerja dan ianya merupakan salah satu rukun penentu kepada kejayaan da’wah. Tanpanya al-akh tidak akan dapat melaksanakan peranannya dengan sempurna.

Ustaz Al-Maududi r.a. berkata:

Sesungguhnya daulah fikriah yang diseru oleh rijal-rijal yang bersifat benar, lemah lembut, bersih hati, ikhlas di dalam amal, berpegang teguh dengan prinsip serta tajarrud dari kebendaan dan tuntutan syahwat tentulah ianya menjanjikan kebahagiaan dan kesejahteraan yang berterusan kepada manusia. Di sana terdapat hati-hati yang mempunyai sedikit kebaikan akan tertarik kepada da’wah ini“. (Kitab Pandangan Islam dan Petunjuknya: 84)

Di antara tanda-tanda tajarrud yang seterusnya ialah: Mengorbankan jiwa pada jalan Allah.

Maksudnya: “Syaddad b. Al Had telah berkata: Telah datang seorang Arab Badwi kepada nabi s.a.w., lalu dia beriman dan menjadi pengikut baginda. Dia berkata: “Adakah aku perlu berhijrah bersama RasululLah s.a.w?. Lalu sahabatnya berpesan agar berbuat demikian. Apabila berlaku peperangan Khaibar RasululLah s.a.w. telah mendapat harta rampasan perang lalu baginda membahagikan harta tersebut.  Baginda menyerahkan bahagian orang Badwi tersebut kepada para sahabat agar diberikan kepada beliau. Beliau adalah pengembala unta-unta mereka. Apabila si Badwi itu datang, bahagian itu diserahkan kepadanya. Beliau lantas bertanya: “Apakah ini?” Sahabat-sahabat menjawab: “Inilah bahagian harta rampasan perang yang diberikan oleh RasululLah kepada kamu”. Beliau mengambil harta tersebut dan pergi berjumpa dengan RasululLah seraya berkata: “Apakah ini wahai RasululLah? baginda menjawab: “Inilah bahagian yang telah ku berikan kepada mu”. Badwi itu menjawab : “Bukan kerana ini aku mengikuti ajaran mu, tetapi sebaliknya aku mengikuti mu supaya aku dipanah di sini (mengisyaratkan kepada halqumnya) dan dengan itu aku dapat memasuki syurga”. Baginda bersabda: “Sekiranya engkau berkata benar nescaya Allah akan membenarkannya”. Kemudian para sahabat berangkat ke medan perang memerangi musuh. Di dalam peperangan tersebut Badwi itu mati terbunuh (syahid) lalu mayatnya di bawa kepada nabi s.a.w., lantas baginda bersabda:”Benarkah ini dia? Sahabat-sahabat menjawab: “Ya”. Sabda RasululLah s.a.w.:”Dia membenarkan Allah lantas Allah menerimanya“. (Sunan An-Nasaai – Kitab Jenazah – Bab solat ke atas syuhada': 4/60)

Sesungguhnya sesiapa yang menerima keagongan Islam yang dibentangkan oleh Al Quran dan As-sunnah, mengakui bahawa Islam adalah ajaran yang benar dan tidak ada selepas kebenaran itu melainkan kesesatan, mestilah bertajarrud untuk Allah dan tunduk patuh melaksanakan segala suruhanNya. Di samping itu, beliau juga mesti menjalankan kehidupannya mengikut hukum dan perintah Allah.

Sesungguhnya sesiapa yang berhasrat untuk menegakkan Islam di atas muka bumi ini, mestilah menegakkannya di dalam diri, jiwa dan kehidupan mereka terlebih dahulu samada dalam bentuk aqidah, akhlak, ibadah mahupun suluk. Alangkah tepatnya ungkapan yang di laungkan oleh Mursyidul ‘Am Hassan Al-Hudhaibi r.a: “Wahai Ikhwan, tegakkanlah daulah Islamiah di dalam hati-hati kamu, nescaya akan tertegaklah daulah Islamiah itu di bumi kamu“.

Di antara contoh tajarrud yang sebenarnya ialah: Sifat Abu Bakar Assidhiq r.a.: Beliau telah membelanjakan hartanya untuk menyelamatkan golongan manusia yang diseksa dan lemah di Mekkah. Dia juga melindungi orang-orang asing yang memberi baiah, yang thabat, tajarrud serta mengikhlaskan diri kepada Allah. Lantas turun ayat Al Quran yang memberikan berita gembira kepada Abu Bakar kerana amalan tersebut yang dilakukannya hanya mengharapkan keredhaan Allah s.w.t.

Firman Allah:

Maksudnya: “Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling bertaqwa dari neraka itu, iaitu mereka yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya, padahal tidak ada seseorang pun memberikan suatu ni’mat kepadanya yang harus di balasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi,dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan“. (Surah Al-Lail: 17-21)

Sebenarnya pendirian Abu Bakar dalam hal ini tidak terkira banyaknya. Suatu ketika apabila beliau ditanya: “Adakah kamu ada meninggalkan sesuatu untuk keluarga kamu?” Maka beliau menjawab: “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya”. (Nurul Yaqin – Perang Tabuk: 245)

Daripada sikap Abu Bakar dalam masa yang penuh kesusahan ini kita dapat mengambil beberapa pengajaran yang bermanfaat:

Pertama: Sifat tajarrudnya dari semua harta hanya kerana Allah semata-mata.

Kedua: Sifat tawakkalnya yang mutlak kepada Allah berdasarkan kata-katanya: “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya”.

Ketiga: Menjelaskan bahawa harta itu sebenarnya milik Allah dan beliau hanyalah sebagai wakilNya sahaja.

2 Comments

Leave a Comment