Rukun Ke-5 – Pengorbanan

Nazarat fi Risalah Ta’alim

Oleh: Muhammad ‘Abdullah Al-Khatib

Rukun Kelima– Pengorbanan

 

            “PENGORBANAN YANG SAYA MAKSUDKAN IALAH: MENGORBANKAN JIWA, HARTA, MASA, KEHIDUPAN DAN SEGALA SESUATU UNTUK MENCAPAI MATLAMAT. TIDAK BERLAKU JIHAD DI DUNIA INI TANPA PENGORBANAN BERSAMANYA. SEBARANG PENGORBANAN UNTUK MEMPERJUANGKAN FIKRAH KITA TIDAK AKAN SIA-SIA, MALAH MENDAPAT GANJARAN YANG BESAR DAN PAHALA YANG BAIK DARI ALLAH SWT. SESIAPA YANG TIDAK MAHU BERKORBAN

BERSAMA KITA BELISU TELAH BERDOSA. FIRMAN ALLAH SWT:

            MAKSUDNYA: “SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MEMBELI DARI ORANG-ORANG MUKMININ JIWA-JIWA MEREKA DAN HARTA-HARTA MEREKA…”

            MAKSUDNYA: “KATAKANLAH: JIKA SEKIRANNYA BAPA-BAPA KAMU, ANAK-ANAK KAMU ….”

            MAKSUDNYA: “YANG DEMIKIAN ITU ADALAH KERANA MEREKA TIDAK PERNAH DITIMPA DAHAGA DAN KELETIHAN…”

            MAKSUDNYA: “JIKA KAMU TAAT, ALLAH AKAN MENGURNIAKAN KEPADAMU BALASAN YANG BAIK…”

            DENGAN ITU SAUDARA MEMAHAMI SLOGAN SAUDARA YANG ABADI: “MATI PADA JALAN ALLAH ADALAH SETINGGI-TINGGI CITA-CITA KAMI.”

 

KETERANGAN:

            Allah telah memikulkan ke atas umat Islam sebesar-besar amanah dan seberat-beratnya. Firman Allah swt:

            Maksudnya: “Demikianlah Kami jadikan kamu umat pertengahan untuk menjadi saksi ke atas manusia, dan Rasul pula menjadi saksi
ke atas kamu
.” (Surah Al-Baqarah: 143)

            Agar mereka menunaikan amanah dengan sebaik-baiknya dan melaksanakan tanggung jawab, Allah telah menfardhukan jihad pada jalannya, jihad dengan maknanya yang luas lagi menyeluruh sehingga dakwah terus hidup.

            Mereka dituntut memberikan pengorbanan pada jalan Allah dengan tujuan menolong agamaNya. Rasulullah saw telah mentarbiah para sahabatnya untuk berjihad pada jalan Allah dan mengorbankan setiap yang berharga dan bernilai bagi memenangkan agama ini. Rasulullah s.a.w adalah Imam kepada mereka dalam jihad dan pengorbanan. Dengan sebab itu, Al-Imam asy-syahid menyeru Ikhwan kepada jihad yang berterusan dan pengorbanan yang berharga bagi menolong agama Allah. Sesungguhnya umat ini tidak akan baik melainkan dengan perkara yang menyebabkan umat dahulu menjadi baik, dan sekali-kali mereka tidak akan menjadi mulia melainkan dengan perkara yang menyebabkan umat dahulu menjadi mulia.

            Sesiapa yang mahukan kebaikan dan islah, keagungan dan kemuliaan tanpa jihad dan pengorbanan, maka beliau bermimpi di siang hari.

Sepotng syair Arab ada menyebut:

ومن طلب العلا من غير كد

فقد أضاع العمل في طلب المحال

            Maksudnya: “Sesiapa yang mengejar ketinggian tanpa berpenat lelah maka dia telah mensia-siakan kerjanya dalam  menuntut sesuatu yang mustahil.”

 

Pengorbanan yang dituntut:

            Setiap orang yang meredhai Allah sebagai tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad s.a.w sebagai nabi dan rasul, dituntut darinya melakukan pengorbanan. Setiap orang yang bernazar dan berjanji kepada Tuhannya untuk bekerja untuk Islam dan berjihad untuk Islam dituntut darinya kesungguhan dan pengorbanan yang berharga. Hakikat ini mestilah jelas dengan sejelas-jelasnya dihadapan akh muslim. Menjadi kewajipan ke atasnya menyiapkan diri dan menyediakannya bagi perngorbanan tersebut. Jadi, apakah dia pengorbanan yang dituntut itu?

            Al-Imam asy-syahid telah menjelaskan dengan katanya:

            “Mengorbankan jiwa, harta, masa, kehidupan dan semua perkara untuk mencapai matlamat”. Ya, inilah pengorbanan yang dituntut dari akh muslim. Inilah pengorbanan yang diseru oleh Allah dan dididik para sahabat oleh Rasulullah saw.

            Allah berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dengan membayarnya dengan syurga. Mereka berperang pada jalan Allah lalu membunuh dan dibunuh. Itulah janji yang sebenar yang disebut di dalam kitab Taurat, Injil dan Al-Quran. Sesiapa yang menunaikan janjinya dengan Allah, maka bergembiralah dengan janji yang kamu meterikan itu. Yang demikian adalah kemenangan yang besar.” (Surah At-Taubah: 111)

Maksudnya: “Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipatganda yang banyak.” (Surah Al-Baqarah: 245)

            Apabila Abu Ad-Dahdah mendengar ayat ini, dia merasakan tidak ada pilihan lain melainkan bersedekah dengan hartanya yang paling dikasihi lagi berharga. Lihat Tafsir Ibnu Kathiir: 1/299 – cetakan Dar Al-Ma’rifah, Beirut.

            Begitulah kita lihat tarbiyyah nabawiyyah yang dikecapi oleh para sahabat secara praktikal.

Abu Bakar r.a telah mengorban dan membelanjakan seluruh hartanya. Rasulullah saw bertanya kepadanya: “Apakah yang telah kamu tinggalkan kepada keluarga kamu?” Lalu beliau menjawab: “Aku telah tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya”.

Suhaib telah mengorbankan seluruh apa yang beliau miliki demi untuk menolong agama Allah. Lantas Allah menurunkan untuknya dan orang yang sepertinya ayat Al-Quran yang dapat dibaca. Firman Allah:

Maksudnya: “Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambanya“. (Surah Al-Baqarah: 207)

            Rasulullah s.a.w menyambutnya seraya bersabda:

Mermaksud: “Beruntunglah perniagaan kamu wahai Suhaib.”

Mus’ab pemuda yang kaya lagi manja mengorbankan semua yang ada padanya dan menjadi satu tanda dari bukti-bukti jihad kepada syabab muslim pada setiap zaman.

Begitu juga para sahabiyyaat yang melakukan pengorbanan untuk Islam. Khadijah, Ummu Salamah, Ummu Sulaim, Nusaibah, Asma’ …. Mereka semua mempunyai sikap yang telah termaklum, kehidupan yang dimakmurkan dengan melakukan pengorbanan yang bernilai. Sejarah para sahabat dipenuhi dengan kisah-kisah pengorbanan dengan harta dan jiwa demi memenangkan agama Allah.

 

Tidak ada jihad tanpa pengorbanan

            Inilah hakikat yang mesti disedari dengan jelas dan nyata. Dengan sebab itu Al-Imam asy-syahid telah memberitahu  petunjuk jalan dan tuntutan-tuntutannya supaya setiap akh mempersiapkan diri.

            Sesiapa yang mendakwa bahawa dia boleh berkhidmat kepada Islam dan memberi saham untuk membawa panji-panji dakwah, sedangkan dia kedekut dengan roh, harta, waktu dan setiap benda yang dimilikinya, maka dia hendaklah muhasabah diri. Bacalah kandungan kitab Allah sebaik-baiknya, perhatikan kepada sirah Rasulullah s.a.w dan lihatlah kepada sejarah. Sudah pasti dia akan memperolehi hakikat yang lebih jelas dari matahari di siang hari iaitu: Dakwah tidak akan hidup melainkan dengan jihad. Dan jihad tidak berlaku melainkan dengan pengorbanan.

 

Pengorbanan yang diberi ganjaran.

            Di antara perkara yang menenangkan hati mukmin dan mendorongnya untuk berbelanja dan berkorban ialah beliau mengetahui bahawa apa yang dia lakukan tidak akan sia-sia  bahkan akan dibalas dengan kebaikan, sebesar-besar balasan dan sebanyak-banyak pemberian dari Allah swt. FirmanNya:

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu sedekahkan, Allah akan menggantinya. Dialah sebaik-baik pemberi rezeki“.

Maksudnya: “Dan jika kamu mati atau dibunuh pada jalan Allah, tentunya keampunan dan rahmat Allah lebih baik (bagimu) dari harta rampasan yang mereka kumpulkan“. (Surah Ali ‘Imraan: 157)

            Setiap apa yang dibelanjakan oleh akh muslim akan diberi balasan samada ia kecil atau besar. Al-Imam asy-syahid telah mendatangkan firman Allah untuk menjelaskan makna ini:

Maksudnya: “Yang demikian itu adalah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah, dan tidak pula memijak suatu tempat yang membangkitkan kemarahan orang-orang kafir, dan tidak menimpakan sesuatu bencana terhadap musuh, melainkan ditulis bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik. Dan mereka tidak menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak pula yang besar dan tidak melintasi suatu lembah melainkan ditulis bagi mereka amal soleh juga, kerana Allah akan memberi balasan kepada mereka dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah At-Taubah: 120-121)

            Setiap apa yang seseorang hulurkan dari menanggung kelaparan dan dahaga, kesakitan dan kepenatan, langkah-langkah yang diatur dengan sebab dakwah yang menimbulkan kemarahan kepada golongan kufur dan taghut dan setiap saham yang diberikan untuk memenangkan Islam samada sedikit atau banyak, kecil atau besar, Allah akan menjaminnya dan tidak akan dipersia-siakan. Setiap kebaikan akan dibayar dengan sepuluh kali ganda kepada tujuh ratus kali ganda dan berlipat ganda yang banyak.

            Maka, tahniah kepada orang yang memberi pengorbanan dengan pemberian rabbani ini. Tahniah kepada mereka kerana mengecap kebahagiaan jiwa. Tahniah kepada mereka dengan apa yang sedang menanti mereka dari kemuliaan dan penghormatan akhirat.

 

Dosa mereka yang tidak berkorban.

            Sesungguhnya dakwah Allah adalah mahal. Sesiapa yang bekerja untuknya, dia akan dimuliakan kerana ketika itu beliau merasakan kewujudannya dan identitinya. Beliau akan menjadi seorang yang mempunyai mizan dan nilai, mencapai ketinggian dan kemuliaan serta mengecapi kemanisan ketenangan dan keselesaan.

            Oleh itu rijal yang sebenar tidak dapat hidup tanpa dakwah. Begitu juga dakwah berhajat kepada rijal.

            Oleh kerana dakwah tidak akan hidup melainkan dengan jihad, dan tidak ada jihad tanpa pengorbanan, maka mestilah ada pengorbanan dan diharamkan duduk dan bakhil. Orang yang tidak turut serta dan bakhil akan mendapat dosa.

            Ini telah disebut oleh Al Quran dalam firman Allah:

Maksudnya: “Katakanlah: Jika sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-mara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu dapati, perniagaan yang kamu takut rugi dan tempat-tempat tinggal yang kamu sukai itu terlebih kasih di sisi kamu dari Allah, RasulNya dan jihad pada jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah datangkan urusanNya, kerana Allah tidak akan memimpin kaum yang fasik“. (Surah At-Taubah: 24)

            FirmanNya lagi:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: Berangkatlah kamu (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal keni’matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksaan yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kenudharatan kepadaNya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu“.

Maksudnya: “Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada orang yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang yang berkehendak kepadanya. Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu.” (Surah Muhammad: 38)

            Allah berfirman menyuruh Rasulnya berkata kepada orang-orang yang tidak ikut berperang.         

Maksudnya: “Jika sekiranya kamu taat (ikut berperang), Allah akan mengurniakan kepada kamu balasan yang baik dan jika kamu berpaling sebagaimana kamu berpaling sebelum ini, nescaya Allah akan menyiksa kamu dengan siksaan yang pedih“. (Surah Al-Fath: 16)

            Al-Imam asy-syahid telah dapat mengesan makna-makna ini. Beliau mengetahui akibat buruk yang menanti golongan yang duduk sahaja tidak berjuang. Oleh itu beliau telah menyatakan secara berani dan terus terang bahawa sesiapa yang tidak memberikan pengorbanan bersama kita, beliau telah berdosa. Bagaimana tidak? Sedangkan Allah telah memberi amaran kepada mereka dan menyifatkan mereka sebagai fasik.

            * Ini adalah noktah yang penting dan perlu kepada perhatian terhadap kata-kata Al-Imam asy-syahid “Sesiapa yang tidak memberi pengorbanan bersama kita, maka beliau berdosa“.

            Beliau mahu mengatakan: “Kita Ikhwan Muslimin berkorban demi
memenangkan agama Allah dan begitu juga orang yang lain dari kita yang terdiri dari umat Islam yang sebenar. Maka syukur Alhamdulillah di atas taufik dari Allah. Adapun muslim yang tidak berkorban seperti mana kita lakukan bahkan duduk dan tidak bersama dalam membelanjakan harta dan berkorban, maka dia berdosa
“.

            Beliau sekali-kali tidak bermaksud untuk membataskan pengorbanan yang dikira, kepada diri dan anggota jamaahnya. Dan beliau tidak menuduh pengorbanan orang yang lain dari jamaah Ikhwan sia-sia, dan tidak menghukum mereka sebagai berdosa. Beliau banyak memuji para ‘amilin untuk Islam di mana-mana juga tempat dengan mana-mana cara pun dan berharap mereka akan mendapat kebaikan, sentiasa mengharapkan taufik untuk mereka.

Beliau seringkali mengulang-ulangkan firman Allah:

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia mengadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah kamu dalam membuat kebajikan“.(Surah Al-Baqarah: 148)

            Ini di samping keyakinan beliau terhadap ketinggian fikrahnya, sejahtera manhajnya, ketelitian tindakan-tanduknya berbanding dengan gerakan yang lain. Namun, ini bukan untuk bermegah-megah.

 

Sikap-sikap praktikal:

            Al-Imam asy-syahid telah mendidik Ikhwan supaya menjadi para ‘amilin bukan golongan yang pandai berteori dan berbahas serta mendendangkan slogan-slogan kosong. Oleh itu ikhwan telah diuji dengan ujian yang baik di sudut pengorbanan dengan membelanjakan setiap benda berharga dan bernilai, dengan jiwa, harta benda, masa dan setiap perkara. Mereka mampu bertahan untuk meninggikan panji-panji Islam dan memikul bebanan yang berat sedangkan kebanyakan mereka bukanlah orang yang berada dan kuat.

            * Ada yang menjual basikalnya untuk disahamkan harganya bagi membina pejabat Ikhwan dan masjid mereka di Iskandariah. Selepas itu beliau berjalan kaki setiap malam sejauh enam kilometer pergi dan balik tanpa beliau menyebut perkara tersebut kepada seorang pun.

            * Seorang Ikhwan petani mendaftarkan namanya dalam katibah sukarelawan. Tidak cukup dengan itu bahkan dia menjual kerbaunya -sedangkan jika dinisbahkan kepada petani ia merupakan modal bagi usahawan- untuk membeli senjata dengan duit tersebut, untuk beliau gunakan dalam berperang di Palestin. Ketika ketua kawasan berkata kepadanya: “Wahai saudaraku, tinggalkanlah kerbau kepada keluargamu. Cukuplah saudara berkorban dengan diri saudara”. Petani itu menjawab secara selamba: “Adakah Allah hanya membeli dari kita diri sahaja atau diri dan harta seluruhnya untuk mendapat ganjaran syurga”?

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dan membalasnya dengan syurga“. (Surah At-Taubah: 111)

            Bolehkah kita menerima barang tanpa kita membayar harganya?

            * Tanyalah bumi Palestin dan bandar-bandar di Terusan Suez. Ia akan menceritakan kepada kamu tentang kisah-kisah kepahlawanan serta peristiwa-peristiwa pengorbanan serta kelakian Ikhwan. Lihat buku “Ikhwan Muslimin dalam Perang Palestin” karangan Kamil Asy-Syarif.

Sepatutnya pemuda hari ini mengetahui bagaimanakah pengorbanan golongan Ikhwan yang terdahulu. Al-Imam asy-syahid berkata: “Tidak ramai orang mengetahui bahawa di kalangan para dai’e Ikhwan ada yang kadang-kadang keluar dari kerjanya di pejabat pada waktu Asar hari Khamis. Di waktu Isya’ beliau berada di Almania memberi ceramah kepada orang ramai dan waktu sembahyang jumaat beliau memberi khutbah di Soohaj. Apabila waktu asar ia memberikan ceramah di Asyuut dan selepas isya’ memberi ceramah di Soohaj, kemudian kembali ke tempatnya. Apabila awal pagi beliau berada di tempat kerjanya di Kaherah sebelum pekerja-pekerja yang lain.

            Empat perjumpaan ramai dihadiri oleh salah seorang da’ie dari para duat ikhwan di tempat-tempat berlainan selama 30 jam, kemudian dia kembali ke tempatnya dalam keadaan tenteram jiwa dan tenang hati. Beliau memuji Allah kerana dapat menjalankan tugasnya. Keadaannya itu tidak disedari melainkan para pendengar ceramahnya. Sumbangan tenaga ini kalau dilakukan oleh orang yang lain dari Ikhwan, nescaya dia akan memenuhi dunia dengan suara-suara kebanggaan dan publisiti.   Tetapi Ikhwan mementingkan agar manusia tidak melihat mereka melainkan bekerja. Sesiapa yang tertarik dengan amal, maka alangkah baiknya. Tetapi orang yang tidak tertarik dengan amal, dia tidak akan dapat diberi petunjuk dengan kata-kata.

Kadang-kadang seorang akh menghabiskan masanya sebulan atau dua berjauhan dari keluarga, rumah, isterinya dan anak-anaknya kerana berdakwah. Waktu malam beliau berceramah dan waktu siang beliau bermusafir. Beliau menyampaikan lebih dari 60 muhadharah di timur dan barat negara. Kadang-kadang dia menyertai perayaan dan menyampaikan ceramah kepada ribuan manusia dari berbagai peringkat. Kemudian selepas itu ia berpesan agar majlis itu jangan dijadikan untuk tujuan publisiti. 1

 

Saudaraku seIslam:

            Itulah pengorbanan yang dituntut dan inilah kedudukannya yang tinggi. Ia juga amat besar pahalanya dan berdosa orang meninggalkannya. Maka buatlah persediaan bagi tujuan itu. Jadikan dakwah lebih utama selalu. Jelmakan setiap sesuatu untuk dakwah dan lakukanlah setiap perkara kerana dakwah. Berkorbanlah pada jalanNya dengan diri-diri saudara, harta-harta saudara, masa-masa saudara, kerja-kerja saudara dan segala suatu, nescaya Allah akan memberkatinya.

            Adapun tentang halangan-halangan dalam dakwah, perbicaraan mengenainya panjang kerana ia terlalu banyak. Halangan-halangan ini pasti akan mengganggu orang yang melaluinya untuk menghalangnya, melemahkan  semangat dan keazamannya, mengganggu fikirannya dan memalingkannya dari dari jalan dakwah ini.

            Akh muslim dengan kerjanya di medan dakwah berada dalam perniagaan yang menguntungkan dengan Allah. Modal dalam perniagaan itu ialah semua nikmat yang Allah kurniakan kepadanya, boleh ia mengorbankannya di medan dakwah seperti masa, ilmu, harta benda, kesihatan, tenaga dan semua perkara. Akh muslim mestilah memastikan bahawa beliau tidak mensia-siakan sedikitpun dari masanya tanpa mengorbankan nikmat-nikmat tadi. Waktu itu adalah kehidupan dan kewajipan lebih banyak dari waktu. Lebih-lebih lagi perniagaan ini mungkin akan terhenti bila-bila masa apabila sampainya ajal.

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu dengan kamu beriman kepada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu….”. As-Saff: 10-11

 




Notes:

  1. Majmu’atur Rasaail: Risalah Muktamar Kelima: 163-164

Leave a Comment