Rukun Ke-4 – Jihad

Nazarat fi Risalah Ta’alim

Oleh: Muhammad ‘Abdullah Al-Khatib

Rukun Empat– Amal

 

               IMAM ASY-SYAHID BERKATA: “JIHAD YANG SAYA MAKSUDKAN DI SINI IALAH: SATU KEWAJIBAN YANG BERTERUSAN HINGGA KE HARI QIAMAT, SEPERTI MAKSUD SABDA RASULULLAH S.A.W:

               MAKSUDNYA: “SESIAPA YANG MATI SEDANG BELIAU TIDAK PERNAH BERPERANG (BERJIHAD) DAN TIDAK PERNAH BERNIAT UNTUK BERPERANG, BELIAU MATI DALAM JAHILIAH.”

               PERINGKAT JIHAD YANG PERTAMA IALAH MENGINGKARI DENGAN HATI DAN PERINGKAT YANG PALING TINGGI IALAH BERPERANG DI JALAN ALLAH. DI ANTARA KEDUA-DUA PERINGKAT JIHAD ITU TERDAPAT JIHAD LISAN, TULISAN, TANGAN DAN MENYATAKAN KEBENARAN KEPADA PEMERINTAH YANG ZALIM. DA’WAH TIDAK AKAN HIDUP TANPA JIHAD. SEJAUHMANA KETINGGIAN DAN RUANG LINGKUP DA’WAH PADA JALAN ALLAH , BEGITULAH JUGA KETINGGIAN DAN KELUASAN RUANG LINGKUP JIHAD PADA JALAN ALLAH. BEGITULAH JUGA MAHAL HARGA YANG DIPERLUKAN UNTUK MEMBANTU PERJUANGAN DA’WAH DAN BESAR PULA PAHALA BAGI MEREKA YANG BERAMAL. FIRMAN ALLAH SWT:

               MAKSUDNYA: “BERJIHADLAH KAMU DI JALAN ALLAH DENGAN SEBENAR-BENAR JIHAD.”

               DENGAN ITU KAMU MEMAHAMI SLOGAN YANG SAUDARA LAUNGKAN SEPANJANG MASA: “JIHAD JALAN KAMI”.

 

KETERANGAN:

1- Jihad dengan makna khas dan am

Ibnu Abbas r.a. berkata: “Jihad ialah mencurahkan tenaga pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela“. 1

               Ibnu Muqatil berkata: “Beramallah kerana Allah dengan sebenar-benar amal dan sembahlah Allah dengan sebenar-benar ibadat“. 2

               Ibnu Mubarak berkata: “Iaitu mujahadah nafsu dan hawa“. 3

               Dr. Said Ramadhan Al-Butti berkata: “Jihad ialah mencurahkan tenaga pada jalan meninggikan kalimah Allah dan menegakkan masyarakat Islam. Memberikan tenaga melalui peperangan adalah sebahagian darinya. Adapun tujuannya pula ialah menegakkan masyarakat Islam dan membentuk `Daulah Islamiah’ yang sebenar.” 4

               Al-Ustaz Maududi r.a. berkata mengenai jihad: “Maknanya: Kamu mempunyai semangat Islam, cemburu kepada iman dan cintakan agama serta memberi nasihat yang benar kepada saudara seIslam. Di antara semangat Islam ini ialah berjihad di jalan Allah dengan maknanya yang khas iaitu peperangan yang dilakukan oleh muslimin menentang musuh-musuh Islam, bukan dengan sebab lain melainkan mencari keredhaan Allah dan tidak mencari kepentingan duniawi.” 5

               Dengan ini jelaslah bahawa jihad dengan maknanya yang khas ialah berperang pada jalan Allah. Adapun maknanya yang am pula ialah kehidupan kita dari awal hingga ke akhirnya adalah jihad. Ia mempunyai marhalah-marhalah dan pusingan-pusingan. Setiap pusingan jihad menyediakan pusingan yang lain pula. Imam Ibnul Qayyim ketika memperkatakan tentang marhalah-marhalah ini, memulakannya dengan jihad nafsu untuk mempelajari kebenaran, kemudian jihad beramal dengannya, kemudian jihad bersabar di atas bebanan amal tersebut. Semua ini dikira sebagai jihad. Mana-mana kekurangan pada marhalah-marhalah ini atau tergopoh-gapah kadang-kadang tidak membawa kepada amal yang dituntut.

               Sesungguhnya jalan ini panjang, tempat gelincirnya banyak. Sesiapa yang mahu mengharunginya mestilah mempersiapkan dirinya dengan tarbiyyah, sabar dan sifat tahan lasak, dan dalam masa yang sama berusaha dengan seluruh kemampuannya menyeru orang lain ke jalan yang betul ini.

 

2- Serangan ke atas jihad:

               Di manakah dari perkara yang telah kami sebutkan tentang makna jihad dan matlamatnya, orang-orang zalim dari musuh-musuh Islam menyebarkan fitnah bahawa Islam tersebar dengan mata pedang dan ia adalah syariat permusuhan. Seterusnya mereka mengambarkan lakaran gambaran mujahid muslim semuanya dalam bentuk yang menggerunkan, menakutkan; ia adalah manusia ganas, pedang terhunus di tangannya, bunga api kejahatan berkilau di matanya, pemikirannya yang hanya tertumpu kepada pembunuhan dan merampas, apabila melihat orang kafir dia terus menerkam untuk membunuhnya. Mangsa itu mempunyai dua pilihan, samada melafazkan kalimah syahadah maka dia selamat, ataupun tidak maka lehirnya akan dipenggal.

               Kromer, salah seorang mubaligh kristian, penjajah dan benci kepada Islam berkata: “Jihad adalah fikrah permusuhan semata-mata. Islam telah memberinya bentuk syara’ supaya orang muslim mempertahankan dirinya dari serangan orang bukan Islam. Tetapi dalam waktu yang aman terhadap diri, harta dan marwahnya, ia adalah idea khianat dan manggalakkan permusuhan.”

               Mereka yang menyerang jihad, walaupun ramai jumlahnya, tidak ada seorang pun berani menyebut kepada kita satu peristiwa pun dalam sejarah yang membuktikan dakwaan atau memperkuatkan sangkaan mereka, seperti kata pepatah: “Lempar batu sembunyi tangan“.

               Sebenarnya sejarah telah membuktikan sehingga hari ini, umat Islam di segenap tempat menjadi mangsa pengkhianatan, penindasan, penyiksaan dan pengganasan.

               Tetapi menghalakan tohmahan ini kepada jihad dan mujahidin adalah perancangan jahat dari mereka. Saya yakin perkara itu mereka datangkan untuk mencapi maksud di sebalik tuduhan itu iaitu agar orang muslimin meninggalkan jihad. Sehingga terdapat setengah mereka mengatakan bahwa jihad hanya untuk mempertahankan diri sahaja. Ada setengah yang lain mengatakan: “Apa kena-mengena kita dengan jihad? Kita menyeru dengan cara hikmah, berbincang dengan baik.” Setengahnya pula menggugurkan jihad sama sekali dari fikirannya. Inilah yang dikehendaki oleh musuh-musuh Islam iaitu menjauhkan muslimin dari kewajiban yang berterusan hingga ke hari Qiamat ini. Tetapi … Alhamdulillah harakah islamiah mengembalikan rukun ini ke tempatnya.

 

3- Kedudukan rukun ini:

               Tersebut di dalam sahih:

Maksudnya: Bahawa Mu’az r.a berjalan bersama Rasulullah saw lalu baginda bersabda: “Jika kamu mahu, aku akan ceritakan kepada kamu tentang kepala agama ini dan “gah”nya (Kalau pada unta: Bahagian berbonggol di atas belakangnya.)

Kepala agama ini ialah “Tidak ada Tuhan melainkan Allah, tidak ada sekutu baginya dan Muhammad itu hamba dan RasulNya”. Tiangnya ialah mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Gahnya pula ialah berjihad pada jalan Allah. Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah, Yang Esa tidak ada sekutu baginya dan Muhammad itu hamba dan RasulNya. Apabila mereka melakukan perkara-perkara tersebut, mereka selamat. Begitu juga darah dan harta mereka melainkan dengan cara yang sebenar dan urusannya terserahlah kepada Allah. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada di dalam genggamanNya, tidaklah pucat satu muka dan tidak berdebu satu kaki kerana beramal untuk mencari darjat-darjat syurga selepas sembahyang fardhu, sama seperti berjihad pada jalan Allah. Dan tidaklah yang memberatkan timbangan seorang hamba sama seperti seekor binatang tunggangan yang mati pada jalan Allah, atau ditungganginya pada jalan Allah.” (HR Ahmad: 5/245)

               Di dalam As-Sahihaini:

Maksudnya: Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a, bahawa Rasulullah saw telah bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga ada seratus darjat yang disediakan Allah bagi para mujahidin pada jalan Allah. Jarak di antara satu darjat dengan darjat yang lain seumpama langit dan bumi.” (Fathul Baari: 6/14 no: 2790)

               Al-Quran telah mengakui kelebihan pada rukun ini dengan firman Allah swt:

Maksudnya: “Tidaklah sama antara orang mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwa atas orang-orang yang duduk satu darjat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang-orang yang duduk dengan pahala yang besar. Iaitu beberapa darjat daripadaNya, keampunan serta rahmat. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah An-Nisaa’: 95-96)

Maksudnya: Syarahbiil bin As-Samt berkata kepada Ka’ab bin Murrah: “Wahai Ka’ab! beritahulah kepada kami tentang hadis Rasulullah saw dan berhati-hati. Ka’ab berkata: Aku mendengar baginda bersabda: Sesiapa yang tumbuh seurat uban dalam Islam sedang beliau berjuang pada jalan Allah, uban itu akan menjadi cahaya baginya pada hari Qiamat. Syarahbiil menyambung: Beritahulah lagi kepada kami hadis Rasulullah saw dan berhati-hati. Ka’ab berkata: Aku mendengar baginda bersabda: Panahlah, sesiapa yang panahnya sampai ke pihak musuh, Allah akan mengangkatnya satu darjat. Ibnu An-Niham berkata: Wahai Rasulullah! Apakah darjat itu? Baginda menjawab: Ia bukanlah tangga emak kamu, tetapi jarak di antara dua darjat ialah seratus tahun.” (HR An-Nasaai: 6/27 – Kitab Jihad – Bab: Balasan pahala orang yang memanah pada jalan Allah)

               Inilah beberapa sudut dari kedudukan rukun ini yang tidak dapat lari darinya. Inilah nilai jihad dengan harta dan jiwa pada timbangan Allah. Inilah pandangan agama dan keaslian rukun jihad dalam Islam.

 

4- Jihad adalah kemuliaan kita: 6

Di bawah tajuk ini Al-Imam asy-syahid menulis sambil membataskan makna jihad secara teliti dan menjelaskan usul kefahaman dan ruang lingkup tajuk ini. Beliau berkata: “Ikhwan Muslimin tidak membawa kepada manusia selain dari Islam dan asas-asasnya. Ia tidak berjalan melainkan mengikut manhaj-manhaj Islam dan cabang-cabangnya. Saya telah terangkan kepada saudara tentang solat, zakat dan apa yang mereka mahu dari diri mereka dan manusia seluruhnya iaitu tunggak agama dan tiangnya. Maka sekarang saya akan terangkan pula tentang Ikhwan Muslimin yang berjihad. Apa yang mereka kehendaki dari diri mereka sendiri dan juga manusia. Iaitu berjihad pada jalan Allah yang merupakan kemuncak gah Islam.

               1) Di antara jihad dalam Islam wahai saudaraku ialah: Perasaan yang hidup lagi unggul, meluak-luak keinginan kepada kemuliaan Islam dan keagungannya, bersegera dengan penuh keinginan kepada kekuasaan dan kekuatannya. Ia akan menangis sedih melihat muslimin ditimpa kemunduran dan kehinaan. Ia akan menderita di atas situasi ini. Situasi yang tidak diredhai Allah, tidak diredhai Rasul, juga tidak diredhai oleh jiwa muslim dan hati mukmin seperti yang terdapat dalam athar yang masyhor.

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka.”

               Dalam satu rangkap syair:

لمثل هذا يذوب القلب من كمد

إن كان في القلب إسلام وايمان

Maksudnya: “Kerana hal yang seperti inilah hati menjadi luluh kerana tersiksa, jika sekiranya di dalam hati masih terdapat Islam dan Iman. “

               2) Di antara jihad di jalan Allah wahai saudaraku ialah: Kemahuan dan keinginan yang berterusan yang membawa saudara berfikir keras mencari jalan penyelamat, menghabiskan waktu yang panjamg berfikir secara mendalam mencari jalan ‘amal dan bermacam-macam helah untuk menyelamatkan umat ini. Sesungguhnya niat seseorang lebih baik dari amalannya kerana Allahlah yang Maha Mengetahui mata yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada.

               3) Di antara jihad di jalan Allah wahai saudaraku ialah: Mengorbankan sebahagian dari waktu, harta dan keperluan diri kamu demi untuk kebaikan Islam dan orang-orang muslimin. Sekiranya kamu sebagai pemimpin, maka dalam tugas kepimpinan kamu curahkan. Begitu juga sekiranya kamu sebagai pengikut, maka dalam memberi bantuan angkatan daei’. Semuanya adalah kebaikan. Firman Allah:

               Maksudnya: “Allah janjikan kepada masing-masing (orang yang menafkahkan harta dan berperang pada jalan Allah) balasan yang lebih baik.” (Surah Al-Hadiid: 10)

               Dan firman Allah lagi:

Maksudnya: “Tidak sepatutnya bagi penduduk Madinah dan orang-orang Arab Badwi yang tinggal di sekitar mereka, tidak turut menyertai Rasulullah saw (pergi berperang) dan tidak patut pula mereka mencintai diri mereka lebih dari mencintai diri Rasulullah saw. Yang demikian itu adalah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah, dan tidak pula memijak suatu tempat yang membangkitkan kemarahan orang-orang kafir, dan tidak menimpakan sesuatu bencana terhadap musuh, melainkan ditulis bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik. Dan mereka tidak menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak pula yang besar dan tidak melintasi suatu lembah melainkan ditulis bagi mereka amal soleh juga, kerana Allah akan memberi balasan kepada mereka dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”(Surah At-Taubah: 120-121)

               4) Di antara jihad di jalan Allah wahai saudaraku ialah: Menyeru dengan makruf dan menegah dari kemungkaran, menasihat bagi Allah, RasulNya, KitabNya, pemimpin-pemimpin muslimin dan orang awam di kalangan mereka. Kamu menyeru pada jalan Tuhan kamu dengan penuh hikmat dan peringatan yang baik. Tidaklah sesuatu kaum meninggalkan nasihat melainkan mereka ditimpa kehinaan, dan tidaklah mereka mengabaikan amar ma’ruf dan nahi mungkar melainkan mereka akan tersisih. Allah berfirman:

Maksudnya: “Orang-orang kafir dari kalangan Bani Israel dilaknat pada lisan nabi Daud dan Isa Ibnu Maryam. Yang demikian itu adalah kerana mereka membuat maksiat dan tidak mencegah kemungkaran yang dilakukan. Amat buruklah apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al-Maaidah: 79)

               5) Di antara jihad di jalan Allah wahai saudaraku ialah: Menentang sesiapa juga yang menentang agama, memutuskan hubungan dengan sesiapa yang memusuhi Allah dan RasulNya. Tidak ada lagi hubungan dan muamalah antara kamu dan dia. Tidak lagi makan minum bersamanya. Di dalam hadis menyebut:

Maksudnya: “Sesungguhnya kerosakan yang pertama masuk ke dalam Bani Israel ialah: Seorang lelaki bertemu dengan seorang yang lain lalu berkata: Wahai saudara, takutlah kepada Allah, dan tinggalkanlah apa yang kamu lakukan ini kerana ia adalah haram. Kemudian dia bertemu sekali lagi pada keesokan harinya dan orang itu masih lagi melakukan perbuatan yang sama, namun lelaki itu menjadikannya teman untuk makan minum dan duduk. Apabila mereka melakukan perkara tersebut Allah lagakan di antara hati-hati mereka.” (HR Abu Daud: 4/119 no: 4336)

               6) Di antara jihad di jalan Allah wahai saudaraku ialah:

Menjadi tentera Allah, mewakafkan jiwa dan harta kamu untuknya. Jangan tinggalkan sedikitpun dari semua itu. Apabila keagungan Islam dicabar dan kemuliaan Islam diperlekehkan dan terdengar seruan untuk mengembalikan keagongan Islam, kamulah orang pertama menyahut seruan itu dan yang pertama maju untuk jihad. Benarlah firman Allah:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dengan membayarnya dengan syurga. Mereka berperang pada jalan Allah lalu membunuh dan dibunuh. Itulah janji yang sebenar yang disebut di dalam kitab Taurat, Injil dan Al-Quran. Sesiapa yang menunaikan janjinya dengan Allah, maka bergembiralah dengan janji yang kamu meterikan itu. Yang demikian adalah kemenangan yang besar.” (Surah At-Taubah: 111)

               Di dalam Rasulullah saw menyebut:    

من مات ولم يغز ولم يحدث به نفسه مات على شعبة من نفاق

Maksudnya: “Sesiapa yang mati sedangkan beliau tidak pernah berperang pada jalan Allah dan tidak pernah berniat untuk berperang, beliau mati dalam satu cabang nifaq.” (HR Muslim: 3/1517 no: 1910)

               Dengan demikian akan tercapailah apa yang dikehendaki oleh Allah iaitu menyebarkan Islam ke sehingga melata di seluruh pelusuk muka bumi ini.

               7) Di antara jihad di jalan Allah wahai saudaraku ialah:

Berkerja untuk menegakkan mizan keadilan, memperbaiki keadaan makhluk (manusia), membantu orang yang dizalimi dan bertindak ke atas penzalim sekalipun dia mempunyai kedudukan dan kekuasaan.

               Tersebut di dalam hadis:

أفضل الجهادكلمة عدل عند سلطان جائر أو أمير جائر

Maksudnya: “Jihad yang paling afdhal ialah menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.” (HR Al-Bukhari dan Abu Daud: 4/119 no: 4344)

               Di dalam hadis lain:

Maksudnya: “Penghulu orang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Muttalib dan seorang lelaki yang berhadapan dengan pemimpin yang zalim, lalu dia menyuruh dan melarangnya, maka dia dibunuh.” Majma’ Az-Zawaaid: 9/271

               8) Di antara jihad di jalan Allah wahai saudaraku ialah:

Jika kamu tidak mampu melakukan sedilitpun dari semua perkara di atas, kamu hendaklah mengasihi mujahidin dengan sepenuh hati dan menasihat mereka dengan pandangan yang ikhlas. Allah akan mencatatkan kebajikan untuk kamu dengan perbuatan tersebut dan melepaskan dari tanggungjawab. Jangan menjadi yang lain dari itu kerana Allah akan menutup pintu hati kamu dan membalasnya dengan azab yang pedih.

               Allah berfirman:

Maksudnya: “Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya. Tidak ada jalan sedikitpun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan tiada pula dosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan, lalu kamu berkata: “Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu”, lalu mereka kembali sedang mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran mereka tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan. Sesungguhnya jalan untuk menyalahkan hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu, padahal mereka itu orang-orang kaya. Mereka rela berada bersama-sama orang-orang yang tidak ikut berperang dan Allah telah mengunci mata hati mereka, maka mereka tidak mengetahui (akibat perbuatan mereka).” (Surah At-Taubah: 91-93)

               Selepas Al-Imam asy-syahid membentangkan secara detail tentang bantuk-bentuk jihad dan menerangkan martabat-martabatnya, beliau membincangkan pula mengenai Ikhwan, dimanakah kedudukan mereka dalam darjat-darjat ini. Beliau berkata;

               “Adapun mereka bersedih terhadap nasib yang telah menimpa umat Islam, berdukacita di atas suasana tersebut, maka Allahlah yang mengetahuinya. Ada di antara mereka, keadaan tersebut menghancur luluhkan hatinya, mengoyak perasaannya dan menghalangnya dari banyak menghabiskan masa bergembira dengan ahli keluarga dan saudara-maranya dan dari mengecapi setiap kenikmatan yang ada.”

               “Manakala mereka berfikir mencari jalan penyelamat, maka Allah mengetahui sesungguhnya tidak ada fikrah yang menguasai fikiran mereka, tidak ada rancangan yang menguasai perasaan mereka dan tidak ada perkara yang menyelubungi benak pemikiran mereka seperti fenomena ini. Perkara inilah yang menguasai kepala dan hati mereka.”

               “Begitu juga mereka belanjakan pada jalan ini waktu dan juga harta. Cukuplah kalau saudara menziarahi satu kelab dari kelab-kelab mereka, saudara dapat melihat mata-mata yang layu kerana berjaga malam, muka-muka yang pucat kerana berjihad, tubuh-tubuh yang kurus kerana keletihan. Mereka adalah pemuda-pemuda kuat dengan ‘aqidahnya.”

               Di sana ada titik pertemuan di dalam kefahaman di antara para pemimpin amal Islami kini, walaupun jarak yang jauh antara keduanya. Saudara merasakan bahawa mereka mengambil dari sumber yang satu. Ini adalah bukti kebenaran.

               Abul Hasan An-Nadwi berkata:

               “Kita mestilah memberi perhatian kepada tiga faktor di bawah agar dakwah memperolehi kejayaan iaitu:

               (i) Marhalah dakwah dan penanaman asas-asas iman di lubuk hati didahulukan dari yang lain. Dengan panjangnya marhalah ini, berterusannya kerja rijal dakwah yang dan berjihad pada jalannya, marhalah-marhalah lain akan berjaya dan mengeluarkan buah yang masak mekar serta sedap dimakan.

               (ii) Melahirkan rijal yang menegakkan dakwah yang sentiasa memenuhi setiap ruang kosong. Setiap pergerakan atau dakwah atau badan-badan sekalipun kuat, sekiranya tidak ada berterusan melahirkan rijal, maka ia terdedah kepada bahaya. rijalnya akan beransur-ansur pupus dan akan mengundur diri pada bila-bila masa.

               (iii) Memberi makanan kepada hati dan ruh dengan makanan yang dapat menjaga kecergasan dan semangat rijal dakwah dan memulihkan semula tenaga yang mereka dicurahkan. Sesungguhnya rijal adalah seperti pelita, apabila minyaknya habis ia akan padam. Jadi perkara tadi penting, kalau tidak jiwa akan berhenti di pertengahan jalan dan semangat menjadi sejuk dan terus mundur ke belakang. Oleh itu tidak cukup dengan semangat dan thiqah dengan pengorbanan semata-mata. Mestilah istiqamah yang berterusan. Ianya tidak dapat dicapai dengan tarbiah ruhiah dan memberi santapan hati dengan iman dan zikir.

               Syabab muslim mestilah mengawal semangat dan tindak-takduknya kerana lelaki yang bercakap lain dari lelaki yang beramal, lelaki yang beramal berbeza dari lelaki yang berjihad semata-mata, dan lelaki yang berjihad semata-mata bukanlah lelaki yang berjihad yang produktif dan bijaksana serta menghasilkan keuntungan yang besar natijah yang baik.

               Pengarang Fi Zilalil Quran menyebut:

               “Sesungguhnya manusia yang paling bersemangat dan maju kedepan, kadang-kadang adalah orang yang paling pengecut dan mundur apabila berhadapan dengan sesuatu peristiwa. Bahkan ini mungkin boleh dijadikan kaedah. Ini adalah kerana terlalu bersemangat dan maju kedepan kebiasaannya berpunca dari tidak tahu menilai hakikat sesuatu tugas, bukannya berpunca dari sifat berani dan tahan lasak. Ianya juga berpunca dari sikap tidak tahan menanggung kesempitan dan derita, lalu sifat tidak sabra itu mendorongnya bergerak ke hadapan untuk mengalahkan musuh tanpa menilai kekuatan dan ketahanan diri sendiri. Jadi apabila mereka berhadapan dengan realiti dan mendapati bahawa tugas itu lebih berat dari yang disangka, mereka menjadi saf yang pertama mundur dan tumbang. Tetapi orang yang tahan lasak dan tidak mundur ialah orang yang dapat mengawal diri, sabar menanggung kesempitan dan derita pada beberapa ketika serta membuat persiapan dan pandai menilai hakikat tugas harakah. Sejauh mana kesabaran jiwa menanggung tugas-tugas ini, maka mereka akan bersabar, tidak gopoh dan membuat persediaan untuk menghadapinya. Orang-orang yang terlalu bersemangat maju kedepan tadi mungkin tidak bersetuju dengan cara ini dan menganggapnya sebagai kelemahan. Di dalam peperangan barulah terbukti manakah di antara dua golongan tadi lebih tahan lasak dan lebih jauh pandangannya.” Fi Zilaalil Quran: 5/712

               Mudah-mudahan saudara sudahpun memahami apa yang dimaksudkan oleh Ikhwan tentang rukun jihad, gambaran dan darjat-darjatnya. Inilah dia kefahaman yang sahih dan syamil terhadap Islam, fardhu-fardhu dan rukun-rukunnya.

               Abdullah bin Al-Mubarak mengungkapkan kata-katanya tentang jihad:

               Wahai ‘abid di Al-Haramain!

               Jika saudara melihat kami

               Nescaya saudara tahu bahawa

               Saudara hanya bermain-main dengan ibadat

              Kalau pipi saudara dibasahi airmata

               Leher kami pula dibasahi darah

               Kalau kuda saudara penat di dalam kebatilan

               Kuda kami pula penat di medan perang

               Wangi-wangian adalah untuk kamu

               Wangian-wangian kami pula adalah debu-debu

               akibat hentakan kaki kuda

               Di antara perhatian penting yang bersangkutan dengan rukun jihad ialah soal keimanan yang benar. Perniagaan ini tidak akan mencapai keuntungan melainkan jika sekiranya saudara bersifat dengan sifat-sifat mukmin yang sejati. Allah S.W.T berfirman:

               Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dengan membalas syurga.” (Surah At-Taubah: 111)

               Kemudian Allah swt telah menjanjikan pertolongan, bantuan, kemenangan dan kekuasaan kepada orang-orang mukminin. Kita mestilah bersifat dengan sifat-sifat mukminin untuk mendapat janji tersebut.

               Berpaling dari rukun jihad berlaku apabila duduk dan tidak menyahut seruan jihad. Allah swt telah memberi amaran kepada mereka yang tidak menyahut seruan jihad dengan azab yang pedih. Kalau kita takdirkan kebanyakan umat tidak menyahut seruan tersebut, maka natijahnya ialah kehancuran uamt Islam, musuh-musuh akan menguasai dan membuat fitnah di dalam agama mereka. Begitu juga orang yang berpaling mundur ke belakang ketika berhadapan dengan musuh. Kalau kita takdirkan kebanyakan umat berpaling lari, maka umat Islam akan hancur juga. Allah swt berfirman:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: Berangkatlah (untuk berperang pada jalan Allah)” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (jika dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksaan yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepadaNya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah At-Taubah: 38)

               Perkara-perkara menarik yang membuatkan seseorang merasa berat untuk berjihad hanyalah kenikmatan dunia yang sementara. Akh muslim mestilah berusaha mengikisnya agar ia tidak menjadi batu penghalang kepadanya dalam berjihad di jalan Allah yang menyebabkannya ditimpa azab Allah yang amat pedih.




Notes:

  1. Lihat Zaadul Ma’aad karangan Ibnul Qayyim.                               

  2. Lihat Zaadul Ma’aad

  3. Lihat Zaadul Ma’aad

  4. Fiqhus Seerah karangan Al-Buuti.

  5. Asas-asas Islam: 118-119

  6. Majmu’atur Rasaail: – Adakah kita kaum yang beramal: 80

Leave a Comment