Rukun Ke-3 – Amal

Nazarat fi Risalah Ta’alim

Oleh: Muhammad ‘Abdullah Al-Khatib

Rukun Ketiga- Amal

 

FIRMAN ALLAH SWT:

               MAKSUDNYA: “DAN KATAKANLAH: BEKERJALAH KAMU, MAKA ALLAH DAN RASULNYA SERTA ORANG-ORANG MUKMIN AKAN MELIHAT PEKERJAANMU ITU, DAN KAMU AKAN DIKEMBALIKAN KEPADA ALLAH YANG MENGETAHUI YANG GHAIB DAN YANG NYATA, LALU DIBERITAKANNYA KEPADA KAMU APA YANG TELAH KAMU KERJAKAN.” (Surah At Taubah: 105)

               AMAL SOLEH MELAZIMI IMAN DAN MEMBENARKANNYA. KEDUA-DUANYA ADALAH SEBAB KEMENANGAN DAN KEKUASAAN DI MUKA BUMI SERTA  KEBAHAGIAAN DAN KENIKMATAN DI AKHIRAT.

               BERAMAL DALAM MEDAN DAKWAH KEPADA ALLAH, AGAR AGAMANYA TEGAK BERKUASA DAN MENDIRIKAN NEGARA ISLAM ADALAH BIDANG AMAL SOLEH YANG PALING AFDHAL DAN MULIA.

 

PENDAHULUAN:

               Al-Imam asy-syahid sejak awal-awal lagi amat menghendaki supaya peribadi-peribadi ikhwan muslimin menjadi rijal yang  bekerja bukan berteori dan petah bercakap, beliau menganjurkan mereka bekerja keras dalam setiap bidang serta meninggikan cita-cita dan keazaman. Sesungguhnya masa untuk tidur sudahpun berakhir. Menjadi kewajipan ke atas akh muslim untuk beramal bersungguh-sungguh tanpa mengenal lelah dan jemu. Oleh itu tidak ada tempat dalam saf Ikhwan bagi pemalas yang lemah.

1- Al-Imam asy-syahid telah menerangkan nilai amal dimana beliau menjadikan amal buah dari ilmu dan ikhlas. Maka ilmu yang  sahih akan sentiasa berkurang dan terbatas selama mana ia tidak menolak tuannya kearah bekerja yang positif dan membina. Niat yang baik tidak mencukupi untuk mencapai matlamat sekiranya tidak disertai dengan usaha dan amal yang bersungguh-sungguh bagi mencapai sesuatu tujuan.

               Sesungguhnya ilmu dan ikhlas tanpa amal seperti pokok tidak berbuah.

               Kearah amal wahai Ikhwan! Agar disempurnakan binaan dari segi bentuk dan juga kandungan dalaman dan luaran. Tunggulah ketika itu balasan pahala yang besar.

               Firman Allah swt:

Maksudnya: “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah At Taubah: 105)

               Berhati-hatilah kamu dari menyerupai orang-orang yang  melaungkan slogan-slogan palsu, dakwaan-dakwaan kosong dan suka  berangan-angan. Renunglah satu syair Arab:

لاتكن عبد المنى

فالمنى رؤس أموال المفاليس

Maksudnya: “Jangan kamu menjadi hamba angan-angan. Sesungguhnya angan-angan itu adalah modal orang muflis.”

               Kupasan ajaib yang disebut oleh Al-Imam asy-syahid pada sifat-sifat akh yang benar, meletakkan petunjuk di hadapan pendidik-pendidik dan juga peribadi-peribadi untuk beramal yang perlu dilaksanakan dan diambil berat.

               Sifat-sifat ini menjelaskan kepada kita keistimewaan didikan madrasah Ikhwan Muslimin, di mana ia tidak meninggalkan satu sudut dari sudut-sudut yang penting melainkan difokuskannya. Ianya bukan angan-angan, bahkan jamaah telah mengambil berbagai-bagai wasilah dan manhaj bagi mencapai tujuannya iaitu melahirkan peribadi muslim seperti yang diterangkan oleh Al-Imam asy-syahid. Sesungguhnya realiti telah membuktikannya dan akan terus membuktikan keadaan tersebut dengan izin Allah.

2- Sifat-sifat yang sepuluh pada akh muslim hanya semata-mata untuk mengumpul, bukan susunan tersebut berdasarkan keutamaan ataupun kedudukan. Walaupun begitu, susunan tersebut kadang-kadang tidak lari dari faedah.

               Dimulakan dengan kuat tubuh badan, untuk mengingatkan tentang perkara penting yang dilupai oleh sebilangan besar dari ‘amilin (pekerja) untuk Islam. Bagaimanakah begitu sedangkan kebenaran mesti ada kekuatan yang melindunginya.

Sabda Rasulullah saw:

المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف وفي كل خير

Maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi di sisi Allah swt dari mukmin yang lemah. Dari pada kedua-duanya ada kebaikan“. (HR Muslim)

Sesungguhnya Al-Imam asy-syahid telah menggariskan kepada akh muslim jalan bekerja yang dituntut darinya. Beliau telah menerangkan langkah-langkah dan peringkat-peringkatnya. Bagi kita disini terdapat beberapa perhatian iaitu:

3- Susunan yang teliti ini bermula dari permulaan hingga kesudahannya.

               Amal-amal yang dituntut dari umat Islam adalah besar dan ia merupakan amanah yang berat. Untuk menunaikan amanah, mencapai cita-cita dan melaksanakan amal tidak dapat tidak mestilah memerlukan peribadi-peribadi yang ditarbiyyah dengan tarbiyyah yang betul, saling melengkapi, seimbang, suci, polsitif dan `rabbani.

4- Penumpuan ke atas peribadi muslim dengan menerangkan sifat-sifat yang wajib dihiasi olehnya supaya menjadi batu-bata yang kukuh dalam menegakkan bangunan Islam yang akan dibina.

               Di sini kita berhenti sejenak untuk menerangkan perkara penting tentang martabat yang pertama (membaiki diri). Muslim yang dikehendki ialah mereka yang memiliki tenaga diri yang menolaknya ke arah bergerak secara bersungguh-sungguh, pengkajian yang berterusan dan kedepan dalam mendaki tangga ketinggian. Beliau membaiki dirinya sendiri dan tidak menunggu orang lain menolaknya untuk bergerak dan membaiki keadaannya.

               Ini adalah masalah penting yang semestinya para murabbi mengambil berat iaitu masalah penanaman (zatiah) sebagai penolak dalam diri individu-individu supaya mereka menjadi pemberi-pemberi selepas menerima. Agar menjadi penolong-penolong yang membawa dakwah selepas mereka itu menjadi individu-individu yang dibawa.

 

Kedudukan amal

               Sesungguhnya Al-Imam asy-syahid sangat-sangat mengambil berat dalam masalah amal. Sehingga beliau menjadikannya satu rukun dari rukun bai`ah yang sepuluh. Ketika beliau membincangkan wasilah-wasilah umum, beliau berkata: “Ia adalah iman yang mendalam, pembentukan yang teliti dan amal yang berterusan. 1

               Beliau telah menyebut di tempat yang lain tentang keistimewaan dakwah Ikhwan Muslimin iaitu: Melebihkan sudut amal dari propaganda dan iklan kerana bimbang riya` akan meresapi amal-amal ini dan merosakkannya. Beliau telah menjelaskan nilai kemampuan amal dan kedudukannya seraya berkata: “Ramai orang mudah berkhayal, tetapi tidak semua khayalan yang bermain di benak fikirannya itu mampu untuk digambarkan melalui percakapan lisan. Ramai orang mampu untuk mengungkapkan perkataan tetapi

sedikit dari mereka mampu memikul bebanan jihad dan amal yang berat. Sehingga para mujahidin dari kalangan Ansar yang terdiri dari orang-orang pilihan pun kadang-kadang tersilap memilih jalandan tidak dapat mengenai sasaran kalaulah tidak diselamatkan oleh rahmat Allah swt. “

               Kesah Tolut menjelaskan apa yang saya nyatakan. Maka persiapkanlah diri kamu dengan tarbiyyah yang sahih dan ujian yang teliti. Ujilah ketahanannya dengan amal yang berat lagi dibenci oleh nafsu. Pisahkan jiwa kamu dari syahwat (keinginan), kesukaan dan adat kebiasaannya.

               Pandangan yang jelas, mantap, bernas dan teliti ini memang sesuai dengan tujuan besar yang sedang diperjuangkan oleh jamaah yang terbesar untuk mencapainyanya. Medan amalnya  pula luas dan banyak. Ia berhajat kepada masa yang panjang, nafas yang panjang, usaha oyang berlipat ganda dan kesabaran yang tidak luntur. Benarlah firman Allah :

Maksudnya: “Oleh itu bersabarlah kamu. Sesungguhnya janji Allah itu benar dan janganlah kamu digoncangkan oleh orang-orang yang tidak mengetahui.” (Surah Ar-Ruum: 60)

               Al-Imam asy-syahid menjelaskan maksud rukun amal dengan katanya: “Aku maksudkan dengan amal ialah, buah dari ilmu dan ikhlas.

Maksudnya: “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah At Taubah: 105)

               Kemudian beliau menjelaskan peringkat-peringkat amal yang dituntut daripada akh muslim yang sebenar.

 

Peringkat pertama: Memperbaiki diri sehingga menjadi:

1) Kuat tubuh badan

2) Ampuh akhlak

3) Fikiran yang berilmu pengetahuan

4) Mampu bekerja dan berusha

5) Sejahtera ‘aqidah

6) Sahih ibadat

7) Mujahadah diri

8) Menjaga waktu

9) Bersistem dalam urusan

10)Bermanfaat untuk orang lain

               Perkara-perkara tersebut wajib ke atas setiap akh muslim sekaligus.

               Inilah peribadi muslim yang kami kehendaki, bentuknya terserlah. Maka berusahalah sehingga sempurna sudut-sudut yang kurang dan curahkan tenaga semampu boleh.

Peringkat kedua: Membina keluarga muslim.

               Iaitu dengan beliau membawa ahli keluarganya untuk menghormati fikrahnya dan menjaga adab-adab Islam pada setiap sudut lahiriah kehidupan rumahtangga, bijak memilih bakal isteri, mengajarkan hak dan kewajipan isteri, mendidik anak-anak dan khadam dengan baik dan membesarkan mereka diatas asas-asas Islam.

               Itu merupakan kewajipan setiap akh muslim secara sekaligus. Bersungguh-sunguhlah supaya keluarga saudara sampai ke peringkat ini. Setiap ahli keluarga mengetahui apakah hak untuknya dan apakah kewajipannya mengikut kacamata Islam.

Peringkat ketiga: Membimbing masyarakat.

               Iaitu dengan menyebarkan dakwah dan kebaikan dalam masyarakat, memerangi keburukan dan kemungkaran, memberi peransang kepada amal kebajikan, amar makruf, berlumba-lumba ke arah perbuatan kebajikan, membawa pandangan umum terhadap fikrah Islam dan mewarnakan kebudayaan hidup ummah dengan Islam setiap ketika. Itu adalah kewajiban setiap peribadi secara sekaligus dan juga kewajiban jamaah sebagai institusi yang beramal. 2

Masyarakat muslim yang kita kehendaki ialah yang mematuhi perintah Allah, menyerahkan dirinya kepada Allah, menerima seruan kebaikan, memerangi keburukan dan kemungkaran serta mencernakan kehidupannya dengan Islam.

 

KOMENTAR:

              Jelas dari kata-kata Al-Imam asy-syahid dalam peringkat ini bahawa sesungguhnya bebanan ini tidak akan dapat dipikul dan dilaksanakan melainkan mereka yang mengikat tempat kembali dan masa depan mereka dengan dakwah ini. Mereka mempertaruhkan hidup untuknya, rela menanggung kususahan perjalanan, bersegera melakukan kebaikan dan berlumba-lumba kearahnya, bersedekah dalam keadaan hati mereka gementar kerana mereka akan kembali kepadan Tuhan, sentiasa memperelokkan amalan dengan harapan agar diterima, mencari keredhaan Allah swt dan tidak menunjuk-nunjuk.

               ‘Amal ini tidak dapat dilaksanakan secara sempurna melainkan oleh golongan ‘amiliin dari jenis tersebut. Ia tidak dapat dijalankan oleh pelakon, orang upahan atau orang yang mencari kepentingan diri sekalipun dicurahkan mata benda dunia di hadapan mereka. Manakan sama perempuan yang menangis kerana kematian anak dengan perempuan yang diupah menangis, sebagaimana yang tersebut dalam perumpamaan Arab.

               Tetapi akh yang bekerja, akan menggunakan apa yang beliau miliki samada waktu, tenaga, harta, ilmu dan jiwa untuk jalan dakwah ini dan dia sedikitpun tidak kedekut dari semua itu sebagai menunaikan janjinya dengan Allah. Benarlah firman Allah:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, jiwa-jiwa dan harta-harta mereka dengan balasan syurga. Iaitu mereka yang berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh dan dibunuh, sebagai satu perjanjian yang benar yang disebut di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Lantaran itu, sesiapa yang menyempurnakan janjinya dengan Allah, maka bergembiralah dengan janji yang kamu meterikan itu. Yang demikian itulah kemenangan yang besar“. (Surah At-Taubah: 111)

              Dalam firmannya yang lain:

Maksudnya: “Katakanlah: Jika sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-mara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu dapati, perniagaan yang kamu takut rugi dan tempat-tempat tinggal yang kamu sukai itu terlebih kasih di sisi kamu dari Allah, RasulNya dan jihad pada jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah datangkan urusanNya, kerana Allah tidak akan memimpin kaum yang fasik“. (Surah At-Taubah: 24)

               Al-Imam asy-syahid seterusnya menyambung lagi tentang martabat-martabat amal yang dikehendaki seraya berkata:

Peringkat Keempat: Membebaskan negara (watan)

Iaitu dengan membebaskannya dari cengkaman kuasa asing yang bukan Islam samada di sudut politik, ekonomi ataupun rohani.

Peringkat Kelima

               Membetulkan kerajaan sehingga menjadi kerajaan Islam yang sejati. Dengan itu ia melaksanakan tugasnya sebagai khadam dan orang yang disewa oleh ummah.

Perkara ini menjelaskan kewajiban pemerintah dalam Islam. Tersebut di dalam Risalah Siasah Syar’iyyah karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah r.a. m/s 14, cetakan Dar Zuhur Al-Fikr: “Abu Muslim Al-Khawalaani masuk mengadap Mu’awiyah bin Abu Sufyan seraya berkata: Selamat sejahtera ke atas kamu wahai orang yang diupah. Pembesar-pembesar yang berada di dalam majlis itu lantas berkata: Wahai Abu Muslim! Katalah “wahai amir”. Mu’awiyah berkata: Biarkan Abu Muslim, sesungguhnya dia lebih tahu apa yang diucapkannya. Abu Muslim berkata: Kamu hanyalah orang yang diupah, Tuhan kambing-kambing ini telah mengupah kamu untuk memeliharanya. Jika kamu mengubati yang sakit darinya dan mengurung semuanya, tuan kamu akan membayar upahnya. Tetapi jika kamu tidak mengubati yang sakit darinya dan tidak mengurung semuanya, tuan kamu akan menghukum kamu”. Ini adalah satu pendirian yang jelas. Kerana makhluk adalah hamba Allah s.w.t dan pemerintah adalah orang yang diamanahkan oleh Allah swt untuk menjaga hamba-hambanya serta menjadi pekerja untuk menjaga kemaslahatan mereka. Kerajaan Islam ialah kerajaan dianggotai oleh pemimpin-pemimpin yang muslim, menunaikan kewajipan-kewajipan yang difardhukan oleh Islam, tidak membiarkan maksiat berlaku dalam masyarakat dan menegakkan hukum-hukum Islam dan ajarannya.

               Tidak mengapa meminta pertolongan dari orang-orang yang bukan Islam untuk menjawat jawatan dalam kerajaan ketika keadaan memerlukan pada perkara yang tidak bersangkutan dengan jawatan-jawatan wilayah umum. Tidak kiralah bentuk dan jenis kerajaan yang diambil itu, asalkan ianya bertepatan dengan kaedah-kaedah umum dalam sistem pemerintahan Islam.

               Di antara sifatnya kerajaan Islam: Merasa bertanggungjawab, bersifat kasihan belas kepada rakyat, berlaku adil di kalangan manusia dan mengawal diri dari mengambil harta awam serta bijak berekonomi padanya.

               Di antara kewajibannya ialah: Menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang, menyebarkan ilmu pelajaran, menyediakan kekuatan, menjaga kesihatan dan manfaat awam, melaburkan kekayaan, mengawal harta, menguatkan akhlak dan menyebarkan dakwah.

               Di antara haknya apabila ia melaksanakan kewajibannya ialah wala’, taat dan membantunya dengan jiwa dan harta. Apabila ia cuai pula ialah menasihat, menunjuk-ajar, kemudian memecat jika petunjuk dan nasihat tidak memberi kesan kerana tidak boleh taat kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah swt.

Peringkat Keenam

               Beliau menyebut tentang martabat yang keenam dalam ‘amal yang dituntut:

               Mengembalikan kedudukan universal umat Islam dengan membebaskan watannya, menghidupkan kemegahannya, pendekatan budaya dan persatuan sehingga membuka jalan kepada mengembalikan khilafah yang hilang dan kesatuan yang mahu dibina.

Peringkat Ketujuh

              Menjadi pemimpin dunia dengan menyebarkan dakwah Islam di segenap pelusuknya.

Maksudnya: “Sehingga tidak terdapat lagi fitnah dan agama itu semuanya menjadi milik Allah.” (Surah An-Anfaal: 39)

Maksudnya: “Allah enggan melainkan untuk menyempurnakan cahayaNya.” (Surah At-Taubah: 32)

               Kemudian Al-Imam asy-syahid mengakhiri perbincangannya mengenai rukun amal sambil berkata: “Empat martabat yang akhir ini merupakan kewajipan ke atas jamaah dan juga setiap akh yang menjadi anggota di dalamnya secara sekaligus. Alangkah besarnya tanggungjawab, alangkah beratnya tugas. Manusia melihatnya sebagai khayalan, namun akh muslim melihatnya sebagi hakikat. Sekali-kali kita tidak akan berputus asa. Kita menaruh harapan yang penuh kepada Allah swt. Firman Allah swt:

               Maksudnya: “Allahlah yang menguasai urusannya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf: 31)

 

KOMENTAR:

Kami akan mendedahkan beberapa keadaan umum yang berbeza antara individu di sudut kemampuan amal yang mereka curahkan untuk dakwah. Keadaan ini kedang-kadang membawa kepada ketidakseimbangan.

1) Mestilah sentiasa memperseimbangkan di antara amal Islami dengan kerja-kerja mencari nafkah kehidupan, tuntutan keluarga dan rumah.

2) Seseorang muslim dituntut untuk beramal di medan dakwah.

3) Dalam masa yang sama dia menghubungkannya dengan kerja-kerja keduniaan yang lain seperti pekerjaannya atau pun perniagaannya.

4) Islam menggalakkannya sentiasa bekerja dalam kedua-dua bidang di samping menjaga tertib (aulawiyyat) kepentingan, dengan ia mendahulukan kepentingan dakwah kemudian diikuti secara lansung dengan kepentingan sumber rezeki dalam kehidupan.

5) Islam menjadikan amal untuk dunia sebagai ibadat sekiranya disertakan niat yang betul, ibadat tidak terbatas dalam amal dakwah semata-mata.

6) Al-Akh muslim sentiasa menjadikan amalnya, kehidupan dan seluruh urusannya terikat kuat dengan dakwah dan kepentingannya.

7) Kami tegaskan bahawa Islam menggalakkan seseorang muslim mencari rezeki yang halal. Islam tidak menerima orang muslim yang menjadi bebanan kepada orang lain.

8) Oleh itu kita melihat Al-Imam asy-syahid menyebut bahawa di antara ciri-ciri individu muslim yang dikehendaki ialah mampu untuk bekerja. Dia sangat zuhud dalam jawatannya dan mengaggapnya sebagai pintu rezeki yang paling sempit dan sangat suka kerja bebas yang produktif.

9) Bersungguh-sungguh menegakkan agensi-agensi ekonomi adalah sebahagian dari kegiatan Ikhwan bagi membantu harakah Islamiah dan membina ekonomi masyarakat jauh dari kuman-kuman riba dan semua mu’amalah yang haram.

10) Apabila terdapat mukmin yang memahami agamanya, didapati bersamanya tanpa ragu-ragu lagi seluruh wasilah kejayaan. Menjadi perkara biasa baginya menggunakan setiap tenaga, ilmu, seluruh harta, masa dalam amal yang berfaedah untuk deen, dakwah dan dunianya. Sejarah dakwah terdahulu tidaklah jauh dari kita. Al-Imam asy-syahid telah membahagaikan amal agar tercapainya matlamat yang besar kepada beberapa peringkat iaitu:

              Individu, keluarga, masyarakat, kemudian kerajaan selepas dibebaskan watan, seterusnya daulah, khilafah dan akhirnya ustaz kepada alam.

               Beliau menyatakan bahawa sesungguhnya jalan ini panjang lagi susah, tetapi tidak ada jalan lain darinya. Beliau telah mengambilnya dari seerah Rasullah saw.

               Nyatalah bahawa peribadi muslim merupakan asas bagi peringkat-peringkat yang seterusnya iaitu keluarga, masyarakat, kerajaan dan negara. Seterusnya beliau menyebut tentang sepuluh ciri ini. Perbincangan usrah, katibah, rehlah, mu’askar, badan-badan riadah dan lain-lain lagi, semuanya itu wasilah-wasilah untuk menyediakan peribadi muslim yang dikehendaki.

               Setengah orang cuba menimbulkan keraguan pada jalan ini, pada kemampuan ia mencapai matlamatnya. Kita tidak harus terpengaruh dengan tuduhan ini. Asas binaan yang kuat terdiri dari peribadi muslim, keluarga dan masyarakat. Maka binaan itu akan tetap tegak dan berterusan dengan pertolongan Allah. Binaan bermula dari asas, bukannya dari atas dengan cara rampasan kuasa secara tentera tanpa persediaan dan penyusunan.

               Seterusnya masyarakat muslim: Al-Imam asy-syahid tidak bermaksud menukarkan masyarakat semuanya menjadi Ikhwan Muslimin yang ‘amilin, tetapi kita membentuk pandangan umum masyarakat menjadi Islam, yakin dengan keperluan memerintah dengan melaksanakan undang-undang yang diturunkan oleh Allah swt, seterusnya setiap orang mewajibkan dirinya untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan Islam samada ibadat, akhlak dan lain-lain lagi.




Notes:

  1. Risalah Di Antara Hari Ini Dan Semalam m/s: 108 dari Majmu’atur Rasaail.

  2. Lihat Risalah Ta’alim – Majmu’atur Rasaail – Cetakan  Darul Da’wah: 394

Leave a Comment