Rukun Ke-2 – Ikhlas

Nazarat fi Risalah Ta’alim

Oleh: Muhammad ‘Abdullah Al-Khatib

Rukun Kedua – Ikhlas

 

Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna berkata:

YANG SAYA MAKSUDKAN DENGAN IKHLAS IALAH SETIAP AKH MUSLIM MESTILAH MENGHARAPKAN KEREDHAAN ALLAH DAN GANJARAN PAHALANYA DARI SEMUA PERKATAAN, AMALAN DAN JIHADNYA DENGAN TIDAK MEMANDANG KEPADA SEBARANG KEUNTUNGAN, KEMEGAHAN, GELARAN, KEDUDUKAN TERKEMUKA ATAU MUNDUR. DENGAN ITU BELIAU MENJADI TENTERA FIKRAH DAN ‘AQIDAH, BUKAN TENTERA YANG MENGEJAR SESUATU ATAU KEPENTINGAN. FIRMAN ALLAH SWT:

MAKSUDNYA: “KATAKANLAH OLEHMU: SESUNGGUHNYA SOLATKU, IBADATKU, HIDUPKU DAN MATIKU ADALAH KERANA ALLAH TUHAN SEMESTA ALAM. TIDAK ADA SEKUTU BAGINYA DAN DENGAN YANG DEMIKIAN ITULAH AKU DIPERINTAHKAN”. (Surah Al-An’am: 162)

DENGAN ITU AKH MUSLIM DAPAT MEMAHAMI SLOGAN YANG SERING DILAUNGKAN:

“ALLAH MATLAMAT KITA, ALLAH MAHA BESAR, BAGI ALLAH SEGALA KEPUJIAN”.

 

KETERANGAN:

               Ikhlas ialah melakukan amalan semata-mata mencari keredhaan Allah swt, tanpa dicampuri dengan tujuan dunia. Amalannya tidak dicampuri oleh keinginan nafsu, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan tinggi di kalangan manusia, meminta pujian, lari dari kejian, mengikut hawa nafsu yang tersembunyi atau lain-lain lagi yang bolehlah dihimpunkan dalam: “Melakukan amalan bukan kerana Allah swt. “

               Ikhlas dengan makna ini adalah buah dari tauhid yang sempurna iaitu mengesakan Allah swt dalam ibadat. Kerana itulah riya’ (menunjuk-nunjuk) yang merupakan lawan kepada ikhlas adalah perbuatan syirik. Syidad bin Aus berkata:

Maksudnya: “Kami mengira riya’ adalah syirik kecil pada zaman Rasulullah saw“. 1

Rukun amalan yang diterima:

Setiap amal soleh mempunyai dua rukun. Allah swt tidak menerima sesuatu amalan melainkan jika mempunyai dua rukun tersebut iaitu:

Pertama: Ikhlas dan membetulkan niat.

Kedua: Bertepatan dengan sunnah dan syara’.

               Dengan rukun yang pertama tercapailah kesahihan batin dan dengan yang keduapula tercapai kesahihanlahir. Berkenaan dengan rukun yang pertama Rasulullah saw telah bersabda:

إنما الأعمال بالنيات

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat“. 2

Inilah neraca batin.

Berkenaan rukun yang kedua pula Rasulullah saw bersabda:

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak ada kena mengena dengan agama kami, maka ia adalah tertolak“. 3

Ertinya: Tertolak ke atas tuannya. Inilah neraca lahir.

               Allah swt telah menghimpunkan dua rukun tersebut pada banyak tempat dalam ayat Al-Quran. Di antaranya ialah firman Allah swt:

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah dalam keadaan dia membuat baik, sesungguhnya dia telah berpegang dengan ikatan yang teguh“. (Surah Luqmaan: 22)

               Menyerah diri kepada Allah ialah mengikhlaskan niat dan beramal keranaNya. Membuat baik pula ialah mengikut sunnah Rasulullah saw.

               Fudhail bi ‘Iyadh berkata tentang firman Allah swt:

Maksudnya: “Supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya“. (Surah Al-Mulk: 2)

Amalan yang paling baik ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Orang bertanya kepada beliau: “Wahai Abu Ali, apakah yang dimaksudkan dengan yang paling ikhlas dan benar itu?” Beliau

menjawab: “Sesungguhnya sesuatu amalan itu, jika ia ditunaikan secara ikhlas sahaja tetapi tidak menepati kebenaran, maka ia tidak akan diterima. Begitu juga jika ia menepati kebenaran tetapi tidak ada ikhlas, maka ia juga tidak diterima. Amalan yang diterima ialah yang ikhlas dan menepati kebenaran. Ikhlas ialah

semata-mata kerana Allah dan kebenaran ialah mengikut sunnah“. Kemudian Fudhail membaca firman Allah swt:

Maksudnya: “Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, maka ia hendaklah melakukan amalan yang soleh dan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain“. (Al-Kahfi: 110)

               Dari perkara di atas dapatlah kita ketahui bahawa niat yang ikhlas semata-mata tidak memadai supaya amalan diterima selagimana tidak bertepatan dengan syara’ dan sunnah yang sahih. Begitu juga amalan yang menepati syarak tetapi tidak disertai dengan niat yang ikhlas kepada Allah swt tidak diterima.

Tanda-tanda ikhlas:

               Ikhlas mempunyai tanda-tanda dan alamat-alamat yang begitu banyak. Ianya terserlah di dalam kehidupan orang yang ikhlas, akhlaknya dan pandangannya kepada diri sendiri dan manusia. Di antara tanda dan alamat tersebut ialah:

1-           Beliau takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau meyakini bahawa Allah menerima

berdasarkan batin bukannya zahir, dan jika seseorang manusia itu mempunyai kemasyhuran di pelusuk dunia sekalipun, sedangkan niatnya bercampur baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna.

               Inilah yang menjadikan ramai di kalangan ulamak salafus soleh takut kalau-kalau hati mereka ditimpa fitnah kemasyhuran, kemegahan dan sanjungan. Mereka memberi amaran kepada murid-murid mereka tentang perkara itu. Imam Al-Ghazali banyak meriwayatkan tentang perkara tersebut. Ibrahim bin Adham berkata: “Orang yang kasihkan kemasyhuran tidak berlaku benar terhadap Allah swt“.

               Salim bin Hanzalah berkata: “Ketika kami berjalan mengiringi Ubai bin Ka’ab, ‘Umar melihat kepada beliau lantas memukulnya dengan cemeti.” Ubai berkata: “Lihatlah wahai Amirul mukminin, apakah yang kamu telah lakukan“. ‘Umar menjawab: “Ini adalah kehinaan kepada pengikut dan fitnah kepada orang yang diikut“.

               Inilah pandangan tajam Saidina Umar yang berharga terhadap apa yang berlaku. Walaupun pada mulanya hanya perkara zahir yang remeh, tetapi ia akan memberi kesan yang besar terhadap para pengikut dan ketua yang diikuti.

               Al-Hasan berkata: Pada suatu hari Ibnu Mas’ud keluar dari rumahnya dan beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berpaling kepada mereka lantas berkata: “Mengapa kamu semua mengikut kami? Demi Allah jika sekiranya kamu mengetahui apa yang berlaku di dalam rumahku, nescaya tidak ada seorang pun di antara yang mengikutku“.

               Al-Hasan berkata: “Sesungguhnya bunyi sepatu orang-orang yang mengelilingi seorang lelaki boleh menggoncangkan hati orang-orang bodoh“. Pada suatu hari Al-Hasan keluar lalu beliau diikuti oleh suatu golongan manusia. Beliau berkata: “Adakah kamu mempunyai hajat? Jika tidak, apakah yang akan menimpa kepada hati mukmin?”

               Ayyub As-Sakhaitaani keluar bermusafir, lalu beliau dikelilingi oleh manusia yang ramai. Beliau berkata: “Kalau tidak kerana aku mengetahui bahawa Allah swt mengetahui dalam hatiku bahawa aku benci kepada perkara ini, nescaya aku takut kemurkaan Allah swt“.

               Ibnu Mas’ud berkata: “Jadilah kamu sumber ilmu, lampu petunjuk, penunggu setia rumah, pelita di malam hari, hati-hati yang sentiasa baru, berpakaian buruk, kamu dikenali di kalangan ahli langit dan tidak dikenali oleh ahli bumi“.

               Al-Fudhail bin ‘Iyadh berkata: “Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi kamu dipuji di sisi Allah swt?”

               Janganlah difahami dari athar-athar di atas bahawa ianya menyeru kepada bersembunyi dan mengasingkan diri. Sesungguhnya athar-athar tersebut diriwayatkan dari pemimpin-pemimpin para duat yang soleh dan mempunyai peninggalan yang baik dalam arena dakwah kepada masyarakat.

               Tetapi hendaklah difahami secara keseluruhannya bahawa ia adalah kesedaran terhadap bahaya syahwat diri yang tersembunyi dan berawas terhadap lubang dan jendela yang syaitan dapat menyusup masuk melaluinya ke dalam hati manusia.

               Kemasyhuran pada zatnya bukanlah suatu yang tercela. Tidak ada di sana orang yang lebih masyhur dari para Nabi dan Khulafa’ Ar-Rasyidin. Tetapi jika kemasyhuran itu wujud tanpa berusaha bersungguh-sungguh dan tamak untuk mendapatkannya, maka tidaklah menjadi kesalahan, sekalipun ada juga keburukannya. Itulah yang disebut oleh Imam Al-Ghazali: “Ia menjadi fitnah kepada orang-orang yang lemah, tidak kepada orang-orang yang kuat“.

2-           Orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah swt, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati dari dimasuki oleh sifat megah dan takjub dengan diri sendiri. Bahkan beliau sentiasa merasa takut kalau-kalau dosanya tidak diampunkan Tuhan atau kebaikannya tidak diterima. Setengah para solihin menangis bersungguh-sungguh dalam sakitnya. Lalu sebahagian dari orang yang menziarahinya berkata: “Mengapa kamu menangis? Sedangkan kamu telah berpuasa, bersembahyang malam, berjihad, bersedekah, menunaikan haji dan umrah, mengajar dan berzikir?” Beliau menjawab: “Manalah aku mengetahui adakah perkara itu termasuk di dalam timbangan amalanku dan diterima di sisi Tuhanku? Sedangkan Allah swt berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa“. (Surah Al-Maidah: 27)

At-Tirmizi meriwayatkan:

Maksudnya: Aisyah, isteri Nabi saw berkata: “Aku bertanya Rasulullah saw tentang ayat ini:

Maksudnya: “Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut“. (Surah Al-Mukminuun: 60)

Aisyah berkata: “Adakah mereka itu orang yang meminum arak dan mencuri?” Rasulullah saw menjawab: “Tidak, wahai anak As-Siddiq, tetapi mereka ialah orang-orang yang berpuasa, bersembahyang dan bersedekah dalam keadaan mereka takut kalau-kalau amalan mereka tidak diterima. Merekalah orang-orang yang berlumba-lumba menuju kepada kebaikan“. 4

3-           Beliau lebih suka melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi dari amalan yang dipenuhi dengan iklan dan irama paluan kemasyhuran. Di dalam jamaah beliau lebih suka menjadi seperti tunjang pokok. Walaupun tunjang tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat mata, namun ia adalah asas untuk pokok itu tegak dan hidup.

Maksudnya: Dari Umar Ibnu Al-Khattab ra. bahawa beliau pergi ke masjid Rasulullah saw pada suatu hari. Beliau mendapati Mu’az bin Jabal duduk di sisi kubur Rasulullah saw dalam keadaan menangis. Umar bertanya: “Apakah yang membuatkan kamu menangis?” Mu’az menjawab: “Aku menangis kerana telah mendengar Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya riya’ yang sedikit adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah, sesungguhnya dia telah berperang dengan Allah. Allah mengasihi orang-orang baik dan bertaqwa yang tidak dikenali. Apabila mereka hilang orang tidak mencarinya dan apabila mereka ada, mereka tidak dipanggil dan dikenali. Hati-hati mereka adalah lampu petunjuk, mereka keluar dari setiap tanah berdebu yang gelap“. 5

4-           Sama sahaja di sisi beliau bekerja sebagai pemimpin atau tentera, selagi mana kedua-duanya adalah berkhidmat kepada dakwahnya. Hatinya tidak dapat dikuasai oleh perasaan cinta untuk muncul ke depan, berada di barisan depan, mahu menjadi pemimpin dan menjawat bahagian kepimpinan. Bahkan mungkin beliau lebih mengutamakan untuk menjadi tentera biasa kerana takut berlaku cuai dalam melaksanakan kewajipan dan tugas kepemimpinan. Dalam setiap perkara, beliau tidak berusaha untuk menjadi ketua dan tidak memintanya. Tetapi jika beliau dibebankan dengan tugas tersebut, beliau memikulnya dan memohon pertolongan dari Allah swt dalam melaksanakannya. Rasulullah saw menyifatkan golongan ini seraya bersabda:

Maksudnya: “Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kekang kudanya di jalan Allah dalam keadaan rambutnya kusut dan kakinya berdebu. Jika sekiranya beliau bertugas sebagai pengawal, beliau menjadi pengawal. Dan jika sekiranya beliau berada di belakang, beliau berada di belakang“. 6

               Semoga Allah swt meredhai Khalid bin Al-Walid yang dilucutkan dari jawatan panglima tentera sedangkan pada ketika itu beliau adalah panglima tentera yang sentiasa menang dalam peperangan. Beliau lantas bekerja di bawah pimpinan Abu ‘Ubaidah tanpa merasa gelisah atau menyesal.

5-           Tidak menghiraukan keredhaan manusia jika di sebaliknya adalah kemurkaan Allah swt. Sesungguhnya manusia berbeza-beza dari segi tabiat, kecenderungan, berfikir dan matlamat mereka. Jadi percubaan untuk mendapat keredhaan mereka adalah satu matlamat yang tidak akan tercapai. Orang yang ikhlas tidak menyusahkan dirinya dengan perkara ini. Slogannya bersama Allah swt ialah:

Maksudnya:

فليتك تحلو والحياة مريرة

Semoga kamu merasai kemanisan, sedangkan kehidupan itu penuh kepahitan.

وليتك ترضي والأنام غضاب

Semoga kamu kamu menjadi redha, sedangkan manusia marah.

وليت الذي بيني وبينك عامر

Semoga ada orang memakmurkan di antara aku dan kamu,

وبيني وبين العالمين خراب

sedangkan di antara aku dan dunia ada kehancuran.

إذا صح منك الود فالكل هين

Jika benarlah kamu mempunyai perasaan kasih, maka semuanya menjadi mudah,

وكل الذي فوق التراب تراب

dan setiap sesuatu yang berada di atas tanah adalah tanah.

6-           Hendaklah cinta dan benci, memberi dan menahan, redha dan marah, semuanya kerana Allah swt dan agamanya, bukan kerana diri atau manfaatnya. Beliau tidak menjadi seperti orang-orang yang mengejar manfaat yang terdiri dari golongan munafiq yang dicela Allah di dalam kitabNya:

Maksudnya: “Dan di antara mereka ada orang yang mencelamu tentang pembahagian zakat. Jika mereka diberi sebahagian daripadanya mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadanya dengan serta merta mereka menjadi marah“.(Surah At-Taubah: 58)

               Kadang-kadang saudara dapat melihat setengah mereka yang bekerja dalam medan dakwah, apabila ditegur oleh salah seorang saudaranya dengan perkataan yang menyakitkan hatinya, atau perasaannya dilukakan dengan perbuatan yang menyinggug jiwanya serta orang yang rapat dengannya atau kaum kerabatnya, beliau cepat marah dan melenting lalu meninggalkan amal dan harakah serta mengasingkan diri dari medan jihad.

               Ikhlas kepada matlamat menuntutnya agar terus berada dalam dakwahnya, tetap kekal arah tujuannya walaupun dituduh salah, cuai dan melampau oleh orang lain. Ini adalah kerana beliau beramal kerana Allah swt, bukan kerana dirinya, keluarga atau orang tertentu di kalangan manusia.

               Dakwah Allah bukan dimonopoli atau menjadi milik seseorang. Ia adalah dakwah untuk semua manusia. Mukmin tidak boleh meninggalkan dakwah kerana pendirian dan perbuatan-perbuatan tadi.

7-           Beliau tidak bersifat malas, lembab atau ketinggalan kerana perjalanan yang jauh, buah yang lambat dapat dipetik, lambat mendapat kejayaan dan penat bekerja dalam menghadapi manusia yang bermacam ragam. Beliau tidak bekerja untuk berjaya atau mencapai kemenangan semata-mata, bahkan kerana mencari keredhaan Allah swt dan mematuhi perintahNya.

               Sesungguhnya Allah swt tidak bertanya manusia pada hari Kiamat: “Mengapa kamu tidak mencapai kemenangan?” tetapi Dia akan bertanya: “Mengapa kamu tidak berjuang?” Dia tidak bertanya mengapa mereka tidak berjaya, tetapi bertanya mengapa mereka tidak bekerja.

8-           Gembira dengan setiap kemunculan orang yang mempunyai kelayakan dalam barisan orang-orang yang bekerja untuk membawa panji-panji, memberi saham kepada amal dan memberi peluang kepada setiap orang yang berkebolehan menggantikan tempatnya tanpa cuba menyekat dan menghalangnya, atau menghina dan marah kepadanya. Bahkan kita melihat bahawa orang yang ikhlas itu, apabila beliau melihat ada orang yang lebih baik darinya dalam memikul tugas, beliau mengundur diri dalam keadaan redha. Beliau akan mengutamakan orang itu dari dirinya sendiri dalam keadaan taat dan bahagia kerana beliau mengundur setapak ke belakang.

Keperluan ikhlas dalam memikul dakwah:

               Sesungguhnya bekerja untuk ketuanan Islam dan mengembalikannya untuk memimpin kehidupan dengan aqidahnya, syariat, akhlak dan tamaddunnya, adalah merupakan ibadat dan amalan yang mendekatkan diri dengan Allah swt. Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah swt dalam ibadat ini adalah satu perkara asasi untuk amalan diterima dan berjaya. Niat yang bercampur baur merosakkan amalan, mencemarkan jiwa, melemahkan saf dan menghilangkan pahala.

               Kerana rahsia inilah Al-Imam Al-Bukhari memulakan kitabnya (Al-Jami’ As-Sahih) dengan hadis yang dianggap oleh setengah ulamak sebagai satu perempat Islam atau satu pertiga darinya:

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kepada Allah swt dan RasulNya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan didapatinya atau kerana perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah bergantung kepada tujuan dia berhijrah“. 7

               Diriwayatkan bahawa sebab datangnya hadis ini adalah kerana seorang lelaki yang berhijrah ke Madinah kerana seorang perempuan yang dicintainya yang bernama Ummu Qais. Maka beliau digelar sebagai: “Penghijrah Ummu Qais“. 8

               Akh muslim mestilah memeriksa sudut-sudut hatinya terhadap hakikat niatnya dan faktor pendorongnya. Jika ianya mempunyai ruang untuk dunia dan syaitan, beliau berusaha membersihkan hatinya dari perkara tadi dan mentuluskan niatnya kepada Allah swt. Beliau hendaklah memberi peringatan kepada dirinya dalam keadaan membebaskan diri dari menjadi abdi kepada yang lain sebagaimana ucapan isteri ‘Imraan:

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah nazarkan anak yang ada dalam kandunganku akan meperhambakan diri yang kepadaMu. Kerana itu terimalah nazar itu daripadaku. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui“. (Surah Ali-‘Imraan: 35)

Kalimah (محررا) yang disebut oleh ibu Maryam ini menunjukkan bahawa sudah menjadi sunnah Allah, Allah tidak menerima mana-mana amalan melainkan ianya ikhlas semata-mata kerananya, tidak bercampur dengan yang lain dan bebas dari setiap ‘ubudiah kepada yang lain.

               Sesungguhnya kebenaran tidak akan memimpin, kebaikan tidak akan tersebar, keadilan tidak akan tertegak, panji-panji kemuliaan akan jatuh dengan wujudnya orang-orang yang menggadaikan prinsip yang semata-mata mencari keuntungan duniawi dan orang-orang yang bersifat riya’ yang hanya mahu diri mereka dilihat orang, kata-kata mereka didengar, mereka menjadi buah mulut masyarakat dan boleh mengarahkan orang lain dengan jari telunjuk. Kebenaran, kebaikan dan kemuliaan hanya akan tegak dengan orang-orang yang ikhlas, yang berpegang teguh dengan prinsip, yang boleh mempengaruhi orang lain, bukan dipengaruhi. Mereka adalah orang-orang yang berkorban bukannya mengambil manfaat, memberi bukan mengambil.

               Penyakit-penyakit hati yang bercampur baur dengan ikhlas dan merosakkan niat lebih bahaya dari penyakit tubuh badan. Ia boleh menggugurkan pahala dan menjauhkan orang dari jalan dakwah yang betul. Ia memang wujud dalam diri kita, tetapi kita boleh membendungnya dengan iman dan taqwa. Perkara ini memerlukan kesedaran dari kita, sentiasa muhasabah niat dan membersihkannya dari bercampur dengan penyakit-penyakit hati.

 


Notes:

  1. Majma’ Az-Zawaaid: 10/225 – Kitab zuhud – Bab hadis yang menerangkan tentang riya’

  2. Fathul Bari: 1/15 no: 1

  3. Muslim: 3/1343 no: 1718

  4. At-Tirmizi: 5/306 no: 3715

  5. [5] Ibnu Majah: 2/1320 no: 3989

  6. Fathul Bari: 6/95 no: 2887

  7. Fathul Bari: 1/51 no: 1

  8. Lihat Jami’ Al-‘Ulum Wal Hikam: 11

Leave a Comment