Rukun Ke-10 – Tsiqah

Nazarat fi Risalah Ta’alim

Oleh: Muhammad ‘Abdullah Al-Khatib

Rukun Kesepuluh– Tsiqah

 

AL-IMAM ASY-SYAHID BERKATA:

“YANG SAYA MAKSUDKAN DENGAN THIQAH IALAH IALAH KEYAKINAN SEORANG JUNDI (PENDAKWAH) TERHADAP QIADAH (PEMIMPIN) PADA KEMAMPUAN DAN KEIKHLASANNYA, DENGAN KEYAKINAN YANG MENDALAM SEHINGGA AKAN MELAHIRKAN PERASAAN KASIH, PENGHARGAAN, PENGHORMATAN DAN KETAATAN.

FIRMAN ALLAH TAALA:

MAKSUDNYA: “MAKA DEMI TUHANMU, MEREKA (PADA HAKIKATNYA) TIDAK BERIMAN, SEHINGGALAH MEREKA MENJADIKAN KAMU HAKIM TERHADAP PERKARA YANG MEREKA PERSELISIHKAN, KEMUDIAN MEREKA TIDAK MERASA DI DALAM HATI MEREKA SESUATU KEBERATAN TERHADAP KEPUTUSAN YANG KAMU BERIKAN DAN MEREKA MENERIMA DENGAN SEPENUHNYA“. (Surah Al-Isra’: 52)

QIADAH MERUPAKAN SEBAHAGIAN DARI DAKWAH. DAKWAH TIDAK AKAN WUJUD TANPA QIADAH. KEKUATAN SISTEM JAMMAH, KEKEMASAN STRATEGINYA, KEJAYAANNYA MENUJU MATLAMAT DAN KEUPAYAANNYA MENGHADAPI SEGALA BENTUK HALANGAN SERTA KESUSAHAN SANGAT BERGANTUNG KEPADA SEJAUH MANA TIMBAL BALIK THIQAH DI ANTARA QIADAH DAN JUNDI.

FIRMAN ALLAH TAALA:

MAKSUDNYA: “TAAT DAN MENGUCAPKAN PERKATAAN YANG BAIK ADALAH LEBIH BAIK BAGI MEREKA“. (Surah Al-Anfal: 46)

DALAM DA’WAH IKHWAN, QIADAH MEMPUNYAI HAK SEORANG BAPA DI SUDUT IKATAN HATI, HAK SEORANG USTAZ DI SUDUT MEMBERI ILMU, HAK SEORANG SEORANG SHAIKH DI SUDUT PENDIDIKAN ROHANI DAN HAK SEORANG PEMIMPIN DI SUDUT SIASAH DAN POLISI UMUM DA’WAH. DA’WAH KITA MERANGKUMI SEMUA MAKNA-MAKNA INI”.

  

KETERANGAN:

Sesungguhnya musuh-musuh Islam sememangnya mengetahui bahawa Islam adalah musuh ketat mereka. Sejarah dahulu dan sekarang telah mengajar mereka bahawa jika sekiranya umat Islam mengetahui jalannya ke arah Islam yang sebenar, maka ini bererti kuasa mereka akan tergugat. Mereka sebenarnya tidak takut kepada Islam yang lemah yang tidak mempunyai kehebatan dan kekuatan, tetapi apa yang mereka gerun ialah Islam yang sebenarnya, bersifat haraki, yang berjuang serta bertindak memperlengkapkan kekuatan umat serta menggabungkan saf-saf mereka di dalam menghadapi musuh.

Apabila kamu mengetahui wahai Ikhwan, dakwah kamu merupakan perhimpunan yang berasaskan aqidah, pergerakan besar yang bangkit menentang musuh dan mengancam untuk menghancurkan segala perancangan mereka, secara tabi’e (semulajadi) mereka akan menghala segala kekuatan mereka ke arah kamu, walau dengan apa cara sekali pun untuk memerangi dan menghancurkan kamu.

Wasilah yang paling bahaya yang dipergunakan oleh musuh ialah menghancurkan da’wah dari dalam, dengan cara menghilangkan thiqah di antara jundi dan qiadah, sehingga da’wah tersebut menghadapi musuhnya dalam keadaan berpecah.

Apabila jundi telah hilang thiqah terhadap qiadah, pastilah ketaatan tidak akan wujud. Tanpa thiqah maka tidak wujud lagi qiadah maupun jamaah.

 Kerana itulah Al-Imam asy-syahid di dalam “Risalah Taa’lim” telah menjadikan thiqah, salah satu daripada sepuluh rukun baiah. Beliau menjelaskan kepada Ikhwan kepentingan thiqah ini demi menjaga kesatuan jamaah.

Al-Banna berkata:

……Dakwah tidak wujud tanpa qiadah, sejauh mana timbal balik thiqah di antara pemimpin dan jundi merupakan kekuatan bagi sistem jamaah dan kekemasan strategi bagi mencapai matlamatnya serta mengatasi halangan- halangannya. Allah berfirman:

Maksudnya: “Taat dan mengucapkan perkataan yang baik adalah lebih baik bagi mereka“. (Surah   Muhammad: 20-21)

Thiqah terhadap Qiadah, terlalu penting untuk kejayaan dakwah.))

Qiadah yang mesti diberi thiqah, tidak disyaratkan seorang yang paling kuat, a’lim dan fasih, kerana ia terlalu  sukar dicapai oleh kebanyakkan orang selepas RasululLah s.a.w.  Cukuplah untuk melantik pemimpin mereka, apabila para Ikhwan menganggapnya sebagai seorang yang paling mampu untuk membawa amanah yang berat ini.

Seandainya seorang akh melihat satu-satu kelebihan tidak di miliki oleh qiadahnya, tetapi terdapat pada dirinya atau saudaranya yang lain, maka hendaklah al-akh tersebut menyerahkan kebolehan itu mengikut bicara qiadah. Kebolehan itu boleh menjadi satu pertolongan kepada qiadah dan jamaah dan bukannya sebagai serangan.

Semoga saudara masih teringat peristiwa Abu Bakar bersama ‘Umar, selepas kewafatan RasululLah s.a.w. .

‘Umar berkata kepada Abu Bakar: “Hulurkan tanganmu supaya ku baiahkan”. Abu Bakar menjawab: “Sepatutnya aku membaiahkan kamu”. ‘Umar berkata: “Kamu lebih baik daripada aku”. Abu Bakar pula menjawab:”Engkau lebih kuat daripadaku”. ‘Umar berkata: “Kekuatanku untukmu bersama dengan kelebihanmu”.

‘Umar telah membuktikan kekuatannya digunakan untuk membantu, menyokong dan menguatkan Abu Bakar.

Oleh itu apabila ditanya kepada Al-Imam asy-syahid: “Apabila kamu telah tiada bersama kami, siapakah yang sepatutnya kami lantik?” Beliau menjawab: “Wahai Ikhwan, lantiklah orang yang paling lemah di kalangan kamu, kemudian dengar dan patuhlah kepadanya. Dia akan menjadi paling kuat apabila kamu bersamanya.”

Semoga saudara teringat juga peristiwa ‘Umar berselisih faham dengan Abu Bakar di dalam masalah orang-orang yang enggan membayar zakat. Sahabat-sahabat yang besar sependapat dengan ‘Umar, iaitu tidak memerangi mereka. Namun begitu apabila ‘Umar melihat kesungguhan Abu Bakar untuk memerangi mereka, ‘Umar mengeluarkan kata-kata yang mengambarkan thiqah yang penuh terhadap Abu Bakar. ‘Umar berkata:

Maksudnya: “Demi Allah tidaklah aku melihatnya, melainkan Allah telah membuka pintu hatinya untuk memerangi mereka (orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat), dan aku tahu bahawa dia adalah benar“.

Kalaulah tidak kerana tingginya thiqah dan ketaatan Umar kepada Abu Bakar, nescaya dirinya akan merasai bahawa kebenaran bersamanya kerana beliau telah mendengar RasululLah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: “Bahawa Allah telah menjadikan kebenaran di lidah dan di hati Umar“.

Memandangkan betapa pentingnya thiqah kepada qiadah, samada dari segi pendapat dan ketetapannya, maka musuh-musuh Islam mengadakan berbagai usaha untuk meragu dan memburukkan Islam, jamaah, manhaj dan kepimpinanya. Kita dapat melihat betapa banyak pihak yang telah melaksanakan usaha-usaha ini.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap akh supaya tidak terpengaruh dengannya. Dia mestilah tenang dan thiqah kepada agamanya sebagai agama yang sebenar yang diterima, sebagai sistem yang lengkap samada di dunia ataupun akhirat. Dia hendaklah yakin dengan jamaahnya sebagai jamaah yang berada di atas jalan yang sebenar serta berpegang kepada Kitab dan Sunnah dalam setiap strategi dan wasilahnya. Beliau juga mestilah percaya bahawa qiadahnya berjalan mengikut langkah Rasulullah saw dan para sahabat, merujuk kepada Kitab Allah dalam setiap masalah yang dihadapi serta mementingkan maslahat dakwah. Menjadi kewajipan ke atas setiap akh, apabila dia mendengar sesuatu perkara, dia tidak boleh mendiamkan dirinya begitu sahaja, tetapi mestilah mempastikannya agar dadanya tenang dan mempunyai thiqah yang penuh. Ini adalah kerana menyahut seruan Allah kepada hambaNya:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa kamu mengetahui keadaannya, yang akan menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu“. (Surah Al-Hujuraat: 6)

Firman Allah Taala dalam mempersalahkan sikap segolongan manusia:

Maksudnya: “Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan (baik atau buruk), mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka merujuk kepada Rasul dan ulil amri di kalangan mereka nescaya hal itu dapat diketahui (diselesaikan) oleh orang-orang yang mampu mengambil keputusan berhubungnya (berita itu) dari kalangan mereka“. (Surah An-Nisaa’: 83)

Di sini kita memberi peringatan bahawa sebahagian akhbar atau media massa, kadang-kadang menyandarkan satu-satu pendapat kepada pimpinan jemaah secara menyeleweng atau berbeza dengan yang sebenar, bertujuan menimbulkan syak, mengurangkan thiqah dan menimbulkan suasana kelam kabut. Dalam suasana yang seperti ini akh muslim tidak harus membuat hukuman selepas membaca berita tersebut, sehingga menggoncangkan thiqahnya. Janganlah dia menyebutnya berulang kali seolah-olah dia membenarkan berita tersebut atau menganggapnya sebagai satu hakikat. Dia hendaklah memeriksanya terlebih dahulu.

Al-Imam asy-syahid berkata di dalam rukun ini: “Thiqah kepada qiadah adalah satu-satunya yang dapat menjamin kepada kejayaan da’wah, sebab itulah seorang akh yang sebenar perlu mempersoalkan dirinya dengan persoalan-persoalan berikut untuk mengukur sejauh mana thiqahnya terhadap qiadah.

1) Adakah beliau telah mengenali qiadahnya sebelum ini dan mengkaji suasana yang melitupi kehidupannya?

2) Adakah beliau meyakini keupayaan dan keikhlasannya?

3) Adakah beliau bersedia untuk menganggap bahawa segala perintah yang di tujukan kepadanya dari qiadah di dalam perkara yang bukan ma’siat merupakan perkara putus yang    tidak boleh dipersoalkan, tidak boleh diragui, tidak boleh dicanggahi dan tidak boleh diperbincangkan di samping beliau dibenarkan untuk mengemukakan nasihat dan menunjukkan yang benar? 

4) Adakah dia bersedia membuat andaian bahawa dirinya berada  di pihak yang salah dan qiadah berada di pihak yang benar, sekiranya berlaku pertentangan di antara perintah yang diarahkan kepadanya dengan apa yang diketahuinya, dalam perkara ijtihad yang tidak ada nas syarak?                   

5) Adakah dia bersedia meletakkan seluruh corak kehidupannya di bawah pentadbiran dakwah? Menurut pandangannya adakah pihak qiadah berhak menentukan kepentingan individunya dan kepentingan dakwah?                                    

Dengan menjawab soalan-soalan ini dan seumpamanya al akh akan dapat meyakini sejauh mana hubungannya dengan qiadah dan sejauh mana keyakinannya kepada qiadah. Dan hati manusia adalah dalam genggaman Allah, Dialah yang mentadbirkannya menurut kehendakNya.

Firman Allah:

Maksudnya: “Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan mereka, akan tetapi Allahlah yang telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana“. (Surah Al-Anfaal: 63)

Leave a Comment