Rakaez Dakwah – Ukhuwwah

Rakaezud Dakwah (Konsep Dasar Gerakan Dakwah)

Oleh – Dr. Majdi al-Hilali

 

UKHUWAH (Persaudaraan)

 

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra. berkata:

Sabda rasulullah saw:

Maksudnya: “Tidak dua orang yang berkasih sayang kerana Allah melainkan yang paling dikasihi oleh Allah ialah mereka yang lebih mengasihi saudaranya“. (Dikeluarkan oleh Ibnu Hibban dan Hakim)

 

Sesungguhnya dakwah Islamiah mempunyai kaedah dan tunjang-tunjang yang kukuh dimana ianya mestilah terbina di dalam jiwa pembawanya di atas usul yang kukuh. Kaedah-kaedah pentarbiahan adalah kekal yang mana pembentukan peribadi tidak akan sempurna kecuali dengannya.

Di antara tunjang-tunjang yang hendak dibina oleh Islam di dalam jiwa pendokongnya ialah persaudaraan dan kasih sayang kerana Allah.[1]

 

Erti Persaudaraan Kerana Allah.

Persaudaraan kerana Allah adalah satu ikatan keimanan yang terbentuk dengan manhaj Allah. Ia adalah satu nikmat Ilahi yang di campakkan oleh Allah ke dalam hati-hati hambaNya yang ikhlas, auliya’Nya yang suci dan makhlukNya bertaqwa yang telah diketahui kebenaran iman dan keikhlasannya yang mendalam.

Ia adalah satu kekuatan keimanan di dalam jiwa, yang menimbulkan perasaan kasih sayang yang mendalam, lemah-lembut, hormat-menghormati dan saling percaya-mempercayai diantara sesama mereka yang telah dipertautkan oleh unsur aqidah Islam dan pertalian iman dn taqwa.

Oleh itu persaudaraan kerana Allah adalah merupakan satu-sifat yang terpancar dari keimanan dan satu daripada ciri ketaqwaan. Kerana tidak ada ukhuwwah tanpa iman dan tidak sempurna iman tanpa ukhuwwah. Allah berfirman:

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. (Al Hujurat: 10)

Sebagaimana tidak ada ukhuwwah tanpa taqwa dan tidak ada taqwa tanpa ukhuwwah. Allah berfirman:

Maksudnya: Pada hari itu sahabat-sahabat karib, setengahnya akan menjadi musuh kepada setengah yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh) (Az Zukhruf: 67)

Sekiranya didapati ukhuwwah diantara manusia dan tidak ada di sebaliknya keimanan maka ia adalah petemuan kerana kemaslahatan dan pertukaran kepentingan. Sekiranya didapati keimanan dan tidak didapati di sebaliknya ukhuwwah maka ia adalah iman yang kurang yang perlu diubati.

Sesungguhnya asas ukhuwwah Islamiah adalah berlainan dari segala asas yang telah dijadikan oleh manusia, kerana ia adalah akidah yang kuat yang mempunyai tunjang-tunjang ruhiah dan insaniah, tidak ada penipuan ataupun kepura-puraan dalamnya. Ia adalah ukhuwwah yang beerti bahawa setiap individu memelihara sahabatnya  dan mementingkannya daripada dirinya sendiri serta menunaikan haknya walaupun dia tidak memperolehi apa-apa keuntungan daripadanya. Kerana yang akan memberi ganjaran ialah  Tuhannya . Dia melakukan demikian kerana keimanannya kepada pahala dan balasan yang baik.

Dengan itu ukhuwwah Islamiah adalah bersih dari segala kepentingan dan dari sempadan kebendaan. Ia adalah apa yang berlaku di Madinah ketika terbentuknya masyarakat Islam yang pertama selepas penghijrahan umat Islam. Ukhuwwah kerana Allah adalah merupakan tunjang utama masyarakat itu. Yang mana ia telah mempertautkan di antara mereka dengan ikatan yang kukuh, kasih sayang dan sentiasa mengutamakan orang lain. Orang-orang ansar telah membuka hati-hati dan rumah-rumah mereka kepada orang yang berhijrah kepada mereka daripada Mekah tanpa ada hubungan kerabat dengan mereka. Mereka telah membahagikan harta dan rumah mereka kepada orang muhajirin. Muhajirin hanya datang kepada orang-orang ansar dengan tangan yang kosong.

 

Kelebihan Ukhuwwah.

Oleh kerana ukhuwwah kerana Allah adalah pertemuan ruh dengan ruh dan hati dengan hati… oleh kerana ia adalah sifat yang mesti lahir daripada keimanan… oleh kerana ia mempunyai kesan-kesan yang positif di dalam ikatan kemasyarakatan, maka Allah telah memberikan kemuliaan, kelebihan dan kedudukan darjat yang tinggi kepadanya… yang membuatkan umat Islam memelihara dan berjalan di dalam taman-tamannya yang indah serta merasai tiupan udaranya yang nyaman. Allah berfirman:

Maksudnya: Dan (Dialah) yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala harta benda yang ada di atas muka bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan hati mereka. (Al Anfal:63)

Daripada Umar bahawa Rasulullah saw. telah bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya dari kalangan hamba Allah ada segolongan manusia, mereka bukan anbiya’ dan bukan juga syuhada’ yang dicemburui oleh para anbiya’ dan syuhada’ kerana kedudukannya yang hampir dengan Allah. Mereka bertanya : “Wahai Rasulullah saw. , bolehkah engkau beritahu kami siapa mereka?” Baginda bersabda: “Satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah tanpa ada hubungan kerabat di antara mereka dan tanpa ada harta yang dibahagikan antara mereka. Demi Allah sesungguhnya muka mereka adalah cahaya dan mereka berjalan di atas cahaya. Mereka tidak takut kepada apa yang ditakuti oleh menusia yang lain serta mereka tidak kesah apabila manusia lain berasa keluh kesah.” Kemudian baginda membaca: yang bermaksud: “.. ketahuilah sesungguhnya aulia’ Allah itu, mereka tidak akan merasai ketakutan dan berdukacita” (Diriwayatkan oleh Abu Daud)

Rasulullah saw. telah bersabda lagi:

Maksudnya: Dua orang itu tidak akan berkasih sayang  kerana Allah kecuali kedua-duanya itu lebih dikasihi oleh Allah dari kasih salah seorangnya ke atas sahabatnya. (Di keluarkan oleh Ibnu Hubban dan al Hakim daripada Anas)

Ibnu Idris Al Khalani berkata kepada Muaz:

Sesungguhnya aku kasihkan engkau kerana  Allah.” Lalu Muaz berkata kepadanya: ” Bergembiralah, sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah saw. telah bersabda: Diletakkan kerusi untuk segolongan dari manusia disekeliling `Arash di hari akhirat. Muka mereka seperti bulan purnama, manusia semuanya berasa terperanjat sedangkan mereka tidak. Manusia berasa takut sedangkan mereka tidak. Mereka adalah auliya’ Allah yang tidak ditimpa ketakutan dan tidak  bersedih. Lalu ditanya siapakah mereka wahai Rasulullah saw. ? Baginda menjawab: “Mereka adalah orang yang berkasih sayang kerana Allah.”(Di keluarkan oleh Imam Ahmad dan al Hakim)

Daripada Abu Hurairah , daripada Rasulullah saw. Bahawa seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung yang lain. Lalu Allah mengutuskan malaikat kepadanya. Apabila malaikat itu sampai lalu bertanya kepada lelaki itu: “Kemanakah engkau hendak pergi?” Lalu lelaki itu menjawab: “Aku hendak menziarahi saudaraku di kampung ini.” Malaikat itu bertanya: “Adakah engkau mahukan satu nikmat yang engkau harapkan daripadanya?” Dia menjawab: “Tidak, aku hanya mengasihinya kerana Allah.” Malaikat itu berkata: “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada engkau untuk memberitahu bahawa Allah telah mengasihi engkau sebagaimana engkau mengasihi saudara engkau itu kerana Allah.” (HR Muslim)

 

Ukuran dan syarat-syarat Ukhuwwah .

Ukhuwwah kerana Allah mempunyai kayu pengukur, beberapa syarat, kesan dan asas-asas yang mesti diketahui dan mesti diberikan perhatian penting serta mesti bersauda mengikut jalannya.. Dengannya manusia  akan mendapat kebahagiaan di dunia dan Allah swt akan menghisab seseorang tentangnya di akhirat. Sabda rasulullah saw: “Sesungguhnya Allah akan bertanya tentang persahabatan“,.. “Sesungguhnya seseorang itu akan mengikut agama sahabatnya, maka hendaklah dia melihat siapakah yang akan dipersahabatinya“, “Siapa yang mengasihi suatu kaum akan dihimpunkan bersama mereka.”.. [2]

Apabila perkara ini sebagitu penting, maka apakah neraca pengukur yang perlu kita gunakan untuk menilai persaudaraan kita di jalan Allah? Apakah penimbang yang tepat?

Allah telah menggariskan neraca ukuran ini dengan firmanNya melalui lidah Musa

Maksudnya: Dan jadikanlah untukku seorang pembantu daripada keluargaku iaitu Harun saudaraku, teguhkan kekuatan ku dengannya dan jadikanlah dia sebagai rakan kongsi ku di dalam urusanku supaya kami banyak bertasbih dan mengingati Engkau. Sesungghnya Engkau adalah Maha Mengetahui keadaan kami. (Surah Taha: 29 – 35)

Musa telah menentukan tujuan ukhuwwah yang dipohonnya. Dia mahukan saudaranya Harun menjadi penolong baginya, menyokong dan menolongnya di atas cubaan kehidupan. Dia mahukan saudaranya itu menjadi rakan sekongsinya di dalam urusannya yang dibahagikan kesusahan dan kesenangan dan bertukar-tukar fikiran dengannya. Akhirnya menolongnya untuk mengingati dan bertasbih kepada Allah.

Inilah tiga sifat: Tolong menolong di dalam kehidupan, saling berkongsi di dalam segala urusan dan sentiasa berpesan untuk mengingati Allah. Inilah ukuran yang mesti digunakan oleh sesiapa yang ingin menjalinkan persaudaraan kerana Allah.

Sifat-sifat ini adalah yang terbaik yang perlu diwujudkan oleh orang yang berukhuwwah kerana Allah. Walau bagaimanapun, sifat ini tidaklah akan wujud di dalam diri seseorang secara serentak sebaliknya ianya akan sempurna melalui beberapa peringkat. Kerana saudara yang engkau cari untuk menolong engkau adalah juga mencari engkau untuk menolongnya di dalam mengharungi kehidupan.

Perumpamaan dua orang saudara apabila dia bertemu adalah seperti dua tapak tangan yang mana salah satunya membersihkan yang satu lagi. Bagitu juga dua orang yang bersahabat kerana, segala keaiban yang ada padanya akan hilang dengan peringatan yang diberikan oleh sahabatnya.

Syarat ukhuwwah ini pula hendaklah di jalan Allah dan kerana Allah. Di mana ia adalah jauh dari tuntutan dunia  dan bukanlah merupakan hubungan kebendaan. Pendorongnya adalah keimanan kepada Allah dan bukan yang lainnya.

Bolehlah diringkaskannya seperti berikut:

1.            Persaudaraan itu hendaklah ikhlas kerana Allah…iaitu hendaklah persaudaraan itu bersih daripada segala kepentingan dan menjauhkannya dari segala menfaat peribadi.  Di antara dalil yang menunjukkan ke arah itu adalah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah saw. Telah bersabda:

Maksudnya; Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di dalam sebuah kampung yang lain. Lalu Allah mengutuskan malaikat ke tengah perjalanannya. Malaikat itu bertanya: “Ke mana kamu hendak pergi?” Dia menjawab: “Aku hendak menziarahi saudaraku si fulan.”Malaikat itu bertanya: “Apakah hajat engkau padanya?” Dia menjawab: “Tiada” Malaikat itu bertanya: “Kenapa engkau menziarahinya?” Dia menjawab : “Aku kasihkannya kerana Allah.” Malaikat itu berkata: “Sesungguhnya Allah telah mengutuskan aku kepada engkau untuk memberitahu bahawa Dia mengasihi engkau sebagaimana kasih engkau terhadap saudara engkau itu dan telah wajiblah bagi engkau untuk memperolehi syurga.” (HR Muslim)

2.            Persaudaraan itu hendaklah disertai dengan iman dan taqwa. Iaitu seseorang muslim hendaklah memilih sahabat yang paling beriman , bertaqwa dan yang baik akhlaknya.

Allah berfirman:

Maksudnya: Orang-orang yang bersahabat pada hari itu akan bermusuhan di antara satu sama lain kecuali orang-orang yang bertaqwa. (Az Zukhruf: 67)

3.            Persaudaraan itu hendaklah berpegang dengan manhaj Islam iaitu dengan mengikut kitab dan sunnah serta jauh dari khurafat dan bidah. Rasulullah saw. telah menjelaskan perkara ini di dalam hadis:

Maksudnya: Dan dua orang lelaki yang bersahabat di jalan Allah, mereka bertemu dan berpisah keranaNya. (Daripada hadis tujuh yang mendapat perlindungan Arash. (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana itu dan di bawah bayangan ukhuwwah di jalan Allah dua orang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah saw. apabila mereka bertemu, mereka tidak akan berpisah sehingga salah seorang dari mereka membaca surah Al Asr kemudian dia memberi salam kepada saudaranya. Mereka berpesan di atas iman dan amalan soleh.

4.            Persaudaraan itu hendaklah terbina di atas nasihat-menasihati kerana Allah. Itu adalah dengan cara seorang saudara itu menjadi cermin bagi saudaranya yang lain. Sekiranya salah seorang dari keduanya melihat kebaikan pada saudaranya maka dia akan memberikan galakan dan  menuntut supaya dia mempertingkatkan lagi amalan tersebut. Sekiranya dia melihat kekurangan dia akan menasihatinya secara rahsia dan menuntut supaya dia bertaubat kepada Allah dan kembali kepada kebenaran.

Para sahabat Rasulullah saw. telah nasihat-menasihati di antara sesama mereka. Mereka telah berbai’ah dengan Rasulullah saw. di atas nasihat-menasihati ini. Al Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah r.a. telah berkata:

Maksudnya: Aku telah membai’ah Rasulullah saw. di atas mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menasihati setiap muslim.

5.            Persaudaraan itu hendaklah terbina di atas dasar tolong-menolong  dan bantu-membantu dalam keadaan senang atau susah. Rasulullah saw. telah bersabda:

Maksudnya: Perumpamaan orang yang beriman di dalam tolong menolong, bantu-membantu dan kasih mengasihi sesama mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota daripadanya sakit ia akan menyakitkan seluruh jasad dan membuatkannya berjaga malam. (HR Bukhari & Muslim)

Seorang daripada para salihin telah meringkaskan adab mencari sahabat. Dia berkata menasihati anaknya: Wahai anakku! Apabila engkau hendak mencari sahabat maka bersahabatlah dengan orang yang apabila engkau minta khidmatnya dia akan menunaikan permintaan engkau, apabila engkau bersahabat dengannya dia akan menghiasi engkau… bersahabatlah dengan orang yang apabila engkau engkau minta pertolongan daripadanya dia akan menolong engkau, sekiranya dia melihat kebaikan pada diri engkau dia akan mengiranya dan apabila dia melihat kejahatan pada diri engkau dia akan menutupnya… bersahabatlah dengan orang yang apabila engkau minta daripadanya dia akan memberi… bersahabatlah dengan orang yang mana apabila engkau berkata dia akan membenarkannya, sekiranya engkau berdua ingin mencoba sesuatu dia akan menyuruh engkau dan sekiranya engkau bertelagah tentang sesuatu dia akan mengutamakan engkau.

 

Hak-hak Persaudaraan Dan Kewajipan-kewajipannya.

Hak-hak persaudaraan di dalam Islam terbahagi kepada dua, hak umum dan hak khusus.

Hak-hak Umum.

Ia adalah hak yang wajib terhadap setiap muslim terhadap saudaranya. Di antara perkara penting yang dirangkumi oleh hak ukhuwwah ini ialah:

Menyebarkan salam, menjawab salam, menziarahi orang sakit,  mengiringi jenazah, menunaikan jemputan, mendoakan orang yang bersin, melepaskan orang yang bersumpah, menolong orang yang dizalimi, melepaskan dari kesusahan, menyembunyikan keburukan dan menjauhkan diri dari perkara-perkara yang menyakiti seperti hasad dengki, bermusuhan, berlaku zalim, mengumpat dan menghina. Banyak hadis-hadis rasulullah saw yang menerangkan tentang hak-hak ini:

Sabda Rasulullah saw:

Maksudnya: Hak muslim ke atas muslim yang lain ada enam: Apabila engkau menemuinya hendaklah engkau memberikan salam kepadanya, apabila dia menjemput engkau hendaklah engkau tunaikan, apabila dia meminta nasihat daripada engkau hendaklah engkau menasihatinya, apabila dia bersin hendaklah engkau mendoakannya, apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan apabila dia mati hendaklah engkau mengiringi jenazahnya. (HR Muslim)

Imam al Bukhari menHRkan daipada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw. telah bersabda:

Maksudnya: Hendaklah engkau menjauhkan prasangka kerana ia adalah merupakan sedusta-dusta percakapan, jangan amu intip-mengintip, jangan kamu berlumba, jangan kamu dengki mendengki, jangan kamu bermusuhan dan jadilah hamba Allah yang bersaudara…seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, jangan dia menzaliminya, jangan dia menghinanya, dan jangan dia mencacinya…taqwa adalah di sini (lalu baginda menunjukkan kepada dadanya) muslim itu di anggap jahat kerana dia mencaci saudaranya muslim yang lain. Semua muslim ke atas muslim yang lain adalah haram, darahnya, kehormatan dan hartanya.

 

Hak-hak Khusus

Ia adalah hak-hak yang besar, ia mempunyai peranan yang penting di dalam mentarbiah generasi dakwah Islamiah. Kerana dakwah adalah terbina di atas pembersihan golongan yang terpilih di kalangan saudara-saudara seiman dan generasi Islam. Golongan yang terpilih ini yang dipilih oleh seseorang  muslim untuk dirinya supaya dia menjadi penolong ketika kesusahan, penyokong ketika menghadapi cobaan, rakan ketika gembira, tempat rujuk di dalam sesuatu urusan pekerjaan dan cermin bagi mendapatkan nasihat.

Hak-hak ini adalah merangkumi semua manusia yang engkau kasihi di jalan Allah dan semua saudara yang bekerja bersama engkau di dalam dakwah untuk meninggikan agama Allah.

 

Hak-hak ini sebagai tambahan kepada yang umum iaitu:

1.            Hak saudara ke atas harta engkau: Dengan cara menolong dan membantu dengan harta. Seorang al akh hendaklah membantu saudaranya dengan hartanya apabila dia memerlukannya.

Imam Al Ghazali berkata: Pertolongan harta di dalam persaudaraan ada tiga peringkat: Yang paling rendah ialah engkau membantu saudara engkau dengan harta engkau yang berlebih. Pertengahannya engkau menganggap saudara engkau itu sebagai diri engkau sendiri, maka engkau bahagikan setengah harta engkau kepadanya. Dan yang paling tinggi ialah engkau mengutamakannya lebih dari diri engkau, engkau dahulukan keperluannya dari keperluan engkau sendiri dan engkau tunaikan apa yang diperlukannya dengan harta engkau sebagai mengutamakannya. Ini adalah martabat Siddiqin dan martabat yang paling tinggi bagi orang yang berkasih sayang di jalan Allah.

Martabat inilah yang telah diperkatakan oleh Allah di dalam firmanNya:

Maksudnya: Dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih dari diri mereka sendiri walaupun mereka memerlukannya. (Al Hashr: 9)

Ibnu Umar berkata: Seorang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah saw. telah dihadiahkan dengan kepala kambing lalu dia berkata: Saudaraku si fulan lebih memerlukannya daripada aku. Lalu ia dibawa kepada sahabat yang lain itu dan setiap seorang akan menghantarkannya kepada sahabat yang lain sehingga kembali kepada orang yang pertama tadi semula setelah melalui tujuh orang.

Diriwayatkan bahawa Masruq telah berhutang dengan hutang yang banyak dan saudaranya Khaisamah juga mempunyai hutang… Masruq telah pergi menunaikan hutang Khaisamah tanpa pengetahuannya dan Khaisamah juga telah pergi menunaikan hutang Masruq tanpa pengetahuannya.

Abu Sulaiman Ad Darani berkata: Sesungguhnya aku menelan makanan saudaraku lalu aku merasai rasanya di dalam halkumku.

2.            Hak saudara terhadap lidah engkau:

Kadang-kadang seorang saudara engkau tidak memerlukan kepada harta engkau kerana Allah telah memberikannya kekayaan harta, kadang-kadang ada orang lain yang menunaikan keperluannya akan tetapi dia sentiasa perlu kepada lidah dan hati engkau.

Haknya pada lidah engkau ada tiga:

Pertama: Lidah engkau tidak akan memperkatakn tentangnya kecuali tetang kebaikan… jangan menyebut keaibannya samada ketika dia ada ataupun tidak. Jangan engkau menghina dan mencacinya, jangan engkau membohonginya, jangan engkau memburuk-burukkannya dan jangan engkau menggelarkannya dengan gelaran yang tidak disukainya. Jangan engkau singkap rahsianya dan jangan engkau cuba untuk menyelidiki rahsianya yang disembunyikan. Jangan engkau sebarkan keaiban yang engkau dapati ada padanya, akan tetapi hendaklah engkau sembunyikannya walau apa cara sekali pun. Apabila engkau terpandang keaiban pada saudara engkau maka jangan engkau tegurnya di hadapan orang ramai, tetapi tunggu dahulu sehingga tidak ada orang lain dan hanya tinggal engkau dan dia sahaja.

Kedua: Engkau berikan kepadanya apa yang dia suka daripada lidah engkau. Panggillah dia dengan nama yang disukainya, sebutlah kebaikannya ketika dia ada ataupun tiada. Sampaikan kepadanya pujian manusia, tampakkanlah keriangan engkau terhadapnya. Janganlah engkau sentiasa menasihatinya kerana itu akan membawa kepada kerunsingannya dan jangan engkau nasihatinya di hadapan orang ramai kerana engkau akan menyebarkan keburukannya kepada mereka.

Ketiga: Engkau hendaklah mendoakannya dan juga anak-anaknya… doakanlah dia ketika hidup atau mati, semasa dia hadir ataupun tidak.

Rasulullah saw. telah bersabda:

Maksudnya: Apabila seorang lelaki mendoakan saudaranya ketika ketiadaannya maka malaikat akan berkata: “Engkau juga akan memperolehi sedemikian juga.” (Diriwayatkankan oleh Abu Daud)

Abu Darda’ berkata: Sesungguhnya aku mendoakan tujuh puluh orang dari kalangan saudaraku di dalam sujud dan aku sebutkan nama-namanya.

3.            Hak saudara pada hati engkau:

Hak saudara pada hati engkau adalah tersimpul pada dua perkataan: Keampunan dan kemaafan… adapun keampunan kepada saudara engkau adalah kerana engkau tahu bahawa dia  bukanlah seorang yang maksum dari melakukan kesalahan. Semestinya melakukan dosa dan kesalahan.. dan ini terdedah kepada engkau kerana engkau hampir dengannya dan telah lama bercampur dengannya.

Di antara penunaian hak terhadap saudara ialah engkau memaafkannya dari kesalahan yang dilakukannya dan engkau luputkan segala kesilapannya dan sembunyikan segala keaibannya serta bersangka baik terhadapnya. Sekiranya dia melakukan maksiat samada secara terang-terangan ataupun bersembunyi, maka jangan engkau putuskan hubungan kasih sayang dengannya dan jangan engkau tolak persaudaraannya.. akan tetapi nantilah taubatnya.

Di antara penunaian hak ke atas saudara engkau ialah engkau kekal di atas persaudaraan dengannya, kerana memutuskannya adalah sebagai penghapus ganjaran pahala. Di antaranya lagi ialah kekal di atas kasih sayang bersamanya dan meneruskannya hingga mati. Selepas mati pula engkau hendaklah sambung bersama anak-anak dan ahli keluarganya. Kasih-sayang adalah kerana mengharapkan balasan pahala di akhirat. Sekiranya ia terputus sebelum mati, ia  akan menjadi sia-sia tanpa ganjaran.

4.            Hak saudara terhadap engkau… jangan engkau bebankannya dengan bebanan yang memberatkannya.

Di antara hak saudara engkau ke atas engkau ialah jangan engkau bebankannya dengan perkara yang menyulitkannya, jangan engkau tanggungkan ke atasnya perkara yang tidak disanggupinya. Jangan cuba bergantung dengannya untuk mendapatkan sesuatu pun samada harta atau pun kemegahan. Atau pun engkau mewajibkannya melakukan sesuatu kerja.. Asal ukhuwwah adalah kerana Allah, maka tidak boleh mengaut daripadanya apa-apa keuntungan  dan tidak boleh berubah dari matlamat yang asal… engkau hendaklah bersama-sama dengannya menanggung beban.

Beberapa orang Solehin telah berkata: Sesiapa yang engkau tidak bebankan, maka akan kekallah hubungan dengannya dan siapa yang engkau kurangkan pergaulan dengannya, maka kekallah kasih sayang dengannya. Seorang al akh tidak boleh berniat di dalam kasihnya terhadap saudaranya yang lain selain daripada kerana Allah, medoakannya dan membantunya di dalam urusan agamanya.

5.            Hak saudara ke atas engkau…sukakan kebaikan baginya dan bencikan kemudaratan.

Di antara tanda ukhuwwah yang mulia ialah engkau sukakan kebaikan baginya dan engkau tidak suka dia ditimpa kemudaratan. Engkau mengharapkan kebaikan itu sampai kepadanya sebagaimana engkau mengharapkannya kebaikan itu sampai kepada engkau sendiri dan engkau bergembira dengan kebaikan yang ada padanya sebagaimana engkau bergembira ianya ada pada engkau sendiri.

Di antara hak saudara engkau ialah ,engkau tidak suka dia ditimpa kemudaratan dan engkau hendaklah segera  menolak kemudaratan yang akan menimpanyanya. Sekiranya dia susah dengan kemudaratan itu maka engkau hendak berkongsi kepahitan bersamanya serta sama-sama merasakan kesedihan. Ini adalah mengikut hadis Rasulullah saw. :

Maksudnya: Perumpamaan orang yang beriman di dalam tolong menolong dan kasih sayang antara mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota sakit, seluruh anggota turut akan berjaga malam. (HR Bukhari)

Kesempitan yang sebenar yang engkau rasai adalah perkara yang mendorong engkau untuk menghilangkan kesempitan yang dialami oleh saudara engkau. Engkau tidak akan berasa tenang sehingga segala kesempitan yang ada padanya hilang. Apabila engkau berjaya mengatasi masalahnya wajah engkau akan berseri dan hati engkau akan tenang.

6.            Hak saudara ke atas engkau…hendaklah engkau menjadikannya penolong dan pembantu.

Di antara hak ukhuwwah ialah seorang muslim hendaklah merasakan bahawa saudaranya adalah pembantu dan penolong di dalam kesenangan dan juga kesusahan. Tenaganya tidak akan bergerak didalam kehidupan bersendirian. Bahkan orang-orang yang beriman akan membantunya.

7.            Hak saudara ke atas engkau…engkau memaafkannya.

Kemaafan dan tolak ansur dari kesalahan adalah merupakan sifat orang mukmin. Dia memberikan keuzuran dan menyangka baik terhadap saudaranya. Dia memilih perkataan-perkataan yang boleh menghilangkan kedengkian dari hatinya. Ibnu Samak telah memberi contoh bagi yang tersebut ketika mana seorang temannya telah berkata kepadanya: Perjanjian antara aku dan kau pada esok hari ialah kita caci-mencaci. Ibnu Samak berkata: Bahkan perjanjian antara aku dan kau pada esok hari ialah kita bermaaf-maafan.

Jangan engkau carikkan persaudaraan dan kasih saying saudara engkau dengan banyak cacian. Carilah keuzuran baginya dan  bermaaf maafanlah bersama mereka.

 

Adab-adab Dan Cara-cara Untuk Memperdalamkan Ukhuwwah.[3]

Islam telah meletakkan cara-cara yang praktikal dan adab adab yang positif di dalam usaha memperdalamkan  ukhuwwah…sekiranya orang-orang yang bersaudara di jalan Allah mengikutnya  dan beramal dengan tuntutannya maka persaudaraan mereka akan bertambah erat dari sehari ke sehari.

Di antara adab-adab dan cara-cara yang terpenting yang boleh memperdalamkan ruh ukhuwwah ialah:

1.            Apabila seorang lelaki mengasihi saudaranya maka hendaklah dia memberitahunya bahawa dia mengasihinya di jalan Allah.

Abu Daud meriwayatkan dari Anas bahawa seorang lelaki sedang berada di samping Rasulullah saw., lalu lalu seorang lelaki lain di hadapannya. Dia berkata: “Wahai Rasulullah saw. sesungguhnya aku mengasihi lelaki itu.” Rasulullah saw. telah bersabda: “Adakah engkau telah memberitahunya?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Rasulullah saw. bersabda: “Beritahulah dia.” Lalu dia menemui lelaki yang lalu itu dan memberitahunya: “Sesungguhnya aku mengasihi engkau di jalan Allah.” Lelaki itu berkata: “Aku juga mengasihi engkau kerana orang yang telah membuatkan engkau mengasihi aku.” (HR Abu Dawud)

2.            Apabila seorang al akh berjumpa dengan saudaranya hendaklah dia bersegera bersalaman dengannya.

Abu Daud telah meriwayatkan daripada Barra’ bahawa Rasulullah saw. telah bersabda:

Tidaklah dua orang muslim bertemu lalu berjabat tangan maka Allah akan mengampunkan dosa  kedua-duanya sebelum keduanya berpisah.” (HR Abu Dawud)

3.            Apabila seorang al akh bertemu dengan saudaranya hendaklah dia memaniskan mukanya ketika bertemu. Rasulullah saw. telah bersabda:

Maksudnya: Engkau tidak akan dikeji dengan kemakrufan sesuatu sekiranya engkau bertemu dengan saudara engkau dengan muka yang manis. (HR Imam Muslim daripada Abu Dzar)

4.            Apabila seorang al akh berpisah dengan saudaranya maka hendaklah dia meminta doanya ketika ketiadaannya.

Maksudnya: Aku telah meminta izin dari Rasulullah saw. untuk mamnuanikan umrah lalu baginda memberi izin kepada aku dan bersabda: “Jangan engkau lupakan kami di dalam doa engkau.” (HR Abu Dawud & Tirmidzi)

5.            Seorang al akh hendaklah memperbanyakkan ziarahnya ke atas saudaranya dari masa ke semasa.

Imam Malik telah meriwayatkan di dalam muwattak bahawa Rasulullah saw. telah bersabda:

Maksudnya: Allah telah berfirman: Kasih sayang Ku adalah wajib bagi orang yang berkasih sayang di jalan Ku, orang-orang yang duduk berbincang di jalan Ku dan orang yang berbelanja di jalan Ku.

6.            Seorang al akh hendaklah mnegucapkan tahniah kepada saudaranya setiap kali datangnya sempena baik.

7.            Menunjukkan perhatian yang berat di dalam menunaikan keperluannya.

Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah saw. telah bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang melepaskan dari saudara satu kesulitan daripada kesulitan dunia nescaya Allah akan melepaskan daripadanya kesulitan di akhirat. Dan sesiapa yang memudahkan orang yang menghadapi kepayahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah akan sentiasa menolong hambaNya selagi mana hambaNya itu menolong saudaranya.

8.            Memberikan hadiah ketika terdapat sesuatu munasabah.

Dailami telah meriwayatkan dari pada Anas bahawa Rasulullah saw. telah bersabda:

Maksudnya: Berikanlah hadiah, sesungguhnya ia mewariskan kasih sayang dan menghilangkan perasaan benci.

 

Harapan dan Berita Gembira.

Daripada Anas beliau telah berkata; Rasulullah saw. telah bersabda:

Maksudnya: “Apabila ahli syurga telah masuk ke dalam syurga orang-orang yang bersaudara di dunia ini akan merindui antara satu sama lain. Baginda bersabda lagi: Dia pun berjalan dari  katil ke katil sehingga mereka semua berkumpul lalu salah seorang dari mereka berkata kepada sahabatnya: “Adakah engkau tahu bilakah Allah telah mengampunkan kita?” Sahabatnya berkata: “Di hari yang mana kita berada di tempat demikian ini dan tempat demikian  lalu kita berdoa kepada Allah dan Allah telah mengampunkan kita.”

Bahagialah orang yang berkasih sayang di jalan Allah. (Di keluarkan oleh Ibnu Abu Dunya daripada Anas.)

 

Bahagialah mereka dengan syurga

Maksudnya:  Dan kami cabut akan apa yang ada di dalam hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas  pelamin masing-masing. (Al Hijr: 47)

Ibnu Qayim di dalam menafsirkan ayat ini :

Perhatikanlah keriangan mereka dengan saudara-saudara mereka dan mereka berjalan bersama saudara mereka. Setiap kumpulan adalah sama. Semua orang yang sama-sama bekerja adalah berada di dalam satu kumpulan dan mereka bergembira. Sebagaimana mereka di dunia di mana mereka berkumpul mengerjakan kebaikan. Bagitu juga mereka mesra dan bergembira bersama mereka.



[1] Husni Adham Jarrar, Al Ukhuwwah wal Hubb fillah, hal. 24-29

[2] Hadith HR oleh Abu Dawud, Ahmad, Hakim, dan Tirmidzi, ia mengatakan sebagai hadith hasan

[3] Dr. Abdullah Nasih Ulwan, Al Ukhuwwah Al Islamiyah

2 Comments

  • qhaliff_zuber@yahoo.com' qhaliff says:

    Assalamualaikum, tabarakallah ya akhi :) . cuma ada stu kesilapan skit. Surah az-zukhruf ayat ke 67, bukan 64 ye. inshaAllah, sama2 perbetulkan. Jazakallahu khairan kathira

Leave a Comment