Rakaez Dakwah – Tsabat (Tetap Hati)

Rakaezud Dakwah (Konsep Dasar Gerakan Dakwah)

Oleh – Dr. Majdi Al-Hilali

 

TSABAT

 

Allah berfirman:

Maksudnya: Di antara orang-orang yang beriman itu ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam) maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu( lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran, mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka telah janjikan) sedikitpun. (Al Ahzab: 23)

Sabat adalah salah satu daripada taklif keimanan. Iman bukanlah perkataan yang dituturkan. Akan tetapi ia adalah satu hakikat yang mempunyai taklif dan amanah yang mempunyai beban. Jihad perlu kepada kesabaran  dan kefahaman. Tidak memadai seseorang itu berkata: “Kami telah beriman“. Mereka tidak akan ditinggalkan bagitu sahaja dengan dakwaan itu sehingga mereka didedahkan kepada fitnah lalu mereka sabat di atasnya dan keluar dari fitnah tersebut dalam keadaan hati dan sanubari yang bersih dan suci.

 

Tanggung jawab Sabat.

Ibnu Qayim berkata: Tidak ada yang paling sulit di dalam alam ini selain daripada sabat, samada terhadap perkara yang disukai ataupun terhadap perkara yang tidak disukai, khususnya apabila masanya berpanjangan dan berlaku perasaan putus asa.

Tempoh yang panjang itu perlu kepada bekalan untuk melaluinya. Bekalan di sini ialah sabat. Sabat di atas ketentuan dan ujian Allah. Ahli sabat perlu menggunakan kesabatannya untuk melalui saat-saat ujian dan cobaan ini.

Sabat di atas kebenaran sehingga mati adalah suatu perkara yang sukar. Rasulullah saw. telah memperbanyakkan doa:

Ya Allah yang memutar belitkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agamaMu. (Dikeluarkan oleh AT Tirmizi dan katanya hadis hasan)

Berkata seorang solihin: Janganlah engkau bertanya tentang orang yang binasa dan bagaimanakah mereka binasa tetapi bertanyalah tentang orang yang berjaya dan bagaimanakah mereka berjaya.

Yang lain pula berkata: Apabila engkau ingin mengambil teladan, ambillah teladan orang yang telah mati kerana orang yang hidup belum tentu selamat akhirnya.

Di sana tidak ada kayu ukur yang tetap yang boleh menentukan sesorang itu gugur, bukannya umur, keilmuan ataupun terdahulu mengikuti dakwah. Kerana terkadang seorang itu diuji dengan ilmunya dan ada yang teruji dengan usianya dan ada yang teruji melalui kedudukkannya sebagai orang yang terawal menyertai dakwah.

Begitulah kisah Bal`am

Beliau ialah Bal’am bin Ba’ura’ daripada bani Israil, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sufyan as Tsauri daripada riwayat Abdullah bin Masud.

Beliau telah mendapat ilmu yang banyak daripada syariat nabi terdahulu tetapi tidak mengambil manfaat daripadanya ( tafsir Ibnu Kasir) seperti yang diriwayatkan oleh ahli tafsir melalui ayat:

Maksudnya: “Dan bacakanlah kepada mereka berita orang telah kami berikan kepadanya ayat-ayat kami (pengetahuan tentang isi Al Kitab) kemudian dia melepaskan diri dari ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia orang-orang yang sesat.

Dan kalau kami mengkehendaki, nescaya kami tinggikan(derjat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya dia akan menghulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menghulurkan lidahnya juga . Demikian itulah perumpamaan orang yang mendustakan ayat-ayat kami.

Maka cerikanlah kepada mereka kisah-kisah agar mereka berfikir. (Al A’raf: 175-176)

Malah Iblis telah teruji melalui ibadahnya dan dia merasa bahawa dia lebih mulia daripada Adam a.s.

Maksudnya: “Iblis berkata, aku lebih baik daripadanya, engkau jadikan aku daripada api dan engkau jadikannya daripada tanah”.(Al A’raf : 12)

Terkadang terdapat manusia yang teruji dengan berbagai perkara yang lain lagi. Oleh itu janganlah engkau bertanya tentang orang yang binasa dan bagaimanakah mereka binasa tetapi bertanyalah tentang orang yang berjaya dan bagaimanakah mereka berjaya.

Telah dikhabarkan kepada Rasulullah saw. bahawa terdapatÞFÞ beberapa orang telah keluar daripada Islam dan meninggalkan Madinah lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Madinah telah membuang kekotorannya seperti tukang besi membersihkan kekotorannya“.

Sirah telah menceritakan kepada kita tentang sikap ini di dalam peperangan Tabuk:

Rasulullah saw. telah meneruskan perjalanan. Seorang lelaki telah ketinggalan di belakang, lalu mereka yang lain telah berkata: “Wahai Rasulullah saw. sifulan telah ketinggalan.”

Baginda menyahut: “Tinggalkanlah dia, sekiranya di dalam dirinya masih ada lagi kebaikan, maka dia akan bergabung dengan kamu, sekiranya sebaliknya maka Allah telah merehatkan kamu daripadanya.”

Ia adalah kata pemutus daripada Rasulullah saw.. Sekiranya masih ada lagi kebaikan di dalam dirinya nescaya dia akan datang untuk bergabung bersama dengan angkatan muslimin. Sekiranya kebaikan itu sudah tidak ada di dalam dirinya, maka kita tidak akan bersedih ke atasnya. Ketika baginda di beritahu bahawa yang ketinggalan itu adalah Abu Zar dan Abu Zar sebagaimana yang kita ketahui adalah di antara orang yang terdahulu menyahut seruan Islam.

Sehinggakan adalah di katakan: “Wahai Rasulullah saw., Abu Zar telah ketinggalan dan untanya telah terlewat.” Lalu baginda bersabda: “Tinggalkanlah dia, sekiranya didalam dirinya masih ada lagi kebaikan nescaya Allah akan mempercantumkannya dengan kamu dan sekiranya tidak ada lagi kebaikan di dalam dirinya maka Allah telah merehatkan kamu daripadanya.”

Bersama itu juga Rasulullah saw.. berharap supaya Abu Zar tidak bersama orang-orang yang tercicir dari berperang. Ketika seorang lelaki memberitahunya: “Wahai Rasulullah saw., lelaki itu berjalan di belakang dengan seorang diri.” Lalu baginda berkata: “Semoga orang itu adalah Abu Zar.” Apabila orang ramai memerhatikannya mereka telah berkata: “Wahai Rasulullah saw., demi Allah dia adalah Abu Zar.” Semuanya berharap supaya Abu Zar bersama mereka dan ketika baginda melihatnya baginda telah bersabda: “Mudahan-mudahan Allah merahmati Abu Zar yang berjalan seorang diri, mati seorang diri dan dibangkitkan di hari akhirat seorang diri.”[1]

Bahkan Allah swt telah mengurniakan kesabatan kepada Rasulullah saw. untuk mengikuti apa yang telah diwahyukan kepadanya .Allah swt juga telah memeliharanya daripada tipu daya orang-orang muysrikin dan menyelamatkannya daripada tercenderung kepada mereka walaupun.  Allah swt juga telah merahmatinya daripada menimpakannya dengan akibat kecendurangan ini  iaitu azab di dunia dan akhirat yang berlipat ganda serta hilangnya pertolongan.

Allah berfirman:

Maksudnya: Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkan mu (wahai Muhammad) dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan di atas nama Kami perkara yang lainnya, dan (kalau engkau melakukan seperti itu) baharulah mereka menjadikan engkau sahabat karibnya.

Dan kalaulah Kami tidak menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran) tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui segala kehendak mereka.

Jika engkau( melakukan yang demikian) tentulah Kami akan merasakan kepada mu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga ketika mati, kemudian engkau tidak beroleh seorang penolong pun terhadap hukuman Kami.(Al Isra’: 73 -75)

Ustaz Syed Qutub berkata: Ayat ini menceritakan usaha pertarungan orang muysrikin dengan Rasulullah saw. . Usaha ini yang telah dijauhkan oleh Allah daripada Rasulullah saw.. adalah merupakan usaha orang-orang yang mempunyai kekuasaan terhadap para daei disetiap zaman. Iaitu usaha untuk menipu para daei  supaya mereka menyeleweng  walaupun sedikit daripada beristiqamah dengan dakwah dan keteguhannya serta mereka redha dengan penyelesaian-penyelesaian pertengahan yang menipu mereka di sebalik keuntungan yang banyak.

Ada di antara pendakwah yang terfitnah dengan perkara ini, kerana mereka melihat ia adalah satu perkara yang mudah. Orang-orang yang berkuasa tidak menuntut supaya mereka meninggalkan dakwahnya secara keseluruhan, akan tetapi mereka mahukan perseimbangan supaya kedua-dua belah pihak boleh bertemu di pertengahan jalan. Kadang-kadang syaitan akan masuk ke dalam para pendakwah melalui jalan ini dan diapun menggambarkan bahawa kebaikan dakwah adalah dengan menarik orang-orang yang berkuasa ke arahnya walaupun dengan bertolak ansur di dalam beberapa perkara.

Penyelewengan yang sedikit di awal perjalanan akan berakhir dengan penyelewengan yang banyak di penghujung jalan. Pendakwah yang sanggup menyerahkan sebahagian daripada dakwahnya dan melupakan sebahagian yang lain walaupun kecil tidak akan berupaya untuk bertahan di jalan dakwah. Ini adalah kerana kesediaannya untuk bertolah ansur akan bertambah setiap kali dia mengundur ke belakang.

Permasalahannya sekarang ini adalah keimanan terhadap dakwah itu sendiri. Orang yang berani bertolak ansur di dalam sebahagian dakwahnya dan senyap di dalam sebahagian yang lain walaupun di dalam perkara yang kecil, tidak mungkin dia adalah seorang yang beriman terhadap dakwahnya dengan keimanan yang sebenar. Setiap aspek di dalam dakwah menurut pandangan orang yang beriman adalah penting seperti yang lainnya juga..

Tidak ada di dalam dakwah perkara yang lebih dan perkara yang kurang penting. Tidak ada di dalam dakwah perkara yang wajib dan perkara yang sunat. Tidak ada di dalamnya perkara yang mungkin tidak diperlukan. Semuanya adalah bersepadu di mana keistimewaan kesuruhannya akan hilang dengan hilangnya salah satu daripadanya. Sama seperti perkara yang terbina daripada banyak unsur, keistimewaannya akan hilang apabila salah satu daripada unsurnya itu hilang.[2]

 

Sabat Di Atas Perjalanan.

Sabat di dalam berjalan di atas jalan dakwah ini dan sabar terhadap kesusahan yang dihadapi oleh du`at adalah perkara yang dituntut. Jalan dakwah adalah suatu jalan yang panjang, sulit yang dirintangi dengan halangan, ranjau dan duri, dihampari oelh onak-onak dan darah-darah, penyeksaan dan cobaan.

Sabar di atas bermacam-macam perkara: Sabar di atas nafsu syahwat, kemahuan, kelemahan, kekurangan, gopoh dan hendak cepat mendapatkan hasil. Sabar di atas syahwat manusia, gambaran mereka yang buruk, tipu daya, lambat dan cepatnya mereka di dalam menerima dakwah yang dibawa. Sabar di dalam berhadapan dengan pendokong kebatilan dan kejahatan taghut. Sabar di atas kurangnya penyokong dan kurangnya pembantu, panjangnya perjalannya, was-was syaitan di saat-saat kesusahan dan kesempitan. Sabar di atas kepahitan jihad dan perasaan yang di hadapi oleh jiwa  samada kesakitan, tekanan, kesempitan, kurangnya thiqah, kurangnya pengharapan, putus asa dan jemu.

Sabar mengawal diri di saat kemenangan dan kejayaan. Menerima kemenangan di dalam keadaan tawadduk dan kesyukuran tanpa menunjuk-nunjuk serta tidak terdorong ke arah membalas dendam dan melampaui batasan qisas yang sebenar. Kekal di atas perhubungan dengan Allah ketika senang dan susah. Menerima ketentuanNya dan mengembalikan segala urusan kepadaNya dalam keadaan khusyuk dan tenang.

Kadang-kadang tempoh ujian adalah panjang kerana sesuatu sebab yang dikehendaki oleh Allah. Nabi Nuh telah menyeru kaumnya sembilan ratu lima puluh tahun sebelum dia menerima ajalnya yang telah ditentukan oleh Allah. Hasil bagi tempoh yang panjang ini hanyalah dua belas orang Islam.. sebagaimana yang dikatakan oleh beberapa riwayat.

Akan tetapi golongan manusia yang kecil ini pada neraca Allah adalah mmemadai untuk Dia memberikan kekuatan kepada mereka  dan menghancurkan seluruh manusia yang sesat serta mewariskan muka bumi ini kepada kelompok yang kecil ini untuk mereka membangunkannya semula dan mengurusnya.

Orang-orang yang memerhatikan ayat-ayat Al Quran akan mendapati bahawa seluruh ayat- ayat yang menyentuh tentang kemenangan adalah diturunkan di Madinah. Ini adalah yang perlu diamati oleh para du`at kepada Allah di seluruh pelusuk bumi dan di segenap generasi. Ia memadai untuk menunjukkan kepada mereka pertunjuk-pertunjuk jalan yang jelas tanpa ada kesamaran dan menetapkan langkah-langkah orang yang mahu meneruskan perjalanan sehingga ke pengakhiran perjalannya walau bagaimana sekalipun kesudahan perjalanan tersebut.

Ketentuan dakwahnya pada masa akan datang adalah di bawah kekuasaan Allah. Mereka tidak dapat lari dari jalan yang dipenuhi oleh darah, tengkorak, penyeksaan, peluh dan darah sehingga mereka mencapai kemenangan atau tertewas atau berjaya memisahkan antara yang hak dan yang batil di atas muka bumi ini.

Akan tetapi apabila Allah hendak melakukan sesuatu keatas mereka untuk dakwahNya ini dan untuk agamaNya, maka Diaakan melakukannya. Tidak ada pembalasan ganjaran di ataskesakitan dan pengorbanan di atas dunia ini… tidak, bumi bukanlah tempat pembalasan. Akan tetapi ia adalah tempat untuk melaksanakan ketentuan Allah terhadap urusan dakwah dan manhajNya dengan tangan segolongan hamba-hambaNya. Allah swt. memilih mereka untuk menjalankan urusan yang dikehendakiNya. Dengan pemilihan Allah ini dan mereka sudah cukup untuk mereka merasai segala yang ada di atas muka bumi ini adalah hina. Bagitu juga dengan segala rintangan dan kesusahan di atas jalan dakwahnya, ia adalah dianggap sebagai perkara yang kecil sahaja.

Al Quran telah membentuk hati-hati yang bersedia untuk menanggung amanah. Hati-hati ini perlulah jitu, kuat dan tajarrud di mana dia tidak mencari sesuatu di muka bumi ini dan tidak melihat kecuali kepada akhirat serta tidak mengharapkan kecuali keredhaan Allah sedangkan dia membelanjakan segala-galanya dan memikul segala bebanan. Pengorbanan sehinggakan kematiannya adalah tidak mendapat apa-apa pembalasan di dunia ini. Walaupun ganjaran itu adalah merupakan kemenangan dakwah dan Islam serta muslimin. Bahkan walaupun ganjaran ini adalah merupakan kebinasaan orang-orang yang zalim yang telah dibinasakan oleh pukulan maut sebagaimana yang telah dilakukan kepada orang yang menolak kebenaran pada zaman dahulu.[3]

Ini adalah jalan yang telah disediakan oleh Allah bagi jamaah Islam yang pertama dahulu dan bagi setiap jamaah Islam di setiap generasi. Keimanan, jihad, halangan, cobaan, sabar dan sabat, berharap kepada Allah  semata-mata. Kemudian baharulah datang kemenangan…. datangnya nikmat yang agung.[4]

Allah berfirman:

Maksudnya: Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami. (As Sajadah: 32)

Doktor Abdul Karim Zaidan telah berkata: Ia adalah dengan kesabaran, sabat, yang akan memperolehi kepimpinan di dalam agama.

Akhirnya Abu A’la Al Maududi berkata: Kamu perlu melatih diri kamu dengan kerja-kerja yang kekal kesannya dan penghasilan yang jauh dengan jalan yang teratur dan berperingkat-peringkat. Setiap kerja walaupun kecil pada pandangan kamu, maka kamu wajib mengorbankan kehidupan kamu keseluruhannya tanpa menanti-nanti hasil yang segera dan tanpa kamu mengharapkan pujian daripada manusia terhadap usaha-usaha kamu.[5]

 

Sabat Di Atas Seksaan.

Di antara tanda keimanan ialah sabar atas musibah dan bertahan di hadapan cobaan.

Allah berfirman:    

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan dengan merasai kelaparan. (Al Baqarah: 155)

Jihad perlu kepada ujian dan cobaan. Di antara tanda-tanda yang akan menjelaskan hakikat pejuang dan sikap pahlawan-pahlawan ialah sabar diatas seksaan dan cobaan di jalan Allah.

Kebanyakkan orang yang tidak memahami hakikat Islam lebih mementingkan sembahyang seratus rokaat sehari atau berzikir kepada Allah di waktu duduk, berdiri dan berbaring…akan tetapi mereka tidak mempunyai persediaan untuk bertahan dari cobaan dan bersabar atas penyeksaan di jalan Allah walaupun sesaat. Apabila mereka di seksa, mereka terus jemu, tewas dan duduk berehat di rumah mereka bersama orang-orang yang duduk berehat dari perjuangan.

Maksudnya: Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: “Kami beriman kepada Allah.” Kemudian apabila dia diganggu atau di sakiti pada jalan Allah, dia menjadikan gangguan manusia itu seperti azab Allah (lalu dia takutkan manusia). Dan jika datang pertolongan daripada Tuhanmu dengan memberikan kemenangan kepada mu, mereka sudah tentu akan berkata: “Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu“. (Mengapa mereka berdusta) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam di dalam hati sekelian makhluk?” (Al Ankabut: 10)

Apabila kita teliti kitab Allah dan sunnah RasulNya kita akan dapati bahawa keredhaan Allah dan dapat memasuki syurga bukanlah dengan amalan ketaatan dan ibadat-ibadat semata-mata, tidak dengan menjauhkan yang haram dan melakukan yang halal, akan tetapi akan masuk kedalamnya juga dengan berjihad di jalan Allah dan sabar atas cobaan, rintangan, kepahitan dan penetangan orang-orang yang zalim.[6]

Di antara ayat Al Quran:    

Maksudnya: Apakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata pada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjuang (dengan bersungguh-sungguh)  di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) Orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (Ali Imran: 142)

Di antara hadis pula, sabda Rasulullah saw. :

Maksudnya: Dibentangkan syurga dengan perkara-perkara yang tidak disukai dan dibentangkan neraka  dengan perkara-perkara yang disenangi oleh syahwat.(Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Dan hadis Rasulullah saw.

Maksudnya: Manusia yang paling hebat cobaannya adalah Para Nabi, kemudian orang yang paling mulia selepas mereka  dan seterusnya , seorang lelaki akan diuji mengikut kekuatan  agamanya. Sekiranya dia kental di dalam beragama maka cobaannya akan bertambah. (HR Bukhari)

Setiap individu di dalam masyarakat yang telah dibentuk oleh Rasulullah saw. adalah terdedah kepada penyeksaan dan fitnah dengan segala macam bentuk. Sehingga kadang-kadang sampai tahap pertumpahan darah. Pada hari itu tidak ada orang yang bergabung dengan Islam dan mengucap dua kalimah syahadah bergabung dengan masyarakat Islam dan patuh kepada arahannya kecuali orang-orang yang bersedia menghadapi penyeksaan dan cobaan, fitnah, kelaparan, azab dan maut dalam keadaan yang teruk pada setengah ketika.

Oleh itu telah terbentuk bagi Islam `kaedah sulbah’ yang terbentuk daripada anasir-anasir yang terkenal di kalangan masyarakat Arab. Adapun orang-orang yang tidak tahan menahan tekanan-tekanan ini, mereka telah terfitnah dari agamanya, tidak sabat dan kembali kepada jahiliah buat kali ke dua.

Permerhatian kepada hakikat ini iaitu rintangan yang panjang  yang dihadapi oleh dakwah di Mekah, menjelaskan bahawa, Allah swt mengetahui ini adalah manhaj yang tepat untuk mentarbiah jamaah yang pertama dan membentuk pejuang yang unggul bagi akidah ini. Tanpa rintangan yang panjang ini, tidak akan terbentuk pejuang-pejuang yang unggul  dan jitu serta mereka tidak akan sabat di dalam menghadapi tekanan. Dengan berlalunya peringkat ini dengan kejituan, tajarrud dan istiqamah di jalan Allah di atas penyeksaan, pengazaban, pembunuhan, pengusiran dan kurangnya bilangan anggota serta tiadanya sokongan yang berbentuk dunia, peringkat inilah satu-satunya yang sesuai bagi melahirkan pejuang yang asli, sabat di zaman noktah permulaan agama Islam ini.

Penyokong-pendokong akidah adalah perlu mempertahankan akidah mereka dengan berhadapan dengan kesakitan, kepedihan dan tekanan. Menanti antara kemenangan dan ketewasan, sehingga mereka sabat di atas akidah mereka, tidak digoyang oleh tekanan dan tidak ditakutkan oleh kekuatan pehak musuh serta tidak hina berada di bawah fitnah dan rintangan baharulah mereka layak mendapat pertolongan Allah. Pada ketika itu mereka adalah merupakan pemegang amanah di atas agama Allah, layak dan sesuai untuk memeliharanya. Mereka berhak menerima syurga kerana ruh-ruh mereka bebas dari ketakutan, kehinaan dan dari mementingkan kehidupan dunia.

Ringkasnya: Allahlah yang memelihara dakwahNya. Apabila Dia inginkan dakwahNya mempunyai pergerakan yang sahih, Dia telah mendedahkan pendokong-[endokongnya kepada rintangan yang panjang dan melambat-lambatkan kemenangan dan sedikitnya manusia datang kepadanya, sehingga didapati mereka adalah orang yang sabar, sabat, bersedia dan layak menjadi `kaedah sulbah’yang jitu, asli, bersedia dan amanah. Allahlah yang menguasai urusanNya akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

 

Rawatan terhadap orang lemah

Setiap daripada kita janganlah menjadi penolong bagi syaitan apabila melihat saudaranya mula lemah, bahkan dia hendaklah berusaha supaya dapat menutup pintu kelemahan dari saudaranya itu. Dia hendaklah berusaha supaya saudaranya itu tidak keluar dari mana-mana pintu kelemahan itu. Sekiranya dia enggan juga dan terus keluar meninggalkan jamaah dan kerja Islam, maka janganlah ditutup baginya pintu untuk kembali bersama bekerja di dalam mengembangkan Islam. Bahkan hendaklah dibuka setengah pintu baginya. Kadang-kadang dia kembali kepada kematangannya semula dan dia mendapati pintu masih terbuka kepadanya, maka dia akan masuk melaluinya dan bekerja bersama kita semula di dalam membawa dakwah Islam ini.

Inilah yang telah ditunjukkan oleh para sahabat di dalam berhadapan dengan saudara-saudara mereka yang mengundurkan diri dari jalan dakwah.

Ibnu Ishak mengeluarkan daripada Nafi’ daripada Ibnu Umar telah berkata: “Ketika aku hendak berhijrah ke Madinah , kami telah berjanji, aku, Iyays bin Abi Rabiah dan Hisyam bin Al As untuk bertemu di At Tanaddub daripada peninggalan Bani Ghafar berhampiran Saraf (nama tempat yang jauhnya 6 batu daripada Mekah). Kami telah berkata : Sesiapa daripada kalangan kita yang tidak datang pada waktu yang dijanjikan, maka dia adalah tertahan maka yang lain hendaklah  terus berjalan.

Aku dan Iyays telah datang tepat pada waktunya di Tanaddub, tetapi Hisyam tidak datang pada ketika itu. Kami telah meneruskan perjalanan. Apabila kami sampai ke Madinah , kami telah berhenti pada tempat Bani Amru bin Auf di Quba’. Abu Jahal dan Haris bin Hisyam telah keluar menemui Iyasy(dia adalah sepupu dan saudara seibunya) sehingga kedua-duanya sampai ke Madinah sedangkan pada ketika itu Rasulullah saw. masih lagi di Mekah. Kedua-duanya telah berkata kepada Iyasy ; “Sesungguhnya ibu engkau telah bernazar bahawa dia tidak akan menyikat rambutnya dan tidak akan berlindung daripada matahari sehingga dia melihat engkau kembali kepadanya.” Aku berkata kepadanya: ” Kaum itu hanyalah mahu memfitnah engkau, maka hendaklah berhati-hati terhadap mereka. Demi Allah sekiranya ibu engkau telah terseksa dengan kutu di kepalanya, dia akan menyikatnya dan sekiranya dia tidak tahan dengan panas cahaya mathari Mekah maka dia akan berlindung daripadanya.” Dia berkata: “Sumpah ibu aku itu adalah baik dan di sana aku mempunyai banyak harta di mana aku boleh mengambilnya.” Aku berkata: “Engkau tahu bahawa aku adalah di antara orang Qurasy yang banyak harta, maka aku berikan setengah harta aku kepada engkau dan jangan pergi bersama kedua-duanya.” Apabila dia enggan dan terus juga mengikut keduanya, aku pun berkata: ” Sekiranya engkau hendak lakukan juga apa yang engkau mahukan maka ambillah unta aku ini, sesungguhnya ia adalah unta yang baik lariannya. Apabila engkau ditimpa kesusahan maka larilah dengan menaikinya.”

Maka dia pun keluar bersama keduanya sehingga dia sampai pada pertengahan jalan, Abu Jahal telah berkata kepadanya: “Wahai saudaraku! Demi Allah untaku ini telah enggan berjalan, apakah boleh aku naik bersama unta engkau?” Dia berkata: “Boleh” Lalu keduanya telah naik ke atas untanya.

Apabila telah berjalan beberapa jauh keduanya telahmenolaknya daripada atas unta itu dan keduanya telah memasuki Mekah dengan unta itu. Keduanya telah memfitnahnya. Umar bin Al Khattab telah berkata: Kami telah mengatakan : “Allah tidak akan menerima taubat orang yang menfitnah dirinya.

Mereka semua mengatakan sedemikian di dalam diri mereka,sehingga Rasulullah saw. datang ke Madinah dan Allah telah menurunkan ayat:

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat) janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengmpunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya sebelum kamu didatangi azab, kerana sesudah itu kamu akan diberikan pertolongan.

“Dan turutlah Al Quran sebaik-baik (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.” (Az Zumar: 53 -55)

Umar berkata: Aku telah menulisnya dan telah mengirimkannya kepada Hisyam bin As. Hisyam berkata: Apabila ayat itu sampai kepada aku, aku telah membacanya di Tawa. Aku telah tidak memahaminya sehingga aku berkata: “Ya Allah berilah aku kefahaman.” Lalu Allah telah memberikan kefahaman kepada aku bahawa ayat itu adalah diturunkan kepada kami, pada apa yang kami telah katakan terhadap diri kami dan apa yang telah di katakan terhadap kami. Dia berkata lagi: Aku pun telah kembali kepada untaku dan aku duduk di atasnya  dan aku telah menemui Rasulullah saw. di Madinah.

Umar telah menjelaskan kepada kita dengan pemdiriannya yang dilakukan, bagaimana kita bertindak ke atas orang yang  hendak lari dari bekerja. Dia cuba menutup  pintu fitnah daripada Iyasy bahkan dia telah mempelawa kepadanya setengah daripada hartanya. Apabila Iyasy telah enggan juga dan dia terus juga hendak kembali ke Mekah, Umar tidak membiarkannya bagitu  sahaja, bahkan dia berusaha untuk menolongnya supaya dia tidak terfitnah secara keseluruhannya dengan memberikan kepada Iyasy untanya yang baik pacuan itu.

Sikapnya dengan Hisyam juga menjelaskan kepada kita tentang perkara itu. Ketika dia tahu bahawa Allah menerima taubat orang yang terfitnah, dengan segera dia telah mengirimkan ayat itu kepada Hisyam lalu Allah telah membukakan hati Hisyam dan beliau telah berhijrah ke Madinah.

Bagitulah semestinya yang perlu di lakukan oleh al akh Muslim  kepada orang ang hendak mengundurkan diri. Doa mesti berusaha menutup pintu fitnah daripadanya supaya  ia tidak membawa kepada perkara yang lebih bahawa lagi. Dia hendaklah diberikan kesempatan supaya dia boleh kembali semula ke pangkal jalan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Umar kepada Hisyam bin Al As.[7]

 

Di Antara Unsur-unsur Sabat.

Sabatnya seorang al akh hingga ke pengakhiran jalan adalah satu perkara  yang tidak diketahui kecuali oleh Allah. Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah untuk memfitnahnya, maka tidak ada siapa yang boleh menahannya. Akan tetapi adalah tidak diragui bahawa di sana ada faktor-faktor yang boleh membantu al akh supaya  sabat di atas jalan perjuangan. Di antaranya:

1. Sentiasa berharap dan berdoa kepada Allah supaya dia di sabatkan diatas jalan dakwah dan perjuangan. Berdoa dengan penuh kehinaan di samping memperbanyakkannya, khususnya:

Maksudnya: Wahai Tuhan yang membalikkan hati tetapkanlah hatiku diatas agama Mu . Wahai Tuhan yang mengalihkan hati, alihkan hatiku kepada mentaati Mu dan mentaati rasul Mu.

Setiap kali seorang muslim hampir dengan Tuhannya, dia akan terdedah kepada rahmatNya. Di antara rahmatNya ialah mensabatkan orang-orang yang beriman di atas jalan kebenaran.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Qayim: Pintu yang paling hampir yang dimasuki oleh hamba kepada Tuhannya ialah pintu kemiskinan dan pengharapan. Bahkan dia akan masuk dengan melalui kefakiran dan kemiskinan hati.

Allah berfirman:

Maksudnya: Oleh itu bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya, dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah siang, supaya engkau redha (dengan mendapat sebaik-baik balasan) (Taha: 130)

Maksudnya: Dan (dengan yang demikian itu) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (dengan memberi tempoh kepada mereka) kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemeliharaan serta pengawasan Kami,dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu semasa engkau bangun. Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepadaNya pada waktu malam dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh). (At Thur: 48, 49)

Orang-orang yang memerhatikan ayat-ayat Allah akan mendapati bahawa kesabaran adalah hasil dari arahan rabbani. Orang-orang yang tetap di jalan Allah, hanya mengharapkan kepadaNya semata-mata, menolak dunia dan berhubung dengan Allah di dalam sembahyang yang berterusan. Mereka adalah orang yang berupaya sabar di jalan Allah dan sabar menanti pertolongan Allah.

Sabar telah di sebut di dalam AL Quran pada banyak tempat sehingga disebut ianya adalah merupakan separuh dari iman… memang tepat ia seperti itu. Kesabaran yang paling tinggi yang akan dihadapi oleh seorang pendakwah ialah berjalan dengan dakwahnya di celah-cealah jahiliah. Ia adalah kesabaran yang dimiliki oleh orang-orang yang cintakan Allah dan agamaNya. Ia perlu kepada kelembapan lidah berzikir kepada Allah, perlu kepada kesibukan kerana cintakan Allah.

Jihad dakwah semenjak dari dulu lagi sehingga mencapai kemenangan adalah suatu yang sukar dan berat, tidak akan menjadi mudah kecuali dengan pergantungan yang berterusan dengan Allah. Oleh itu Allahlah yang mendidik NabiNya. Allah telah berfirman kepadanya di dalam dakwahnya yang pertama:

Maksudnya: Bangunlah untuk  sembahyang dimalam hari kecuali sedikit daripadanya, iaitu seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit atau lebih dari seperdua  itu. Dan bacalah al Quran dengan perlahan-lahan. (Al Muzzammil: 2-4)

2. Mengetahui tabiat jalan perjuangan:

Di antara tabiatnya ialah ia merupakan satu jalan yang panjang, sukar, jauh perhentian dan banyak rintangan. Setiap dari kita perlu kepada kesabaran yang baik dan perancangan yang panjang serta meyakini bahawa kadang-kadang dia mati sebelum dapat melihat kemenangan. Yang penting baginya adalah berjalan di atas jalan perjuangan dan mati di atasnya.

Sekiranya seorang pejuang meyakini itu semua dan tidak gopoh di dalam mengutip hasil sebelum tiba waktunya serta dia tidak dipengaruhi oleh tekanan keadaan supaya gopoh dan menuntut supaya dibuat penentangan, maka dia akan berupaya untuk sabat di dalam perjuangan.

Sabar di atas pentarbiahan dan perjanjian. Sabar melihat kesombongan kebatilan tanpa mengambil tindak balas lebih hebat dari sabar berhadapan dengan musuh. Di antara langkah dakwah di zaman Mekah ialah perintah membiarkan orang musyrikin menentang, sabar di atas penentangan dan pendustaan, bangun menyampaikan dakwah serta berakhlak mulia.

Firman Allah

Maksudnya: Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka katakan (yang menentangmu) dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik. (Al Muzzammil: 10)

Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman: “Hendaklah mereka memaafkan(kejahatan dan gangguan) orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada hari-hari (pembalasan yang telah ditentukan) Allah, (disuruh berbuat demikian) kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak balasan yang patut dengan apa yang telah mereka usahakan. (Al Jasiah: 14)

Maksudnya: Oleh itu bersabarlah (Wahai Muahammad) sesungguhnya janji Allah itu benar, dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah. (Ar Rum: 60)

Sabar adalah cobaan, menanggung rintangan dan  memaafkan kejahatan (disamping berkuasa untuk bertindak) adalah suatu perkara yang susah dan sulit kepada setengah orang.

Di dalam sunan Nasai ada menyebut bahawa Abdul Rahman bin Auf  dan sahabat-sahabatnya telah mendatangi Rasulullah saw. di Mekah dan berkata: “Wahai Nabi Allah, kami telah menempuh peperangan di zaman kami berada di dalam syirik, apabila kami beriman kami telah menjadi hina(kerana tidak menentang musuh).” Baginda telah bersabda kepada mereka: “Aku telah diperintahkan supaya memaafkan, jangan kamu perangi suatu kaum pun.” (Riwayat An Nasai dan al Hakim)

Rasulullah saw. telah terus mentarbiah orang-orang yang beriman di atas manhaj ini. Baginda telah memerintahkan para sahabatnya supaya sembahyang di ceruk Mekah, jauh dari pandangan orang ramai, menjadikan rumah Al Arqam di Saffa yang terasing  sebagai tempat perkumpulan orang-orang yang beriman. Zaman Mekah berjalan tanpa ada pertembungan antara dua pehak walaupun peristiwa penyeksaan perlu kepada penentangan dan pembelaan.

Walaupun jamaah Islam mempunyai beberapa orang yang kuat dan gagah yang mana sebelum Islam mereka adalah amat hebat bertahan dan bertempur. Ia adalah hasil yang menunjukkan tempoh peralihan yang telah di jalankan oleh pentarbiahan ini serta perubahan yang berlaku di dalam diri mereka. Sehingga mereka sampai ke matlamat kesabaran, sanggup menanggung bebanan, taat dan mengawal diri.[8]

Tekanan keadaan hendaklah tidak membawa kepada jalan penyelesaian yang salah walau bagaimana panjang sekali pun tempoh menanti penyelesaian yang sahih. Ini adalah jalan yang tepat. Lamanya menanti tidak akan meluputkan kebenaran dan pendeknya masa tidak akan memberikan  sifat benar kepada kebatilan. [9]

Allah berirman:

Maksudnya: Tidakkah engkau hairan melihat (wahai Muhammad) akan orang-orang yang pernah dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu(daripada bertindak melancarkan peperangan yang belum diizinkan) dan dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat” . (Mereka minta juga untuk berperang) kemudian apabila mereka diperintahkan supaya berperang, tiba-tiba sepuak daripada mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, mengapa engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami).(An Nisa’: 77)

Ibnu Kathir berkata: Orang-orang yang beriman di zaman permulaan Islam di Mekah disuruh menunaikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, membantu orang-orang fakir dari kalangan mereka. Mereka disuruh berbaik-baik dan memaafkan orang-orang muysrik serta bersabar hingga ketika yang tertentu. Mereka bersemangat dan terlalu ingin sekiranya mereka di suruh berperang untuk mereka melepaskan diri dari tekanan musuh-musuh mereka.

Di dalam ayat di atas sebagaimana yang dikatakan oleh Syed Qutub: Allah hairan terhadap mereka yang bersemangat untuk berperang dan tergesa-gesa. Mereka ketika itu berada di Mekah menerima tekanan dan penyeksaan dari orang musrikin, pada ketika itu mereka tidak diizinkan oleh Allah untuk berperang kerana sesuatu hikmah yang hanya diketahui oleh Allah. Apabila tiba waktu yang sesuai yang ditentukan oleh Allah serta keadaan telah bersedia, maka Allah telah mewajibkan berperang. Ketika itu segolongan dari mereka teramat takut dan gerun untuk berperang.[10]

Orang-orang yang terlalu bersemangat dan kedepan kadang-kadang merupakan orang yang paling penakut dan tewas ketika sampai perkara yang sebenarnya. Bahkan kadang-kadang ia merupakan satu kaedah! Itu adalah disebabkan  semangat, gopoh dan kedepan yang memuncak hanya timbul dari tidak memahami hakikat tanggung jawab, bukan dari keberanian dan ketahanan.

Sebagaimana juga kadang-kadang ia timbul kerana kurangnya daya ketahanan menaggung kesempitan, penyeksaan dan ketewasan di dalam bertahan dari itu semua. Ia akan mendorong mereka menuntut peperangan dan hendak mencapai kemenangan walau apa cara sekalipun, tanpa memahami makna tanggung jawab dan kemenangan sehingga apabila mereka berhadapan dengan tanggung jawab, mereka merasakan ianya adalah lebih berat daripada apa yang mereka sangkakan dan lebih sukar dari apa yang mereka gambarkan. Mereka adalah barisan pertama terkejut dan takut serta berundur.

Ketika mana orang-orang yang menahan diri mereka dan menanggung kesempitan dan penyeksaan buat beberapa waktu serta menyediakan persediaan yang sepatutnya, akan tetap di jalan perjuangan. Ia adalah jalan yang panjang dan sukar akan tetapi di sana tidak ada jalan lain selain daripadanya.

Di antara tabiat jalan ini juga ialah jalan yang dipenuhi oleh rintangan-rintangan dan cobaan-cobaan.

Allah berfirman:

Maksudnya: Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan hanya berkata: “Kami beriman,” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan). (Al Ankabut: 1,2)

Maksudnya: Adakah patut kamu menyangka kamu akan masuk syurga, pada hal belum sampai kepada kamu cubaan seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncang (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah  (datangnya) pertolongan  Allah?” Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al Baqarah: 214)

Sunnah Allah telah berjalan dengan menguji orang-orang yang beriman dengan tujuan untuk menapis iman mereka . Selepas itu mereka akan menguasai muka bumi ini. Syafei telah ditanya: “Adakah kita akan tetap di muka bumi atau kita di uji?” Dia menjawab: “Kita tidak akan teguh sehingga kita di uji, Allah tidak memberi Nuh, Isa, Musa dan Muhammad kemenangan sehingga mereka di uji dan bersabar.”[11]

Jenis cobaan yang dihadapi oleh pejuang adalah bermacam-macam. Kadang-kadang dia diuji pada agamanya dengan di azab, diusir keluar dari tempat tinggal, disembelih, diberhentikan kerja atau ditekan. Kadang-kadang dia diuji dengan keluarga, dengan dunia yang dibukakan kepadanya.

Maksudnya: Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan. (Al Anbia’: 35)

Kadang-kadang dia diuji dengan orang yang paling hampir dengannya.

Maksudnya: Dan Kami jadikan sebahagian daripada kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain  (Al Furqan: 20)

Setiap al akh muslim hendaklah meneguhkan dirinya dalam menghadapi cobaan ini sehingga dia tidak takut atau terkejut.dan tidak gentar.

Umat Islam yang awal telah dididik di atas itu semua. Mereka meyakini bahawa jalan menuju ke syurga adalah jalan yang di hampari dengan perkara-perkara yang dibenci. Setiap kali kesempitan melaui mereka, keyakinan mereka semakin bertambah bahawa mereka sedang berjalan di atas jalan yang sahih.

Di dalam peperangan Al Ahzab, terlalu sejuk, takut dan lapar serta pasukan bersekutu mengepung mereka dari hadapan dan belakang. Ketika itu orang-orang yang beriman meyakini janji Allah dan RasulNya dengan ujian:

Maksudnya: Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al Ahzab, berkatalah mereka: “Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) oleh Allah dan RasulNya. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat itu) tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri merek bulat-bulat keepada Allah. (Al Ahzab: 22)

Iaitu sabar di atas ujian, menerima ketentuan Allah dan membenarkan yang hak.

Akhirnya setiap al akh muslim hendaklah ingat hadis Rasulullah saw. ketika baginda ditanya orang manakah yang paling teruk ujiannya? Baginda bersabda: “Para anbiya’, kemudian orang yang mulia selepas mereka dan seterusnya. Seseorang itu akan diuji menurut tahap agamanya. Sekiranya agamanya kukuh, ujiannya akan bertambah keras dan sekiranya agamanya lemah dia akan diuji mengikut kadarnya. Seseorang hamba tidak akan dapat lari dari ujian sehingga dia berjalan di atas muka bumi ini di dalam keadaan tidak berdosa.”

Maksudnya: Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu akan hilang semangat dan kekuatan kamu . (Al Anfal: 46)

Ustaz Sayid Qutub berkata: Manusia tidak akan bertelagah kecuali apabila wujudnya pemimpin dan arahan yang banyak. Apabila manusia  mantaati Rasul dan Allah maka sebab utama perselisihan antara mereka akan hilang (walau bagaimana sekali pun perselisihan yang berlaku di dalam sesuatu masalah). Perselisihan bukanlah ditimbulkan oleh berlainan pendapat atau pandangan, akan tetapi hawa nafsulah yang akanmembuatkan seseorang itu berpegang dengan pendapatnya,walaubagaimana jelas sekalipun kebenaran di dalam masalah itu. Dia hanya meletakkan kebenaran pada dirinya sahaja dan mengutamakan dirinya dari kebenaran.

Jika Allah mengetahui ada kebaikan di dalam hati kamu nescaya Dia akan memberikan kepada kamu balasan yang lebih baik (harta benda penebus diri) yang telah di ambil daripada kamu. (Al Anfal: 70)

Kita hendaklah memperbanyakkan ibadat-ibadat dan kita berusaha menambah bekalan kebaikan di dalam hati kita , semoga Allah akan mengampunkan kita dan menetapkan pendirian kita.

Allah berfirman:

Maksudnya: Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) Allah membuat satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah seperti satu pohon yang baik yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan -perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan kalimah yang buruk pula samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah terbongkar akar-akarnya dari bumi, tidak ada tapak baginya untuk hidup. Allah menetapkan pendirian orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang berlaku zalim (kepada diri sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. (Ibrahim: 24-27)

Kalimah yang baik (kalimatul hak) adalah seperti pokok yang baik, teguh, berbuah dan rendang. Teguh tanpa digoyang oleh tiupan angin taufan. Ia tidak akan digoncang oleh angin kebatilan. Tidak digugat oleh kejahatan taghut (walaupun kadang-kadang ada orang yang menyangka bahawa ia terdedah kepada bahaya) rimbun dan tinggi. Mengatasi kejahatan, kezaliman dan taghut. Berbuah tanpa putus-putus kerana akar umbinya tumbuh di dalam jiwa yang semakin bertambah dari semasa kesemasa.

Kekuatan yang asli tidak akan mati dan tidak akan hancur walau pun digoyang oleh manusia dan mencari jalan untuk menentangnya. Bagitu juga kejahatan tidak akan hidup kecuali buat sementara waktu yang memusnahkan beberapa kebaikan. Di bawah bayangan pohon yang teguh ini perumpamaan bagi kalimah yang baik.

Allah meneguhkan orang-orang yang beriman di dunia dan di akhirat dengan kalimah iman yang tetap di dalam sanubari, teguh di dalam fitrah, berbuah dengan amalan soleh, salih berganti dan kekal di dalam kehidupan. Allah meneguhkan mereka dengan kalimah-kalimah Al Quran dan kalimah Rasul serta janji bagi kebenaran dengan kemenangan di dunia dan kejayaan di akhirat… Semuanya adalah kalimah yang teguh, benar dan hak. Tidak ada perpecahan dan perselisihan jalan dengannya. Pendokongnya tidak akan di timpa dengan kerunsingan, kehairanan dan kerisauan.[12]




[1] Tahzib Sirah Ibnu Hisyam, hal. 271-272

[2] Sayyid Qutb, Fi Zhilal Al Quran, juz IX, hal. 2245

[3] Sayyid Qutb, Ma’alim Fi Ath Thariq

[4] Mumirrat At Tarbiyah Islamiyah, hal. 2

[5] Abul A’la Al Maududi, Tazkirah Du’aat Al Islam

[6] Abdullah Nasih Ulwan, Majallah Syihab, thn. 15, bil.1

[7] Hayatus Ash Shahabah, Jilid I, hal. 328-329

[8] Muhammad Syadid, Al Jihad fil Islam, hal. 171

[9] Dr. Humam Abdur Rahim Saad, Qawaid Ad Da’wah Ila Allah, hal 149

[10] Syed Qutb, Fi Zhilal Al Quran, Juz II, hal 712

[11] Ibnul Qayyim, Al Qawaid, hal. 183

[12] Syed Qutb, Fi Zhilal Al Quran, Juz IX, hal. 2098-2099

Leave a Comment